Labels

Wednesday, June 23, 2004

RESAM ORANG BERNIAGA




wau merah biru
kapalterbang melayang
mana tujuan

BAGI sesetengah orang, berniaga ini adalah sinonim sekali dengan menipu. Bagi yang lain pulak mungkin berniaga bagaikan tidak boleh dipisahkan dengan riba'. Apa tidaknya, modal hanya 10 sen, tetapi dijual barangan dengan harga tiga ringgit. Teringat masa saya di Jepun pada tahun 80-an. Bekalan penting orang Malaysia bila ke luar negara ialah mee Maggi dan Brahim. Bagi Pak Arab pulak, mereka hanya membawa US$ untuk mengembara. Pak-pak Arab ni cukup respek kepada orang Malaysia dalam bab makan-minum ni. Kami hanya makan menu vegetarian sahaja di shukudo, memandangkan pada masa tersebut menu halal masih belum disediakan lagi. Dipendekkan cerita, apabila mereka tahu yang kita orang ada bekalan ayam, daging lembu dan daging kambing halal dari Malaysia, iaitu Brahim, maka mereka ni sanggup membayar US$10 untuk satu pek Brahim (masa tu harga di Malaysia baru sekitar RM1.50 rasanya). Keuntungan ini adalah berpuluh kali ganda jika menjual kepada mereka. Namun setelah bermesyuarat, ada di antara kami yang mengeluarkan "fatwa", haram berniaga sedemikian, jangan ambil untung berlipat kali ganda. Akhirnya kami menolong pak-pak Arab tadi dengan mengimpot Brahim ke Jepun dengan sedikit caj sahaja.

Umum mengetahui bahawa perniagaan pengangkutan udara bagi sektor dalam negara mengalami kerugian dan tidak menguntungkan. Tambang penerbangan dalam negara adalah terlalu murah dan syarikat menanggung kerugian yang teruk. Namun keuntungan penerbangan luar negara yang mmebolehkan tambang sektor dalam negara tidak dinaikkan terlalu tinggi. Itu kata mereka, kita manalah tahu sebab kita tidak pernah ada pengetahuan berniaga pengangkutan udara. Pendek kata, perniagaan ini adalah rugi, rugi dan rugi. Ini adalah strategi orang berniaga.... Logiknya, apabila ada syarikat penerbangan yang memberi harga murah bagi sektor dalam negeri, maka syarikat penerbangan yang kerugian ini sepatutnya gembira kerana secara langsung kerugian mereka telah dipindahkan kepada syarikat lain. Namun, mereka juga ingin adakan tambang murah. Adakah ini supaya menambahkan lagi 'kerugian' mereka?.

Tembelang terbongkar apabila kerajaan bercadang untuk memisahkan perniagaan penerbangan dalam dan luar negeri. Berikan sektor dalam negeri kepada syarikat lain dan dia tumpukan kepada sektor luar negeri sahaja. Ah.... rugilah kami jika begini. Sebenarnya sektor dalam negeri banyak menyumbang kepada keuntungan kami. JAngan tengok kepada tambang penumpang sahaja. Sektor dalam negeri lebih luas dari itu. Ia meliputi hotel, kereta sewa, limosin, catering dan banyak lagi. Tentu kami rugi jika syarikat lain ambil alih sektor dalam negeri. Eleh.... dulu kata rugi. Ini kerajaan nak tolong supaya kamu tak rugipun dikatakan rugi lagi. Macamana berniaga begini?.

Rasmi orang berniaga .... bila cukai naik, mengeluh wah kami dah rugi RM30 juta kerana struktur cukai baru. Dalam keadaan biasa tidak pula kata kami ada untung RM30 ribu, malahan tetap kata, berniaga banyak rugilah.....

Tuesday, June 22, 2004

FUJITSU




bukit nan kecil
gunung tinggi melangit
menghalang mata

SAYA pernah melawat ke Ibu Pejabat dan ke bahagian penyelidikan (R&D) Fujitsu di Tokyo lama dahulu. Ofis yang terletak di kaki gunung Fuji ini begitu santai sekali. Setiap pelawat yang tiba di sini akan dibawa ke anjung dan diberikan taklimat. Di antaranya ialah "Anda semua tahu, Fujiyama adalah gunung tertinggi di Jepun. Namun, dari anjung ini, anda tidak boleh melihat keindahan dan ketinggian Fujiyama. Pemandangan anda dihalangi oleh sebuah bukit kecil dihadapan ini. Bukit kecil itu ialah IBM dan Fujiyama ialah Fujitsu. Sesungguhnya Fujitsu ialah company no.1 di Jepun, namun ia selalu dibayangi oleh IBM".Itu cerita dulu-dulu, namun kini khabarnya Fujitsu sudah jauh merosot.

Kini saya memiliki sebuah notebook berjenama Fujitsu, atau lebih tepat lagi Lifebook S2020. Notebook ini canggih, anggun, kecil molek dan serba serbinya mempunyai kelebihan. Namun satu kecacatan bagi notebook ini ialah ia hanya dibekalkan dengan USB port dan tanpa serial port. Ini bermakna proses untuk mencetak tidak boleh dilakukan menggunakan printer biasa, iaitu printer model lama yang tidak mempunyai USB port. Namun yang amat menghairankan saya ialah, notebook ini masih gagal juga untuk mencetak menggunakan printer baru yang dibekalkan dengan USP port pun!. Ia berjaya mengesan printer dan memahami yang printer adalah wujud, namun tidak berjaya mencetak sebarang dokumen. Ia telah diuji oleh orang lain juga dengan menggunakan printer lain juga. Namun masih tidak berjaya. Di manakah silapnya?. Anda tahu?.

Lebih meyakinkan saya bahawa masalah ini tidak boleh diatasi ialah apabila seorang sahabat menggunakan P1120 (kalau tak silap) yang mempunyai masalah tidak boleh disambung ke streamyx. Sudah pelbagai usaha dilakukan oleh pelbagai pihak, namun notebook beliau tidak mahu berhubung dengan streamyx sedangkan notebook atau PC lain boleh.

Jadi lebih baik anda berhati-hati dan mmebuat segala pengujian yang diperlukan terlebih dahulu sebelum memutuskan untuk memiliki notebook sedemikian. Bagi anda yang mempunyai kaedah untuk mengatasi masalah di atas, amatlah dialu-alukan.

Monday, June 21, 2004

BERUK DENGAN PISANG





monyet dan pisang
pancutan air api
masih berani?


INI hanyalah kisah dongeng zaman dahulu kala. Kononnya pada suatu hari ada 4 ekor monyet melapor diri untuk memulakan tugas. Setelah mereka selesai mengisi pelbagai jenis borang dalam komputer yang disediakan, maka keempat-empat monyet ini ditempatkan dalam sebuah bilik yang sederhana besarnya. Mereka diberikan pas pekerja dan memakai tag nama yang dikenali sebagai A, B, C dan D. Dalam bilik ini terdapat satu tangga dan di atasnya terdapat sesisir pisang yang masak ranum.

Monyet-monyet ini diberikan kebebasan untuk membuat apa sahaja pekerjaan melainkan memanjat tangga yang terdapat pisang tersebut. Apabila penyelia meninggalkan bilik tersebut, apa lagi bagaikan beruk dengan pisang!. Monyet-monyet ini memang tidak boleh membiarkan pisang tanpa diusik. Mula-mula A cuba menaiki tangga untuk mengambil pisang. Namun ia dipancut dengan air sebagai amaran. Kemudian B pula mencuba dan juga kena pancut. Begitulah seterusnya C dan D. Akhirnya keempat-empat monyet ini buatlah kerja mereka dengan tekun tanpa mengganggu tangga dan pisang tersebut.

Cukup bulan, A dipindahkan ke jabatan lain dan digantikan dengan E. Dia cukup hairan melihat senior begitu tekun bekerja tanpa tergoda akan pisang di atas tangga. Dia cuba menaiki tangga, namun cepat-cepat ditarik oleh B, C dan D supaya tidak meneruskan hajatnya. Bulan demi bulan, tahun demi tahun akhirnya B, C & D semuanya dah dapat kenaikan pangkat ditukarkan ke tempat lain. Mereka diganti oleh F, G dan H. Bila H cuba untuk memanjat tangga ini, E,F dan G semuanya melarang kerana takut disembur oleh air amaran, padahal seekorpun dari mereka belum pernah merasa disembur oleh air berkenaan.

Suatu hari, seekor monyet bernama M dinaikkan pangkat dan ditempatkan di bilik tersebut. Bila melihat pisang saja, monyet ini bagaikan beruk ler…. Dia kata mengapakan kamu-kamu beruk semuanya tengok saja pada pisang ini?. Bukankah ia adalah rezeki kita?. Walaupun dinasihati oleh kawan-kawan yang lain, M tidak peduli, dia nak juga kerjakan pisang tersebut.

Agak-agaknya adakah M akan kena air pancut juga?. …… Boleh M cuba?.


Friday, June 18, 2004

BERBAKTI KEPADA TANAH






meluncur laju
bualan kian rancak
menuju stesen



LOKASI: Dalam ERL dari KLIA ke KLSentral
MASA: Malam
TEMA: Sembang-sembang perkenalan

Aku: Apa business datuk?
Dia: Macam-macam. Construction ada, retails ada dan syarikat bas juga ada.
Aku: oooo .... hebat tu.
Dia: Saya ada restoran Jepun kat Malaysia dan restoran Melayu kat Jepun. Ada kilang roti (halal) kat Jepun ...
Aku: Ohhh sungguh menarik, siapa yang uruskan?. Siapa pekerjanya?
Dia: Anak beranak belaka. Saya beri dia kursus di Jepun, saya beri dia kerja. Senang gitu, susah nak lari. Anak beranak.
Aku: Menariklah.... ada peluang?
Dia: Kalau ada sedara mara nak belajar bertani kat Jepun saya boleh uruskan. Selain dari itu, jika ada anak dapat 5A dalam SPM, saya boleh uruskan belajar kat Jepun dan dapat biasiswa penuh kerajaan Jepun. Hmmmm kalau pergi mengikut kerajaan, kena ada 9 atau 10A tu....
Dia: Saya ada kawan kat Jepun. Dia ada 2 hektar tanah ditanam mangga. Pendapatan dia ialah RM8 juta setahun. Yalah, 8juta di sana tak sama dengan di sini. Kat sini boleh dikatakan dia dapat 200,000lah bersih setahun. Masih banyak tu...
ERL: Kita telah tiba di stesen KLSentral. Terima kasih kerana bersama kami. ....





Itulah tulis apa2 pun .......!
Tapi kan...kalau mba tulis ttg padi, gunung, bunga...selamat kot???
tomohiko | Email | Homepage | 06.10.04 - 9:31 am | #

Thursday, June 17, 2004

MELAYU TIDAK SEMBAHYANG




tiang agama
senget menanti patah
tidak sembahyang


MELAYU tidak semestinya Islam. Namun Melayu di Malaysia mempunyai sedikit kelainan, sebab "orang Cina boleh masuk Melayu", "Orang India boleh masuk Melayu" dan "Orang kafir boleh masuk Melayu". Seorang kawan memberi takrif Melayu bermakna seseorang itu tidak makan khinzir dan puasa di bulan Ramadhan. Orang melayu memang (ada) yang minum arak, namun jika dah sampai memakan daging khinzir, maka ia *bukan* lagi seorang Melayu. Orang Melayu juga (ramai) yang tidak sembahyang, namun jika sampai puasa di bulan Ramadhan juga tidak dibuat, maka dia bukan lagi seorang Melayu. - Maaf: Bukan takrif baru.

Hasil kajian seorang pakar motivasi Malaysia terhadap orang Islam di Malaysia (Kuala Lumpur, khususnya) menemui 80% daripadanya tidak mendirikan sembahyang lima waktu. Penemuan ini amat menyedihkan (harap-harap ia tidak betul). Golongan yang "tidak sampai seru "ini termasuklah yang berada di stadium bola, di pasar-pasar malam, dalam kenderaan, di pusat membeli belah, di tempat kerja dan sebagainya. Yang tidak mahu menanggalkan alat mekap juga begitu. Kajian yang sama juga menunjukkan cuma 10-15% sahaja pelajar sekolah yang bersembahyang lima waktu ini.

Oh sedihnya.... (didoakan semoga pembaca blog tidak termasuk dalam golongan ini)

Wednesday, June 16, 2004

LEFTO LIGHTO

MEMBACA entri Halela mengenai penggunaan dan penyerapan bahasa Inggeris dalam bahasa Jepun, MBA teringat peristiwa 15 tahun lalu. Ia itu hari ke-2 MBA menjejakkan kaki ke Okinawa, Jepun. Biasalah, pada hari pertama masih pening-pening lalat lagi. Hari kedua terus pergi ke bandar Naha. Jalan-jalan cari apa-apa sahaja.

Sebelum pergi, MBA bertanya tips macamana nak ke Naha pada fronto. Semasa nak balik, terlupa pulak nak tanya nak naik bas mana dan dekat mana. Lantas naik sahaja teksi dan beritahu pemandu tu kokusai senta onegaishimasu. Hait katanya. Untuk tunjuk macho dan tahu dengan jalan, MBA kata straighto. Dah sampai ke simpang cakap pulak lefto dan kemudian lighto. Bila dah sampai nanti, berhajat nak cakap stopo. Namun drebar teksi tu kata "Yu betar spik Ingelish. My Ingelish is betar then your Japanese".

Begitulah, bahasa Inggeris sudah meresapi bahasa Jepun dan diubahsuai sebutannya menjadi seolah-olah bahasa Jepun. Di antara yang popular ialah terebi (TV), departo (department store) dll.

p.s straingto - straight; lefto - left, lighto(ringhto) - right ;-)


Tuesday, June 15, 2004

MELAWAN ARUS ...





berhilir mudik
dari jeram ke jeram
menentang arus


APAKAH yang menyeronokkan dalam hidup ini?. BIasanya ialah makan bila lapar atau tidur bila mengantuk!. Walau bagaiamnapun di antara keseronokan dalam kehidupan ialah membuat perkara yang "terlarang" atau melawan arus.

surirumah: best ek orang kerja, boleh beli macam-macam..
orang bekerja:best ek jadi suri rumah,boleh rehat..
**kakngah2

Orang Kampung: Best duduk kat bandar, macam2 ada
Orang Bandar: Best kalau boleh balik kampung, udara segar, segalanya hijau

Orang Miskin: Bestnya jadi orang kaya, memang best... sapa tak mau kaya?
Orang Kaya: Oh bestnya jadi orang kaya, semua ada. Suatu hari aku akan jadi kaya jugak (tak cukup kekayaan yang ada).

Penunggang Motor: Ada kereta bestlah... hujan tak basah
Pemandu Kereta: Kalau naik motor lagi best, boleh cilok sana sini, tak jem.






Monday, June 14, 2004

balada hilang PETA





jalan yang mana
kiri ataupun kanan
kami dah sesat


HUJUNG minggu lepas kami ke Pulau Pinang kerana menghantar anak ke UiTM. Rasa-rasanya hotel yang paling hampir dengan UiTM di Permatang Pauh ialah di Bukit Mertajam. Jadi kami bermalam di hotel Summit Bukit Mertajam. Konon-kononnya buatlah tempahan melalui Internet dan dapatlah harga istimewa. Namun setelah tiba, petugas hotel buat-buat tak tahu saja apa itu 'Internet booking' dan buat muka sardin saja. Nasib baik bilik masih ada, namun kenalah bayar dengan harga biasa.

Lokasi hotel ini kami tuju berpandukan peta yang dicetak dari laman web pihak hotel. Namun peta tersebut tidak dapat diharap rupa-rupanya. Maknanya jangan harapkan peta. Andainya dah jumpa simpang, walhal dalam peta lukis jalan lurus, maka dalam kes ini peta dah tak boleh dipercayai lagi ...

Setelah tiba kat hotel, rupa-rupanya majoriti pengunjung ialah yang nak menghantar anak-anak ke UiTM belaka dan rata-rata tak tau tang mana UiTM tersebut. Bila ditanya pihak hotel tentang *peta*, depa dok kata "peta tu nak kata takdak, ada kot, tapi nak kata ada pun, macam takdak jugaklah. Ni hah peta ni doktak berapa nak nampak dah ehh. Kalau takat nak ke UiTM tu, tak payah petalah, ni hah ambil jalan depan ni, pi teruih ja... nanti banyak sign-board dok tulih UiTM tu. Tu tempat baghu, ghamai oghang tau tu.... tanyalah sapa pun, semua tau tu....".

Pagi-pagilah kami bersiaplah pi "cari" UiTM berpandukan *peta* yang ditunjukkan oleh pihak hotel. Dah nampak macam nak sesat, kami berhenti tanya orang kat tepi jalan dan orang tu jawab "waduh...waduh.... ngak tau apa itu UiTM pak!". Lepas tu kami berhenti kat stesen minyak dan bertanya pada atendan, jawabnya "saya orang Siam, tak tau tang mana Permatangh Pauh tu pun'. Nasib baiklah ada sorang tu cuba lukis atas kertas lebih kurang lagu mana nak ke UiTM tu. Dipendekkan cerita, sampailah kami ke UiTM cawangan Penang akhirnya.....

Yang menariknya ialah:-
1.Dari hotel hingga dah sampai ke UiTM tersebut, satu sign-board pun kami tak jumpa.
2.Kami dok surf seluruh google, satu site pun tak ada yang simpan peta ke UiTM Penang
3.Kat site UiTM sendiripun sikitpun tak cerita macamana nak sampai ke tempat yang dituju.
4.Lepas dah lukis peta, depa mintak RM3. Kalau setakat cerita saja free.... kalau nak "peta" ni, kena bayak RM3, mughah saja...... ;-)
5.Pada kebiasaannya, jika kita nak mendaftar diri di universiti luar negara, kat surat tawaran dah tertulis macamana nak sampai ke universiti tersebut samada kita melalui udara, darat mahupun laut.....
6. Kat negara kita, kita kenalah heboh tanya orang kat mana tempat tu.... moga-moga semua orang taulah, anak kita dapat masuk universiti dan moga-moga bertambah ramai kawan dan makin kuat ukhwah.
[tamat]

Friday, June 11, 2004

HOMESTAY IN JAPAN

ALHAMDULILLAH Ahmad Syahir dan semua kawan-kawannya telah selamat sampai ke Malaysia pada jam 6:11 petang semalam. Nampaknya semua budak-budak ini terlalu gembira berada seminggu di Jepun. Ini ialah bagi menjawab pertanyaan Halela di TagBoard.

Berikut ialah sedikit catatan untuk menjawab pertanyaan Mak Andeh juga di TagBoard, juga beberapa orang kawan lagi yang selalu bertanya mengenai perkara ini.

Program homestay ini dinamakan Kem Wakasa21. Ia dianjurkan oleh sebuah NGO di Malaysia, iaitu PAMAJA21 dengan kerjasama beberapa NGO dan juga kerajaan Jepun. Kelayakan umur kanak-kanak ialah dari 13-19 tahun. Walau bagaimanapun peserta semuda 11 tahun juga pernah terpilih, bergantung kepada keadaan fizikal dan saiz tubuh badan peserta. Satu sesi worksyop atau kem motivasi selama 4 hari (tinggal di asrama) biasanya diberikan terlebih dahulu kepada peserta yang berminat untuk menghadiri program homestay ini. Dari kem ini, diajar beberapa perkara seperti motivasi belajar cara Jepun, bahasa & budaya Jepun, seni budaya Malaysia dan kerohanian. Biasanya 99% peserta kem adalah layak untuk menyertai homestay.

Kos bagi homestay ini adalah dalam lingkungan RM12k, di mana RM8k dibiayai oleh pihak Jepun dan baki RM4k perlu dibiayai oleh ibu bapa. Cara pembiayaan ialah dengan menjual ruang iklan kepada mana-mana syarikat yang berminat. Segala surat menyurat dan hal-hal yang berkaitan akan diuruskan oleh penganjur.

Pada kebiasaannya, program ini dianjurkan dua kali setahun, iaitu pada musim panas dan musim sejuk dan bersempena dengan cuti sekolah di Malaysia. Program seterusnya akan diadakan pada penghujung tahun ini (Nov/Dis) dan bagi yang berminat bolehlah menghantar details anak-anak mereka kepada saya untuk saya majukan kepada penganjur untuk tempahan awal.

Thursday, June 10, 2004

SELAMAT HARI WEBLOG




tekun menulis
malam bertukar siang
ketagih blog


SEMALAM (9 Jun) adalah merupakan hari Weblog antarabangsa. Selamat menyambut hari weblog kepada semua penulis dan pembaca blog. Pertama kali saya menulis blog pada 12 Ogos 2002. Sehingga kini saya sudah menulis sebanyak 331 posting. Pada awalnya sekali sekala dan kemudiannya setiap hari saya menulis, kini penulis bercuti di hujung minggu.

Mengapa saya menulis?. Tiada sebab yang konkrit, mungkin secara suka-suka sahaja dan lama kelamaan mula ketagih ;-)

Apa faedahnya menulis blog?. Banyak faedahnya setakat ini. Umpamanya banyak dapat kawan baru di alam maya dan alam nyata.

Tak menyesal menulis weblog?. Ada juga kalanya terasa begitu. Saya sudah bekerja di empat buah pejabat sejak menulis blog. (Saya rasa) ketiga-tiga tempat sebelum ini tulisan saya tidak dibaca oleh rakan sepejabat, namun kini ia telah dibaca dan mula dibincangkan. Mungkin saya akan berhenti menulis atau mengubah kepada tema lain pula.

Sampai bila ingin menulis?.Setiap yang bermula mesti akan berakhir. Apabila tiba masanya saya akan berhenti jua.

Ada kenangan untuk dikongsi?. Setiap yang ditulis boleh dikongsi.



Wednesday, June 09, 2004

PANDANGAN JEPUN TERHADAP MALAYSIA





tidur sendiri

tanpa kawan kelahi

sunyi sekali



*lakaran bertajuk "the bed's to big (without you)" oleh Abdullah Jones. Inilah keadaannya keadaan Budin semasa ketiadaan Syahir.

ESOK (khamis), jika tiada aral merintang, Syahir akan pulang ke Malaysia setelah selesai program homestay di Jepun. Ada ibu kepada kanak-kanak ini telah menelefon saya bertanya khabar anak-anak mereka. Selamatkah mereka?. Sihatkah mereka?. Mengapa tidak telefon?. "Ah anak lelaki puan... mereka tak akan telefon punya... Jika puan nak dengar berita, telefonlah emak kepada budak-budak perempuan, tentu mereka dah telefon keluarga". Itulah nasihat saya, walaupun dalam hati juga risau akan mereka, khususnya Syahir yang dilahirkan semasa aprilfool itu. Moga-moga semuanya selamat....

Berbalik kepada homestay, berikut diperturunkan satu karangan asal (terjemahan) dari kanak-kanak Jepun yang homestay di Malaysia baru-baru ini. Ikutilah pandangannya terhadap Malaysia.

--------------------

Perkara-perkara yang dipelajari daripada orang-orang yang tinggal di Malaysia


“Wah….! Selat Melakalah!” Aaahh… Sudah tiba pun di Melaka. Di sini rupanya tempat tinggal datukku enam puluh tahun dahulu. Tetapi sekarang ini datukku terlantar baring di atas katil sebuah hospital di Yokohama. Semasa aku pergi melawat datukku di hospital, datuk memegang erat tanganku. Entah bagaimana bercerita pula dia mengenai kisahnya mengajar bahasa Jepun di Malaysia.

Pada musim panas yang lalu, aku bersama-sama keluarga telah membuat lawatan ke Malaysia, cuba mengesani sejarah datukku semasa bertugas di sana. Dari Kuala Lumpur, mula-mula, kami berangkat ke Melaka dengan kereta. Kemudian kami meneruskan perjalanan kami ke Singapura menaiki kereta api Tanah Melayu. Kereta api Tanah Melayu yang menuju ke Singapura itu melalui bandar Tampin, Labis, Kulai dan Johor Bahru. Pemandangan yang dapat kami lihat dari tingkap kereta api hanyalah ladang pokok kelapa yang berterusan tak putus-putus. Rumah berbentuk banglo terletak sebuah-sebuah, jauh di sana sini. Kami mengunjungi rumah sebuah keluarga yang bekerja di ladang pokok getah. Di dalam rumah itu tidak terdapat apa-apa, mencerminkan kehidupan yang miskin papa kedana. Walaupun mereka hidup miskin papa kedana mereka patuh dan tekun mendirikan sembahyang tepat pada masanya.

Semasa kami mencari tempat datuk mengajar bahasa Jepun kami juga mengambil kesempatan membuat lawatan ke Rumah Kanak-Kanak dan sekolah. Kanak-kanak yang tidak mempunyai keluarga dan kanak-kanak yang mengalami kesukaran untuk menjalani kehidupan mereka sendiri telah menetap di rumah yang kecil itu bersama-sama dengan para sukarelawan. Kanak-kanak itu hanya mempunyai tiga helai baju sahaja, baju jalan, baju basah dan baju tidur. Bagi mereka, tiga helai baju itu sudah cukup untuk meneruskan kehidupan mereka. Makanan mereka pula dihantar oleh seseorang ke tempat itu, jadi, mereka tidak perlu bimbang tentang makanan setiap hari. Tetapi sekiranya mereka meninggalkan rumah itu, mereka khuatir dan bimbang mati kebuluran. Sebab itulah mereka berusaha bersungguh-sungguh di tempat itu. Semasa ibuku memberi beras kepada mereka, mereka tidak mengucapkan terima kasih sebagaimana lazimnya. Sebaliknya mereka berkata, “Kami akan doakan agar kamu mendapat rezeki daripada Tuhan di atas budi baik kamu”. Kata-kata mereka itu menghairankan aku.

Salah seorang daripada lima puluh kanak-kanak yang menuntut di sekolah rendah yang berdekatan dengan rumah itu, nampaknya hendak berbual-bual dengan aku dalam bahasa Inggeris. Pelajar itu juga bekerja di Rumah Kanak-Kanak supaya dia dapat hidup berdikari di masa depan setelah keluar dari tempat itu nanti. Kanak-kanak di situ bersyukur kepada tuhan semasa bapaku memberi sumbangan berbentuk wang kepada mereka. Aku sangat kagum dengan orang-orang Malaysia yang sentiasa berfikir bahawa mereka sangat bertuah kerana dirahmati dan dilindungi tuhan walaupun kehidupan mereka miskin papa kedana. Perasaan itu sudah menjadi sebati dengan mereka dan tersemat dalam jiwa mereka.

Selepas membuat lawatan ke Malaysia barulah aku sedar bahawa miskin atau kaya tidak dapat mengukur kebahagiaan hidup atau penderitaan hidup seseorang. Biasanya semasa kami hendak menghulurkan sumbangan kepada orang lain kami selalu menilai sama ada mereka miskin atau kaya. Kami fikir para sukarelawan atau kumpulan kerjasama antarabangsalah orang yang mempunyai wang dan berkemampuan memberi sumbangan. Tetapi sebenarnya yang paling penting bukankah setiap orang harus cuba berusaha memahami budaya sesebuah negara, menilai ciri-ciri yang baik yang dimiliki oleh penduduknya. Contohnya, walaupun mereka tidak berwang tetapi mereka hidup saling bantu membantu dan bertungkus lumus berusaha untuk meneruskan kehidupan mereka. Semasa berjumpa dengan orang yang tidak dikenali pun, orang asing seperti kami, mereka tetap bersyukur kerana pertemuan kami ditakdirkan oleh Tuhan yang maha Isa. Perkara-perkara seperti itu sudah sebati dengan jiwa mereka, kami tidak boleh menganggap mereka itu miskin. Mereka sudah menjadi biasa dengan budaya hidup yang sentiasa mensyukuri rahmat Tuhan. Sebaliknya saya mempelajari sesuatu dari kehidupan mereka. Selama ini orang-orang Jepun bertungkus lumus berusaha untuk terus hidup hinggakan mereka terlupa akan nikmat tuhan. Saya mulai sedar apa yang diperlukan oleh pihak kerjasama antarabangsa. Mereka perlu pergi melihat dengan mata kepala sendiri, penduduk di situ dan kehidupan mereka yang sebenar serta menyelami perasaan mereka. Aku benar-benar percaya melalui kegiatan pertukaran segala kekurangan dapat diatasi menerusi sikap saling bantu membantu sesama insan.

Aku rasa semasa datukku mengajar bahasa Jepun di ladang pokok getah itu datukku juga dapat mempelajari sesuatu iaitu mengenali budi baik hati orang-orang Malaysia. Semasa aku melawat datukku di hospital, aku membawa gambar-gambar yang aku ambil di Malaysia dan juga menceritakan kepada datukku segala apa yang aku alami semasa melancong ke sana. Semasa itu datukku menitiskan air mata, tanganku dipegang erat dan tidak dilepaskannya.


Tuesday, June 08, 2004

MUSIM KAHWIN





kumbang dan bunga

memberi dan merasa

cinta setia


CUTI sekolah sudah masuk ke minggu kedua dan sinonim sekali dengan musim kenduri kahwin di negara kita ini. Teringat masa dulu-dulu di mana mba mengadakan kenduri kahwin bukan di musim cuti sekolah. Sebab utamanya ialah orang tua-tua berpendapat bahawa kenduri kahwin elok dilakukan pada bulan-bulan tertentu Hijrah dan kebetulan ianya bukan pada masa cuti sekolah pada masa tersebut. Sebab keduanya ialah kerana semua tukang masak dan awak-awaknya telah ditempah oleh orang lain pada masa cuti sekolah. Maka timbullah dialog yang lebih kurang begini:

"Mengapa kenduri tak buat masa cuti sekolah?"
"Urusan orang tua-tua, kita ikut saja. Lagipun tukang masak semua dah habis ditempah"
"Betul ke kau kahwin ni?.... orang buat kerja kahwin masa cutilah!"
"Mengapa?... syarat sah kenduri kahwin mesti cuti sekolah ke?"
"Taklah gitu.... kalau di luar cuti sekolah tu, macam ada apa-apa jer!"

Teringat juga masa bujang di mana setiap kenduri kahwin kawan-kawan adalah saat yang ditunggu-tunggu. Tak kirakah di Perlis ke, di Johor ke, semuanya kita akan ikut serta. Konon-kononnya dengan harapan bila kita kahwin nanti (belum tahu kat mana, lum ada girlfren) kengkawan akan pergi jugaklah. Tapi sudahnya, bila tiba giliran kita biasalah... kengkawan yang dah kahwin banyak alasannya. Misalnya isteri sakitlah (kena picit), mak mertua feninglah (kena balik), kucing beranaklah (kena ziarah) dan seribu satu sebab lagi. [Adik-adik yang lum kahwin kena ingat tu aaaa...]

ini nota peribadi:-
Mengenai hak-hak atas kenduri kahwin ni pulak... rasa2nya (kalau tak silap):
- Jika tak dijemput, haram pergi
- Jika dijemput, mesti pergi
- Jiran-jiran semua mesti dijemput (40 buah rumah di sekeliling masih dikira jiran)
- Jangan ganggu ketenteraman jiran (halang lalulintas, kebisingan melampau, jiran dapat cium bau jer dll).

Monday, June 07, 2004

NASIB KITA SIAPA YANG TAHU





yang tua gugur

yang muda kena cantas

pucuk ketawa


SUDAH menjadi lumrah bagi daun-daun, yang tua akan gugur dan yang muda menjadi tua dan turut gugur jua. Entah-entah semasa daun tua gugur, yang muda gelak ketawa agaknya. "pada muka dia, dulu sombong sangat, sekarang sampai giliran, gugur juga...".



Melihatkan kepada notis di atas yang tersiar di akhbar perdana hari ini, membuatkan mba berfikir sejenak. Cuba bayangkan ia adalah notis untuk diri sendiri....

Setelah puluhan tahun bekerja dan menyumbang bakti kepada jabatan. Dengan segala pahit maung dan sukar sengsaranya. Keluar notis sebegini yang mengandungi seribu makna. Lagi 100 hari dari tarikh persaraan, sudah dikeluarkan notis sebegini. Semoga pembaca sendiri boleh membuat penilaian sendiri. Inilah nasib daun ....

Sunday, June 06, 2004

RUTIN PAGI AHAD





di pagi ahad

dari gerai ke gerai

memilih ikan


Friday, June 04, 2004

KAWAN DAN SAHABAT




sejambak bunga

wangi seluruh alam

seorang teman




KAWAN-KAWAN berpesan: "kau pergilah.... rugi kalau tak pergi, kelak kau akan menyesal. Teknik rebonding ni sesuai untuk kau". Bekas bos aku kata "Saya bangga kau dapat naik tangga tu. Walaupun kau dah naik tangga tu dan duduk lebih tinggi dari saya, sebenarnya kan, sejak dulu lagi awak dah duduk di tangga yang tinggi kat sini. Kat sini itulah tangga tertinggi yang ada. Kita tak ada bajet nak tambah lagi anak tangga. Maklumlah harga simen mahal, harga boroh lagi mahal. Tak apalah, daripada tinggikan tangga, prioriti kami nak tambah barang dapur, biar anak-anak yang ada ni cukup makan. Biar mereka boleh jadi tinggi jugak walaupun tak naik tangga tinggi". Pergilah, tapi jangan lupakan kami.

Aku pulak menasihati sahabatku supaya jangan pergi, duduk rumah, jaga anak, jaga emak, jaga segalanya. Awatlah aku ni teruk sangat? Teruk ke aku ni?. Aku ada seorang sahabat, dia kerja sebagai hobi dan untuk memenuhkan masa lapang sahaja. Minat dia memang bekerja. Bila diamat-amati, belanja make-up dia sebulanpun adalah jauh lebih mahal daripada gajinya. Sebiji tayar kereta Siri-7 dia tu dah beribu lemon dah tu... Jadi buat apa kerja jika kat rumah boleh dapat semua benda?. Kalau nak kerja jugak, bolehlah jadi PA kepada suami ke, atau jadi pengarah di syarikat suami atau minta modal seketul dan jadi bos di syarikat sendiri saja. Tak perlulah jadi kuli kepada orang lain. Namun dia nak kerja jugak.... Kemudian aku kata, you ni dah merampas hak orang lain tau, orang miskin yang nak kerja untuk menyara mak bapak kat kampung, yang perlukan duit untuk meneruskan hidup..... masih teruk jugakkah aku ni?.
[tamat]

Thursday, June 03, 2004

JAMBAN DAN KASUT





sepasang kasut

merah hijau dan biru

megah berjalan



KAMI sekeluarga baru saja pulang dari KLIA kerana menghantar Ahmad Syahir (anak keempat kami) yang akan menjalani program homestay di Nagasaki, Jepun. Syahir merupakan peserta paling kecil dalam kumpulan 18 orang pelajar (tingkat 1 - 5) yang mengikuti program ini. Malahan beliau juga dikenakan tambang kanak-kanak semasa menaiki ERL dari KL Sentral ke KLIA.

Mengikut program, Shahir akan ditempatkan di rumah keluarga petani di daerah Chijiwa. Kata koordinator, Chijiwa ini samalah seperti Tanjung Malim di Perak. Khabarnya kegiatan pertanian di perkampung ini sangat moden. Rumah petani dan ladangnya dalam 2 km. Namun petani tidak pergi ke ladang untuk menyiram, membaja atau apa-apa rutin kerja harian. Semuanya diuruskan dari rumah melalui komputer.

Sebelum berlepas, koordinator berpesan. Jika anda ingin menilai seseorang, lihatlah pada kasutnya. Jika anda ingin menilai sebuah keluarga, lihatlah keadaan jamban @ toilet nya. Itulah penilaian orang-orang Jepun, katanya.





DULU, JICA Malaysia berpejabat di sebuah bangunan di Jalan Raja Laut. Kini telah berpindah ke Menara Citibank. Mengikut cerita, sebab utama perpindahan pejabat tersebut ialah kerana jamban di bangunan terdahulu tidak diselenggara dengan betul dan JICA merasa malu terhadap pelanggan yang datang berurusan di pejabatnya.


p/s: Kredit kepada pejabat lama yang mempunyai jamban yang 20X lebih bersih, wangi dan terurus berbanding dengan pejabat baru .....


Wednesday, June 02, 2004

DAH LAMA DAH ....

bos di hospital
suasana gembira
minda bercuti


DULU saya mempunyai seorang bos yang cukup popular. Beliau popular kerana fe'el dia yang memang hebat. Mungkin garang tidak tepat, tetapi bengispun bukan juga. Pendek kata, perkataan seperti bodoh, babi, gila, cilaka dan banyak lagi adalah merupakan kata-kata biasa yang dihamburkan kepada anak buahnya. Tetapi saya tahu dia memang baik hati dan di antara anak buah yang tidak makan saman dengan beliau ialah saya. Kerap kali dia kalah bila berhujah dengan saya. Namun sebagai bos, dia tetap mengaku dia betul dan sayapun tidak kisah sangat mengenainya. Dia ni memang terkenal dengan seorang yang amat rajin bekerja dan tiada istilah cuti dalam perkhidmatannya. (BTW .... saya tidak mengambil walau seharipun cuti semasa berkhidmat dengan majikan terdahulu).

Dengar ceritanya, ada anak buah yang jatuh berdebuk dan pengsan terkena marah. Satu hari dia memarahi anak buah saya. "Apa, awak gila ka?". Budak tu menjawab dengan selamba dan penuh manja ... "Ya... saya memang gila, I gilaaaa kat you... sekarang apa you nak buat kat I?. I yang gila ni?". Kata-kata hikmat itu telah menjadikan budak itu tidak lagi kena marah. (entah apalah hati orang tua tu berkata-kata agaknya....).

Hendak dijadikan cerita, bos ni jatuh sakit dan dirawat di hospital agak lama juga. Kami-kami semua pergilah ziarah dia kat hospital dan kat rumah dan bawa buah-buahan dokumen-dokumen yang memerlukan tandatangan dia. Dengan nada agak sebak dia berpesan supaya jangan rajin sangat kerja. Jangan mati-mati sebab nak kerja. Jangan pedulikan sangat deadline dan sebagainya. Yang paling penting ialah kesihatan. Jagalah kesihatan, bawa bertenang dan kerja tu soal ketiga. Soal pertama ialah kesihatan, lepas tu famili dan kemudian baru fikirkan pasal kerja. Dalam hati kita orang, wah seronoknya bila bos sihat nanti, kita semua boleh relaks!. Namun bila beliau dan sembuh, perangai lamanya datang semula .... kerja, kerja, kerja. Mana boleh relaks!.

Sebenarnya kan ... Dah Lama Dah saya fikirkan soal ini.... mengapa kita perlu kerja bermati-matian?. Mengapa kita menghabiskan masa di ofis lebih lama dari di rumah? Mengapa kita terkejar-kejar akan pangkat dan harta?. Adakah pangkat dan harta boleh membantu kita ke arah yang lebih baik di akhirat nanti?. Jika iya, mengapa pula ada orang yang menolak kenaikan pangkat?. Setelah berfikir sejenak, saya rasakan jauh lebih baik saya tolak+tarik saja ....

Apa kata anda?

p.s: Sepatutnya tulisan di atas dibaca dalam nada sedih.... namun saya percaya tentu ada yang gelak membacanya :-)


Tuesday, June 01, 2004

YANG :) dan YANG (:

SEMALAM adalah hari terakhir di pejabat lama dan hari ini akan melangkah melapor diri di pejabat baru. Dari Mac hingga Jun ini sudah empat buah pejabat dihuni. Ia merupakan satu rekod peribadi yang mungkin tidak dapat diatasi lagi.

Dalam mesyuarat terakhir semalam, mba merapulah sikit dengan anak buah. "Dari sejarah jabatan kita, bos datang dan pergi. Bos tak penting sebenarnya. Sesiapa saja boleh duduk atas kerusi (baca: panas) saya ni, tak kisah sesiapapun sebenarnya. Tapi yang penting adalah anda semua. Sebenarnya andalah yang menggerakkan jabatan ini. Esok secara rasminya pengganti saya akan melapor diri. Anda berilah sokongan kepada beliau sebagaimana yang anda telah berikan kepada saya. Saya berbangga duduk dan bekerja di sini. Anda semua adalah yang cemerlang, yang terbaik di sini. Cuma satu saja yang saya nak tinggalkan pesan. Ia itu dokumentasi. Banyak orang boleh bekerja dengan cemerlang, namun harus diingat bahawa kita dinilai melalui kertas, melalui dokumentasi. Segala perkara yang legal dihalusi melalui dokumentasi. Oleh itu saya sangat berharap semoga segala dokumentasi standard seperti fail meja, SKT, manual prosedur kerja, standard operation prosedur (SOP) dan projek akreditasi kita diteruskan dengan jayanya tanpa mengira siapa yang akan mengetuai anda di sini".

-----------------------------------------------------
Di antara yang :)

memang mba bab bab menulis ni cayalah. Itu yang syok baca bloger dia... boleh buat tersenyum sorang-sorang.
| yani | 2004/05/29 2:28 PM |

---------
Aku yang tengah carca marba
Bismillah,

2 hari nih aku tengah takdak mood nak menulis . Aku tengah berperang mencari jawapan dan alasan untuk aku meneruskan penulisan berkaitan dengan kehidupanku. Aku telah jelaskan bahawa apabila aku menulis ,maka diri aku yang sebenar akan mula muncul .Aku tak suka !! aku tak suka diri aku yang serba lemah dan daif ini diketahui kerana apabila aku menulis aku menulis dari hati.Aku tak mahu isi hati aku diketahui oleh beberapa orang yang aku tak suka. Selagi aku ada di atas garis yang dibenarkan ..biarkan aku jangan kaco!! ... Hidup aku berkocak dan carca marba !! Mungkin aku telah melakukan kesilapan kerna menghebahkan weblog ini. Perlukah aku menulis lagi? aku hampir-hampir mendelete weblog ini ... tetapi ketika aku tidak keharuan itu..aku telah bertamu di teratak abang MBA ..

Cebisan kata-katanya merawat luka yang kembali berdarah ini .terima kasih .Nampaknya aku harus terus menulis..hehe.

(Ini tidak berkaitan dengan geju dan kawan-kawan yang baik dengan aku)


posted by syeikh at 2:44 PM | Comments (5) | Trackback (0)
-----------

Yang :( pulak, lainkali sajalah. ;-)


Monday, May 31, 2004

GOLF: sukan atau ....?

BERMACAM sinonim diberikan kepada perkataan GOLF. Di antara yang popular termasuklah "Golongan Orang Lemah Fikiran" dan "Golongan Orang Lupa Famili". mba tercuit untuk menulis mengenainya apabila terbaca temuramah dengan bekas menteri kabinet mengenai nasib golongan veteran yang telah tidak memegang apa-apa lagi jawatan penting. Beliau mempunyai handicape 7 dan tidak banyak orang yang mempunyai 'single handicape' dalam permainan ini. Ini bermaksud tidak ramai orang yang tahu bermain golf. Walau bagaimanapun memang ramai pemain dan peminat golf di negara kita ini. Kebanyakan daripada mereka memang tidak tahu bermain (diukur dari handicape mereka). Yang lain pula bermain kerana suka-suka atau terpaksa.

Banyak cerita kita boleh dengar mengenai permainan golf ini. Banyak deal perniagaan dibuat atas padang golf. Ada juga cerita promotion juga boleh berlaku atas padang golf. Namun begitu ada juga cerita duka di padang golf ini.

Berbalik kepada temubual yang dimaksudkan, beliau agak terkilan apabila tidak lagi menerima jemputan untuk bermain golf setelah tidak lagi memegang jawatan dalam kabinet. Menurut beliau perkara ini adalah sesuatu yang begitu lumrah di negara kita ini. Golongan veteran yang 'tidak boleh memberi apa-apa' lagi akan dipinggirkan begitu sahaja. Biasalah kan? semut hanya menghurung gula. Apabila habis manisnya, semutpun tiada lagi.

Ini menunjukkan bahawasanya golf bukanlah sukan, tetapi sokan....
+ Ramai orang kita tunggu dijemput untuk main golf (nak main free?)
+ Jemputan bermain golf hanya untuk yang tidak pandai (handicape besar) - takut kalah?
+ Seseorang boleh bermain/berlawan golf seorang diri (hantam sajalah)
+ Ada orang bersara awal untuk bermain golf (ini pemain golf pro)
+ Petanda bos yang sibuk (saya dah seminggu tak main golf ... wow sibuk betul ni... )
[stop]

Saturday, May 29, 2004

AUTOMATIK ATAU MANUAL?

RAMAI orang tidak perasan bahawa dalam hampir semua ciptaan, versi automatik adalah dijenamakan lebih awal daripada versi manual.

Misalnya sebuah kereta. Setelah bertahun-tahun kereta "jenama X" berada di atas jalan, barulah kereta automatik dipasarkan dan dinamakan kereta "jenama X -automatik". Hendak atau tidak, secara sukarela atau terpaksa kereta terdahulu dipanggil dengan kereta "jenama X - manual". Maknanya yang "automatik" datang dulu kan?.

Begitu juga dengan sebuah kamera. Jika dulu sebuah kamera adalah sebuah kamera. Tetapi setelah kamera jenis automatik atau auto fokus dikeluarkan, maka kamera terdahulu diberi nama kamera manual. Sekali lagi yang automatik keluar dulu kan?. Sekarang ni pulak, dah ada kamera digital, maka kamera terdahulu samada manual automatik telah dipanggil sebagai "kamera biasa" atau "kamera bukan digital" atau "kamera analog?".

Berbalik kepada kamera ni, tujuannya ialah untuk mengambil gambar. Namun sesetengah orang kita pada suatu masa dulu cukup anti dengan kamera auto. Kalau gambar-foto yang diambil menggunakan kamera auto, mereka akan kata 'ala itu kamera auto, tak ada seni, senang sangat nak guna....' dan macam2 lagi. Bagi "kamera biasa" yang kena fokus secara manual dan macam2 lagi tu, walaupun hasilnya tak seberapa (sebab tuan punya kamera kurang seni, bukan sebab kamera) maka hasilnya boleh dipuji sebab ia bukan kamera auto. Jika begitulah keadaannya .... lebih baik ambil gambar pakai lukisan saja kan?. Lagi seni, lagi manual . Tak payah pakai mesin betul tak?.

kereta manual ....

Begitu juga dengan kereta. Sesetengah dari orang kita tidak suka sangat dengan kereta auto. Alasan standard yang digunakan ialah 'tiada power', 'senang rosak', 'kereta orang pompuan', 'harga jual semula murah' dan banyak lagi dan banyak lagi. (Jalan kaki lagi manual dari berkereta)

--> Mengapa kita lebih suka yang susah lagi menyusahkan dalam kehidupan ini?

Thursday, May 27, 2004

DARIHAL KABEL

kabel
KABEL pada asalnya bertujuan untuk menghubungkan lebih dari satu objek.
Namun pada hari ini, kabel sudah menjadi semacam peribahasa yang memang dikatahui umum. Misalnya "ada kabel", "kabel besar" dan seumpamanya yang membawa maksud ada hubungan atau connection.

Dalam kerjaya, dalam politik, dalam perniagaan biasanya kabel sudah menjadi suatu yang lumrah. Tanpa kabel banyak benda yang akan menjadi susah. Lagi besar kabel pula lagi laju dan lancarlah perjalanannya.

Namun mba sudah menemui banyak kes di mana kabel juga kadangkala lebih melambatkan proses. Seorang kenalan mba sangat kamceng dengan bosnya (kira-kira dia bergantung kepada kabellah tu, atau mungkin juga kabel tersebut yang bergantung kepadanya). Bila tiba time naik pangkat, bos tadi tak mahu lepaskannya keluar. Jadi jalan yang ada ialah dengan wujudkan jawatan KUP (khas untuk penyandang). Jadinya beliau tidak boleh naik pangkat sehingga KUP tersebut diluluskan.

kabel ini terlalu banyak, entah kemana penyudahnya. Entahkan kuat entahkan kusut

Dalam sesetengah kes pula, yang attached dengan kabel ini tak dapat naik selagi kabelnya tidak naik. Kekadangtu memang lama kena tunggu tu. Ada juga kalanya di mana (jarang-jarang atau kadang-kadang) orang yang tak bagus akan naik, sebabnya?. Bos nak minta dia keluar dari organisasi. Entah ya entahkan tidak, tetapi itulah beberapa cerita dongeng yang boleh didengari di warung ...


Wednesday, May 26, 2004

JODOH TAK PANJANG

SEMALAM saya menerima panggilan telefon "sila datang ambil surat". Surat yang dimaksudkan ialah surat tukar. "saya baru dua bulan kat sini. Sini seronok dan tidak ada masalah. Mengapa cepat sangat kena tukar?" (pertanyaan pura-pura tak tahu). "eh-eh naik pangkatpun tak nak ke?. Dah jodoh kat situ tak panjang". Hari ini surat tersebut sudah bertukar tangan dan esok terpaksalah mengadap bos untuk membawa berita baik dan berita buruk tersebut. Rasanya semua orang yang bekerja makan gaji ingin naik pangkat, namun tidak ramai yang ingin ditukarkan ke tempat lain. Justeru itu ada yang menolak kenaikan pangkat kerana terpaksa berpindah tempat kerja. Ini terutamanya bagi yang bekerja di state dan terpaksa berpindah ke federal.

Naik pangkat bererti bertambah tanggungjawab dan bertambah gaji. Namun pendapatan tidak semesti bertambah. Misalnya ada yang berjawatan rendah tapi jadi ahli lembaga pengarah tertentu dan dibayar imbuhan. Apabila naik pangkat dan berpindah, lembaga tersebut tidak ikut pindah. Ada yang pangkat rendah tapi elaun perbatuan beratus-ratus setiap bulan dan bila naik pangkat elaun tersebut tidak ada lagi sebab kerja tidak memerlukan buat kerja luar. Jika yang kerja state berpindah federal lagilah haru kerana kos hidup yang berbeda.

Walaupun bekerja di tempat sekarang cukup selesa, namun mba terpaksa akur sahajalah dengan isi kandungan surat tersebut. Apatah lagi bukan ramai rakan seangkatan yang terpilih. Mulai 1 Jun, mba akan beroindah ke pejabat baru lagi dan ii dah kira boleh memecahkan rekod perkhidmatan terpendek di tempat sekarang.....

Tuesday, May 25, 2004

JEPUN



MBA mula mengenali Jepun secara lebih dekat apabila berada di negara tersebut pada tahun 1989/1990 kerana menghadiri kursus system engineer di Okinawa International Centre. Setelah pulang ke Malaysia, MBA bergiat cergas dalam NGO The Japan International Cooperation Agency Alumni Society of Malaysia (myJICA)hinggalah sekarang. Semenjak tamat kursus tersebut, saya hadir pula kursus DP Manager di Okinawa dan kemudiannya kursis JICA-Net di Tokyo. Selain dari itu ada juga pergi ke Jepun atas urusan-urusan rasmi yang lain.

Melalui myJICA, mba bermesyuarat minima sekali sebulan dengan Jepun semenjak 1990 dan dua anak mba sudah ke Jepun dan yang ketiga (anak keempat) akan menyusul akhir bulan ini. Walau bagaimanapun mba tidaklah layak bercakap pasal Jepun. Mungkin sahabat mba Halela yang mempunyai pengalaman paling intim bersama Jepun selama hampir suku abad adalah paling afdhal. Walau bagaimanapun, ikhlas dikatakan mba masih tidak dapat memahami perangai orang Jepun, walaupun yang menjadi sahabat, guru mahupun jadi bos mba. YA kata mereka mengandungi pelbagai maksud yang bukan "ya" sebenarnya. Puji mereka tidak dapat difahami maksud sebenarnya. Kesetiaan orang Jepun terhadap organisasi, terhadap bos, terhadap ibu pejabat sukar untuk difikir dengan logik akal.

Monday, May 24, 2004

SINGAPURA

APABILA disebut perkataan Singapura, saya percaya ia membawa banyak pengertian kepada banyak orang. Di antaranya mungkin seperti berikut:-
- Boleh beli barang baik dengan harga murah
- Semuanya mahal di negera tersebut
- Negara polis
- Sebuah pulau yang tiada daya penarik
- Negara termaju di dunia


Salam tahun 70an-80an dulu, bagi pemuda-pemuda kampung yang bekerja di Singapura dikira cukup hebat. Apabila pulang ke kampung sekali-sekala mereka menjadi intipan dan bualan orang kampung dan saham mereka akan naik...

Kini, singapura tidak lagi sehebat dulu, namun kebanyakan orang Singapura masih lagi seperti dahulu. Mungkin tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa rakyat mereka adalah kurang a**r sedikit dan mengamalkan sikap kiasu (takut kalah).

Minggu lepas MBA menerima panggilan telefon dari satu vendor dari Singapura. Ia berpunca dari sepucuk surat yang mereka hantar yang tidak dibalas oleh MBA. Surat tersebut siap memberikan arahan supaya kita membuat sesuatu mengikut arahan mereka dan mereka siap memberikan dateline lagi. MBA tidak mahu menghairaukan kandungan surat yang tidak bertamadun yang mengandungi fakta salah tersebut. Dalam perbualan telefon tersebut MBA cakap, "CU in court", biar padan muka dia. Masalah bermula apabila mereka mengatakan yang perisian yang kita gunakan tidak berlesen dan mengikut auditan yang mereka lakukan, didapati seramai 4000 lebih kakitangan kami menggunakan perisian tersebut (siap dengan senarai nama). Sedangkan kami hanya mempunyai kurang dari 2000 kakitangan (termasuk drebar, jaga, tukang masak, peon dan yang setaraf dengannya yang memang tidak ada ID komputer langsung). Pejabat mereka di KL nampaknya jadi macam Pak Turut saja yang dicucuk hidungnya ....

Friday, May 21, 2004

MENGAPA MENULIS?

PADA kebiasaannya MBA menulis dan membaca di rumah. Setelah berada di pejabat, masa untuk intai-intai Internet agak terhad. Lantaran itu segala apa yang disapa oleh tetamu di TagBoard, comments, buku tamu (jika ada) Cuma akan dijawab setelah pulang ke rumah. Nampak macam kurang mesra pengunjung, tetapi itulah rutin di sini. Dalam 1200 pengguna PC di sini, kurang dari 40 diberi kebenaran untuk akses ke Internet. Ini adalah polisi yang baru dikuatkuasakan (sebab banyak yang menyalahgunakan kemudahan sebelum ini). Pengguna lain boleh akses Internet hanya di perpustakaan.

SEMALAM mba tidak menulis kerana terpaksa menyiapkan satu tugasan yang diperlukan dengan segera dan tertidur sebelum ia dapat disiapkan. Apabila terjaga semula menjelang subuh, terus menyiapkan tugasan tersebut sebelum ke tempat kerja di luar pejabat. Hajat di hati nak menulis menggunakan Treo600 semasa berada di luar, namun hajat hanya tinggal hajat. Walau apapun “teori” ramai pengunjung datang bila kita tak kemaskini blog bolehlah dipakai sebab lebih 200 pengunjung semalam telah dikecewakan kerana blog tidak dikemaskini.

BERBALIK kepada tujuan menulis. Penulis blog tersohor ada memberi ulasan terhadap “petua menulis blog” yang mba tulis. Ramai tak setuju supaya tulis pendik tapi konsisten. Katanya kalau tulisan tu baik dan menarik, panjang manapun akan dibaca jua. Memang betullah apa yang dikatakan. Namun bagi seseorang penulis yang baik, sudah tentu tidak lagi perlu mencari petua menulis. Oleh itu entri MBA terdahulu bolehlah dibaca sebagai “petua menulis blog bagi …. Buah cempedak di luar pagar” (termasuk MBA sendiri)

PENULIS tersohor juga menulis kerana ia ingin menulis. Ia menulis bukan untuk dibaca orang. Ia tidak akan menulis jika dia rasa tidak mahu menulis. Ia menulis bukan untuk dikunjungi. Ia menulis bukan untuk diulas. Berlainan sekali dengan penulis baru, sudah tentu kita ingin tulisan kita dibaca. Jika tulisan kita panjang sangat (macam tulisan kali ini) takut nanti pembaca bosan. Kita juga rasa seronok bila ada orang beri ulasan tulisan kita. Kita rasa gumbira jika ada tetamu sapa kita di TagBoard. Lagi riang jika ada yang singgah di buku tamu. Bagi penulis tersohor, semua ini tidak perlu dan tidak ada dalam blog mereka.

----------------------------------------------------------------------
TIPS hari ini:
JIKA inginkan buku tamu anda dipenuhi kunjungan, jangan adakah TagBoard dan comments dalam blog anda.

kata-kata hikmat hari ini:
Menulis blog bagaikan memasak. Jika makanan anda dijamah dah tentu anda seronok. Jika diulas lebih-lebih lagilah. Tukang masak kerjanya enteng.... hari-hari masak nasi goreng dan tidak perlu tahu samada juadah mereka dijamah atau tidak?

Wednesday, May 19, 2004

GURU SUPER


tokoh guru 2004

GURU SUPER ialah satu jawatan kenaikan pangkat kepada guru biasa yang setaraf dengan pengetua atau guru besar. Namun guru masih lagi mengajar seperti biasa dan tidak menjadi pentadbir seperti guru besar, pengetrua ataupun pegawai pendidikan di jabatan Pendidikan atau kementerian pelajaran.

Apabila YAB Perdana Menteri mengumumkan tentang guru super yang sedang dirundingkan dengan JPA, terdapat pelbagai sudut menarik untuk diperhatikan daripada kenyataan tersebut.

1. Guru Super bukanlah suatu perkara baru dalam bidang perubatan, di mana doktor yang tidak mahu menjadi pentadbir seperti pengarah hospital atau pegawai-pegawai di kementerian kesihatan masih berpeluang mendapat kenaikan pangkat yang tinggi (sehingga JUSA A, khabarnya) dan masih melakukan tugas harian sebagai doktor pakar. Mereka akan melapor kepada pengarah hospital yang jauh lebih junior daripada mereka.

2. Jawatan Guru Super telah dikemukakan pada tahun 1984 (dua puluh tahun lalu) oleh YAB Perdana Menteri yang pada masa tersebut adalah Menteri Pelajaran. (Maknanya tidak ada sebarang usaha dibuat untuk merialisasikannya sehinggalah beliau menyebutnya kembali setelah beliau menjadi PM)


3. YAB Perdana Menteri meminta JPA memberi tumpuan khusus mengenai isu Guru Super memandangkan JPA adalah di bawah Jabatan Perdanan Menteri. (pembaca bolehlah membuat kesimpulan sendiri mengenai ayat tersebut).


Setelah Guru Super menjadi kenyataan, elok juga rasanya ia dikembangkan ke skim-skim lain pula. Misalnya bagi pegawai IT yang suka dan berkebolehan membuat program, mereka tidak lagi berpeluang melakukan kerja tersebut dan kemahiran tersebut akan hilang setelah dinaikkan pangkat ke pengurus IT. Elok juga rasanya dijadikan jawatan IT Super supaya programmer masih membuat program dan system analyst masih merekabentuk sistem walau setinggi manapun pangkat mereka.


Tuesday, May 18, 2004

KITA TAK SERUPA

SEMENJAK berada di ofis baru ini, tiap-tiap hari ada orang datang berjumpa dan bertemu. Rasa-rasanya kad nama yang dah terkumpul bagaikan dah 2-3 tahun kerja. Temujanji dibuat seawal 7:30am lagi. Ada yang nak menjual. Ada yang nak berkenal. Ada yang nak berkempen.

Dalam menjual dan berkempen tidak semestinya apa yang dipakai di ofis A adalah elok dipakai di ofis B (walaupun kita di daerah yang sama). Ada satu produk (aplikasi komputer) yang hendak dijual. Ia telah 4 tahun digunakan di ofis A. Sangat berjaya katanya. Jurujual menggunakan pegawai dari ofis A untuk cuba mempengaruhi kita supaya membeli dan menggunakan produk tersebut bagi ofis kita. Namun orang-orang kat ofis kita memang "tidak boleh" menggunakan produk tersebut kerana suasana, sejarah dan falsafah ofis A dan ofis B adalah berbeza walaupun matlamat akhirnya adalah sama.

Namun pegawai dari ofis A tersebut sangat tidak puas hati apabila dikatakan yang ofis B tidak mungkin dapat menggunakan produk tersebut. Mungkin agaknya ada komisyen yang mengunggu, ia naik marah dan tidak begitu rasional lagi. Kami akan menyesal katanya jika tidak menggunakan produk tersebut, ia adalah produk terbaik, ia telah terbukti, ia adalah murah dan banyak lagi. Pujinya melambung-lambung.

MBA menggunakan analogi isteri dia. Isteri dia memanglah baik untuk dia. Memang sangat baik, memang sangat cantik. Pujilah isteri seadanya. Jangan berlebih-lebih. Dia puji isteri dia sebab isteri dia pandai masak, sebab isteri dia peramah, sebab isteri dia ringan tulang dan tidak berkira. (alahai .... kalau setakat itu, isteri kitapun tidak kurang juga hebatnya - dalam hati). Isteri dia memang bangun awal setiap hari dan mengejutkan dia untuk pergi kerja. Dia gembira sekali bersarapan di kedai mamak dengan kawan-kawan saban hari. Memang dia puji habis, sebabnya dia jenis yang tak boleh bangun pagi sendiri. Isterinya juga seorang yang pandai masak, sebab hobi dia ialah dok melepak kat kedai mamak. Isteri dia juga seorang yang amat peramah sebab dia ni agak berat mulut sikit (macamanalah engko boleh jadi jurujual bagi pihak jurujual tu pulak? - terpengaruh ya?). Bukankah Allah dah tentukan jodoh itu saling lengkap melengkapi?. Kalau dua-dua ramah semacam je, siapa yang nak jadi pendengar?. Kalau dua-dua jenis cakap sepatah-sepatah je, hmmmm.... TV & radiolah yang akan jadi jurucakap kat rumah....

Pendek kata produk A tu memanglah sesuai sesangat untuk ofis A, tapi tidak begitu cun untuk digunakan oleh ofis B. Habis cerita. Jangan marah.

Monday, May 17, 2004

BULAN PERTAMA DI OFIS BARU

LEBIH 22 tahun bekerja, kesemuanya di peringkat persekutuan. Ini termasuklah di pejabat ketua pengarah, agensi pusat, ibu pejabat dan bahagian di kementerian. Apabila dapat bertukar terus ke peringkat daerah secara melangkah bendul (tanpa ke peringkat negeri terlebih dahulu), ada perasaan seribu rasa.

Pada asalnya konon-kononnya banyak nak buat perubahan kat daerah ini. Namun setelah sebulan, barulah tahu langit itu tinggi atau rendah. Di peringkat daerah biasanya pekerja bekerja dengan lebih santai, lebih perlahan. Mungkin agaknya ia lebih jauh dari orang-orang besar. Namun yang pasti mereka tertunggu-tunggu keputusan yang mesti dibuat oleh peringkat negeri dan ibu pejabat. Ada kalanya hingga langsung tidak dapat bergerak dan berbuat apa-apa sehingga keputusan dibuat. Contoh paling klasik ialah duit. Jika duit tidak dihulur (walaupun bajet telah diluluskan) apa yang boleh dibuat di pejabat kecil?.

Namun keseronokan bekerja di sini ialah mengenai ukhwah dan segala-galanya dekat. Surau sepelaung saja, kantin beberapa langkah saja. Jika di KL dulu terpaksa pergi solat Jumaat awal-awal untuk dapat saf, kat sini jika lepas azan baru bertolak ke masjidpun masih boleh duduk saf depan lagi.

Friday, May 14, 2004

BENGANG

KELMARIN terima satu pesanan panggilan telefon lebih kurang begini: "saya so and so, dari syarikat XXX. Saya dapat no tuan dari sianu bin sianu. Sila telefon saya semula". Hati berkata .... sedapnya mulut kau bercakap.... Jika yang telefon tu sedara ke, kawan ke, kenalan ke lainlah jugak storinya. Jika sekadar salesman yang nak jual barang, jangan haraplah pegawai kerajaan nak reply semula (lainlah jika memang dia memerlukan sangat barang yang nak dijual tu). Biasanya salesman yang nak jual barang perlulah bersusah payah sedikit mencarai peluang niaga. Umpamanya buat temujanji, hantar surat/katalog, jemput seminar/launching dan sebagainya. Paling komanpun telefon memperkenalkan diri. Ini suruh kita telefon dia semula?. Banyaaaaaaaak punya cantik?. Dahlah hanya tinggalkan no handset saja. Kita ni dok pakai telefon sendiri dan dok bayar bil sendiri untuk kayakan dia orang ni.

Apalah punya salesman.

Satu lagi bab orang sales ini ialah bila barang dah beli. Pagi dia hantar invois, petang dah call atau dah terjongok kat depan ofis minta bayaran. Dia ingat gomen ni one man show punya company. Kalau dah seminggu dua hantar invois dan tak ada berita tu, logiklah juga buat susulan .

So jika korang ada kenalan salesman yang nak deal dengan gomen, nasihat-nasihatkanlah adab-adab begini .....

Thursday, May 13, 2004

MENGAPA AGAKNYA ?

MENGAPA agaknya di zaman dulu-dulu bila seseorang askar bergambar, dia mesti duduk atau berdiri senget dan menampakkan bahu?







.... jawapannya ialah kerana pangkat & kekuatan askar terletak di bahu






MENGAPA pula di zaman ini, CEO bila bergambar suka sangat pegang pen?

.... Jawapannya ialah kerana kuasa seseorang CEO terletak pada tandatangan dengan pen tersebut ...

Wednesday, May 12, 2004

ADAKAH INI WAJAR?

1. Sebuah gabungan pelajar melayu diberitakan akan mengadakan tuisyen percuma untuk peperiksaan PMR dan SPM kepada pesalah-pesalah juvenil yang ditahan disekolah-sekolah khas seperti sekolah H.Gurney, penjara dan sebagainya. Ini adalah untuk membantu mereka untuk mencapai kejayaan cemerlang dalam peperiksaan dan membolehkan mereka berdikari setelah dibebaskan nanti.

Tuisyen untuk PMR dan SPM ini biasanya memakan belanja beratus ringgit sebulan bagi setiap matapelajaran seorang pelajar jika ke kelas tuisyen. Adakah pelajar-pelajar miskin di luar bandar dan pendalaman mampu menghadiri tuisyen begini?. Apakah gabungan ini lebih wajar membantu pelajar miskin di luar bandar berbanding dengan pelajar samseng yang telah disediakan asrama?

2. Sebuah berita menyebut dan melaporkan bahawa pakar dan pencinta bahasa berkata bahawa mutu dan kemerosotan bahasa Melayu pada hari ini adalah disebabkan oleh bangsanya sendiri. (Bahasa Jiwa Bangsa).

Adakah wajar untuk menjadi pencinta dan pejuang bahasa Melayu, seseorang mesti mahir dalam bahasa Inggeris dan malahan semua anak-anaknya di hantar ke sekolah Inggeris?

3. Presiden Bush dilaporkan sebagai berkata bahawa Setiausaha Pertahanannya adalah bersalah kerana tidak memaklumkan kepadanya mengenai gambar-gambar penyiksaan tahanan Iraq kepadanya. Walau bagaimanapun Bush tidak menyalahkan setiausaha pertahanan itu.

Adakah itu wajar atau cakap orang yang tidak reti bahasa?

Tuesday, May 11, 2004

PETUA WEB: AKAR TUNJANG DAN BUNGA

Abrar: Bukankah petua menulis ni selagi kita ikhlas nak tulis pasti orang akan baca?:

Keikhlasan adalah sebagai akar tunjang. Namun ia berada dalam tanah. Pengunjung hanya nampak daun, bunga atau buahnya. Kadang-kadang tu buah yang manis belum tentu mempunyai akar tunjang yang baik. Walau bagaimanapun akar tunjang adalah paling penting, ia sebagai rukun dan usah dipertikaikan. Cuba kita tengok kepada bunga-bunganya pula:-

- bunga tanpa warna langsung: tak menarik
- bunga terlalu banyak warna: menyakitkan mata
- bunga terlalu besar : akses yang lambat
- bunga kecil sangat : susah nak tengok

Hs rasa hits jadi tinggi pada hari tak berupdate sebab pembaca akan ulang berkunjung untuk melihat samada blog dah diupdate ke belum. Kalau blog yang sedia berupdate, sekali masuk, lepas baca, tak datang lagi. tak tau samada teori ini tepat atau tidak...tapi yang hs perhatikan lebih kurang gitu lah.
hanyasayang


Inilah sebenarnya apa yang terjadi. Sepatutnya jika kita "ikhlas" tentang hits, eloklah:-

- cuma masukkan unique visitor sahaja
- jangan kira diri sendiri sebagai pengunjung


MBA, rasa2nya pengunjung tetap MBA akan datang jenguk dari subuh, kalau tak da, zohor jenguk lagi, kalau tak da lagi, asar jenguk lagi, kalau tak da lagi, maghrib pulak. So kalau tak da update, sampai malam lah pengunjung tetap akan jenguk.
Honeytar


Salah satu sebab mengapa hits meningkat tinggi.


hits ni yg buat tinggi kadang2 sebab search engine. pernah satu entry saya kat diaryland begitu ramai pengunjung. semua datang dr search engine yg mencari aksi2 terlampau. padahal saya tulis perasaan tak suka bila orang yang suka forward e-mail sebegitu, menonjolkan keburukan orang lain. akhirnya saya delete entry tu sebab saya tak suka cara mereka datang ke jurnal saya.
nectar


Ini adalah satu penemuan paling menarik.



Monday, May 10, 2004

POSLAJU YANG TIDAK LAJU

SEMALAM ke pejabat Poslaju di Brickfields kerana menuntut sekeping surat yang diposlajukan kira-kira 10 hari yang lalu. Tuan punya surat ini tinggal di taman perumahan bersebelahan dengan rumah penerima surat sahaja. Maknanya surat yang diposlaju tersebut mengambil masa lebih 10 hari untuk tiba ke destinasinya.

Pokok persoalannya ialah posmen tidak membawa surat tersebut apabila pergi ke alamat yang ditujukan, sebaliknya hanya membawa sekeping kad kuning dan dimasukkan dalam peti surat dengan catatan lebih kurang "tuan tidak ada di kediaman pada tarikh dan masa sekian, oleh itu sila tuntut surat di pejabat kami". Inilah penyakit yang sebenarnya berlaku kepada Poslaju. Jadi memang sia-sia sahajalah menggunakan poslaju.

Tahun lepas mba ada menerima sekeping kad mengenai surat berdaftar yang dialamatkan kepada mba atas kapasiti setiausaha sebuah NGO. Apabila ke pejabat pos untuk menuntut surat tersebut, pihak Pos meminta kad pengenalan kemudian minta cop NGO yang dimaksudkan. Bila diberitahu tak bawa cop, jawapan yang diterima ialah tak boleh ambil surat dan jawapan mba ialah OK, awak hantar balik surat ini kepada pengirimnya, saya tak boleh terima. Padan muka aku .... Juga sia-sia sahaja menggunakan perkhidmatan Pos Berdaftar.

Friday, May 07, 2004

PETUA MENAMBAH HITS KE WEBLOG ANDA




menghitung hari
pengunjung yang datang
membilang jari

SEMALAM mba tidak menulis apa-apa di blog. Walau bagaimanapun bilaangan pengunjung yang datang adalah lebih ramai berbanding dengan hari sebelumnya menulis mengenai “Malang Tidak Berbau” Mengapa begitu jadinya?.

MBA tidaklah hairan sangat (walaupun pelik juga) macamana blog yang bagus, yang ditulis pada setiap hari boleh menarik pengungjung melebihi 1000 sehari. Namun adalah sesuatu yang Pelik Bin Ajaib bila blog yang tidak dikemaskini dan pada hari-hari ia tidak ditulis boleh dikunjungi hingga 700 – 800 sehari. Kiranya blog kosong (yang tidak dikemaskini) ini adalah lebih hebat lagilah.

Nak tahu apa rahsianya?. Percubaan MBA dengan tidak menulis apa-apa dan mendapat hits yang lebih tinggi itu kan dah terbukti kebenarannya?. Ini lebih kurang membawa maksud pengunjung datang melawat penulis blog yang sakitlah ni. Dah tak boleh bercakap, ramailah yang datang. Maknanya juga, pengunjung tak suka melawat yang pet-pot-pet-pot tanpa henti…..

Nanti sama-sama kita berkongsi petua bagaimana nak menambah bilangan pelawat ke weblog anda. Tunggu minggu depan ya!… Sebab apa minggu depan?. Sebab tulis apa sahaja yang terbaik di hujung minggu, tidak akan mencapai sasaran pengungjung yang diharapkan. Ha .. ha… itu tips kedua (tips pertama dah jumpa?.).

Tunggu ya….

Wednesday, May 05, 2004

MALANG TAK BERBAU

EKSPEDISI mendaki Gunung Rajah, Chamang dekat Bentong Pahang oleh 31 orang pelajar telah berakhir dengan tragedi. Dua orang maut dan 21 lagi cedera, sebahagiannya parah apabila dipanah petir. Kebanyakan mereka adalah pelajar dari IKIP (Institut Kemahiran Ikhtisas Pahang).

Seorang jurucakap IKIP dilaporkan sebagai berkata, ekspedisi tersebut tidak dianjurkan oleh IKIP, malahan pihak IKIP tidak tahu menahu dan tidak ada sebarang permohonan dibuat. Sekiranya permohonan dibuat, sudah tentu mereka akan mengkaji, menimbang dan sebagainya sebelum memberikan kelulusan. Jika kelulusan diberi, mereka tentu akan dilindungi oleh insuran.

Banyak juga pihak lain yang membacakan pelbagai peraturan selepas kejadian ini. Misalnya setiap ekspedisi begini mesti dilaporkan kepada balai polis berdekatan. Di Gunung Rajah ini, tidak boleh berkemah di puncak, tetapi 20-30 meter dari puncak dan banyak lagi.

Teringat bahada GEJU juga akan mengadakan aktiviti hampir serupa, iaitu Projek Basah di KLD.

Namun alhamdulillah, saya yakin GEJU ada mengambil skim insuran untuk pesertanya. Ini ialah kerana pihak KLD memang mensyaratkan peserta mereka diinsurankan. Berlainan sekali dengan memanjat gunung, di mana gunung tersebut tidak bertuan, jadi tuan punya gunung tidaklah boleh memaksa pemanjat diinsurankan terlebih dahulu. Sungguhpun begitu, mungkin ada aktiviti lain yang berisiko tetapi tidak diinsurankan. Katakanlah GEJU ada pasukan bola sepak. Bila main bola, mungkin ada yang peteh keting, bukannya tendang bola. Kalau patah kaki, jangan pulak GEJU didakwa kerana menganjurkan perlawanan bola atau menubuhkan pasukan bola. Nanti tak pasal-pasal main bola yang halal dah menjadikan GEJU pulak yang haram.

Malang Tak Berbau.

Sunday, May 02, 2004

SALAM MAULIDURRASUL

JIKA rakan-rakan di Jepun bercuti Golden week dan rakan di US bercuti Easter, kami di Malaysia juga bercuti panjang sempena hari pekerja, maulidulrasul dan Vesak. Semalam jalan dari KL menuju semua destinasi sesak teruk. Semua ingin pulang ke kampung. Bayangkan perjalanan biasa KL ke Kampar yang kurang dari 2 jam memakan lebih dari 5 jam semalam.

Dialog ibu dengan anak
anak: hari ini cuti maulidulrasul
emak: sebenarnya maulidulrasul esok, hari Senin. Tapi sengaja depa buat hari ini
anak: tidaklah, memang hari ini...
Emak: Nabi lahir hari Senin, tahun gajah. Hari ini Ahad. Esok Senin.

Berita menarik hari ini
CUEPACS minta JPA terangkan semula apa itu PTK. Ini adalah berikutan hanya 0.9% sahaja dari 130000 guru yang mengambil ujian PTK lulus. Keputusan PTK skim lain yang dijangka hampir sama sahaja dengan guru masih belum dikeluarkan.

MBA: PTK adalah kerana pelaksanaan SSM. Dengar khabar ia akan digantikan dengan SSA pula bila PakLah mengambil alih :-)

Saturday, May 01, 2004

Friday, April 30, 2004

KELATE

SEMALAM mba melawat sebuah jabatan pesakit luar dan mendengar perbualan berikut antara pesakit dan perawat:

Perawat: domo kelate ko? (adakah anda orang Kelantan)
Pesakit: a’a yo lo ah (Oh ya … confirm)
Beberapa dialog lagi tidak lagi penting dimuatkan, tetapi yang penting kemudiannya ialah layanan di antara pesakit dan perawat yang lebih mesra diperolehi.

Teringat semasa di jabatan ABC di awal 90an dulu. Apabila tiba masa untuk mba dinaikkan pangkat oleh JPA, ada sedikit masalah (masalah besar), di mana laporan pengistiharan harta masih belum diluluskan oleh jabatan. Mesyuarat jawatankuasa ini hanya diadakan sekali atau dua sahaja setahun. Alamak, habislah peluang untuk naik pangkat. Untuk dijadikan cerita, mba tawakallah sajalah menelefon pegawai khas kepada KP untuk mengadu hal. Lebih kurang dialog begini berlaku:

Pegawai: Oh demo oghe Kelate jugok, tak dok masaalohlah, pete ni kawe gi juppo dato’. Esok mat talipon semula. (memandangkan U orang Kelantan, tak ada apa-apa masalahlah, petang ini saya akan jumpa Dato’ dan silalah telefon semula esok).

Diringkaskan cerita, laporan harta saya telah disiapkan keesokan harinya. Apabila saya Tanya semula, bila mesyuarat diadakan?. Jawabnya: senang sahaja, Dato’ adalah pengerusi, dan dia adalah setiausaha dan bawa satu kes sahaja dan lulus kerana “keyword” yang digunakan.

Mulai dari situ, saya mula menggunakan keyword tersebut (iaitu bercakap telo Kelantan) dan memberitahu kawan-kawan yang ingin berurusan dengan beliau supaya juga berbuat begitu.

Semasa pertama kali mba bertemu Seri Adriani, dia juga menggunakan keyword tersebut
Seri: “Demo Kelate ko?”
Mba : “yo lo ah” (senyum)

p.s Padahal mba dan seri adriani bukan orang Kelantan (tetapi kami senegeri)
Isteri mba dari Perakpun berjaya menggunakan keyword ini dalam kes-kes tertentu






Thursday, April 29, 2004

PALESTIN-ISRAEL BERLAKON?

MUNGKINKAH konflik dan peperangan Palestin-Israel hanyalah lakonan semata-mata?. Adakah perseteruan di antara PAS dan UMNO juga hanyalah mainan politik semata-mata?. Rakyat jelata yang menjadi penonton bergaduh dan berpuak-puak sedangkan para pemimpin mereka bergelak ketawa dan berpeluk-pelukan di parlimen?. Entahlah, mungkin ya mungkin tidak.

Walau apapun saya cukup terharu membaca sebuah karangan oleh seorang pelajar Jepun, Ms. Yoko Saito mengenai dua orang pelajar yang menjadi keluarga angkat mereka. Mereka ialah Ben (Israel) dan Mustaffa (Palestin). Sebagai hadiah kepada karangan tersebut, Yoko telah dibawa melawat Malaysia dan menjadi keluarga angkat JICA pada bulan Mac lepas. Ikuti kisahnya dan anda bolehlah membuat kesimpulan sendiri:-



Masa Hadapan

Suatu pagi saya bangun lebih lewat daripada biasa. Saya mendengar berita mengenai perletakan jawatan Perdana Menteri Palestina disiarkan di televisyen yang dibiarkan terbuka begitu.

Peperangan di antara negara Palestina dan Israel yang sudah lama berlanjutan serta latar belakang sejarah kedua-dua negara yang sangat rumit itu, nampaknya terbayang kemungkinan dapat diselesaikan dengan adanya pertolongan atau campur tangan dari negara Bangsa-Bangsa Bersatu dan negara-negara lain. Kedua-dua negara tersebut cuba berusaha mendekati satu sama lain. Tetapi ......................
“Perhubungan di antara Israel dan Palestina akan menjadi teruk ............”
“Melihat berita itu sebentar sahaja, wajah senyuman dua orang budak lelaki yang tidak berdosa, terbayang dalam kepala otak saya.”
“Selamat tengah hari.”
Semasa cuti musim panas hampir tiba ke penghujungnya dua orang budak itu telah datang ke rumah saya. Saya rasa mereka berdua sudah berulang-ulang kali cuba menghafal perkataan “Konnichiwa”. Setelah selesai menyebut “Konnichiwa”, wajah kedua-dua orang budak itu kelihatan senang hati dan nampak betul mereka rasa puas hati. Melihat air muka mereka yang sangat comel itu, tanpa disedari saya pun tersenyum.

Kedua-dua orang budak itu berumur sebelas tahun. Mereka datang ke Jepun untuk turut serta dalam program pertukaran antarabangsa. Negara asal mereka terletak jauh dari Jepun.

Seorang daripada mereka bernama Ben dan yang seorang lagi bernama Mustaffa. Ben berasal dari Israel dan Mustaffa pula berasal dari Palestina. Buat masa ini, mereka berdua yang menghadapi masalah antara kaum yang begitu rumit telah datang ke rumah saya untuk menyertai program keluarga angkat dan tidak benar sama sekali kalau kita katakan bahawa mereka berdua bebas dari perasaan bimbang. Tetapi, kalau dilihat dari bentuk tubuh badan dan perangai masing-masing, bertentangan benar antara mereka berdua. Warna kulit mereka pun berbeda. Macam-macam perkara yang dapat kami sekeluarga pelajari daripada mereka berdua.

Selama ini, di Jepun saya sentiasa melihat gambar di telivisyen mengenai Israel dan Palestina, gambar yang menunjukkan pengganas berani mati serta rumah-rumah yang runtuh akibat perbuatan pengganas yang sangat kejam, semua kisah yang menyayat hati sahaja. Tetapi mereka berdua telah menceritakan keadaan negara masing-masing dengan bersungguh-sungguh dan perkara ini amat menarik perhatian saya. Selain itu, keadaan mereka berdua berlainan benar dari apa yang saya lihat di televisyen. Kedua-dua mereka amat riang dan bersikap jujur serta mempunyai hubungan yang sangat rapat di antara satu sama lain. Saya tidak boleh bayangkan wujudnya peperangan di antara kedua-dua buah negara tersebut walaupun pada kenyataannya sememangnya sedang berlaku. Ben yang nampaknya lebih dewasa dan tenang memberi nasihat kepada Mustaffa yang suka berkelakar dan agak kebudak-budakan. Mereka berdua berkongsi makanan dan kuih yang dibeli serta bernyanyi bersama-sama. Walaupun bersikap demikian, takkanlah mereka tidak tahu mengenai peperangan yang berlaku di antara kedua-dua bangsa keturunan itu.
“Kami adalah sahabat karib”.

Kedua-duanya sentiasa berkata demikian. Seolah-olah mereka hendak menjadi kawan baik, sepanjang hayat mereka. Mari kita mendirikan sebuah negara yang aman damai. Nampaknya mereka berdua hendak berjanji antara mereka. Semasa melihat mereka berdua, nampaknya perjalanan ke arah mencapai keamanan bagi kedua-dua buah negara itu tidak jauh lagi. Tetapi semasa pulang ke negara masing-masing nanti, mereka akan dibedakan lagi “Orang Israel” dan “Orang Palestina”. Mereka juga akan bertemu dengan orang yang akan bermusuh di antara satu sama lain walaupun mereka sama-sama tinggal di bandar Baitulmuqaddis. Tetapi semasa mereka berhadapan dengan perkara tersebut, saya berharap mereka akan ingat kembali ‘perjanjian’ yang telah dibuat oleh mereka di Jepun. Saya juga berharap mereka tidak lagi bermusuh-musuhan di antara satu sama lain. Tetapi sebaliknya mereka hendaklah memberi tunjuk ajar tentang perkara-perkara yang baik kepada orang-orang di sekeliling mereka dan terus bergerak maju ke hadapan. Saya berharap semoga mereka dapat mengekalkan “persahabatan baik” itu....

Walaupun mereka hanya tinggal beberapa hari sahaja di rumah saya dan masa tersebut telah berlalu dengan begitu cepat, apa yang telah berlaku dalam beberapa hari itu sangat bererti buat saya. Musim panas inilah pertama kalinya saya memikirkan tentang keamanan dengan begitu mendalam. Selama ini saya tidak kisah memikirkan perkara itu. Kalaulah saya tidak bertemu dengan mereka berdua, Israel mahupun Palestina merupakan suatu tempat yang terlalu jauh, begitu jauh buat saya. Saya pun tidak terfikir untuk berusaha “mengetahui” negara mereka berdua kerana maklumat yang saya dapat menerusi televisyen sangat kurang. Mungkin terlintas di fikiran saya perkataan “bahaya”. Negara mereka berada dalam keadaan bahaya dan saya tidak fikir dengan mendalam tentang perkataan “bahaya.”
“Mengenali pasangan kita.” Saya fikir perkara yang penting dalam menjalankan kerjasama antarabangsa bermula dari detik pergaulan dengan kawan biasa.

Pada masa ini saya masih ingat lagi senyuman kedua-dua budak itu tergambar dengan jelas dalam kepala otak saya. Saya berhasrat hendak berusaha melaksanakan apa yang mampu saya lakukan untuk mengekalkan senyuman kedua-dua orang budak itu. Sebagai seorang insan di muka bumi ini saya hendak menolong mereka yang memerlukan bantuan kerjasama. Untuk mencapai cita-cita saya ini, apa yang harus saya lakukan buat masa ini ialah belajar bersungguh-sungguh serta memikirkan apa yang dapat saya lakukan untuk seseorang itu. Saya ingin hendak menjadi seorang insan yang berguna dan diperlukan oleh orang lain.

Sebelum ini cita-cita saya untuk masa depan tidak begitu jelas lagi, tetapi kini apa yang hendak saya lakukan di masa akan datang, menjadi semakin jelas dan nyata, seperti langit yang cerah tidak berkabus.



Bertudung rapi
Gadis Jepun nan cantik
Hanya hiasan

Yoko telah dipakaikan tudung oleh keluarga angkatnya


Wednesday, April 28, 2004

PETUA MENULIS BLOG

DIKUTIP petua mengenai penulisan weblog yang baik untuk dikongsi. Ia tidak semestinya yang diamalkan oleh penulis ;-)

1.Tulis bersebab
Kita mesti tahu mengapa kita menulis, apapun cerita/tema yang ditulis, mesti ada sebabnya. Selain dari ikhlas, jangan sekali-kali memfitnah dan menulis sesuatu yang kita tahu ia adalah tidak benar.

2.Kekerapan menulis
Menulis dalam weblog tidak perlu panjang-panjang, tetapi perlu konsisten. Jika mampu menulis setiap hari, teruskanlah. Jika selang sehari atau dua tiga hari sekali atau mungkin seminggu sekali, silakanlah asalkan konsisten dan tidak membiarkan pembaca tertunggu-tunggu buah yang tidak gugur.

3.Tulis Dengan Kemas
Elakkan dari tulisan dan ejaan yang merapu, yang hanya difahami oleh golongan tertentu sahaja. Jangan keterlaluan dalam rekabentuk. Rekabentuk berserabut, terlalu banyak grafik akan membebankan pembaca.

4.Cari Kawan
Baca tulisan orang lain, puji jika bagus dan ikhlas. Jangan harapkan sangat orang lain membaca tulisan kita jika kita tidak ingin membaca tulisan orang lain. Bertukar pendapat dengan penulis2 tersebut lebih berfaedah dari meminta penulis popular menyebut nama anda dalam tulisan mereka.

5.Cari Lawan Yang Baik
Pembaca sukakan kontraversi dan belajar dari perdebatan. Tidak bersetuju adalah memberangsangkan dengan hujah. Membaca hujah demi hujah mendewasakan minda kita. Jangan mencabar sebarangan dalam tulisan anda, ia mencari musuh. Lebih baik kenali siapa lawan anda dan bukannya musuh.

6.Rungkaikan Cerita
Tulislah untuk bercerita. Ceritalah apa yang boleh diceritakan, bukan rahsia yang tersimpul yang tidak perlu diketahui umum. Berterus terang dan bukan berteka-teki

7.Berceritalah
Jika anda pasti fakta dan telah membuat kerjarumah, anda mempunyai hak terhadap pendapat anda. Ceritakanlah. Jika ada tidak pasti betul atau salah, tanyalah diri anda mengapa anda menulis. Jika anda mahu jawapan dari pembaca, tanyalah. Begitulah seterusnya.

8.Relaks
Jangan risaukan sangat pasal ketepatan. Kesilapan ejaan sekali-sekala di sana-sini mungkin ada yang akan menegur, terimalah teguran. Jangan jadikan menulis weblog sebagai bebanan. Jangan curi masa kerja semata-mata untuk menulis (dan membaca juga). Jangan risau sangat tentang pembaca anda yang tidak ramai. Santai dengan jumlah pembaca yang anda ada dan jangan fikirkan sangat mengapa orang lain tidak baca tulisan anda. Suatu hari mereka akan datang ….

9. sambung ....

10. sambung lagi ....



penat sudah menanam padi
nenas juga dimakan orang
penat sudah menulis di sini
blog dia juga dibaca orang

Tuesday, April 27, 2004

KERAJAAN BAGUS II - GAJI

PADA kebiasaannya kakitangan kerajaan akan menerima gaji bulanan kira-kira seminggu sebelum berakhirnya bulan semasa. Jika ada peristiwa seperti perayaan keagamaan dan sebagainya, gaji akan dibayar lebih awal lagi. Misalnya pada bulan ini, gaji telah dibayar seawal 22 haribulan lagi. Saya percaya pada hari inipun sahabat dari sektor swasta masih lagi belum menerima gaji mereka sedangkan sahabat dari kakitangan kerajaan telah habispun gaji mereka. Sahabat saya dari sektor swasta memberitahu, jikalah dalam sebulan itu ada 35 hari, maka gaji dia hanya akan dibayar paling cepat pada 35 haribulan. Saya bertanya pula pada seorang MD pemilik sebuah syarikat. Katanya gaji stafnya biasanya akan dibayar pada minggu pertama bulan berikutnya, iaitu sebelum 7 haribulan pada bulan berikutnya. Sebabnya dah kerja, baru boleh bayar gaji.

Walau bagaimanapun dulu-dulu kita dengar bahawa staf kerajaan yang baru masuk bekerja, tidak akan dapat bayaran gaji untuk tiga bulan pertama. Gaji mereka akan dibayar lambat, iaitu setelah masuk bulan keempat barulah dapat cek secara sekali gus untuk tiga bulan tersebut. Begitu juga jika staf tersebut berpindah dari satu jabatan je jabatan yang lain yang melibatkan perpindahan pusat gaji atau PTJ. Khabarnya sekarang tidak lagi.

Walau apapun ini bukanlah silap sistem, tetapi silap manusia jua. Contohnya mba tak dapat gaji bulan ini dan katanya tak akan dapat juga gaji bulan depan .... {sedih...}. Pejabat baru kata tunggu LPC (last pay certificate) dari pejabat lama. Pejabat lama kata dah hantar. Pejabat baru kata lum terima. Apabila penyiasatan persendirian dilakukan, ternyata LPC tersebut tersadai tanpa diambil sebarang tindakan. Maka sahlah gaji tidak dapat diterima sebab tindakan tidak dibuat. [geram]


anak badak makan ciku
anak orang minum laici
budak-budak tunggu cikgu
aku sorang tunggu gaji






Monday, April 26, 2004

PERKHIDMATAN KERAJAAN BAGUS

RAMAI orang berpendapat perkhidmatan yang diberikan oleh pejabat kerajaan adalah teruk. Perbandingannya ialah dengan perkhidmatan yang diberikan oleh pihak swasta. Begitu juga umum menganggap menyewa komputer adalah lebih mahal berbanding dengan membeli. Sayugia diingat bahawasanya mahal menyewa tidak sesekali boleh dibandingkan dengan murahnya membeli. Ini adalah perbandingan yang tidak betul. Sepatutnya kadar sewa hendaklah dibandingkan dengan kadar sewa juga (yang diberikan oleh satu pihak berbanding dengan satu pihak lagi).

Justeru itu membandingkan perkhidmatan yang diberikan (misalnya) oleh JPJ berbanding dengan bank adalah tidak betul. Banyak hujahnya:-


Kita berbaris di bank untuk keluarkan duit sendiri
Kita kena caj di bank untuk keluarkan duit sendiri di cawangan lain
Kita kena caj oleh bank bila diberikan buku cek untuk keluarkan duit sendiri
Kita kena caj oleh bank bila gunakan kad ATM untuk keluarkan duit sendiri
Kita diberikan sedikit duit ***** oleh bank yang berniaga guna duit yg kita simpan



duduk di situ
tunggu pameran nombor
penat menanti



Ha ah … jika nak bandingkan perkhidmatan yang diberikan oleh hospital kerajaan dengan hospital (bukan klinik) swasta, ada juga asasnya. Namun perlu diambil ingatan pula yang hospital kerajaan dihadiri oleh 1,000 orang sehari berbanding dengan berapa orang yang ke hospital saudagar ini sehari.

Saturday, April 24, 2004

ANAK COMEL


Ini anak WkDin di wad HS (dari lensa Treo600 mba):-
Semoga cepat sembuh...

Haiku untuk mu:-

Bayi yang comel
Tangisan tanpa henti
Papa terharu

Friday, April 23, 2004

ISLAM HADHARI

KERAJAAN kita (Malaysia) pada hari ini adalah dikatakan sebagai kerajaan Islam Hadhari. Apakah maknanya Islam Hadhari itu? Adakah ia satu lagi cabang mazhab?. Siapakah tok gurunya?. Mengapa kita memerlukannya?. Adakah Islam yang sudah diamalkan sejak turun temurun itu tidak lengkap atau salah?.

"Hadhari" diterjemahkan sebagai kemajuan peradaban
"Islam Hadhari" ditakrifkan sebagai Islam yang mempunyai sifat-sifat kemajuan peradaban;
(dalam radio hari ini Islam Hadhari ditakrifkan sebagai Hidup Selesa Dengan Teknologi Semasa)
Lawan kepada Islam HAdhari ialah "Islam Raj'i" iaitu Islam yang mempunyai sifat-sifat kemunduran. Siapa pula yang berpegang kepada Islam Raj'i ini?.

Ini ialah petikan "Islam Hadhari Terengganu Bestari":-
Islam Hadhari menganjurkan supaya masyarakat berpegang teguh kepada prinsip keadilan sosial iaitu memberi perhatian kepada golongan miskin, menyediakan peluang pendidikan dan peluang untuk berdaya saing kepada semua yang kaya dan miskin, yang di bandar mahupun yang jauh di pedalaman, yang dari parti sendiri, yang bukan dari parti sendiri, mahupun yang tidak berparti; memberi bantuan mengikut keutamaan, bukan mendahulukan anak sendiri seperti zakat yang diberi kepada anak pemimpin; memperbetulkan setiap yang menyeleweng tanpa mengira darjat dan pangkat - jangan orang lain diambil tindakan tetapi bila terkena kelompok sendiri yang menyeleweng, ia dibiarkan; menjadi pelindung kepada yang lemah dan penolong kepada yang teraniaya; menjadi pemerintah dan penguasa yang amanah, tidak rakus, tidak menindas, tidak zalim, tidak mengutamakan kaum kerabat sendiri seperti isteri, adik-beradik, anak; menunjukkan kasih sayang kepada yang di bumi nescaya yang di langit akan mencurahkan rahmat dan kasih sayang kepada kita, tiada caci maki, gelaran-gelaran buruk, menghina, dendam kesumat, dan buruk sangka sehingga masyarakat berpecah belah. Islam Hadhari mempertahankan prinsip agama, prinsip akidah dan akhlak.

Thursday, April 22, 2004

HANDPHONE


BAGAIMANA anda membawa handphone anda ke mana-mana?. Ada yang menggantungnya di dada, ada yang menggunakan pouch dan dilekatkan di pinggang, ada yang memasukkannya dalam poket atau handbag.

Dulu ada berita bahawa bateri handphone meletup dan kini ada artikel yang menvceritakan tentang bahaya menggantung handphone di dada. Sebabnya ia adalah terlalu hampir dengan organ penting manusia dan boleh mengganggu operasinya, khususnya bagi yang memakai pacemaker.

Jika diletakkan dalam kocek seluarpun agak bahaya juga sebab terlalu dekat dengan “anunya”. Lantas kaedah terbaik ialah dengan menggunakan pouch dan disematkan dipinggang, kata suatu sumber. Menggunakan handsfree ialah kaedah terbaik untuk menggunakan handphone

Anda bagaimana?




Wednesday, April 21, 2004

SHINCHAN







Budak geliga
cerdik pintar dan nakal
untung berjuta

Sehelai baju
Dari kokusai dori
Anak bongsuku


shinchan: Famous as a Japanese anime TV show, Crayon Shin-Chan follows the daily life of a five-year-old boy whose bodily functions, offensive comments, and outrageous behavior consistently annoy his parents and land him in hot water.

* kokusai dori (leboh antarabangsa) - kawasan membeli belah di Naha, Okinawa, Jepun

Tuesday, April 20, 2004

PKN: Apa Nak Dah Jadi?

APA nak jadi dah jadi dengan negaraku ini?

PM mahu siasatan segera:
Kes jurulatih PKN didakwa rogol pelatih di Kem Merang, Setiu
ALOR STAR: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengarahkan polis menjalankan siasatan segera dan rapi kes seorang jurulatih Program Khidmat Negara (PKN) yang ditahan kerana didakwa merogol pelatih berusia 17 tahun di Kem Merang, Terengganu
-berita.harian

PM arah siasatan terperinci -- Ekoran kejadian jurulatih didakwa rogol peserta PLKN di Kem Merang
ALOR STAR 18 April - Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, perbuatan seorang jurulatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) di Kem Merang, Setiu, merogol peserta program itu adalah sesuatu yang keji dan tidak boleh dimaafkan.
Utusan Malaysia

Edisi Nasional: Jurulatih disyaki rogol pelatih PKN KUALA TERENGGANU: Seorang jurulatih Program Khidmat Negara (P KN) yang juga anggota tentera berpangkat Koperal ditahan, Rabu lalu, selepas disyaki merogol seorang pelatih wanita di sebuah kem latihan program itu, di Merang, Setiu, dekat sini. Lagi...
Harian metro

Monday, April 19, 2004

BERNIAGA BULUH KASAP

"SEMBILAN dari sepuluh punca rezeki adalah dalam bidang perniagaan". "Berniaga adalah fardhu kifayah". Adalah di antara beberapa hadis yang dipegang oleh orang kita untuk berniaga. Justeru itu mungkin ramai ahli perniagaan yang kaya raya. Namun mungkin tidak ramai ahli perniagaan yang merenung kepada beberapa Ayat lain seperti "Allah menghalalkan jual beli dan mengharamkan riba'" atau seruan-seruan supaya berlaku adil dalam timbangan dan sukatan.

Ada orang kita yang berlajar berniaga dengan memulakannya dengan "penipuan dalam perniagaan adalah taktik" atau "bukan perniagaan namanya jika tanpa tipu muslihat". Hatta tidak hairanlah ramai juga di antara kita yang takut untuk menceburi bidang fardhu kifayah ini.

Entah ya entahkan tidak, keuntungan paling banyak boleh dikaut ialah bila berniaga dengan kerajaan. Sudah menjadi macam lumrah, kontraktor mengaut keuntungan dengan cara tidak melunaskan hak sub-kontraktor dan akhirnya mengistiharkan company bangkrup sebagai jalan keluar.

- Berniaga buluh kasap, untung tiada modal lesap.

Saturday, April 17, 2004

ULASAN HAIKU SERI ADRIANI

SERI minta komen haiku yang ditulisnya, tapi setelah diintai-intai ruang, tidak bertemu dengan comments ataupun buku tamu, lantas kita ulas di sini sajalah Seri ya?.

laut nan biru
burung berkicau riang
dara tersipu

pelita ayan
berkocak air kali
sujud padaMu

langit kelabu
katak menyanyi-nyanyi
ibu pun runsing


Haiku yang baik bukan sekadar memenuhi keperluan asas 5-7-5 sahaja, namun perlu mempunyai beberapa ciri khas lagi.

laut nan biru/burung berkicau riang/dara tersipu: Pembayang yang lengkap mengenai alam dan cuaca. Pembaca boleh meneka sendiri di musim apakah yang ingin diceritakan. Misalnya jika laut nan biru di musim tengkujuh atau di musim hujan, sudah tentu burung tidak akan berkicau... Pembayang pertama dan kedua juga tidak berkait secara langsung, tetapi juga tidak berasingan yang merupakan satu lagi unsur haiku yang baik. Maksud haiku ini ialah untuk menceritakan akan seorang dara (Seri di suatu masa dulu) yang duduk tersipu. Tersipu membawa maksud malu. Mengapa dia tersipu?. Adakah burung-burung itu yang mengusiknya? Atau adakah sebenarnya ia adalah 'burung' berkepala hitam? Ataukah Seri sedang berdebar menanti perahu tiba di pantai?.

pelita ayan/ berkocak air kali/ sujud padaMu: Haiku ini sudah tentu menceritakan suasana di waktu malam, mungkin di waktu isya'. Berbekalkan cahaya dari pelita ayan, mengambil wudhu' di kali untuk sujud padaNya. Lagi sebuah haiku yang baik.

langit kelabu/ katak menyanyi-nyanyi/ ibu pun runsing: Apakah kaitan di antara langit kelabu dengan katak menyanyi?. Hari nak hujan! ... dan ibu mulai rungsing, sebab mungkin kain masih di jemuran, suami masih di laut, anak masih belum pulang dan sebagainya. Sebuah haiku simple yang bagus.

Berdasarkan tiga rangkap haiku ini, Seriadriani sudah boleh dianggap sebagai haijin. Semoga rajin-rajin menulis supaya kita dapat mengumpul 100 haijin Melayu. Syabas Seri!.

* haijin = penulis haiku

Friday, April 16, 2004

YANG CEKAP JANGAN JADI BOS

4.30pm: Esok jam 10am I kena jumpa minister. Boleh tak U tolong sediakan satu kertas kerja mengenai &/@$?@" ?. Fuh penyakit lama berulang lagi di sini. Bagi sesetengah orang, dengan senang dan tenang sahaja ditempis kerja/arahan begitu. Terlalu banyak alasan boleh diberi seperti tak cukup masa, tiada PC, tiada input, fail tak jumpa dan sebagainya. Yang peliknya mereka inilah yang mendapat pelbagai kemudahan pejabat seperti notebook, handphone dan segalanya.

Namun bagi yang tidak pandai memberi alasan, pandailah dia menyedia & menyiapkan tugasan tersebut

mba: kecewa bila mendapat tahu yang mesyuarat itu sebenarnya ialah lusa.

-----
sementara menunggu kertaskerja dijilid

Thursday, April 15, 2004

HARI INI SAJA

Sari berita (dari surat khabar lama)

Hari ini lanun mencolek rakyat di kepulaun kita
esok kumpulan lanun telah kita tumpaskan

hari ini kemalangan meragut puluhan nyawa
esok kempen keselamatan jalan raya seluruh negara

hari ini gadis dirogol dan dibunuh dalam bas
esok kompeni bas dikawal ketat

hari ini wanita dirogol dan dibakar
esok kompeni perking diarah pasang kamera

hari ini budak kecil dirogol dan dibunuh
esok kompeni jaga diselidiki

hari ini budak sekolah hilang buah pinggang di asrama
esok disiplin di asrama diperketat

hari ini budak sekolah mati dibuli
esok didiplin sekolah diperketat dan pelajar dipecat

semalam lanun mengganas lagi
hari ini cuma untuk hari ini.


Wednesday, April 14, 2004

BRANDING

DIALOG dua orang sahabat zaman dulu kala:-

A: Eh rambut mu keras menegaklah, mu pakai brycream cap apa hah?
B: Oh aku tibai brycream cap Tanco, abang aku punya. Mu pulak pakai breacream apa? busuk saja rambutmu ni?

A: Ala... aku mana ada pitis nak beli brycream mahal, abangpun tak ada. Aku pakai brycream cap Jamilah, kakak aku punya.
B: Pah tu mu pakai ubat gigi colgate cap pende pulok ni, putih bersior gigi mu?
A: ha..ha..ha.. aku pakai ubat gigi colgate cap Darkie. Muroh je.... barangkali dia dibuat dengan arang kot, itang legang.

B: Oh... gitu. Eh mu ingat dok gambor hok kita tangkap masa kat bandor dulu, dia pakai filem Kodak apa tu?
A: Manalah aku tahu... aku ni bukang jurugambor, tapi aku rasa itu musti filem kodak cap Konica tuh.... comel warna dia.

B: Ohh... pandainya mu ni, ke mu belebong kat aku?. Aku lapar dah ni, jomlah makan mee maggi. Mu nak mee maggi cap pende pulak?. Aku nak mee maggi Cintan.
A: Apendee lah makan mee meggi sokmo ni, gugur rambut weh. Bagi aku mee maggi cap Mummy tu se.

B: OK..ok... tadi mu kata mak mu suruh beli sabun Fab ke sabun Breeze? Cap pende pulak ni?
A: Kalu nak basuh baju, mak aku kata sabun Fab cap kapak (sabun buku) bagus. Kalau nak mandi mesti guna sabun Lux cap Follow-me.B: Mana ada sabun Lux cap Follow-me, itu syampoo rambutlah.

A: Betul ke takdok ni? Abih tu kalu cucian nak lebih putih lagi kena pakai Klorox cap pende pulak?
B: Hok tu aku tak tahu, yang aku tahu memang Klorox takdok cap, sebut je Klorox, semua orang tahu....

A: Ooo... ni kira macam Xerox lah eh? Kalu nak xerox kertas biasa, berapa sen sehelai harga dia kay kampung ni?
B: Tu kena tengok brandlah, kalau pakai mesin xeroc memang mahal, 10 sen se, kalau pakai mesin xerox buatan Jepun macam Toshiba ke Panasonic ke, murah je...

TAMAT.

Dialog tambahan:
A: Abang long mu masuk universiti dia dapat BA bahagian apa?
B: Mana pulak, dia ambil sains, dia dapat BA dalam bahagian sainslah, dia dapat BSc.

A: Oooooo....... bila dia dapat master nanti dia dapat MBA lah ye? ;-)
B: Ya lah gamaknya. Dia ada tulis blog sekarang. Blogger dia apa alamatnya?

A: Memang di a ada tulis blog, tapi aku rasa dia tak pakai Blogger, dia pakai Blogdrive rasanya.
B: Ya lah tu .... maksudnya blogger berjenama blogdrive ;-)