Labels

Friday, April 30, 2004

KELATE

SEMALAM mba melawat sebuah jabatan pesakit luar dan mendengar perbualan berikut antara pesakit dan perawat:

Perawat: domo kelate ko? (adakah anda orang Kelantan)
Pesakit: a’a yo lo ah (Oh ya … confirm)
Beberapa dialog lagi tidak lagi penting dimuatkan, tetapi yang penting kemudiannya ialah layanan di antara pesakit dan perawat yang lebih mesra diperolehi.

Teringat semasa di jabatan ABC di awal 90an dulu. Apabila tiba masa untuk mba dinaikkan pangkat oleh JPA, ada sedikit masalah (masalah besar), di mana laporan pengistiharan harta masih belum diluluskan oleh jabatan. Mesyuarat jawatankuasa ini hanya diadakan sekali atau dua sahaja setahun. Alamak, habislah peluang untuk naik pangkat. Untuk dijadikan cerita, mba tawakallah sajalah menelefon pegawai khas kepada KP untuk mengadu hal. Lebih kurang dialog begini berlaku:

Pegawai: Oh demo oghe Kelate jugok, tak dok masaalohlah, pete ni kawe gi juppo dato’. Esok mat talipon semula. (memandangkan U orang Kelantan, tak ada apa-apa masalahlah, petang ini saya akan jumpa Dato’ dan silalah telefon semula esok).

Diringkaskan cerita, laporan harta saya telah disiapkan keesokan harinya. Apabila saya Tanya semula, bila mesyuarat diadakan?. Jawabnya: senang sahaja, Dato’ adalah pengerusi, dan dia adalah setiausaha dan bawa satu kes sahaja dan lulus kerana “keyword” yang digunakan.

Mulai dari situ, saya mula menggunakan keyword tersebut (iaitu bercakap telo Kelantan) dan memberitahu kawan-kawan yang ingin berurusan dengan beliau supaya juga berbuat begitu.

Semasa pertama kali mba bertemu Seri Adriani, dia juga menggunakan keyword tersebut
Seri: “Demo Kelate ko?”
Mba : “yo lo ah” (senyum)

p.s Padahal mba dan seri adriani bukan orang Kelantan (tetapi kami senegeri)
Isteri mba dari Perakpun berjaya menggunakan keyword ini dalam kes-kes tertentu






Thursday, April 29, 2004

PALESTIN-ISRAEL BERLAKON?

MUNGKINKAH konflik dan peperangan Palestin-Israel hanyalah lakonan semata-mata?. Adakah perseteruan di antara PAS dan UMNO juga hanyalah mainan politik semata-mata?. Rakyat jelata yang menjadi penonton bergaduh dan berpuak-puak sedangkan para pemimpin mereka bergelak ketawa dan berpeluk-pelukan di parlimen?. Entahlah, mungkin ya mungkin tidak.

Walau apapun saya cukup terharu membaca sebuah karangan oleh seorang pelajar Jepun, Ms. Yoko Saito mengenai dua orang pelajar yang menjadi keluarga angkat mereka. Mereka ialah Ben (Israel) dan Mustaffa (Palestin). Sebagai hadiah kepada karangan tersebut, Yoko telah dibawa melawat Malaysia dan menjadi keluarga angkat JICA pada bulan Mac lepas. Ikuti kisahnya dan anda bolehlah membuat kesimpulan sendiri:-



Masa Hadapan

Suatu pagi saya bangun lebih lewat daripada biasa. Saya mendengar berita mengenai perletakan jawatan Perdana Menteri Palestina disiarkan di televisyen yang dibiarkan terbuka begitu.

Peperangan di antara negara Palestina dan Israel yang sudah lama berlanjutan serta latar belakang sejarah kedua-dua negara yang sangat rumit itu, nampaknya terbayang kemungkinan dapat diselesaikan dengan adanya pertolongan atau campur tangan dari negara Bangsa-Bangsa Bersatu dan negara-negara lain. Kedua-dua negara tersebut cuba berusaha mendekati satu sama lain. Tetapi ......................
“Perhubungan di antara Israel dan Palestina akan menjadi teruk ............”
“Melihat berita itu sebentar sahaja, wajah senyuman dua orang budak lelaki yang tidak berdosa, terbayang dalam kepala otak saya.”
“Selamat tengah hari.”
Semasa cuti musim panas hampir tiba ke penghujungnya dua orang budak itu telah datang ke rumah saya. Saya rasa mereka berdua sudah berulang-ulang kali cuba menghafal perkataan “Konnichiwa”. Setelah selesai menyebut “Konnichiwa”, wajah kedua-dua orang budak itu kelihatan senang hati dan nampak betul mereka rasa puas hati. Melihat air muka mereka yang sangat comel itu, tanpa disedari saya pun tersenyum.

Kedua-dua orang budak itu berumur sebelas tahun. Mereka datang ke Jepun untuk turut serta dalam program pertukaran antarabangsa. Negara asal mereka terletak jauh dari Jepun.

Seorang daripada mereka bernama Ben dan yang seorang lagi bernama Mustaffa. Ben berasal dari Israel dan Mustaffa pula berasal dari Palestina. Buat masa ini, mereka berdua yang menghadapi masalah antara kaum yang begitu rumit telah datang ke rumah saya untuk menyertai program keluarga angkat dan tidak benar sama sekali kalau kita katakan bahawa mereka berdua bebas dari perasaan bimbang. Tetapi, kalau dilihat dari bentuk tubuh badan dan perangai masing-masing, bertentangan benar antara mereka berdua. Warna kulit mereka pun berbeda. Macam-macam perkara yang dapat kami sekeluarga pelajari daripada mereka berdua.

Selama ini, di Jepun saya sentiasa melihat gambar di telivisyen mengenai Israel dan Palestina, gambar yang menunjukkan pengganas berani mati serta rumah-rumah yang runtuh akibat perbuatan pengganas yang sangat kejam, semua kisah yang menyayat hati sahaja. Tetapi mereka berdua telah menceritakan keadaan negara masing-masing dengan bersungguh-sungguh dan perkara ini amat menarik perhatian saya. Selain itu, keadaan mereka berdua berlainan benar dari apa yang saya lihat di televisyen. Kedua-dua mereka amat riang dan bersikap jujur serta mempunyai hubungan yang sangat rapat di antara satu sama lain. Saya tidak boleh bayangkan wujudnya peperangan di antara kedua-dua buah negara tersebut walaupun pada kenyataannya sememangnya sedang berlaku. Ben yang nampaknya lebih dewasa dan tenang memberi nasihat kepada Mustaffa yang suka berkelakar dan agak kebudak-budakan. Mereka berdua berkongsi makanan dan kuih yang dibeli serta bernyanyi bersama-sama. Walaupun bersikap demikian, takkanlah mereka tidak tahu mengenai peperangan yang berlaku di antara kedua-dua bangsa keturunan itu.
“Kami adalah sahabat karib”.

Kedua-duanya sentiasa berkata demikian. Seolah-olah mereka hendak menjadi kawan baik, sepanjang hayat mereka. Mari kita mendirikan sebuah negara yang aman damai. Nampaknya mereka berdua hendak berjanji antara mereka. Semasa melihat mereka berdua, nampaknya perjalanan ke arah mencapai keamanan bagi kedua-dua buah negara itu tidak jauh lagi. Tetapi semasa pulang ke negara masing-masing nanti, mereka akan dibedakan lagi “Orang Israel” dan “Orang Palestina”. Mereka juga akan bertemu dengan orang yang akan bermusuh di antara satu sama lain walaupun mereka sama-sama tinggal di bandar Baitulmuqaddis. Tetapi semasa mereka berhadapan dengan perkara tersebut, saya berharap mereka akan ingat kembali ‘perjanjian’ yang telah dibuat oleh mereka di Jepun. Saya juga berharap mereka tidak lagi bermusuh-musuhan di antara satu sama lain. Tetapi sebaliknya mereka hendaklah memberi tunjuk ajar tentang perkara-perkara yang baik kepada orang-orang di sekeliling mereka dan terus bergerak maju ke hadapan. Saya berharap semoga mereka dapat mengekalkan “persahabatan baik” itu....

Walaupun mereka hanya tinggal beberapa hari sahaja di rumah saya dan masa tersebut telah berlalu dengan begitu cepat, apa yang telah berlaku dalam beberapa hari itu sangat bererti buat saya. Musim panas inilah pertama kalinya saya memikirkan tentang keamanan dengan begitu mendalam. Selama ini saya tidak kisah memikirkan perkara itu. Kalaulah saya tidak bertemu dengan mereka berdua, Israel mahupun Palestina merupakan suatu tempat yang terlalu jauh, begitu jauh buat saya. Saya pun tidak terfikir untuk berusaha “mengetahui” negara mereka berdua kerana maklumat yang saya dapat menerusi televisyen sangat kurang. Mungkin terlintas di fikiran saya perkataan “bahaya”. Negara mereka berada dalam keadaan bahaya dan saya tidak fikir dengan mendalam tentang perkataan “bahaya.”
“Mengenali pasangan kita.” Saya fikir perkara yang penting dalam menjalankan kerjasama antarabangsa bermula dari detik pergaulan dengan kawan biasa.

Pada masa ini saya masih ingat lagi senyuman kedua-dua budak itu tergambar dengan jelas dalam kepala otak saya. Saya berhasrat hendak berusaha melaksanakan apa yang mampu saya lakukan untuk mengekalkan senyuman kedua-dua orang budak itu. Sebagai seorang insan di muka bumi ini saya hendak menolong mereka yang memerlukan bantuan kerjasama. Untuk mencapai cita-cita saya ini, apa yang harus saya lakukan buat masa ini ialah belajar bersungguh-sungguh serta memikirkan apa yang dapat saya lakukan untuk seseorang itu. Saya ingin hendak menjadi seorang insan yang berguna dan diperlukan oleh orang lain.

Sebelum ini cita-cita saya untuk masa depan tidak begitu jelas lagi, tetapi kini apa yang hendak saya lakukan di masa akan datang, menjadi semakin jelas dan nyata, seperti langit yang cerah tidak berkabus.



Bertudung rapi
Gadis Jepun nan cantik
Hanya hiasan

Yoko telah dipakaikan tudung oleh keluarga angkatnya


Wednesday, April 28, 2004

PETUA MENULIS BLOG

DIKUTIP petua mengenai penulisan weblog yang baik untuk dikongsi. Ia tidak semestinya yang diamalkan oleh penulis ;-)

1.Tulis bersebab
Kita mesti tahu mengapa kita menulis, apapun cerita/tema yang ditulis, mesti ada sebabnya. Selain dari ikhlas, jangan sekali-kali memfitnah dan menulis sesuatu yang kita tahu ia adalah tidak benar.

2.Kekerapan menulis
Menulis dalam weblog tidak perlu panjang-panjang, tetapi perlu konsisten. Jika mampu menulis setiap hari, teruskanlah. Jika selang sehari atau dua tiga hari sekali atau mungkin seminggu sekali, silakanlah asalkan konsisten dan tidak membiarkan pembaca tertunggu-tunggu buah yang tidak gugur.

3.Tulis Dengan Kemas
Elakkan dari tulisan dan ejaan yang merapu, yang hanya difahami oleh golongan tertentu sahaja. Jangan keterlaluan dalam rekabentuk. Rekabentuk berserabut, terlalu banyak grafik akan membebankan pembaca.

4.Cari Kawan
Baca tulisan orang lain, puji jika bagus dan ikhlas. Jangan harapkan sangat orang lain membaca tulisan kita jika kita tidak ingin membaca tulisan orang lain. Bertukar pendapat dengan penulis2 tersebut lebih berfaedah dari meminta penulis popular menyebut nama anda dalam tulisan mereka.

5.Cari Lawan Yang Baik
Pembaca sukakan kontraversi dan belajar dari perdebatan. Tidak bersetuju adalah memberangsangkan dengan hujah. Membaca hujah demi hujah mendewasakan minda kita. Jangan mencabar sebarangan dalam tulisan anda, ia mencari musuh. Lebih baik kenali siapa lawan anda dan bukannya musuh.

6.Rungkaikan Cerita
Tulislah untuk bercerita. Ceritalah apa yang boleh diceritakan, bukan rahsia yang tersimpul yang tidak perlu diketahui umum. Berterus terang dan bukan berteka-teki

7.Berceritalah
Jika anda pasti fakta dan telah membuat kerjarumah, anda mempunyai hak terhadap pendapat anda. Ceritakanlah. Jika ada tidak pasti betul atau salah, tanyalah diri anda mengapa anda menulis. Jika anda mahu jawapan dari pembaca, tanyalah. Begitulah seterusnya.

8.Relaks
Jangan risaukan sangat pasal ketepatan. Kesilapan ejaan sekali-sekala di sana-sini mungkin ada yang akan menegur, terimalah teguran. Jangan jadikan menulis weblog sebagai bebanan. Jangan curi masa kerja semata-mata untuk menulis (dan membaca juga). Jangan risau sangat tentang pembaca anda yang tidak ramai. Santai dengan jumlah pembaca yang anda ada dan jangan fikirkan sangat mengapa orang lain tidak baca tulisan anda. Suatu hari mereka akan datang ….

9. sambung ....

10. sambung lagi ....



penat sudah menanam padi
nenas juga dimakan orang
penat sudah menulis di sini
blog dia juga dibaca orang

Tuesday, April 27, 2004

KERAJAAN BAGUS II - GAJI

PADA kebiasaannya kakitangan kerajaan akan menerima gaji bulanan kira-kira seminggu sebelum berakhirnya bulan semasa. Jika ada peristiwa seperti perayaan keagamaan dan sebagainya, gaji akan dibayar lebih awal lagi. Misalnya pada bulan ini, gaji telah dibayar seawal 22 haribulan lagi. Saya percaya pada hari inipun sahabat dari sektor swasta masih lagi belum menerima gaji mereka sedangkan sahabat dari kakitangan kerajaan telah habispun gaji mereka. Sahabat saya dari sektor swasta memberitahu, jikalah dalam sebulan itu ada 35 hari, maka gaji dia hanya akan dibayar paling cepat pada 35 haribulan. Saya bertanya pula pada seorang MD pemilik sebuah syarikat. Katanya gaji stafnya biasanya akan dibayar pada minggu pertama bulan berikutnya, iaitu sebelum 7 haribulan pada bulan berikutnya. Sebabnya dah kerja, baru boleh bayar gaji.

Walau bagaimanapun dulu-dulu kita dengar bahawa staf kerajaan yang baru masuk bekerja, tidak akan dapat bayaran gaji untuk tiga bulan pertama. Gaji mereka akan dibayar lambat, iaitu setelah masuk bulan keempat barulah dapat cek secara sekali gus untuk tiga bulan tersebut. Begitu juga jika staf tersebut berpindah dari satu jabatan je jabatan yang lain yang melibatkan perpindahan pusat gaji atau PTJ. Khabarnya sekarang tidak lagi.

Walau apapun ini bukanlah silap sistem, tetapi silap manusia jua. Contohnya mba tak dapat gaji bulan ini dan katanya tak akan dapat juga gaji bulan depan .... {sedih...}. Pejabat baru kata tunggu LPC (last pay certificate) dari pejabat lama. Pejabat lama kata dah hantar. Pejabat baru kata lum terima. Apabila penyiasatan persendirian dilakukan, ternyata LPC tersebut tersadai tanpa diambil sebarang tindakan. Maka sahlah gaji tidak dapat diterima sebab tindakan tidak dibuat. [geram]


anak badak makan ciku
anak orang minum laici
budak-budak tunggu cikgu
aku sorang tunggu gaji






Monday, April 26, 2004

PERKHIDMATAN KERAJAAN BAGUS

RAMAI orang berpendapat perkhidmatan yang diberikan oleh pejabat kerajaan adalah teruk. Perbandingannya ialah dengan perkhidmatan yang diberikan oleh pihak swasta. Begitu juga umum menganggap menyewa komputer adalah lebih mahal berbanding dengan membeli. Sayugia diingat bahawasanya mahal menyewa tidak sesekali boleh dibandingkan dengan murahnya membeli. Ini adalah perbandingan yang tidak betul. Sepatutnya kadar sewa hendaklah dibandingkan dengan kadar sewa juga (yang diberikan oleh satu pihak berbanding dengan satu pihak lagi).

Justeru itu membandingkan perkhidmatan yang diberikan (misalnya) oleh JPJ berbanding dengan bank adalah tidak betul. Banyak hujahnya:-


Kita berbaris di bank untuk keluarkan duit sendiri
Kita kena caj di bank untuk keluarkan duit sendiri di cawangan lain
Kita kena caj oleh bank bila diberikan buku cek untuk keluarkan duit sendiri
Kita kena caj oleh bank bila gunakan kad ATM untuk keluarkan duit sendiri
Kita diberikan sedikit duit ***** oleh bank yang berniaga guna duit yg kita simpan



duduk di situ
tunggu pameran nombor
penat menanti



Ha ah … jika nak bandingkan perkhidmatan yang diberikan oleh hospital kerajaan dengan hospital (bukan klinik) swasta, ada juga asasnya. Namun perlu diambil ingatan pula yang hospital kerajaan dihadiri oleh 1,000 orang sehari berbanding dengan berapa orang yang ke hospital saudagar ini sehari.

Saturday, April 24, 2004

ANAK COMEL


Ini anak WkDin di wad HS (dari lensa Treo600 mba):-
Semoga cepat sembuh...

Haiku untuk mu:-

Bayi yang comel
Tangisan tanpa henti
Papa terharu

Friday, April 23, 2004

ISLAM HADHARI

KERAJAAN kita (Malaysia) pada hari ini adalah dikatakan sebagai kerajaan Islam Hadhari. Apakah maknanya Islam Hadhari itu? Adakah ia satu lagi cabang mazhab?. Siapakah tok gurunya?. Mengapa kita memerlukannya?. Adakah Islam yang sudah diamalkan sejak turun temurun itu tidak lengkap atau salah?.

"Hadhari" diterjemahkan sebagai kemajuan peradaban
"Islam Hadhari" ditakrifkan sebagai Islam yang mempunyai sifat-sifat kemajuan peradaban;
(dalam radio hari ini Islam Hadhari ditakrifkan sebagai Hidup Selesa Dengan Teknologi Semasa)
Lawan kepada Islam HAdhari ialah "Islam Raj'i" iaitu Islam yang mempunyai sifat-sifat kemunduran. Siapa pula yang berpegang kepada Islam Raj'i ini?.

Ini ialah petikan "Islam Hadhari Terengganu Bestari":-
Islam Hadhari menganjurkan supaya masyarakat berpegang teguh kepada prinsip keadilan sosial iaitu memberi perhatian kepada golongan miskin, menyediakan peluang pendidikan dan peluang untuk berdaya saing kepada semua yang kaya dan miskin, yang di bandar mahupun yang jauh di pedalaman, yang dari parti sendiri, yang bukan dari parti sendiri, mahupun yang tidak berparti; memberi bantuan mengikut keutamaan, bukan mendahulukan anak sendiri seperti zakat yang diberi kepada anak pemimpin; memperbetulkan setiap yang menyeleweng tanpa mengira darjat dan pangkat - jangan orang lain diambil tindakan tetapi bila terkena kelompok sendiri yang menyeleweng, ia dibiarkan; menjadi pelindung kepada yang lemah dan penolong kepada yang teraniaya; menjadi pemerintah dan penguasa yang amanah, tidak rakus, tidak menindas, tidak zalim, tidak mengutamakan kaum kerabat sendiri seperti isteri, adik-beradik, anak; menunjukkan kasih sayang kepada yang di bumi nescaya yang di langit akan mencurahkan rahmat dan kasih sayang kepada kita, tiada caci maki, gelaran-gelaran buruk, menghina, dendam kesumat, dan buruk sangka sehingga masyarakat berpecah belah. Islam Hadhari mempertahankan prinsip agama, prinsip akidah dan akhlak.

Thursday, April 22, 2004

HANDPHONE


BAGAIMANA anda membawa handphone anda ke mana-mana?. Ada yang menggantungnya di dada, ada yang menggunakan pouch dan dilekatkan di pinggang, ada yang memasukkannya dalam poket atau handbag.

Dulu ada berita bahawa bateri handphone meletup dan kini ada artikel yang menvceritakan tentang bahaya menggantung handphone di dada. Sebabnya ia adalah terlalu hampir dengan organ penting manusia dan boleh mengganggu operasinya, khususnya bagi yang memakai pacemaker.

Jika diletakkan dalam kocek seluarpun agak bahaya juga sebab terlalu dekat dengan “anunya”. Lantas kaedah terbaik ialah dengan menggunakan pouch dan disematkan dipinggang, kata suatu sumber. Menggunakan handsfree ialah kaedah terbaik untuk menggunakan handphone

Anda bagaimana?




Wednesday, April 21, 2004

SHINCHAN







Budak geliga
cerdik pintar dan nakal
untung berjuta

Sehelai baju
Dari kokusai dori
Anak bongsuku


shinchan: Famous as a Japanese anime TV show, Crayon Shin-Chan follows the daily life of a five-year-old boy whose bodily functions, offensive comments, and outrageous behavior consistently annoy his parents and land him in hot water.

* kokusai dori (leboh antarabangsa) - kawasan membeli belah di Naha, Okinawa, Jepun

Tuesday, April 20, 2004

PKN: Apa Nak Dah Jadi?

APA nak jadi dah jadi dengan negaraku ini?

PM mahu siasatan segera:
Kes jurulatih PKN didakwa rogol pelatih di Kem Merang, Setiu
ALOR STAR: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengarahkan polis menjalankan siasatan segera dan rapi kes seorang jurulatih Program Khidmat Negara (PKN) yang ditahan kerana didakwa merogol pelatih berusia 17 tahun di Kem Merang, Terengganu
-berita.harian

PM arah siasatan terperinci -- Ekoran kejadian jurulatih didakwa rogol peserta PLKN di Kem Merang
ALOR STAR 18 April - Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, perbuatan seorang jurulatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) di Kem Merang, Setiu, merogol peserta program itu adalah sesuatu yang keji dan tidak boleh dimaafkan.
Utusan Malaysia

Edisi Nasional: Jurulatih disyaki rogol pelatih PKN KUALA TERENGGANU: Seorang jurulatih Program Khidmat Negara (P KN) yang juga anggota tentera berpangkat Koperal ditahan, Rabu lalu, selepas disyaki merogol seorang pelatih wanita di sebuah kem latihan program itu, di Merang, Setiu, dekat sini. Lagi...
Harian metro

Monday, April 19, 2004

BERNIAGA BULUH KASAP

"SEMBILAN dari sepuluh punca rezeki adalah dalam bidang perniagaan". "Berniaga adalah fardhu kifayah". Adalah di antara beberapa hadis yang dipegang oleh orang kita untuk berniaga. Justeru itu mungkin ramai ahli perniagaan yang kaya raya. Namun mungkin tidak ramai ahli perniagaan yang merenung kepada beberapa Ayat lain seperti "Allah menghalalkan jual beli dan mengharamkan riba'" atau seruan-seruan supaya berlaku adil dalam timbangan dan sukatan.

Ada orang kita yang berlajar berniaga dengan memulakannya dengan "penipuan dalam perniagaan adalah taktik" atau "bukan perniagaan namanya jika tanpa tipu muslihat". Hatta tidak hairanlah ramai juga di antara kita yang takut untuk menceburi bidang fardhu kifayah ini.

Entah ya entahkan tidak, keuntungan paling banyak boleh dikaut ialah bila berniaga dengan kerajaan. Sudah menjadi macam lumrah, kontraktor mengaut keuntungan dengan cara tidak melunaskan hak sub-kontraktor dan akhirnya mengistiharkan company bangkrup sebagai jalan keluar.

- Berniaga buluh kasap, untung tiada modal lesap.

Saturday, April 17, 2004

ULASAN HAIKU SERI ADRIANI

SERI minta komen haiku yang ditulisnya, tapi setelah diintai-intai ruang, tidak bertemu dengan comments ataupun buku tamu, lantas kita ulas di sini sajalah Seri ya?.

laut nan biru
burung berkicau riang
dara tersipu

pelita ayan
berkocak air kali
sujud padaMu

langit kelabu
katak menyanyi-nyanyi
ibu pun runsing


Haiku yang baik bukan sekadar memenuhi keperluan asas 5-7-5 sahaja, namun perlu mempunyai beberapa ciri khas lagi.

laut nan biru/burung berkicau riang/dara tersipu: Pembayang yang lengkap mengenai alam dan cuaca. Pembaca boleh meneka sendiri di musim apakah yang ingin diceritakan. Misalnya jika laut nan biru di musim tengkujuh atau di musim hujan, sudah tentu burung tidak akan berkicau... Pembayang pertama dan kedua juga tidak berkait secara langsung, tetapi juga tidak berasingan yang merupakan satu lagi unsur haiku yang baik. Maksud haiku ini ialah untuk menceritakan akan seorang dara (Seri di suatu masa dulu) yang duduk tersipu. Tersipu membawa maksud malu. Mengapa dia tersipu?. Adakah burung-burung itu yang mengusiknya? Atau adakah sebenarnya ia adalah 'burung' berkepala hitam? Ataukah Seri sedang berdebar menanti perahu tiba di pantai?.

pelita ayan/ berkocak air kali/ sujud padaMu: Haiku ini sudah tentu menceritakan suasana di waktu malam, mungkin di waktu isya'. Berbekalkan cahaya dari pelita ayan, mengambil wudhu' di kali untuk sujud padaNya. Lagi sebuah haiku yang baik.

langit kelabu/ katak menyanyi-nyanyi/ ibu pun runsing: Apakah kaitan di antara langit kelabu dengan katak menyanyi?. Hari nak hujan! ... dan ibu mulai rungsing, sebab mungkin kain masih di jemuran, suami masih di laut, anak masih belum pulang dan sebagainya. Sebuah haiku simple yang bagus.

Berdasarkan tiga rangkap haiku ini, Seriadriani sudah boleh dianggap sebagai haijin. Semoga rajin-rajin menulis supaya kita dapat mengumpul 100 haijin Melayu. Syabas Seri!.

* haijin = penulis haiku

Friday, April 16, 2004

YANG CEKAP JANGAN JADI BOS

4.30pm: Esok jam 10am I kena jumpa minister. Boleh tak U tolong sediakan satu kertas kerja mengenai &/@$?@" ?. Fuh penyakit lama berulang lagi di sini. Bagi sesetengah orang, dengan senang dan tenang sahaja ditempis kerja/arahan begitu. Terlalu banyak alasan boleh diberi seperti tak cukup masa, tiada PC, tiada input, fail tak jumpa dan sebagainya. Yang peliknya mereka inilah yang mendapat pelbagai kemudahan pejabat seperti notebook, handphone dan segalanya.

Namun bagi yang tidak pandai memberi alasan, pandailah dia menyedia & menyiapkan tugasan tersebut

mba: kecewa bila mendapat tahu yang mesyuarat itu sebenarnya ialah lusa.

-----
sementara menunggu kertaskerja dijilid

Thursday, April 15, 2004

HARI INI SAJA

Sari berita (dari surat khabar lama)

Hari ini lanun mencolek rakyat di kepulaun kita
esok kumpulan lanun telah kita tumpaskan

hari ini kemalangan meragut puluhan nyawa
esok kempen keselamatan jalan raya seluruh negara

hari ini gadis dirogol dan dibunuh dalam bas
esok kompeni bas dikawal ketat

hari ini wanita dirogol dan dibakar
esok kompeni perking diarah pasang kamera

hari ini budak kecil dirogol dan dibunuh
esok kompeni jaga diselidiki

hari ini budak sekolah hilang buah pinggang di asrama
esok disiplin di asrama diperketat

hari ini budak sekolah mati dibuli
esok didiplin sekolah diperketat dan pelajar dipecat

semalam lanun mengganas lagi
hari ini cuma untuk hari ini.


Wednesday, April 14, 2004

BRANDING

DIALOG dua orang sahabat zaman dulu kala:-

A: Eh rambut mu keras menegaklah, mu pakai brycream cap apa hah?
B: Oh aku tibai brycream cap Tanco, abang aku punya. Mu pulak pakai breacream apa? busuk saja rambutmu ni?

A: Ala... aku mana ada pitis nak beli brycream mahal, abangpun tak ada. Aku pakai brycream cap Jamilah, kakak aku punya.
B: Pah tu mu pakai ubat gigi colgate cap pende pulok ni, putih bersior gigi mu?
A: ha..ha..ha.. aku pakai ubat gigi colgate cap Darkie. Muroh je.... barangkali dia dibuat dengan arang kot, itang legang.

B: Oh... gitu. Eh mu ingat dok gambor hok kita tangkap masa kat bandor dulu, dia pakai filem Kodak apa tu?
A: Manalah aku tahu... aku ni bukang jurugambor, tapi aku rasa itu musti filem kodak cap Konica tuh.... comel warna dia.

B: Ohh... pandainya mu ni, ke mu belebong kat aku?. Aku lapar dah ni, jomlah makan mee maggi. Mu nak mee maggi cap pende pulak?. Aku nak mee maggi Cintan.
A: Apendee lah makan mee meggi sokmo ni, gugur rambut weh. Bagi aku mee maggi cap Mummy tu se.

B: OK..ok... tadi mu kata mak mu suruh beli sabun Fab ke sabun Breeze? Cap pende pulak ni?
A: Kalu nak basuh baju, mak aku kata sabun Fab cap kapak (sabun buku) bagus. Kalau nak mandi mesti guna sabun Lux cap Follow-me.B: Mana ada sabun Lux cap Follow-me, itu syampoo rambutlah.

A: Betul ke takdok ni? Abih tu kalu cucian nak lebih putih lagi kena pakai Klorox cap pende pulak?
B: Hok tu aku tak tahu, yang aku tahu memang Klorox takdok cap, sebut je Klorox, semua orang tahu....

A: Ooo... ni kira macam Xerox lah eh? Kalu nak xerox kertas biasa, berapa sen sehelai harga dia kay kampung ni?
B: Tu kena tengok brandlah, kalau pakai mesin xeroc memang mahal, 10 sen se, kalau pakai mesin xerox buatan Jepun macam Toshiba ke Panasonic ke, murah je...

TAMAT.

Dialog tambahan:
A: Abang long mu masuk universiti dia dapat BA bahagian apa?
B: Mana pulak, dia ambil sains, dia dapat BA dalam bahagian sainslah, dia dapat BSc.

A: Oooooo....... bila dia dapat master nanti dia dapat MBA lah ye? ;-)
B: Ya lah gamaknya. Dia ada tulis blog sekarang. Blogger dia apa alamatnya?

A: Memang di a ada tulis blog, tapi aku rasa dia tak pakai Blogger, dia pakai Blogdrive rasanya.
B: Ya lah tu .... maksudnya blogger berjenama blogdrive ;-)

Tuesday, April 13, 2004

CATATAN-CATATAN RINGKAS

1. SEMALAM hari pertama ke ofis setelah lima hari di rumah. Berpuluh e-mel yang diterima mengenai pelbagai masalah dan komplen. Mulalah mengatur tapak selangkah demi selangkah dari bilik ke bilik dari tingkat ke tingkat untuk menyelesaikannya. Alhamdulillah semuanya selesai kecuali satu yang memerlukan peruntukan kewangan. Berbanding dengan di tempat lama yang lebih seratus mel diterima dalam sehari yang biasanya satupun tidak boleh diselesaikan, melainkan diserahkan sahaja kepada SI.

2. BOS buat gempak semalam sebab baru lapor diri dah ambil MC. Biasalah bos ... penyakit orang tua!. Tapi bertuah sungguh rasanya sakit sedikit masa awal-awal ini, sebabnya bos dah arahkan PA dia buat temujanji dengan pakar terbaik yang ada. Masa kecik dulu ustaz cakap, kalau kita sakit tanda Tuhan sayang kat kita ...

3. HARI ini akan hadir satu mesyuarat jawatankuasa IT peringkat negeri. Setelah lebih 21 tahun bekerja di peringkat persekutuan, tak sangka rupanya di peringkat negeri ini mereka begitu aktif sekali mempromosikan IT hingga ke peringkat daerah.






CATATAN ringkas ini dibuat sebab rasanya sebab dah kehabisan modal untuk menulis:

Monday, April 12, 2004

ALAMAT E-MEL SENDIRI

BOS di tempat kerja lama banyak kali berkata yang alamat e-mel seperti @yahoo atau @hotmail adalah lebih baik, lebih reliable dan lebih segala-galanya berbanding dengan alamat e-mel jabatan. Walau bagaimanapun, demi untuk menjaga dan memelihara nama baik jabatan, sebarang urusan (rasmi) perlulah menggunakan e-mel jabatan. Walaupun kadang-kadang masa tidurnya lebih panjang dari masa jaganya. Server cuma di depan mata, namun bila dia buat perangai, mel tak masuk, mel tak terhantar, server meragam, talian terputus, modem senak, router pening dan macam-macam lagi fe'elnya, banyak sangat pihak yang perlu dihubungi dan akhirnya ia baik sendiri sahaja tanpa sebab. Esok lusa meragam lagi dan dia OK lagi bila dia mahu. Bagi e-mel seperti @yahoo atau @hotmail tu, walaupun duduk di Amerika sana, kadang-kadang saja dia meragam, itupun pengguna diberitahu dulu time dia nak tidur kejap. Agak pelik bin ajaib juga bila mel yang terpaksa ke US terlebih dulu, lebih laju sampainya berbanding dengan mel yang berputar-putar dalam negara sahaja. Lebuhraya kat sana luas kot, kat sini cuma lorong kampung je. Walau bagaimanapun, mel yang ke US sana tu, agaknya bila dah ada plet US, dengan pemanduan belah kiri tu, boleh laju saja masuk lorong kampung?

mba setuju juga dengan apa yang dinyatakan oleh bekas bos seperti di atas tu. Hingga kini rasanya sudah lima alamat e-mel rasmi yang mba gunakan dan telah dilupuskan kerana berpindah, kini alamat yang keenam pulak. Sebagai kesinambungan kepada e-mel yang sentiasa akan berubah bila kita berpindah tempat kerja tersebut, mba juga ada e-mel dari jaring dan tmnet serta streamyx juga. Mungkin reliable jugalah e-mel sebegini. Sebagai orang terawal yang mempunyai akaun dengan jaring, terasa sayang juga untuk melepaskannya. Namun oleh kerana akaun berbaki (0.44) pihak mimos telah menamatkan perkhidmatan e-mel ini tanpa notis. Bila tersedar, dan cuba top-up dengan RM50, ia telah tidak mau dilayan lagi. Waduh... agaknya akaun ini diselenggara dengan harga 50 sen, lantas bila dah berbaki negatif, lebih baik ditamatkan saja, jika tidak company boleh rugi besar. Alangkan jabatan kerajaanpun boleh dihapuskan alamat web atau DNS mereka kerana lewat bayar RM100 setahun, inikan pula seorang pekerjanya sahaja. Jauh bezanya dengan operasi tmnet yang tak jemu-jemu hantar bil kepada penggunanya dan amat menghargai pengguna dalam ertikata jika bil dah mencecah ratusan ringgit tu, ia tidak akan terus dipotong.

MBA - Kena cari alamat e-mel yahoo atau hotmail yang bagus sementara menunggu e-mel 1GB dari gmail ;-)

Friday, April 09, 2004

HOSPITAL KERAJAAN


Hospital Kerajaan:
Kemudahan Kelas Pertama
Layanan Kelas Ketiga


Mengapa ek?.....


gambar hiasan

Thursday, April 08, 2004

KENANGAN BERSAMA PAKCIK HIGA


"itu jam hidup kat Malaya susah, jalanpun tak ade... gambar 1999"

PERTAMA kali bertemu dengan beliau pada tahun 1989 apabila beliau datang menziarah pelajar-pelajar Malaysia di Okinawa International Centre (OIC), Jepun. Semenjak itu kami mula berkawan. Saya seronok bersembang dengan beliau kerana banyak perkara. Pertamanya tentang kebolehanya bertutur dalam BM. Pada masa itu ada 5-6 orang pelajar Malaysia di OIC, tetapi lama kelamaan tinggallah saya seorang sahaja apabila tahun sudah bertukar. Pada masa itu kami jika dapat mendengar bahasa Inggeris, rasanya sudah macam sampai di negara sendiri, sebabnya semuanya Nihonggo belaka. Tetapi Kyogi Higa atau nama panggilannya Pakcik Higa boleh bercakap Melayu, tentulah seronok berbual. Keduanya tentang pengetahuannya mengenai Malaya yang banyak. Selain dari itu saya suka mengusiknya kerana bahasa Melayu klasik yang digunakannya, ala-ala zaman Abdullah Munsyi gitu. Juga lagu-lagu Kamariah Nor kegemaran beliau. Beliau kerap datang ke OIC, membawa ikan dan makanan yang dimasaknya sendiri. Bila apa penuntut yang akan pulang ke Malaysia, beliau akan datang bawa omeyage. Saya juga beberapa kali ke rumah beliau di Ittoman, bahagian utara Okinawa. Namun tiap kali berhasrat untuk ke rumah beliau, beliaulah yang akan datang menjemput dengan teksi. Hanya sekali sahaja rasanya kami pergi sendirian, itupun beliau menunggu di pekan perkampungan nelayan Itoman.

Dari apa yang tersirat melalui kata-katanya, saya jangka dia menyimpan suatu hasrat untuk bertemu kawan-kawan lama atau mungkin saudara/keluarga di Malaysia. Apabila pulang ke Malaysia, saya menyertai JICA Alumni dan mula mengumpul kawan2 yang telah menjadi anak angkat beliau. Buat beberapa pungutan derma untuk membiayai beliau untuk ke Malaysia. Impian ini menjadi kenyataan setelah saya menemui pemberita2 dari Okinawa yang datang dalam rombongan Datuk Bandar Okinawa ke Malaysia. Setelah menceritakan tentang Pakcik Higa kepada mereka, pemberita ini mengedarkan topi di kalangan mereka dan dapatlah beberapa ribu yen. Setelah pulang, mereka menemui Higa dan foto saya telah meyakinkan beliau untuk ke Malaysia.

Sampai di Malaysia, saya bawa beliau ke Terengganu, ke Bukit Besi tempat beliau menjadi engineer dulu, ke Batu Rakit, Kuala Terengganu dan beberapa tempat lagi untuk mencari rakan-rakan beliau. Pulang semula ke KL dibawa ke Jejak Kasih TV3. Beliau ingin bertemu dengan anak & isteri yang telah berpisah semenjak perang dunia ke-2. Panggilan pertama yang diterima oleh saya di rumah telah menemukan mereka semua. Rombongan JICA Alumni & TV3 berkunjung ke Kelang dalam sesi pertemuan tragis ini. Sejak dari itu kehidupan Pakcik Higa semakin sibuk, maklumlah sudah ada 3 cucu yang besar-besar. Dalam kesibukan itu saya sempat juga bawa dia naik-turun dua tiga pejabat majalah dan akhbar. Beliau berpindah dari satu rumah ke satu rumah anak-anak angkatnya. Program sebulan telah menjadi tiga bulan beliau di Malaysia.

1999 saya datang lagi ke OIC dan Halela telah membawa saya menemui Pakcik Higa lagi. Dia masih ceria seperti dulu walaupun sedikit uzur. Sudah tidak lagi ke OIC kerana pacemaker yang dipakainya.

Pakcik Higa Invited to Malaysia

Beliau meninggal pada 24 March 2004 (melalui blog halela dan kini hanya tinggal kenang-kenangan bersama beliau di Naha, Itoman, Bukit Besi (kita dijamu dengan daging rusa oleh pemburu), Batu Rakit, Tok Dor, Keramat, Kelang, USJ dan sebagainya.

Wednesday, April 07, 2004

PENILAIAN VENDOR

MUNGKIN pengguna perlu ada satu piawaian untuk menilai vendor. Jika baik setakat mana bagusnya. Jika tidak baik setakat mana buruknya. Mungkin boleh diberikan sistem bintang sebagaimana dibuat kepada hotel dan restoran juga.

Semasa mula-mula kerja, mba menggunakan komputer Nova dan PDP/11 yang tidak diketahui (sangat) siapa vendornya. Kemudian datang komputer mini dan supermini Prime yang dibawa oleh Complete Computer System (CCS). CCS adalah sebuah syarikat kecil sangat baru dalam industri IT di Malaysia. Syarikat tersebut kemudiannya bertukar menjadi Total Computer System (TCS) dan kemudiannya dibeli oleh Kumpulan Emas (KE). Syarikat kecil ini senang untuk dibuat kira bicara, berunding dan berlebih kurang. Janji-janji biasanya memadai dengan mulut sahaja dan pengarah urusan boleh ditemui dengan senang (sekarang dah jadi orang besar, namun masih mengenali mba yang kerdil ini).

Setelah Prime di US tutup kedai, maka pengedar di Malaysia juga bungkus. Pada masa tersebut IBM mula attack kita orang untuk memasukkan mesin gergasi kerangka utamanya. Bos pada masa itu kena perli oleh agensi pusat apabila ingin menaiktaraf jawatan "kalau agensi yang pakai IBM mainframe, bolehlah kita timbangkan pengurus komputer dengan superscale "F" atau "E". Ini komputer mini, tak pernah dengarlah nama Prime ini. Kalau superscale "G" tu dah cukup tinggi tu, tapi mungkin tak boleh lulus ni". Balik dari mesyuarat tu, bos bertekad, OK kita ikut arus, kita pakai komputer IBM, kita pakai mainframe. Pada masa itu jurujual IBM berkampung kat ofis kita orang. Jam 7:30 pagi dah sampai. Tiap-tiap hari itulah kerjanya. Macam-macam cerita, macam-macam kerjas dia bawak mengenai komputer dia, mengenai keburukan komputer lain. Hinggakan kami acah-acah dia nak bertikan dia kad perakam waktu jabatan. Bila dah gunakan mesin dia, hmmmm.... dia mulalah hilang (sebab ke ofis lain pulak untuk menjual temberang barang). Alasan wajib ialah kita beli dari Mesiniaga, jadi Mesiniagalah yang kena support. Pada masa itu, Mesiniaga tak tahu apa-apa mengenai mainframe, cuma buat syarat sahaja yang memerlukan kehadiran Mesiniaga. Staf Mesiniaga dan IBM juga macam abang-adik dan susah untuk dikenalpasti yang mana satu. Oleh kerana semua suite menggunakan produk IBM (Ini Barang Mahal) maka tak timbul sebarang konflik dengan produk/vendor lain. Syarikat IBM ini memang besar, teguh tapi kurang peramah. Ia syarikat multinasional dan penuh dengan profesionalisma. Maknanya cakap mulut tak boleh pakai. Cakap mesti pakai kertas dan kalau tak ada duit tak perlu cakap. Kalau nak minta tolong mesti ikut tertib, ikut abjad, ikut anak tangga dari satu step ke step berikutnya. Tak boleh langkah bendul. Bila dah habis IBM Malaysia, baru boleh ke IBM Singapura, Jepun dan seterusnya ke US. Staf yang dulu dok memuji keprofesionalisma IBM semasa zaman Prime dulu dah tak tahan dan resign. Tapi rasa-rasanya bos masih juga tak dapat superscale "F" dan ikut jejak langkah kawan tu jugak akhirnya.

mba pindah ke instalasi lain selama dua tahun dan pindah lagi. Kat sini pakai komputer Barrough dengan konsultan dari Filipina. Tak banyak story sebab misi mba ialah projek pengkomputeran baru. Akhirnya beli IBM lagi. Kali ini melalui PNB-IT. Syarikat ini memperkenalkan konsep baru dalam pengkomputeran, iaitu modified turnkey dan semua yang diperlukan, pendik kata semua boleh jadi. Syarikat ini juga besar, namun tidaklah susah untuk berunding hingga ke atas.

Setelah berpindah lagi ke instalasi lain, berjumpa lagi dengan komputer Barrough yang telah diambil alih oleh Unisys. Pada masa ini rasanya blank saja. Semua perkara diuruskan oleh vendor, iaitu KJ. Link ke Unisys langsung tidak ada. Dengan KJ memang tak kenal sesiapapun, kecuali engineers yang buat kerja-kerja kat ofis. Meeting dengan management mereka adalah sekali dua yang lebih berkisar kepada aplikasi perniagaan.

Kemudian pindah lagi memasuki projek dan membuat perolehan IBM AIX pula. Kali ini tidak lagi menggunakan system integrator xybase. Database pula menggunakan Oracle. IBM macam dulu-dulu jugalah, datang bila tercium ada bau. Oracle pula keraplah datang untuk meninjau projek baru. Projek semasa yang berjalan jatuh, berdiri rebah ni hampeh kalau dia nak support. Asyik-asyik dok kena bayar lesen berjuta ringgit. Perangai SI di Malaysia ini rupa-rupanya suka sangat menghalang principal daripada berjumpa terus dengan pelanggan. Segala masalah atau isu akan ditutup dulu dan biasanya prinsipal yang tak tahu menahu akan dipersalahkan. Ini jelas setelah empat hari di instalasi baru (lagi ....).

Kesimpulan (setakat ini) deal dengan company kecil jauh lebih senang berbanding dengan yang BESAR (sebab kita ni kecil)

Tuesday, April 06, 2004

TAHAP KECEKAPAN IT PELBAGAI SKIM

TIGA hari bekerja dengan doktor mungkin terlalu pendik untuk membuat penilaian. Namun ia boleh mengesahkan beberapa kenyataan yang telah lama didengar atau dianggap. Mula-mula mba kurang setuju apabila Abedib kata doktor adalah lebih celik IT daripada engineer macam dia. Maklumlah mba bekerja enam (6) tahun bersama-sama dengan engineer, juruukur bahan dan arkitek di JKR dulu. Pada waktu itu, time mula-mula kerja di awal 80-an. Rata-rata engineer adalah jauh lebih terror daripada JAS. Itu dulu, tapi kini juga begitu dan agaknya sampai bila-bila atau bila JAS (sekarang PSM) ditukar nama kepada engineer kot, baru sama pandai. Ya lah, kat negara lain atau kat swasta di negara kita, PSM ni dipanggil software engineer atau network engineer atau apa-apa engineer lah.

Berbalik kepada pengalaman tiga hari tersebut (sebenar di hari pertama lagi), bolehlah saya mengesahkan atau menjadi penyokong kepada pendapat Abedib seperti di atas. Iaitu lebih kurang “I observed that doctors are more innovative than my fellow engineers in using PDA and may be other IT devices.This is one area that could be explored to improve usage of IT for the benefits of patients as well.Health care is one industry to watch as more percentage of people has longer life..”

Selain dari skim ini, mba juga sudah kerja dengan PSM. Skim ini tak perlu mba komen, biar orang lain yang komen. Mba boleh tokok tambah dan sokong kemudian.

Lepas tu mba kerja pula dengan PTD. Skim ini secara puratanya tidaklah mahir dalam selok belok teknikal IT. Namun kebolehan mereka mengurus, mengelola dan bercakap pasal IT memang mengkagumkan. Kira-kira macam ni lah: Bila kita tengok bola (kat TV), penonton boleh bercakap berjam-jam (mungkin) yang boleh mengalahkan jurulatih dan pengurus profesional. Pemain profesional dan semi-pro juga boleh bungkus dek komen dan tunjuk ajar penonton ni. Itu sudah dikira amat bagus dalam dunia bola sepak berbanding dengan penonton yang mungkin tahu sepak bola, tapi tak tahu nak cakap sepatahpun pasal bola (baca: sesetengah psm).

Akhir sekali, sebelum kerja dengan doktor, mba bekerja selama 6 tahun 6 bulan dengan akauntan. Bekerja di sini agak sulit sikit sebab hingga hari terakhir kerjapun, mba masih dicop sebagai masih lagi konfius dengan debit dan kredit. Secara jujur boleh dikatakan mereka masih terlalu jauh lagi untuk lulus dalam ujian kecekapan it yang dilakukan oleh kerajaan (ISAC misalnya).

Kesimpulannya mungkin ramai yang sependapat bahawa kerja dengan PTD adalah yang terbaik.

Monday, April 05, 2004

... TEGAL BIASA

APABILA berpindah kerja dari tempat lama ke tempat baru, biasanya kita akan membandingkannya dengan segala-galanya dengan yang lama. Pada masa itu yang lama itu semuanya cantik, semuanya baik belaka. Masa ini barulah nampak keindahan dan kecantikan suasana kerja di tempat lama. Namun semuanya bak kata pepatah, alah bisa tegal biasa.

Pada kebiasaannya seseorang pegawai yang sentiasa diberikan segala kelengkapan akan merasa tercabar apabila ke tempat yang tidak mempunyai kemudahan sebegitu. Keadaan ini adalah sebaliknya bagi seseorang yang sudah biasa dengan kesederhanaan yang diberikan kemudahan yang terlampau di tempat baru:

* Dulu buat kerja sendiri, sekarang dah ada pembantu peribadi, alamak menganggurlah si PA tu
* Dulu pejabat dalam partition, kini dah berbilik, alamak sunyinya duduk sorang-sorang
* Dulu kemudahan IT yang tahun depan punya, kini yang lima tahun lepas, alamak tambah rajin le kerja di ofis
* Dulu bos asyik kontrol, mana mau pigi? bila mau siap?. Kini dok tanya anak buah soalan yang serupa
* Dulu asyik-asyik meeting kat HQ, sekarang dah memang duduk HQ, tak ada pulak meeting
# Dulu berangan sekarangpun berangan .....

Sunday, April 04, 2004

BERJOGET SAJA


Pokcik datang berjoget saja
Duduk-duduk sejam dua

Abe mari hanya untuk minum
Tengok-tengok demo dok senyum

Tibo-tibo demo dok bom
Semua bunyi berdentum
Pah tu pokcik dok kabar
Sedar-sedar kat spital

Pokcik sekodor berjoget saja
Bukan buat benda berdosa

Sebab apo kena bommmm?

Friday, April 02, 2004

ALAH BISA ...

RAMAI kawan-kawan bertanya bagaimana keadaan di ofis baru. Alhamdulillah semalam dah selamat melapor diri dan dapatlah sepatah dua kata pegangan dari bos untuk bekalan perjuangan yang belum selesai .... Dalam masa lima tahun kewujudan jabatan aiti di sini telah menampilkan lima orang ketua jabatan. Semua yang dihantar ke sini adalah yang hebat-hebat belaka. Namun semuanya tidak bertahan lama. Banyak kemungkinan yang memungkinkannya. Di antaranya ialah mereka ini hebat dan di sini kurang cabaran, lantas mereka minta berundur. Mungkin juga mereka tidak menyangka betapa hebatnya tiger users di sini, lantas terpaksa mengundur diri sebelum disuruh berbuat demikian. Tidak kurang juga yang terlalu cemerlang, belum sempat berlama-lama, telah dinaikkan pangkat dan terpaksa keluar kerana ketiadaan jawatan tersebut di sini. Walau apapun, mba teruskan perjuangan yang belum selesai yang telah mereka rintis.....

Semalam meninggalkan rumah agak lewat, iaitu jam 7:00am. Sengaja dilewatkan kerana ia adalah hari pertama, jika sampai awal sangat tidak tahu untuk kemana. Namun wow, 7:20am dah sampai ke pejabat baru. Sementara nak menantikan time untuk report duty, habislah semuka buku catatan mencatat mengenai apa yang nak dibuat di hs ini. Perjalanan pulang juga tidak memenatkan sangat. Hari ini juga hampir sama dengan semalam, pergi dan balik. Itu bab pergi dan balik kerja.

Tentang kerja pula, insyaallah boleh diusahakan dan boleh nampak terus hasilnya kepada pengguna akhir. Tidak lagi hanyut dalam lautan tidak bertepi kerana projek terlalu besar yang kita hanya sebahagian kecil sahaja dari berpuluh modul yang dibangunkan. Walau bagaimanapun, kerja-kerha ghurka terpaksalah ditinggalkan jika nak buat juga, terpaksalah pandai membahagikan masa. Kerja kini lebih kepada sesi lawatan, ucapan, pr dan yang gitu-gitu tu ... Melihatkan seorang pengguna jusa "b" masih lagi membuat programming sejam sehari, terasa jealous juga ni, mampukah psm jusa "c" melakukan sedemikian?.

Akhir kata, setakat ini hepi di sini dan sakit kepala (alhamdulillah) belum singgah lagi. Moga-moga ia berkekalan.

p.s Blog tidak dikemaskini semalam sebab merajuk kat notebook ni, dah jenuh menaip, bila publish, dia ilang begitu je, buat penat je menaip. Nak taip kat ofis, rasa macam bersalah je. Lagipun manalah tau kat sini sekuritinya terlalu ketat ....