Labels

Thursday, September 08, 2011

MAN TOK GURU

SEMASA zaman kanak-kanak, saya berkubang di kampung Tokdor. Kampung di pinggir jalan ini tidaklah begitu sempurna dari segi infrastrukturnya. Ia ada sebuah masjid. Sebuah surau pula di kampung Peroh. Sebuah sekolah rendah di kampung Pela, walaupun sekolah ini bernama Sekolah Kebangsaan Peroh. Ia mempunyai seorang ketua kampung yang berkongsi dengan Kampung Peroh.

Dari Kampung Tokdor ke Sekolah Kebangsaan Peroh, saya berjalan kaki dengan kawan-kawan. Jaraknya ialah dua batu (masa itu belum guna km). Tambang bas cuma 5 sen sahaja. Saya bukan tidak ada duit 10 sen (5 sen pergi dan 5 sen balik), tetapi bas yang tidak lalu. Dalam lain perkataan, bas jarang-jarang sahaja lalu di kampung saya. Oleh kerana mak beri 20 sen sehari, maka duit tambang bas 10 sen saya simpan dan 10 sen lagi digunakan untuk membeli makanan. Biasanya saya beli mee goreng dengan harga 5 sen. Jika saya ingin makan lebih mewah, saya beli mee goreng 5 sen dan keropok goreng 5 sen. Seingat saya, saya tidak pernah beli air yang harganya juga 5 sen segelas. Sebaliknya saya minum air paip yang kami namakan sebagai air paipsi kola. Ia percuma dan sangat sedap. Ia sedap kerana di rumah dan dikampung hanya ada air telaga sahaja.

Kampung saya cuma ada elektrik pada lewat tahun 1980an. Semasa saya berkahwin pada tahun 1985, kampung ini masih bergelap dan cuma diterangi dengan lampu pelita minyak tanah atau lampu gasolin bagi keluarga yang mampu. Oleh itu makanan dan minuman dalam peti ais, tidak pernah saya rasai.

Din kampung saya (Kampung Peroh sebenarnya) ada seorang alim, namanya Man Tok Guru. BArangkali ia adalah guru mengaji Quran. Saya tidak mengaji dengan dia, mungkin kerana dia hanya mengajar anak murid yang sudah mahir dengan mengaji berlagu. Sedangkan saya belum khatam Muqadam lagi. Saya mengaji dengan beberapa orang guru Quran yang lain. Seingat saya ialah Wan Embun, Pakwil Perih dan Pakcik Ali Ketua Kampung.

Seperti yang saya nyatakan sebelum ini, kampung saya ini sangat jarang dilalui oleh bas. Begitu juga dengan kereta. Lori balak banyaklah yang mengangkut balak untuk dibawa ke kilang papan.

Pada suatu hari ada satu kemalangan kereta. Beberapa orang dalam kereta tersebut telah cedera dan dibawa ke hospital. Orang-orang kampung datanglah memberi bantuan, melihat, bercerita dan macam-macamlah. Bagaikan satu pesta di kampung ini melihat kemalangan. Sebenarnya kereta ini terlanggar sesuatu dengan sendirinya. Maknanya ia bukan melanggar lembu yang banyak di atas jalan ataupun melanggar orang ataupun melanggar kenderaan lain.

Jadi .... ramailah orang kampung yang berpendapat, tempat itu "keras" dan sebuah busut di situ yang menyebabkan kemalangan etrsebut berlaku. Masih sayab ingat, bagaimana Man Tok Guru menasihati dan mengingati orang kampung supaya jangan percaya kepada perkara tahyul. Jangan percaya kepada busut. Sebagai orang Islam kita hendaklah jangan syirik kepada Allah dan sebagainya. Namun orang kampung tetap berdegil juga.

Dalam hati saya berkata, betapa susah dan mencabarnya menjadi orang alim pada masa tersebut. Sehingga kinipun saya masih ingat dan masih kagum dengan kegigihan Man Tok Guru. Semoga rohnya diberkati.

Amin.

1 comment:

Leyla Shuri said...

salam en.,
Tahun 1984, kampung saya lebih elok berbanding kampung en.
Rumah saya di padang sebang, alor gajah sudah ada electrik, air paip segala. dan bas pun lalu dari melaka ke tampin 2 kali sejam.
Tapi kemalangan kereta banyak, melanggar lembu.