Labels

Sunday, January 07, 2007

MEE SEGERA



Pencipta mi segera meninggal dunia

TOKYO 6 Jan. – Pencipta mi segera, yang kini merupakan antara makanan popular, meninggal dunia di sini semalam pada usia 96 tahun.

Momofuku Ando (kiri) meninggal dunia kerana penyakit jantung, kata jurucakap Nissin Food Product Co., syarikat yang diasaskan oleh beliau.

Syarikat itu ditubuhkan pada 1948 selepas Perang Dunia Kedua.

Media Jepun memuji beliau atas kejayaannya membawa mi segera ke seluruh dunia dan angkasa lepas.

Ando dilahirkan di Taiwan pada 1910 semasa pendudukan Jepun dan mengendalikan syarikat pakaian dan beberapa syarikat lain di Taipei dan Osaka pada awal kariernya.

Media Jepun menambah, Ando mendapat inspirasi mi segera pertama dunia semasa melihat orang ramai beratur panjang untuk membeli mi ‘ramen’ segar dari sebuah gerai pasaran gelap ketika berlakunya kekurangan makanan selepas tamatnya Perang Dunia Kedua.

Selepas produk Chicken Ramen yang diperkenalkan pada 1958 menjadi terkenal walaupun dijual pada harga RM1.04 (35 yen), beliau memperkenalkan Cup Noodle pada tahun 1971.

Mi segera dalam bekas stirofom kalis air yang hanya perlu disediakan dengan menuang air panas membuktikan satu kaedah pemasaran terbaik ketika penduduk dunia semakin dihimpit kesibukan dengan kerja seharian.

Ando menjadi perhatian ramai ketika muncul di kaca televisyen pada 2005 untuk mempromosikan versi Cup Noodle yang membolehkan ia dinikmati oleh angkasawan dalam kapal angkasa Discovery.

Beliau yang kerap dilihat sedang menjamah hidangan yang diciptanya, turut membuka sebuah muzium yang mengabadikan mi segera di Osaka pada 1999.

Ando meninggalkan seorang balu, Masako.

Kali terakhir mendiang muncul di khalayak ramai ialah pada Rabu lalu apabila menyampaikan ucapan sempena tahun baru di Ibu Pejabat Nissin dan menikmati Chicken Ramen pada majlis makan tengah hari bersama para eksekutifnya.

– Agensi

No comments: