Labels

Tuesday, August 31, 2004

MERDEKA! MERDEKA!! MERDEKA!!!




SELAMAT MENYAMBUT HARI KEMERDEKAAN KE-47

HOKI & BADMINTON


HOKI adalah antara beberapa permainan yang MBA tidak minat dan tidak tahu main. Alasan kukuh yang boleh diberikan ialah, semasa MBA bersekolah rendah, kemudahan main hoki ini tidak ada di sekolah. Maklumlah sekolah kat kampung dalam tahun 60an. Untuk tubuhkan pasukan hoki, kena beli set kayu hoki (selain jersey dan kelengkapan lainnya). Berbanding dengan bola sepak, jika dapat dibeli (atau terima derma) sebiji bola sahaja, kira budak sekolah dah boleh tendang-tendang dan sediakan palang gol sendiri. Bila masuk ke sekolah menengahpun kemudahan hoki masih tidak ada. Bila masuk ke sekolah berasrama penuh, bila tengok kawan-kawan lain rancak main hoki dan masing-masing ada kayu hoki sendiri, rasa2nya pada masa tu dah terlambat sangat dah untuk meminati hoki. Alasan yang boleh diterima kan?.

Walau bagaimanapun, bagi adik-adik MBA, di sekolah rendah & menengah yang sama juga... depa main 'hoki' dengan kayu hoki buatan sendiri. Entah jumpa bola dari mana. Akhirnya seorang dari budak-budak tu hanya setakat main-main macam tu sahaja dapat bermain hoki mewakili negeri (bawah 16 tahun) dan akhirnya wakil pasukan utama negeri. Mungkin budak kampung MBA ini terlebih pandai main hoki atau mungkin juga orang negeri MBA ini (walaupun ada kemudahan kat sekolah) semuanya tidak berapa pandai main hoki. Walau bagaimanapun budak ini tidak begitu minat main hoki wakili negeri kerana tidak mendapat banyak RM berbanding dengan hanya main bola wakili kelab tempat kerja sahaja dia dah dapat gaji bulanan tanpa perlu hadir bekerja.

BADMINTON
MBA boleh main badminton dan wakili sekolah walaupun di sekolah rendah & menengah tidak ada dewan. Kami berlatih di kawasan lapang dan terpaksa berlawan dengan tiupan angin pula. Jumpa dewan semasa pertandingan sahaja. Pasukan kami selalu sahaja kalah bila bermain dalam dewan sebab tiada angin yang membantu... Bila dah masuk universiti tidak main badminton lagi. Bila belajar lagi, MBA kena main badminton lagi dan permainan pertama MBA ialah melawan seorang inspektor polis yang glemer. Dia punya penyokong punyalah ramai dan MBA dah kecut perut tengok dewan yang besar. Namun dah kerana terpaksa, mainlah jugak dan.... menang pulak tu (inilah yang nak ceritanya sebenarnya). Kesimpulannya bakat atau apa?.

Ini lagi best.... masa MBA kat Jepun pada tahun 1989, masa tu Malaysia adalah juara piala Thomas mengalahkan Indonesia. Pelajar Indonesia kat Jepun sana tidak puashati dan mengadakan satu pertandingan badminton Indonesia Vs The World (kecuali Malaysia) dan mereka menang. Kira juara dunialah tu. Akhirnya dengan segala kesukaran, pelajar Malaysia terpaksalah membuat pasukan ala-ala piala Thomas untuk melawan pasukan Indonesia yang memang ramai pada masa itu. Nak dijadikan cerita pasukan kami telah menang dalam batle of the badminton tersebut dan akhirnya secara gentlemen, Indonesia mengakuilah bahawa piala Thomas yang dimenangi tersebut memang hak Malaysia.

Sunday, August 29, 2004

PASUKAN OLIMPIK KITA


PASUKAN Olimpik kita telah pulang dengan tangan kosong. Ia adalah merupakan perkara biasa dan tidak ada apa yang patut dimalukan. Ini adalah kerana dalam 202 negara yang bertanding, cuma 70 sahaja yang berjaya membawa pulang sekurang-kurangnya satu pingat. Kita adalah salah sebuah dari 132 negara yang pulang dengan tangan kosong tersebut. Namun ada kemungkinan negara-negara lain tidakpun berbelanja besar dan tidak pula meletakkan sebaran sasaran untuk menang. Mungkin juga yang pergi bertanding tersebut ialah atlit yang memang sudah jauh melepasi kelayakan.

Bagi negara kita, sasaran pingat amat diharapkan kepada badminton. Dalam sukan ini kita memang juara dunia. Semasa ia tidak dipertandingkan dulu, kita cukup bersungguh bersuara untuk dipertandingkan di olimpik dengan harapan pingat adalah milik kita. Begitu jugalah dengan sukan lain seperti hoki, bola sepak, sepak takraw dan silat olahraga. Kita memang juara dalam membawanya ke tengah dan selepas itu menjadi penonton negara lain menggondol pingat.

Apa nak jadi ek?

Dalam tahun 70an dulu, MBA adalah kaki bola dan dianggap juara (ala... juara kampunglah katakan...). Memang scorer yang hebat. Tapi kat kampung kami tidak ada padang bola, kami main dicelah-celah pokok kelapa sahaja. Kampung-kampung lain yang datang bertandang semuanya bungkus belaka. Jadi kami adakanlah juara liga kampung. Alahai bila bermain di padang bola sebenar, wau besarnya padang bola, wah lebarnya tiang gol dan pasukan kami dapat telor ayam sajalah dalam pertandingan ini. Ini belum lagi bertanding di stadium... Rasa-rasanya pasukan negara sekarang ni macam itulah.... pergi ke Athen ni macam pasukan kampung kami yang tak dapat menghabiskan masa perlawanan 90 minit kerana kekurangan segala-galanya.

Saturday, August 28, 2004

SOLAT JUMAAT


OLEH kerana masih bersukariabercuti, maka semalam dapatlah MBA memerhati apa yang berlaku semasa masuk waktu zohor di taman perumahan sendiri. Setelah azan memanggil umat Islam menunaikan sembahyang Jumaat, masih kelihatan ramai lagi umat sawo matang yang sudah akhil baligh mundar mandir ke sana-sini. Ada yang berada diperhentian bas & teksi dan tak kurang juga di stesen LRT. Tidak kurang juga yang duduk-duduk di taman atau di beranda rumah. Oh.... beginilah rupanya taman perumahanku. Tidak hairanlah ada rumah yang dipecah masuk semasa waktu sembahyang Jumaat, ramai yang tidak sembahyang rupanya.

Fenomena ini bukan sahaja berlaku di bandar, malahan di desa juga dua kali lima sahaja. Bagi negeri yang bercuti pada hari Jumaat, depa ni ambil kesempatan pergi berkelah, bukannya bersedia untuk berJumaat. Alahai umat Islam.... Malahan di kampung tok siak terpaksa membilang samada makmum sudah cukup 40 orang untuk berJumaat atau sembahyang zohor sahaja. Di bandar seperti KL ini, nasib masjid pada hari Jumaat agak berbeza. Hampir tida masjid yang tidak penuh dibanjiri makmum. Malahan terasa masjid-masjid besar di KL adalah terlalu kecil dan tidak mampu menampung ribuan jemaah. Suatu masa nanti mungkin terpaksa diadakan Jumaat dalam dua syif sebagaimana di kota London agaknya.

Selama enam bulan di Jepun dulu MBA sembahyang Jumaat dengan kurang dari 10 orang. Ini ditambah pula dengan Muslim dari negara-negara tertentu yang langsung tidak mahu sembahyang Jumaat kerana tidak cukup 40 makmum. Dimaklumkan kini sembahyang Jumaat sudah tidak lagi semeriah dulu dan pihak Jepun sudah tidak lagi memperuntukkan dewan untuk Jumaat. Bagi yang ingin sembahyang pandai-pandailah membawa diri...

Friday, August 27, 2004

KUALA BERANG


Pekan Kuala Berang pada 1999 tiada bezanya dengan 2004
ESOK kira-kira 11,000 pengundi DUN Kuala Berang akan mengundi untuk memilih wakil rakyat mereka. Kuala Berang memang terkenal di negeri Terengganu. Ia dikenali kerana entah mengapa slanga pertuturan penduduknya adalah amat berlainan dengan slanga standard orang Terengganu. Penduduk di sini yang dipanggil orang ulu oleh orang kuala bertutur dalam pelat tersendiri yang amat sukar untuk difahami. Ia seolah-olah bahasa orang asli. Sesekali kedengaran seakan-akan bunyi orang Parit di Perak yang bercakap. Persefakatan di kalangan penduduk, khususnya di pendalaman di daerah ini juga dikatakan begitu intim sekali. Joke yang masyhur zaman dulu ialah: jika orang luar terlanggar ayam penduduk kampung di sini dan tiada perundingan dibuat, jangan haraplah mereka boleh selamat dalam perjalanan pulang nanti...

Penduduk di daerah Besut dan Setiu menggunakan slanga Kelantan, sementara di daerah Kemaman telah dipengaruhi dengan Slanga Pahang (atau orang Kuantan yang dipengaruhi slanga Terengganu). Maka tinggallah cuma daerah Kuala Terengganu dan Dungun sahaja yang masih tetap dengan bahasa Terengganu standard. Pada kebiasaannya penduduk Besut dan Setiu menggunakan kenderaan dengan plat D (Kelantan) maka orang Kemaman pula menggunakan plat C (Pahang). Maka cuma tinggal orang Kuala Terengganu, Dungun dan Hulu Terengganu (Kuala Berang) yang menggunakan plat T (Terengganu).

Dulu Kuala Berang pernah terkenal kerana terjumpanya batu bersurat dan kini sekali lai terkenal dan didatangi oleh pelbagai pembesar negara kerana adanya pilihanraya kecil yang pertama bagi sesi ini.

Selamat mengundi kepada pengundi DUN Kuala Berang.


Thursday, August 26, 2004

KUBUR BUKAN HANYA UNTUK SIMATI


Perkuburan Islam Sarajevo
SEBUT sahaja kubur, terbayang kepada kita semua tentang satu kawasan yang menyeramkan, penuh dengan semak samun atau mungkin berhantu. Pada kebiasaannya tanah perkhuburan, khususnya perkuburan orang Islam tidak dijaga rapi dan terbiar dinaiki lalang dan semak samun. Kubur hanya dibersihkan sekali sekala bila ada kerja gotong royong ataupun kematian. Ia hanya dikunjungi sekali dalam setahun, iaitu pada hari raya. Entah di mana silapnya, mungkin kerana soal hukum yang tidak membenarkan pusara didirikan atau mungkin mengenai kepercayaan yang dipegang. Namun tidak ada salahnya jika kawasan perkuburan dibersihkan dan dijaga rapi.

berehat di perkuburan Jepun
Di KL terdapat 6 perkuburan Islam, 7 Cina/Budha dan 5 Hindu. Rasa-rasanya perkuburan Islamlah yang paling menyeramkan. Jika dilihat Nilai Memorial Park, kita tidak akan menyangka bahawa ia adalah untuk orang yang telah mati, ia kelihatan hidup dan merupakan suatu peluang perniagaan yang berjaya kepada pengusahanya. Khabarnya tanah perkuburan di Jepun juga indah begini.

Saya amat menyokong hasrat Datuk Bandar KL untuk melihat semua tanah perkuburan di KL kelihatan hidup dan bukan untuk orang mati sahaja. Masanya akan tiba nanti.

Wednesday, August 25, 2004

LEBUHRAYA PANTAI TIMUR (LPT)


MEMANDU dari rumah di Kuala Lumpur ke Kuantan dulunya memerlukan empat jam, kini dengan adanya LPT ia hanya mengambil dua jam lebih sedikit. Jumlah keseluruhan perjalanan ke kampung hanyalah lima jam sahaja. Setelah siapnya LPT Fasa ke-2 (belum dibina), rasa-rasanya tempoh perjalanan akan dikurangkan ke separuh lagi.

Rasa-rasanya LPT adalah era ke-3 kemudahan perjalanan dari Pantai Timur ke Kuala Lumpur. Dulunya perjalanan terpaksa menempuhi bukit bentung yang curam berliku. Kemudian lebuhraya KL-Karak menggantikan bukit bentung dan kini LPT melengkapkan lagi perjalanan.

Jika dulunya kami anak beranak kerap berhenti di Maran samada untuk makan atau sembahyang, kini bandar Maran telah tiada lagi dalam kamus perjalanan kami menggunakan LPT. Inilah agaknya yang menjadikan peniaga sedikit fobia dengan pembinaan lebihraya. Kemungkinan bandar-bandar kecil di sepanjang perjalanan akan menjadi sepi dan tidak disinggahi lagi sepanjang perjalanan. Ini jugalah yang menjadi salah satu faktor mengapa LPT Fasa 2 ditangguhkan pembinaannya selama dua bulan lagi, iaitu untuk menentukan laluan yang betul.


INGATAN KECIL, 1950-an T.ALIAS TAIB

MENGIKUT ingatan saya, Allahyarham T.Alias Taib adalah satu-satunya penyair mapan yang mengenali saya (banyak juga penulis dan penyair yang saya kenali melalui karya-karya mereka). Kami berjumpa beberapa kali dan bersembang mengenai pelbagai perkara. DAri isu bahasa, keruntuhan moral, pantun hinggalah ke haiku. Jelas di ingatan semasa kami sama-sama di klinik Tanglin, Allahyarham bersyarah panjang lebar mengenai sekeping papan tanda di situ yang bertulis "Dilarang membuang sampah". Sambil mengeluarkan buku nota dan membuat catatan, allahyarham berjanji akan membawa perkara ini ke pengetahuan DBP. ISunya simple sahaja, maksud pengurusan Tanglin ialah 'jangan buang sampah merata-rata', tetapi diringkaskan sebagai 'dilarang membuang sampah' sahaja. Jika sampah tidak boleh dibuang, ia adalah merupakan satu kesalahan!. Kami berpisah setelah nama saya dipanggil oleh misi dan beliau yang menemani isterinya terus setia menanti giliran.

Kemudian kami berjumpa di malam anugerah esastera.com dan bercerita panjang lebar mengenai haiku. Kini beliau tiada lagi dan alfatihah untuk allahyarham dan semoga Kak Sal tabah menghadapi hidup seterusnya.



T. Alias Taib

Ingatan Kecil, 1950-an

Semak basah sepanjang denai ke sekolah
Menggigil menyambut kami di pagi lecah.
Kami berhenti di selekoh pohon gajus
Memungut embun berjuntai ke dalam botol
( embun, kata guru kami,
baik sebagai pelembut papan batu ).
Kami rukuk pada daun rimbun
Memenuhi botol dengan pesanan guru.

Ibu membekalku dan adikku
Papan batu, kalam batu, dan sebuah buku
Yang ku panggil "buku pasu bunga".
Ibu juga membekalkan kami
Keledek rebus dan syiling lima sen
( duit ini, berkali-kali pesan ibu,
hanya penguat semangat
pulangkan kembali tengah hari nanti ).

Entah berapa lama ku kelek semangat ibu
Berulang-alik ke sekolah dengan botol embun.


HUTAN PERSAHABATAN T.Alias Taib



T. Alias Taib

Hutan Persahabatan

Berkawan denganmu
Ialah berkawan dengan ilmu,
Dengan akal yang selalu di raut,
Renung yang selalu dikikir
Dan hujah yang selalu diasah.
Berkawan denganmu
Ialah bermusuh dengan musuhmu,
Dengan si fitnah yang beraja
Pada api perasaan,
Dan si dengki yang bersedia
Membentesmu dari belakang.

Ah, kawan, lupakan mereka.
Mari teruskan perburuan kita
Di hutan persahabatan kekal ini.
Aku tidak memerlukan kata-kata indah
Tetapi tangan ikhlasmu
Apabila terjatuh di perburuan ini.
Aku hanya ingin menemanimu
Di perjalanan yang penuh halangan
Dan perburuan yang menyukarkan.
Aku tidak memerlukan mereka,
Mari teruskan persahabatan kita.



Sunday, August 22, 2004

BALIK KAMPUNG




balik ke kampung
musim cuti sekolah
intai peluang


SAYA akan balik kampung selama seminggu sempena dengan cuti sekolah ini. Sudah lama sangat tidak bercuti, sudah lama sangat tidak pulang menziarahi ibu di kampung. Terakhir saya cuti ialah pada bulan Januari dan sepanjang bekerja di Hospital Selayang, saya tidak pernah bercuti. Terlalu banyak kerja yang perlu diselesaikan dan masa yang ada terlalu singkat.

Kini saya perlu pulang ke kampung kerana beberapa kerja dan urusan yang perlu diselesaikan juga. Sementara Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) masih lagi belum dikenakan tol, lebih baik mencuba. Di samping urusan yang perlu diselesaikan, boleh juga bawa anak-anak ke lata dan tepi pantai. Juga bawa isteri membeli belah di tempat kegemarannya, di Pasar Kedai Payang. Di sampung itu boleh juga dengar-dengar pesta berkempen dalam pilihanraya kecil Kuala Berang.

Sepanjang masa bercuti, saya tidak mempunyai sambungan ke Internet. Dengan itu blog ini tidak boleh dikunjungi, apatahlagi dikemaskini. Jika adapun, saya cuma boleh menghantarnya melalui Treo600 saya melalui GPRS bila saya berada di lokasi yang mempunyai penerimaan.

Selamat bercuti & maaf bila sapaan anda tidak akan berjawab

Saturday, August 21, 2004

MRR2: Tiada Jurutera Tempatan?



APABILA tiang-tiang Lebuhraya Lingkaran Tengah II (MRR2) retak, ianya ditutup kepada semua pengguna selama tiga bulan demi untuk keselamatan dan usaha untuk memperbaiki kerosakan tersebut. Apabila pengguna @ rakyat bersungut, menteri Kerja Raya memohon kepada kerajaan RM20 juta untuk memperbaiki kerosakan tersebut. Pihak TV3 ada membuat survey kepada penontonnya siapa yang harus menanggung kos pembayaran, kerajaan atau kontraktor?. Keadaan bertambah kecoh apabila kerajaan mengarahkan pakarunding dari German (yang tidak boleh dipertikaikan) dipanggil untuk membuat kajian akan sebab musabab keretakan tersebut berlaku. Persatuan pengguna melaporkan perkara ini kepada polis dan Badan Pencegah Rasuah (BPR). Sekarang masih dalam siasatan.

Minggu lepas kami hadir ke mesyuarat perkhidmatan dan seperti biasa soalan yang ditimbulkan ialah "tengok itu MRR2, bila retak panggil pakar dari German, apa kita punya engineer buat?. Apa orang German tahu pasal lebuhraya kita?".

MBA: Senyum (sinis) sebab depa nak bangunkan sistempun panggil pakar luar negara walaupun orang dalam boleh buat dengan lebih baik dan murah. Cakap banyakkan, ekonomi negara pulak tak melonjak.

Friday, August 20, 2004

BLOG UNTUK DIJUAL

mba2u_share1

Ini adalah nilai saham blog anda ...

Top 100 Incoming Links


This is a list of the most valuable incoming links at the time OTHER blogs are indexed. It is indicative of FUTURE value not CURRENT value.



  1. JANGAN ADA DENDAM (B$799.49)

  2. nectar's ModBlog (B$779.27)

  3. esprit de corps (B$753.13)

  4. Cinta Seri Adriani (B$728.22)

  5. Tinta Ibnu Ariff (B$550.00)

  6. mba (B$550.00)

  7. The Most Popular Journal: Esprit de Corps (B$492.85)

  8. Pada Nama Cinta (B$399.49)

  9. skyland5 (B$384.66)

  10. zaLIna (B$311.02)

  11. Nazley's Blurbs On PDAs .... and Other Gadgets (B$306.27)

  12. Reality realm (B$298.95)

  13. Diari Lara (B$279.33)

  14. ..::Agi Idop Agi Ngelaban::.. (B$269.83)

  15. Saudia Desert (B$263.71)

  16. Ibnu Ariff Web Log (B$254.12)

  17. Bloghopper (B$220.00)

  18. The Girl Thing (B$211.94)

  19. Bangkit dari kejatuhan (B$199.62)

  20. Who Am I? (B$162.84)

  21. Nazley's Blurbs On PDAs .... and Other Gadgets (B$146.47)

  22. The Reader (B$138.89)

  23. Ibnu Ariff Web Log (B$134.57)

  24. Diari Lara (B$133.18)

  25. Ibnu Ariff Web Log (B$110.00)

  26. anjakan realiti (B$102.49)

  27. Sirah (B$97.94)

  28. Sirah (B$92.10)

  29. ++ virtuarealm.com ++ (B$61.11)

Thursday, August 19, 2004

Wednesday, August 18, 2004

KERJA KITA PROFESYEN KITA




hospital kita
pengarah juga doktor
rawat pesakit

BARU-baru ini kita ada dengar yang menteri kesihatan telah mengarahkan semua pengarah hospital supaya turut membuat kerja-kerja klinikal, melawat wad dan bertugas on-call. Pengarah dan pegawai menjaga hospital dan pusat perubatan yang berjumlah 300 orang ini tidak dibenarkan duduk dikerusi pengarah untuk memanaskan kerusi pentadbiran semata-mata. Menteri tersebut berpendapat dengan ini doktor yang dilantik sebagai pengarah ini tidak akan lupa akan ilmu kedoktoran yang telah mereka pelajari dan merupakan profesyen mereka walaupun mereka kini lebih menumpukan kepada kerja-kerja pentadbiran.

Jika anda masih ingat, lama dulu semua pengetua atau guru besar sekolah telah diminta masuk ke kelas dan mengajar sekurang-kurangnya satu subjek dalam seminggu. Mengajar merupakan tugas wajib pengetua. Jika pengetua tidak mengajar, dikhuatiri mereka juga akan hilang ilmu dan seni mengajar. Namun alasan utama pengetua diwajibkan mengajar ialah kerana adanya profesyen lain yang berminat untuk jadi pentadbir di sekolah. Kata mereka, cikgu tidak pandai mentadbir, cikgu patut mengajar sahaja dan kerja mentadbir patut diberi kepada golongan pentadbir sahaja. Menyedari akan bahaya dan ancaman tersebut, maka semua pengetua diminta untuk mengajar dan sayugia diingat, untuk mengajar perlu mendapat lesen mengajar dan lesen ini hanya dikeluarkan kepada guru sahaja. Jika ada pengajar yang mengajar tanpa lesen, mereka ini boleh ditangkap dan dihukum di bawah akta tertentu.

Apa yang saya nampak ialah, arahan supaya pengarah hospital turut merawat pesakit juga adalah kerana sudah ada ura-ura bahawa jawatan tersebut turut diidam-idamkan oleh golongan lain yang bukannya dari pegawai perubatan @ doktor.

Lepas ini apa pulak agaknya ya?. Pengarah kastam kena pergi kutip cukai. Pengarah imigresen kena pergi buat paspot. Pengarah JPJ kena pergi buat ujian memandu. Pengarah IT kena buat program dan banyak lagi. Mungkin ada baiknya juga.

Tuesday, August 17, 2004

KEHIDUPAN BERMULA DI USIA 40



lilin ditiup
hati berbagai rasa
lahir semula

BEBERAPA tahun dahulu saya diminta memberi sedikit ucapan pengenalan diri kepada peserta kursus antarabangsa yang sama-sama menghadiri kursus dengan saya di negara matahari terbit. Di antara lain saya memberitahu bahawa pada hari tersebut usia saya baru mencapai dua hari. Apabila semua peserta tercengang, barulah saya maklumkan satu ungkapan bahawa "kehidupan seorang lelaki bermula ketika usianya 40 tahun". Maknanya usia sebenar saya (pada ketika itu) ialah 40 tahun 2 hari. Ada dua peristiwa berlaku pada hari tersebut, iaitu sebaik sahaja saya habis berucap saya telah dilantik sebagai ketua kelas dan pada sebelah petangnya saya dipaksa meniup lilin yang dicacakkan pada kek kerana menyambut ulang tahun kelahiran saya yang pertama.

Usia 40 adalah sangat-sangat saya nantikan semasa baru masuk kerja. Sebabnya?. Pada usia tersebut seseorang kakitangan kerajaan boleh memohon untuk bersara pilihan dan bolehlah bekerja di sektor swasta. Namun apabila dah mencecah 40, nampaknya tawaran-tawaran yang dulunya sungguh rancak datang, kini tidak muncul lagi. Alasan manis yang diberikan ialah "anda terlalu banyak pengalaman dan kami sudah tentu tidak mampu membayar gaji yang selayaknya untuk anda". Namun sebenarnya ia berbunyi "Anda sudah lama kerja gomen, cara kerja dan atitud anda adalah atitud gomen, mana boleh anda kerja dengan pihak swasta yang serba serbi mahu pantas".

Setelah melebihi 40 ni, satu lagi usia yang ditunggu ialah 55 atau 56. Ia itu untuk bersara wajib (itupun jika umur panjang). Pada ketika ini, bagi pekerja yang belum mencapai usia tersebut, sudah tentu berasa hairan dan menyampah dengan orang-orang tua@lama yang sudah mencapai umur bersara tetapi masih tidak mahu berhenti kerja lagi. Asyik dok sambung kontrak lepas dua tahun dua tahun lagi, lepas tamat sambung lagi. Yang muda kata macamana junior nak naik, yang senior kata umur subsidi tu patutnya bukan masa dok tengking-tengking orang lagi, tapi patut tadah kitab kat semejik saja.

Terlalu banyak sebab mengapa seseorang yang telah mencapai usia bersara tetapi masih juga ingin menyambung perkhidmatannya. Entahlah, jangan memukul dulang paku serpih sudahlah.

Monday, August 16, 2004

NAIKKAN BENDERA TURUNKAN PALANG TOL


TOL akan ditutup selama sepuluh minit menjelang 12 malam 31 Ogos ini kerana majlis menaikkan bendera jalur gemilang kata menteri kerja raya. Alasannya ialah saya tak suka dok tengok oghang masih dok sebok duk kotip tol masa kita nak penaik jalo gemilang hari madeka kata menteri penerangan. Bagi sesiapa yang nak gelak jomlah kita gelak ghamai ghamai akan peristiwa ini.....

Lepaih ni kita nak dengak pulak:-
1. RTM senyap sunyi selama 10 minit
2. Sempadan ditutup selama 10 minit
3. Kapai terobang beghenti 10 minit
4. Kapai laut berlabuh 10 minit
5. Jabatan kecemasan kat hospital berhenti 10 minit
6. Polis stop kherja 10 minit
7. Semua simpang jalan lampu merah 10 minit
8. Komputer & server (termasuk blog) jem 10 minit
9. Semua aktiviti berhenti 10 minit
10. Hangpa tak usah bernapaih 10 minit

Gara-gara nak penaik bendera merdeka. Rasa-rasanya dah lebih 40 tahun dah kita merdeka, mengapalah tok menteri sebelum ni tak dak yang dok meraghapu berhenti sepuluh menet ni?.

Sunday, August 15, 2004

BLOG INFOTAINMEN atau MATBUR?


RTM: Kita akan perkenalkan satu konsep baghru, beri maklumat sambil berhibur. Kita guna konsep infotainmen
DBP: Infotainmen tidak boleh digunakan, ia menyalahi hukum bahasa. Gunakan Inforia
RTM: Infotainmen boleh digunakan, ia adalah istilah teknikal, bukan main-main punya. Lagipun kita dah beronding dengan DBP, depa kata boleh guna.
DBP: Mana ada..... tak ada rekodpun dah mintak izin atau pendapat. Tak boleh guna!

MBA: Guna MATBUR (maklumat berhibur)

Saturday, August 14, 2004

JIRAN DAN HAK-HAK JIRAN


DARI mimbar masjid Putrajaya hari ini:
Jiran yang musyrikin mempunyai satu hak
JIran yang Islam mempunyai dua hak
Jiran Islam yang mempunyai hubungan darah mempunyai tiga hak

Hadis Abu Syuraih Al-Khuza'iy r.a:
Nabi s.a.w bersabda: Sesiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, maka hendaklah dia berbuat baik kepada jiran tetangganya. Sesiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, maka hendaklah dia memuliakan para tetamunya. Sesiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, maka hendaklah dia bercakap hanya perkara yang baik atau diam

Antara hak-hak jiran ialah:-
*saling hormat menghormati.
*saling mengenali.
*memenuhi undangan (jemputan) jiran.
*menziarahi jiran yang sakit.
*mengucapkan tahniah atas kejayaan jiran dan takziah atas musibah yang ditempuhi.
*Prihatin terhadap keperluan jiran.



Friday, August 13, 2004

MALU

MALU



orang pemalu
kencing tidak berdiri
diri berharga


BEBERAPA ungkapan yang biasa kita dengar termasuklah “Malu adalah sebahagian daripada cabang iman”, “Malu tidak bertempat”, “Kalau gembira tunjukkanlah kegembiraan, jika malu jangan tunjukkan kemaluan” dan banyak lagi.

MALU mengikut Kamus Dewan mempunyai banyak erti. Di antaranya ialah perasaan aib (hina, rendah diri dll), Menaruh hormat kan, berasa segan (agak takut). Daripada kata malu ini timbulah bermalu, malu-malu, semalu, memalui, mengemalui, memalukan, mempermalukan, termalu-malu, kemaluan, kemalu-maluan dan pemalu.

Wednesday, August 11, 2004

SAINS & MATEMATIK TIDAK BERCAMPUR?




setitik air
kecil mahupun besar
masih setitik

TERINGAT tawarikh dulu-dulu masa di sekolah menengah rendah.Pada zaman itu matematik dipanggil ilmu hisab dan sebelum itu dipanggil ilmu pasti. Sejarah pula dinamakan tawarikh dan geografi dipanggil ilmu alam.

Sebaik keluar dari kelas ilmu hisab, kami ke makmal sains. Cikgu sains mengajar bab campuran dan sebatian. Jadi kami disuruh campurkan pasir dengan air, air berwarna dan tulen dan banyak lagi. Sampai bab nak campurkan asid dengan alkali, cikgu meminta titiskan setitik asid dari picagari ke dalam bekas berisi larutan alkali. Tadi dalam kelas ilmu hisab kami baru berlajar pasal angka pecahan, iaitu satu perdua, satu pertiga dan sebagainya. Ada seorang kawan saya ni yang begitu taksub dengan ilmu hisab agaknya, hanya mahu menitiskan setengah titik asid sahaja.

guru sains: masukkan paling sedikit sahaja, iaitu satu titik asid sahaja.
murid ilmu hisab: cikgu, setengah adakah lebih kecil dari satu?
guru sains: ya
murid ilmu hisab: Jika begitu saya ingin masukkan setengah titik sahaja
guru sains: Unit paling kecil di sini ialah satu titik, tidak wujud setengah
murid ilmu hisab: ilmu hisab kata setengah lebih kecil dari satu cikgu
guru sains: ini ilmu sains, cuba awak tunjukkan secara sains bahawa wujudnya setengah titik. Saya ingin tegaskan bahawa memang setengah titik tidak wujud. Walau bagaimanapun saya akui ada titik yang besar dan ada titik yang kecil. Walaupun saiznya mungkin separuh, tetapi ia tetap dinamakan satu titik dan setengah titik tidak mungkin wujud.
murid ilmu hisab: ilmu hisab dan ilmu sains tidak boleh bercampur cikgu?
cikgu sains: ????

Tuesday, August 10, 2004

BUDAYA TAICHI


TAICHI ialah sejenis senaman atau seni mempertahankan diri yang berasal dan banyak diamalkan oleh orang-orang Cina, khususnya yang sudah berumur. Taichi dikatakan baik untuk senaman jantung, perjalanan darah, pernafasan dan banyak lagi. Dulu-dulu kita boleh tengok apek-apek atau nyonya-nyonya melakukan taichi di kawasan-kawasan lapang. Nampaknya mereka bersenam pakai tolak-tolak. Entah apa yang ditolakkan, mungkin tolak angin, mungkin tolak pengaruh jahat, mungkin tolak hantu malas. Kebanyakan dari pengamal taichi ini adalah dalam kumpulan POP (Persatuan Orang Pencen). Itu dulu! tetapi kini tidak lagi. Taichi kini telah digemari oleh orang muda juga dan oleh orang Melayu juga.

Ke surau Maghrib tadi ada terpampang di papan kenyataan tentang aktiviti senaman taichi yang akan diadakan di perkarangan surau pada setiap Ahad. Wow taichi sudah masuk surau sekarang!.

Walau bagaimanapun secara sedar atau tidak, budaya taichi sudah lama meresap ke dalam pejabat. Budaya taichi di pejabat biasanya bermula dalam bilik mesyuarat. Apabila pengerusi mesyuarat tolak satu idea untuk dilaksanakan, maka setiap yang hadir mesyuarat akan mulalah bertaichi. Tolak sana tolak sini dan akhirnya semuanya main taichi. Bagi yang kurang cekap taichi, atau main silat pulut atau silat papan sekeping sahaja, maka dialah yang disinggahi oleh bebanan kerja tersebut. Keluar dari mesyuarat biasanya dia akan main silat pulut dengan anak buah dia pulak. Sekali lagi permainan taichi akan bermula dari seorang ke seorang.

Hebat sungguh budaya taichi ini.

Monday, August 09, 2004

JAM MELAYU


TIGA jamuan makan malam terkini yang saya hadiri pada tahun ini kesemuanya terlewat dari jadual asal dan terlewat dari yang tercatat dalam kad aturcara. Jamuan pertama dianjurkan oleh orang Malaysia untuk orang senegara dan juga untuk tetamu dari Jepun dan orang Jepun di Malaysia. Kelewatannya hampir satu jam kerana menunggu hanya seorang (penganjur) yang katanya terperangkap dalam kesesakan lalu lintas. Jamuan kedua dianjurkan oleh orang Jepun di Malaysia untuk orang Malaysia. Ia lewat beberapa minit kerana menunggu seorang tetamu yang akhirnya langsung tidak datang dan membuat panggilan telefon meminta semua hadirin ke majlis jamuan beliau. Jamuan yang ketiga juga lewat berpuluh-puluh minit kerana juga menanti tetamu VIP.

Pokok pangkalnya apa yang menyebabkan kelewatan ini?. Mungkin sebahagian besar dari punca lelewatan hanyalah berpunca dari tanggapan sahaja. Ia itu jika kita anggap dia lewat makan lewatlah ia, sedangkan bagi yang 'mengetahuinya' ia adalah on-time. Begini .... tetamu biasa diberi aturcara mengatakan majlis bermula jam 8pm misalnya. Maka tetamu sudah datang seawal 7:45pm lagi. Namun VIP diberi aturcara bermula 8:30pm maka VIP ni santai sikit dah datang 8:45pm. Ah lewat 15 minit saja katanya, sedangkan tetamu kata ia dah lewat 45 minit. Inilah yang dikatakan jam Melayu.

Sunday, August 08, 2004

HAIKU-HAIKU TERKINI DARI JEPUN


Nun mata air, masa ombak mengganas, berbau kuat.
-Takahashi Etsuo

Akar bertunas, batu berat dan besar, beralih tempat.
-Takahama Kiyoko

Baring selsema, ada bunyi di dapur, aku mendengar.
-Shimada

Bakul selsema, kalau bersendirian, cakap sendiri.
-Fujimoto Tsukasa

Demam dan sakit, semoga dielakkan, surat ku lipat.
-Ichimura Youko.

HAIKU-HAIKU ini adalah hasil terjemahan Ms. Halela di komuniti Haiku. Katanya ia adalah hasil dari pertandingan menulis haiku di stesen TV Jepun.

Saturday, August 07, 2004

DIARI HARI INI


7:30am: JOGING 3 pusingan di KLCC (90% berjalan sebenarnya). Terlupa yang hari ini ialah Sabtu (biasanya joging Ahad). Jadi kenalah bayar parking sebanyak RM3 kat KLCC (jika Ahad cuma RM1 sahaja).

9am: TIBA di rumah, tukang rumah dah tiba untuk melakukan kerja-kerja pengubahsuaian. Kenalah jadi jaga hingga siap. Sementara itu bangun dan siapkan Portal PERJASA . Sikit lagi siaplah tu. Terima kasih tak terhingga kepada WkDin yang memulakan usaha ini.

7pm: Ke hotel Legend (sembahyang maghrib kat hentian Putra) kerana menghadiri jamuan makan malam ulang tahun ke-5 Hospital Selayang. Celoteh Bob Lokman dan persembahan Deja Moss menghiburkan.

Friday, August 06, 2004

LAIN ULU LAIN PARANG




hulunya kayu
matanya besi waja
masih serupa

ORANG tua-tua zaman dahulu (tok kita) mengatakan yang orang muda (ayah kita) tidak bagus, tidak hormat orang tua, malas bekerja, suka melepak dan serba serbi yang kurang baik berbanding zaman mereka remaja dulu. Kemudian ayah kita pulak membebel pada kita mengulangi perkara yang dua kali lima dengan apa yang ayah dia bebelkan pada dia. Kemudian daripada itu, kita pula merungut kepada anak kita tentang perkara yang serupa.

Adakah ini bermakna nilai-nilai baik seperti rajin, taat orang tua dan sebagainya telah pupus dari satu generasi ke satu generasi? Atau hanya perasaan saja yang perasan yang dulu-dulu adalah baik belaka?.

Lain ulu lain parang. Lain dulu lain sekarang

Thursday, August 05, 2004

DOT KOM DOT MAI



jalur gemilang
angkasa milik kita
perut keroncong

SEMPENA dengan bulan kemerdekaan ini, mungkin elok kita bercakap pasal maruah jalur gemilang dan kepentingan nasional. Dalam dunia blog dan IT umpamanya ramai orang yang patriotik di luar sana yang mempertikaikan mengapa digunakan perkhidmatan luar seperti blogger.com, blogdrive.com dan mengapa tidak something.com.my, apaapasaja.com.my. Kununnya penggunaan .my boleh memertabatkan nama baik dan maruah negara. Menjawab soalan tersebut, ada ke perkhidmatan blog seumpama itu di Malaysia?. Setakat yang diketahui, jaring adalah buat blog di alamat www.jaring.my/weblog. Dari segi namanya sajapun, cubalah tengok macamana alamat yang digunakan, contohnya http://www.jaring.my/weblog/view.php?user=siti2505. Alamat yang panjang berjela inipun dah menyusahkan semua pihak, macamana nak memertabatkannya?.

Dari segi URL biasa pula, pendaftaran DNS dengan MYNIC untuk .com.my dikenakan RM100 setahun sedanglan jika daftar .com sahaja cuma RM35 sahaja setahun. Mengapa MYNIC begitu mahal?. Mengapa epson.com.my sedangkan epson adalah company Jepun?. Mengapa orangkampung.com sedangkan ia adalah company malaysia?. Jawapannya senang saja, epson (sebagai contoh) sudah ada .com dan .com.jp, ia buat .com.my hanyalah untuk menarik minat pengguna malaysia dan perkhidmatan serta produknya dikhususkan untuk pengguna malaysia, itu saja. orangkampung.com pula ingin pergi global dan tak perlu bawa .my ke mana-mana (selain darti faktor harga dan panjangnya alamat).

Mengapa ramai yang menggunakan kereta proton?. Patriotik?. Sebab dia murah ..... Jika sebuah proton berharga Mercedes, adakah masih ramai yang akan membelinya?. Jika .com.my lebih murah berbanding .com adakah anda fikir .com.my tak laku?.

Wednesday, August 04, 2004

BENGKAK HATI



hatiku sakit
bebudak bengkak hati
menunggu waktu

SEORANG demi seorang kanak-kanak yang menghidapi penyakit hati (biliary atresia)meninggal dunia. Ada yang meninggal sebelum dibedah kerana tidak cukup wang atau tiada penderma hati atau kerenah birokrasi. Ada yang meninggal selepas dibedah kerana pelbagai komplikasi. Di antara beberapa nama yang menjadi perhatian ramai mengenai penyakit ini termasuklah Nur Atiqah Najwa, Aufa Ainul Dania Noordin, Saffiyyah Khadijah Iskandar, Intan Syafiqah Mohd. Fauzi, Mohd. Faiz Syazwan Fadhil; Muhammad Nabil Iman Abd. Hamid; Nurnesa Uzma Mohd. Ezani; Aliff Hambali Abdul Halim; Ash Amier Andyka dan banyak lagi.

Perang media juga berlaku di antara Kementerian Kesihatan, ibu bapa dan orang ramai mengenai perkara ini. Ia itu kerenah birokrasi, ketidakupayaan hospital kerajaan melakukan pembedahan, kos yang tinggi di hospital swasta dan sebagainya. Menteri kesihatan pernah dilaporkan sebagai berkata kejayaan pembedahan di hospital swasta yang kosnya sekitar RM300,000 adalah bagaikan "bertelor sebiji riuh sekampung" dan di hospital kerajaan kosnya dijamin tidak melebihi RM3,000.

Entahlah labu...

Tuesday, August 03, 2004

TASIK PUTRAJAYA


perahu kolek
tenang air di tasik
asalnya ladang

Monday, August 02, 2004

PTK DIMANSUHKAN

Sila lawat CUEPACS untuk menyatakan suara hati mengenai PTK.
Berita Penuh dari Utusan:-
Cuepacs gesa kerajaan mansuhkan peperiksaan PTKKUALA LUMPUR 1 Ogos - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) hari ini mengambil keputusan menggesa kerajaan memansuhkan peperiksaan Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) kerana tidak berfungsi dengan baik dan mempunyai banyak kelemahan sehingga merugikan kakitangan awam.

Keputusan tersebut dicapai oleh 120 ahli gabungan kongres itu pada mesyuarat khas mereka di sini khusus membincangkan isu PTK yang diperkenalkan di bawah Sistem Saraan Malaysia (SSM) pada tahun lalu.

Presidennya, Nordin Abdul Hamid berkata, sehubungan itu, Cuepacs akan mengadakan perhimpunan bagi menunjukkan rasa tidak puas hati mereka terhadap pelaksanaan PTK di Stadium TPCA, Jalan Raja Musa di sini pada 5 September depan.

Beliau berkata, keputusan mesyuarat khas kongres itu juga akan dimaklumkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dalam pertemuan dengan Cuepacs pada 12 Ogos ini.

Nordin berkata, satu daripada kelemahan sistem peperiksaan itu ialah ramai kakitangan awam yang menduduki peperiksaan PTK pada tahun lepas masih belum menerima keputusan mereka.

Katanya, perkara itu telah menjejaskan peluang mereka untuk naik pangkat dan kenaikan gaji.

Bercakap kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat khas itu, beliau berkata:

``Walaupun PTK diwujudkan untuk membangunkan serta menjayakan kerjaya anggota sektor awam namun ia gagal mencapai matlamatnya kerana hanya menilai aspek di luar kemahiran seseorang kakitangan.''

Nordin turut melahirkan kekecewaan kerana surat yang dihantar kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) pada 7 Mei lalu berhubung isu itu sehingga kini belum menerima maklum balas.

``Dalam surat itu, kita hanya mahu tahu kadar peratusan yang lulus di peringkat kementerian dalam pelaksanaan PTK. Ini kerana di mana-mana saya pergi sekarang, kakitangan rendah mahupun pegawai tinggi mahu PTK dimansuhkan.

``Isu PTK telah melemahkan semangat pekerja sektor awam,'' katanya.

Pelaksanaan PTK diperkenalkan sebagai syarat anjakan gaji dan kenaikan pangkat di bawah SSM, tetapi menjadi isu apabila hanya 0.9 peratus daripada 130,000 guru lulus ujian berkenaan yang diadakan buat pertama kali tahun lalu.

PTK meletakkan 80 peratus markah sebagai paras lulus.

Bagaimanapun agensi dan kementerian lain belum mengumumkan keputusan masing-masing.

Isu berkenaan juga mendapat perhatian Perdana Menteri pada 21 Mei lalu yang mengarahkan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Samsudin Osman dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Jamaluddin Ahmad Damanhuri segera berunding dengan Cuepacs bagi menyelesaikan isu tersebut.

Dalam pada itu, Nordin memberitahu, kakitangan awam boleh juga melayari laman web www.cuepacs.org.my untuk menyatakan suara hati mereka terhadap PTK.

Sunday, August 01, 2004

SURE HEBOH TV3 HARAM - MUFTI


Majlis Mufti Malaysia dilaporkan memutuskan bahawa konsert Sure Heboh TV3 adalah haram kerana ia melalai dan menggalakkan maksiat di kalangan anak-anak muda. Sehubungan itu, mereka yang menganjur, menghadiri dan menonton konsert anjuran stesen televisyen swasta popular itu juga haram. Keputusan majlis itu diumumkan oleh Mufti Perak, Datuk Harussani Zakaria.

MB Selangor: Saya akan mendapatkan penjelasan daripada mufti Selangor.
KM N.Sembilan: No Komen
MB Pahang: TV3 perlu mengubahsuai program itu supaya sesuai dengan keputusan majlis itu. Apa yang diputuskan majlis berkenaan berlandaskan implikasi negatif yg timbul dan tidak dapat dinafikan lagi. Di Pahang sendiri, kita lihat ekoran dari program Sure Heboh itu ada kes khalwat dan rogol dilaporkan.

Astora Jabat: Dilaporkan semasa rondaan jam 5-6 pagi, pihak berkuasa tempatan Alor Setar menemui 326 kondom di sekitar kawasan tapan Karnival Sure Heboh TV3. Macamana ramai sangat orang boleh berzina di khalayak ramai dan mengapa penguatkuasa tidak buat rondaan lebih awal (dari 5-6 pagi)?.

Datuk Dr. Ismail Ibrahim (Pengerusi MAjlis Fatwa Kebangsaan): Fatwa ini tidak sah. Ia tidak ikut prosedur. Adalah sukar untuk menetapkan hukum bagi sesuatu perkara yang bersifat spesifik sebaliknya perlu ada satu garispanduan secara menyeluruh.

terkini - PM: Saya akan dapatkan penjelasan dari Majlis. Mereka buat fatwa tentu ada bersekali dengan penjelasannya.