oh nasi kawah lauk bertukar menu pisang dibaling |
DALAM satu promo rancangan TV tempatan mengenai ulang tahun ke-100 MCKK, ungkapan tersebut dapat didengari "apa yang tidak dapat dilupakan sehingga mati ialah saya dan rakan-rakan terpaksa makan nasi kawah".
Anak-anak saya bertanya, "apakah hinanya nasi kawah"?. Saya juga tertanya-tanya mengapa makan nasi kawah adalah merupakan suatu kenangan yang tidak dapat dilupakan sehingga mati. Hatta jika makan nasi basi atau nasi mentahpun tidaklah perlu diingat sampai mati. Inikan pula cuma nasi kawah.
Nasi kawah yang saya fahami ialah nasi yang dimasak dalam jumlah yang banyak untuk tetamu yang ramai seperti untuk jamuan, kenduri ataupun keperluan asrama dan kantin. Biasanya ia dimasak dalam periuk yang besar ataupun kawah. Ia sudah tentu berbeza sedikit dengan nasi yang dimasak di rumah, dalam rice cooker untuk dimakan sekeluarga sahaja. Bolehlah dikatakan jika sesiapa yang tidak pernah memakan nasi kawah bermakna dia tidak pernah menghadiri kenduri, tahlil, morey, tidak pernah tinggal di asrama mahupun tidak pernah makan di hotel. Masih adakah manusia sebegini?. Apakah yang disensasikan sangat dengan makan nasi kawah?.
Tinggal di asrama sudah tentu bayak peristiwa suka dukanya. Dalam bab makan sahajapun ianya panjang berjela. Bagi saya, makanan di asrama sungguh sedap dan menyelerakan. Maklumlah semasa tinggal di kampung jarang-jarang sekali dapat makan ayam ataupun daging. Di asrama tiap-tiap minggu menunya bertukar ganti dan dikawal rapi. Ia sungguh menyelerakan. Namun bagi anak orang-orang kaya dan berada, makanan di asrama adalah ibarat sampah. Saya masih ingat bagaimana murid-murid di asrama saya melingkupkan tray makanan beramai-ramai semata-mata kerana menu ayam ditukar kepada ikan oleh pihak asrama. Suasana menjadi kecoh seketika kerana perangai budak-budak ini. Akhirnya ustaz Mu'awiyah (allahyarham) memaklumkan bahawa semasa memeriksa stok ayam di dapur, beliau telah terjumpa ayam yang tidak disembelih. Oleh itu beliau mengarahkan ayam tersebut kesemuanya dipulangkan dan ikan adalah penggantinya.
[Bayangkanlah dalam tahun 1970-an, sudah ada kes ayam sembelih dan tidak disembelih dicampur aduk].
Tidak dilupakan juga peristiwa budak-budak membaling pisang yang dikatakan mentah dah keras hinggakan anjingpun boleh mati jika dibaling dengan pisang tersebut. Inilah kerenah anak-anak orang kaya (pada masa itu).
No comments:
Post a Comment