Labels

Tuesday, November 29, 2005

PEGAWAI KERAJAAN MALAS ...

[Penafian: Rencana ini diambil empat-empat segi dari akhbar]

Cetusan Minda: Sistem penyampaian belum cekap


Jika ketua malas jangan salahkan kakitangan bawahan culas bekerja

SEBENARNYA apa yang akan diperkatakan dalam tulisan ini bukanlah perkara baru. Kita sudah tahu dan sudah baca berkali-kali semenjak Pak Lah menjadi Perdana Menteri. Malah mungkin ramai yang sudah terasa jemu mengulang-ulang isu yang sama.

Akan tetapi Pak Lah tidak jemu-jemu mengulanginya sehingga cita-cita dan komitmennya tercapai. Kita pun akan terus merungut-rungut selagi urusan kita dengan agensi dan jabatan kerajaan tidak berjalan lancar dan sempurna.

Justeru kenalah kita membantu Perdana Menteri kerana negara ini negara kita dan yang memerintah adalah bangsa kita. Kita juga mahu mewujudkan kerajaan yang mengamalkan sistem pentadbiran yang cekap, berkualiti dan memiliki integriti. Maka kewajipan kitalah membantu apa yang terdaya. Mengkritik dan memberikan pandangan yang ikhlas dan membina. Pak Lah telah mengisytiharkan, kesediaan beliau menerima pandangan rakyat, meskipun yang mungkin pedih rasanya.

"Agensi kerajaan masih tak cekap". Ini tajuk berita utama Berita Harian 23, November, menyimpulkan ucapan Perdana Menteri pada majlis sambutan Hari Kualiti 2005 Kementerian Keselamatan Dalam Negeri di Putrajaya.

"PM see red over red tape" tajuk utama NST pada majlis yang sama, juga menyimpulkan ucapan yang sama. Kedua-dua tajuk berita ini tidak menyenangkan kita yang prihatin akan masa depan negeri kita dan bangsa kita. Implikasinya besar. Justeru kita tidak boleh duduk diam.

Apabila pegawai syarikat terpaksa jadi pengemis

BERDASARKAN pengalaman peribadi saya sendiri dan orang ramai yang berurusan dengan jabatan kerajaan, kedua-dua kesimpulan ucapan Perdana Menteri ini memang tepat. Bukan saja masalah banyak borang dan tersangat lambat bekerja, sering juga keterangan atau arahan yang diberi, berbeza-beza antara seorang pegawai dengan pegawai lain.

Masih ada jabatan yang tugasnya bertindih-tindan dan sering pula salah menyalah antara mereka. Akibatnya kerja menjadi sulit dan kita terpaksa berulang-alik atas urusan yang kecil dan sedikit saja.

Untuk mendapat kelulusan mengubah syarat dan memecah lot tanah saya – hanya tujuh ekar – sudah dua tahun belum juga mendapat kelulusan. Setiap kali menghubungi pegawai-pegawai yang berkaitan, saya merayu "Tolonglah! Tolonglah!" Jawapannya lembut dan mesra tetapi yang ditunggu belum juga tiba. Bila sudah lulus di peringkat Pejabat Daerah, untuk sampai ke peringkat negeri dan kelulusan Exco, mungkin memakan masa setahun lagi.

Kawan-kawan yang mendapat kontrak membina bangunan atau membekalkan perkhidmatan kepada kerajaan, masih juga menghadapi masalah kelambatan bayaran. Saya tahu betul, ada yang lebih setahun projek disiapkan atau perkhidmatan diselesaikan, bayarannya belum juga langsai. Macam-macam dalih diberikan.

Pegawai bercuti, menghadiri kursus, bermesyuarat, pegawai lama bertukar (yang baru kata dia tak tahu apa-apa) adalah jawapan biasa yang menyebabkan pegawai syarikat terpaksa jadi pengemis dan perlu 'menabur sumbangan'.

Adakalanya diberitahu, surat atau laporan hilang, tolong hantar surat atau laporan baru! Semua ini menunjukkan sistem penyampaian kita masih ditakuk lama juga. Ucapan dan gesaan Perdana Menteri nampaknya masih seperti mencurahkan air ke daun keladi.

Kelambatan membuat keputusan atau bayaran, menyebabkan tambahan kos pengurusan dan kos pembelian barang-barang yang terus meningkat. Inilah antara sebab-sebab mengapa projek kerajaan lambat disiapkan atau terbengkalai. Inilah antara masalah yang dihadapi oleh kontraktor dan pembekal Bumiputera kelas kecil dan sederhana.

Di mana harga diri dan maruah pegawai Melayu dan bangsa Melayu

KATA Perdana Menteri: "There was no excuse for the agencies not to have a efficient delivery system as the Government had invested greatly in equipping them with up-to-date technology." (Tidak ada alasan bagi ketidakcekapan sistem penyampaian agensi, kerana Kerajaan telah berbelanja besar untuk melengkapkan mereka dengan teknologi yang terkini).

Beliau menegaskan; "Jika ketua-ketua jabatan malas dan tidak bekerja, mereka tidak sepatutnya menyalahkan pegawai bawahan yang juga malas. Tidaklah ada guna jika kita berusaha bersungguh-sungguh memperbaiki sebuah motokar jika natnya longgar."

Namun tidak dinafikan, pihak kontraktor atau pembekal perkhidmatan pun ada juga kelemahannya. Dan cerita bahawa ada kontraktor yang tidak layak dapat projek, diberi kontrak kerana ada hubungan dengan orang-orang tertentu, pun masih juga kita dengar berlaku. Pegawai yang cekap dan bagus pun memang ada. Malangnya, yang tidak baik itulah yang jadi cerita.

Peranan wang dalam kegiatan politik kita semakin ketara. Maka sukarlah kita hendak menegakkan pentadbiran yang bersih, berkualiti dan berintegriti.

Majoriti pegawai kerajaan, termasuk ketua-ketua jabatan dan ketua setiausaha kementerian, adalah Melayu. Orang Melayu itu adalah juga orang Islam. Kita kata negara ini warisan nenek moyang kita, maka kita punya keistimewaan. Orang bukan Melayu merasa tidak senang. Akibatnya, jika pentadbiran negara kita buruk, tidak cekap dan korup, tentulah tuduhan itu jatuh ke batang hidung kita – bangsa Melayu! Malu benarlah kita dipandang begitu buruk dan hina!

Maka sukarlah saya hendak menerima tingkah laku pegawai-pegawai kita yang malas, tidak cekap, menyeleweng dan korup. Apakah mereka ini manusia yang tidak punya perasaan dan maruah? Apa lagi kalau mereka boleh 'dibeli' oleh bangsa lain!

Pengaruh buruk politik dalam pentadbiran berkualiti dan berintegriti

BERCAKAP mengenai kualiti dan integriti pegawai kerajaan, mengingatkan saya kepada kualiti dan integriti pemimpin parti kerajaan, khususnya pemimpin Umno. Mereka tidak saja minta dipilih sebagai pemimpin parti, tetapi juga sebagai Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri. Merekalah yang bertangungjawab meluluskan undang-undang, bajet dan rancangan pembangunan.

Mereka juga membuat keputusan projek dan pelaksanaan projek di peringkat Kerajaan Pusat dan Negeri. Mereka terlibat dalam membuat keputusan tender, cadangan projek dan pemilihan pembekal dan kontraktor.

Kita juga melihat pemimpin politik menggunakan pengaruh politik untuk mendapat kontrak kerajaan. Ada di antara mereka memainkan peranan sebagai 'orang tengah' atau 'broker' saja. Maka seringlah kita mendengar kritik, rungutan dan rasa tidak puas hati pegawai dan pengusaha mengenai keputusan dan peranan para pemimpin politik ini. Maka ketidakcekapan dan penyelewengan pegawai ada juga kaitan dan pengaruh daripada kegiatan dan tingkah laku sesetengah pemimpin politik.

Di Indonesia, pada zaman Presiden Suharto, secara rasmi diamalkan peranan yang disebut "dwifungsi ABRI" , iaitu tentera dan polis, di samping tugas ketenteraan dan kepolisian, juga terbabit aktif dalam pentadbiran dan perniagaan. Maka banyaklah berlaku rasuah, penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa.

Dalam zaman Presiden SBY sekarang ini timbul pula istilah "dwifungsi politisi" iaitu pembabitan pemimpin politik – terutama yang memegang jabatan dalam pemerintahan – dalam bidang perniagaan. Ada golongan yang berpendapat, pemimpin politik tidak wajar aktif dalam perniagaan. Maka Presiden SBY sedang meneliti perkembangan ini untuk mencegah terjadi apa yang disebut "oligarki ekonomi".

Di negara kita, semakin hari semakin ramai pemimpin politik terdiri daripada usahawan atau yang ingin jadi usahawan segera. Tanda-tanda menunjukkan, perkembangan baru ini telah membuka lebih banyak kesempatan berlakunya penyelewengan kuasa dan rasuah. Lebih-lebih lagi peranan wang dalam kegiatan politik kita menjadi semakin ketara dan semakin dominan. Jika begitu, semakin sukarlah kita hendak menegakkan pentadbiran yang bersih, berkualiti dan berintegriti.

– Lot 3850 Kampung Sg. Pencala, Kuala Lumpur - 24 November 05.

No comments: