Labels

Thursday, October 16, 2003

MENTERI KAMPUNG MENTERI BANDAR

MENTERI KAMPUNG MENTERI BANDAR

Tidak berapa lama dulu, saya mengambil cuti untuk menemani kawan lama orang kampung yang datang ke KL untuk berurusan dengan sebuah jabatan kerajaan. Saya membawa beliau ke jabatan tersebut. Malangnya pegawai yang bertanggungjawab tidak dapat ditemui dan menurut seorang staf, dia pergi “menyanyi”. Dalam hati tertanya-tanya, pegawai tinggi macam ini pun pergi menyanyi dalam waktu pejabat?. Setelah diselidiki, rupa-rupanya dia ialah ahli kumpulan koir yang akan membuat persembahan sempena dengan lawatan menteri ke pejabat tersebut.

Sementara menunggu beliau, kami ke kafetaria untuk minum sambil melayan kawan tadi yang ingin merokok. Diperhatikan kafeteria itu tidaklah terurus dengan sempurna. Lalat berterbangan dan meja serta kerusi tidak dilap. Kedai mamak jauh lebih bersih lagi.

Akhir kata setelah 3 jam melangut di kantin tersebut, dapatlah kami berjumpa dengan pegawai yang dimaksudkan. Diceritakan kemudiannya bahawa bosnya amat cerewet, amat teliti dalam semua aspek pekerjaannya. Misalnya dalam koir tadi, dia cukup teliti sekali, macamana cara naik, cara tunduk, cara keluar, buka mulut, senyum dan sebagainya. Sebab itulah terpaksa berlatih banyak kali ujar beliau.

Dalam perjalanan pulang, kawanku menyuarakan kehairanan beliau. Menteri duduk di bandar dan hari-hari melawat ke jabatan sendiripun terpaksa dilayan begitu sekali. Perlu menyanyi, pakai cantik, makan sedap dan tentu banyak lagi kerjanya. Jika begitu lebih senang jadi orang kampung macam aku ni. Macam-macam menteri datang ke kampung kita. Kita tak perlu buat apapun. Jika menteri nak makan daging, dia sedekah lembu kat surau, kita sembelih dan masak saja. Beraspun pejabat daerah yang beri. Kalau ada baju barupun kita tak pakai, kita pakai selipar jepun dan kain-baju ala kadar saja. Biar nampak kemiskinan kita ni memang miskin. Kesusahan kita ni memang susah. Menteri beri sedekah dan subsidi lagi. Tapi ya lah, menteri datang melawat kampung lima tahun sekali sahaja.

Aku pulak memikirkan perkara lain. Mengapa bos yang dikatakan cerewet dan teliti itu hanya begitu kepada menteri sahaja?. Perlukan persediaan rapi serapi-rapinya. Sedangkan kantin (tak boleh panggil kafetaria dah) begitu teruk sekali?. Jawapan yang aku ada ialah sebab menteri atau bos-bos beliau tidak singgah di kantin tersebut. Tetapi apa halnya dengan orang kampung macam kawan aku tadi?. Oh mereka (orang kampung) bukannya menulis laporan prestasi pegawai-pegawai ni. ……


No comments: