Labels

Tuesday, November 18, 2003

PTK gagal uji kemahiran k/tangan awam



Oleh: G. MANIMARAN (utusan malaysia 17 November 2003)

KUALA LUMPUR 16 Nov. - Sistem Saraan Malaysia (SSM) yang genap setahun, menggantikan Sistem Saraan Baru (SSB) yang didapati pilih kasih dalam penilaian prestasi, kini berhadapan dengan kritikan dan kekecewaan daripada Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs).

Cuepacs yang mengadakan seminar khas di sini semalam memutuskan, pelaksanaan Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) yang diperkenalkan untuk menentukan anjakan gaji, tidak dilaksanakan dengan baik sehingga menjejaskan peluang ramai kakitangan awam untuk menikmati kenaikan gaji dan pangkat tahun depan.

Setiausaha Agung Cuepacs, Datuk Abdul Rahman Manan berkata, perbincangan semalam mendapati PTK yang dilaksanakan mulai Ogos tahun ini telah terkeluar daripada matlamat sebenar iaitu menguji kemahiran.

Antara kelemahan ketara yang dikenal pasti ialah soalan kertas am dan khusus PTK tidak menepati skop tugas dan tanggungjawab kakitangan awam.

``Rata-rata perbincangan semalam mendapati pelaksanaan PTK sungguh mengecewakan meskipun matlamat sebenar pendekatan SSM adalah baik.

``Pelaksanaan PTK tidak menepati matlamat untuk mempertingkatkan kemahiran pelbagai, tetapi ia hanya memberi tumpuan untuk menilai aspek di luar kemahiran seseorang kakitangan,'' kata beliau kepada Utusan Malaysia hari ini.

Ekoran kelemahan-kelemahan yang disifatkan oleh Cuepacs sebagai ketara, Abdul Rahman berkata, pihaknya mahu Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menangguhkan penggunaan keputusan PTK untuk kenaikan gaji dan pangkat tahun 2004.

``Oleh kerana ramai dinafikan peluang kenaikan gaji dan pangkat, Cuepacs berharap kerajaan akan menggunakan laporan penilaian seperti biasa untuk tujuan itu,'' katanya.

Sehubungan itu, beliau menekankan, rumusan yang diputuskan pada pertemuan semalam akan dibincangkan oleh Jawatankuasa Kerja Cuepacs yang dijadual bermesyuarat di Sintok, Kedah pada 7 Disember ini.

``Kemudian kita akan mengemukakan syor kepada JPA untuk memperbaiki kelemahan yang wujud dalam pelaksanaan PTK,'' kata beliau.

Pekeliling Perkhidmatan Bilangan Empat Tahun 2002 yang berkaitan dengan SSM menyebut, SSM memperkenalkan PTK berasaskan kompetensi yang bertujuan menggalakkan pembangunan diri melalui pembelajaran berterusan dan menggalakkan penguasaan pengetahuan, kemahiran dan kreativiti serta inovasi dalam pelaksanaan tugas.

Ketika diminta mengulas lanjut, Abdul Rahman berkata, pihaknya mendapati sukatan penilaian di bawah SSM terlalu umum dan tiada kaitan dengan skop tugasan dan tanggungjawab yang dijalankan oleh seseorang kakitangan awam.

Abdul Rahman menambah, Cuepacs berharap Jabatan Perkhidmatan Awam akan mengkaji semula sukatan penilaian dengan merangka soalan kertas am PTK.

Tambah beliau, sesetengah kakitangan awam pula terpaksa berhadapan dengan situasi ketiadaan peluang menghadiri kursus tatanegara disebabkan kekurangan kemudahan dan tempat untuk mengikuti kursus di Biro Tata Negara.

``Ekoran ketiadaan peluang mengikut kursus tatanegara, kakitangan terbabit terpaksa menunggu sehingga tahun depan dan ini merugikan mereka dari segi anjakan gaji dan kenaikan pangkat,'' katanya lagi.

Selain itu, menurut Abdul Rahman, sukatan PTK terlalu luas sehingga membebankan kakitangan awam yang terpaksa membaca 10 jenis bahan bacaan termasuk pekeliling-pekeliling perkhidmatan.

No comments: