Saya menerima sapaan daripada sdr Aliff Mustakin di FB:
Tuan MBA, ada catatan yang saya titipkan di blog saya mengenai buku Buat Duit Dengan Foto. Terima kasih kerana menulis buku tersebut.
Berikut adalah catatan beliau daripada blognya
28 Disember 2009
Buat Duit Dengan Foto
Satu “ledakan pencerahan” berlaku di dalam minda saya apabila selesi membacanya. Buku ini baru sahaja saya beli dari kedai buku. Sampai segera saya tulis di blog. Saya begitu teruja bila membaca dua bab terakhir buku tersebut. Pada bab kedua terakhir ini saya petik kata Mypokcik yang menyebut, “fotografi adalah hobi yang cukup menarik kerana melibatkan kedua-dua bidang ilmu utama, iaitu sains dan seni (science and art)”. Di sini lalu saya tangkap perkara yang kena dengan saya iaitu sains dan seni. Begitu juga dengan haiku dan haiga yang disebutnya sebagai bonus di dalam buku ini.
Buat Duit dengan Foto
Sebenarnya saya membeli buku ini bukan atas tujuan untuk mengambil jurusan fotografi pada 2010 akan datang. Dan ini bukan buku akademik atau modul. Tetapi atas minat kepada fotografi semenjak dahulu lagi. Saya juga belum membeli kamera DSLR untuk pengajian. Tetapi dengan membeli buku ini cukup memberi motivasi yang kuat kepada saya. Saya benar-benar mahu berterima kasih kepada penulis buku ini iaitu Tuan Muhammad bin Ali, yang saya kenali sebagai MBA dalam dunia haiku dan merupakan kawan baik guru saya.
Buat Duit Dengan Foto(BDDF) adalah satu panduan yang mudah kepada sesiapa sahaja memiliki kamera atau mula berminat dengan foto. BDDF bukan sebuah panduan untuk mengambil foto. Tetapi sedikit sebanyak memberi tip asas untuk kita mengambil gambar yang betul dan mengelak kesilapan. Ini sedikit sebanyak dititipkan pada beberapa bab buku ini.
Bab-bab terawal membawa pembaca kepada pengenalan bisnes foto, bisnes internet dan beberapa kemahiran yang perlu ada buat peminat foto. Bab 2 pembaca dihidangkan dengan istilah mikrostok dan stok foto. Kemudian pembaca akan diberi laluan bagaimana Flirk dan Ebay boleh memberi pendapatan kepada anda. Pada bab 3 pembaca ditekankan kepada beberapa kemahiran untuk melibatkan dalam bisnes foto. Aspek suntingan, katakunci dan bagaimana sesebuah foto direject dihuraikan pada bab ini.
Pada bab 4 pembaca dipacu kepada keperluan untuk memulakan bisnes foto. Sebenarnya untuk memulakan bisnes ini kos yang diperlukan cuma rendah sahaja. Ini membuktikan bahawa fotografi bukan lagi satu hobi yang mahal lagi. Dengan modal RM1000 sahaja sesiapa boleh mula menjalankan bisnes ini. Tuan MBA juga memberi huraian mengenai agensi-agensi stok foto seperti BigStockPhoto dan Fotolia yang boleh memberi jalan keuntungan kepada anda.
Pada bab-bab berikutnya penulis memberi panduan penggunaan E-Wallet seperti Paypal. Pembaca dididik dengan aspek pengurusan yang betul-betul beguna untuk sesiapa yang baru berminat untuk memulakan atau untuk meneruskan perniagaan foto. Dan bab-bab terakhir penulis memberi panduan mengenai beberapa organisasi stok foto. Bab 11 penulis membawa pengalaman sebenar beberapa peminat fotografi yang terjun ke dalam bisnes foto. Bab ini tentunya memberi perangsang yang berguna buat pembaca. Dan pada bab terakhir penulis tidak lekok memberi beberapa petua dan tip dari segi kaedah dan sebagainya mengenai foto. Yang menariknya anda akan diberikan 50 idea yang boleh anda praktikkan dengan kamera anda untuk menjana duit.
BDDF saya syorkan kepada semua untuk membacanya samada pro atau amatur. Juga buat sesiapa yang baru mula untuk masuk ke dunia fotografi seperti saya. Percayalah anda tidak rugi membelinya. Bukunya padat dan ekonomi. Memang best!
Dicatat oleh Aliff Mustakim di 18:18
Label: Fotografi, Non-Fiksyen
terima kasih daun kelada Aliff Mustakim.
Monday, December 28, 2009
Friday, December 25, 2009
SINOPSIS TRAVELOG UK
MANUSKRIP ini telah agak lama saya siapkan. Mungkin 99%. Namun saya 'malas' untuk menghantar ke mana-mana penerbit. Mungkin saya perlu tunggu buku Travelog Jepun diterbitkan terlebih dahulu agaknya.
Untuk memenuhi seseorang dalam facebook, saya sertakan rajah minda buku tersebut. Barangkali Tuan Izani boleh imbau kembali kehidupan di Glasgow dahulu.
Untuk memenuhi seseorang dalam facebook, saya sertakan rajah minda buku tersebut. Barangkali Tuan Izani boleh imbau kembali kehidupan di Glasgow dahulu.
Monday, December 21, 2009
MESYUARAT ADALAH MATLAMAT
PADA tahun lepas, saya menghadiri lebih daripada 250 mesyuarat rasmi. Sayugia diingat bahawa hari bekerja dalam setahun, selepas ditolak hari minggu, hari kelepasan, hari cuti dan sebagainya hanyalah 200+ hari sahaja. Ini bermakna setiap hari adalah mesyuarat, sekurang-kurangnya satu. Banyak daripada mesyuarat ini adalah merupakan "must do list" dan bukannya "nice to have". Maknanya ia wajib diadakan dengan bilangan yang sudah ditentukan dalam setahun.
Dulu, iaitu lama dahulu saya pernah didatangi oleh sekumpulan juruaudit. Mereka meminta semua minit mesyuarat projek yang diadakan. Saya serahkan beberapa buah fail minit yang kemas tersusun. Mereka tidak berpuas hati kerana minitnya tidak cukup.
Audit: Sepatutnya ada 52 minit mesyuarat. kami cuma menemui 30 sahaja. Mana yang selebihnya?.
Saya: Mesyuarat tidak diadakan, sebab itu tidak ada minit.
Audit: Mengapa tidak buat mesyuarat?
Saya: Itu adalah keputusan pengerusi. Dia fikir tidak perlu buat mesyuarat kerana tidak ada isu.
Audit: Mesyuarat bukan hanya apabila ada isu. Dalam perjanjian sudah termaktub mesti buat 52 mesyuarat setahun, iaitu setiap Isnin.
Saya: Saya faham, tetapi pengerusi tidak mahu adakan mesyuarat.
Audit: Mengapa tidak nasihatkan dia? Nanti dia akan jawab 'saya tidak diberi nasihat'.
Saya: Saya sudah nasihat, tapi dia tidak mahu dengar.
Audit: Mana bukti awak beri nasihat?. Berikan saya fai, surat atau memonya.
Saya: Dia bos saya. Masakan saya beri memo pada bos. Itu tidak munasabah.
Audit: Ini bermakna awak tidak beri nasihat. Setuju?
Saya: Projek ini tidak ada masalah, mengapa perlu adakan mesyuarat?.
Audit: Masalahnya ialah kerana tidak adakan mesyuarat.
Akhirnya saya mendapat tahu bahawa sabitan ini digugurkan dan saya dibebaskan atas kesalahan tidak beri nasihat kepada bos supaya mesyuarat diadakan. Bekerja di situ, lama dulu, ya lama dulu sangat seronok mesyuaratnya. Saya naik ketagih untuk mesyuarat. Saya pernah mendapat cuti sakit dan terpaksa bertongkat. Namun saya masaih datang bekerja bertongkat semata-mata untuk hadir mesyuarat. Seronok, sungguh seronok.
Wednesday, December 16, 2009
IDEA TIDAK MASUK AKAL
SETIAP pegawai awam di peringkat pengurusan tertinggi akan dibekalkan dengan sebuah kereta. Pada zaman dahulu, superscale C adakan diberikan Volvo. Superscale B dan ke atas pula diberikan sebuah Mercedes atau yang sepadan (ada juga sebahagian kecil pegawai yang gemarkan BMW ataupun Audi). Kini semuanya, termasuk menteri dibekalkan dengan Proton Perdana. Dulu pejabat perlu mencari duit dan membeli sendiri kenderaan ini. Kini semuanya dibekalkan oleh syarikat yang dilantik, iaiatu Spanco.
Bagi pegawai lain, mereka juga ada 'hak' yang tertentu. Misalnya motorsikal (bagi penguatkuasa, peronda dll), komputer dan pencetak, kalkulator dan pelbagai kemudahan pejabat yang lain.
Kerap kali, apabila pegawai baru masuk kerja, mereka tidak dapat dibekalkan dengan peralatan seperti komputer. Ini adalah kerana komputer tidak dibeli sekiranya jawatan masih belum diisi. Ia adalah untuk mengelakkan pembaziran, di mana komputer lebih banyak daripada staf. Setelah staf melapor diri untuk bekerja, (pengambilan dibuat oleh agensi pusat yang lain) duit peruntukan untuk membeli komputer telahpun habis. Pegawai ini perlulah menunggu pusingan pembelian berikutnya untuk dibekalkan dengan komputer.
Idea tidak masuk akal saya ialah, kerajaan boleh melantik agen atau kedai atau yang seumpama dengannya untuk membuat bekalan ini. Apabila pegawai baru melapor diri, dia diberikan satu kupon dan bolehlah ke mana-mana kedai yang telah dilantik untuk 'membeli' komputer tersebut. Cara bayarannya terpulanglah.... boleh dibuat seperti kereta di atas.
Jika pegawai yang dibekalkan dengan kereta, mereka juga diberikan waran untuk membeli minyak dengan had yang tertentu di stesen minyak yang ditentukan. Oleh itu, pegawai yang dibekalkan dengan komputer juga boleh diberikan waran untuk membeli kertas, dakwat dan sebagainya dengan had yang tertentu. Pandai-pandailah dia berjimat.
Logik atau tidak idea tidak masuk akal ini?.
Monday, December 14, 2009
JEMPUTAN ENVISIONING myJICA
SEMUA JICA ex-participants adalah dijemput untuk hadir ke sesi myJICA envisioning seperti berikut:
Tarikh: 16-17 Januari 2010 (Sabtu-Ahad)
Masa: 8am (Sabtu) - 12.30pm(Ahad)
Tempat: Genting View Resort, Genting Highland
Kemudahan: Penginapan 1 malam beserta makan-minum
Bayaran: Percuma
Kami akan membahagikan peserta kepada 4 kumpulan:
1. Junior: Mereka yang baru pulang dari Jepun dan masih baru dengan myJICA
2. Senior: Mereka yang telah lama bersama myJICA
3. EXCO: Ahli Jawatankuasa myJICA
4. Tomodachi: Rakan2 myJICA, khususnya dari sektor swasta yg ingin membantu. Mereka tidak semestinya ex-participants atau ahli myJICA. Keutamaan diberikan kepada alumni Mt.Fuji, Alumni Homestay atau mereka yang pernah bekerjasama dengan myJICA.
p.s
1.Anda boleh membawa keluarga kerana kemudahan bilik adalah 'single occupancy'. Walau bagaimanapun makan-minum ahli keluarga adalah tanggungan sendiri dan masa check-in ialah 2pm.
2. Kesemua aktiviti dibuat secara dalaman (bilik).
Kepada yang berminat mohon hantarkan e-mel mengandungi nama, alamat dan e/phone kepada info@myjica.net
Add "JICA Malaysia" sebagai rakan Facebook anda untuk memudahkan komunikasi selanjutnya.
Tuesday, December 08, 2009
RAHSIA MENJADI JUTAWAN
SEJAK akhir-akhir ini pelbagai kursus, ceramah, buku, vcd dan pelbagai perkara diterbit dan disiarkan untuk menjadi jutawan.
1. Benarkah kita boleh menjadi jutawan dengan mendengar perkara-perkara begini?
2. Mengapa ramai 'jutawan' yang sangat bermurah hati untuk memberi tahu orang lain rahsia mereka?
Berikut adalah senarai 10 rakyat Malaysia paling kaya-
1. TAN SRI ROBERT KUOK HOCK NIEN (AS$7.6 bilion)
2. ANANDA KRISHNAN (AS$7.4 bilion)
3. TAN SRI LIM GOH TONG (AS$4.3 bilion)
4. TAN SRI LEE SHIN CHENG (AS$3.9 bilion)
5. TAN SRI TEH HONG PIOW (AS$3.5 bilion)
6. TAN SRI QUEK LENG CHAN (AS$3 bilion)
7. TAN SRI SYED MOKHTAR AL-BUKHARY (AS$2 bilion)
8. TAN SRI YEOH TIONG LAY (AS$1.8 bilion)
9. TAN SRI TIONG HIEW KING (AS$1.2 bilion)
10. TAN SRI WILLIAM CHENG HENG JEM (AS$650 juta)
Saya fikir, semua mereka ini adalah terlalu sibuk untuk buat seminar (dan kutip duit) untuk memberitahu rahsia mereka menjadi jutawan supaya orang lain juga menjadi jutawan. Sangat logik. Mereka sibuk untuk menambah wang mereka supaya mereka menjadi lebih kaya. Mereka tidak ada masa untuk berceramah ke sana-sini semata-mata supaya orang lain menjadi jutawan. Melainkan ceramah itu adalah supaya mereka sendiri menjadi jutawan hasil daripada wang yang dipungut daripada bakal 'jutawan' yang datang mendengar ceramah demi ceramah, tetapi tidak ada satu produk atau servispun yang boleh dijual. Bagaimana boleh menjadi jutawan jika begitu?.
Mat Jenin tidak adaproduk untuk dijual, tetapi dia ada servis iaiatu upah panjat kelapa. Dari upah hasil servis itulah Mat Jenin kumpul duit dan beli harta dan pelaburan untuk jadi jutawan. Sayangnya dia tidak sempat turun daripada pokok kelapa.
Monday, December 07, 2009
MESYUARAT TIDAK MENGHASILKAN INOVASI
SEJARAH telah membuktikan bahawa mesyuarat tidak pernah dapat menghasilkan sebarang inovasi. Cuba kita renungkan kembali:-
1. Telefon dihasilkan oleh Alexander Graham Bell
2. Kapalterbang dihasilkan oleh Orville Wright dan Wilbur Wright
3. Tenaga elektrik ditemui oleh Benjamin Franklin
4. Sistem Komputer (OS) dipelopori oleh Bill Gates
Banyak lagi contoh, tetapi semuanya bukan hasil daripada mesyuarat, sebaliknya seorang dua yang mempunyai bakat atau kebolehan yang inovatif. Ia dinamakan jaguh.
Apakah kegunaan mesyuarat dalam menghasilkan inovasi?
Memelihara jaguh.
Thursday, December 03, 2009
ALING: CUKUP UMUR BERSEKOLAH
1. Berdiri tegak
2.Tangan kanan pegang cupi telinga kiri melalui atas kepala
3. Oops... jangan sengetkan kepala, tangan betul-betul atas kepala
4. Boleh pegang telinga?. Awak boleh masuk sekolah. Sudah cukup umur.
Awang Muni, Awi Dicu, Doloh Koh dan Aling adalah empat sahabat sebaya. Mereka dilahirkan pada tahun yang sama. Hatta belajar dalam kelas yang sama.
Adapun guru besar di Sekolah Kebangsaan Peroh pada masa itu bernama Cikgu Latif. Cikgu Latif pergi dari sebuah kampung ke sebuah kampung mencari budak-budak yang telah boleh bersekolah. Syarat asas untuk budak-budak lelaki dan perempuan untuk memasuki sekolah ialah mereka ini mestilah sudah tahu berpakaian. Sekiranya mereka ini sentiasa berkaki ayam juga tidak mengapa, asalkan mereka boleh memakai kasut, dalam erti kata kaki mereka tidak melecet atau cedera dimakan oleh kasut. Sekiranya masih berseluar pendek tanpa baju dan berperut buje, sudah tentu Cikgu latif tidak akan membuat saringan ke peringkat kedua. Juga penting ialah budak-budak ini tidak dari jenis yang kencing dalam seluar. Jika jenis yang kencing malam dalam tidur itu tidak mengapa.
Perkara yang paling penting untuk budak-budak lulus pergi ke sekolah ialah apabila mereka berjaya memegang cuping telinga kiri dengan tangan kanan yang melintasi kepala. Sekiranya tidak Berjaya, budak-budak ini dikategorikan sebagai belum cukup umur untuk bersekolah.
Aling, Awang Muni, Awi Dicu dan Doloh Koh masuk darjah satu dalam usia enam tahun. Ia itu lebih muda setahun berbanding dengan umur rasmi masuk ke darjah satu. Mereka berempat orang ini sahajalah yang belajar di sekolah itu dalam darjah satu.
Adapun sekolah Peroh ini hanya mempunyai tiga orang guru sahaja. Ia itu Cikgu Latif yang merupa guru besar dan juga kerani sekolah. Dia juga mengajar matematik dan bahasa melayu. Dia juga menjual makanan di kantin sekolah. Seorang lagi ialah Ustaz Muawiyah yang mengajar ugama. Cikgu Ngah pula mengajar ilmu alam dan senaman serta bahasa Inggeris.
Oleh kerana murid darjah satu hanya empat orang sahaja, maka mereka ditempatkan bersekali dengan murid darjah dua. Tempat mereka berempat ialah di barisan hadapan sekali dalam kelas.
Tuesday, December 01, 2009
SAYANG ZyXEL !
SABTU lepas modem-router untuk streamyx di rumah terbakar akibat kena panahan petir dan kilat. Hancus. ZRouter Zyxel ini sengaja dibeli kerana kebolehannya membekalkan IP statik. Apa gunanya IP statik?. Saya nak lihat CCTV rumah daripada handphone. Tidak banyak modem-router yang mempunyai keupayaan sedemikian.
Namun jika telah dipanah petir, beli baru sahajalah ...
Saya hubungi ZyXEL Malaysia dan amat memeranjatkan kerana waranti modem ini ialah selama 3 tahun dan tetap diganti atas apa sahaja kerosakan termasuk panahan petir buat kali pertama. Dipendekkan cerita, hari pertama kerja (Isnin), saya telah mendapat ZyXEL yang baru dan yang rosak dibawa pulang.
Sayang ZyXEL.
Terima kasih Erna.
p.s Jikalah ZyXEL buat filem iklan macam POTONG itu.... jadikan kilat dan guruh dan dapat ZyXEL baru, rasanya berlipat kali ganda jualan tu. Saja beri idea saja kat Erna Fezura.
Subscribe to:
Posts (Atom)