Labels

Monday, April 30, 2007

JAM



JAM adalah untuk menunjukkan waktu.
Samada jam itu analog ataupun digital, fungsinya sama sahaja. Iaitu sebagai penunjuk waktu.

Walau bagaimanapun kini, fungso jam mungkin sudah berbeda. Selain dari penunjuk waktu, jam juga mempunyai beratus fungsi lain. Antaranya ialah penunjuk hari, haribulan, tahun, kalendar, nombor telefon, alat perakam, kamera, TV, penyukat haba, penyukat tekanan darah, waktu solat, arah kiblat dan banyak lagi dan banyak lagi.

Dulu kita gunakan waktu mungkin setakat ke minit terdekat sahaja. Misalnya lapan suku (8:15), sembilan setengah (9:30) atau sepuluh empat puluh lima (10:45). Namun sekarang fungsi waktu dah jauh berbeza. Kita subut 8:13, bukan lagi lapan suku misalnya. Jika terlambat seminit sahaja, LRT dah tinggalkan kita (jika komuter, mungkin terlewat setengah jam tu OK lagi - kadang-kadang).

Itulah fungsi jam.

p.s Jam saya yang sebelah kiri tu boleh ukur tekanan. Yang sebelah kanan tu, beli jam percuma kereta yang berjenama sama ;-)

Saturday, April 28, 2007

GAMBAQ



kat mana ni?

Friday, April 27, 2007

SENGGARA SIFAR

ORANG kita memang amat terkenal dengan budaya Senggara Sifar atau "anti-senggara". Semua projek, semua perkara hanya "manis" sebelum dapat sahaja. Bila dah dapat, bila dah siap, senggaraan adalah sifar. Agaknya kita patut ada kempen "Senggara Sifar". Beli kereta yang tak perlu senggara. Beli rumah yang tak payah senggara. Sewa ofis yang "maintenance free". Malahan kahwini gadis yang senggara sifar juga ;-). Masa mengorat, sikit punya power ayat diayaknya. Bila dah kahwin, ada yang sampai luipa bini... tak senggara langsung. Bini gitu juga, diri sendiri tak disenggara!.

Seingat sayalah, projek-projek besar yang 'ada senggaraan' cumalah Plus Highway sahaja. Yang lain semuanya yilek. Kalau Plus tu, jalan disapu-sapulah juga. Tandas dibersih-bersihlah juga.

Tempat lain ada juga sapu jalan, tapi bukan pakai penyapu dah, pakai mesin berenjin sekadar tolak sampah dari jalan. Biar longkang tersumbat. Jabatan Kerja Jalan. Longkang tersumbat itu kerja Jabatan Kerja Longkang.



Saya ada jalan-jalan kat Pulau Lagenda. Singgah di Taman Peringatan CHOGM. Apa itu CHOGM?. Bila CHOGM di Malaysia?. Cuba tengok gambaq tu, pecah sana, sumbing sini. Sebab apa?. Dulu masa nak buat nangis-nangis, hentak-hantak kaki nak duit. Bila dah dapat... sampah merata-rata, retak dah menjadi belah. Hancoq menunggu leboq saja lagi. Apa pasai?. Senggara Sifar!.

Thursday, April 26, 2007

DIRGAHAYU TUANKU

DAULAT Tuanku


Daulat =

1. Bahagia
2. Ya, Benar
3. Kuasa
4. Tulah

Dirgahayu = mudah-mudahan berbahagian dan lanjut usia.

Selamat hari pertabalan DYMM Seri Paduka Banginda Yang DiPertuan Agong

Wednesday, April 25, 2007

GERUN

INI ada beberapa maklumat yang menggerunkan bagi masyarakat Malaysia:-

Seorang dari empat orang (25%) daripada rakyat Malaysia adalah overweight dan obesiti. Ia adalah kadar yang paling tinggi di Asia.

30% rakyat Malaysia dewasa mengalami hypertension @ darah tinggi

6 orang kena stroke pada setiap jam. Ia membawa kepada 144 orang pada setiap hari, pada 2006.

Ini merupakan pertambahan 300% berbanding dengan tahun 2005.

Hanya 10% sahaja mangsa stroke yang pulih sepenuhnya.


Anda ada idea macamana nak mengelakkan dari stroke @ angin ahmar?.

Tuesday, April 24, 2007

HARI INI

HARI ini (semalam sebenarnya) dapat PC baru. OS baru. Perisian baru. Semua baru.

Tapi kan, apalah punya teruk Microsoft ni, Office 2007 yang dibekalkan tu jauh bagaikan lagit dengan bumi dengan yang terdahulu (2003). Teruknya nak guna. Tak serasi (compatible pulak tu).

Macam ni kan, jika kita tukar ke Open Office atau yang sewaktu dengannyapun pengguna tak sedar ni..... Jadi mana-mana yang mungkin terlibat di masa depan, inilah peluangnya anda ingin beralih ke Sumber Terbuka (OSS). Jika sember tertutup yg secompanypun tak serasi dengan yang lain dan look & feel yang jauh berbeda, Hah inilah masanya. Hidup OSS!!.

Baru sat tadi hantar fail bajet FY2007 ke JICA. Pass tu JICA call, file corrupt katanya. Sib baik ada cara nak betulkan (download viewver) dari 2007 kembali ke 2003. Semuanya dibuat kat KLIA ni....

Terima kasih KLIA sebab bagi wifi percuma. Terima kasih JICA bagi notebook percuma.

see you.

SEMALAM

SEMALAM tidak ada apa-apa yang berlaku
semalam dah berlalu

Monday, April 23, 2007

DEMI AGAMA, BANGSA DAN NEGARA

4.20am: Terjun di Kutub Utara: Syabas.

Demi Agama: Kol berapa Subuh kat Kutub?. Waktu sembahyang yang lain dikira macamana?.
Demi Bangsa: Tidak Melayu Hilang Di Kutub ;-)
Demi Negara: Abang-abang hangpa dok berkempen kat Ijok, hangpa dok melompat kat Kutub?.

Wallahualam.

Sunday, April 22, 2007

ESOK

ESOK

sesuatu pasti akan terjadi

tunggu esok

Friday, April 20, 2007

test

test saja sebab update hari ni tak masuk

MBA @ Amazon

mengapa foto ni tak keluar?.

Thursday, April 19, 2007

TANGGUNGJAWAB BLOG

[Petikan dari BERNAMA]
Penulis Blog Patut Bertanggungjawab - Dr Mahathir

PUTRAJAYA, 18 April (Bernama) -- Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata penulis blog yang memberikan sumber maklumat alternatif perlu sentiasa bertanggungjawab dan berpegang kepada kebenaran dalam blog mereka.

"Yang paling utama ialah berpegang kepada kebenaran, jangan menokok tambah dan jangan mereka-reka laporan," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama pada siri syarahan perdana ke-6 mengenai "Media dan Pembangunan Nasional" di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini hari ini.

"Selagi anda menyiarkan sesuatu yang benar dan juga tidak bertujuan untuk membangkitkan sebarang emosi serta menggugat kestabilan negara, saya fikir anda melakukan sesuatu yang betul," katanya.

Laman blog (atau pendeknya blog) merupakan penerbitan berasaskan Internet yang dicipta oleh penulis bebas, dikenali sebagai penulis blog.

Ditanya sama ada blog ini patut didaftarkan, beliau berkata ia seumpama melesenkan semua media, "tetapi jika ia sesuatu yang diperlukan, dan baik untuk kebebasan akhbar, maka tidak mengapa."

Semasa diminta mengulas kejadian tanah runtuh di Precinct 9 dan kebocoran paip di ibu pejabat Jabatan Imigresen di sini, beliau berkata insiden seperti itu mungkin boleh berlaku lagi.

"Saya tidak kata apa yang dibina semasa saya (perdana menteri) adalah sempurna, tetapi mungkin juga (terdapat) sedikit kecuaian dalam perkara ini," katanya.

Dr Mahathir juga berkata kini seolah wujud situasi kurang minat untuk membina Putrajaya atau bagi menyiapkan pembinaan pusat pentadbiran baru persekutuan itu.

-- BERNAMA

Wednesday, April 18, 2007

APA ITU AGAM?

Barangkali saya pertama kali mendengar perkata agam apabila bekas PM kata bahawa PM ada sebuah rumah agam di Australia. Apa bendanya agam ini?.

Mengikut Kamus Dewan :-besar, tegap, tidak ada akhir, berlanjutan.

Terjemahan berita Inggeris rumah agam ialah mansion. Oooooo mansion rupanya!.


Inilah rupa salah sebuah mansion di Swan River, Perth, Australia.

MINTA MAAF ITU BERJIWA BESAR

[Perikan dari BERNAMA]

Dr M Minta Maaf Dakwaan Terhadap Pemilik Rumah Agam Di Australia

PUTRAJAYA, 18 April (Bernama) -- Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini meminta maaf kepada Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengenai dakwaannya Abdullah memiliki semua rumah agam di Australia.

Abdullah mahupun anaknya Kamaluddin tidak memiliki rumah itu yang dianggarkan berharga RM60 juta yang terletak berdekatan dengan Sungai Swan di Perth seperti yang didakwa Dr Mahathir sebelum ini. Ia sebenarnya milik ahli perniagaan Malaysia Datuk Patrik Lim.

"Saya tidak sepatutnya membuat kenyataan itu kerana saya menyatakan sesuatu berdasarkan khabar angin yang saya dengar dan khabar angin it berulang kali mengatakan bahawa rumah itu milik beliau (Perdana Menteri).

"Dan tentunya apabila kita sudah terbawa-bawa selepas memberikan ucapan seperti itu, kita tidak menapis diri kita dan kita tidak berhati-hati mengenai apa yang kita cakapkan, jadi saya menyatakannya dan saya minta maaf kerana memperkatakan sesuatu yang salah," katanya.

Dr Mahathir berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama pada Siri Syarahan Perdana ke-6 mengenai "Media dan Pembangunan Nasional" di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini.

Bekas perdana menteri itu membuat dakwaan demikian pada satu majlis ceramah di Kulai baru-baru ini.

"Saya sepatutnya diperbetulkan dan saya sangat berbesar hati bahawa rakyat sememangnya memberi perhatian terhadap dakwaan saya dan mereka mendapat tahu bahawa orang yang memiliki rumah itu bukan PM, bukan anaknya, tetapi orang lain," katanya.

-- BERNAMA

Tuesday, April 17, 2007

PEMBANGUNAN KUMPULAN DALAM MASYARAKAT MELAYU

SAYA baru pulang dari team-building siri ketiga. Berikut adalah ucapan perasmian dari saya:-

Masyarakat Melayu dah lama tahu dan mengamalkan konsep team building. Buktinya dapat dilihat dari peribahasa & pepatah seperti berikuit:

- Yang berat sama dipikul yang ringan sama dijinjing
- Hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicicah

Namun adakah masyarakat kita menganggap peangai manusia boleh berubah atau diubah? Cuba perhatikan:-

- Bagai pahat dengan pemukul
- Bagai anjing dengan kucing
- Bagai enau dalam belukar

Begitu juga jika orang Melayu nak kahwin. Kita disuruh cari yang elok perangai (sebab yang buruk rupa boleh buat plastic surgery, ha ha ha ha - penonton gelak). Yang buruk perangai, habislah....

Dalam membahagi-bahagi kerja pula, masyarakat kita memang mahir:-
Sibuta meniup api
sipekak pasang meriam
sikurap manampi padi
yang panjang bergalah
yang pendek menyusup
yang tempang ..... (ah saya terlupa kata-kata)

Satu lagi pepatah kita yang menarik ialah:-
Masuk kandang kambing mengembik
Masuk kandang kerbau menguak
Masuk kandang harimau (alamak kena terkam....)

Apakah yang tuan/puan harapkan dari kursus team-building?
-Jika pendekatan agama: insaf sebentar
-Jika pendekatan lawak: gelak memanjang
-Jika penceramah handsome/comel: leka seketika
-Jika berlaku musibah: lekatlah parut.
"parut di badan boleh diselindung. Parut di hati dibawa mati"

Apakah makna semuanya ini?
Tuan/puan harus mencari jawapannya selama kursus ini berjalan.
Selamat berkursus.

Apakah makna semuanya ini?.
Saya ingin tuan/puan fikirkan.

Monday, April 16, 2007

LATIHAN INDUSTRI IPT TAK BERKESAN

BETULKAH latihan industri bagi pelajar IPT tidak berkesan?.
Jika benar tidak berkesan, mengapa?.

1. Pelajar tidak diberi kerja
2. Pelajar tidak tahu buat kerja
3. Pelajar disuruh buat kopi untuk bos
4. Buat kopipun pelajar tak tahu
5. Pelajar hanya tahu buat kopi
6. Pelajar tidak belajar di sebalik kerja buat kopi
7. IPT tidak ajar pelajar buat kopi (dengan betul)

Mengapa ya?.


Latihan industri tak berkesan

Oleh : Rusnita PechokNedstat Basic - Free web site statistics

Pelajar IPT tidak berpeluang praktik ilmu dipelajari di kampus: Ong

LATIHAN industri yang dilakukan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) kurang berkesan dan gagal membantu mereka meningkatkan kemahiran serta mempraktikkan ilmu dipelajari di kampus kerana penyertaan terhad kepada kumpulan tertentu saja.


Selain itu, pelatih tidak diberikan bimbingan dan tunjuk ajar sesuai dengan kursus diikuti di universiti, malah ada antara mereka diminta melakukan tugasan kurang sesuai seperti menjadi pembantu pejabat atau membuat minuman untuk majikan.



Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Ong Tee Keat, berkata pelajar yang mengikuti latihan industri sepatutnya diberikan tugasan yang boleh membantu kerjaya mereka apabila tamat pengajian, bukannya pekerja murahan.

"Majikan perlu menjadikan latihan itu sebagai peluang mendapatkan pekerja berpotensi, kerana mereka memantau sendiri kebolehan pelatih dan kaedah itu lebih baik daripada mengadakan temu duga," katanya ketika berucap merasmikan Program Penerokaan Kerjaya (CEP), Kolej SEGi di Subang Jaya, semalam.

Ong berkata, majikan seharusnya memberikan tunjuk ajar kepada pelatih dengan memberikan tugasan bermanfaat dan memberi pendedahan mengenai tugas sebenar bakal dilalui kelak.

Katanya, program amali berkenaan perlu dilaksanakan secara serius bagi memastikan graduan bersedia memasuki pasaran pekerjaan kerana keputusan cemerlang dalam peperiksaan tidak bermakna jika mereka tiada persediaan ke alam pekerjaan.Nedstat Basic - Free web site statistics

Sambil menyifatkan langkah diambil Kolej SEGi bekerjasama dengan pelbagai syarikat bagi memberi peluang pelajar menjalani latihan amali sebagai satu tugas mencabar, beliau berharap, lebih banyak IPT mengambil langkah sama.

"Sebarang usaha untuk memberi peluang kepada pelajar membuat persediaan ke alam pekerjaan perlu disokong dan IPT perlu mengorak langkah mengadakan kerjasama dengan pelbagai sektor untuk melaksanakannya," katanya.

Sementara itu Pengarah Pembangunan Perniagaan SEGi Berhad, Ailin Ton Isahak, berkata program CEP memberi peluang pelajar memperoleh pengalaman dalam dunia pekerjaan sebenar.

Katanya, menerusi program berkenaan, graduan dijangka mampu bersaing untuk menempatkan diri dalam pasaran pekerjaan yang mencabar.

Menerusi program itu, mereka bekerjasama dengan Jobstreet.com yang menyediakan laman web mikro bagi memadankan pelajar dan latihan industri bersesuaian di syarikat terpilih.

Sumber : Berita Harian 13 / 4 / 07

Sunday, April 15, 2007

LOBI PROJEK TAK SALAH

[Petikan Dari Mingguan Malaysia] Hari ini.

Tidak salah usahawan Melayu lobi projek – Najib

Oleh: FAUZIAH AROF

SHAH ALAM 14 April – Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, amalan melobi untuk mendapatkan sesuatu projek kerajaan yang dilakukan oleh sesetengah usahawan Melayu tidak salah tetapi perlu menggunakan keuntungan diperoleh bagi menjana kekayaan bangsa.

Timbalan Perdana Menteri agak kesal kerana kebanyakan usahawan Melayu yang sudah mendapat keuntungan melalui projek kerajaan, hanya membelanjakannya untuk kegunaan sendiri.

Tindakan itu, kata beliau, tidak membantu usahawan Melayu untuk berkembang apatah lagi menjana kekayaan bangsa.

‘‘Saya tidak marah melobi, tak apa lobilah tetapi apabila mendapat keuntungan gunakan keuntungan itu untuk melabur pada projek lain pula.

‘‘Jangan lepas itu belanja keuntungan tersebut, tunggu pula projek baru dan lobi lagi. Kita perlu ada konsep untuk menjana kekayaan, barulah boleh maju sebuah bangsa” kata beliau.

Najib berkata demikian ketika berucap melancarkan Gagasan Badan Ekonomi Melayu (Gabem) Selangor, di sini hari ini.

Hadir sama Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo; Pengerusi Gabem, Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik dan Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Muhammad Muhd. Taib.

Dalam pada itu, Timbalan Perdana Menteri berkata, usahawan Melayu juga terlalu tertumpu kepada satu bidang terutamanya pembinaan untuk menjana kekayaan.

‘‘Bila kita ada Pusat Latihan Khidmat Negara (PLKN), semua hendak bina kem PLKN. Kita mempunyai kira-kira 46,000 kontraktor Kelas F iaitu yang terbanyak di dunia.

‘‘ Mereka ini hanya tumpu pada pembinaan tetapi tidak mahu menceburi bidang perniagaan baru yang jarang diceburi oleh usahawan Melayu,” katanya.

Dalam majlis tersebut, Najib turut mengisytiharkan Gabem sebagai sayap ekonomi UMNO yang berperanan memperkasakan kedudukan ekonomi Melayu.

‘‘ Ada dua perkara kita perlu meningkatkan ekonomi kita. Pertama, kita sebagai peneraju politik negara.

‘‘Tidak guna kedudukan kita hebat tetapi ekonomi tidak tegap, nanti orang akan mempersoalkan kewibawaan kita,” katanya.

Perkara kedua, kata Najib, Malaysia hanya mempunyai 13 tahun lagi untuk mencapai matlamat menjadi negara maju.

‘‘Kita sedar Lembah Klang dan Selangor menjadi nadi ekonomi negara. Kita berharap usahawan di sini akan menyumbang kepada pencapaian keseluruhan untuk menjadikan Malaysia negara maju,” katanya.

YIN SELAMAT DITEMUI DALAM KEADAAN SELAMAT



ALHAMDILILLAH.
Yin telah selamat ditemui.
Yin dalam keadaan selamat.
Ibu bapa Yin akan adakan doa selamat.

Sebelum penemuan Yin, beberapa teori mengenai kehilangan beliau termasuklah:-

1. Dilarikan oleh penagih dadah.
2. Dicolek untuk minta wang tebusan
3. Dilarikan untuk operasi pemindahan organ
4. Dilarikan untuk dipotong tangan/kaki dan dijadikan peminta sedekah
5. Dilarikan oleh makhluk halus
6. Sindeket jual budak

Alhamdulillah semua sangkaan tersebut meleset.

Saturday, April 14, 2007

PERINGATAN

SESEKALI beri peringatan @ kongsi ilmu bagus juga. Cumanya dalam masyarakat kita, inti-pati peringatan itu biasanya tidak diambil ikhtibar. Apa yang paling ditekankan sangat ialah untuk menyampaikannya sahaja. Ala-ala surat berantai gitu.... Semoga peringatan sebegini diambil ikhtibar dan tidak dijadikan surat (mel/blog) berantai sahaja.


Perkongsian ilmu untuk hari ini (Selasa)
1.Berikan al-Quran pada seseorang,dan setiap dibaca, Anda mendapatkan hasanah.

2.Sumbangkan kerusi roda ke hospital dan setiap orang sakit menggunakannya, Anda dapat hasanah.

3.Berkongsi bahan bacaan yang membangun dengan seseorang.

4.Bantu mendidik seorang anak.

5.Ajarkan seseorang sebuah do'a. Pada setiap bacaan do'a itu, anda dapat hasanah.

6.Berkongsi CD Quran atau Do'a.

7.Terlibat dalam pembangunan sebuah masjid.

8.Tempatkan pendingin air di tempat umum.

9.Tanam sebuah pohon. Setiap seseorang atau binatang berlindung dibawahnya, Anda dapat hasanah.

10.Hantarkan message ini dengan orang lain. Jika seseorang menjalankan salah satu dari hal di atas, Anda dapat hasanah sampai hari Qiamat.
Insya Allah....

zalisa mazlan (4/11/2007 1:02:47 AM): majidah2 (4/10/2007 5:05:58 PM):

Friday, April 13, 2007

BAYANG & LAYANG



Hidup bagai bayang-bayang
hitam segala nampak seragam
beza warna hakikat

Hidup bagaikan layang-layang
bebas terbang
namun dikawal talinya

Thursday, April 12, 2007

CAKAP SERUPA BIKIN

CAKAP SERUPA BIKIN

KINI ramai benar jurujual yang menjaja ubat pelangsing. Agak menghairankan ialah tubuh si penjual adalah dalam kategori obesiti. Ramai juga orang yang menjual alat make-up, pelicin pembersih muka. Muka sendiri dipenuhi jerawat dan jeragat. Namun cukup menghairankan produk mereka, walaupun kurang ternama, cukup laris mereka jaja. Mengapa ya?

Kini saya di luar kantor lagi. Hadir program motivasi, program pembentukan kumpulan.

Apakah yang perlu ada pada seseorang motivator?. Barangkali begini (selebihnya anda tambahlah)
-ilmu
-perawakan
-karisma
-sikap terpuji
-suara yg baik/jelas
-lawak semula jadi
-faham & mesra pelanggan
-
-
-

Namun semuanya tiada di sini.

Wednesday, April 11, 2007

SUKAN ATAU SOKAN ?

SOKAN

MASA zaman kanak-kanak, saya pernah mengajak ayah melihat saya bersukan (bermain sukan) di sekolah. Ayah saya agak kurang faham dengan perkataan sukan tersebut. Akhirnya setelah mengetahui perkara sebenarnya, maka dia memberitahu saya bahawa orang dahulu menyebutnya sebagai spok (dari perkataan sport). Generasi sebelum saya juga menyebutnya spot (bunyinya spok).

Namun di zaman milinium ini ejaan sukan telah disebut dan dibunyikan sebagai sokan secara rasminya. Inilah peredaran zaman.

Mengikut Pak Yazid, sukan bermaksud suka-sukaan. Mengikut beliau jika ia disebut sokan, ia adalah suatu kesalahan kerana ia tidak memberi makna yang dimaksudkan.

Mengapa sukan disebut sokan?. Adakah lidah akan tergeliat nak sebut sukan?. Jika orang Terengganu walaupun ia menyebut sukan seberapa daya, masih dapat dikesan bunyi sukang. Begitu juga dengan orang Kelantan, yang sedaya mungkin akan control macho, namun akan terdengar juga sukae. Namun bagi yang menyebut sokan, dia menjadi terlalu bangga untuk menyebut sokan dan mempengaruhi 20 juta pendengar radio dan penonton tv untuk mengatakan sokan adalah untuk sukan.

Menteri sukan tak marah ke apabila menteri lain sebut sukan sebagai sokan?. DBP tak mahu adakah kursus sebutan baku ke kepada semua ahli YB, khususnya menteri supaya menyebut perkataan Melayu dengan betul?.

Tuesday, April 10, 2007

BERAK

ORANG Melayu memang amat sensitif dan peka terhadap berak. Mungkin anda tidak percaya. Mungkin anda marah-marah kerana menggunakan perkataan berak dan tidak buang air. Namun cuba renung-renungkan betapa pentingnya jamban kepada orang Melayu. Jangan marah kerana saya tidak menggunakan tandas, bilik air atau kamar kecil.

Seingat saya orang Melayu cukup marah apabila jamban di PWTC tidak menyediakan gayung dan baldi untuk membasuh berak. Sebaliknya satu Malaya heboh apabila jamban-jamban di PWTC memancutkan air sendiri untuk basuh berak. Orang Melayu marah-marah sebab tidak puas basuh berak dengan cara begitu. Kenapa PWTC?. Oh di situlah tempat perhimpunan terbesar orang Melayu, partai Muslim kedua besarnya di dunia. (Yang pertama di mana ya?).

Kemudian di Putrajaya. Sungutan utama di kompleks pentadbiran kerajaan serba mewah ini juga adalah pasal berak. Jamban di Putrajaya juga tidak menyediakan gayung dan baldi. Namun ia lebih baik sedikit daripada di PWTC kerana ia menyediakan paip air. Namun tidak mendapat kepuasan maksima juga berpaip.

Jika pergi ke mana-mana, rumah tumpangan, hotel, surau, masjid, atau mana-manalah keutamaan yang utama bagi orang Melayu ialah .... tempat berak ayng sempurna, salah satu daripadanya.

Apakah maksud perkataan berikut?.

- Ayam berak kapur
- Dia berakkan aku
- Kerja aku sapu tahi dia
- Dia berak merata-rata
- Makan tidur berak
- Makan free berak cangkung
- Hangat-hangat tahi ayam
- XXX tak basuh berak
- Bereak tahi hijau
- Berak tahi emas
- Gajah berak besar, kancil pun hendak berak besar,
- Siapa yang mau mengaku berak di tengah jalan
- Di situ makan, di situ berak
- Duduk sama tinggi, jongkok sama-sama berak.


:) Apa-apa pun kawan, aku dah banyak kali kena beraklah kat kawan aku yang sorang tu :-(

Monday, April 09, 2007

TETAMU SAYA



TETAMU saya terdiri daripada pengunjung Tesco, Giant, Carefour dan Jusco.

Adakah maklumat ini bermakna kepada anda?.


(Barangkali Mydin boleh mengiklankan barangan mereka di blog saya?)

Sunday, April 08, 2007

YA TIDAK BERTITIK

ORANG Melayu tahu bahawa hrruf jawi "ya" bertitik dua di bawah. Bagi huruf ya yang tidak bertitik pula, bunyinya boleh jadi "ya", "yi" ataupun "yu" bergantung kepada tandanya. "Ya di atas ya", "Ya di bawah yi", "ya di hadapan yu".

Bagi orang Jepun "hai" ataupun "hait" adalah bermakna "Ya". Namun "hai" tidak semestinya "ya", dalam erti kata "ya bertitik dua di bawah". Apabila seseorang Jepun berkata hai, ia tidak semestinya ia mengiyakan ataypun ya.

Kajian menunjukkan terdapat enam jenis hai digunakan:-

1. Saya mendengar dengan cermat apa yang ada katakan.
2. Terima kasih kerana bertanya saya
3. sama-sama (selepas ucapan terima kasih)
4. Saya sedia membantu atau saya akan patuh
5. Saya faham
6. Saya setuju dengan apa yang anda cakap.

Saya 'dengar', 'terima kasih', 'sama-sama', 'faham' dan 'setuju' tidak semestinya YA. Dalam masyarakat Melayu, perkataan insyaallah (yang telah diMelayukan) barangkali adalah yang paling tepat dengan perkataan hai Jepun ini.

Saya ingin berkongsi cerita dengan tuan/puan mengenai pengalaman saya berurusan dengan pihak Jepun. Setiap bulan saya bermesyuarat di Kedutaan Jepun.

Ini adalah salah satu mel saya kepada mereka yang terlibat sebaik pulang darti mesyuarat:-


Saya telah menghantar empat kertas cadangan bagi pihak myJICA yang semuanya mengikut garis panduan seperti di atas. Kertas cadangan XXX telah saya ubahsuai dan telah maklumkan kepada YYY.

Walau bagaimanapun dalam pembentangan, saya hanya membentangkan cadangan penajaan cerita kanak-kanak ini. Sampel/mock-up buku diedarkan kepada semua hadirin dan saya membuat pembentangan. Kesemua reaksi ahli mesyuarat saya rakamkan melalui jelingan sambil bercakap untuk memberi keyakinan kepada mereka. Alahai, kalaulah bengkel bagaimana mempengaruhi orang lain boleh dipraktikkan lebih awal, sudah tentu suasanannya akan berlainan sama sekali.

Anda semua tahu apabila memasuki perkarangan kedutaan, kesemua perkara milik kita perlu ditinggalkan di luar. Telefon, kamera, notebook dan segala-galanya mesti diserahkan kepada jaga. Sebab itulah saya hanya boleh merakam melalui jelingan sahaja. Oh ya, orang yang telah 'ditapis' macam saya ni bolehlah bawa kereta memasuki kedutaan, jika tidak terpaksalah menapak saja (saja puji diri sendiri ni).

Hasil daripada rakaman lensa jelingan tersebut, saya membaca bahasa badan mereka, semuanya bersetuju, kagum dan amat berminat dengan siri buku ini. Seperti biasa, tidak sepatah perkataanpun, samada YA atau TIDAK diucapkan. Namun saya perhatikan, tidak seorangpun yang tidak seronok dengan sampel buku tersebut. Boleh dikatakan setiap muka surat, setiap perkataan mahu ditelaah oleh mereka. Saya membuat kesimpulan (syok) sendiri bahawasanya mereka bersetuju dengan cadangan untuk mencetak dan mengedar buku tersebut. Namun.... EOJ tidak ada duit, lantas siapa yang boleh menaja?. Dalam rakaman saya juga menunjukkan Pengarah Japan Foundation adalah yang paling lama membuat penelitian dan banyak membuat catatan mengenai buku tersebut (barangkali dia mencatat alamat XXX kot?). Mengapa saya bersangka baik yang dia mencatat alamat XXX?. Dari pengalaman saya memperkenalkan sebuah syarikat untuk membekalkan PC dan peralatan pejabat kepada pihak Jepun, apa yang mereka buat ialah pergi melawat dulu ke pejabat berkenaan dan selepas berpuas hati, barulah kerja diberikan.

Akhirnya pengerusi memecahkan kesunyian dan mengucapkan terima kasih, tanpa komen apa-apa. (Pengerusi hari ini ialah Menteri di Kedutaan. Dalam mesyuarat lepas Pengarah JIS)

Sdra Alif-san sudah tentu teramat maklum bahawa dalam budaya Jepun:
Ya (hait) = Belum tentu Ya lagi
Very Good = Mungkin
Ya tetapi .... = Tak ada harapan
Saya kurang faham = GERENTI kena tolak.

Selepas mesyuarat selesai, dua orang datang berjumpa saya untuk membeli buku-buku ini untuk diletakkan di perpustakaan agensi mereka.

Keputusan saya:
Saya hantar semula kertas cadangan asal dari XXX dengan peruntukan RM360,000 seperti yang diminta. Saya akan salinkan juga kepada Japan Foundation.

Kesimpulan:
1. Kita kena tunggu April juga walaupun mesyuarat selanjutnya ialah 5 Mac.
2. Jangan cetak lagi sehingga keputusan muktamad diperolehi.
3. Jangan terlalu yakin, jika ada rezeki, alhamdulillah.


Hasilnya dari mesyuarat minggu lepas, hanya satu dari empat cadangan telah dipersetujui. Cadangan tersebut ialah yang tidak dibentangkan, iaitu Bengkel Haiku.

Sekian terima kasih.

Saturday, April 07, 2007

KENAPA KTM MUNDUR?

ADAKAH Keretapi Tanah Melayu (KTM) mundur?. Saya tak tahu.



SAYA tinggal di Kajang. Tidak jauh dari stesen komuter. Namun baru minggu lepas saya ke KL menggunakan komuter. Pengalaman pertama menggunakan komuter dari Kajang ke KL Sentral ini tidak begitu memuaskan.

Semasa beratur untuk memasuki stesen (saya menggunakan kad Touch n Go), seorang penumpang terkial-kial tidak tahu untuk memasukkan tiket ke tempatnya. Ia membuatkan palang tidak terbuka dan beliau tidak dapat memasukinya. Akibatnya Q menjadi panjang. DAtang seorang petugas KTM yang dibayar gaji untuk memberi bantuan dan kemudahan serta keselesaan kepada penumpang yang membayar sejumlah wang untuk membolehkan beliau menerima gajinya. Apa yang terjadi?. Budak ini ditengking, diherdik, dicemuh dengan macam-macam perkataan. Bodoh, bongok, tak reti bahasa, bengong dan sebaginya. Apa-apa sahajalah yang emak-bapak dia ajar, semua dia keluarkan kepada budak tersebut. Kesemua tindakan tersebut saya pandang penuh dengan sikap perkauman.

Seeloknya KTM letaklah kamera CCTV di situ dan pecat sahajalah staf yang sedemikian rupanya. Lebih baik ambil sahaja staf dari Bangla atau Myanmar atau dari mana-mana, walaupun tak berapa tahu cakap Melayu, saya rasa boleh membantu. Gajipun murah.

Kemudian, setelah memasuki stesen, saya termangu-mangu samada ingin ke sebelah kiri ataupun kanan landasan untuk ke KL. Tidak ada papan tanda langsung (Jika ada, maknanya ia tidak dapat membantu kerana saya gagal untuk menemuinya). Terang dan nyatalah bahawa stesen ini diwujudkan untuk orang yang sudah biasa sahaja, bukan untuk orang yang belum biasa dengan stesen ini. Stesen ini untuk orang buta huruf sahaja, sebab tidak ada panduan bertulis. Apa yang tertulis ialah ke Rawang. Adakah mahu ke KL perlu ikut Rawang?. Saya tawakal sahajalah. Jika bertanya kang, takut kena marah dan takut juga pelempang singgah ke muka dia pulak.

Dalam train pulak, memang confirm untuk orang yang dah biasalah. Tiada panduan stesen. Pemberitahuan stesen dibuat macam berbisik sahaja. Nasib engkaulah labu.... nak turun kat stesen mana.

Rasanya banyak perkara yang perlu dilakukan oleh KTM untuk memajukan perkhidmatan komuter ini. Terlalu banyak. Namun KTM mungkin bertanya, buat apa meningkatkan perkhidmatan?. Gerabak sekarang dah penuh, dah sendat. Jika perkhidmatan bagus, kat mana lagi nak letak penumpang?. Duit kami dah banyak.... buat apa jadi lebih bagus?.

Friday, April 06, 2007

60? OH TIDAK 55 AJA DEH

ADA ura-ura kerajaan akan menaikkan usia kakitangannya dalam perkhidmatan awam dari bersara 55/56 tahun ke 60 tahun. Adakah anda setuju usia persaraan adalah 60 tahun?.

55:
Aku tak setuju. Tak setuju. Jika pencen umur 60, di mana lagi ada kehidupan?. Bila masa nak merasa kehidupan ini untuk diri sendiri?. Berpuluh tahun jadi kuli, bila 60 baru pencen dan lepas tu ke dunia lain. Oh tidak... 55 saja cukup

60:
Pencen 60 tu bagus.... Kesihatan kita kian meningkat baik, purata hayat hidup kita semakin meningkat. Umur 60 tu muda lagi dan masih produktif lagi. Banyak perkara yang boleh disumbangkan kepada rakyat melalui kerajaan. Kita patut menikmati kehidupan sebenar semasa dalam perkhidmatan, bukan selepas pencen. Masa kerja inilah kita boleh pergi oversea, boleh naik kapalterbang kelang perniagaan, duduk hotel 5-6 star. Jika dah pencen jangan haraplah, mana ada duit. Lagipun kita perlukan duit, sebab itu pencen 60 tu bagus.

55:
Engkau lainlah. Semuanya engkau fulun. Aku ni tangga kapalterbangpun aku tak kenal, kelas ekonomipun tak sudi terima aku. Hotel bintang-bintang tu boleh bilang dengan harakat saja dalam masa 25 tahun perkhidmatan aku ni. Sedih aku mengenangkan layanan terhadap perkhidmatan aku. Jeles aku kat hang. Lebih baik aku p[encen awal dan aku boleh buat apa yang aku nak buat, bukan harap simpati majikan.

Aku:
Hmmm... 55? ... 56? ..... 60?
(entahlah labu...)

Thursday, April 05, 2007

WHOAMI

SUDAH tiga hari tulis fasal PTD. Hingga ada yang menyangka saya ni PTD. Tak apalah. Itu perkara biasa.

Di sini saya perturunkan siapa saya (who am i). Majikan saya telah bayar puluhan ribu ringgit untuk dapatkan maklumat ini bagi semua pekerjanya dan kemudiannya penyesuaian kerja dan pasukan kerja dibentuk berdasarkan maklumat ini.

Sesiapa yang kenal saya, atau rasa macam kenal saya, bolehlah beri ulasan, samada maklumat yang diberikan ini adakah betul saya...


Penyabar, tidak gopoh, berfikir dengan mendalam menjadi karakter individu yang ramah, tenang dan bersahaja ini. Beliau seorang yang merancang tugasnya dengan teliti dan bertindak secara terancang dan tekal.Beliau juga seorang yang bertimbang rasa dan merendah diri yang boleh bergaul dengan sesiapa sahaja. Sebaik sahaja beliau menyesuaikan diri dengan corak kerja yang sudah mantap, individu ini mampu mengekalkan rentak kerja yang tetap dan memberikan prestasi yang tidak berubah-ubah, dengan pergerakan terancang dan sederhana. Seorang individu yang mudah bertolak ansur yang suka membantu mereka yang dianggapnya sahabat. Individu ini suka bersahabat rapat dengan sekumpulan kecil rakan sekerja yang beliau kenal rapat.

Perhubungan beliau bersama keluarganya erat dan lebih suka berada di rumah setelah selesai bekerja daripada merayau malam.Individu ini ingin kerja yang membabitkan pengkhususan, dan persekitaran kerja biasa serta corak kerjanya yang boleh diduganya.

Sebelum menyesuaikan diri dengan sesuatu perubahan, beliau ingin mengetahui dan berbincang mengenainya terlebih dahulu.Keterjaminan, penghargaan yang jujur dan kata-kata yang menenangkan adalah faktor yang penting bagi individu ini.

Kaedah pintas dan bantuan memulakan projek baru akan membantu individu ini menepati tarikh akhir.Individu ini juga perlu merasakan beliau sebahagian daripada kumpulan kerja yang lengkap.

Beliau adalah seorang pentadbir yang sangat baik dan mempunyai keupayaan menyelesaikan setiap tugasan berseorangan, sesuatu yang jarang didapati pada individu lain. Beliau menyelesaikan tugasannya menurut lojik dan bersistem, serta memastikan tiada yang tertinggal.

Apa-apa laporan yang ditulis oleh individu ini tepat dan rasional, tanpa ditambah-tambah dan berkemungkinan ditulis dalam bahasa yang diplomatik.


* terjemahan dari BI telah dilakukan oleh Siti Hajar. Terima kasih daun keladi.

Wednesday, April 04, 2007

PTD MENANG

PTD tetap ditempatkan di jabatan pendidikan. Penempatan pegawai dibuat secara berperingkat mulai bulan ini kata Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr Ahmad Sipon. Siapa Datuk Dr Ahmad Sipon?. Beliau bukan doktor. Beliau bukan PTD, beliau adalah cikgu, tetapi jawatan beliau ialah Ketua Pengarah Pelajaran. Beliau profesional.

Tidak dinafikan cikgu juga memang ada yang mahir mentadbir. Akan tetapi kerja mentadbir adalah kerja PTD. Jadi berilah kerja pakar kepada pakarnya. Tidak dinafikan juga ada sesetengah (sebilangan kecil) cikgu yang boleh menguruskan akaun dan kewangan, tetapi skim perkhidmatan telah menetapkan bahawa kerja itu perlu dilakukan oleh akauntan. Usahlah kondem kata akauntan tak tahu buat kerja, cikgu lebih tahu buat buku kira-kira. Itu memang kerja akauntan.

Cikgu juga ada yang boleh gunakan komputer, tetapi kerja hakiki cikgu ialah mengajar. Jadi Pegawai Teknologi Maklumat (PTM) adalah khusus untuk kerja-kerja ICT, walaupun ada kalanya PTM ini rabun komputer. Itu kerja mereka, biarkanlah mereka buat kerja mereka, walaupun di pejabat kita. Kita (cikgu) tak mahu nanti di sekolah komputer, bukan cikgu yang mengajar, tetapi PTM.

p.s Konon cerita, PTD tak perlu masuk bidang ICT, tetapi PTM yang akan masuk PTD. Lagi cekap PTM ni rupa-rupanya ;-)

Tuesday, April 03, 2007

TOLAK (LAGI)

DULU pernah PTD nak jadi guru besar dan pengetua sekolah. Mengapa? Sebabnya kerja pengetua adalah mentadbir, bukan mengajar. Cikgu bukannya cekap mentadbir. PTD lebih cekap dalam pentadbiran. Logik bukan?.

Cikgu tolak pakatan ini dengan cara yang profesional sekali. Semua guru besar dan pengetua sekolah dimestikan masuk kelas dan mengajar sekurang-kurangnya 1 subjek seminggu. Ajarlah subjek kesihatan atau tatanegara atau apa-apa subjek yang tak ada peperiksaan.

Kemudian PTD nak masuk hospital pula, sebagai pengarah hospital. Mengapa?. Sebab pengarah hospital tidak merawat pesakit, tidak masuk wad. Pengarah hospital kerjanya mentadbir sahaja. Apa doktor buat?. Semua pengarah hospital diarahkan merawat pesakit dalam beberapa jam seminggu. Selamatlah depa.

Akhirnya Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) dibuka juga untuk PTD sebab kerjanya adalah mentadbir. Namun Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) masih ditutup dan ditolak. Kukuhkah alasannya?. Saya rasa rapuh.

Mungkinkah kita kekurangan doktor kerana doktor tidak menjadi doktor (ambil gaji doktor) tetapi doktor jadi pentadbir. Doktor jadi programmer. Doktor jadi penganalisis komputer?.

Entahlah labu.

Monday, April 02, 2007

TOLAK PTD

BERITA hari ini menceritakan tentang "Guru bersatu tolak PTD".

PTD adalah singkatan dari Pegawai Tadbir dan Diplomatik. Perkhidmatan kerajaan membahagikan pegawai/kakitangan mereka kepada beberapa skim. Dari sini wujudlah PTD, PTM, Jurutera, Guru, Doktor dan sebagainya. Setiap skim mempunyai skop dan bidang tugas mereka masing-masing. Kelayakan masuk juga berbeza dari skim ke skim.

Andaian dalam syarikat ialah ada jurujual, teknikal, akaun dan yang seumpama dengannya. Yang berneza mungkin CEO atau GM company boleh dipegang oleh sesiapa sahaja yang layak. Tidak kiralah apa latarbelakang mereka. Orang teknikal boleh masuk bidang jualan dan pengurusan biasanya.

Dalam kerajaan, Ketua Setiausaha Negara (KSN) dan semua Ketua Setiausaha Kementerian (KSU) mesti PTD. Kebanyakan ketua pengarah juga adalah PTD.

Pengkhususan utama PTD ialah pentadbiran. Tidak kiralah samada pentadbiran tanah, sumber manusia, ICT, kewangan, akaun, diplomatik atau apa sahaja, asalkan pentadbiran.

Semua orang tahu bahawa doktor kerjanya ialah merawat pesakit kan?. Namun pengarah hospital tidak ada pesakit dan 99% kehidupannya ialah mentadbir. Namun adakah doktor boleh mentadbir secekap PTD?. Cikgu pula kerjanya mengajar kan?. Guru besar? Og HM tidak lagi mengajar, tetapi mentadbir. Jika guru yang ditempatkan di kementerian atau Jabatan Pendidikan Negeri (JKN) sudah tentu tidak ada murid. Dia tidak mengajar. Lantar guru buat apa?. Dia menjadi pentadbir. Adapun pentadbiran cikgu @ guru ini adakah setara dengan pentadbiran PTD? Yang tidak tahu lain selain mentadbir sahaja?.

Jika PTD pandai mentadbir, mengapa guru tolak PTD?. (Doktor telah menerima PTD. Di setiap Jabatan Kesihatan Negeri (JKN), PTD adalah Pimbalan Pengarah Pengurusan,. sementara pengarahnya adalah doktor.

Alasan yang diberikan oleh cikgu ialah dengan adanya PTD di Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), ia akan menyempitkan lagi peluang kenaikan pangkat cikgu. Nah di sini bukan soal pentadbiran atau rakyat yang diutamakan, tetapi soal naik pangkat. Kerajaan patut menyelesaikan perkara ini dulu...

Jika dilihat kepada doktor, adakah peluang kenaikan pangkat doktor tergugat dengan adanya PTD di JKN?. Atau adakah PTD banyak menyumbang dalam JKN?. Para cikgu dan guru kena tanya doktor dulu...

Sunday, April 01, 2007

RUGI? GULUNG TIKAR!


Dua orang model terkini proton. - gambar hiasan

DIBERITAKAN bahawa 70% wakil penjual kereta Nasional Malaysia, Proton menghadapi risiko gulung tikar disebabkan kerugian sejak tahun lepas.

Mengapa mereka rugi?. Mereka kata kekurangan model baru dan pembeli lebih tertumpu kepada model kereta yang lebih sesuai untuk kegunaan keluarga (MPV?).

Jika dulu, wakil penjual jenis inilah yang paling gah. Bakal pembeli jangan haraplah nak beli kereta proton dengan cepat. Tak mahu aksesori tertentu. Nak warna tertentu. Nak beli tunai?. Sorry, kena berhutang. Sekarang?.

Soalannya ialah, siap yang rugi sebenarnya?. Proton atau penjual proton atau pengguna proton?

Nasib baik ada tikar, bolehlah gulung dan jual. Lagipun karpet dah lama dan banyak yang disimpan di rumah kan?.

;-)

TAMAT ATAU TAK SAMBUNG?

AKHBAR harian hari ini hampir semuanya memberitakan tentang Ketua Pengarah BPR ditamatkan perkhidmatannya. Adakah ia benar?.

Beliau telahpun bersara wajib tiga tahun lalu. Kemudian beliau dilantik sebagai KP secara kontrak. Kontrak beliau boleh disambung dari setahun ke setahun ataupun tidak disambung. Kontrak beliau juga boleh ditamatkan.

Kontrak beliau tamat semalam (30 Mac). Pukul berapa?. Biasanya kontrak perkhidmatan begini tidak dinyatakan jamnya, tetapi lazimnya pada saat kad dirakam keluar (jam 5.30pm), itulah jamnya.

Apabila kontrak telah tamat, perlukah ia ditamatkan lagi?. Ia hanya tidak diperbaharui sahaja, bukan ditamatkan.

Apabila telah mati, perlukah ia dibunuh?.
Apabila telah kalah, perlukah ia ditewaskan?
Apabila telah pencen, perlukah ia dibersarakan?
Apabila telah bercerai, perlukah dijatuhkan talak?

Ayat mau jaga beb!.