MASA ITU EMAS
Mengikut program yang diterima; majlis HeS.com (Hadiah eSastera.com) bermula pada jam 8:30malam. Saya tiba lebih kurang jam 8:20pm. Kira-kira sedang-eloklah, takut sangat saya kalau terlewat. Setelah tiba adalah dua-tiga orang di dewan tersebut. Ahli Jawatankuasapun tidak kelihatan, mungkin sedang menunggu dif jemputan. Yang ada dan dah lama menunggu nampaknya hanyalah T.Alias Taib dan sempatlah saya bersembang dengan beliau.
Setelah Dr. Victor Pogadaev tiba, saya berkenalan dan bersembang dengan beliau pula. Beliau berasal dari Rusia dan merupakan pensyarah bahasa Rusia di UM. Saya kenali beliau melalui eSastera dengan membaca hasil tulisan beliau dan melihat gambarnya. Jadi tidak sukar untuk saya membiasakan diri dengan beliau.
Beliau amat kecewa. Kekecewaan beliau diluahkan kepada saya seolah-olah kami sudah lama berkenalan. Beliau kecewa dengan sikap rakyat Malaysia yang tidak menepati masa, malahan dalam banyak hal mungkir janji. Kami bersembang sekitar jam 8:45 sedangkan majlis sepatutnya bermula pada jam 8:30pm. Jangankan dif kehormat, tetamu biasapun masih santai. Sampaikan saya menjadi ragu-ragu, adakah kami yang awal atau mereka yang lewat?. Apabila saya secara berseloroh mengenai jam melayu, Dr. Victor menceritakan mengenai jam karat di Indonesia. Oh bangsaku... sanggup bergadai nyawa melombong emas di Lubuk Mandi, tetapi melepaskan begitu sahaja emas di depan mata.
Dr. Victor juga mengeluarkan kekesalan menganai pembaziran kertas yang berlaku di tempat kerja beliau sekarang. Misalnya untuk memanggil sesuatu mesyuarat yang melibatkan 100 orang, setiap orang akan dapat surat panggilan dalam bentuk kertas. Jika di Rusia katanya, memadai dengan pesanan lisan atau telefon sahaja. Penggunaan e-mel katanya kadang-kadang terdapat masalah teknikal dan kurang boleh dipercayai (wah di negeriku juga begitu!).
No comments:
Post a Comment