Labels

Sunday, October 26, 2003

PASANGAN BAHAGIA TOKKI DAN TOKWAN


PASANGAN BAHAGIA TOKKI DAN TOKWAN(Jangan Ada Dusta Versi Lelaki -Siri 12)
Baca siri 11 di Sri Diah

Malam tadi rupanya aku pulang ke kampung mengimbau semula zaman kanak-kanakku bersama Tokki dan Tokwan. Kedua-dua mereka mempunyai kejaya sendiri, namun tanggungjawab utama tidak pernah diabaikan. Tokwan sibuk dengan sekandang lembu pawahnya serta huma di hujung kampung. Tokki pula dengan sawah dan tiga buah kolam ikan ternaknya. Pagi-pagi lagi Tokwan akan keluar untuk melepaskan lembu-lembu dari kandang, kemudian terus ke huma untuk melihat-lihat apa yang patut. Kadang-kadang hanya tapak-tapak ‘lembu pendik’ sahaja yang kelihatan. Hampir tengahari baru dia pulang ke rumah untuk bertanak nasi. Walau bagaimanapun Tokwan tidak pernah melupakan tanggungjawabnya sebagai isteri dan nenek. Jam berapapun aku terjaga dari tidur, pergi saja ke dapur akan terhidanglah air rawa, ubi rebus dengan ikan masin ataupun lempeng bercicah nyior untuk mengalas perut. Tokki cukup bahagia mempunyai Tokwan sebagai teman hidupnya. Dia selalu berpesan, bila kamu dewasa nanti, jika nak berkahwin dengan orang yang bekerja, tidak ada apa-apa masalah, asalkan makan pakai kamu sekeluarga dapat diuruskan sepenuhnya. Jangan serahkan kepada orang gaji. Oh… itu semuanya nostalgia dan telah menjadi sejarah.

Sedang khusyuk bersembahyang Subuh, aku terdengar dehemnya yang memberi isyarat untuk menjadi makmun. Alhamdulillah, syukurlah kepadaNya. Akan mudahlah segala urusanku selepas ini. Selepas berdoa panjang, kuhulurkan tangan untuk bersalaman dan sebagai suami tiada salahnya memohon ampun maaf dari isteri. Untuk mendengar ucapan maaf darinya terlebih dahulu, tunggulah sehingga kucing bertanduk. Alhamdulillah segalanya berjalan lancar tanpa bersusah payah. Tiada siapa yang perlu mengemis dalam kesejukan subuh ini, kami sememangnya saling memerlukan dan terlerailah rindu dendam selama beberapa hari ini.

Selesai mandi, tugas pertama di pagi minggu ini ialah ke pasar. Membeli apa-apa yang patut sebagai persediaan untuk bersahur. Ya, hanya untuk bersahur sahaja, kerana sudah menjadi kelaziman bertahun-tahun, juadah berbuka semuanya dengan resepi telunjuk di warung sahaja. Namun, ada kelainannya kali ini apabila dia ingin ikut ke pasar. Dalam hati berkata, cemburu ke dia bila aku ke pasar atau ah lupakan saja, ini ibarat orang mengantuk disorongkan bantal. “sayang bawa kereta, biar abang di sebelah. Nak dengar kalau-kalau kereta ni ada bunyi di mana-mana”. Yalah kereta ni, jika orang perempuan yang bawa, selagi boleh jalan, dihenyaknya saja. Apa dia tahu pasal absorber, bearing, alignment dan sebagainya. Malahan angin tayarpun tidak tahu berapa sukatannya.

No comments: