AHAD YANG PENUH TAPI KOSONG
Jam 10pagi meninggalkan rumah dan sampai semula jam 10malam, mengalahkan orang yang bekerja atau pemain golf profesional. Seawal pagi sudah terpacak memunggah hadiah ke stor, menguruskan senarai pemain, berurusan dengan penaja, membuat koordinasi dengan kelab. Menerima dan membuat panggilan yang bertalu-talu. Yang datang bersama cuma seorang. Yang seorang lagi sudah jam 12 masih di rumah. Yang lain-lain memang ditugaskan untuk datang 12:30. Tetapi goodies masih belum semuanya tiba, masih berbaki dua untuk dimasukkan dalam bag. JAm 11 telefon, berjanji akan datang segera selepas mandi, jam 12:30 masih belum siap-siap mandinya?. Apa jenis mandinya ni....
Sebulan sebelum itu juga sudah sibuk begini. Beberapa mesyuarat bersama yang dibuat di KGPA, kedatangan cuma sekerat-dua. Majoriti yang datang dari sebelah sana. Kita ni jika kerja tak bermesyuarat dikatakan buat kerja sendirian dan tidak mendapat mandat. Bila dibuat mesyuarat tak nak datang. Alasan paling kerap yang didengar ialah 'oh... kucing aku nak beranak, kena balik kampung nak tengok ni, ini anak sulung dari bapak siam yang dikasi ni'.
Waktu pendaftaran ialah jam 1pm. Seawal jam 12 sudah riuh ramai peserta yang datang, sedangkan petugas masih bersantai. Pendaftaran kali ini agak "sedikit" kecoh kerana beberapa kesilapan kecil, ada nama yang tercicir, soal siapa dah bayar siapa belum dan yang paling besar menyumbang kepada kekecohan itu ialah apabila ada walk-in flight yang terpaksa diterima. Ini menjejaskan semua flight yang telah diatur. Insiden yang paling menebalkan muka aku ialah apabila ada penaja yang sumbangkan hadiah bernilai RM20,000 (sumbangan terbesar) tidak dapat bermain walaupun dia datang paling awal. Sebabnya namanya tidak tercatat dan kebutulan ada nama lain yang sama namanya dengan beliau. Itu kesilapan organizer. Akhirnya beliau dapat juga bermain setelah aku pujuk-rayu Naib Presiden supaya mempengaruhi seorang pemain lain di kalangan organizer supaya menarik diri. Organizer ni kira OK jugalah, ada datang mesyuarat sekali dan hari ini datang pagi. Selain dari tu, hampeh... satu perkarapun tak buat, kira nak main free aje. Sorang lagi datang macam VIP dan langsung tidak menghairaukan apa yang berlaku dan dengan sehingga saat ini tidak tahu apa-apa rasanya. Main free jugalah ni, nasib baik kau tak dapat hadiah PDA yang diidam-idamkan tu.
Jam 3 masih belum selesai semuanya. Majlis ditinggalkan kepada VP yang dah kenyang dan kami pergi makan, gunakan kad keahlian yang diberikan. Selesai makan, solat dan yang lain pulang ke rumah ataupun shopping. Ada yang datang semula dan ada yang terus ghaib. Tinggal aku berdua dengan ajk lain. Buat semua kerja yang berbaki seperti uruskan minuman pemain yang bertukar hole, dan yang paling memenatkan mengangkat, memindah dan menentukan kategori hadiah dari stor ke dewan utama. Apabila siap saja kerja, yang lain sampai. Pandai sungguh depa ni. Bertuah isteri dan anak-anak hangpa semua dapat suami misali begini.
Dato' Aseh tiba jam 7:20pm, sedangkan sebahagian besar masih belum habis bermain (mula lambat sebab tak cukup buggy). Apa-apahal pun solat dulu dan tukat tshirt penaja sebelah malam pula (tanpa mandi). Hampir jam 8 dewan belum dipenuhi dan kali ini VIP menunggu pemain. MOga-moga dato tidak kecil hati. Yang paling membingunkan ialah juruacara majlis masih belum dapat dikesan (beliau bermain flight terakhir). Markah masih belum diperolehi dari club. Sementara semuanya selesai, hadirin dijemput makan dulu. Makanan OK agaknya sebab aku sorang je yang tidak ada kesempatan untuk makan, bukan tak cukup makanan tapi tak cukup masa. Mengintai ke dewan makan, sah penaja utama tadi tidak kelihatan dan khabarnya sudah balik. Nasib baik dia tak balik sebelum bermain. Dia orang yang bersabar dan gentlement (kalau aku jadi dia, memang balik awal-awal lagi). Sebelum itu dua pemain dari IBM pulang sebelum bermain kerana ketiadaan tempat. Sebabnya dia datang lambat dan faktor adanya walk-in tadi. Tapi yang ni tidaklah ralat sangat, moga dia tidak serik (sebenarnya aku yang serik - malu sebenarnya).
Ucapan alu-aluan oleh kedua-dua presiden dan majlis penyampaian hadiah berlangsung dengan jayanya. Pemenang hadiah utama, perisian MS bernilai RM10,000 datang menemui ku di akhir majlis, mengembalikan semula hadiah, minta dijual separuh harga sebab beliau tidak tahu apa benda ni sebenarnya. Ini satu lagi beban..... Di akhir majlis juga seorang paling penting dalam penajaan ini datang memberi komen. Bagi aku komen ini adalah terlalu ikhlas dan memang tepat. Kami dapat hadiah tajaan lebih kurang RM30,000 semuanya dari lebihkurang 10 penaja. Apa yang penaja mahu? Kalau boleh bermain dengan VIP (Tan Sri Sam batalkan seminggu sebelum tarikh, dato' aseh dua hari selepas tan sri yang lain-lain dah tak dapat dikejar dan memberi alasan-alasan valid mereka - kena hormati). Atas nasihat beliau yang mewakili semua penaja, kita panggil VIP yang tak boleh bermain samada untuk datang lunch atau dinner. Itu sudah mengembirakan penaja. Alhamdulillah dato' aseh setuju datang dinner atas usaha pegawai beliau yang juga orang kuat persatuan. Jadi penaja mahu mendengar nama syarikat mereka disebut dalam ucapan atau pengumuman. Tentu mereka rasa kecewa bila syarikat mereka tidak disebut, tetapi principal mereka yang tidak menyumbang disebut. Apa salahnya sebutkan sekali. Tak tahulah aku mengapa kurang pekanya para pengucap sedangkan senarai penaja telah diberikan.
Akhir sekali setelah semua jemputan pulang, kami masih tidak boleh ke mana-mana kerana menguruskan soal bayaran. Duit yang dipungut dan diterima tidak seimbang dengan senarai. Rasanya sampai pagipun tidak akan selesai. Ambil keputusan ringkas (kuasa veto), perkara ini dibuat offline dan kita perlu balik. Dalam perjalanan ke rumah singgah di stesen petronas untuk beli roti sardin untuk mengalas perut yang dah lama menyanyikan lagu keroncong, nasib baik kepala tak sakit sebab perut kosong (biasanya begitu). Sampai jam 10 lebih, anak bongsu menunggu di pintu (dia tak akan tidur sebelum dapat tengok abah dia - kebiasaannya begitu). Makan roti dan berkongsi air dengan Aqur (nama ciptaan dia sendiri untuknya).
Begitulah sebuah Ahad yang terlalu penuh, tetapi sebenarnya kosong.
Dahlah begitu, Sabtu juga dari 11am hingga 4pm juga di luar kerana dua tugas tidak bergaji.
Maaf kepada semua yang selepas ini dapatlah mudah-mudahan membaca isi hati
Maaf kepada isteri yang selalu ditinggalkan hinggakan terpaksa ke pasar sendirian
Maaf kepada anak-anak yang terpaksa menunggu hingga larut malam
Maaf kepada kariah surau al-Islah kerana dah lama tak jenguk muka
Maaf kepada ahli rukun tetangga kerana selalu tersilap haribulan.
Maaf kepada semua-semua.
No comments:
Post a Comment