Labels

Wednesday, November 25, 2009

LAGAK PEMANDU

"Hampir semua orang tahu bahawa hampir semua pemandu di pejabat bersikap bagaikan bos besar".

Aling, seorang pegawai junior di jabatan diarahkan oleh ketuanya untuk menghadiri mesyuarat tergempar di Jabatan Perdana Menteri (JPM). Bangunan JPM yang tersergam indah itu memang jelas kelihatan daripada pejabatnya. Hendak dikatakan jauh, tidak munasabah. Hendak dikatakan dekat, berpeluh jugalah ketiak jika menapak ke sana.

Mahu tidak mahu, Aling terpaksalah menaiki kereta jabatan yang telah ditempah oleh kerani besar (cc) untuk tujuan tersebut. Inilah kali pertama Aling menaiki kereta pejabat. Seboleh-bolehnya dia tidak mahu menyusahkan pemandu di pejabatnya. Dia lebih rela berjalan kaki, menaiki teksi ataupun menumpang kawan. Namun arahan ke mesyuarat tergempar di JPM pada hari ini tidak boleh dielak lagi. Dia tidak sempat untuk mencari kenderaan alternatif.

Aling cukup cuak mendengar pelbagai cerita mengenai pemandu yang suka membuli bos. Pemandu yang biadap. Pemandu yang bengis dan garang. Pemandu yang bekerja mengikut mood dan macam-macam lagi.

Aling mengadu kepada Ajis, pegawai yang lebih kanan daripadanya. "Pemandu tidak datang ambil aku selepas mesyuarat. Nasib baik aku dapat tompang pegawai JPM yang kebetulan mahu ke kementerian kita"

Ajis memulakan cerita. "Suatu hari aku menaiki kereta pejabat untuk pergi mesyuarat. Aku komplen kepada pemandu mengapa ikut jalan yang sesak"

Aling bertanya. "Apa jawapan pemandu?"

Sambung Ajis. "Dia tidak jawab apa-apa. Dia berhentikan kereta, dia buka pintu dan suruh aku keluar. Kereta rosak katanya"

[petikan daripada novel ALING]

No comments: