Labels

Friday, April 15, 2005

TEMAN SEKATIL

Entri ini ditulis atas permintaan ramai. Ramai berpendapat ia adalah cerita lucu, tetapi saya tidak boleh menjadikannya lucu sebab ia adalah sebuah cerita sakit hati

SATU perancangan untuk mengadakan pembinaan pasukan (team building) telah lama dirancang. Sesi ialah untuk AJK sebuah NGO yang dianggotai oleh pegawai-pegawai dari perkhidmatan awam. Sesi ini dibuat dengan kerjasama sebuah organisasi lain. Seingat saya semenjak bulan November 2004 lagi kami telah mula merancang. Beberapa mesyuarat dilakukan di sebelah malam atau di luar waktu pejabat untuk merancang sesi ini. Ia diikuti oleh sesi YM, mel dan telefon. Sesi ini juga telah beberapa kali ditunda disebabkan oleh sebab-sebab yang tertentu.

Memandangkan sesi tiga hari ini melibatkan waktu kerja, jadi surat jemputan perlulah datang dari sebuah agensi pusat. Walau bagaimanapun, hendak dijadikan cerita, surat tersebut tidak jadi dikeluarkan di saat-saat akhir. Oleh itu secara tergesa-gesa, organisasi kami perlulah mengeluarkan sendiri surat jemputan tersebut. Sudah tentu impaknya kurang dan peserta mungkin tidak dibenarkan menyertai sesi ini oleh ketua masing-masing.

Saya adalah orang nombor dua dalam organisasi ini telah menerima nasib yang tidak begitu baik. Bos tidak membenarkan saya pergi dengan alasannya yang tersendiri. Oleh kerana komited dengan projek tersebut dan tidak mahu mengguris hati bos, saya ambil cuti rehat untuk menyertai sesi hanya pada hari kedua. Ini bermakna saya terlepas sesi di hari pertama yang melibatkan ucaptama, pembukaan dan sesi-sesi glamor.

Jika orang lain ke sana dengan perbelanjaan dari jabatan, saya menyertainya dengan perbelanjaan sendiri dan mengorbankan cuti rehat sendiri. Apa boleh buat. Sebagai orang nombor dua dalam oprganisasi, saya tidaklah mengharapkan sesuatu yang di luar kemampuan organisasi. Jika peserta lain berkongsi bilik, saya juga tidak mahu diberi keistimewaan tinggal dalam bilik single. Namun apa yang terjadi adalah benar-benar di luar dugaan. Saya bukan hanya berkongsi bilik, malahan terpaksa juga berkongsi katil dengan seorang peserta lain. Amboi, ini sudah lebih. Berkongsi katil ini bukanlah teruk sangat hingga jatuh ke tahap haram, namun ia tidak begitu selesa, tidak seronok, rimas, berbulu dan banyak benda lagi.

Sebagai orang nombor dua, saya rasa mereka tidak patut buat begitu kepada saya. Mengapa mereka buat begitu?. Mengapa orang lain boleh tidur atas katil berasingan?. Mengapa saya harus berkongsi katil dengan orang lain?. Mereka betul-betul tidak menghormati orang nombor dua. Mereka tidak hormat langsung organisasi kita. Mereka itu mereka ini mereka begitu mereka begini. Sebagai orang nombor dua, saya khabarkan hal ini, ketidak selesaan ini kepada orang nombor satu. Tapi ah sia-sia saja, buat-buat tak faham saja.

Akhirnya saya buat tindakan sendiri. Ah aku datang sini guna duit sendiri. Aku datang sini terpaksa ambil cuti rehat. Duit tol, duit minyak bukannya boleh tuntut balik. OK... aku cari bilik lain (ohhh sewanya RM400 satu malam!). Aku nekad, balik bermalam di rumah atau bermalam di hotel lain yang lebih murah dan itulah nasib orang nombor dua.


Jikalau saya tidak mengambil tindakan sendiri (yang akhirnya sangat dipersetujui oleh teman sekatil saya), sudah tentu ia akan jadi begini:-

katil yang kecil
dua jasad gergasi
jatuh ke lantai

No comments: