Labels

Tuesday, January 20, 2004

UCAPAN TERIMA KASIH

SAYA ingin mengucapkan berbanyak terima kasih kepada semua yang membaca dan terutamanya yang membuat ulasan terhadap artikel “GATH 2005 LEBIH GAH”. Saya bercadang pada kali ini ingin membuat entri dengan tajuk lain, iaitu mengenai penggunaan e-mel pejabat, tetapi memandangkan agak banyak ulasan yang diterima, jadi saya rasa terpanggil untuk merakamkan ucapan terima kasih ini sebagai satu entri.

Semua ulasan yang dibuat adalah positif semuanya pada tanggapan saya. Ini bermakna saya telah berjaya memasukkannya ke dalam telinga kanan saudara-saudari. Walaupun ia keluar semula mengikut telinga kiri, tidak mengapa. Ia adalah lebih baik dari tidak sempat masuk langsung, sebaliknya melantun keluar {akibat telinga sudah penuh agaknya }. Ia juga saya telah berjaya mencurahkan air ke daun keladi. Walaupun ia tidak berupaya membasahkan daun, ia adalah lebih baik dari tidak berpeluang untuk menjiruskannya langsung.

Sebuah Haiku untuk anda: Jika nak masuk geng Haiku, bolehlah ke Komuniti Haiku



Se helai daun
Satu tempayan air
Tetap kan kering



Apa yang saya tuliskan adalah pendapat dan pandangan dan boleh jadi pegangan saya. Walau bagaimanapun pendapat dan pandangan manusia boleh berubah mengikut keadaan dan masa. Apa yang anda ulas adalah merupakan pendapat dan pegangan anda sendiri. Kita bebas untuk menulis, mencadang, bersetuju atau membangkang pendapat orang lain. Sungguhpun begitu adab dan tatasusila penulisan perlulah dijaga. Tulisan anda mencerminkan peribadi anda sendiri. Penggunaan bahasa yang kasar, memaki hamun dan yang seumpama dengannya sememangnya secara langsung menunjukkan siapa penulisnya yang sebenar.

Seperkara lagi yang perlu diberikan penekanan ialah umpama perumpamaan Melayu, lempar batu sembunyi tangan, iaitu tidak berani untuk bertanggungjawab atas apa yang ditulis. Ini adalah sifat pengecut dan bacul si penulis. Ada yang mengulas dengan tidak meletakkan sebarang identiti supaya tidak dikenali dan berasa seronok dengan caranya. Ada pula yang menggunakan identiti orang lain, seolah-olah orang itulah yang menulis dan dia sungguh seronok dengan cara itu. Penulis yang berlindung di sebalik topeng begini sebenarnya berhajat untuk menakutkan orang lain, walaupun sebenarnya dia adalah penakut yang bacul.

Saya cakap ni penulis-penulis di tempat lainlah, bukan penulis GEJU yang semuanya baik-baik belaka ….. Walau bagaimanapun sekiranya sikap begini masih ada di kalangan GEJU, saya khuatir dia akan merosakkan seluruh komuniti, ibarat kata seekor kerbau membawa lumpur semujanya terpalit.

Selamat menulis dan semoga apa yang anda tulis ada timbangannya di hari Akhirat nanti.


No comments: