Labels

Tuesday, November 11, 2003

GAYA HIDUP JUTAWAN

Sebut saja jutawan, mungkin akan terbayang di benak fikiran kita mengenai sebuah kehidupan yang serba serbi mewah. Makan di restoran ternama, menginap di hotel lima bintang, rumah bungalow di atas bukit, berkereta mewah dan mungkin juga mempunyai kapalterbang sendiri. Kehidupan serba mewah ini adalah gambaran bagi kebanyakan orang bagi jutawan. Namun begitu, kajian menunjukkan hanya 5% sahaja jutawan yang sedemikian, selebihnya hidup dalam penuh kesederhanaan. Mereka tinggal di taman perumahan biasa dengan berumah teres, memandu kereta biasa dan mempunyai kerja dan kerjaya yang biasa. Pendik kata semuanya adalah biasa sahaja, kecuali pendapatannya sahaja yang ‘luar biasa’. Perkara ini telah didokumentasikan dalam buku The Millionaire Next Door oleh Thomas JH.Stanley dan WilliamD. Danko.

MBA pernah mengenali seorang jutawan bergelar datuk. Kehidupannya bolehlah dikatakan tergolong dalamm majoriti jutawan dan seboleh mungkin tidak ingin dikenali sebagai juitawan disebabkan oleh pelbagai alasan tertentu yang hanya beliau mengetahuinya. Semasa beliau sekeluarga pergi menunaikan haji di Mekah, mba dan seorang kawan lagi diminta untuk menjadi ‘jaga’ di rumah beliau. Kerjanya agak senang, iaitu datang ke rumahnya sebelum maghrib, hidupkan suasana rumah tersebut dengan memasang lampu, kipas, aircond, TV, muzik dan sebagainya. Buatlah semua aktiviti biasa dalam rumah tersebut termasuk makan dan memasak di dapur. Semua peralatan dalam rumah boleh digunakan dan bekalan makanan mentah dan bermasak disediakan oleh ‘jaga’ yang bertugas siang. Tugas berakhir selepas subuh di mana mba perlu ke pejabat pula.

Dari pengamatan mba sepanjang menjalankan tugas tersebut, kehidupan beliau adalah amat berbeza dengan orang kebanyakan. Misalnya untuk kebanyakan bahan dapur, beliau menyimpan stok untuk setahun di rumah dan tidak lagi perlu keluar untuk membeli bahan berkenaan. Misalnya beras, gula, garam, susu dan sebagainya hinggakan mancispun disimpan stok untuk setahun. Agaknya membeli secara borang begini adalah lebih murah, menjimatkan kos pengangkutan, menjimatkan masa dan mungkin lebih selamat sebab tidak perlu berada di tempat awam terlalu kerap. Jadi masa yang terluang adalah untuk perkara lain, umpamanya untuk menambah lagi pendapatan kepada sejuta yang berikutnya. Inilah satu pengajaran yang dapat mba pelajari semasa menjadi jaga, tetapi tidakpun dapat diamalkan disebabkan terlalu banyak halangan. Hinggakan belum cukup bulanpun bekalan sudah kehabisan ….