Labels

Friday, December 31, 2004

TAWAR MENAWAR




kebaya batik
merah kuning dan biru
pitis beribu


SEMASA menemani isteri membeli belah di Pasar Kedai Payang, teringat saya kepada cikgu Colin. Apa tidaknya, sebagai orang Melayu di negara sendiri dan bercakap dalam sleng tempatanpun masih terasa diri tertipu apabila membeli. Baju batik serupa yang dibeli setelah jenuh ditawar rupa-rupanya diletakkan harga yang jauh lebih murah di kedai sebelah. itupun ia bukanlah harga mati dan masih boleh ditawar.

Kembali kepada cikgu Colin, beliau berasal dari USA dan mengajar subjek biologi di Sekolah Menengah Sains, Gong Badak, Kuala Terengganu. (Sekarang SESMA - Sekolah Sains Sultan Mahmud). Pada masa itu, di tahun 70an gula dijual kati dan beras disukat cupak dan gantang. Cikgu Colin rasa dirinya sentiasa ditipu apabila membeli apa sahaja termasuk bahan-bahan dapur begini. Kami murid-muridnya menyuruhnya menawar bagi setiap barang yang ingin dibelinya. Buat-buat tak mahu dan keluar dari kedai itu jika pekedai tidak memberikan harga yang ditawar. Kesian kat cikgu Colin, yang terpaksa menjadi sukarelawan dan mengajar kami kerana beliau enggan menjadi tentera kerahan tenaga di Vietnam. Usaha beliau menawar tidak pernah berhasil. "Saya orang putih, orang Melayu benci sama orang putih, mereka suka tipu orang putih. Tapi tipu ini berdosa, nanti boleh masuk neraka". Itulah antara kata-katanya yang masih saya ingat. Pada masa itu kami cuma gelakkan dia sahaja. Masakan orang Islam yang sembahyang boleh masuk neraka kerana tipu orang kafir yang tidak sembahyang. Itulah pegangan kami budak-budak. Namun perbuatan 'tipu' dalam jual beli ini begitu menjadi-jadi. Ia telah sebati dengan peniaga. Walau bagaimanapun peniaga Melayu cukup takut untuk menipu sukatan dan timbangan. Barangkali kerana terdapat ayat dalam kitab yang secara terang melarangnya.

Begitu juga halnya dengan peniaga Arab di Mekah. Walaupun kebanyakan mereka boleh berbahasa Melayu, namun harga yang ditawar dalam bahasa Arab adalah lebih murah dari harga yang ditawar dalam bahasa Melayu.

Adakah menjual harga berbeza kepada orang yang berlainan ini tidak dinamakan menipu?. Aku menjual, jika dia mahu beli, kita adakan aqad dan sahlah jual beli itu. Apa pulak dosanya?. Dari sudut lain pula, ada kalanya pembeli terpaksa membeli kerana ia suatu keperluan, suatu kewajipan. Jika barang keperluanpun boleh dijual dengan harga yang berbeza-beza mengikut kasta, bahasa adakah ia bukannya menipu?. Bukankah peniaga yang "jujur" adalah bakal penghuni syurga?. Jika dijual berbeza harga kerana pembeli lebih pandai menawar, mungkin ada juga munasabahnya. Wallahualam.

- dari Treo600.

Thursday, December 30, 2004

MASIH BERCUTI

MASIH bercuti.
Hanya boleh menghantar entri tanpa boleh membacanya.

Hujan renyai-renyai
Matahari masih segan menunjukkan diri
Langit mendung
Awan kelabu
Tsunami masih bersisa.

dari Treo600



Tuesday, December 28, 2004

CUTI DILULUSKAN

SAYA sedang bercuti di Terengganu. Sedang berada di Kedai Payang. Sambil lihat-lihat kain batik. Nampaknya harga sehelai baju batik di sini sudah menjangkau ratusan ringgit. Jika bawa RM100 rasanya akan pulang dengan tangan kosong sahaja.

Batik Terengganu @ Malaysia sudah naik harga sebab banyak permintaan. Setipa Sabtu kerja. Batik Malaysia juga mahal kerana material yang diimport, iaitu kainnya.

Batik Malaysia juga mahal kerana designnya telah berubah. Jika kita baju batik Indonesia, sejak azali lagi materialnya dan designnya sama sahaja. Harga juga tidak banyak berubah. Ia adalah identiti batik Indonesia.

Kini di sini muncul pula batik Siam. Design menarik dan harganya amat murah. Begitu juga dengan songket Siam.

MBA pulang dengan 4 helai batik RM100 :-)

Monday, December 27, 2004

WEBLOG: PENULIS JUGA ADALAH PEMBACA

MBA - Suara Hati

DALAM menulis blog, saya juga adalah pembaca setia blog, terutamanya blog kawan-kawan, samada yang dikenali ataupun tidak dikenali. Sebagai pembaca, kadang kala saya merasa kecewa apabila semasa saya mempunyai kelapangan untuk membaca, blog yang dicapai masih belum dikemaskini. Bila saya sibuk pula, beberapa siri entri baru telah dimasukkan. Sebagai penulis pula, saya menulis bila saya ada masa, bila saya ada bahan. Tidak kiralah bila berkelapangan itu waktu malam, dinihari, pagi mahupun petang. Ini sudah tentu tidak bertepatan pula dengan masa lapang pembaca. Saya rasa perkara ini adalah menjadi lumrah bagi weblog.

Sehubungan dengan itu saya fikir, sesuatu alternatif lain perlu dicari untuk mendekatkan di antara penulis dan pembaca. Tidak semua pembaca mempunyai kelapangan semasa kelapangan penulis. Ada pembaca yang hanya mempunyai kelapangan di rumah sahaja. Ada yang hanya mempunyai kemudahan internet di pejabat sahaja. Ada pembaca yang kerap ke luar stesen dan tidak mempunyai kemudahan internet. Ada juga pembaca yang kemudahan internetnya terhad dan akses foto yang besar adalah membebankan.

Kemungkinan besar kemudahan PDA atau handphone boleh dijadikan satu alternatif untuk menghantarkan maklumat mengenai blog. Siapa tahu?. Sekarang sudah ada teknologi XML dan RSS yang membolehkan maklumat dihantar terus kepada pembaca. Beberapa pembaca bertaraf sifu seperti MD mungkin boleh membantu...

Buat sementara waktu, anda yang mempunyai laman atau blog sendiri boleh membuat link kepada laman saya untuk menentukan samada saya sudah mengemaskini blog ataupun kandungannya masih lagi yang lama. Link akan muncul seperti banner di atas.

Kod yang perlu dimasukkan adalah seperti berikut [sila gantikan ( dengan < dan ) dengan > :-

(a href="http://mba2u.blogspot.com")(img src="http://feeds.feedburner.com/mba2u.gif" height="67" width="200" style="border:0" alt="MBA - Suara Hati"/)(/a)

Sunday, December 26, 2004

KEDAI MAMAK


HARI Ahad begini, ramai di kalangan kita bermalas-malas untuk bangun pagi. Apatah lagi untuk joging dan beriadah. Untuk ke dapur membuat sarapan juga terasakan liat. Jalan ringkas ialah bersarapan di kedai mamak.

Kedai mamak ni sudah wujud di negara kita semenjak puluhan tahun dulu, mungkin sebelum merdeka lagi. Kewujudan kedai mamak bukan sahaja di Malaysia, malahan di seluruh dunia. Operasi kedai mamak biasanya sama sahaja (seperti yang [pernah didengari). Arwah ayah saya dulu kata, mamak tidak pernah basuh kuali/periuk gulai mereka dari hari pertama berniaga hinggalah ia bangkrap (teramat jarang kedai mamak yang tutup kerana bangkrap). Kuah gulai asyik ditambah dari hari ke hari yang menjadikannya semakin laris. Tadak basuh ma!. Ini cerita ayah saya puluhan tahun lalu.

Kini (dan selamanya?) pelbagai cerita boleh didengar fasal kedai mamak. Ada yang kata jumpa seluar dalam dalam kawah, ada yang kata ada najis manusia dalam kari ada yang kata alahai... macam-macam ada. Ada juga mandram dok pusing-pusing nak melariskan kedai.

Kalaulah benar semua (atau sebahagian) cerita-cerita ini, alahai serammmmmm dan tobat tak nak ke kedai mamak lagi.

Anda ada pengalaman kedai mamak?

Saturday, December 25, 2004

ATAS KRISMAS BAWAH RAYA: APAKAH DIA?



PAGI ini kami mengadakan kelas masakan Jepun. Kelas diselenggarakan oleh isteri pegawai-pegawai JICA dalam bahasa Jepun dan diterjemahkan ke bahasa Inggeris oleh penterjemah. Begitu meriah, begitu gumbira, begitu menyelerakan.

Cuma sambil makan-makan hasil masakan dan demonstrasi tersebut, timbul satu teka-teki. "Atas Krismas, bawah Raya" Apakah dia?. Foto di atas adalah jawapannya :-)

Foto-foto lain boleh dilihat di jica fotopages

Friday, December 24, 2004

AKU VERSI ENGLISH, JAWA & BELANDA



Versi English
If my time should come
I'd like no one to entice me
Not even you

No need for those sobs and cries

I am but a wild animal
Cut from its kind

Though bullets should pierce my skin
I shall still strike and march forth

Wounds and poison shall I take aflee
Aflee
'Til the pain and pang should dissapear

And I should care even less

I want to live for another thousand years

(vert. Urip Hudiono

Versi Jawa:
angger sampe wayahe
nyong mok wong siji pun taren
riko yo ojo
orak payah getar getor
aku ni carane koyo binatang
seko kumpulanne sing keguang
embok peluru nyisip kulitte
aku yo isek kenenag nendangi
ngasek mentu getih yo isek iso tak pelayoni
melayu
ngasek ilang perine
aku meneh orak gelem nyampur
aku arep idup sewu taun maneh
by mysery

Versi Belanda:
Als mijn tijd gekomen is
wil ik van niemand rouw
Ook niet van jou

Niks geen gesnik en gesnotter

Ik ben een eenling geworden
Uitgestoten uit de horde

Laat kogels mijn huid doorboren
Ik blijf tekeergaan en schoppen

Wonden en gif voer ik mee op mijn vlucht
Vlucht
Tot de schrijnende pijn zal verdwijnen

En ik zal er nog minder om geven

Ik wil nog duizend jaar leven

(vert.A. Teeuw
Uit: Ik wil nog duizend jaar leven
Uitgeverij Meulenhoff Amsterdam 1979)

Thursday, December 23, 2004

TUNJUK PUSAT: FESYEN BARU


SAYA tetarik dengan sebuah berita yang menyetakan Presiden Indonesia menyelar rakyatnya yang berpakaian tidak senonoh, Ia itu berpakaian dengan fesyen menunjukkan perut. Indonesia, sebagai sebuah negara Islam terbesar di dunia tidak sepatutnya mempunyai rakyat yang berperangai sedemikian. Banyak lagi kecantikan lain yang boleh diperagakan, ujar beliau. Beliau juga menyelar TV Republik itu yang banyak sekali menyiarkan program-program tidak senonoh, terutamanya yang menunjukkan kaum perempuan yang berfesyen menunjukkan perut ini...

Yang menariknya ialah, kita tidak pernah dengar pula teguran atau apa-apa ulasan daripada orang-orang besar kita, walaupun fesyen di Malaysia bukan lagi tujuk perut, malahan tunjuk pusat...

Wednesday, December 22, 2004

PUTUS TUNANG: WAJAR SAMAN?




cincin di jari
SMS di telefon
pemutus tunang

BERITA yang jarang-jarang kita dengar, tetapi agak hangat pada masa ini ialah mengenai seorang bakal pengantin perempuan duduk seorang di pelamin kerana tunangnya tidak hadir di majlis perkahwinan mereka. Pertunangan diputuskan hanya melalui SMS sahaja.

Berita begini jarang keluar, namun ia bukanlah jarang berlaku. Biasanya jika berlaku, pihak keluarga perempuan tak mahu heboh-heboh, takut malu. Mereka sanggup tanggung derita berbanding dengan tanggung malu. Namun apa yang terjadi di selatan tanah air ini, berita disiarkan secara meluas sekali. Alang-alang dah tanggung rugi kerana kenduri tetap berjalan, apa salahnya diberitakan sekali. Seluruh dunia boleh akses berita ini.

Apa yang lebih hebat lagi ialah pihak pengantin perempuan menyaman pula bekas tunangnya. Mungkin ini adalah kes yang pertama di Malaya...

Saya pernah pergi meminang bagi pihak adik saya. Pihak keluarga perempuan siapkan 'perjanjian' lagi. Ia itu jika pihak lelaki mungkir, begini-begini. Jika pihak perempuan mungkin begini-begini. Bila syarat-syarat ini dipersetujui, maka termeterailah pertunangan tersebut, walaupun kontraknya tidak perlu ditandatangani, Namun ia disaksikan oleh ramai orang. Begitulah lebih kurang adat atau hukum dalam bertunang...

Dalam kes di atas, pihak keluarga lelaki agak terkejut kerana keluarga perempuan telah memfailkan saman walaupun mereka (keluarga perempuan) telah menghantar rombongan memohon maaf. Adakah wajar maaf dan saman?.

Saya rasa ia adalah patut sekali. Maaf perkara lain dan saman perkara yang berasingan. Jika tiada maaf bagimu lagilah parah...






Tuesday, December 21, 2004

KUALA KANGSAR



masjid tersergam
lambang ugama rasmi
bandar di raja


PAGI-pagi tadi berlepas dari ofis ke Kuala Kangsar. Ada kerja sikit. Kembali semula lewat petang. Tak sempat nak buat entri. Terima sajalah serangkap haiku.

Monday, December 20, 2004

MENANG SORAK KAMPUNG TERGADAI, MENANG BERUNDING MARUAH TEGADAI



menang bertarung
bersorak hingga serak
kampung tergadai


CERITA dulu-dulu mengenai Pak Kadok memang dah ramai yang tahu. Ayamnya menang bersabung, bersorak sakan dia, namun kampungnya tergadai.

CERITA terbaru ialah mengenai Pak Andak. Dia ni memang pakar berunding. Apa-apa sahaja isu yang timbul, orang kampung akan memanggilnya untuk berunding. Pak Andak tinggal di kampung Pinang Sebatang yang kebanyakan penduduknya bekerja kontrak di sebuah kepulauan Rimau Pendek. Taukey negeri Pulau Rimau Pendek ini amat liat dan amat mahir menipu. Macam-macam helah dibuat yang menyebabkan bayaran gaji dan elaun pekerja dari kampung Pinang Sebatang ini tidak dibayar seadanya.

Maka Pak Andakpun dipanggil untuk menjadi juru runding mengenai kesusahan orang kampung tersebut. Dipendekkan cerita, dengan kebijaksanaan Pak Andak, taukey telah berjanji untuk melunaskan semua hutangnya. Maka bersorak gumbiralah sekelian penduduk Pinang Sebatang akan kehebatan Pak Andan ini.

Adapun syarat yang telah dipersetujui oleh kedua-dua belah pihak perunding ialah dengan membenarkan itik-itik dari pulau Rimau Pendek menyudu dan berkubang di kampung Pinang Sebatang. Ia telah dipersetujui oleh Pak Andak sebagai membalas budi baik taukey membayar hutangnya.

Pak Andak tahu tindakannya itu memang kurang cerdik, namun jika dia tidak bersetuju, maka tembelangnya selama ini keluar dengan amoi-amoi taukey akan didedahkan kepada penduduk Pinang Sebatang. Begitulah adanya.

Sunday, December 19, 2004

AKU - AMBE, KAWE, ME

Chiril Anwar

AKU biasanya adalah ganti diri pertama yang mungkin agak kasar sesetengah orang. Yang lebih lembut ialah saya. Namun aku lebih selesa diucap bagi kawan-kawan atau kenalan rapat. Selain dari itu, pelbagai sebutan yang membawa maksud aku. Di antaranya ialah ambe, ambo, kawe, cek, kita, orang dan sebagainya.

Oleh kerana ada di antara pembaca yang ingin tahu di antara AKU oleh Chiril Anwar dengan Ambew oleh POkku serta Kawe oleh Atok, di sini diperturunkan. Semoga lepas ni ada pula versi N.Sembilan, Kedah dan sebagainya:-


AKU

Kalau sampai waktuku
'Ku mau tak seorang kan merayu
Tidak juga kau
Tak perlu sedu sedan itu
Aku ini binatang jalang
Dari kumpulannya terbuang
Biar peluru menembus kulitku
Aku tetap meradang menerjang
Luka dan bisa kubawa berlari
Berlari
Hingga hilang pedih peri
Dan aku akan lebih tidak perduli
Aku mau hidup seribu tahun lagi

AMBE (versi Pokku )

Bile kene glerang ambe weh
Ambo takmboh sorrang pong takweh
Mung pong jangan jugok
Dok payoh nnangih eso'-eso'
Ambe ning menatang bujang
Kene tohok keluo kupolang
Bedil lah ambe dung dang dung dang
Ambe terajang maroh mmanjang
Ambe hungga gi wala saket ketet ketet
Hungga
Sapa dok rase sikit tuit
Ambe kohor dok cakna sikkit
Ambe nok iduk tokkat langit.


KAWE (Versi Atok )
Kalu tibo gleghae kawe
Kawe toksae sesapo takwel
Demo pong jangae
Toksoh jjeghik lah
Kawe menatae gedebe
Puok toksae d'oghe
Bala keno bede aco
Kawe teghuh ngamok beghona
Nnelah biso kawe ungga
Ungga
Sapa tok segho
Kawe koho meto
Kawe nok idok pah k'bilo-bilo


Sila-silakanlah berikan versi lain pulak,




Saturday, December 18, 2004

RUGI WOO

[gambar-gambar lain ada di sini]

MUZIUM NEGARA 17 Disember:

KAMI sampai ke dataran muzium jam lapan lebih dan di antara yang terawal. Namun penganjur majlis, sdr Sutung Umar R.S dan Dinsman memang dah lama bersedia dan pentas juga telah dilengkapkan dengan segala peralatan yang diperlukan. Di antara yang datang awal juga ialah Rudy Bluehikari dan Insyirah. Rudy pada malam tersebut mendeklamasikan sajak jepun dan terjemahan Melayunya. Kemudian ahli-ahli esastera.com yang lain seperti drirwan & cikgu Hasimah serta anaknya muslim4life tiba dengan membuka gerai jualan buku-buku esastera.com.

Ucapan alu-aluan oleh Sutung dalam sajak memulakan acara dan diikuti dengan pelbagai persembahan. Seorang penyair dari Denmark mendeklamasi beberapa puisi, antaranya ialah aku binatang jalang oleh Chiril Anwar yang ditertjemahnya. Kalaulah pada malam itu ada Pakku Bustaman dengan Aku versi Terengganunya dan Atok dengan versi Kelantannya, rasa-rasanya pecah perut semua penontong dibuatnya. Hanya kalau…

Dr.Victor dari Rusia membaca puisi Rusia dan terjemahannya dalam bahasa Melayu serta puisi Melayu dan terjemahannya dalam bahasa Rusia dalam bentuk lagu. Ia cukup mengkagumkan. Penulis dari Tak Bai, sdr Nawawee juga tampil ke pentas dengan beberapa sajak dalam sajaknya. Pak Arisel dari Raub dengan sajen (sajak jenakanya). Pak Salleh (bekas setiausaha kepada Parlimen) dari Ipoh dengan sajak Muziumnya.

Dr. Wan Zawawi dengan geng-gengnya yang popular sedikit masa lalu muncul dengan beberapa buah lagu baru yang cukup menghiburkan. Dia mencari AMERIKA dan Amerika di mana-mana. Kemudian muncul sekumpulan pemuzik jalanan diketuai Maslina dengan muzik-muzik unik dan pelik mereka. Penyanyi lagu ouisi Sakura Salam dengan lagu puisinya Sakura juga amat menghiburkan.

Rasa-rasanya seramai 11 orang semuanya ahli esastera.com yang baik ke pentas dan selebihnya adalah jemputan dari teater alam.

Hmmmm….. rugi woo tak pergi. Mana mau cari pertunjukan percuma yang memang berbaloi begini?. Yang paling rugi ialah Tipah sebab dia miss pertunjukan dan juga the tarik istimewa!.




Friday, December 17, 2004

TELEFON BIMBIT



BERITA melaporkan bahawa pengguna telefon bimbit di Malaysia ialah 12.3 juta orang
4.1 juta orang adalah mereka yang berpendapatan rendah (kurang RM1000 sebulan).
Pengguna mengikut bangsa ialah Melayu (47.5%), Cina (32.4%), India (6.9%), Bumiputera Sabah/Sarawak (5.4%) dan lain-lain kaum (7.8%).

Kaum lelaki adalah 61.1% pemilik telefon bimbit berbanding wanita.
57.5% pengguna telefon bimbit tidak mempunyai telefon talian tetap.
Lebih 50% pengguna telefon bimbit adalah untuk membuat panggilan.

BIASANYA bagi anak-anak yang diberikan telefon pra-bayar, mereka hanya akan menggunakan telefon ini untuk menerima panggilan atau untuk SMS sahaja. Bagi membuat panggilan, biasanya telefon talian tetap di rumah akan digunakan. Ini bermakna dengan adanya telefon bimbit, bil telefon talian tetap tetap akan meningkat tinggi.

Thursday, December 16, 2004

ORANG NOMBOR SATU



SIAPAKAH orang (atau orang-orang) nombor satu?.
Di sekolah, orang nombor satu ialah murid yang paling pandai.
Dalam negara, orang nombor satu ialah kepala negara.
Dalam organisasi, orang nombor satu ialah orang yang paling berkuasa.

Saya pernah berjumpa dengan seseorang yang sanggup menghabiskan puluhan ribu ringgit untuk mendapatkan plat kenderaan nombor satu. Bila saya tanya mengapa, dia memberitahu saya bahawa nombor satu atau angka satu digit bagi nombor plat sesebuah kenderaan mempunyai "kuasa". Jadi dia ingin membeli 'kuasa' tersebut. Katanya, andai kata kereta dia buat kesalahan kecil, seperti parking melebihi tempoh, atau laju sikit-sikit, gerenti tak kena saman punya katanya. Sebabnya yang nak menyamanpun tak mahu hidup susah. Umpamanya kena tarik balik saman dan seumpamanya sebab tuan punya kereta tersebut ada 'kuasa'. Jika kereta sahaja besar dan nombornya tidak hebat, tidak ada kuasa juga. Tapi, andai kata sebuah motor kapcai burukpun, jika memperagakan nombor satu, itu BESAR kuasanya. Mungkin orang itu tukang kebun istana ke, tukang pegang tobak kat istana ke, atau yang seumpama dengannya katanya.

Seorang lagi kawan berkata yang semua antara kita adalah orang nombor satu. Mungkin di jabatan, di bahagian, di unit dan jika tidakpun dalam rumah sendiri atau dalam bilik sendiri. Jadi semua orang ada kuasa.

Masuk akal juga fikir saya...

Wednesday, December 15, 2004

KUASA



Puas sudah ku tanam padi
Nenas juga dimakan orang
Puas sudah ku tanam budi
Emas juga dipandang orang


DI MANAKAH terletaknya kuasa?. Dulu-dulu pada kekuatan tubuh badan. Siapa yang kuat dialah yang berkuasa. Dulu-sikit pada harta kekayaan, siapa kaya dialah yang berkuasa. Dulu-kini pada pengetahuan, siapa cerdik, siapa pandai maka dialah yang ada kuasa. Pusing balik, pusing balik biasanya kuasa terletak kepada wang atau harta juga dan tidak lebih dari itu.

Saya teringat dengan sebuah dialog dengan seorang orang besar.

DIA: Saya tidak ada kuasa walaupun jadi orang nombor satu.

SAYA: bukankah jabatan anda paling berkuasa?

DIA: Itu jabatan, bukan saya.

SAYA: Orang nombor satu tidak ada kuasa di jabatan paling berkuasa, ke mana kuasa itu pergi?. Bila kuasa itu menjelma?

DIA: Saya lebih suka jadi orang berkuasa di jabatan yang tidak ada kuasa berbanding dengan orang yang tidak ada kuasa di jabatan paling berkuasa.

SAYA: Fening saya boss....

Tuesday, December 14, 2004

MUZIUM



SEBUT saja muzium, saya terbayangkan benda-benda lama, bahan-bahan pra-sejarah. Namun muzium tidak semestinya begitu. Tanggapan saya mengenai muzium berubah apabila kereta proton saga dipamerkan secara tetap di muzium negara. Kemudian di zaman Shahrom Yeop menjadi pengarah muzium, diadakan pameran tengkorak, pameran kucing malahan pameran hantu juga!. Terkini JICA mengadakan pameran foto bertemakan kerjasama antarabangsa.

Pada Jumaat 17 Disember ini, pihak Muzium Negara akan mengadakan majlis baca puisi. Jom kita datang ke Muzium Negara untuk dengar deklamasi sajak!. Saya bercadang nak datang juga...

Berikut adalah berita mengenai deklamasi puisi tersebut:-

eSastera.com Terajui Baca Puisi Muzium Negara

KUALA LUMPUR, 7 Disember : eSastera.com akan menerajui program Baca Puisi Muzium Negara pada Jumaat 17 Disember ini apabila ditawarkan untuk mengisi slot majlis berkenaan.

Baca Puisi Muzium Negara merupakan acara tetap bulanan yang dianjurkan oleh Grup Teater Elit dengan kerjasama Muzium Negara dan diadakan pada setiap Jumaat ketiga setiap bulan bertempat di perkarangan Muzium Negara.

Menurut pengasas laman berkenaan, Irwan Abu Bakar, eSastera.com akan mengisi slot pertama acara berkenaan yang dijangka memakan masa selama satu jam lebih dengan menampilkan beberapa orang penyair yang aktif di laman berkenaan. Antaranya Hashimah Harun, Dr. Victor Pogadev, Anip, Rudy Bluehikari, Airmas dan beberapa orang lagi. Mereka ini akan mendeklamasi sajak dan membuat persembahan lagu puisi.

Majlis berkenaan akan bermula pada jam 8.30 malam dan terbuka kepada orang ramai. (Laporan oleh Wartawan eSastera.com, Mohd Dahri Zakaria)

Jumpa anda di sana....

Monday, December 13, 2004

BANJIR


hujan menderu
bumi disimbah banjir
kemarau hati


[sekeping gambar menceritakan 1000 perkataan: gambar dari utusan]

Sunday, December 12, 2004

PENYANYI NOMBOR SATU


SEMALAM myJICA mengadakan mesyuarat EXCO sambil makan-makan ala rumah terbuka dengan staf baru@pelatih JICA yang baru tiba dari Jepun. Sambil makan, sambil berbual. Salah seorang dari pemuda Jepun ini bertanyakan tentang siapakah penyanyi Malaysia yang paling popular:

+ Siapa penyanyi Malaysia yang paling popular?
- Agak susah juga saya nak jawab. Tapi adakah Hikaru Utada penyanyi paling popular di Jepun?
+ Oh ya... anda tahu dia?. Muzik dia memang hebat, lain dari yang lain. Suatu pembaharuan. Jika ada peluang, belilah satu CD Utada dan anda akan faham apa yang saya maksudkan.
- Jika Hikaru Utada adalah penyanyi paling popular di Jepun, maka saya rasa Siti Nurhaliza adalah penyanyi paling popular di Malaysia.
+ Siti Nurhaliza?. Apa muzik dia? R&B? Jazz?
- POP
+ Ooo saya nak beli CD dia.
-Ya, saya rasa dia penyanyi paling popular di Malaysia. Tapi jika anda mahu penyanyi Malaysia paling popular di Jepun, mungkin Shiela Majid.
+ OK saya mahu penyanyi Malaysia paling popular di Malaysia.

Friday, December 10, 2004

SURAT KHABAR LAMA

Tujuh negeri `hampir muflis'
[PETIKAN SURAT KHABATR SEMALAM]


akhbar yang lama
berita sudah basi
masih berguna


KUALA LUMPUR 8 Dis. - Tujuh negeri dikategorikan sebagai `hampir muflis' dan memerlukan sokongan kewangan daripada Kerajaan Persekutuan sama ada dalam bentuk pendahuluan ataupun penerimaan geran bagi melicinkan pengurusan negeri.

Negeri-negeri berkenaan ialah Johor yang ketika ini menanggung tunggakan bayaran balik pinjaman sebanyak RM512.24 juta, diikuti Kedah (RM491.83 juta); Pahang (RM312.29 juta); Kelantan (RM153.62 juta); Sabah (RM49.15 juta); Perlis (RM48.18 juta); Terengganu (RM190.77 juta) dan Negeri Sembilan (RM79.66 juta).

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Tengku Putera Tengku Awang berkata, maklumat itu diperoleh daripada Penyata Akaun Awam Kerajaan Negeri pada akhir tahun 2003 dan daripada laporan itu, jumlah tunggakan bayaran balik kesemua kerajaan negeri terbabit adalah RM2.17 bilion.

Thursday, December 09, 2004

KANAK-KANAK DALAM ALAM DEWASA



kembar seiras
mata tidak berkaca
tipah tertipu


PAGI-PAGI semalam bertolak ke Pusat Pentadbiran Kerajaan di luar kota. Sekitar jam tujuh dah tiba dan ke kaunter untuk mengambil nombor pada jam 7:30. Dua minit, urusan selesai. Masa senggang untuk menunggu mesyuarat jam sembilan terasakan terlalu panjang. Dalam pemerhatian di sekeliling terasa suatu kedamaian di kompleks pejabat di sini. Ramainya kanak-kanak beriringan dengan ibu bapa yang datang bekerja. Suasana nampak damai sekali. Wajah ceria kanak-kanak menuju ke taska yang disediakan dalam bangunan yang sama dengan bangunan pejabat ibu-bapa mereka tidak sedikitpun mengganggu prestasi kerja orang tua mereka. Malahan rasanya prestasi kerja akan bertambah tinggi.

Apa lagi yang perlu dirisaukan oleh seorang ibu bekerja jika anak kecil mereka berada dalam jagaan dalam jarak yang berhampiran?. Apa perlunya bergegas pulang tepat jam empat semata-mata untuk mengejar masa untuk mengambil anak?. Nampaknya susunan kerja yang dibuat di sini penuh teratur.

Namun bagi sesetangah pejabat, ada yang telah mengeluarkan fatwa mengharamkan kehadiran anak-anak. Ia mengganggu prestasi kerja. Ia menjatuhkan imej korporat. Ia memalukan. Keriuhan kanak-kanak adalah suatu kebisingan melampau.

- lain padang lain belalang, lain pejabat lain polisi

Tuesday, December 07, 2004

WAJAH OKT DI MAHKAMAH


[selambanya dia...]
BIASA kita tengok Orang Kena Tuduh (OKT) di mahkamah dalam pelbagai ragam. Kebanyakannya glamor semacam semam pemberita dan jurugambar serta paparazi berebut-rebut ingin merakamkan cerita dan wajah mereka. Anda juga mahu glamor?. Bolehlah cuba...

Keadaan pertama ialah bila OKT cuba menyembunyikan wajah mereka samada berselindung, menutup muka atau dengan apa cara sekalipun, suipaya wajah tidak dirakamkan. Mereka ini baru dituduh dan belum tentu lagi bersalah. Namun bila dah wajah terpampang, biasanya masyarakat terus menghukum mereka sebagai bersalah. Lihatlah macam kisah Han** Bas** dulu tu. Mahkamah bebaskan dia, tapi di mata masyarakat tidak begitu.

Keadaan kedua ialah bila OKT dengan bangga dan penuh gaya glamor memperagakan diri untuk dirakam oleh jurukamera. Sedikitpun tidak tahu berasa malu. Agaknya jika dia memang buat kesalahan itu, memang dia banggalah dengan buat salah tersebut sambil melaung-laungkan "aku tidak bersalah".

Keadaan ketiga, iaiatu yang jarang-jarang kita lihat ialah wajah selamba @ muka sardin. Yang ini sukar untuk diramal samada dia malu ataupun dia insaf.

Yang mana satu pilihan anda?

Monday, December 06, 2004

MATEMATIK MUDAH



AKHIRNYA kemelut dunia niaga bagi merebut 15.8% saham DRB-HICOM telah selesai dengan keputusan muktamad. Dengan bida RM3.60 sesaham Tan Sri Syed Mokhtar telah memperolehi saham tersebut berbanding dengan bida Tan Sri Nasimuddin RM3.50 sesaham. Sumber-sumber menyebut, pemilihan ini bardasarkan hanya kepada tawaran tertinggi dan tidak ada yang lain selain daripada itu. Pada asalnya pengurusan DRB-HICOM tidak dapat membuat keputusan dalam urusniaga ini dan menyerahkannya kepada kerajaan untuk membuat kata putus.

Memang terlalu sukar agaknya untuk menentukan siapa yang layak agaknya kerana perbezaan 10 sen tersebut adalah terlalu kecil dari segi peratusannya. Formula apakah yang diguna pakai dalam matematik mudah begini?

Sunday, December 05, 2004

INDERA KAYANGAN BERGEMERLAPAN

PERLIS Indera Kayangan jadi juara Piala Malaysia semenjak 83 tahun menunggu. Khabarnya habuan mewah menungu setiap pemain yang berjaya membawa pulang piala kebanggaan dunia bola sepak di Malaysia ini.

Sebelum ini kita mendapat tahu bahawa Perlis dalam kegelapan setelah TNB, yang juga menjadi penaja utama siaran langsung Piala Malaysia, memadamkan lampu jalan kerana Perlis tidak menjelaskan berjuta tunggakan bil elektrik. Kini setelah Indera Kayangan bergemerlapan dengan tepuk sorak kegembiraan, ditambah lagi dengan habuan mewah kepada para pemain, maka lampu jalan agaknya tidak lagi diperlukan untuk mencerah dan menceriakan Perlis.

p.s Ada orang kata, Juara Piala Malaysia ialah negeri yang Sultan/Rajanya menjadi Agong. Cuba ingat-ingati.

Syabas Perlis.


Saturday, December 04, 2004

BOTAK


gambar hiasan dari geocities:

MALAM ini Kedah akan berentap dengan Perlis dalam menentukan Piala Malaysia. Walau pasukan manapun yang menang, juara tetap milik utara. Ini adalah kali pertama dalam sejarah bolasepak tanah air, dua negeri berjiran ini memasuki final.

Diberitakan ramai peminat dan penyokong Kedah mahupun Perlis yang telah bercukur botak. Ada yang bercukur kerana nazar atau melepas niat. Ada pula kerana sangat gembira dan ada pula disebabkan oleh perkara-perkara tertentu. Mengapa mesti botakkan kepala?. Umum mengetahui bahawa rambut adalah mahkota bagi seseorang, tidak kira lelaki ataupun perempuan. Dengan membotakkan kepala, maknanya mereka telah membuang mahkota tersebut. Mengapa begitu?. Jawapannya ialah kerana botak merupakan sebuah pengorbanan. Mereka sanggup buang mahkota, mereka sanggup kelihatan hodoh (ada juga yang botak tapi tetap hensem), kerana niat dan nazar atau menunjukkan sokongan mereka.

Ada juga yang berpuasa kerana bersyukur atas sesuatu perkara. Mengapa berpuasa dan tidak sembahyang sunat syukur sahaja?. Mereka ada jawapan sendiri.

Friday, December 03, 2004

ANUGERAH HAIKU MELAYU ALAM SIBER (AHMAS) 2004



PERKARA:AHMAS
TARIKH: 25 Disember 2004 (Sabtu 8pm)
TEMPAT: Hotel Singgahsana, PJ
KEHADIRAN: Terbuka kepada umum (RM45 - Makan Malam)

Finalis AHMAS 2004

Rudy Blue Hikari

Tasik chini
Kembang Teratai
Gelombang Tasik Chini
Dongeng Puteri

Jerangau II
Sawit menggamit
Kerbau ditenggek bangau
Bukit Jerangau

Cahaya bulan dan kejora
Cahaya Bulan
Kilau Bintang Kejora
Irwan Hasimah

Dipinggiran

Mentari muram
Mentari muram
Semalam nan kelabu
Hati terluka

Bila senjapun tiba
Senja nan jingga
camar berebut dahan
malampun sunyi

Setenang tasik
Setenang tasik
di dasarnya bergelora
tidak terlihat

Abdullatip

Rezeki
Dedaun rendang
Getah melambung harga
Jangan ketawa

Tomohiko
Jauh merantau
Haiku pengubat rindu
Darah Tun Teja.

Desaku
Desa nan hijau
Bulan di balik awan
Lama menunggu

Airmaz_sz

Suasana kampung
Burung berkicau
Bayu lembut bertiup
Nyaman selalu

Hijau
Taman nan hijau
Sejuk mata memandang
Unggas berkicau

Semut
Di dapur ini
semut mencari gula
salam-salaman.

Arisel

Gunung dan pohon
Gunung dan pohon
Padang hilang pintunya
Ratap belalang

Kuala sat
Mengekor kerbau
Makan pekasam kelah
Sungai yang tohor

Aspal berliku
Aspal berliku
Langit berkabus salju
Maut menunggu

Thursday, December 02, 2004

APA MACAM? ===> MACAM-MACAM!


gambar hiasan: "Mr. Beruk"

ZAMAN persekolahan saya di pertengahan tahun 70-an, ramai cikgu di sekolah kami ialah dari luar negara. Di antaranya yang saya ingat ialah cikgu biologi, Mr. Colins dari US dan cikgu bahasa Inggeris dari UK. Sepatutnya saya memang pandailah berbahasa Inggeris, sebaliknya depa yang lebih pandai berbahasa Melayu. Guru bahasa Inggeris kami, Mr. Brooke adalah lulusan biologi. Namun dia ni jenis yang malas nak mengajar subjek itu dan macam-macam alasan diberikannya. Akhirnya pengetua beri dia ajar bahasa ibundanya sahaja. Sudah tentu dia fasih berbahasa Inggeris, namun tidak terlatih untuk mengajarnya. Bagi dia ia adalah kacang sahaja, sebab ajar bahasa Inggeris kepada budak Melayu dari aliran Melayu yang berasal dari kampung. Lagipun bahasa Inggeris Khas tidak akan membawa apa-apa gred dalam SPM, kecuali 7,8 atau 9 sahaja walau setinggi manapun markah yang diperolehi.

Malahan Mr. Brooke ini seolah-olah mencabar kami. Bagi sesiapa yang dapat melanjutkan pelajaran ke UK, dia akan tunggu ditangga kapalterbang di London. Selepas keputusan SPM, memang semua murid kelas kami dapat Gred 1. Tidak ada Gred 3, kecuali seorang sahaja dari kelas 5 Sains 2 yang dapat Gred 4. Ini tidak melayakkan sekolah kami dapat keputusan 100% dalam SPM pada tahun tersebut. Oleh kerana sekolah dalam aliran Melayu, dan ambil bahasa Inggeris khas, maka tidak seorangpun yang layak menyambung pelajaran ke luar negara. Namun 15 tahun kemudian, saya dan seorang lagi classmate berjaya juga ke UK untuk pengajian ke peringkat Masters. Kami berpakat nak cari Mr. Brooke yang tinggal di Liverpool (jika tak silap), namun tidak berjumpa.

Apa yang menarik minat saya terhadap Mr. Brooke ini ialah keupayaannya menguasai bahasa Melayu. Indah sungguh bahasa kamu katanya. Di antara yang saya ingat ialah:-
Bila ditanya apa khabar jawabnya khabar baik.
Jika ditanya apa macam jawabnya macam-macam.
Benda yang banyak rambut, namanya rambutan.

Sehingga sekarang saya masih mengamalkan kata-katanya. Ia itu
Apa macam? Macam-macam (ada baik, ada kurang baik).

Wednesday, December 01, 2004

BUAT BAIK BERPADA-PADA



KITA memang disuruh sangat berbuat baik. Kita diharuskan berbuat baik kepada orang yang berbuat baik kepada kita. Kita juga disuruh berbuat baik kepada orang yang membuat jahat kepada kita. Kita juga diminta supaya berbuat baik kepada semua makhluk, termasuklah haiwan dan tumbuh-tumbuhan mahupun alam sekitar. Namun ungkapan "buat baik berpada-pada" memberi peringatan kepada kita supaya buat baik biarlah bertempat. Jangan buat baik sembarangan. Buat baik ala kadar. Dulu guru kimia saya membuat peribahasanya sendiri dengan ungkapan "buat baik berpada-pada, buat jahat sekali sekala".

Satu berita menarik hari ini ialah bila mana dua orang kakak telah dikenakan waran tangkap kerana cuba berbuat "baik" kepada adiknya yang mengandung. Adiknya mengandung lima bulan hasil perbuatan sumbang di luar nikah. Kedua-dua orang kakak ini telah mendorong supaya si adik menggugurkan kandungannya kerana 'berniat baik' untuk menjaga nama baik keluarga. Akhirnya kedua-dua kakak ini telah ditangkap kerana kesalahan mendorong seseorang menggugurkan kandungan. Apa yang diberitakan seolah-olahnya perbuatan kakak ini amat terkutuk (memang terkutukpun). Namun ia diberitakan seolah-olah perbuatan si adik berzina tidaklah terlalu besar sangat kesalahannya (walaupun berdosa besar). Begitu juga dengan si jantan yang menjadi teman lelaki budak tersebut, tidaklah besar mana kesalahannya dan tidak ada apa yang hendak dimalukan. Apatah lagi perbuatan zina tersebut berlaku di rumah dan ibu bapa perempuan juga memberikan green-light terhadap perbuatan seumpama itu.

Dunia oh dunia.