Labels

Saturday, January 14, 2006

LAMAN WEB BASI

Maklumat basi laman web 8 kementerian

Oleh ABDUL YAZID ALIAS

KUALA LUMPUR 9 Jan. - Sebanyak lapan kementerian termasuk jabatan kerajaan didapati tidak mengemas kini laman web mereka bagi memberi maklumat terkini mengenai perkhidmatan mereka kepada orang ramai.

Malah usaha Utusan Malaysia melayari beberapa laman web kementerian mendapati, ada laman web yang langsung tidak boleh dicapai dan menyukarkan orang ramai mendapatkan maklumat serta mengunakan perkhidmatan dalam talian yang disediakan.

Antara kementerian dan agensi itu ialah Kementerian Pengangkutan, Kementerian Luar Negeri, Kementerian Wilayah Persekutuan, Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Penerangan, Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri serta Jabatan Pengangkutan Jalan.

Hal ini diakui oleh Pengarah Bahagian Pembangunan Kerajaan Elektronik, Unit Permodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan (MAMPU), Mahat Bahari.

``Sikap kurang prihatin terhadap penyebaran maklumat melalui laman web merupakan antara punca sesetengah laman web agensi-agensi kerajaan kurang proaktif dan tidak dikemas kini,'' katanya.

Mahat berkata demikian ketika dihubungi bagi mengulas mengenai sesetengah agensi-agensi kerajaan yang tidak proaktif untuk mengemas kini maklumat-maklumat yang terkandung dalam laman web mereka.

Pada April tahun lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi telah meminta semua jabatan kerajaan agar mengemaskinikan laman web dalam usaha memberi maklumat serta sebagai saluran interaksi dengan orang ramai mengenai perkhidmatan-perkhidmatan kerajaan.

Menurut Mahat, pemantauan MAMPU mendapati masih ada sesetengah laman web agensi-agensi kerajaan kurang mengambil perhatian berhubung perkara itu.

``Berdasarkan pemantauan yang dibuat oleh MAMPU, masih ada agensi-agensi kerajaan tidak mengemaskinikan laman web mereka walaupun telah berulang kali dinasihatkan agar berbuat demikian.

``Ada laman web yang tidak menggunakan dwi-bahasa dan secara tidak langsung akan menyebabkan penyebaran maklumat mengenai perkembangan kerajaan tidak dapat dibuat secara meluas dan terhad di dalam negeri sahaja,'' katanya.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Kementerian Pengangkutan, Saptuyah Senson menjelaskan, kegagalan mengemaskini laman web juga kerana sesetengah maklumat perlu mendapat kelulusan dari pihak atasan sebelum boleh disiarkan.

Menurutnya lagi, masalah teknikal juga turut menjadi punca mengapa sesetengah maklumat dalam laman web sukar untuk dikemaskinikan.

``Ada sesetengah maklumat perlu mendapatkan kelulusan daripada pihak atasan agar ia tidak memberi kesan negatif kepada jabatan.

``Selain itu, ada kalanya kerja-kerja mengemaskinikan laman web sukar dijalankan disebabkan oleh masalah-masalah teknikal yang tidak dapat dielakkan,'' jelasnya.

Dalam perkembangan berkaitan, beberapa kementerian yang belum lagi mengemaskinikan laman web masing-masing memberi jaminan akan berbuat demikian dalam tempoh terdekat.

No comments: