Labels

Wednesday, September 16, 2015

LOKE KIM HUNG

SAMBIL berkemas-kemas, saya temui sebuah buku besar. Sebuah kamus sebenarnya. Inilah buku paling tebal yang ada dalam simpanan saya. Hampir 2,000 muka surat.

Kamus terbitan 1998 ini dihadiahkan (secara rahsia) pada hari terakhir kami sekeluarga berada di Leeds, UK. 



[Petikan mengenai Uncle Sim, ia itu Loke Kim Hung].

Dulu-dulu, dalam masa senggang semasa di kampus dan anak-anak ke sekolah, aku duduklah melepak buat-buat sibuk di kedai Alhalal atau jalan-jalan menyusur pekan kecil Harehill.

Suatu hari aku bertemu dengan seseorang yang saling tak tumpah seperti sasterawan negara, A.Samad Said dari segi putih dan panjangnya rambut serta janggutnya.

Dalam hati terdetik, adakah ini Pak Samad atau kembarnya? Dari Malaysia? Apa Khabar? ucapnya. Oh, pandai cakap Melayu rupa-rupanya dia!

“Ya dari Malaysia, khabar baik balas ku. Uncle dari Malaysia juga?”

 Sejak hari itu hampir setiap hari aku berjumpa dan bersembang dengannya. Uncle Sim nama yang diberikan. Dia pernah tinggal di Malaya suatu masa dulu dan kini telah berhijrah ke UK beberapa bulan sebelum Malaya mencapai kemerdekaan.

Ada yang mengatakan Uncle Sim ini tidak betul orangnya. Ada yang mengatakan dia adalah bekas anggota PKM yang melarikan diri ke UK dan macam-macam lagi mengenainya.

Kehidupan Uncle Sim sekeluarga terlalu privacy. Dia tidak akan memberitahu di mana rumahnya dan cukup pantang jika fotonya dirakam.

Namun dari cakap-cakapnya menampakkan yang dia adalah seorang yang berpengetahuan dan banyak membaca. Seperti biasa aku menjadi pendengar setia kepada setiap hujah dan pidato berfalsafahnya dalam pelbagai topik dunia.

Khayalanku terhenti sejenak apabila teringatkan sekeping surat dari Leeds yang belum habis kubaca. Pengirimnya ialah Suraya, yang katanya ialah anak kepada Uncle Sim. 

Beliau menulis surat memberitahu sesuatu mengenai ayahnya dan beliau memperolehi alamatku daripada buku nota bapanya. Hanya itu yang beliau ada dan bukan telefon, faks ataupun alamat e-mel ku.

Suraya. Cantik nama itu.
Suraya Sim barangkali.”



No comments: