Labels

Wednesday, January 11, 2006

ANJING DAN BANGAU

KEBANYAKAN dari kita pernah dengar cerita anjing dan bangau kan?. Cerita di zaman dahulu-kala di alam binatang.

Pada suatu hari anjing menjemput bangau ke rumahnya. Tiba di rumah, bangau dihidangkan dengan makanan yang enak-enak, tetapi makanan tersebut diletakkan di dalam piring. Maka bangau tengok sahajalah akan makanan tersebut sebab dia tidak boleh menyudunya. Sebagai balasan, bangau pula menjemput anjing datang ke rumahnya. Kali ini anjing dihidangkan dengan makanan dalam botol. Kini giliran anjing pula tidak dapat menikmati makanan tersebut...

Kisah dari cerita dongeng tersebut banyak pengajarannya. Adakah binatang-binatang ini makhluk yang pendendam?. Atau mungkin juga ada kuota pada zaman tersebut, anjing tidak boleh beli belas, bangau tidak boleh beli piring. Sebabnya ia tidak berguna untuk kedua-dua makhluk tersebut. Pada zaman tersebut hotel dan restoran belum dibuka. Jika tidak sudah tentu anjing akan jemput bangau pergi ke hotel 5 bintang di atas bukit dan bangau akan jemput anjing pergi ke hotel berbintang dalam tasik.

OK, berbalik kepada jemputan makan, hotel dan restoran, pada suatu pagi tidak seberapa lama yang lalu, sebuah syarikat paling berprestij telah menjemput xxx untuk ke suatu majlis sarapan pagi di sebuah hotel tersohor dengan bintang-bintangnya. Oleh kerana jemputan yang begitu berprestij, maka xxx tidaklah sempat ambil sarapan sendiri di rumah. Sesampai di hotel, xxx dilayan dengan penuh sopan oleh dayang-dayang dan segala yang ada. Dibawanya mengadap ke dewan jamuan dan bertemu dengan tuan rumah, si penjemput dan tuan orang putihnya. xxx dijemput untuk pilih teh atau kopi. Setelah pilihan dibuat, xxx dibawa ke dalam dewan syarahan (bukan dewan makan!). Persembahan dibuat, perbincangan dilakukan hinggalah tinggi matahari. Kopi dah lama kering, air mineral dah licin, hinggakan gula-gula juga tinggal plastik pembalut sahaja. Makanan tidak kunjung tiba sehinggalah akhir majlis. Selepas bersalam- salaman mengucapkan terima kasih, rombongan xxx pun kembalilah, sambil menjeling himpunan kuih-muih yang bukannya ditempah untuk orang lain. Dengar ceritanya xxx sampai 3 hari sakit kepalanya sebab perut kosong.

Tak tahulah samada syarikat tersebut jatuh dalam kategori anjing atau bangau ataukah xxx itu seorang lebai malang. Namun kisah tersebut masih terpahat dalam ingatan xxx dan ahli rombongannya. Suatu hari mungkin xxx akan jadi invisible man dan menjemput syarikat tersebut untuk majlis bersahur atau berbuka kot...

Pengajaran dari cerita:
1. Bila dijemput menghadiri majlis makan, makanlah dulu
2. Baca betul-betul... jemputan 'minum pagi' bukan 'minum teh atau kopi'
3. Syukur .... mungkin ada hikmah di sebaliknya.

No comments: