Labels

Wednesday, August 25, 2004

INGATAN KECIL, 1950-an T.ALIAS TAIB

MENGIKUT ingatan saya, Allahyarham T.Alias Taib adalah satu-satunya penyair mapan yang mengenali saya (banyak juga penulis dan penyair yang saya kenali melalui karya-karya mereka). Kami berjumpa beberapa kali dan bersembang mengenai pelbagai perkara. DAri isu bahasa, keruntuhan moral, pantun hinggalah ke haiku. Jelas di ingatan semasa kami sama-sama di klinik Tanglin, Allahyarham bersyarah panjang lebar mengenai sekeping papan tanda di situ yang bertulis "Dilarang membuang sampah". Sambil mengeluarkan buku nota dan membuat catatan, allahyarham berjanji akan membawa perkara ini ke pengetahuan DBP. ISunya simple sahaja, maksud pengurusan Tanglin ialah 'jangan buang sampah merata-rata', tetapi diringkaskan sebagai 'dilarang membuang sampah' sahaja. Jika sampah tidak boleh dibuang, ia adalah merupakan satu kesalahan!. Kami berpisah setelah nama saya dipanggil oleh misi dan beliau yang menemani isterinya terus setia menanti giliran.

Kemudian kami berjumpa di malam anugerah esastera.com dan bercerita panjang lebar mengenai haiku. Kini beliau tiada lagi dan alfatihah untuk allahyarham dan semoga Kak Sal tabah menghadapi hidup seterusnya.



T. Alias Taib

Ingatan Kecil, 1950-an

Semak basah sepanjang denai ke sekolah
Menggigil menyambut kami di pagi lecah.
Kami berhenti di selekoh pohon gajus
Memungut embun berjuntai ke dalam botol
( embun, kata guru kami,
baik sebagai pelembut papan batu ).
Kami rukuk pada daun rimbun
Memenuhi botol dengan pesanan guru.

Ibu membekalku dan adikku
Papan batu, kalam batu, dan sebuah buku
Yang ku panggil "buku pasu bunga".
Ibu juga membekalkan kami
Keledek rebus dan syiling lima sen
( duit ini, berkali-kali pesan ibu,
hanya penguat semangat
pulangkan kembali tengah hari nanti ).

Entah berapa lama ku kelek semangat ibu
Berulang-alik ke sekolah dengan botol embun.


No comments: