Labels

Friday, January 16, 2004

SABTU KERJA

RAMAI kakitangan awam berasa was-was samada esok (Sabtu ketiga) adalah hari kerja atau tidak bekerja. Sepatutnya ia memang Sabtu cuti, namun ada khabar-khabar angin mengatakan yang ia adalah Sabtu kerja untuk digantikan dengan Sabtu minggu Tahun Baru Cina nanti. Biasanya pengumuman begitu dibuat pada petang hari Rabu (iaitu selepas mesyuarat kabinet). Oleh kerana tidak ada berita maka ia adalah status quo sahajalah. Lagipun jika esok adalah hari kerja tetapi ingin dijadikan hari cuti, maka pengumuman boleh saja dibuat malam ini ataupun esok pagi. Tetapi... jika hari cuti hendak dijadikan hari kerja, ia kenalah dimaklumkan lebih awal lagi ....

Kembali kepada Sabtu kerja ini, ada rakan sepejabat saya yang semua hari Sabtu kerja sepanjang tahun ia akan bercuti, malahan cutinya telahpun dipohon untuk sepanjang Sabtu bagi setahun..... Alasan? rasanya hendak bersama keluarga & suami yang tidak bekerja Sabtu. Rakan saya dari Filipina & Thailand memberi tahu yang kakitangan kerajaan di sana memang tidak bekerja pada Sabtu dan Ahad. Alasannya ialah kakitangan kerajaan bergaji murah, jadi biarlah sektor swasta yang bergaji mahal bekerja Sabtu atau Ahad jika mereka mahu. Malahan siang-malam juga ;-) . Rasanya di negara maju lain juga Sabtu adalah hari cuti bagi kakitangan kerajaan mahupun swasta mereka. Mengapa kita masih bekerja pada hari Sabtu?. Bos saya dulu-dulu pernah berkata yang kerajaan memang berhajat nak jadikan Sabtu & Ahad sebagai cuti hujung minggu. Namun... jika begitu maka Malaysia akan hanya bekerja 3 harti sahaja seminggu, bukannya 5 hari.

Hari-hari bekerja tersebut ialah Isnin, Selasa & Rabu sahaja.... Khamis (setengah hari di beberapa negeri), Jumaat (cuti di beberapa negeri), Sabtu & Ahad (cuti di beberapa negeri). Hmmm... logik juga pendapat bos ni.

No comments: