Labels

Thursday, September 25, 2003

KESILAPAN FAKTA DALAM NOVEL MERENTAS SUNGAI SEJARAH

KESILAPAN FAKTA DALAM NOVEL MERENTAS SUNGAI SEJARAH


MS16:-Nurli yang menyucuk kabel elektrik ke cakera keras komputer, mengangkat muka dan tersenyum manis …. Nurli gelak sambil menekanhidupkan komputer. Dia menggosok-gosok lembut permukaan kotak unit pemprosesan pusat seperti mengusap-usap rambut kanak-kanak comel.

Banyak kekeliruan timbul di sini mengenai jenis komputer yang digunakan. Adalah terlalu asing menggunakan sebuah komputer yang cakera kerasnya berada di luar lantas terpaksa menyucuk kabel elektrik sebelum menghidupkan komputer. Andaikata ia adalah memang sebuah cakera keras, maka ia perlu mempunyai kabel untuk disambungkan ke komputer tersebut yang perlu dicucuk terlebih dahulu. Sekiranya ia adalah cakera keras poket (Pocket HardDisk - PHD), maka ia hanya memerlukan kabel USB sahaja dan bekalan elektrik sudah memadai daripada komputer atau notebook yang digunakan.

Walau apapun yang penulis mahu gambarkan, tertib begini untuk menekanhidup komputer adalah bukan suatu kelaziman.

MS18:Nurli menutupmati komputer, kembali mencabut kabel daripada cakera keras, menggantikannya dengan cakera keras yang lain, ….

Selepas menutupmati komputer, kabel elektrik dicabut daripada cakera keras. Ini adalah suatu kejanggalan sekiranya menggunakan PHD. Pada kebiasaannya peranti USB perlu ditanggalkan terlebih dahulu sebelum menutupmati komputer.

Setelah menutupmati komputer, apakah gunanya menggantikan dengan cakera keras yang lain….?


MS17:- Umpama membandingkan antara notebook dan personal computer.
MS18: Aku rasa kitalah motebook itu, dan tentu Kak Ain sebagai PC
MS19: Tentulah kerana pc tempatnya di kamar, di rumah. Sesuatu yang dikamarkan lebih peribadi, akrab, dan mesra. Manakala, notebook sifatnya dibawa dalam perjalanan kan selalunya sebentar dan asing?


Penulis ingin memperkenalkan satu peribahasa yang baru, umpama notebook dan PC. Dari ayat-ayat dialog yang disusun menunjukkan PC adalah lebih dihargai berbanding notebook. PC diibaratkan sebagai isteri, di simpan dalam bilik tidur, maka ia lebih akrab. Sedangkan notebook dibawa dalam perjalanan dan sementara sifatnya.

Ini adalah suatu peribahasa yang bagi saya menyimpang maksudnya. PC dan notebook telah hampir tidak mempunyai apa-apa perbezaan lagi dari segi fungsi dan keupayaan. Walau bagaimanapun notebook adalah lebih mahal berbanding PC. Tanyalah kepada sesiapapun, mana yang lebih utama antara PC dan notebook, nescaya jawapannya ialah notebook. Jika ke sana ke mari bawa notebook, tidak boleh berpisah maka tentulah notebook lebih dihargai. Bila pulang ke rumah, ke kamar tidur PC tidak akan disentuh lagi sebab notebook telah memberi segala-gala yang diperlukan. PC kat rumah tu untuk anak-anak bermain games sahaja, jika rosak sekali pun tak mahal untuk dibaiki semula. Jadi perumpamaan tersebut adalah terbalik, masakan isteri kurang penting berbanding kawan-kawan!.

MS30:Lihat saja pemproses pertama yang diperkenalkan Intel pada tahun 1982, iaitu mikropemproses 80286 atau 286 dengan 16 bit register, pemindahan maklumat melalui data bus dengan kadar 16 bit dan menggunakan 24 bit untuk menyimpan memori. Kemudian Intel mengeluarkan pula 386 pada tahun 1985, 486 akhir tahun 1980-an, dan boom, Pentium pada tahun 1993. Dari Pentium II sehingga sekarang Pentium IV atau Xion.

IBM PC dimulai dengan 8088, diikuti dengan 8086 dan barulah muncul 286, 386, 486 pentium dan sebagainya.
Pentium IV dan Xeon adalah berbeza. Xeon (bukan Xion) berasaskan adalah pemproses Intel berkuasa tinggi untuk server dan berasaskan Pentium II dengan mikropemproses P6.

MS32: Izwan ditawarkan Bank Negara untuk menyelenggara sistem komputer daripada masalah pepijat alaf.

Sekiranya penulis menggantikan “Bank Negara” dengan “MAMPU” ia adalah lebih realistik. Agensi kerajaan yang bertanggungjawab untuk menyelaras masalah pepijat alaf ialah MAMPU. Mungkin penulis berpendapat, adalah tidak wajar seorang dari Sun Microsystem untuk bekerja atau menjadi perunding di MAMPU kerana mungkin gaji yang ditawarkan adalah rendah berbanding dengan Bank Negara. Tidak begitu sebenarnya.

MS32: Lihat sahaja penstoran data komputer yang pada mulanya menggunakan cathode ray tube [CRT] yang hanya menampung 128 bit dan keseluruhan memori komputer ialah kilobit

Kenyataan ini adalah mengelirukan dan sukar dimengerti. CRT adalah merujuk kepada skrin atau monitor komputer dan ia bukanlah peranti penstoran. Penstoran lebih tertumpu kepada cakera liut, cakera keras, CD dan sebagainya.

MS48: saya boleh membetulkan mainboard, tapi tidak enjin kereta

Penulis beberapa kali merujuk kepada “mainboard” yang sepatutnya ditulis “motherboard” atau MOBO.

MS262: Izwan lantas menghantarkan contoh virus yang dibekukan melalui program anti-viral peribadinya kepada Gwyneth

Ungkapan ‘virus yang dibekukan’ mungkin untuk menyedapkan bahawa, namun bagaimanakah caranya mmebekukan virus. Saya amat khuatir pembaca akan menyangka virus komputer adalah sama seperti virus jangkitan pada manusia yang boleh dibekukan. Mungkin lebih baik ditulis “virus yang dizipkan”

MS262: Saiz asal virus itu hanyalah 1.39 megabyte, yang boleh muat sebuah floppy disc.

Tidak mungkin virus adalah sebesar ini, mustahil rasanya pada masa ini. Virus adalah program komputer yang direka untuk merosakkan sistem komputer dari pelbagai aspek. Oleh itu saiznya perlulah sekecil yang mungkin supaya ia sukar dikesan dan diperhati. 1.38MB adalah terlalu besar. Mungkin penulis ingin menekankan yang ia dibawa melalui disket, namun oh… tak mungkin sebesar itu!.

No comments: