Labels

Thursday, October 16, 2003

JANGANLAH TIDUR SENDIRIAN


JANGANLAH TIDUR SENDIRIAN - sambungan Jangan Ada Dusta - Sri Diah

Sayangku,
Abang tahu yang sayang ialah anak seorang ustaz sedangkan abang ini dilahir dan dibesarkan dalam keluarga yang pincang dan serba kekurangan. Namun latarbelakang masa silam tidak usah kita ungkitkan. Jadi usahlah diungkitkan pasal arwah nenekku yang hobinya mencabut uban di tangga itu. Dia juga wanita berkerjaya sebenarfnya, seorang petani yang gigih menggunakan tulang empat keratnya untuk membesarkan orangtuaku.

Abang mahu biarlah kita sehidup semati dan sama-sama ke syurga nanti. Memang sayang adalah superwoman, memang abang sangat bertuah memiliki sayang. Namun dalam banyak hal, abang merasakan yang sayang lebih mementingkan kerjaya berbanding dari rumah tangga. Abang tidak perlu bersyarah panjang kerana migren abang ini sudah sampai ke puncaknya agaknya. Sebelum apa-apa terjadi kepada abang, abang hanya ingin mengingatkan sayang hanya dua buah hadis sahaja yang abang ingat-ingat lupa.

Pertama, tidak akan diampunkan dosa seseorang isteri yang membiarkan suaminya tidur dalam kemurkaannya sepanjang malam dan yang kedua adalah haram bagi seseorang Muslim memutuskan tali persaudaraan dengan saudaranya yang Muslim lebih daripada tiga hari. Cukuplah sekadar itu sayang. Semoga rasa amarah sayang tidak akan menakluki intelektual sayang yang tinggi itu.

Oh ya, sebelum abang terlena lagi, abang teringatkan satu lagi hadis. Jika si suami berhajatkan isterinya hatta ketika berada di belakang kuda sekalipun, maka adalah wajar bagi si isteri untuk memenuhinya. Abang bukan memerlukan sayang di kandang kuda!, Di sini sayang, ditepian tilam empuk ini. Abang Cuma mahukan sayang memicit kepala abang yang sakit dan hati abang yang bengkak ini. Selamat malam sayang. Abang tidur dulu dan semoga dapat berjumpa bidadari dalam mimpi yang boleh melegakan penyakit abang ini. Assalamualaikum.

No comments: