Labels

Thursday, September 04, 2003

Kandungan Tempatan

Kandungan Tempatan (Local Content)

Mengikut beberapa orang pakat, kandungan tempatan adalah merupakan agenda penting negara di masa hadapan. Tujuan utamanya ialah supaya pengaliran wang ke luar negara dapat dihadkan. Pada masa ini dimaklumkan bahawa ISP kita sentiasa terpaksa menaiktaraf talian antarabangsa kerana kesesakan trafik keluar dari negara. Dengan memperbanyakkan kandungan tempatan, katanya akan mengurangkan kebergantungan kepada negara luar dan secara langsung naiktaraf talian tidak diperlukan sangat dan sudah tentu pengaliran wang keluar dapat dibendung.

Saya kurang setuju dengan kenyataan bahawa dengan meningkatkan kandungan tempatan maka pengaliran wang keluar dapat dihadkan. Pada saya kandungan tempatan tidak memberikan apa-apa pemberat, tetapi sebaliknya hosting adalah puncanya. Kita telah ada kandungan tempatan, misalnya laman web peribadi, blog dan sebagainya. Akan tetapi pada jangkaan saya 99% daripada laman ini ditempatkan di luar negara. Jadi walaupun kita ingin membaca sebuah laman dalam bahasa sendiri yang dikarang oleh anak Malaysia, namun kita terpaksa pergi keluar negara. Inilah yang membawa kepada pengaliran keluar bandwidth bagi pendapat saya. Mengapa perkara ini berlaku?. Banyak sebabnya….

Untuk menggalakkan rakyat Malaysia menghasilkan kandungan tempatan, sedikit galakan dan isentif perlulah diberikan. Di Malaysia, di mana boleh kita dapat ruang web secara percuma?. Jika nak e-mel kena bayar, talian kena bayar, ruangan kena, pendikkata semuanya kena bayar, masakan rakyat biasa tidak mahu jika ada yang diberikan secara percuma?. Jadi ramai yang menggunakan perkhidmatan yang percuma. Siapa yang rugi?. Rakyat miskin masih dapat laman web percuma, pengunjung masih boleh mengunjunginya (dengan bayaran yuran laluan dan talian yang sama mahal jika ditempatkan dalam negeri) dan ISP perlu bayar kos talian keluar negara. Ini adalah adil kerana duit ISP memang tak luakpun sebab tidak ada apa yang diberikan secara percuma. Malahan ruang web yang dijual adalah jauh lebih mahal berbanding dengan tempat lain.

Kemudian untuk mendapatkan domain sendiri dalam negara, bukanlah mudah. Jika .com.my atau .org.my maka kita kena sediakan surat daftar dari ROS atau ROC/ROB. Jika .gov.my, .edu.my, .mil.my lagilah susah. Perkara ini dapat dilakukan di luar negeri dengan begitu mudah dan lebih murah. Jadi kita ada pilihan!.

Untuk nama individu pula, khabarnya kita dah boleh daftar .name.my, tetapi ia perlulah seperti dalam kad pengenalan (?). Maknanya kalau nama anda “hodoh”, maka anda tak boleh daftar domain sebagai “comel.name.my”. Anda juga tak boleh daftarkan domain untuk kucing atau anjing kesayangan anda sebab surat beranak mereka tu tak ada nama (agaknya). Begitu juga kalau anda ingin daftarkan domain atas nama PDA, atau motosikal atau kampung halaman anda, ia memang tidak boleh didaftarkan di Malaysia, jadi kita daftarkan sajalah di luar negara. Mereka dapat duit dan kita dapat domain. Penjaga domain negara kita yang tak dapat duit dan tak dapat susah J.

Mengapa agaknya susah sangat nak daftar domain dalam negara?. Mungkin penjaga domain nak kenal dengan kita semua, nak personalise. Tapi awas…. Jika anda terlambat bayar yuran (biasanya RM100 berbanding dengan RM60 jika daftar di luar negara), domain anda akan dipotong begitu saja. Tak kiralah siapa anda!.

Dipendikkan cerita, kita sudah ada kandungan tempatan walaupun tidak sehebat google, kita ada cari. Tidak sehebat hotmail, kita ada waumail (dah mati?). Walau bagaimanapun dalam semangan Malaysia Boleh, pihak berwajib sepatutnya membeli ruang web untuk menempatkan (hosting) kandungan penting dan ternama di dunia di sini. Barulah kita tidak perlu keluar negara, sebaliknya orang luar akan ke negara kita untuk melayari Internet.

No comments: