Labels

Wednesday, November 30, 2005

BOGEL SINI BOGEL SANA

ISU terbaru mengenai bogel ialah apabila "berita" menceritakan perihal seorang wanita warga China dipaksa ketuk ketampi dalam keadaan berbogel dalam lokap polis. Heboh satu Malaya bercerita mengenai perkara ini.

Mungkin juga (agaknya) ia juga heboh diperkatakan di negara China juga. Jika ya, memanglah patut. Sebabnya jika ada seorang rakyat kita yang diperlakukan sedemikian (berbogel) oleh imigresen negara asing (Amerika umpamanya), atau diminta anjing menghidunya, maka sudah tentu hebohlah kita membicarakannya. Memang adatlah kan?. Kita akan mempertahankan rakyat kita (sambil mengutuk tindakan buruk negara orang). Jadi memanglah adil jika mereka mempertahankan rakyat mereka dan mengutuk perbuatan terkeji oleh pihak berkuasa kita.

Tapi yang anehnya ialah .... akhbar negara kita yang lebih-lebih, sedangkan duta negara China minta semua pihak bertenang, cool....

Duta China minta jangan perbesar isu

KUALA LUMPUR 28 Nov. - Duta Besar China ke Malaysia Wang Chungui hari ini meminta media tempatan dan antarabangsa termasuk di China serta Taiwan agar tidak memperbesar-besarkan kes wanita warga China yang didakwa diberikan layanan buruk oleh polis.

Beliau berharap perkara itu dapat diselesaikan secara mesra antara kedutaan dan kerajaan Malaysia.

``Bertenang, selesaikannya menerusi saluran diplomatik,'' kata beliau kepada media selepas menghadiri jamuan tengah hari sempena pelantikan Gao Wenkuan sebagai kaunselor Ekonomi dan Komersial Kedutaan Besar China ke Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata kerajaan China berharap Malaysia akan menyelesaikan kes terbabit dengan cara yang sesuai supaya dapat memulihkan keyakinan rakyat China terhadap Malaysia.

Wang berkata China berharap agar kes itu akan diselesaikan secara adil dan sewajarnya, namun yang paling penting sekarang ialah mendapatkan keyakinan pelancong terhadap Malaysia.

Bagaimanapun, katanya, kes yang amat menyedihkan ini merupakan kes individu dan tidak akan menjejaskan hubungan kedua-dua negara.

Beliau turut mencadang kedua-dua buah negara supaya menandatangani perjanjian tenaga buruh agar pekerja buruh China masuk ke Malaysia melalui prosedur undang-undang yang sah.

Katanya perjanjian itu akan membantu mengurangkan kes pekerja tanpa izin China di Malaysia dan kerajaan Malaysia boleh mengenakan tindakan undang-undang terhadap pendatang tanpa izin menurut undang-undang Malaysia atau berdasarkan undang-undang antarabangsa.

Wang berkata bagaimanapun perjanjian itu masih dalam perbincangan dan beliau harap kedua-dua buah negara akan bekerjasama bagi menyelesaikan masalah buruh asing. - Bernama

Tuesday, November 29, 2005

PEGAWAI KERAJAAN MALAS ...

[Penafian: Rencana ini diambil empat-empat segi dari akhbar]

Cetusan Minda: Sistem penyampaian belum cekap


Jika ketua malas jangan salahkan kakitangan bawahan culas bekerja

SEBENARNYA apa yang akan diperkatakan dalam tulisan ini bukanlah perkara baru. Kita sudah tahu dan sudah baca berkali-kali semenjak Pak Lah menjadi Perdana Menteri. Malah mungkin ramai yang sudah terasa jemu mengulang-ulang isu yang sama.

Akan tetapi Pak Lah tidak jemu-jemu mengulanginya sehingga cita-cita dan komitmennya tercapai. Kita pun akan terus merungut-rungut selagi urusan kita dengan agensi dan jabatan kerajaan tidak berjalan lancar dan sempurna.

Justeru kenalah kita membantu Perdana Menteri kerana negara ini negara kita dan yang memerintah adalah bangsa kita. Kita juga mahu mewujudkan kerajaan yang mengamalkan sistem pentadbiran yang cekap, berkualiti dan memiliki integriti. Maka kewajipan kitalah membantu apa yang terdaya. Mengkritik dan memberikan pandangan yang ikhlas dan membina. Pak Lah telah mengisytiharkan, kesediaan beliau menerima pandangan rakyat, meskipun yang mungkin pedih rasanya.

"Agensi kerajaan masih tak cekap". Ini tajuk berita utama Berita Harian 23, November, menyimpulkan ucapan Perdana Menteri pada majlis sambutan Hari Kualiti 2005 Kementerian Keselamatan Dalam Negeri di Putrajaya.

"PM see red over red tape" tajuk utama NST pada majlis yang sama, juga menyimpulkan ucapan yang sama. Kedua-dua tajuk berita ini tidak menyenangkan kita yang prihatin akan masa depan negeri kita dan bangsa kita. Implikasinya besar. Justeru kita tidak boleh duduk diam.

Apabila pegawai syarikat terpaksa jadi pengemis

BERDASARKAN pengalaman peribadi saya sendiri dan orang ramai yang berurusan dengan jabatan kerajaan, kedua-dua kesimpulan ucapan Perdana Menteri ini memang tepat. Bukan saja masalah banyak borang dan tersangat lambat bekerja, sering juga keterangan atau arahan yang diberi, berbeza-beza antara seorang pegawai dengan pegawai lain.

Masih ada jabatan yang tugasnya bertindih-tindan dan sering pula salah menyalah antara mereka. Akibatnya kerja menjadi sulit dan kita terpaksa berulang-alik atas urusan yang kecil dan sedikit saja.

Untuk mendapat kelulusan mengubah syarat dan memecah lot tanah saya – hanya tujuh ekar – sudah dua tahun belum juga mendapat kelulusan. Setiap kali menghubungi pegawai-pegawai yang berkaitan, saya merayu "Tolonglah! Tolonglah!" Jawapannya lembut dan mesra tetapi yang ditunggu belum juga tiba. Bila sudah lulus di peringkat Pejabat Daerah, untuk sampai ke peringkat negeri dan kelulusan Exco, mungkin memakan masa setahun lagi.

Kawan-kawan yang mendapat kontrak membina bangunan atau membekalkan perkhidmatan kepada kerajaan, masih juga menghadapi masalah kelambatan bayaran. Saya tahu betul, ada yang lebih setahun projek disiapkan atau perkhidmatan diselesaikan, bayarannya belum juga langsai. Macam-macam dalih diberikan.

Pegawai bercuti, menghadiri kursus, bermesyuarat, pegawai lama bertukar (yang baru kata dia tak tahu apa-apa) adalah jawapan biasa yang menyebabkan pegawai syarikat terpaksa jadi pengemis dan perlu 'menabur sumbangan'.

Adakalanya diberitahu, surat atau laporan hilang, tolong hantar surat atau laporan baru! Semua ini menunjukkan sistem penyampaian kita masih ditakuk lama juga. Ucapan dan gesaan Perdana Menteri nampaknya masih seperti mencurahkan air ke daun keladi.

Kelambatan membuat keputusan atau bayaran, menyebabkan tambahan kos pengurusan dan kos pembelian barang-barang yang terus meningkat. Inilah antara sebab-sebab mengapa projek kerajaan lambat disiapkan atau terbengkalai. Inilah antara masalah yang dihadapi oleh kontraktor dan pembekal Bumiputera kelas kecil dan sederhana.

Di mana harga diri dan maruah pegawai Melayu dan bangsa Melayu

KATA Perdana Menteri: "There was no excuse for the agencies not to have a efficient delivery system as the Government had invested greatly in equipping them with up-to-date technology." (Tidak ada alasan bagi ketidakcekapan sistem penyampaian agensi, kerana Kerajaan telah berbelanja besar untuk melengkapkan mereka dengan teknologi yang terkini).

Beliau menegaskan; "Jika ketua-ketua jabatan malas dan tidak bekerja, mereka tidak sepatutnya menyalahkan pegawai bawahan yang juga malas. Tidaklah ada guna jika kita berusaha bersungguh-sungguh memperbaiki sebuah motokar jika natnya longgar."

Namun tidak dinafikan, pihak kontraktor atau pembekal perkhidmatan pun ada juga kelemahannya. Dan cerita bahawa ada kontraktor yang tidak layak dapat projek, diberi kontrak kerana ada hubungan dengan orang-orang tertentu, pun masih juga kita dengar berlaku. Pegawai yang cekap dan bagus pun memang ada. Malangnya, yang tidak baik itulah yang jadi cerita.

Peranan wang dalam kegiatan politik kita semakin ketara. Maka sukarlah kita hendak menegakkan pentadbiran yang bersih, berkualiti dan berintegriti.

Majoriti pegawai kerajaan, termasuk ketua-ketua jabatan dan ketua setiausaha kementerian, adalah Melayu. Orang Melayu itu adalah juga orang Islam. Kita kata negara ini warisan nenek moyang kita, maka kita punya keistimewaan. Orang bukan Melayu merasa tidak senang. Akibatnya, jika pentadbiran negara kita buruk, tidak cekap dan korup, tentulah tuduhan itu jatuh ke batang hidung kita – bangsa Melayu! Malu benarlah kita dipandang begitu buruk dan hina!

Maka sukarlah saya hendak menerima tingkah laku pegawai-pegawai kita yang malas, tidak cekap, menyeleweng dan korup. Apakah mereka ini manusia yang tidak punya perasaan dan maruah? Apa lagi kalau mereka boleh 'dibeli' oleh bangsa lain!

Pengaruh buruk politik dalam pentadbiran berkualiti dan berintegriti

BERCAKAP mengenai kualiti dan integriti pegawai kerajaan, mengingatkan saya kepada kualiti dan integriti pemimpin parti kerajaan, khususnya pemimpin Umno. Mereka tidak saja minta dipilih sebagai pemimpin parti, tetapi juga sebagai Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri. Merekalah yang bertangungjawab meluluskan undang-undang, bajet dan rancangan pembangunan.

Mereka juga membuat keputusan projek dan pelaksanaan projek di peringkat Kerajaan Pusat dan Negeri. Mereka terlibat dalam membuat keputusan tender, cadangan projek dan pemilihan pembekal dan kontraktor.

Kita juga melihat pemimpin politik menggunakan pengaruh politik untuk mendapat kontrak kerajaan. Ada di antara mereka memainkan peranan sebagai 'orang tengah' atau 'broker' saja. Maka seringlah kita mendengar kritik, rungutan dan rasa tidak puas hati pegawai dan pengusaha mengenai keputusan dan peranan para pemimpin politik ini. Maka ketidakcekapan dan penyelewengan pegawai ada juga kaitan dan pengaruh daripada kegiatan dan tingkah laku sesetengah pemimpin politik.

Di Indonesia, pada zaman Presiden Suharto, secara rasmi diamalkan peranan yang disebut "dwifungsi ABRI" , iaitu tentera dan polis, di samping tugas ketenteraan dan kepolisian, juga terbabit aktif dalam pentadbiran dan perniagaan. Maka banyaklah berlaku rasuah, penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa.

Dalam zaman Presiden SBY sekarang ini timbul pula istilah "dwifungsi politisi" iaitu pembabitan pemimpin politik – terutama yang memegang jabatan dalam pemerintahan – dalam bidang perniagaan. Ada golongan yang berpendapat, pemimpin politik tidak wajar aktif dalam perniagaan. Maka Presiden SBY sedang meneliti perkembangan ini untuk mencegah terjadi apa yang disebut "oligarki ekonomi".

Di negara kita, semakin hari semakin ramai pemimpin politik terdiri daripada usahawan atau yang ingin jadi usahawan segera. Tanda-tanda menunjukkan, perkembangan baru ini telah membuka lebih banyak kesempatan berlakunya penyelewengan kuasa dan rasuah. Lebih-lebih lagi peranan wang dalam kegiatan politik kita menjadi semakin ketara dan semakin dominan. Jika begitu, semakin sukarlah kita hendak menegakkan pentadbiran yang bersih, berkualiti dan berintegriti.

– Lot 3850 Kampung Sg. Pencala, Kuala Lumpur - 24 November 05.

Sunday, November 27, 2005

SEJAMBAK ANAK-ANAK TANPA IBU

SEPETANG sembang-sembang bersama emak. Duduk atas tangga sambil menunggu masa mengejar waktu.

aku: anak ( ) siapa kat tepi jalan tu mak?

mak: ah itu anak tanpa ibu, dah tak boleh pakai, dah tak ada guna. Ibunya dah hilang entah ke mana.

aku: Eh-eh teruknya ibu dia. Mengapa menghilang? Bapak dia macamana pulak?.

emak: Anak-anak tu tak perlukan bapak. Memang tak ada bapakpun. Tak tahu macamana rupa bapaknya. Kalau ada bapakpun memang tak boleh guna. Memang tak berguna.

hmmmm.... korang tahu anak siapa yang dimaksudkan oleh emak aku?. Jawapannya ialah......






























anak kunci yang kehilangan ibu kunci @ mangga.

Tuesday, November 15, 2005

PUTERI SAYAKO

DI NEGARA kita, ramai wanita (anak dara, janda, balu dan yang seerti dengannya) memang teringin untuk berkahwin dengan raja atau kerabat diraja. Hasilnya mereka dapatlah mengecapi pelbagai tahap kemewahan, kebahagian dan tinggal di istana. Jika tidak dapat memikat raja atau anak raja (Rajasinggam dan yang seerti dengannya, merfeka tak mahu), maka dapat memanda menteri, bendahara dan yang sewaktu dengannya juga sudah memadai. Begitu jugalah halnya dengan lawan mereka, suka sangat mengahwini artis (tak kiralah samada tua atau muda).



Cuba pandang ke Timur, baru-baru ini puteri Sayako (puteri bongsu dan satu-satunya puteri) kepada maharaja Jepun, Akihoto telah memilih untuk berkahwin dengan rakyat biasa dan meninggalkan istana dan segala kelebihan serta keistimewaan sebagai puteri maharaja.

Apakah yang dicari dalam perkahwinan?

myTREO 650
















SAYA telah menggunakan PDA/telefon pintar berikut:-

- Palm IIIc
- IBM WordPad505
- Sony Clie
- iPaq
- Nokia Communicator
- Sony Ericsson 910i
- Treo600
- Treo 650
---> selapas ni apa pulak???

Dari Palm ke Windows Mobile ke Symbian, nampaknya Palm juga yang tetap menawan. Minggu lepas saya mengambil langkah drastik dengan menaiktaraf firmware dari versi lama ke versi baru Treo 650. Risiko yang diambil ini alhamdulillah berjaya dan dapatlah Treo tersebut dengan nyawa baru dan ruang storan serta ingatan yang lebih baik.

Selepas OS dinaiktaraf, kini mulalah gatal nak tambah aksesori pulak:-
Mula-mula nak wireless keyboard macam foto kat atas tu. Kemudian teringin pulak dengan virtual keyboard macam kat kanan tu:-

Monday, November 14, 2005

BUNUH DIRI

DALAM Islam, membunuh diri adalah merupakan suatu dosa, malahan ia adalah suatui dosa besar. Orang yang membunuh diri dikategorikan sebagai kufur dan tidak akan dapat masuk syurga. Walau apapun yang berlaku, walau sebesar manapun masalah menimpa, orang Islam dilarang sama sekali menyelesaikannya dengan cara membunuh diri. Tidak ada sebarang nas yang membolehkan seseorang membunuh diri walau dalam keadaan apa sekaliupun @ darurat. Ini bermakna, sekirannya seseorang itu adalah Islam, dia tidak akan membunuh diri sendiri.

Apa pula hukumnya seseorang (atau segolongan orang) yang menuduh orang Islam lain membunuh diri?. Bolehkah diqiaskan dengan zina?. Berzina adalah merupakan dosa besar. Mendekati zina adalah dilarang. Menuduh seseorang (perempuan yang suci @ tidak melakukan zina) berzina adalah merupakan suatu dosa besar. Maka adakah sama hukumnya seseorang yang menuduh seseorang yang mati (dibunuh?) sebagai membunuh diri?. Wallahualam.

Walau apapun, dari segi moralnya pertuduhan sedemikian amatlah jijik sekali dan tentu bermotifkan perkara lain.

Dalam dunia kewartawanan di tanah air kita ini, tidakkah anda biasa terbaca atau terdengar berita-berita yang sengaja menuduh seseorang (yang telah mati) sebagai membunuh diri?. Apakah motif sebenar golongan penuduh begini?.

Misalnya begini:-

1. Seorang pegawai Jabatan Agama Islam (misalnya) ditemui terbunuh di kawasan tempat letak kereta sebuah pejabat. Beliau dipercayai telah membunuh diri dengan tejun dari tingkat 18 bangunan tersebut. Di sini pemberita telah mendahului para pakar yang boleh menentukan sebab-sebab kematian pegawai tersebut dengan perkataan 'dipercayai'. Pemberita ingin melariskan berita tersebut dengan 'menuduh' ustaz tersebut telah membunuh diri (walaupun belum tentu kesahihannya).

2. Seorang doktor dari Pusat Rawatan Islam (bukan cerita sebenar) telah terbunuh dipercayai telah menembak dirinya sendiri dengan senapang gajah dan bom mortar. Beliau dipercayai meletupkan dirinya sendiri setelah pihak polis mengepung klinik beliau yang dipercayai sebagai tempat menyeludup dadah. Beberapa minit kemudian, pembaca berita membuat suatu pengumuman dengan berkata ' ini adalah berita yang baru diterima': Pihak polis menafikan doktor pakar tersebut telah meletupkan diri sendiri, sebenarnya beliau telah ditembak mati oleh pegawai polis dalam drama tembak-menembak di klinik beliau.

Sebenarnya 'berita yang baru diterima' tersebut telahpun lama diterima, namun oleh kerana sesuatu sebab yang disengajakan, skrip meminta pembaca berita melakonkan adegan tersebut. Iaitu dengan menuduh doktor tersebut telah membunuh diri. Apa muslihatnya?. Hanya Allah yang tahu. Namun kita boleh meneka.... tidak lain tidak bukan supaya beritanya laris. Kelarisan berita telah melangkaui halal-haram dalam kehidupan. Tuduhlah apa sahaja.

Jika diperhatikan..... akhbar yang sering membuat tuduhan begini ialah akhbar Melayu. Akhbar Inggeris rasanya tidak terlalu melalut sangat dalam pemberitaan mereka.

Mungkin ramai pemberita ini yang bersekolah di negara orang putih, mungkin mereka terpengaruh dengan orang asing. Tetapi mereka lupa bahawasanya, membunuh diri di sesetengah bangsa asing adalah merupakan suatu tanggungjawab. Membunuh diri dianggap sebagai hero, bukannya berdosa.

Insaflah...

Sunday, November 13, 2005

JANGAN BERSEDIH

RAKYAT Malaysia, khususnya kakitangan perkhidmatan awam selepas ini sepatatutnya berlumba-lumba mendapatkan dan membaca buku Jangan Bersedih (La Tahzan).

Sebabnya?:-



Hadiah istimewa buku Al-Tahzan daripada rakan karib

Oleh Mustafa Kamal Basri

SUBANG 12 Nov. - Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini menerima kejutan apabila dihadiahkan sebuah buku oleh rakan karib yang menyambut kepulangannya dari Maseru, Lesotho di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang di sini.

Ketibaan Perdana Menteri kira-kira pukul 1.20 tengah hari itu turut disambut oleh para penyokong Barisan Nasional (BN).

Sebaik sahaja turun dari pesawat rasmi kerajaan, Abdullah bersalaman dengan orang ramai.

Beliau kemudian berhenti seketika dan berbual dengan rakan karibnya, Datuk Azmi Hamid Bidin yang turut menyambut kepulangannya.

Azmi yang pernah berkhidmat di bawah Abdullah dalam pentadbiran kerajaan, kelihatan menyerahkan sebuah buku berjudul Al-Tahzan sebagai hadiah kepada Abdullah.

Azmi ketika ditemui berkata, beliau memang berhasrat untuk menghadiahkan buku itu kepada Perdana Menteri, sekembalinya Perdana Menteri dari Lesotho.

Perdana Menteri berada di Lesotho sejak Rabu bagi menghadiri Dialog Perkongsian Pintar Antarabangsa 2005.

Katanya, buku yang dihadiahkan kepada Perdana Menteri itu berupa versi bahasa Melayu yang membawa maksud Jangan Bersedih.

``Saya sudah lama mencari buku itu dan kebetulan Perdana Menteri baru sahaja kematian isteri, Datin Seri Endon Mahmood, saya bercadang untuk menghadiahkan buku itu kepada Perdana Menteri.

``Bagaimanapun, buku yang saya hadiahkan kepada Perdana Menteri itu masih mengekalkan tajuk asalnya dalam bahasa Arab Al-Tahzan dan disertakan tajuk dalam bahasa Melayu Jangan Bersedih.

Menurutnya, buku itu sangat laris jualannya di Indonesia dengan lebih 800,000 naskhah dalam versi Indonesia telah habis dijual.

Azmi berkata, buku itu dalam versi bahasa Melayu diterbitkan oleh Al-Hidayah Publishers di Jalan Ipoh Kecil, Kuala Lumpur.

Pegawai Eksekutif Perhubungan Awam Al-Hidayah, Fazrul Hasan Kamaluddin, ketika dihubungi berkata, buku itu dikarang oleh seorang pensyarah dari Timur Tengah, Dr. Abdullah Aidh Al-Qarni.

Buku versi bahasa Melayu pula diterjemahkan oleh seorang guru agama, Noraini Abu.

Katanya, buku tersebut berkisar mengenai motivasi dan tentang kehidupan seorang Islam.

``Selain diterjemahkan dalam bahasa Melayu, buku itu juga diterjemahkan dalam bahasa Indonesia dan bahasa Inggeris.

``Sejumlah 15,000 naskhah buku itu dalam versi bahasa Melayu telah dijual di pasaran di negara ini,'' katanya.

Fazrul Hasan berkata, ia dijual pada harga RM49 senaskhah (kulit keras) dan RM35 senaskhah (kulit biasa).

MBA dah lama beli, cuma belum baca ....

Friday, November 11, 2005

KALI TERAKHIR

Bilakah kali terakhir anda:-

1. Melawat Zoo?



He he he orang KL mana suka melawat zoo..., malahan ada orang KL yang tyak pernah sampai ke zoo (Zoo Negara). Apatah lagi di hari raya.... Hmmm... saya melawat zoo di hari raya (raya ke-6), sebabnya bawa anak-anak sedara yang datang bercuti ke KL yang teringin sangat nak tengok haiwan di zoo. OKlah fun jugaklah... Lepas tu kami ke Muzium Negara pulak.

2. Baca Novel

Ya.... rakyat MAlaysia hanya baca 2.5 muka surat saja setahun!. Bila kali terakhir anda baca buku?. Hmmmm saya baca novel sementara tunggu masa berbuka dan selepas sahur hingga Subuh. Habis dalam 3 hari semasa kat kampung. OK jugaklah....


he he he Sri Diah kata novel ini belum sampai Alor Setar. Saya cari kat Kuala Terengganu juga tak jumpa, akhirnya saya beli kat Kuala Berang.

3. Menziarahi Pusara

Musim-musim raya ni.... memang ramai yang ke pusara. Macam orang lain jugak.... saya menziarai pusara ayah pada hari raya.


Tapi biasalah kan..... tanah perkuburan orang Melayu ni masyaallah semaknya, kotornya dan segala-galanyalah kan?. Andai kata ada kat Malaysia ni Kubur Cina Muslim, saya rasa ia jauh lebih kemas, cantik & bersih berbanding dengan kubur Melayu. Mengapa ekk?.





2.

Wednesday, November 09, 2005

LAGU ARAB JADI URDU

MENGAPAKAH lagu, khususnya lagu raya yang lama-lama lebih syahdu didengari?, lebih menangkap (lentuk)?, lebih ummph! berbanding dengan lagu-lagu baru?.

Jawapannya mungkin sama dengan mengapa filim-filim P.Ramlee lebih diminati berbanding dengan filem-filem baru. Apa sebabnya ya?.

Anak saya yang berumur 5 tahun cukup suka dengan filem klasik hitam-putih yang ditayangkan di TV, berbanding dengan cerita-cerita semasa (selain kartun). Mengapa ya?. Pengaruh apa?.

Berbalik kepada lagu-lagu raya, ni nak habaq pi yang ada juga penyanyi baru yang cuba nak menyanyikan lagu-lagu lama oleh orang lama (nak gelemer kot). Hasilnya ialah kalau lagu lama tersebut berirama Arab, maka dicincang-lumat lagu tersebut (sebab tak pandai menyanyi), dah jadi macam lagu Urdu.

Hangpa tak perasan ke ada lagu raya yang dah jadi lagu tu?.

Sanisah Huri

Bersabarlah Sayang

Semua insan sedang gembira
Di hari ini sayang
Hari yang mulia
Marilah bersama berhari raya
Hilangkan duka

Lupakan saja kisah yang lalu
Gantikan cerita baru
Agar hatimu waspada selalu
Jangan kau kesalkan
Jangan engkau tangiskan

( korus )
Pada mereka yang tak mengerti
Menuduh dirimu
Di jurang kesalahan saja
Ku tak sampai hati
Biarkan engkau sendiri

Tetapi diriku dan juga temanmu
Yang tahu kisah derita
Dan luka di dada, hanya kuharapkan
Kau harus bersabar
Dan bertenang selalu

( ulang dari korus )

Ini bukan lagu tu....


Ini gambar hiasan.

Tuesday, November 08, 2005

PANTAI OH PANTAI

PPIM (Persatuan Pengguna Islam Malaysia) dipetik sebagai melaporkan:

sebuah syarikat pengurusan hospital, Pantai Holdings Bhd. yang dimiliki oleh korporat bumiputera kemudian dipindah milik kepada bukan bumiputera dan seterusnya dikuasai oleh syarikat Singapura, Parkway Holdings.

``Parkway Holdings turut menguasai dua syarikat konsesi yang ditawarkan oleh kerajaan iaitu Pantai Medivest yang menjalankan perkhidmatan sokongan hospital dan Fomema (perkhidmatan pemeriksaan kesihatan pekerja-pekerja asing).

``Dari sinilah bermulanya sejarah hitam penyingkiran orang Melayu dalam kepentingan syarikat, pembangunan vendor, pengabaian tanggungjawab sosial dan kemungkinan berlaku penyebaran maklumat sulit negara sehingga boleh mengancam keselamatan,'' katanya kepada Utusan Malaysia hari ini.

Menurut Maamor, semua ketua pegawai eksekutif (CEO) bumiputera yang sebelum ini mentadbir hospital-hospital swasta milik Pantai Holdings telah diganti dengan CEO bukan bumiputera.

Perkara yang sama turut berlaku pada pembangunan vendor serta pembekal bumiputera yang telah diambil alih oleh bukan bumiputera.

``Bahkan, ada ura-ura untuk memasukkan sebuah lagi syarikat Singapura yang kononnya mempunyai kepakaran bersama pekerja-pekerjanya ke dalam dua konsesi berkenaan.

``Apa akan berlaku pada kepakaran yang telah dibina selama 12 tahun, perisian yang dibangunkan dan nasib 1,500 jurutera muda yang menjadi tonggak kepada pembangunan dua syarikat konsesi tersebut,'' tegasnya.

Tambah beliau, paling menakutkan ialah kemungkinan penyaluran maklumat sulit terutama data peribadi khususnya orang kenamaan yang boleh diguna pakai bagi memanipulasi keadaan yang boleh diperoleh melalui sistem di Pantai Medivest dan Fomema.

Malah, baru-baru ini, syarikat ini telah diberi konsesi bagi menjalankan projek Total Hospital Information System (THIS) bagi menguruskan data-data hospital serta pesakit di seluruh Malaysia.

``Pemindahan kawalan ekuiti yang memberi kuasa kepada Parkway Holdings untuk mengubah semua polisi Pantai Holdings akan menjadi ancaman kepada keselamatan dalam negara, khususnya apabila THIS mengandungi profil kesihatan ketua-ketua kerajaan Malaysia yang kini terdedah kepada negara luar,'' kata beliau.

Tambah Maamor, satu lagi kelebihan yang dikecapi oleh syarikat Singapura ialah laluan mudah untuk menembusi pasaran Timur Tengah.

``Jika dahulu ia begitu sukar tetapi dengan bertopengkan syarikat tempatan Malaysia, tembok itu dapat ditembusi dengan mudah,'' ujar beliau.

Beliau turut mencadangkan supaya satu badan berkecuali dan mempunyai kuasa untuk memantau semua pengambilalihan berkenaan diwujudkan.

Badan itu juga sewajarnya boleh mewajibkan semua syarikat

Dato' Mohzani Mahathir dipetik sebagai berkata:

beliau tidak terbabit dalam penjualan 31 peratus kepentingan Pantai Holdings Berhad (Pantai Holdings) kepada syarikat Singapura, Parkway Holdings Ltd. (Parkway).

Katanya, sejak 2001, beliau telah menjual sebahagian kepentingannya dalam Pantai Holdings kepada Ketua Eksekutif Kumpulan Pantai, Lim Tong Yong.

Seorang penganalisis berkata:

- Syarikat Singapura cuma beli 31%, bukankah 69% lagi pegangan rakyat Malaysia?. Tak ada isu.
- Syarikat Singapura itu bodohlah kalau pecat CEO Melayu yang bagus dan gantikan dengan CEO Cina atau India dan buang vendor bumiputera yang bagus dan gantikan dengan vendor non-bumi yang tak bagus
-Syarikat ini akan lebih bagus, lebih cekap dan mungkin boleh kurangkan kos perubatan dan lebih ramai orang Malaysia (termasuk orang Islam) mampu mendapatkan rawatan di hospital Pantai.

Tukang karut kata:
- Hangpa pikiaqlah sendiri
- Apa dok susah-susah, jangan pergi Pantai, Tawakal sajalah....

Monday, November 07, 2005

BERBALAH UNTUK RAYA

Perbalahan suami isteri balik kampung meningkat


KUALA LUMPUR: Pertengkaran dan perselisihan faham suami isteri mengenai `balik kampung di rumah siapa’ mungkin dianggap remeh bagi sesetengah pihak, tetapi isu itu menyebabkan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) terpaksa menangani dengan bijak agar tidak berakhir dengan perceraian.


Isu balik kampung di rumah ibu sendiri atau mentua yang dirujuk kepada Jawi meningkat sekali ganda setiap kali selepas cuti Aidilfitri. Yang menyedihkan sesetengah kes seperti itu terpaksa dibawa ke Mahkamah Syariah.

Pengarah Jawi, Che Mat Che Ali (gambar), berkata pada waktu biasa, kes perselisihan rumah tangga yang dirujuk kepada Jawi untuk sesi kaunseling kira-kira 20 kes sehari, tapi angka itu meningkat sekali ganda kepada 40 kes sehari pada musim Aidilfitri.

“Sepatutnya persoalan ini dapat diselesaikan dengan tolak ansur, tetapi apabila isteri atau suami berkeras mahu pulang ke kampung masing-masing setiap tahun, perkara kecil ini menjadi besar.

“Memang benar ada kes perselisihan yang dianggap sebagai retak menanti belah, tetapi perasaan tidak puas hati, merajuk dan geram tetap wujud dan boleh menjadi pencetus perbalahan,” katanya kepada Berita Minggu.

Che Mat berkata, masalah itu sudah lama berlaku dan ketika Allahyarham Sulaiman Endut menjawat jawatan Ketua Penolong Pengarah Bahagian Kekeluargaan Jawi, beliau membangkitkan isu ini.

Bagaimanapun, katanya masalah itu terus berlaku hingga beliau berasakan isu ini perlu diketengahkan untuk perhatian masyarakat.

Katanya, kebanyakan perselisihan ini membabitkan kes suami isteri berasal dari kampung yang terletak terlalu jauh seperti satu di utara dan satu di selatan.

Beliau berkata, pasangan terbabit secara sukarela datang untuk mengikuti sesi kaunseling, tetapi ada juga kes yang gagal diselesaikan terpaksa terpaksa dirujuk kepada Mahkamah Syariah.

“Ini biasanya membabitkan kes pasangan yang bertengkar hingga mengeluarkan perkataan yang membawa maksud kepada perceraian,” katanya.


Mengapa orang Cina tak berbalah (tidak diceritakan) untuk balik raya?
- Memang sudah menjadi tradisi orang Cina turun temurun beraya di rumah keluarga lelaki, malahan nama juga ditukar kepada nama keluarga lelaki. Apa lagi nak berbalah.

Mengapa orang Arab tidak berbalah nak balik raya? (atau tidak diceritakan berbalah)
- Sebabnya sama seperti di atas.

Jadi yang berbalah tu sebab apa?
A - Hasutan mertua/sedara-mara
B - Memang jenis degil, suka berbalah
C - Tak nak ikut hukum, tapi ikut kepala hotak sendiri
D - Tak berbalah, tak fun ler raya.