Labels

Monday, November 03, 2003

KAPAL GARAM TERBALIK MENUMPAHKAN GULA ....

KAPAL GARAM TERBALIK MENUMPAHKAN GULA...
JANGAN ADA DENDAM - Siri 18
Sila baca siri 17 di http://sridiah2u.blogspot.com


Hari minggu di bulan puasa begini, pulang dari pasar tidak ada banyak aktiviti bermenafaat yang dapat dilakukan. Habis dua buah akhbar mingguan, aku mencapai notebook untuk melilau ke alam maya. Namun streamyx ni sememangnya banyak songel, bayar saja RM80 sebulan, tapi perkhidmatannya rasa-rasanya talian dial-up adalah lebih baik. Oleh itu aku ambil keputusan berbaring sahaja di ruang tamu seperti biasa.

Walaupun mata telah pejam, namun telinga masih dapat mendengar sayup-sayup drama minggu ini oleh pelakon popular anak-beranak:-
"Mak, malam ni mak bangkitlah masak sahur. Lauk abah tak sedap..." Kata anak sulung.
"Saya makan sikit saja. Esoknya mesti perut lapar berkeroncong!" Tokok anak kedua.
"Syhhh, nanti abah kamu dengar. Mesti dia kecik hati," kataku perlahan, meletakkan jari telunjuk ke bibir.
"Mak, ini realiti. Perut ni tak boleh terima, masin! Sayur kangkung lembik..." sambung anak ketiga, wajahnya masam.
"Dia lupa agaknya, dia ada darah tinggi..."
"Mak, abah sabotaj kita tak?" Sahut anak keempat pula.


Alahai bengkaknya hati mendengar drama ini. Sampainya hati seorang ibu tidak mahu memasak untuk sahur sehinggalah anak-anak terpaksa memujuk. Si anak pula, yang bujangtu takkanlah berharapkan bersuap sahaja. Si dara tu hanya tahu rebus telur saja. Masyaallah anak-anak sekarang, sudah mengangap dapur tu kerja orang gaji semata-mata. Sebagai suami, aku terlalu kecil hati apabila isteri merujuk aku sebagai “dia” di depan anak-anak. Agaknya di depan kawan-kawannya tentu aku dirujuk sebagai “orang tua” sahaja. Oh malang sungguh nasibku. Aku pasti semua aksi ini adalah semata-mata untuk menunjukkan betapa tidak sedapnya masakan aku. Sebenarnya sayur kangkung itu, Kak Piah sebelah rumah yang sedekahkan. Kesian Kak Piah, telah menjadi ibu tunggal semenjak muda setelah suaminya pekerja kedutaan di Belgium menghilangkan diri tanpa sebarang berita sejak lama dulu. Aku memanggilnya Kak Piah kerana dia membahasakan dirinya makcik kepada anak-anakku. Usia sebenarnya tidak pernah kuketahui. Masakan Kak Piah ini memang menjadi kesukaan anak-anakku, terutamanya bila isteriku bekerja di luar stesen. Dia siap memberikan wang kepada Kak Piah supaya menyedia dan menghantar makan malam untuk kami anak beranak sepanjang beliau berada di luar. Tapi kini masakan Kak Piah yang enak itupun dikatakan lembik kerana percaya bahawa aku yang memasaknya. Inilah sifat manusia, memandang jenama bukan barangnya

Jika diikutkan hati, ingin saja aku mengembalikan semua mereka ini ke UK secara maya semasa kami sekeluarga berada di puncak kebahagiaan. Bangun seawal 4 pagi, menyediakan sarapan dan diner pak* untuk anak-anak yang akan ke sekolah. Jam 4:30am sudah meredah kesejukan pagi ke Tesco menghayun mop dan penyapu selama dua jam. Kemudian bergegas pula ke kampus Beckett Park untuk menyambung lagi tugas sebagai ‘floor manager’. Sebelum jam 9am mesti sampai semula ke rumah di Harehills untuk menghantar anak-anak ke sekolah. Tidak banyak aktiviti luar yang boleh dibuat sementara anak-anak di sekolah, kerana atas faktor keselamatan, pihak sekolah tidak akan membenarkan orang lain yang tidak berdaftar menjemput anak-anak dari sekolah. Jadi di siang hari begini biasanya aku akan berada di kedai al-halal Mahboob untuk menolongnya membersih dan menjual ayam . Upahnya Cuma kepak ayam cukup buat sekali makan. Kemudian jika ada pelajar yang meminta untuk membaiki atau memasang PC, cerahlah sikit rezeki. Jika tidak dok melangut sajalah dalam kesejukan di rumah (sebab tidak larat untuk bayar bil yang terlalu mahal jika menggunakan heater) sambil cuba memasak untuk anak-anak. Setelah mengambil anak pulang dari sekolah jam 3:30. Aku akan bergegas ke Burton untuk bertugas hinggalah jam 9 malam. Begitu ketatnya kehidupan menyara keluarga diperantauan dengan bercuti tanpa gaji. Namun kehidupan kami sekeluarga begitu bahagia. Mengapa begitu?. Mungkin kerana tiada orang lain di sisi, tiada saudara, tiada ipar-duai yang mengganggu kehidupan kami. Oh bahagianya… Namun rasanya adalah mustahil untuk mengembalikan semula keluarga ini ke sana.

Harap-harap makan minum sekeluarga untuk menyempurnakan ibadah puasa ini tidaklah diabaikan oleh isteriku yang hanya dia yang mengetahui sebabnya.

* bekalan makanan tengahari dipanggil diner pak oleh cikgu kat sana. Ia disediakan percuma, tapi tidak terjamin halal. Jadi perlulah dibawa sendiri. Walau bagaimanapun meleleh air mataku apabila mengetahui anak-anakku terpaksa makan bersembunyi, hingga di bawah meja kerana malu dengan rakan-rakan mat saleh yang selalu perli akan rupa dan rasa diner pak mereka.



No comments: