Labels

Wednesday, September 17, 2003

Sebuah Kesetiaan

Sebuah Kesetiaan Dengan Bank

Saya menggunakan kad kredit MAYBANK semenjak 1983. Ini bermakna sudah 20 tahun!. Ada sesiapa yang setia dengan sesuatu brand selama itu?. Tiada yang istimewa sangat dengan kad ini, tetapi ia tidak banyak menyusahkan atau menyakitkan hati.

Pada tahun 1990an, kad kredit jenama MBF begitu popular. Ia popular kerana mudah mendapatkannya dan dengan senangnya had kredit dinaikkan. Maknanya memudahkan kita berhutang. Saya juga mempunyai kad kredit jenama ini. Namun semasa saya tinggal sementara di UK, MBF telah membawa saya ke mahkamah kerana katanya saya lewat membayar bil. Saya rasa agak pelik kerana setiap bulan saya membayarnya. Lalu saya tamatkan penggunaan kad ini dan bersumpah tidak akan membuat sebarang urusniaga dengan MBF lagi. Padan muka, kena sumpah agaknya, kini dah jadi mendiang.

Setelah itu Hong Leong pulak menawarkan kad kredit beserta dengan Touch&Go. Perkhidmatan ini agak unik dan saya mendapatkannya. Setelah setahun menggunakannya, tiba masa pembaharuan, saya pergi ke bank dan katanya kad saya telah dimusnahkan kerana terlewat datang menuntutnya. Saya hulukan surat mereka dan ternyata tarikhnya masih belum terlewat. Ah ini awak kena tanya HQ, saya tak tahu kata kerani bank. Amboi sedap mulutnya. OK terima kasih sajalah, saya tak minat lagi dengan kad awak. Bukan saya yang terhegeh-hegeh nak sangat. Lagipun Touch & Go telah ditamatkan. Sampai sekarang setiap bulan saya terima bil penyata dari HLB, tapi yang seronoknya ia berbaki negatif. Maknanya bank berhutang dengan saya. Sepatutnya mereka bayarlah hutang tu, bukan hantar bil menyatakan baki negatif. Ini punyalah bongok punya bank.

Satu lagi jenama popular masa kini ialah Citibank. Popular bagaimana ya?. Ah ini bank Yahudi, jangan consider.

Jenama kad yang tak popular tetapi unik ialah EON Bank. Ia unik kerana yuran tahunan tidak perlu dibayar. Saya rasa ia adalah bagus dan strategi bank boleh membawa kepada kesetiaan yang berkekalan. Jika kad biasa, pakai saja 12X setahun dan jika kad emas pakai 24X setahun, dapatlah free bagi tahun hadapannya. Nak pakai 24X bukan susah, pergi ke stesen minyak aje dah berapa kali?. Lebih dari cukup dan dapatlah guna kad free!.

Oh ya... pada tahun 1980an saya juga ada kad American Express. Kad ini ialah kad korporat yang 'diberikan' oleh jabatan, Fuh! kad inilah yang paling glamor. Jika pergi kedai, hulur Amex, orang kedai akan tanya 'encik ada kad lain tak?. macam Visa atau Master'. Kenapa?. 'ini kad banyak susah woo... mau konek manyak payah'. Bukan sekali dua saya kena begitu. Huh... belum sampai setahun, kad itu saya potong dua dan pulangkan kepada empunya tuan.

Kad Diners Club juga ada, ia adalah kad affiniti JICA Alumni. Oleh kerana nak bantu Alumni (dan free), saya simpan jugalah kad ini dalam dompet.

Sudah bermacam kad ada, kesetiaan masih kepada Maybank :-)


No comments: