Labels

Thursday, November 13, 2003

LEMBU DAN SAPI PUNYA NAMA

Lembu Punya Susu, Sapi Punya Nama adalah perumpamaan yang agak popular di kalangan masyarakat kita. Memang betul lembu yang punya susu, namun kurang pasti pula siapa yang memberikan jenamanya kepada sapi. Rasanya manusialah dan bukannya sapi itu sendiri!. Dalam dunia pekerjaan pula, apabila ada sesuatu kerja atau projek yang perlu disiapkan, biasanya kita akan bekerja dalam pasukan. Katakanlah untuk membuat satu kertas cadangan suatu projek besar. Bos mungkin mendapat ilham atau “wahyu” mengenai projek tersebut dan diberitahu kepada timbalannya supaya disiapkan satu kertas kerja. Timbalan pula akan memanggil dua lagi ketua penolong untuk bincang dan menyerahkannya kepada mereka mengikut bidang masing-masing. Ketua Penolong pula akan memanggil dia punya Penolong untuk menolongnya menguruskan kertas tersebut. Bagi si Penolong ni, jika ada lagi pembantu-pembantu di bawahnya, akan dikerahlah untuk mencari maklumat mengenai projek ini. Pembantu-pembantu ini jika tiada lgi anak buah, akan buatlah sepertimana yang diarahkan.

Dipendekkan cerita, apabila kertas kerja telah disiapkan maka masing-masing peringkat yang menaip, mencari fakta, menyemak, mengurus, menyelia dan mengarah akan memasukkan perkara ini dalam rekod sumbangan mereka sendiri. Hatta penompang yang hanya datang dengar satu perbincangan mengenai perkara ini pun turut berbuat demikian, untuk menambah koleksi pencapaian peribadi. Itu belum projek diluluskan dan berjaya dilaksanakan lagi, baru di peringkat kertas kerja!.

Teringat kata-kata seorang kawan, seseorang yang berjaya menghasilkan kertas kerja yang besar adalah hebat. Namun perlu dijelaskan apakah peranan sebenarnya dalam projek tersebut. Jika tidak, seorang jurutaip juga akan mendakwa dialah yang menyediakan kertas kerja tersebut. Samalah kesnya dengan boroh kontrak yang mendakwa dialah yang membina dan menyiapkan bangunan berkembar KLCC.


-------- kongsi ilmu ---------------------
SAPI - Binatang yg rupanya spt lembu dan bewarna hitam
SAPI - Pohon, tumbuhan (pokok kecil)

LEMBU - Binatang ternakan utk dapatkan susu, daging dll
LEMBU - sejenis burung
LEMBU - Sejenis ikan laut

--- sumber: Kamus Dewan


No comments: