Labels

Sunday, December 28, 2003

ASSALAMUALAIKUM

SEMENJAK zaman kanak-kanak lagi, mba dididik dan diajar bahawa ungkapan assalamualaikum adalah merupakan suatu doa yang bermaksud salam sejahtera ke atas kamu. Jawapan kepada ungkapan ini ialah waalaikumussalam yang bermaksud dan salam sejahtera jua ke atas kamu. Memberi salam adalah sunat dan menjawab salam adalah wajib hukumnya. Malahan salah satu dari lima hak seorang Islam ke atas seorang Islam yang lain ialah menjawab salam.

Justeru itu, adakah salah sekiranya ada orang yang menjawab salam (waalaikumussalam) terlebih dahulu sebelum seseorang memberi salam? (atas alasan maksudnya ialah dan salam sejahtera ke atas kamu).

Secara umumnya kebanyakan umat Islam di Malaysia sememangnya beranggapan begitu, iaitu salam hanyalah ekslusif untuk sesama Islam sahaja. Sekiranya orang bukan Islam yang memberi ucapan salam, ia tidak perlu dijawab ataupun ada jawapan tertentu untuknya. Justeru itu, ramai berasa marah apabila ada orang lain yang menyamakan ucapan salam ini dengan ungkapan selamat pagi sahaja. Apatah lagi apabila yang mengatakan sedemikian bukanlah seorang ulamak dan tidak pernah belajar di negara-negara Arab.

Beberapa tahun yang lepas, mba berpeluang menghadiri kursus di luar negara bersama-sama dengan peserta antarabangsa dari banyak negara. Di antaranya dari Mesir dan Arab Saudi. Dalam sesi suai kenal, penyelaras kursus meminta setiap peserta menyebut good morning dalam bahasa masing-masing. "Selamat pagi" dalam bahasa Arab bagi peserta dari Arab Saudi dan Mesir ini ialah assalamualaikum !. Kebetulan kedua-duanya adalah berugama Islam. Walau bagaimanapun, dalam sesi yang serupa bagi kelas yang lain, seorang peserta Kristian dari Mesir juga menggunakan assalamualaikum untuk ungkapan good morning tersebut. Menurut mereka, ungkapan assalamualaikum ialah untuk bahasa Arab, bukan untuk orang Islam (sahaja).

Jadinya... bagi sesiapa yang mempunyai ilmu, hujah, pendapat, nas dan sebagainya mengenai ucapan salam ini, saya sangat-sangat mengalu-alukannya sama-sama berkongsi di ruangan [comments] atau lain-lain ruang yang ada untuk faedah bersama.

Wassalam.

No comments: