JUSA
JUSA ialah singkatan kepada Jawatan Utama
Sektor Awam, ia itu gred pengurusan tertinggi dalam perkhidmatan awam. Secara
gurauannya JUSA dipanggil Jutawan Sektor Awam. Buku ini adalah memoir saya dari
Tingkatan Biasa ke JUSA C. Ia itu pengalaman selama 30 tahun dalam perhidmatan
awam. Saya hanya menulis cerita saya dan bukan memberi panduan bagaimana menuju
ke gred JUSA.
Anak atau cucu kita yang masih bersekolah
rendah barangkali sudah tahu mengenai cita-cita mereka. Maksudnya bukan sekadar
untuk ditulis dalam buku laporan, tetapi memang cita-cita sebenar mereka.
Semasa di sekolah rendah, saya memberi tahu cikgu cita-cita saya ialah untuk
menjadi polis, guru dan posmen. Cikgu saya membantah “guru itu lebih tinggi
berbanding dengan polis. Awak kena susun betul-betul cita-cita awak ini”. Entah
bagaimana, saya boleh menjawab “polis itu jika saya dapat masuk universiti,
cikgu jika masuk maktab dan polis jika saya tidak lulus sekolah menengah”. Saya
memang tidak ada cita-cita langsung semasa di sekolah rendah. Hingga kini saya
tidak tahu apakah keputusan peperiksaan penilaian darjah lima saya.
Semasa di sekolah menengah, saya
bercita-cita untuk belajar di Sekolah Alam Shah. Walau bagaimanapun keputusan
SRP saya hanya melayakkan saya untuk ke Sekolah Menengah Sains (SMS) sahaja.
Maka saya belajar di SMS Terengganu (kini dikenali sebagai SESMA). Semasa di SESMA,
saya lebih mengenali alam kerjaya seperti doktor, jurutera dan saintis. Selepas
SPM, saya menyertai matrikulasi di Sekolah Alam Shah (SAS). Seterusnya ke
Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Jalan Pantai Baru. Ketika di universiti,
kerjaya pilihan masih bercelaru. Saya hanya perlu lulus dan hanya perlu
memikirkan mengenai kerjaya selepas sudah ada ijazah. Saya mengkhusus dalam
bidang kimia, tetapi tidak begitu berminat untuk menjadi ahli kimia. Saya
memilih kimia kerana ia adalah subjek pertengahan di antara biologi yang banyak
menghafal dan fizik yang banyak penggunaan matematik. Hanya biologi, fizik dan
kimia sahaja yang ada dalam fakulti sains di UKM pada masa itu, selain
matematik dan statistik.
Ketika di tahun akhir pengajian, dalam
tahun 1980, saya mendaftar dengan penganjur biasiswa, ia itu Jabatan
Perkhidmatan Awam untuk bekerja. Saya ditawarkan untuk bekerja dalam bidang
komputer dengan cara mengambil diploma lepasan ijazah dalam bidang tersebut.
Saya mendapat tawaran ke Australia. Tanpa berfikir panjang, saya tidak
meneruskan pengajian di UKM untuk ijazah kepujian. Dengan ijazah Am yang
diperolehi, saya menyertai JPA dan penempatan pertama saya sebelum melanjutkan
pelajaran ialah di Jabatan Telekom Malaysia (JTM) di Bukit Mahkamah, Kuala
Lumpur. Jawatan saya ialah Penolong Pengawal Telekom di Bahagian Rangkaian
Suis. Ia itu bahagian komputer di JTM. Latikan saya di JTM adalah secara
sangkutan.
JKR
Atas sebab-sebab tertentu, saya tidak ke
Australia, sebaliknya ke Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) untuk belajar
dalam Diploma Analisa Sistem. Setelah tamat latihan, saya ditempatkan di Ibu
Pejabat Jabatan Kerja Raya (JKR) pada Disember 1982 secara lantikan sementara.
Lantikan secara tetap dibuat pada 15 Januari 1983. Saya ditempatkan di Pusat Komputer
JKR atas jawatan Juruanalisa Sistem (JAS), Tingkatan Biasa. Saya adalah JAS
pertama dan satu-satunya pegawai Ikhtias dan Profesional dalam bidang komputer di
JKR. Rakan sekerja saya terdiri daripada jurutera, arkitek dan juru ukur bahan.
Di JKR saya mendapat pengalaman bekerja dengan menggunakan minikomputer PDP/11,
minikomputer Prime dan kerangka utama IBM. Di JKR saya membangunkan sistem
personel yang dinamakan SEPAKAT. Sistem ini digunakan sehingga kini dan telah
menjalani pelbagai penambahbaikan.
Walaupun saya dalam gred timescale sahaja,
saya telah ditugaskan untuk menjadi tutor penggunaan aplikasi komputer kepada
YB Menteri. Saya juga dikehendaki untuk berurusan secara langsung dengan Ketua
Pengarah Kerja Raya (KPKR). Saya juga diberi peluang menjadi tenaga pengajar
sambilan di Pusat Latihan JKR, yang kemudiannya bertukar menjadi IKRAM dan kini
UIKL. Saya juga dihantar bermesyuarat dengan jabatan-jabatan lain seperti
Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan JPA.
Semasa di JKR saya telah mengenali gred jawatan.
Pada masa itu gred JUSA belum diwujudkan lagi. Gred tertinggi ialah superscale.
Bos saya adalah superscale G dan bos dia superscale F. Jika superscale D sudah
dapat kereta volvo dan superscale C dapat Mercedes atau BMW. Itu sahajalah yang
saya tahu pada ketika itu.
JPA
Dalam tahun 1989 saya bertukar ke Jabatan
Perkhidmatan Awam (JPA). Saya ditempatkan di Unit Komputer, Bahagian Latihan
dan Kemajuan Kerjaya (BLKK) bertempat di Bangunan PERKIM, Jalan Ipoh, Kuala
Lumpur. Semasa di JPA, saya berpeluang menjalani latihan di Okinawa, Jepun.
JPJ
Saya dinaikkan pangkat sebagai JAS
Tingkatan Kanan dan ditukarkan ke Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) pada tahun
1990. Saya ditugaskan sebagai Ketua Seksyen Pembangunan Sistem di JPJ. Pada
masa itu Bahagian Konputer JPJ ditempatkan di JPJ Selangor, Petaling Jaya.
Komputer yang digunakan ialah Sperry Univac. Kemudiannya saya terlibat dengan
aktif dalam projek pengkomputeran JPJ yang dilaksanakan secara turnkey oleh
Perbadanan Nasional Berhad (PNB). Projek ini dinamakan SIKAP/2 ia itu singkatan
kepada Sistem Informasi Kenderaan dan Pemandu. Penglibatan saya bermula pada
saat awal meliputi kertas cadangan, kontrak, spesifikasi, pengujian dan hal-hal
teknikal. Saya dilantik mengetuai seksyen teknikal komputer JPJ. Di JPJ saya
mengaut penhalaman dalam bidang teknikal IBM, OS/2, SNA, DB2 dan seterusnya
pengujian dan pelaksanaan sistem.
Setelah enam tahun di JPJ, saya memohon
menyambung pelajaran di peringkat master dan terpilih ke United Kingdom (UK)
pada tahun 1996. Saya memperolehi MSc (IT) dengan disertasi Methodologi
Pembangunan Sistem Web di Leeds Metropolitan University (LMU). Methodologi ini
masih lagi valid hingga sekarang.
JANM
Pada 1997, saya pulang ke Malaysia dan
ditempatkan dalam pool. Di sini tugas utama saya ialah hadir ke pelbagai sesi
temuduga mewakili JPA. Kemudian saya ditempatkan ke Jabatan Akauntan Negara
(JANM) sebagai Timbalan Pengarah (Komunikasi) dengan gred F48. Saya melakukan
beberapa pembaharuan di JANM, khususnya minda staf komputer supaya lebih
menerima sistem terbuka dan tidak hanya tertumpu kepada pakej perakaunan sedia
ada yang berasaskan kepada COBOL.
Seterusnya saya menyertai XYBASE Sdn Bhd
yang menjalankan projek Kerajaan Elektronik Akauntan Negara (EGAG). Semasa
dalam projek EGAG, saya sempat hadir kursus Software Quality Assurance (SQA) di
New York, USA. Pengalaman bekerja dengan pihak swasta, khususnya dalam bidang
pembangunan sistem adalah suatu pengalaman unik yang sangat sukar untuk
diperolehi.
Hospital
Selayang
Setelah tempoh pinjaman selama dua tahun
tamat, saya ditukarkan ke Hospital Selayang. Saya dilantik sebagai Ketua
Jabatan IT (HoD IT) dan masih dalam Gred F48. Hospital Selayang adalah hospital
IT yang pertama di dunia. Bidang IT di sini dikuasai sepenuhnya oleh para doktor.
Saya adalah merupakan HoD IT yang kelima di Hospital Selayang. Saya dapat
merasai dan mengalami suasana kerja di sini sangat menarik. Segala usaha kerja dapat dilihat secara
langsung dinikmati oleh pengguna, ia itu kakitangan hospital dan pesakit. Di sini
saya berpeluang belajar pengurusan vendor yang sangat-sangat berharga dalam
bidang IT. Tempoh saya bekerja di Hospital Selayang cuma dua bulan sahaja,
namun saya memperolehi pengalaman kerja melebihi dua tahun.
MITI
Saya dinaikkan pangkat ke Gred F52 dan
ditempatkan di Bahagian ICT, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri
(MITI) di Jalan Duta, Kuala Lumpur. Jawatan saya ialah Pengurus Kanan yang
bertanggungjawab dalam pembangunan sistem dan hal-ehwal ICT MITI.
KKM
Dari MITI saya ditukarkan ke Kementerian
Kesihatan Malaysia (KKM) sebagai Timbalan Setiausaha Bahagian (SUB) dengan gred
F54. Jawatan Timbalan SUB dalam Gred 54, tidak lagi bekerja dalam bidang
teknikal. Tanggungjawab lebih tertumpu kepada modal insan, latihan, kerja
berpasukan dan hal-hal yang melibatkan soft skill. Bekerja di KKM sangat
menteronokkan. Skim Pegawai Sistem Maklumat (PSM) adalah imbangan di antara
Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) yang menguasai Kementerian dengan Pegawai
Perubatan (Doktor) yang menjadi teras Jabatan.
JUSA
Setelah tiga tahun di KKM, bos saya
dinaikkan pangkat ke JUSA B dan bertukar ke MAMPU, Jabatan Perdana Menteri.
Tanpa diduga, saya dijemput ke JPA untuk menerima watikah lantikan ke JUSA C,
sebagai SUB di KKM.
MAMPU
Pegawai JPA datang menemui saya sebelum
solat Jumaat membawa sepucuk surat pertukaran saya ke MAMPU pada hari Isnin.
Ini dikira sebagai pertukaran 24 jam. Saya berkhidmat di MAMPU sebagai Pengarah
Pematuhan ICT dan juga Pegawai Keselamatan ICT. Bos lama saya telah memohon untuk bersara
untuk berkhidmat sebagai profesor di sebuah universiti. Setelah genap 30 tahun
perkhidmatan dengan kerajaan, saya mengemukakan surat permohonan bersara awal
dan ia diterima oleh kerajaan.
3 comments:
Apa sebab tuan bersara awal
Sudah tidak ada keseronokan bekerja (walaupun bekerja bukan utk seronok).
STRESS.
Saya tertanya2, apa jawatan tuan sebelum bersara awal. Rupanya JUSA C!
~ridwanto~
Post a Comment