Labels

Tuesday, July 27, 2004

NAMA/GELARAN ORANG MELAYU



berbaju kurung
berkain batik sarung
tokoh budaya

KENALAN saya (boleh teka siapa) akan menemuramah Pn. Azah Aziz. Dari sini saya mendapat idea untuk menulis mengenai tajuk ini. Saya tidak pasti nama Aziz pada nama "Azah Aziz" atau "Syarifah Azah Aziz" tersebut adalah ayah beliau ataupun suaminya Prof. Diraja Ungku Aziz. Ini adalah kerana ramai juga orang Melayu yang mencantumkan nama suami sebagai nama panggilannya. Contoh yang paling ketara ialah Wan Chik Daud, seorang pelakon dan bekas penyiar. Nama sebenar beliau ialah Wan Chik bte. Othman.

Pada tahun 1960an - 1970an rasanya begitu ramai sekali kaum perempuan yang mencantumkan nama sendiri dan nama suami sebagai nama panggilan mereka. Fenomena ini khususnya melanda orang Melayu golongan pertengahan di bandar-bandar. Sehinggalah timbul semacam fatwa yang melarang penggunaan nama panggilan begini. Kini rasanya panggilan nama begini sudah jarang sekali berlaku.

Saya tidak berpendapat nama begini adalah pengaruh Barat atau Kristian. Ini ialah kerana semenjak dari kecil lagi saya dapati orang-orang kampung saya memang mempunyai nama sebegini.Bukan sahaja kaum Hawa, malahan kaum Adam juga. Sebagai contoh, suami bernama Ali dan isterinya bernama Milah. Mungkin di kampung itu ada beberapa orang Ali dan juga lebih dari seorang Milah. Maka Ali dinamakan sebagai "Ali Milah" dan Milah pula digelar sebagai "Milah Ali". Begitulah seterusnya hingga kepada yang lain-lain dan saya dapat kenali pelbagai nama seperti "Maksu Him Wan Deraman", (Suaminya bernama Ibrahim Wan Deraman), Pakngah Meksom (isterinya nama Kalsom) dan sebagainya lagi. Nama gelaran suami-isteri ini biasanya tidak diberi kepada individu yang mempunyai gelaran khas yang lebih popular. Misalnya "PakMat Jepun", "TokCik Kedai Binjai", "Him Mat Belira".

Teringat kepada arwah Tokki "Tokki Tokya Ketua Kampung" (namanya Yahya) yang memberi gelaran "Mat Kangkung" kepada seorang pemuda kerana katanya dia bercakap meleret-leret dari satu topik ke topik lain, macam kangkung yang begitu mudah melata katanya. Kekal nama itu sampai sekarang adanya....

No comments: