Labels

Saturday, October 31, 2009

BLACKBERRY AKHIRNYA



AKHIRNYA saya membeli sebuah Blackberry Bold setelah beberapa bulan menggunakan iPhone 3G dan tidak begitu lama menggunakan Nokia E71.

Pemilihan Blackberry adalah kerana keperluan untuk membaca e-mel yang mendesak. Saya lihat jadual kerja terlalu padat, berada di pejabat sekadar transit sahaja. Selebihnya dalam bilik mesyuarat.

Tidak ada cacat celanya pada iPhone. Namun jika dalam keadaan 'cemas' begini, menaip dalam iPhone memang terkial-kial. Tidak akan sempurna jadinya. E71 pula tidak mampu menggalas beban e-mel yang banyak. Tindakbalasnya menjadi sangat perlahan.

Walaupun iPhone dan E71 ini mampu melaksanakan tugas pushmail seperti Blackberry juga, namun ia tidak sama. BB jauh lebih cekap melakukan tugasan ini.


Oh ya, Blackberry juga adalah buah-buahan yang tidak semestinya hitam ...

Thursday, October 29, 2009

INTAI KAMI ANTARA NAMPAK



Tuai padi antara masak
Esok jangan layu-layuan
Intai kami antara nampak
Esok jangan rindu-rinduan

Batang selasih permainan budak
Daun selasih dimakan kuda
bercerai kasih bertalak tidak
seribu tahun kembali juga

Anak Cina memasang lukah
lukah dipasang di Tanjung Jati
di dalam hati tidak kulupa
bagaikan rambut bersimpul mati

Kalau tuan mudik ke hulu
Belikan saya bunga kemboja
kalau tuan mati dahulu
nantikan saya dipintu syurga

Wednesday, October 28, 2009

MAAF TETAPI TIDAK LUPA


ADAT orang kita ialah bermaaf-maafan secara berkala. Memohon dan memberi maaf khususnya pada hari raya ataupun ketika-ketika tertentu sahaja. Misalnya orang minta maaf sebelum dia pergi mengerjakan haji, berjalan jauh, sedang sakit dan yang seumpama dengannya.

Sungguhpun begitu, sebaik-baik bermaafan ialah memberi maaf pada setiap hari. Sebagai manusia biasa, lumrahnya kita boleh memafkan tetapi tidak boleh melupakan, walaupun dicuba untuk melupakannnya. Orang putih kata 'forgive but not forget'.

Adakah kemaafan sebegini adalah sebenar-benar maaf?.

Saturday, October 24, 2009

PENAT KURSUS


penyelaras dari Singapura


assignments


Kursus telah tamat
Tugasan pula menunggu
Belum hilang penat
Keluar pula memburu

Thursday, October 22, 2009

SUSAH-SIHAT DAN SENANG-SAKIT



tanya: Bagaimana tuan datang ke kursus ini?

jawab: naik komuter dan LRT

tanya: dari rumah ke komuter dan dari lrt ke tempat kursus?

jawab: jalan kaki

tanya: tuan mesti seorang yang sihat. Saya berkereta ke rumah tuanpun mengah, inikan pula berjalan kaki.

jawab: saya sudah biasa berjalan. sejak kecil lagi. Bukan sebab sihat atau tidak. Saya orang susah. Hanya ada sepasang kaki sahaja. Tidak ada tongkat. Tidak ada sepatu selain sepasang untuk ke sekolah. Saya jalan kaki ke sekolah sebab tidak ada basikal dan kenderaan lain juga tidak ada. Semua kami gunakan kaki sahaja. sudah biasa.

tanya: Sekarang tuan sudah senang. Kalau iapun nak naik komuter, teksi banyak untuk hantar tuan ke rumah.

jawab: Jika sangat perlu bolehlah saya gunakan teksi.

tanya: adakah apabila hujan?

jawab: saya ada bawa payung

tanya: ah... tuan ini sangat kedekut!

jawab: saya sudah biasa susah, payah bagi saya untuk menjadi manja.

tanya: bagaimana tuan boleh terapkan kebiasaan ini kepada anak-anak tuan?

jawab: sangat susah dan saya gagal.

Tuesday, October 20, 2009

KOLAM GENTIAN KACA



Di halaman hadapan dan di belakang rumah saya dibina takungan air yang besar lagi dalam. Ramai orang tertanya-tanya akan kegunaannya. Adakah ia memang peraturan yang perlu dibuat ataupun sengaja dilakukan. Berdasarkan kepada bentuk dan saiznya, nampaknya ia adalah suatu keperluan. Bukan senang dan murah untuk mengorek kolam sebesar itu. Staf dari Bahagian Kejuruteraan Majlis Daerah memberi tahu, takungan air tersebut perlu supaya air hujan 'diharmonikan' terlebih dahulu sebelum ia dilepaskan ke longkang. Tanpa takungan air tersebut, semua air hujan akan terus ke longkang dan ia mungkin akan menghasilkan banjir kilat.

Sudah agak lama saya berfikir untukmelakukan sesuatu terhadap takungan air ini. Kini dengan seriusnya saya bercadang untuk membeli kolam gentian kaca (fibreglass pond) untuk dimasukkan dalam takungan air tersebut. Di bawahnya boleh diletakkan batu alas yang besar yang membolehkan air hujan melaluinya secara harmoni. Kolam ini bolehlah dihiaskan dengan water features untuk mencantikkannya. Kena dengan kayu rel keretapi, tentu lagi cun kelihatannya.

Di mana ada dijual pond gentian kaca berukuran 80cm X 140cm dengan kedalaman 140cm?. Barangkali rakan-rakan FB boleh membantu.

Terima kasih.

Monday, October 19, 2009

CEK ROYALTI PERTAMA




peringatan untuk berzakat



BUKU saya dengan PTS diterbitkan pada bulan April 2008. Ia itu sempena dengan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL). Buku kedua terbit setahun kemudian, juga sempena dengan PBAKL. Saya berdoa semoga buku ketiga juga akan diterbitkan sempena dengan PBAKL yang akan datang. Mudah-mudahan dimakbulkan. Jika setahun sebuah buku saya dapat diterbitkan, sebelum bersara, dapatlah saya melihat sepuluh (10) buah buku di pasaran.

Walaupun saya berupaya menulis beberapa buku setahun, namun saya tidak berharap sangat ianya akan diterbitkan kesemuanya sekali. Penulis perlulah menerima hakikat dan realiti. Setakat ini dua buah manuskrip yang 100% siap telah dipulangkan. Satu ditolak di peringkat proposal lagi walaupun ia telah disiapkan sementara menunggu keputusan. Satu lagi sedang berada di tangan editor. Manuskrip inilah yang diharap untuk diterbitkan pada tahun 2010. Selebihnya masih saya simpan dan tidak disuakan ke mana-mana.

Kini saya sedang menulis novel ALING.

Petang tadi, sesampainya di rumah terdapat sepucuk surat dalam peti surat. Tidak lain tidak bukan, ia adalah sekeping cek royalti buku pertama terbitan 2008. Lumayan juga. Penat menapak menaiki bukit dari stesen komuter ke rumah tiba-tiba hilang lesap melihat cek, membaca surat dan membelek peringatan berzakat. Ia adalah cek royalti pertama. setakat ini masih belum punya apa-apa rancangan lagi. Banyak perkara yang boleh dibuat dengan wang royalti tersebut.

Walaupun cek tersebut adalah merupakan bayaran royalti saya yang pertama, ia tidak bermakna buku tersebut adalah yang pertama diterbitkan. Beberapa tahun yang lepas, sebuah buku saya (karangan bersama) telah diterbitkan (oleh penerbit lain). Khabarnya puluh-puluh ribu naskah telah terjual. Namun para penulisnya hanya dapat telah air liur sahaja. Itu adalah sebahagian daripada realiti yang perlu dilalui dalam kehidupan. Ia dapat mematangkan kita.

Sunday, October 18, 2009

SAYA DITUDUH PERKAUMAN







Ini adalah foto kursus...
Pensyarah Mat Salleh daripada UK. Peserta 26 orang yang terdiri daripada 4 Malaysia, 1 pakistan dan selebihnya Afrika, ia itu 2 Ghana dan selebihnya Nigeria.

Sebelum saya ditawarkan kursus ini, pihak penganjur telah berikan amaran. Majoriti peserta kursus adalah dari Afrika. Orang Asia tidak ramai. Laporan yang kami terima dari UK menunjukkan anda bersikap benci, tidak suka, tidak selesa dan anti orang Afrika. Sekiranya anda boleh menrima mereka, anda akan diterima untuk menghadiri kursus ini.

Masyaallah! .... bagaimanakah Mat Salleh UK membuat penilaian?. Dalam kelas saya yang lepas, cuma 5 peserta, kesemuanya dari Afrika dan saya. Ke sana ke mari saya bersama mereka. Adakah saya perlu memeluk mereka sentiasa untuk menunjukkan kemesraan saya?. Pergi parti mereka?. Minum apa yang mereka minum?. Alamak...

Budaya mereka ini jenis yang kuat dan suka bertengkar. Dalam kelas, setiap kali ada perbincangan kumpulan, kerja mereka adalah bertengkar. Perlukah saya turut serta dalam pertengkaran bodoh begini?. Oh tidak ...

Saturday, October 17, 2009

KRA - Key Results Area

Program 1-Malaysia: Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan telah memilih 6 KRA (National Key Result Areas):


1. Mengurangkan Jenayah (Reducing crime)

2. Membuka peluang terhadap pendidikan berkualiti dan dalam kemampuan (Widening access to quality and affordable education)

3. Meningkatkan prasarana di luar bandar (Improving infrastructure in rural areas)

4. Menaikkan standard kehidupan bagi yang pendapatan isi rumah yang rendah (Raising living standards of low income households)

5. Memerangi rasuah (Fighting corruption)

6. Memperbaiki pengangkutan awam dalam bandar (Improving urban public transport) (medium term)

Saya suka dan menunggu KRA yang ke-6. Bilalah pengangkutan awam, khususnya KTM Komuter akan menjadi lebih berkesan dan cekap ...

Friday, October 16, 2009

BISNES MENIPU


DALAM dunia mateliatistik sekarang, banyak sangat orang buat bisnes tetapi bagaikan menipu. Bisnes sepatutnya membantu orang lain. Bisnes adalah fardu kifayah. Namun bisnes yang membantu orang lain yang tidak menipu boleh dibilang dengan jari sahaja.

Saya ambil satu contoh. Kos barangan dan perkhidmatan adalah RM50. Seorang usahawan menjualnya dengan harga RM100. Seorang penjual lain pula menjualnya dengan harga RM400. Barang dan perkhidmatan yang sama dijual dengan harga yang berlainan dan berlipat kali ganda. Adakah perkara sebegini tidak dikategorikan sebagai menipu?. Barangkali ada yang menjawab, dalam bisnes asalkan ada persetujuan di antara penjual dan pembeli maka ia adalah halal dan tidak menipu. Terpulanglah.

Saya ingin membawa pembaca kepada satu iklan buat laman web cara mudah. Iklan ini banyak sekali tersebar di merata-rata, khususnya di faceBook. Dengan membayar RM35 sebulan (RM420 setahun) anda berpeluang mendapat duit sehingga USD17,000. Caranya begini....

1. Wang RM420.00 anda bayar dan anda diberi satu domain (nama laman web anda) dan webhosting (tempat dalam server untuk meletakkan bahan laman anda).

2. Anda mesti mencari (baca menipu) orang lain untuk membeli laman web juga dengan harga RM420 setahun dan anda akan dapat 10% daripada harganya, ia itu RM42.

3. Anda carilah seberapa banyak orang untuk membeli domain dan webhosting ini dan ada akan dapat 10% daripada bayarannya.

Sebenarnya RM420 setahun yang anda bayar adalah terlalu tinggi untuk memberolehi domain dan webhosting. Harga pasaran tidak melebihi RM100, iaiatu RM48 untuk domain dan RM50 untuk webhosting. Di sinilah penipuannya. Laman web anda tidak mempunyai apa-apa makna. Anda tidak perlu kemaskinipun dan anda hanya cari orang lain untuk membeli (yang palsu) dan anda dapat 10%. Itu sahaja.

Nota: Jika anda benar-benar mahu memiliki laman web dengan domain sendiri, sayapun boleh berikan kepada anda dengan harga RM100 sahaja setahun. Mengapa perlu bayar RM420 dan anda tidak dapat apa-apa kecuali mengharakan 10% daripadanya sahaja.

Thursday, October 15, 2009

PENGAKUAN BERTERUS TERANG


AWAL minggu ini saya hadir ke satu persidangan. Seperti biasalah, apabila ke persidangan atau seminar ia adalah dalam nisbah 50:50. 50% mendengar kertas yang dibentangkan dan 50% lagi bertemu kawan-kawan yang sudah sekian lama tidak ketemu. Bertanya khabar dan ber-networking.

Soalan cepumas setiap bertemu kawan-kawan lama ialah siapa di mana dan naik pangkat dan tukar-pindah tempat kerja. Barangkali objektif utama orang yang kerja makan gaji ialah untuk naik pangkat, bukannya untuk buat kerja yang diamanahkan. Rata-rata akan komplen banyak kerja, tidak naik pangkat, tidak ada peluang kerjaya dan yang setaraf dengannya.

Bagaimana dengan saya?. Pengakuan berterus terang saya ialah, saya berpuas hati dengan keadaan sekarang. Siapa yang tidak mahu pangkat tinggi? Namun pangkat tinggi bermakna amanah yang juga sangat tinggi.

Adakah saya selesa apabila junior saya naik pangkat?
Jika mereka layak apa salahnya junior?. Kita pandang kualiti bukannya senioriti. Jika anak-buah saya berjaya dan naik pangkat,itu bermakna saya juga ada saham sedikit sebanyak. Saya cukup tidak faham dengan sikap sesetengah orang yang main tarik tali dengan staf sendiri. Jika kamu berjaya, maknanya aku tewas.

Wednesday, October 14, 2009

AKIBAT BERTERUS TERANG


KADANG-kala berterus terang ini merbahaya. Maknanya jika kita tidak bersetuju, kita diasuh supaya berdiam diri sahaja. "Diam tanda setuju". Apatah lagi jika kita tidak bersetuju dengan guru ataupun orang yang mengajar kita. Itu dulu ...

Bulan Julai yang lepas saya dihantar ke United Kingdom untuk menghadiri kursus Pengurusan Sumber Manusia (PSM). Ilmu PSM begini banyak boleh diperolehi dalam negara kita sendiri. Sungguhpun begitu saya dihantar ke UK atas sebab-sebab lain. Barangkali sebagai hadiah kerana telah sangat lama setia menjadi pekerja (yang setia dan cemerlang. ha ha ha).

Semasa berkursus, saya banyak menyanggah pendapat guru. Saya tidak bersetuju dengan hampir keseluruhan perjalanan kursus. Saya menyuarakan pendapat saya dengan lantang, jelas dan tidak berselindung. Seluruh organisasi yang sudah 175 tahun itu tahu ketidakpuasan hati saya. Orang besar daripada London turun ke Worthing untuk bertemu dan berbincang serta meminta ulasan saya. Saya berikan sebab-sebab tidak puas hati dan beberapa cadangan penambahbaikan. Nampaknya mereka terima alasan dan cadangan yang dikemukakan. Habis di situ.

Beberapa hari selepas saya pulang, satu e-mel menyusul dan memaklumkan tentang tindakan yang telah diambil terhadap cadangan saya. Ia itu kursus tersebut telah ditiadakan. Sebagai tanda terima kasih, mereka menawarkan saya satu kursus percuma selama 2 minggu (8 hari sebenarnya)yang sama nilai harganya dengan kursus yang terdahulu, iaitu UKP1,700.

Ya .... sekarang saya sedang berkursus "certified management skills" daripada Institute of Leadership and Management, UK. Oh ya .... kursus diadakan di Malaysia yang disertai oleh para peserta antarabangsa.

Wednesday, October 07, 2009

HIDUP DALAM KOLAM

Di musim perayaan Depavali ini, perkataan kolam mungkin menjadi popular. Kolam itu bermaksud lukisan hiasan berwarna daripada beras (?) yang menghiasi lantai. Namun kolam dalam satu lagi sudut amat digeruni. Kolam ini lebih dikenali sebagai 'pool'


Saya ditempatkan di dalam "Jawatan latihan" ataupun lebih dikenali sebagai pool di JPA lebih daripada tiga bulan. Ini adalah sebaik sahaja saya pulang daripada UK setelah menamatkan ijazah sarjana. Kehidupan dalam pool ini mempunyai keistimewaannya yang tersendiri. Hanya orang-orang istimewa sahaja yang dijemput untuk bekerja dalam pool.

Di antara kategorinya ialah mereka yang menunggu penempatan kerana pulang daripada cuti belajar, cuti kerana mengikut pasangan belajar atau penempatan di luar negara atau menunggu sesuatu penempatan tertentu. Biasanya mereka tinggal dalam pool tidak lama. Sekadar untuk menunggu satu dua mesyuarat dan surat penempatan ditandatangani sahaja.

Kategori lain ialah orang yang mempunyai masalah. Umpamanya masalah kesihatan yang dikatakan sihat oleh pakar perubatan. Biasanya mereka tidak diterima di tempat kerja dan pakar perubatan juga tidak mengiktiraf mereka adalah sakit.

Masalah lain adalah kerana disiplin atau melanggar undang-undang. Mereka diletakkan dalam pool menunggu pertuduhan atau hukuman dijatuhkan. Dipendekkan cerita, memang banyak sekali orang istimewa yang diletakkan dalam pool ini.

[cabutan ringkas daripada Aling]

KEHABISAN STOK

Maklumat daripada Kedai Buku Online PTS menunjukkan bahawa buku karangan saya "Buat Duit Dengan Foto" telah kehabisan stok.


Buku ini diterbitkan 1 April dan ia mengambil masa enam (6) bulan untuk dijual habis.
Berdasarkan ketegori PTS, buku ini adalah dalam kelas buku tidak laku kerana mengambil masa melebihi 3 bulan untuk habis. Namun bersyukur kerana buku ini pernah menduduki tempat ke-9 dalam carta 20 best sellers MPH. (Barangkali kerana stok sudah habis maka ia terkeluar daripada carta).

Kini saya cuma menunggu, bila agaknya ia akan diulang cetak.


p.s Jika ada yang ingin memilikinya, bolehlah buat pesanan terus dari saya.

Tuesday, October 06, 2009

SOALAN BODOH



Saya ada satu soalan bodoh:
Kalaulah ada seorang rakyat Malaysia dapat cek seperti di atas, bagaimanakah caranya cek ini dapat ditukar menjadi duit yang laku?.