Bagi saya, saya tidak memimpin sebuah jabatan, jauh lagi sebuah kementerian. Tempat saya bekerja cuma mempunyai empat cawangan sahaja, ia itu Putrajaya, Cyberjaya, Sabah dan Sarawak. Sungguhpun begitu saya tidak berpeluang untuk ke Sabah atau Sarawak kerana tidak ada sebarang program yang diadakan di sana yang membolehkan saya turut serta. Jika saya bekerja di tempat lama, sudah tentu saya berpeluang untuk membuat lawatan kesemua hospital di seluruh negara, jika saya mahu.
Beberapa bulan sebelum bersara, saya menyertai pasukan audit Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) membuat lawatan audit ICT ke mahkamah syariah di Johor dan Melaka. Itulah kali pertama saya ke mahkamah syariah tersebut. Itulah suatu penghormatan kepada saya yang peluangnya diberikan oleh sebuah jabatan lain.
Semasa dalam tempoh saya bercuti sebelum bersara pula, saya telah diberi peluang oleh INTAN untuk menyampaikan ceramah bagi modul ICT kepada Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) yang menghadiri kursus. Saya berpeluang ke INTIM (INTAN Timur) dan dua kali ke IKHWAS (INTAN Selatan). Mengajar PTD bagi subjek Keselamatan ICT pada saya bukanlah suatu perkara mudah. Subjek Keselamatan ICT adalah merupakan 'dry subjek', yang kadangkala membuatkan pensyarahnya bercakap seorang diri. Sebanyak 40 slaid disediakan dengan bantuan pegawai-pegawai saya.
Semasa di INTIM, ceramah 4 jam hanya menggunakan 10 slaid sahaja. Ini adalah kerana banyak interaktif dan soal jawab dari para peserta. Empat jam berceramah diikuti dengan dua jam latihamal tidak sedikitpun meletihkan saya. Seronok dan teruja. Semasa sesi pertama di IKHWAS, lebih kurang 20 slaid digunakan. Semasa sesi kedua di IKHWAS pula sekitar 30 slaid digunakan.
Pada awalnya seribu persoalan timbul di fikiran mengenai pengendalian kursus ini. Namun saya bertekad untuk melakukannya sahaja di depan 850 para peserta yang merupakan bakal KSU dan KSN di masa hadapan. Berbanyak terima kasih kepada INTAN, khususnya Puan Estia Emy Lopieh kerana memberi penghormatan ini kepada saya sebelum persaraan saya.
IKHWAS