[dari Berita harian]
INDAHNYA lagu bergantung kepada siapa yang menyanyikannya. Seorang yang tidak pernah menyanyi misalnya tidak mungkin boleh melakukan keadilan kepada lagu Seroja. Tetapi jika Mawi mendendangkannya sudah tentu ramai terpegun.
INDAHNYA lagu bergantung kepada siapa yang menyanyikannya. Seorang yang tidak pernah menyanyi misalnya tidak mungkin boleh melakukan keadilan kepada lagu Seroja. Tetapi jika Mawi mendendangkannya sudah tentu ramai terpegun.
Karen Hughes bukan seorang penyanyi tetapi bekas wartawan televisyen yang kini menjadi senjata utama Presiden George W Bush dalam menawan hati dunia Islam. Selepas menjelajah Timur Tengah bulan lalu, esok Hughes akan memulakan lawatannya ke Malaysia selepas mengunjungi Indonesia.
Misinya adalah untuk ‘mendengar dan belajar’. Tumpuannya untuk memahami mengapa imej AS begitu buruk di kalangan dunia Islam. Lagu yang mungkin didendangkannya ‘Amerika Bersamamu.’
Hughes adalah bekas penasihat Bush ketika penggal pertama beliau di Rumah Putih sehingga 2002. Malah, Hughes menasihati Bush sejak beliau menjadi Gabenor Texas.
Selepas tiga tahun memberi tumpuan kepada urusan keluarga di Texas, Hughes kembali ke Washington sebagai Setiausaha Rendah bagi Diplomasi Awam di Jabatan Negara sejak Mac lalu untuk membantu bos lamanya yang jelas menghadapi masalah imej, terutama di dunia Islam.
Tugas Hughes amat berat, malah ada kolumnis di AS sendiri menyatakan mustahil. Mereka yang memegang jawatan sama sebelumnya, Charlotte Beers dan Margaret Tutwiler – bukan calang-calang orang dalam dunia pengiklanan dan komunikasi - tetapi hasil yang dicapai terhad.
Hughes jelas mempunyai kelebihan. Sebagai penasihat lama Bush, sudah tentunya beliau mempunyai akses kepada presiden.
Segala yang didengar dan dipelajari dalam jelajah dunia Islam yang sedang dilakukannya sekarang, besar kemungkinan sampai kepada pengetahuan Bush.
Bagaimanapun, daripada apa yang dilaporkan mengenai jelajah sulungnya ke Timur Tengah bulan lalu, perkara yang disampaikan mungkin tidak semerdu yang mahu didengar oleh Bush.
"Hughes melihat tetapi tidak mampu menakluk" tajuk sebuah kolum pendapat media Arab. Ada yang menyatakan secara sinis usaha Hughes tidak lebih daripada langkah ‘PR’. Ada pula yang menyatakan beliau tiba "kononnya untuk menawan hati tetapi sebaliknya menumbuk perut" dengan komennya.
Kebanyakan di Mesir, Arab Saudi dan Turki mengalu-alukan kedatangan Hughes. Lebih daripada itu, ramai menghargai usaha diplomat itu untuk mendengar sebanyak mungkin pandangan dalam masyarakat Islam, termasuk berhubung isu wanita daripada mereka yang ‘bertudung’ dan ‘yang tidak bertudung’.
Mesej yang disampaikan kepada Hughes dalam lawatannya ke Timur Tengah adalah dunia Islam rata-ratanya bukannya anti-AS tetapi anti dasar AS, itu pun bukan matlamat dasar itu sendiri tetapi cara ia dilaksanakan.
Sebagai contoh, matlamat AS mewujudkan negara Palestin yang bebas dan berdaulat. Ramai umat Islam bersetuju dengan matlamat itu, tetapi apa yang mahu dilihat ialah pencapaiannya secara adil dan saksama kepada penduduk Palestin dan Israel.
Begitu juga isu Iraq dan Afghanistan. Sekurang-kurangnya kini dialog sudah dimulakan dan harapannya ia bukan sekadar bercakap tetapi saling mewujudkan persefahaman yang mendalam.
No comments:
Post a Comment