Labels

Sunday, May 08, 2011

BAGAIMANA BUKU "50 JAWATAN" DITERBITKAN


SETELAH buku pertama saya dengan PTS "Kerjaya dalam Bidang ICT" diterbitkan, editor menemui saya supaya menulis beberapa buah buku lagi. Beberapa buah tajuk dikemukakan. Akhirnya kami bersetuju supaya saya menulis dan PTS menerbitkan dua buah buku lagi. Pertama "50 Jawatan Terpilih dalam Kerajaan". Kedua "50 Jawatan Terlaris Dalam ICT".

Kedua-dua buku tersebut saya tulis dan siapkan dalam masa satu bulan. Ini bermakna, secara matematiknya satu buku berjaya saya tulis dalam masa dua minggu. Bukan kerana saya hebat, tetapi saya sudah 30 tahun bekerja dalam kerajaan, dan 30 tahun juga dalam ICT. Maknanya saya tidak perlu mencari banyak rujukan untuk menulis buku sedemikian.

Setelah manuskrip disiapkan, ia diserahkan kepada editor untuk dinilai, diedit dan seterusnya diterbitkan. Agak lama juga saya menunggu berita yang tidak pernah muncul. Editor terlalu malu untuk memberi tahu saya berita dan cerita mengenai manuskrip saya. Akhirnya saya dengar dari salah seorang penulis yang mengatakan bukunya tidak akan diterbitkan pada masa ini kerana 'gawat'. Dia juga berkata, "PTS tidak akan memberi penekanan kepada buku-buku kerjaya lagi, kerana kegawatan dan akan memberi tumpuan kepada siri buku buat duit'. Saya bertanya perkara ini kepada pengerusi syarikat, dan sekiranya benar mohon manuskrip saya dikembalikan.

Kedua-dua manuskrip tersebut dikembalikan dalam keadaan baik dengan diiringi sepujuk surat memohon maaf dari editor kerana 'gagal menerbitkan buku saya'. Saya tidak kisah, tidak ambil hati dan buat macam biasa sahaja. Manuskrip disimpan.

Oleh kerana PTS ingin tumpukan kepada penerbitan buku siri buat duit, sayapun menulis buku tersebut. Tidak sampai sebulan, manuskrip "Buat Duit Dengan Foto" siap dan diterbitkan. Alhamdulillah.

Sudah dua buah buku saya diterbitkan. Pada masa itu saya adalah seorang 'timbalan' di pejabat. Kebenaran menulis dan menerbitkan buku memadai hanya dengan memberitahu 'bos' sahaja. Kebetulan bos juga adalah seorang penulis, kerana beliau adalah seorang profesor. Tidak ada masalah.

Suatu hari, orang besar Oasis Buku bertanyakan tentang ,manuskrip saya. Saya hulurkan lima dan dipilih dua. Ia dilakukan setelah beliau diyakini bahawa kedua-duanya telah ditolak secara rasmi oleh PTS. Ada hitam-putihnya. Oasis Buku bersetuju untuk menerbitkannya dan saya juga telah memberi persetujuan. Perjanjian telah ditandatangani.

Saya terlupa bahawa bos saya sudah berpindah dan saya sudah menjadi bos di tempat kerja. Peraturan menghendaki saya mendapat kelulusan daripada KSU. Ini adalah kerana menulis dan menerbitkan buku boleh dikategorikan sebagai membuat kerja luar. Saya tulis memo kepada KSU dan perkara suspen berlaku apabila KSU keberatan untuk meluluskannya.

1001 macam idea datang supaya saya tidak melanggar peraturan dan buku saya tetap diterbitkan. Terlintas mahu jual sahaja manuskrip tersebut kepada sahabat, atau berikan secara percuma sahaja, atau gunakan nama orang lain sahaja sebagai penulis. macam-macam idea datang. Akhirnya KSU panggil berbincang setelah kesemua manuskrip saya dilihat secara sepintas lalu. Beliau memberikan kelulusan dengan beberapa syarat yang perlu dipatuhi. Alhamdulillah.

2 comments:

Anonymous said...

MBA
Penulis
Teruskan menulis.

::KNB:: said...

hebat. saya juga baru berjinak2 dalam dunia penulisan ebook dan blogging. harap boleh beri tunjuk ajar