Labels

Wednesday, March 10, 2004

DILEMA PERPINDAHAN TEKNOLOGI

PERPINDAHAN Teknologi atau lebih dikenali sebagai ToT (Transfer of Technology) adalah merupakan salah satu syarat apabila kerajaan memberikan tender/ projek berteknologi kepada kontraktor. Berdasarkan kepada pengalaman saya menyertai, mengendali dan mengetuai ToT ini, boleh dikata harapan hanyalah tinggal harapan. Maknanya masih terlalu jauh untuk mencapai matlamatnya.

Pada 1990an saya menjadi urus setia kepada satu projek pengkomputeran bernilai RM150 juta. Projek sebesar itu pada 1990an adalah dikira sebagai projek mega. ToT yang dipraktikkan ialah dengan mengambil lebih kurang 10 orang pegawai kerajaan untuk berkhidmat dengan pasukan projek di bawah penyeliaan kontraktor. Pegawai ini diberikan sedikit elaun di samping gaji yang dibayar oleh kerajaan. Kerajaan berharap kakitangannya akan dapat mempelajari dan menguasai teknologi yang digunapakai oleh kontraktor. Pihak kontraktor pula ingin menyiapkan projek mengikut jadual dan ingin "mempergunakan" kakitangan kerajaan ini untuk mengetahui mengenai selok-belok perkhidmatan kerajaan seperti prosedur, tatacara, peraturan, protokol dan sebagainya. Maka timbullah suatu persimpangan yang tiada penghujungnya di sini.

Kontraktor bukan tidak mahu memberikan "teknologi" yang digunapakai kepada kerajaan. Namun alasannya ialah kakitangan kerajaan ini tidak mempunyai asas yang cukup. Nanti projek boleh jadi perlahan disebabkan adanya penumpang dalam pasukan projek. Dengan menggunakan alasan kepentingan projek dan melaporkannya kepada pihak paling atas, maka akhirnya begitulah berakhirnya ToT tersebut. Walhasil blaik asal.

Pada tahun 2000 saya terlibat secara langsung dalam ToT sebagai peserta atau lebih dikenali sebagai receipient (R). Seramai 14 orang kakitangan menyertai ToT ini. Oleh kerana kedudukan saya dalam kerajaan sudah dikira agak tinggi, maka bukan teknologi per-say yang ingin dipelajari, namun bagaimana pihak system integrator (SI) menjalankan kerja. (sebenarnya SI dan kontraktor sama sahaja dalam kontak ini, namun masa berlalu, maka terma juga mesti lebih canggih). Setiap receipient (R) diberikan provider (P) dan dikawal selia oleh pengurus ToT. Ada beberapa method yang dilakukan seperti mengkaji jurang pengetahuan antara P & R, pra keperluan R, kemahiran P, kursus, kerja, perbincangan dan sebagainya. Kami kerja bersama, bermesyuarat, belajar, bertengkar, mencabar, menangis dan jarang-jarang ketawa selama 18 bulan.

Hasilnya ada P yang dapat pengetahuan dan ada yang tidak. Kebanyakannya bergantung kepada sikap & minat serta kesungguhan sendiri. Tidak semua P adalah pandai dan ingin berkongsi kepandaian. Malahan ramai P yang takut kepada R kerana ternyata atas kertas dan sebenarnya R jauh lebih pandai dan berwibawa. Pi mai pi mai dok tang tu jugak, di mana "kepentingan" deadline adalah diutamakan dan ToT dikebelakangkan. Akhirnya .... projek tak siap dan ToT terbengkalai.

MBA: kini menjadi pengurus ToT yang kehilangan P & T :-)

Tuesday, March 09, 2004

SEBELUM TERLAMBAT

ADA lima perkara sebelum datangnya lima perkara merupakan moto hiasan kebanyakan daripada kita. Biasanya tulisan ini dijadikan hiasan dinding. Iaitu (tidak mengikut susunan)
1. Kaya sebelum miskin
2. sihat sebelum sakit
3. muda sebelum tua
4. lapang sebelum sibuk
5. hidup sebelum mati.

Teringat kepada lima perkara tersebut kerana terdapat beberapa perkara di antaranya telahpun berlalu. Harapannya ialah untuk mengejar yang masih belum berlalu, yang masih belum terlambat. Berbalik kepada saham (tak) amanah dalam entri yang terdahulu, mba tidaklah kesal sangat membelinya, sebab bukanlah banyak sangat. Namun ada orang kita yang melabur puluh-puluh ribu, ada yang ratus-ratus ribu dalam saham seumpama itu, apa akan jadi?. Mudah-mudahan mereka akan tetap cool. mba adalah segelintir daripada orang Melayu yang tidak memiliki ASN atau ASB. Ini ialah kerana mba dengar, yakin dan percaya bahawa saham-saham tersebut tidak diurus mengikut syariah dan melabur dalam industri yang bertentangan dengan syariah. Jadi, walaupun untungnya adalah berlipat kali ganda, mba rasa tak mengapalah. Kalau betul ianya tidak halal maka mba untung di akhirat. Jika ianya memang halal, mba hanya rugi di dunia. Begitulah sifir kira-kiranya. Walau bagaimanapun, mengikut survey yang dibuat oleh PNB di kalangan orang Melayu yang tidak melabur ini didapati faktor halal-haram bukanlah menjadi penyebab utama. Sebab utama mengikut survey tersebut ialah tidak cakna atau maknga sahaja.

Begitu juga dengan insuran. mba tak ambil apa-apa insuran (nyawa) kerana yakin dengan fatwa dulu-dulu yang mengatakan insuran nyawa itu adalah haram. Sememangnya dulu-dulu tiada insuran Islam macam Takaful dan sebagainya. Lagipun insuran sekarang sudah banyak pakejnya. Apabila anak dah nak masuk institusi pengajian tinggi ni, barulah berasa lega sedikit sebab sempat juga beli insuran pendidikan Takaful beberapa tahun yang dulu. Jika tidak, alamak parah jugak tu. Kalau orang kampung dulu-dulu, anak dapat belajar kat kolej atau U, mereka adalah juga lembu/kerbau untuk dijual. Jika tidakpun tanah bendang untuk digadai. Bagi yang tinggal di bandar?. Apa yang ada jika tidak beringat dari awal?.

Mengenai insuran kesihatan pulak (yang halal), eloklah diambil semenjak muda lagi. Kalau boleh pada bulan pertama kerja lagi. Selain dari perlindungan kesihatan, ia juga adalah merupakan satu tabungan untuk masa depan. Macam mba ni, insuran dah tak mahu insured. [ingat masa sihat sebelum sakit].

Saturday, March 06, 2004

SAHAM TAK AMANAH

SEMALAM terima laporan pengurus Amanah Saham Bank Islam. Ada beribu-ribu lemon rasanya setiap kali menerima laporan pengurus saham tak amanah begini. Cuba lihat fakta ini:-

TAHUN RM
1994 1000
1995 0.00
1996 86.12
1997 93.14
1999 29.98
2000 51.29
2001 0.00
2003 22.87

Apakah maknanya ini semua? Ringkasnya pelaburan RM1000 pada tahun 1994 hanya berbaki RM22.87 sepuluh tahun kemudian. Pelaburan jenis apakah yang macam itu?. Adakah ini yang dinamakan sebagai Amanah Saham Akhirat?. Ke manakah agaknya duit-duit itu melayang?. Apakah yang dinamakan sebagai AMANAH?

Pelaburan adalah sebahagian dari perniagaan dan semua perniagaan mempunyai risiko. Pelaburan atau saham mesti mempunyai risiko, iiatu samada untung atau rugi. Jika mahu pelaburan yang mempunyai keuntungan yang tinggi, risikonya juga adalah tinggi. Sebab itu muncullah saham amanah. Adakah saham amanah tidak mempunyai risiko?. Oh tidak, semua pelaburan mempunyai risiko, namun saham amanah adalah satu jenis pelaburan yang berisiko rendah dan pulangannya juga tidaklah setinggi mana...

Namun jika suatu pelaburan itu TIDAK pernah untung, bukan sahaja untung, malahan dengan modal pokok sekali hangus, dah hancus lebuk, dengan ranting-rantingnya, dengan daun-daunnya sekali dah tak nampak, apakah itu yang dinamakan saham amanah?. Saham amanah Bank ISLAM lagi?. Wa ingat aaa, kalau itu RM1000 kasi sama apek tanam sayur yang tak basuh berakpun, wa ingat itu pokok sudah lama besar, hari-hari boleh makan bunga jugak.... Ha..ha... makan "bunga" itu haram!!! .... macamanaa mau makan bunga kalau pokok sudah mati?. Pokok sudah hangus?. Mana ada bunga!.... puih cakap talak salupa bikin jugak.

Sudahlah batang pokok dah jadi tunggul mati, tiap-tiap tahun hantar laporan pengurus bukan main cantik lagi. Kurang-kurang mau makan RM10.00 satu salinan full-color punya laporan. Aisey man.... sapa punya printer company bikin itu busines?. Lain kali meniaga banyak lugi... kasi lepot pakai fotostat sudahlah, ini pokok RM22.87 mau cetak guna RM10.00 punya materialkah?. Ayo...yo... tatak ingat hali kamulian ka?

Sekarang wa manyak elergik dengan ini bank, mau buat housing loan kena bayar double berbanding dengan bank kafir. Tapi kalau itu ikut Syariah ka, ikut Mudarabah ka, wa ingat akhirat jugak mau senang. Tapi kalau itu mudah-rabak punya kes, manyak susah woo..... Lain bank ada jugak buat mudarabah, tapi tatak cekik sampai ini macam, apa pasai?. Wa salah ka lu yang tak betui?.

Hai ya, apek sudah naik konfius la sikalang: tak tau mana mau pangkah. anak wa cakap, dia punya cikgu bilang, pangkah itu salah, right itu betul. jadi pangkahlah calon yang salah, yang kita tak suka sama dia ....


Friday, March 05, 2004

ELAUN KERAIAN

BAGI pegawai-pegawai kerajaan gred 48 (dulu gred 2) ke atas, mereka diperuntukkan dengan elaun keraian yang merupakan sebahagian daripada pendapatan mereka. Elaun minima RM500 sebulan dikecualikan daripada cukai pendapatan.

Imbuhan Tetap Keraian yang diberikan kepada pegawai dalam Kumpulan Pengurusan Tertinggi dan pegawai tertentu dalam Kumpulan Pegurusan dan Profesional merupakan elaun yang dibayar atas kadar tetap secara bulanan. Tujuan pemberian Imbuhan Tetap Keraian adalah sebab jawatan dan tanggungjawab pegawai memerlukan mereka meraikan tetamu bagi mewujudkan suasana ramah mesra. -- FAQ SSM oleh JPA

Namun pada kebiasaannya, Imbuhan Tetap Keraian ini hanya digunakan untuk meraikan diri sendiri ataupun keluarga sendiri sahaja ataupun untuk membayar hutang-hutang peribadi sahaja. Andaikata ada tetamu yang datang ke pejabat dan mereka dijamu, itu adalah dari perbelanjaan pejabat. Malahan ada pejabat yang membayar makan minum tetamu yang diraikan di hotel/restoran menggunakan Local Purchase Order (LPO).

Ia agak berbeza dengan pegawai swasta di mana setiap kali berbelanja tetamu, kawan-kawan atau pelanggan, mereka akan meminta resit untuk membuat tuntutan dari company. Maknanya jika tiada perbelanjaan, tiadalah tuntutan. Namun company juga perlulah tengok Return of Investment (ROI), jika asyik dok belanja saja dan tak buat apa-apa sales, maknanya tak lamalah tu ...

Dari kedua-dua kaedah kemudahan elaun keraian tersebut, nampaknya pegawai kerajaan adalah lebih kedekut untuk berbelanja tetamu ....


Thursday, March 04, 2004

Projek SATU RUMAH SATU PC

[SATU LAGI PROJEK KERAJAAN BARISAN NASIONAL]

Projek Satu Rumah Satu PC telah lama dilaksanakan oleh Kerajaan. Namun rasanya ia masih jauh lagi dari sasarannya. Pelbagai insiatif dan insentif diberi mengenai projek ini. Misalnya pengurangan cukai pendapatan bagi setiap 5 tahun sekali. Kakitangan kerajaan pula dapat pinjaman beli komputer sekali dalam setiap lima tahun.

Kerajaan juga dibantu oleh pihak swasta dan NGO untuk mewujudkan komputer berciri sistem terbuka (open system). Pelbagai jenama Komputer Nasional boleh kita dapati di pasaran. Di antaranya ialah MIMOS PC, Suria PC, Matahari dan sebagainya. Hinggakan pembuat kereta seperti DRB-HICOM juga mengeluarkan Komputer Nasional yang berasaskan perisian Linux. Namun rasanya kempen-kempen begitu, jenama-jenama begitu masih belum lagi menyemarakkan pemilikan PC di semua rumah. Maka ada pemaju perumahan pula yang memberi PC percuma bagi setiap rumah yang dibeli (biasanya beri TV percuma). Di pejabat pula, beberapa PC antarabangsa telah mendapat pengiktirafan sebagai PC Buatan Malaysia, misalnya IBM PC yang dibuat di Pulau Pinang. Lucu??

Berita terkini, pada hari ini ialah satu lagi inisiatif yang dilakukan oleh Microsoft dan PIKOM. Sebuah PC dengan perisian Windows XP Home Bahasa Malaysia dan Works Suit 2004 International English serta International English MS Works 7.0 akan dijual dengan harga RM1147 sebuah.

Nampak gayanya .... barang murah hanya boleh dijual oleh company besar yang kaya sahaja. Lihat sahajalah berepa kos MS XP Home (Bahasa Malaysia lagi...) berbanding dengan Linux yang percuma, namun masih tidak boleh dijual dengan harga murah. Mesti ada harga tersembunyi di mana-mana ni ....



Tuesday, March 02, 2004

HOMESTAY

PADA 26 - 30 Mac ini kami akan menghantar 30 pelajar Malaysia ke Jepun untuk program homestay. Pihak Jepun pula akan hantar 10 pelajar mereka bagi homestay di Malaysia.

Sekiranya ada di antara tuan/puan berminat untuk mengambil anak angkat Jepun bagi program homestay ini dari [(27 Mac tengahari (Sabtu) - 28 Mac petang (Ahad) ] untuk satu malam sahaja, bolehlah hubungi saya. Sila nyatakan nama, bilangan ahli keluarga, alamat, telefon dan bilangan anak angkat yang diperlukan (2 orang bagi setiap keluarga adalah dialu-alukan).

Berikut adalah senarai nama mereka:

1. Ms. Amina SUGIMOTO (15)
2. Ms. Maki KANEKO (13)
3. Ms. Mayuka YAMAGUCHI (15)
4. Ms. Keijin RO (15)
5. Mr. Norio MATSUMURA (15)
6. Ms. Yoko SAITO (17)
7. Ms. Kazuka OSHIMA (18)
8. Ms. Tomoko NAKAMURA (17)
9. Ms. Eri TAKEDA (18)
10. Ms. Ai TANAKA (18)

Tarikh akhir ialah Jumaat (5 Mac 2004).
Sekian.

NEGARA ISLAM

KEBELAKANGAN ini (dekat pilihanraya agaknya), beberapa pihak mula mentakrif dan mentafsir apakah itu negara Islam. Ada yang kata Malaysia ialah negara Islam, bukan sahaja sebuah negara Islam, malahan negara Islam yang terbaik. Ada pihak lain pula kata Malaysia bukan sebuah negara Islam, cuma Malaysia hanyalah sebuah negara umat Islam. Malaysia masih jauh lagi untuk mencapai status negara Islam.

Apakah ciri-ciri sebuah negara Islam?
Adakah Malaysia termasuk dalam ciri-ciri tersebut?.
Mungkinkah Jepun lebih banyak mempunyai ciri-ciri negara Islam berbanding Malaysia?

Wallahualam.

Monday, March 01, 2004

POLIGAMI & BATANG HIDUNG SENDIRI

SARI BERITA

RUMAH MURAH UNTUK ISTERI KEDUA
JARANG-jarang sekali kita akan berpeluang membaca Awang Selamat @ Mingguan Malaysia tidak bersetuju dengan Sisters In Islam (SIS) dalam memperkatakan sesuatu mengenai Islam. Namun apabila SIS membantah cadangan untuk membenarkan suami yang berpoligami dibenarkan membeli rumah murah untuk isteri kedua mereka, maka Awang tidak bersetuju dengan SIS.

Awang setuju lelaki yang tidak mampu tidak sepatutnya beristeri dua. Namun bagi Awang, lelaki yang hanya mampu membeli rumah kos murah sahaja masih layak beristeri dua. Yang lebih penting ialah suami tersebut berlaku adil. Kata Awang, SIS tidak langsung memberi ruang kepada soal perasaan manusia. Amat jarang poligami dijadikan wawasan hidup lelaki. Kebanyakan poligami berlaku tanpa dirancang dan selalunya cuba dielakkan. Satu fakta menarik dari Awang ialah “Jika lelaki tidak berusaha mengelakkannya, bilangan poligami hari ini mungkin tiga kali ganda”. Rami pula wanita yang sanggup menjadi isteri kedua dan tidak kisah rumah jenis apa menjadi tempat tinggal mereka. Ini adalah soal perasaan dan sebahagian dari lumrah hidup.

MENTERI KESIHATAN
Membaca entri Sri Diah dan menonton TV3 mengenai perkara di atas, saya rasanya bersetuju yang menteri ini adalah cool sekali. Apatah lagi bila dibandingkan dengan sesetengah menteri lain terlalu cepat melenting dan yang sewaktu dengannya.

Namun bagi Awang Selamat, menteri ini dengan bersungguh-sungguh telah membedil akhbarnya hinggakan jika beliau lemah jantung, boleh terus pergi ….

Ini adalah perspektif berbeza dari peristiwa yang sama. Bila terkena batang hidung sendiri, sudah tentu manusia akan cuba bertindakbalas dengan cara yang berbeza dengan yang hanya menontonnya sahaja.

WARNA RAMBUT

Sekolah-sekolah di Singapura tidak membenarkan penuntut lelaki meraka yang berambut panjang dan penuntut yang mewarna rambut masuk ke kawasan sekolah untuk mengambil keputusan peperiksaan mereka kelmarin. Ia dikuatkuasakan di semua sekolah. Berita tersebut menyebut bahawa ini adalah sebahagian daripada disiplin yang mesti dipatuhi.

Di Malaysia pula nampaknya gejala mewarna rambut ini seolah-olahnya digalakkan. Lihat sahajalah model-model yang terpampabg setiap hari di kaca TV atau media cetak. Hampir semuanya mewarna rambut. Sudah tentu ia akan menjadi ikutan kepada penonton dan pembaca. Apatah lagi apabila [ihak berkuasa telah memberikan label HALAL kepada satu jenama pewarna rambut. Tanda halal ini seolah-olah memberi isyarat yang mewarna rambut itu adalah halal. Apakah bezanya tanda halal pada pewarna rambut dengan tanda halal pada makanan kucing?. Kucing juga memerlukan makan halal?.

Wallahualam.



Friday, February 27, 2004

TARIKH PILIHAN RAYA

BILAKAH pilihan raya umum akan diadakan?. Ia mungkin satu sualan dan teka teki bagi sebahagian besar dari penduduk Malaysia sekarang. Jawapan mudah kepada soalan ini ialah, tarikh pilihanraya ialah setelah Parlimen dibubarkan dan Suruhananjaya Pilihanraya (SPR) menetapkan tarikh penamaan calon dan tarikh mengundi J

Namun pelbagai spekulasi dibuat mengenai tarikh pilihanraya ini. 20 Mac adalah tarikh yang paling mungkin bagi sesetengah pihak. 20 Mac dipilih sebagai tarikh favourite kerana ia adalah Sabtu tidak bekerja dan semasa cuti sekolah. Sungguhpun Parlimen akan bersidang pada 8 Mac hingga Mei, namun ia boleh dibubarkan semasa persidangan sedang berlangsung.

Pendapat lain pula mengatakan, 20 Mac adalah tidak mungkin. Sebabnya ialah pertandingan F1 akan diadakan dari 19 hingga 21 Mac. Besar sekali pengaruh F1 ini terhadap negara rupanya. Lagipun hari mengundi tidak semestinya pada masa cuti sekolah.

Walau apapun tarikhnya …. Ramai lagi di antara kita yang tidak menghairaukannya apabila tiba waktunya, hatta masih ramai yang tidak berdaftar sebagai pemilihpun.

MBA – Berdoa agar 20 Mac bukan hari mengundi, sebab ada program penting yang telah ditempah.

Thursday, February 26, 2004

KITA HANYALAH PENYIMPAN SAMPAH

PEJABAT mba akan berpindah ke Putrajaya dalam masa terdekat ini. Jadi kini kami tengah berkemas-kemaslah, cari kotak untuk isi barang-barang yang boleh dibawa ke sana nanti. Di ofis baru ni, tak semua benda boleh dibawa. Perabot baru kalau warna tak seragam dengan yang di sana, tak boleh dibawa. Kerusi meja, kabinet dan segala-galanya kena tinggalkan saja (disedekahkan kepada pejabat lain yang memerlukannya). Pejabat di sini yang disewa pulak, kena diserahkan semula kepada tuanpunya sekosong-kosongnya, tanpa karpet, tanpa bilik, tanpa partition. Hmmm....macam ni kalu, pintu-pintu bilik bos yang perkasa tu kena booking untuk bawak baliklah rasanya. Lagipun bebenda tu semua memang tak ada dalam inventori.

Dalam berkemas-kemas ni, hampir semua staf nampaknya lebih banyak membuang dari menyimpan. Maknanya sejak bertahun bekerja di ofis ini, hanyalah setakat menyimpan sampah sahaja. Terlalu banyak sampah tersimpan dalam laci, dalam kabinet, dalam almari dalam bilik. Jadi tak hairanlah kita ni memerlukan bilik-bilik besar.... semata-mata untuk menyimpan sampah sahaja.

MBA - simpan memori.


Wednesday, February 25, 2004

GELOMBANG BIRU





GELOMBANG BIRU

gelombang biru

laut tidak gelora

bulan purnama





dalam perjalanan dari KL ke TRG berjumpa dengan satu gelombang warna biru seketika namun kemudian sidang dan dan pemandangan berubah menjadi hijau semula.

Friday, February 20, 2004

GAWAT HAIKU

RAMAI kawan-kawan kini sudah mula membilang jari. Sempena dengan hari Jumaat ini, tentu ramai yang menyangka mereka sedang berwirid. Tapi...... hmmmm rupa-rupanya sedang membilang sukukata 5-7-5. HAIKU!. Berikut diperturunkan semula SAJEN mengenai kegawatan yang melanda sebuah kampung akibat haiku:


BERITA TERKINI
OLEH: ALAIEFFA

Pagi ini ku baca berita
Penyakit ganjil mengikut cerita
Apa garangan telah melanda
Penduduk kampung esastera?

Setiba aku dikampung itu
Orangnya ramai berjalan lalu
Tampak sehat ceria dan bahagia
Rukun damai satu keluarga

Ada yang khusuk waktu berjalan
Mulut terkumat kamit dalam senyuman
Jari terkedek kedek menadah tangan
Sambil tertunduk tunduk dengan sopan

Ku tegur “Hai” pada jejaka
Dijawab “ku” dengan selamba
Dik .. boleh kakak tumpang “Tan”
Jawapanya “Ka”.. buatku heran

Apa dah jadi dikampung ini
keadaan tenang tapi ganjil sekali
”Hai” disana “ku” disini
”Tan” disana “ka” disini
Aduh parah sekali

Haiku! Tanka! Haiku!! Tanka!!
Aku jadi pening kepala
Hingga tarzan dipanggil datang
Tak berbaju berkain belang
Nak minta tarzan serapah jampi
Agar Haiku Tanka tambah gawat lagi




SAKIT HAIKU
oleh: ALAIEFFA

Aku duduk termanggu- manggu
Seperti mengingatkan sesuatu
Mungkinkah aku ini rindu?
Atau disampuk hantu?

Jari-jemari bergerak- gerak
Mulutku terkumat-kamit
Suami ingat sedang bertahmid
Atau sedang mengira duit

Satu dua tiga empat lima
Aduh, sudah lebih suku kata
Kira lagi jangan tak kira
Hingga pening kepala

Haiku oh haiku
Hingga heran suamiku
Dalam tidur jari bergerak
Dia ingat aku nak minta pulak

Thursday, February 19, 2004

MENANTI untuk berGEJU di JEPUN

BESOK (Jumaat) ialah hari akhir yang mba berikan kepada rakan-rakan di Malaysia dan Jepun samada projek GEJU di Jepun boleh diadakan atau tidak. Alkisah ada sebuah sekolah dengan 30 orang muridnya ingin membuat projek homestay di Jepun pada cuti penggal pertama persekolahan akhir Mac ini. Mereka telah melantik sebuah travel agent untuk menguruskan pemergian mereka. Travel agent ini memang tidak mempunyai sebarang masalah untuk menguruskan program pergi-balik tersebut, kecuali homestay. Untuk mendapat host family atau foster parents di Jepun bukanlah suatu perkara yang mudah. Apatah lagi dalam masa yang singkat dan bilangan pelajar yang ramai.

Agen tersebut telah meminta pandangan the Japan International Coperation Agency (JICA) untuk membantu. Pihak JICA pula telah meminta mba tolong agen dan sekolah tersebut. Walaupun mba mempunyai beberapa kenalan di kalangan orang-orang yang berkedudukan juga di negara matahari terbit tersebut, namun tidak ramai yang boleh menolong kerana banyak prosedur dan arahan yang perlu dipatuhi. Institusi-institusi yang pernah mba berurusan/ menuntut juga tidak dapat membantu dalam keadaan begini. Maka rakan-rakan blog sahajalah yang boleh membantu dalam hal ini. Semoga penantian ini akan berakhir dengan sebuah jawapan esok, samada YA atau TIDAK.

Pada bulan Julai nanti, pihak JICA akan terima 70 orang anak-anak Jepun ke Malaysia untuk projek homestay. Pihak kami (mba & rakan2) telah diberitahu semenjak awal tahun lepas lagi mengenai perancangan mereka. Jadi sepatutnya tidak ada masalahlah untuk mendapatkan keluarga angkat di Malaysia cuma untuk 2 malam. Lagipun kat Malaysia ni banyak syarikat yang boleh menguruskan projek homestay.

Jika sesiapa ada idea macamana 30 budak sekolah ini boleh homestay ke Jepun (dengan bayaran), silalah kemukakan kepada saya. Mungkin kita boleh berGEJU di sana.

Wednesday, February 18, 2004

PERKARA kecil yang BESAR ...

SEKARANG kita sudah berada di pertengahan bulan Februari. Pasal pelbagai jenis sambutan hari raya semuanya sudah berlalu. Pasal penutupan akhir tahun semua sudah beres. Semua perkara mengenai tahun lepas sudah berlalu. Kita perlu menghadapi tahun baru (yang sudah tidak begitu baru lagi ini) dengan seadanya.

Lembaga Hasil Dalam Negeri dalam negeri rasanya sudah dua minggu menghantar borang taksiran cukai pendapatan untuk diisi dan dikemukakan semula kepada mereka dalam masa 30 hari. Namun seperti tahun-tahun sebelumnya juga, rakyat jelata akan tertumpu ke LHDN cuma pada hari terakhir tarikh penyerahan borang. Banyak sebabnya, di antaranya ialan kelemahan, kelalaian dan kealpaan diri kita sendiri. Maklumlah sudahlah kita kena bauyar cukai (yang bukan sedikit), kita pula dikehendaki mengisi dan menghantar borang tersebut. Namun itu adalah sebahagian daripada rutin kehidupan kita. Walau bagaimanapun, jika kita seorang yang rajin dan cekap sekalipun dalam mengisi borang, ia tetap juga tidak boleh dihantar sekarang (bagi kakitangan kerajaan). Ini ialah kerana selelah satu bulan setengah tahun lama berlalu, penyata gaji tahunan bagi tahun lepas masih belum dapat dikemukakan lagi kepada kakitangan awam. Entah di mana silapnya, tetapi setiap tahun perkara yang sama sahaja yang berlaku dan ianya memanglah menyusahkan. Pada setiap bulan kita menerima slip gaji seminggu sebelum tarikh gaji. Apakah kita tak boleh menerima penyata gaji tahunan seminggu sebelum akhir tahun?. Eh..eh... jangankan seminggu sebelum akhir tahun, seminggu selepas akhir tahun juga sudah dikira cukup bagus. Tetapi sekarang sudah hampir dua bulan selepas akhir tahun.

Apakah cadangan tuan/puan untuk mengatasi perkara ini?. Perlu tubuhkan suruhanjaya diraja macam PDRM tu ke? ;-)

Monday, February 16, 2004

APABILA

- Apabila Perdana Menteri melancarkan kempen Tak Nak, iaitu Kempen Berhenti Merokok, maka menteri-menteri beliau yang memang kuat merokok dan merasa kurang selesa. Ada di antaranya yang telah membuat janji kepada press yang dia akan berhenti merokok. Kita tengoklah nanti setakat mana janji itu dikotakan.


- Apabila ada menteri yang telah ditangkap kerana tuduhan rasuah, maka mungkin ada juga di kalangan menteri yang terfikir 'giliran aku dah tiba ke?'. Maka dapatlah rakyat membaca telatah mereka dalam akhbar tempatan.

- Apabila seseorang menteri yang tidak disukai ditangkap, maka menteri lain akan berkata, seeloknya dia meletak jawatan supaya kabinet adalah bersih.

-Apabila seseorang (menteri atau sesiapa sahaja) yang disukai (baca kroni) ditangkap, maka kengkawan mereka yang lagi power akan berkata, seseorang tidak dianggap bersalah sebelum diputuskan kesnya oleh mahkamah.

Sunday, February 15, 2004

SEKUNTUM MAWAR MERAH

APABILA abedib membuat entri mengenai sekuntum mawar merah dari tamannya, kebetulan pulak disertakan dengan sebuah puisi dan kebetulan lagi pada masa ini adalah di bulan Februari, maka terjadilah bagaikan lagu dari kumpulan Alleycat Sekuntum mawar merah, sebuah puisi indah di bulan Februari.



Sekuntum mawar merah,
Dibulan Febuari,
Merah kuning terserlah,
Di sinar mentari pagi.
-Abedib


Haiku Mawar Merah:
Mawar yang merah
Tanda kasih dan sayang
Orang dan tanah.
-Fina


Adib: Fina:Thanx for the Haiku.
Ini Pak Adib tak boleh tambah.
Over to you MBA san.


mawar yang mekar
merah kuning dan hijau
di simpang jalan
-MBA: menceritakan tentang
lampu isyarat di tepi jalan :)


ros dari taman
merah menyala indah
senyum isterimu
-Sri Diah



Seronok melihat perkembangan haiku yang cepat bercambah di kalangan bloger sekarang. Kini beberapa orang haijin baru yang berbakat termasuklah salina, oraet, zareda, hanyasayang, wan nor azlin (Fina sudah agak lama menyumbang haiku). Selain dari di komuniti haiku (www.communityzero.com/haiku), haiku juga boleh disumbangkan di www.melayu.com.

Selamat berhaiku.


Saturday, February 14, 2004

HAIKU YANG BAIK

MENULIS haiku tidaklah sesusah mana. Namun mungkin sukar untuk menghasilkan sebuah haiku yang baik. Walau bagaimanapun haiku senang dinilai berbanding sajak, pantun, syair gurindam dan sebagainaya. Ini ialah kerana haiku mempunyai peraturan yang banyak. Di antara ciri-ciri sebuah haiku yang baik termasuklah:-


1. 17 sukukata dalam 3 baris dibahagi kepada 5-7-5
2. Tulis apa yang boleh dinyatakan dalam satu nafas.
3. Gunakan perkataan musim (kigo) atau merujuk kepada musim.
4. Gunakan untaian sajak diakhir baris pertama atau kedua, tapi bukan kedua-duanya.
5. Jangan sekali-kali menjadikan semua 3 baris untuk menyempurnakan atau menjadikannya ayat.
6. Adakan dua imej yang berbandingan apabila menerangkan imej ketiga. Contoh: Dalam berehat/ Mencuci tungku hitam/ Ku basuh tangan.
7. Adakan dua imej yang berkaitan apabila menerangkan imej ketiga. Contoh: Suram cahaya/Tika bulan gerhana /Cantik wajahmu.
8. Adakan dua imej yang bertentangan apabila menerangkan imej ketiga. Contoh: dua biji tungku/tiada ruang bersentuhan/api kian marak
9. Hadkan penggunaan kata nama atau jenama khas.
10. Gunakan gantinama dalam huruf kecil. Contoh: saya ialah?
11. Gunakan ayat yang berkaitan dalam kedua-dua rangkaikata.
12. Gunakan pecahan-pecahan ayat.
13. Jadikan baris terakhir sebagai kemuncak haiku anda.
14. Cari ayat paling menarik/menawan di baris pertama.
15. Tulis perkara biasa dalam cara biasa menggunakan bahasa biasa.
16. Gunakan hanya imej yang nyata, bukan abstrak. Ch. Lampu adalah nyata, terang cahayanya adalah abstrak.
17. Cipta ungkapan berlirik untuk imej.
18. Cuba adakan makna berganda. Sekali baca ia hanya imej mudah, yang tersirat adalah falsafah/pelajaran dalam kehidupan.
19. Gunakan imej yang membangkitkan kesederhanaan atau kepapaan yang sederhana. (sabi)
20. Gunakan imej yang membangkitkan elegen klasik yang tersendiri (shubumi)
21. Gunakan imej yang membangkitkan nostalgia romantik/tempat cantik (wabi)
22. Gunakan imej yang membangkitkan misteri bersendirian (Yugen)
23. Gunakan paradoks.
24. Tulis sesuatu yang mustahil dalam keadaan biasa.
25. Gunakan imej yang mulia (bukan perang, seks atau jenayah).
26. Ceritakan seadanya perkara sebenar di sekeliling kita.
27. Gunakan hanya imej daripada alam sekitar (bukan perasaan manusia sahaja)
28. Campurkan alam sekitar dan perasaan manusia dengan cara menghubungkan perasaan manusia tyerhadap alam sekitar.
29. Elakkan merujuk kepada diri sendiri dalam haiku. (aku dsb)
30. Diri sendiri boleh dirujuk secara tidak langsung seperti ?orang tua ini? atau ?mamat itu?.

Untuk lebih memahami ciri sesebuah haiku yang baik, saya perturunkan di sini sebuah haiku yang tersohor yang telah dialih ke BM. Iaitu Katak & Kolam. Pengertiannya ditulis dalam SAJEN (Sajak Jenaka):-






KATAK AJAIB


Ini satu hikayat zaman purba
Basho berjalan tepi huma
Bila penat berhenti dia di tepi telaga
Terasa lapar bento turut dibuka.

Tetiba dia terdengar sesuatu….
Burrr…. Burr…. Burrrr….
Kecut segala anggota
Kerana disangka habu meronta.

Eh..eh… rupanya hanya seekor katak
Melompat masuk dalam telaga
Dan airpun berkocak.
Hmmmm…. lima tujuh lima
Basho dah dapat satu idea
Lalu diapun tulislah di tepi batu perigi
Begini adanya:-

perigi tua
lompat seekor katak
air berkocak.


Jeng..jeng..jeng….
Enam ratus tahun sudah berlalu
Empat Haijin Malaya datang melancong
Di tepi telaga Basho mereka bertinggung
Riuh-tinggi gegak-gumpita mereka berbicara:-

I
Pergi tuo itu ibarat isteri kito
Katak itu kito punyo awek
Berkocak jiwo bini keno kacau kat awek kito
Dalam maksud haiku Basho ni…..

II
Eleh… den tau, haiku ini pasal musim
Katak banyak jenis katak
Ado katak pisang ado katak puru
Katak Basho ni ada ekor…
Maknonya ini musim paneh
Mano ado katak musim salji?

III
Sebenarnya begini….
Perigi tua itu maknanya profesor
Katak itu adalah ilmunya
Apabila ilmu melompat keluar dari mulut profesor:
Berkocaklah alam sebab hebatnya ilmu itu

IV
Oh tak mungkin…. Maksud Basho begini
Telaga tua maknanya kekal abadi
Katak kurus pulak sementara saja
Ini haiku pasal kekal dan sementara ….

Andai kata Basho masih hidup
Tentu dia senyum kaldai
Tidak disangkanya katak itu katak ajaib
Jadi perbincangan sepanjang masa
Telah melompat ke seluruh dunia
tidak seperti pergi itu
masih tetap ukurannya
5 kaki lebar 7 kaki dalam 5 kaki panjang

 

Nota:

Basho – pelopor haiku

Bento – nasi bekal

Habu – sejenis ular berbisa

Haijin – Penulis Haiku

Friday, February 13, 2004

14 FEBRUARI, JUMAAT, HARI VALENTINE

HARI ini, adalah penghulu segala hari, iaitu Jumaat. Namun Jumaat ini nampak ada sedikit kelainan kerana adalah esok adalah 14 Februari. Hari yang dikenali oleh muda-mudi sebagai hari valentine atau hari memperingati kekasih. Sudah berbuih mulut mak bapak, sudah jenuh ulamak memberihatu yang umat Islam dilarang menyambut hari valentine.

Zaman dulu-dulu, bila mak bapak kita melarang buat sesuatu, kita patuh sahaja. Paling-palingpun tanya "sebab apa tak boleh?". Mak akan jawab "berdosa, Tuhan marah". Dan kitapun ikut dan patuh dengan arahan dan larangan tersebut. Namun kanak-kanak, apatah lagi remaja zaman sekarang tidak begitu. Bila mak bapak larang, malah siap keluar hadis lagi merarang, anak-anak boleh jawab secara ilmiah lagi, "ah ini hadis lemah atau hadis palsu dan yang sewaktu dengannya".

Berbalik kepada hari valentine ni, ibu bapa sekarang mungkin tidak pernah merayakannya semasa mereka remaja. Lantas bila anak-anak remaja mereka galak sangat nak berhari valentine, mereka sekadar berkata "hari velentine tiada dalam Islam, tidak elok dirayakan, itu perayaan dalam Kristian ...".

Mengapa remaja Islam kalaut sangat nak rayakan hari Valentine?. Berikut beberapa poin yang dikutip dari Internet:-
Ada beberapa jawaban yang bisa kita berikan terhadap pertanyaan tersebut :

Pertama, remaja muslim kita tidak tahu latar belakang sejarah Valentine’s Day sehingga mereka tidak merasa risau/resah untuk mengikutinya. Dengan kata lain, remaja muslim banyak yang memiliki kesadaran sejarah yang rendah.

Kedua, adanya anggapan bahwa Valentine’s Day sama sekali tidak memiliki muatan agama dan hanya bersifat budaya global yang mau tidak mau harus diserap oleh siapa saja yang kini hidup di – untuk meminjam McLuhan - global village.

Ketiga, kepupusan benteng pertahanan agama remaja kita sehingga tidak mampu lagi menyaring budaya dan peradaban yang seharusnya mereka “lawan” dengan keras.

Keempat, adanya perasaan loss of identity kalangan remaja muslim sehingga mereka mencari identiti lain sebagai pemuas keinginan mendapat identiti global.

Kelima, hanya mengikuti trend yang sedang berkembang agar tidak disebut ketinggalan zaman.

Keenam, adanya pergaulan bebas yang kian tak terbendung dan terjadinya perlakuan sumbang yang semakin berleluasa.

Entahlah.... mudah2an anak-anak kita tidak terjebak sama.

-----
"Katakanlah : Jika bapak-bapakmu, anak-anakmu, saudara-saudaramu, isteri-isterimu, kerabat-kerabatmu, harta kekayaan yang kamu usahakan, perniagaan yang kami khawatirkan kerusakannya, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu senangi lebih kau cintai daripada Allah dan Rasul-Nya serta jihad di jalan-Nya, maka tunggulah hingga Allah mendatangkan keputusan-Nya. Dan Allah tidak memberikan petunjuk kepada orang-orang yang fasik." (Q. S. At-Taubah : 24)


Thursday, February 12, 2004

BILA PANTUN MENJADI HAIKU

TIDAK dapat dinafikan pantun adalah begitu unik bagi masyarakat Malaysia dan haiku adalah bagi masyarakat Jepun. Haiku kini telah ditulis dalam pelbagai bahasa dunia, termasuk bahasa Melayu. Haiku juga dikatakan genre sastera yang paling ketat hukum dan peraturannya. Sebagaimana haiku yang pendik dan ringkas, masyarakat Jepun juga begitu. Pantun pula penuh dengan kiasan dan bidalan dengan pembayang dan maksudnya. Sebagaimana masyarakat Melayu (dulu) adanya. Walau bagaimanapun, haiku juga mempunyai pambayang dan maksud yang garis pemisahnya agak samar-samar.

Apa akan terjadi apabila pantun di haikukan?. Cuba lihat hasil dari beberapa pantun yang telah menjadi haiku:-





pulau pandan jauh ke tengah
gunung daik bercabang tiga
hancur badan di kandung tanah
budi yang baik dikenang juga

pulau nan jauh
gunung nampak bercabang
budi dikenang

buah cempedak di luar pagar
ambil galah tolong jolokkan
saya budak baru belajar
jika salah tolong tunjukkan

cempedak tinggi
galah halus meruncing
tunjukkan kami




dua tiga kucing berlari
manakan sama si kucing belang
dua tiga boleh kucari
manakan sama adik seorang

kucing berlari
tikus riang bermain
manakan mungkin




apa diharap padi seberang
entah jadi entahkan tidak
apa diharap kasihnya orang
entah sudi entahkan tidak

padi di bendang
pulut tidak menjadi
siapa sudi

kalau ada sumur di ladang
boleh hamba menompang mandi
kalau ada umur yang panjang
boleh kita berjumpa lagi

sumur di ladang
hamba menompang mandi
berjumpa lagi

Sekali pandang, haiku-haiku ini nampak macam doremonkartun, tetapi itulah haiku sebenarnya. HAiku-haiku di atas sudah tergolong dalam haiku yang baik. Ia itu selain dari menepati patrun 5-7-5, ia juga menceritakan tentang alam, tentang musim, mempunyai pembayang & maksud, makna yang berganda dan bukan jiwang-jiwang.

Nak cuba tulis haiku? Sila ke http://www.geocities.com/haikumelayu/ dan klik Haiku Sendiri. Ada program mudah untuk jana haiku sendiri. Mungkin program ini boleh dikembangkan lagi. Juga jangan lupa http://www.communityzero.com/haiku untuk melihat satu-satunya site Haiku Melayu.



Wednesday, February 11, 2004

JANGAN TINGGALKAN KAD PENGENALAN - JPN

Utusan Malaysia 10 Februari 2004 muka 8:

PETALING JAYA 8 Feb. - Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) mengingatkan orang ramai agar tidak meninggalkan kad pengenalan masing-masing kepada mana-mana pihak termasuk pengawal keselamatan sesebuah bangunan

Ketua Pengarah JPN Daruk Wan Ibrahim Wan Ahmad berkata, berdasarkan peraturan, kad pengenalan seseorang itu tidak boleh diberikan kepada sesiapa.

"Tambahan pula ketika ini kad pengenalan pintar MyKad mengandungi pelbagai aplikasi seperti MEPS Cash dan Touch N Go.". "Oleh itu pemilik MyKad jangan sekali-kali memberikan kad pengenalan mereka kepada sesiapapun yang kemudiannya mungkin akan menyalahkan kad itu" katanya disini hari ini.

Beliau ditanya mengenai kemungkinan berlakunya perbuatan mengumpul kad pengenalan orang lain oleh mana-mana pihak untuk disalahgunakan terutamanya menjelang pilihanraya umum akan datang.

Sehubungan itu, Wan Ibrahim mencadangkan pengurusan sesebuah bangunan memperkenalkan sistem baru yang tidak memerlukan orang ramai meninggalkan kad pengenalan mereka di kaunter pengawal keselamatan. Katanya JPN telah mengenalpasti beberapa sistem berkenaan termasuk penggunaan MyKad sebagai akses untuk memasuki sesebuah bangunan.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai perkembangan cadangan penggunaan MyKad sebagai dokumen perjalanan menggantikan pasport antara Malaysia dengan Brunei, beliau berkata, cadangan itu dijangka akan dilaksanakan April depan.

"Projek ini adalah sebagai percubaan dan dijangka dilaksana mulai April ini" katanya. INi bermakna rakyat Malaysia yang memasuki Brunei tidak perlu lagi menggunakan pasport antarabangsa sebaliknya hanya menggunakan MyKad sebagai pengesahan perjalanan mereka.

NAMUN .... cubalah pergi ke mana-mana bangunan, khususnya bangunan yang agak glemer sikit. Pak Guard akan dengan gahnya berkata lebih kurang begini "kalau tak mahu tinggal kad pengenalan, boleh balik". Jadi hendak tak hendak, macamana ya?.


Tuesday, February 10, 2004

BANYAKNYA MAKLUMAT SUNTUKNYA WAKTU

[BEBELAN ini hanyalah merupakan sebuah harapan. Jika sekali fikir ia memang logik. Dua kali fikir akan jadi merapu dan banyak kali fikir rasa nak marah. Jadi usah fikir banyak kali, laksanakan terus]

Pada masa ini terdapat beratus-ratus blog yang bersekutu dengan GEJU . Sekiranya penulis blog sahaja yang membaca blog penulis lain, maka pengunjung blog sudah beratus-ratus setiap hari. Namun tidak semua penulis menulis pada setiap hari. Tidak semua penulis juga membaca pada setiap hari. Begitu juga dengan pembaca yang tidak menulis dan tidak mempunyai blog. Pada kebiasaannya beberapa kelompok penulis blog akan membaca hasil tulisan rakan-rakan mereka @ kroni pada setiap ketika dan pada kebiasaannya tidak menyedari akan kewujudan ilmu dalam blog-blog lain. Ini ialah kerana mereka sudah tahu tema penulis tersebut, menggemari tulisan sedemikian, ingin mengetahui kisah mereka dan sebab-sebab yang sewaktu dengannya. Dengan ini ada blog yang mempunyai pengunjung beribu sehari dan ada yang sekadar dua-tiga pengunjung sahaja, walaupun ianya agak bagus. Kemungkinan perkara ini terjadi ialah kerana kekurangn publisiti dan pembaca tidak menyedari kehadiran blog tersebut.

Ada teman mengupamakan GEJU ini sebagai sebuah balairaya yang dikelilingi oleh ratusan buah rumah. Tuan rumah suka berkunjung dari rumah ke rumah kroni mereka dan tidak ke balai raya. Untuk memeriahkan balairaya dan menyenangkan semua pembaca mencari rumah-rumah lain dalam khariah, mungkin boleh dicadangkan supaya balairaya menjadi pusat maklumat setempat. Setiap entri baru dihantar ke GEJU (sinopsisnya, sepertimana yang ada sekarang). Namun ia perlulah dibahagikan kepada beberapa kolum seperti berita, teknologi, dan sebagainya. Jadi pembaca hanya perlu ke balairaya@GEJU untuk melihat apa berita/cerita terkini dari ratusan blog ahli khariah. Masa tidak terbuang dengan mengulangi blog-blog yang tidak dikemaskini dan entri yang berkenan di hati boleh dikunjungi.

Perkara ini samalah dengan yang dibuat oleh project petalingstreet.org . Walau bagaimanapun saya nampak fokus pembaca/penulis petalingstreet dan GEJU adalah berlainan.

Sekian mohon mencadangkan
p.s cadangan ini saya tak tahu nak laksanakan macamana sebab ia memerlukan perbelanjaan (server dll.)

Monday, February 09, 2004

PSM Bertaraf Dunia (Worldclass ISO)

Information System Officers – The misunderstood profession: A case for reinventing the profession

Our infamous view: ICT is increasingly driving business change.
And, we can see, more and more ICT division is now reporting directly to CEO or deputy CEO.

Demands ahead
One of the biggest challenges for our ICT managers is dealing with senior management. We have difficulties in convincing the senior management and getting them to buy the idea that ICT can revolutionize the business.

Other concerns are keeping up with technology, managing resources, keeping up ICT knowledge, aligning ICT strategy with business strategy, managing users workload, coping with stress and managing vendors.

Agenda for change
We should stop being “backend boys” or “technical experts”. While technical knowledge and skills are important, we have to acquire skills in order to play the role of leaders and be influential in organizations.

We must reinvent ourselves to ensure we could remain relevant and competitive.

(a) Become future captains in knowledge management
(b) Nurture entrepreneurship culture
(c) Become a good project managers
(d) Become transformational leader

Redefining our job profiles
It is now necessary to re-classify the job profiles within us. The management function could be divided as follow:

Time scale officer is the lowest level between us. They should have knowledge and understanding in business and technical. Their jobs should be focused on conducting a study, developing, implementing and maintaining ICT applications.

The way forward
It is important that we develop a comprehensive plan for producing the next generation of information systems officers, a new breed of professionals who are multi-skills, nurture entrepreneurship culture, give adequate training in globalization to face future challenges, stand at the forefront of knowledge, become good project managers, innovator and change leader, encourage the use of managing mobility techniques, assuming CIO position, and capable of becoming future captains in knowledge management and leaders.

--------
Dokumen lengkap boleh didownload di sini (20 mukasurat dalam MS World).

p.s Oleh Abang PSM bakal JUSA.

Sunday, February 08, 2004


BLOGGER.COM SERVICE CHANGE


notis untuk pengguna Vagablog:

it appears that there have been some changes over at Blogger, and they have moved the interface used by Vagablog. If you use Blogger.com it appears that you'll have to change the Host entry on the Server form from plant.blogger.com to www.blogger.com. I'm not sure if this is a permanent change or not. Once I find out, I'll pass along the info.

Vagablog.


---
MBA

Saturday, February 07, 2004

IKLAN



WGE 59


ADA sesiapa yang berminat untuk memiliki nombor di atas?. Ia akan diberikan secara PERCUMA (tertakluk kepada syarat-syarat JPJ untuk interchange). Sebabnya?.... mba dah dapat plet MBA dari JPJ Melaka, tapi tak mampu nak beli kereta baru, so tukar nombor sahajalah, bukan tukar kereta baru .

Jika berminat dipersilakan...

Friday, February 06, 2004

PROTON BARU

HARI ini sebuah lagi model baru kereta Proton akan dikeluarkan. Mungkinkah gambar di bawah ini adalah modelnya?. Bercakap fasal kereta ini, kami di Ibu Pejabat ada mengeluarkan satu spesikasi kepada semua pejabat cawangan untuk membeli kereta yang menepati ciri-ciri tertentu untuk kegunaan pejabat. Bagi menerangkan ciri-ciri sebuah kereta, kami hanya menyebutnya "kereta" sahaja dan tidaklah menceritakan yang kereta itu mesti ada empat tayar, satu tayar spare, enjinnya di bonet depan, pintunya mesti empat, stereng sebelah kanan dan sebagainya. Kami anggap semua akan faham akan ciri-ciri sebuah kereta. Jadi spesifikasi khas kereta yang kami edarkan ialah enjinnya tidak melebihi 2000cc dan berwarna hitam.

Apabila surat ini sampai di pejabat-pejabat cawangan kami, semuanya OK dan mereka telah beli sebuah kereta yang menepati hasrat Ibu Pejabat. Adalah satu pejabat ini telah membeli sebuah Kembara berwarna hitam dan enjinnya memang kurang 2000cc. Hendak dipendikkan cerita, kembara ini tidak dapat memenuhi keperluan Ibu Pejabat sebagai kereta rasmi kerana Ibu Pejabat berpendapat Kembara bukan sebuah kereta, sebaliknya adalah kenderaan pacuan 4 roda. Pejabat cawangan itu pula menyalahkan Ibu Pejabat kerana katanya ia telah membeli kereta yang betul kerana telah menepati ciri-ciri enjin kurang 2000cc dan memang berwarna hitam.

Alasan Ibu Pejabat ialah, dalam ekonomi terbuka sekarang, mereka tidak boleh mengarahkan supaya cawangan membeli kereta dengan menyatakan model tertentu dan kereta maknanya adalah kereta salon, bukannya pacuan 4 roda.

Hmmmmm...... cuba anda gantikan "kereta" tersebut di atas dengan "komputer", apa sebenarnya yang terjadi?.

Thursday, February 05, 2004

PROTON BARU

TAHNIAH PRDM PDRM

Tahniah kepada PDRM dengan terlantiknya Suruhanjaya DiRaja PDRM. Sudah tentu Suruhanjaya ini akan memberi pelbagai cadangan dalam masa 12 bulan ini yang sudah tentu akan menguntungkan PDRM khususnya dan negara amnya.

Senarai ahli suruhanjaya:

· Tun Mohamed Dzaiddin Abdullah, bekas Ketua Hakim Negara; Pengerusi
· Tun Mohamed Haniff Omar, bekas Ketua Polis Negara; Timbalan Pengerusi
· Tun Salleh Abas, Bekas Ketua Hakim Negara
· Tan Sri Azizan Zainal Abidin, Pengerusi Petronas
· Tan Sri Lee Lam Thye, Naib Pengerusi, Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia
· Tan Sri Zaki Tun Azmi, Penasihat Undang-Undang UMNO
· Datuk Seri Lim Ah Lek, Bekas T.Presiden MCA
· Datuk Kamila Ibrahim, Ahli exco Wanita UMNO
· Datuk A. Kadir Jasin, Bekas Pengerusi Bernama
· Datuk Michael Yeoh, CEO Asli
· Datuk Dr Muhammad Rais Abdul Karim, Penasihat ICT & Kerajaan Elektronik JPM
· Datin Paduka Zaleha Zahari, Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam
· Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim, President, Transparency International Malaysia
· Dr Denison Jayasooria, MIC
· Kuthubul Zaman Bukhari, Pengerusi Majlis Peguam
· Ivy Josiah, Pengarah Eksekutif WAO

Skop

·mengkaji peranan dan tanggungjawab polis dalam penguartkuasaan undang negara.
·Mengkaji struktur organisasi PDRM
·Mengkaji perkembangan HR PDRM, termasuk kemudahan latihan
·Mengkaji etika kerja dan prosedur kerja kakitangan PDRM
·Mengkaji isu hak asasi manusia, termasuk isu melibatkan wanita yang berkaitan tugas PDRM
·Membuat cadangan memaju dan memodenkan PDRM


===> MBA Cuma teringat peristiwa di Bangkok tahun lepas di mana peserta Malaysia, Indonesia dan Timur Timor diiringi oleh polis Thailand dari lapangan terbang ke hotel. Lalu bapak dari indonesia ni bertanya saya…. “Apa itu Polis Di Raja Malaysia?” saya jawab Royal Malaysia Police. Dia memberitahu yang tatabahasa itu adalah salah. Sepatutnya ialah “Polis Raja Di Malaysia” katanya. Kami ketawa berderai…. Sungguh dalam maksudnya.

Wednesday, February 04, 2004

AKTA JENAYAH KOMPUTER

SEMENJAK Akta Jenayah Komputer diperkenalkan pada tahun 1997, mungkin tidak ada suatu tuduhanpun dibuat di mahkamah yang melibatkan akta ini sehinggalah minggu lepas, apabila seorang pembantu tadbir rendah pejabat tanah dan galian (PTG) Selangor dihadapkan ke mahkamah. Beliau dituduh memalsukan dokumen dan mendapatkan data PTG yang menyebabkan kerugian kepada dua pemilik berdaftar. Beliau menghadapi satu tuduhan dan tuduhan pilihan mengikut Akta Jenayah Komputer 1997 iaitu mengakses dan meminda program Sistem Pendaftaran Tanah Berkomputer PTG tanpa kuasa sah (memetik berita dari Berita Harian).

Banyak persoalan timbul daripada berita tersebut, namun memandangkan ia adalah masih dalam kes mahkamah kebanyakan daripadanya tidak boleh dibincangkan di sini. Namun beberapa perkara mungkin menarik untuk diperhatikan:

1. Mengikut seorang peguam yang mengkhususkan dalam bidang ini (Akta Jenayah Komputer), memang banyak kes telah dilaporkan, namun ia tidak dibawa ke mahkamah kerana kes adalah kompleks dan mahu menjaga nama baik syarikat.

2. Berita "meminda program Sistem Pendaftaran Tanah Berkomputer PTG tanpa kuasa sah" adakah munasabah?. Program (yang biasanya dikompil dalam kod mesin) atau data yang dipinda?

3. Adakah 'sistem komputer kita' telah selamat atau telah mengambil langkah-langkah keselamatan yang tertentu?

4. Amat menarik untuk mengikuti sesi perbicaraan nanti, di mana siapa yang akan mempertahankan kekebalan sistem ini (PSM atau SI yang membangunkannya?).

Ada satu contoh bidalan di mana sebuah rumah telah dimasuki pencuri dan banyak barang-barang telah dicuri. Walau bagaimanapun pencuri dibebaskan kerana didapati tidak bersalah. Sebaliknya tuan rumah yang dikatakan tidak pandai menjaga hartanya dengan betul .... Tidak memagar rumah, tidak pasang alat penggera, tidak kunci pintu dengan betul, tidak ada peti keselamatan dalam rumah, meninggalkan rumah tanpa membuat laporan kepada pihak berkuasa dan akhirnya pencuri dibebaskan kerana "kecuaian" tuan rumah walaupun barang telah dicuri dan mencuri itu memang satu kesalahan.

Wallahualam.




Tuesday, February 03, 2004

LAWAK HARI RAYA

10 ZULHIJJAH: Pada setiap kali sembahyang raya, biasanya imam/khatib akan mengingatkan makmum akan cara-cara ringkas sembahyang raya, iaitu niatnya, 7 takbir di rakaat pertama dan 5 takbir di rakaat kedua. Ini adalah menjadi suatu kebiasaan di mana-mana masjid di negara kita kerana sembahyang raya cuma dua kali sahaja setahun. Tetapi adalah menjadi suatu lawak sekiranya makmum yang terpaksa ingatkan imam supaya membaca khutbah. Iaitu selepas salam, dan siap-siap takbir, baca doa dan siap salam-salam. Eikkk... khutbah belum baca! ;-)

Saban tahun juga akan kita dapati yang makmum yang datang lambat ke masjid berasa lega kerana "Oh khatib baru baca khutbah, belum sembahyang lagi ...". Ini adalah kerana mereka biasa datang sembahyang Jumaat semasa khatib sedang baca khutbah dan barulah diikuti dengan sembahyang. Ini semasa raya, bila khatib sedang baca khutbah, makmum yang baru sampai, masih selesa hisap rokok bawah pokok, habis khutbah berlari ke masjid dan didapati makmum lain bersiap-siap untuk pulang ke rumah. Suatu adegan yang memang benar berlaku.

Ada juga suatu cerita (entah b enar entahkan rekaan) semasa sembahyang JUmaat di bulan puasa yang lepas, seorang makmum ni tertidur semasa khutbah dibaca. Ia tersedar semasa doa dalam khutbah kedua dan siap doa siap kuat-kuat sebut solawat ke atas Nabi macam malam-malam biasa bulan Ramadhan....

Wallahualam.

-------
Selamat Menyambut Hari Wilayah (baca: bercuti) kepada semua yang bekerja di Wilayah Persekutuan.Esok pula adalah hari cuti (Thaipusam) bagi negeri Selangor.



Saturday, January 31, 2004

SELAMAT HARI RAYA AIDIL ADHA

SELAMAT menyambut hari raya Aidiladha kepada Muslimin dan Muslimat semua.
Tuan rumah bercuti dan jika ada apa-apa berita akan disampaikan melalui Treo600

Di situ ada tanda-tanda keterangan yang nyata (yang menunjukkan kemulianNya; di antaranya ialah) Makam Nabi Ibrahim. Dan sesiapa yang masuk ke dalamnya aman tenteramlah dia. Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadah Haji dengan mengunjungi Baitullah iaitu sesiapa yang mampu sampai kepadanya. Dan sesiapa yang kufur (engkarkan kewajipan ibadah Haji itu,) maka sesungguhnya Allah Maha Kaya (tidak berhajatkan sesuatupun) saru sekelian makhluk.

Ali-Imran (97).

MAAF ZAHIR BATIN

Friday, January 30, 2004

HANKACHI

HANKACHI dalam bahasa Jepun, jika diamat-amati bunyinya perlahan-lahan maka kita akan dapat menekanya dengan tepat, iaitu handkerchief ataupun saputangan. Semalam MBA menerima sehelai saputangan yang diposkan dari negara matahari terbit tersebut. Terima kasih dan domo arigato kepada pengirimnya. Saputangan ini istimewa sekali kerana banyak sebab …..



[gambar hiasan]


Jika mengikut kepercayaan orang-orang Melayu, jika seseorang yang tatkala masa berpisahnya (rasanya ditujukan khas kepada pasangan yang bercinta), dihadiahkan sehelai saputangan, maka itu adalah suatu alamat mereka tidak akan berjumpa lagi. Saputangan itu ialah untuk menyapu si air mata.

Semasa meninggalkan Okinawa pada tahun 1990, seorang staf kafeteria di OIC telah menghadiahkan sehelai saputangan kepada mba. Hendak dijadikan cerita, pada tahun 1999, mba berjumpa semula dengan beliau, kalau tak silap namanya Oana-san. Semasa ingin pulang pada tahun 1999, mba mendapat lagi satu set saputangan. Set ini sungguh istimewa kerana ia adalah buatan “Bingata Studio Sen”. Mengikut catatan, industri produk ini telah bermula semenjak 400 tahun lalu dan tidak boleh didapati di mana-mana kawasan di Jepun, melainkan Okinawa sahaja. Kemudian pada tahun lepas, mba bersua kembali dengan Yamamoto-san, yang memberikan saputangan tesebut di Tokyo.

Saputangan pertama mengambil masa 9 tahun untuk bertemu semula. Yang kedua kurang 4 tahun dan rasanya hankachi yang diterima semalam tu lagilah istimewa dan mungkin mba boleh berjumpa dengan tuan punyanya dalam masa yang lebih singkat lagi …. mudah-mudahan.


Thursday, January 29, 2004

INTERNET RUMAH - INTERNET OFIS

KALI ini MBA ingin menulis satu perkara yang mungkin tidak digemari ramai, namum ia adalah suatu hakikat. Ia itu menggunakan kemudahan Internet pejabat untuk kerja peribadi. Jika kita imbas kembali kemudahan pejabat seperti telefon, fax, komputer, pencetak, mesin fotostat, kereta dan seumpamanya (Internet tidak terkecuali) disediakan untuk urusan rasmi pejabat tersebut. Mana boleh bos suruh drebar ambil mem pergi pasar atau hantar anak ke sekolah?. Kalau gunakan telefon buat panggilan ke luar daerah, biasanya kita bayar bila bilnya tiba. Tapi Internet bagaimana?. Internet ni.... kita pakai ke tidak pakai ke kerajaan tetap kena bayar juga, puluh-puluh ribu setahun. So lebih baik I pakai .... apa salah ke?. Lagipun I pakai untuk peribadi waktu lunch atau luar masa pejabat je.... Ok what?. Entahlah labu.....

[Kalau tak silap:]Teladan telah ditunjukan oleh Syaidina Umar Abd Aziz, di mana beliau padamkan lampu kerajaan dan nyalakan lampu sendiri bila anaknya datang untuk berbincang masalah keluarga. Memanglah kita ni bukan khalifah, sekali-sekala tersasul juga. Namun ada di antara kita (mungkin) yang melakukan 100% kerja peribadi menggunakan kemudahan pejabat, maknanya dahlah dia tak ada akaun Internet di rumah, nak ke siber cafe pun dia rasa mahal....

Ada yang jadi pemberita, menulis berita peribadi menggunakan kemudahan pejabat. Ada yang jadi penulis, menulis menggunakan kemudahan pejabat. Bukan apa, dikhuatiri rezeki yang diperolehi tu kurang berkatnya ....

Wallahualam:

penafian: tulisan di atas lebih menjurus kepada kakitangan kerajaan, di mana pekeliling mengenai penggunaan Internet telah dikeluarkan oleh MAMPU. Bagi kakitangan swasta, ia adalah mengikut budibicara pejabat masing-masing.

Tuesday, January 27, 2004


DARI KUANTAN


Bersama Ibnu Arif di Kuantan
makan-makan sambil memerhati HTAA.

Semalam berjumpa Irwan di mahkamah. Rupa2nya Irwan ialah ketua sendikit pengedar dadah terbesar di pantai timur. Tunggu kemunculannay di JAD (novel2u.blogspot.com )






---
MBA melaporkan dari: Kuantan

Sunday, January 25, 2004

BLOG YANG BAIK

APABILA saya menulis mengenai penulis blog yang syok sendiri, ramai yang melenting. Walhal pada hakikatnya memang begitu. Saya fikir blog saya sudah baik…… Saya menulis blog menggunakan notebook di rumah dan ia kelihatannya elok pada notebook saya menggunakan browser Windows XP dan IE 6.0 dengan skrin beresolusi 102xX764 pixel. Tulisan juga tidak begitu kecil dan tidak juga besar. Apabila saya ke pejabat menggunakan Windows 2k dan IE 5.2 dengan resolusi skrin yang sama ia kelihatan sama sahaja dengan yang dirumah. Namun apabila dilihat menggunakan Netscape ataupun Mozilla, ia kelihatan aneh sedikit. Ah tak mengapalah sebab majoriti pengunjung menggunakan IE. Namun PC anak-anak saya yang juga menggunakan IE6.0 dengan skrin resolusi 800x600 pixel nampak begitu teruk sekali di mana pengunjung terpaksa skrol kiri ke kanan.

Semasa pertemuak saya dengan Abedib, WkDin dan Fahroe di KLCC tempohari, kami berbincang mengenai blog masing-masing. Saya beritahu WkDin yang blognya ada error setiap kali saya melayarinya. Error ini agak kritikal juga dan tidak muncul pada PC Win2K dan XP Home tetapi pada XP Pro. WkDin mula susah hati macamana nak memperbaikinya. Abedib pula sudah hilang punca dengan blognya yang membuatkan TagBoard terlalu ke kanan. Sementara Fahroe pula dah terlalu penat membaiki blognya yang mempunyai masalah side-bar. Namun ramai di antara pengamal blog yang rasanya syok sendiri sahaja, yang menyangka blog mereka tidak ada apa-apa cacat cela dari segi teknikalnya. Apa yang dia lihat, begitulah harapannya kepada pengunjung tanpa mengambil kira perisian dan perkakasan yang digunakan oleh pengunjung.

Saya cuba sedaya mungkin untuk mereka bentuk blog ini supaya mesra pengguna dan mempunyai masa capaian yang pantas. Pendekatan yang diambil ialah rekabentuk yangf tidak begitu kompleks dan kurangkan grafik. Namun kita tidak dapat lari daripada link ke laman lain yang menyediakan perkhidmatan seperti kaunter, tagboard, buku pelawat dan sebagainya. Sekarang saya menghadapi masalah baru di mana seorang pengunjung yang menamakan dirinya nobody membuat komen “Your blog/page pop-out the casino page, check out the cookies.” Sebenarnya ini ialah komen kedua yang saya terima. Pertama semasa rekabentuk yang lama, ingatkan rekabentuk sekarang casino tu dah hilang, rupa-rupanya datang lagi….

Setelah diteliti kod HTML, didapati ada dua iklan yang diselitkan dalam blog ini, namun tak tahu macamana cara untuk mengeluarkannya. Ini ialah kerana dalam template, ia adalah bersih dari cookies tersebut. Jika sesiapa yang mengetahui untuk mengeluarkannya harap dapat berkongsi ya….

Akhirnya, saya berpendapat blog yang baik, sama juga dengan laman web yang lain perlulah menepati standard W3C (http://www.w3c.org/). Bilamana piawaian ini telah ditepati, sepatutnya blog yang direkabentuk dalam IE dapat dilihat dalam Netscape, Mozilla atau mana-mana browser dengan cara yang sama sahaja. Selain daripada itu, sesebuah laman yang mengambil masa lebih dari 8 saat untuk memaparkan wajahnya akan kehilangan sepertiga daripada pengunjungnya. Apatah lagi jika sesebuah blog tersebut mempunyai error yang kadangkala menyebabkan browser pun hancus.

Jangan marah ya… Sebab petikan di para akhir di atas adalah petikan sebahagian daripada thesis sarjana MBA di zaman lampau yang masih lagi relevan hingga kini. Thesis tersebut dinamakan MBA Webpages Development Methodology dan boleh diperolehi dari Internet.

Salam.



Saturday, January 24, 2004

SABTU GANTIAN & AIDILADHA

HARI ini ialah Sabtu minggu keempat dalam bulan Januari. Ia sepatutnya ialah hari bekerja bagi kerajaan. Namun kerajaan telah memberi cuti kerana dua hari sebelumnya ialah cuti Hari Raya Cina. Cuti Sabtu ini perlu diganti dengan hari Sabtu minggu kedua dalam bulan Februari nanti. Sebelum ini cuti Sabtu gantian pernah diberi sempena dengan hari Raya Puasa.

Pada hari Ahad 1 Januari ialah Hari Raya Haji. Hari Sabtunya ialah Sabtu minggu kelima dalam bulan Januari dan merupakan hari bekerja. Saya rasa masih belum terlambat lagi bagi kerajaan untuk memberi cuti gantian pada hari Sabtu tersebut.

Islam ialah ugama rasmi Malaysia dan dalam Islam ada dua perayaan, iaitu Hari Raya Haji (aidiladha) dan Hari Raya Puasa (Aidilfitri). Dalam Islam juga, Aidiladha adalah lebih besar berbanding dengan Aidilfitri di mana semasa aidilfitri takbirnya hanya sehari sahaja sedangkan Aidiladha adalah tiga hari.

Mengapakah agaknya kerajaan tidak bercadang untuk menjadikan Sabtu sebelum Aidiladha sebagai cuti gantian?. Berbanding dengan Sabtu Raya Cina & Raya Puasa?. Mungkin kerajaan tidak mahu menggalakkan rakyatnya pulang ke kampung, supaya kemalangan dapat dikurangkan. Namun harus diingat bahawa Ahad, Isnin dan Selasa adalah merupakan hari cuti bagi Wilayah Persekutuan sempena dengan (Ahad, Raya Haji & Hari Wilayah Persekutuan). Jadi sudah tentu rakyat jelata akan pulang atau keluar juga dari Kuala Lumpur. Bagi yang keluar kerana ingin mengejar raya, sudah tentu terpaksa bergopoh-gapah dan kebarangkalian meningkatnya kemalangan akan bertambah. Jika Sabtu tersebut diberikan cuti, maka adalah gap sehari di antara masa bertolak dengan Hari Raya, ikut teorinya sudah tentulah lebih selamat sedikit di jalan raya.

Harap-harap Sabtu tersebut juga dijadikan cuti gantian……


Thursday, January 22, 2004

GONG XI FA CAI



TuanRumah mengadakan rumah tertutup sehingga 28 Januari 2004
Selamat bercuti.

Wednesday, January 21, 2004

MEL SENDIRI - MEL MAJIKAN

[Satu cadangan untuk pengururusan e-mel kerajaan yang ada logiknya walaupun mungkin tidak sesuai untuk dilaksanakan]

Semenjak adanya perkhidmatan Internet, saya telah mempunyai empat akaun e-mel rasmi yang diberikan. Sekarang tinggal hanya satu yang masih aktif sedangkan tiga lagi telahpun dihapuskan kerana telah berpindah tempat kerja dan sudah tentunya server. Pada kebiasaannya jabatan kerajaan memberikan alamat e-mel menggunakan namapegawai@namajabatan.gov.my . Jadi apabila seseorang bertukar maka e-mel tersebut akan dihapuskan dan e-mel baru diwujudkan untuk pegawai baru.

Oleh kerana akaun e-mel adalah merupakan kepunyaan mutlak majikan dan hanya perlu digunakan untuk tujuan rasmi sahaja, apa kata jika alamat e-mel semua jabatan kerajaan tidak menggunakan nama, sebaliknya jawatan@namajabatan.gov.my. Setiap pegawai sudah tentu mempunyai gelaran jawatannya dan ia menggunakan e-mel berdasarkan tugas rasmi beliau yang dibayar imbuhan oleh majikan. Dengan cara ini apabila beliau berpindah dan pegawai lain mengambil alih, beliau boleh sahaja terus menggunakan e-mel tersebut atas tugas rasmi beliau (selepas administrator reset password dan sebagainya). Ianya tugas rasmi, sudah tentu tidak ada apa yang perlu diselindungkan sepatutnya...

Bagi kegunaan peribadi, sepatutnya setiap pegawai perlulah menggunakan akaun peribadi yang tersendiri samada yang berbayar ataupun yang percuma. Mel-mel peribadi tidak sepatutnya dicampuraduk dengan mel rasmi.

Sekian, mohon mencadangkan.

Tuesday, January 20, 2004

UCAPAN TERIMA KASIH

SAYA ingin mengucapkan berbanyak terima kasih kepada semua yang membaca dan terutamanya yang membuat ulasan terhadap artikel “GATH 2005 LEBIH GAH”. Saya bercadang pada kali ini ingin membuat entri dengan tajuk lain, iaitu mengenai penggunaan e-mel pejabat, tetapi memandangkan agak banyak ulasan yang diterima, jadi saya rasa terpanggil untuk merakamkan ucapan terima kasih ini sebagai satu entri.

Semua ulasan yang dibuat adalah positif semuanya pada tanggapan saya. Ini bermakna saya telah berjaya memasukkannya ke dalam telinga kanan saudara-saudari. Walaupun ia keluar semula mengikut telinga kiri, tidak mengapa. Ia adalah lebih baik dari tidak sempat masuk langsung, sebaliknya melantun keluar {akibat telinga sudah penuh agaknya }. Ia juga saya telah berjaya mencurahkan air ke daun keladi. Walaupun ia tidak berupaya membasahkan daun, ia adalah lebih baik dari tidak berpeluang untuk menjiruskannya langsung.

Sebuah Haiku untuk anda: Jika nak masuk geng Haiku, bolehlah ke Komuniti Haiku



Se helai daun
Satu tempayan air
Tetap kan kering



Apa yang saya tuliskan adalah pendapat dan pandangan dan boleh jadi pegangan saya. Walau bagaimanapun pendapat dan pandangan manusia boleh berubah mengikut keadaan dan masa. Apa yang anda ulas adalah merupakan pendapat dan pegangan anda sendiri. Kita bebas untuk menulis, mencadang, bersetuju atau membangkang pendapat orang lain. Sungguhpun begitu adab dan tatasusila penulisan perlulah dijaga. Tulisan anda mencerminkan peribadi anda sendiri. Penggunaan bahasa yang kasar, memaki hamun dan yang seumpama dengannya sememangnya secara langsung menunjukkan siapa penulisnya yang sebenar.

Seperkara lagi yang perlu diberikan penekanan ialah umpama perumpamaan Melayu, lempar batu sembunyi tangan, iaitu tidak berani untuk bertanggungjawab atas apa yang ditulis. Ini adalah sifat pengecut dan bacul si penulis. Ada yang mengulas dengan tidak meletakkan sebarang identiti supaya tidak dikenali dan berasa seronok dengan caranya. Ada pula yang menggunakan identiti orang lain, seolah-olah orang itulah yang menulis dan dia sungguh seronok dengan cara itu. Penulis yang berlindung di sebalik topeng begini sebenarnya berhajat untuk menakutkan orang lain, walaupun sebenarnya dia adalah penakut yang bacul.

Saya cakap ni penulis-penulis di tempat lainlah, bukan penulis GEJU yang semuanya baik-baik belaka ….. Walau bagaimanapun sekiranya sikap begini masih ada di kalangan GEJU, saya khuatir dia akan merosakkan seluruh komuniti, ibarat kata seekor kerbau membawa lumpur semujanya terpalit.

Selamat menulis dan semoga apa yang anda tulis ada timbangannya di hari Akhirat nanti.


Monday, January 19, 2004

GATH 2005 LEBIH GAH


HAMPIR seratus orang pengamal syok sendiri blog telah berkumpul untuk makan malam di restoran Nelayan, Tasik Titiwangsa pada 17 Januari 2004. Majlis makan malam ini dikenali sebagai GATHering Gengjurnal 2004. Adalah difahamkan Gengjurnal adalah satu ikatan tidak bertali antara pengamal-pengamal jurnal khasnya yang berbahasa Melayu. Lebih 800 ahli telah mendaftar mengganggotai gengjurnal. Kesemua yang hadir terdiri daripada geng blog yang muda belia semuanya, kecuali seorang dua yang tersilap hadir untuk meninjau dunia blog orang muda. Saya rasa saya adalah hadirin yang paling tua lama pada malam tersebut sebelum kedatangan sdr EP yang hadir di penghujung majlis. [Yang senior macam Sri Diah pun ada, tapi dia muda lagi ;-) ]

Jadi pengamatan saya adalah dari kacamata orang lama (yang masih baru dalam blog) dengan harapan semoga Gath 2005 akan lebih meriah, bermenafaat dan bermakna.

Ramai orang berpendapat pemilihan Nelayan Titiwangsa adalah tidak tepat dengan gath sebegini. Apatah lagi tidak sebarang kemudahan AV yang boleh digunakan. Majlis tersebut sekadar sesuai untuk makan malam dan itu sahaja. Namun dengan kos yang terbatas, saya rasa tidak ada cacat celanya Nelayan Titiwangsa dipilih, kecuali masanya sahaja yang tidak sesuai. Saya pernah menganjurkan high-tea sempena Tahun Baru Cina pada tahun lepas yang dihadiri oleh kira-kira 150 hadirin. Restoran belum dibuka untuk orang awam pada masa ini dan keseluruhan restoran adalah milik kita dan kemudahan AV ada disediakan. Gath 2005 juga boleh diadakan dengan lebih meriah dan gah sekiranya yuran penyertaan dapat disubsidi. Bagaimana?. Saya rasa cara terbaik ialah dengan menjual meja. Jika sebuah meja dijual dalam sekitar RM1000 pada tempat yang sesuai, rasanya tidak menjadi apa-apa masalah.

Oleh kerana ketiadaan kemudahan, sudah tentulah pengumuman mengenai anugerah-anugerah yang dipertandingkan menjadi hambar dan jurusuara terpaksa memekik. Saya yakin para AJK boleh buat dengan lebih baik seperti menayangkan multimedia blog yang dicalonkan, video klip para juri, temuramah dengan calon, sesi membaca sedutan dari blog dan banyak lagi….. orang muda tentu amat kreatif mengenai perkara ini. Tengok pada 2005 nanti ya!.

Selain dari makan-makan dan permainan bowling di sebelah siangnya, saya ingin mencadangkan supaya GATH 2005 diadakan secara yang lebih profesional, lebih berbentuk akademik. Misalnya kita boleh adakan seperti simposium, bengkel atau seminar mengenai dunia blog. Panggil seorang dua yang berkenan di hati untuk bercakap sesuatu mengenai teknologi blog atau kandungan blog dan yang sewaktu dengannya. Kemudian adakan bengkel samada secara verbal atau dalam blog masing-masing mengenai cara-cara untuk meningkatkan penggunaan blog ke, memantapkan gengjurnal ke. Tidak lupa juga dengan ukhwah… berkenal-kenalan dan memperkenalkan hadirin yang datang. Mungkin boleh diadakan buku cenderamata atau secara maya sahaja.

Kembali kepada anugerah, saya agak kecewa apabila keputusan mengenai pemenang ini masih tidak lagi disiarkan di laman gengjurnal ataupun mana-mana ahli yang hadir (setakat yang saya tahu). Kita akan ketinggalan jauh nun sayup ke belakang sekiranya perkara begini tidak cepat-cepat dihebahkan. Sepatutnya ia boleh dilakukan secara live dan ahli di seluruh dunia boleh mengetahuinya dengan segera. Hmmm…. Mungkin saya boleh syorkan kita adakan video conference dengan rakan blog di luar negara (jika masa adalah bersesuaian) sebagai salah satu daripada aktiviti semasa GATH 2005. [Penggunaan kemudahan VC secara percuma boleh diuruskan]. Geng blog juga patut sekali menjadi suatu komuniti yang aktif, bukan setakat berkenal-kenal sesama sendiri sahaja, tetapi juga membuat promosi kepada masyarakat yang masih belum mengenali blog, faedah-faedah blog dan banyak lagi aktiviti yang sihat.

Adik-adik mungkin tidak tahu atau tidak ingin ambil tahu yang ada di kalangan rakan blog kita mungkin akan dikenakan tindakan mahkamah kerana menulis blog. Itu hari dia, mungkin esok lusa giliran kita pula, siapa tahu?. Soal-soal kebajikan sesama rakan blog sebegini saya rasa perlu ditangani oleh kita semua, ya siapa lagi kalau bukan kita?.

Akhirnya …. (banyak lagi yang ingin dicatat, namun saya tidak suka entri blog saya terlalu panjang, nanti orang tak baca – sebab saya tak suka baca entri yang panjang) saya rasa gengjurnal perlu didaftarkan secara sah, samada dengan ROS atau ROC atau ROB supaya perjalanannya lebih terurus.

MAAF jika pandangan orang lama ini menyakitkan anak-anak & adik-adik semua:

Sunday, January 18, 2004

Testing Dari KLCC

di KLCC bersama wkdin, abedib,& fahroe

Saturday, January 17, 2004

CINTAI KERJAYA ANDA JANGAN JATUH CINTA DENGAN PEJABAT

TERBACA entri weblog Sri Diah terus memutuskan untuk menulis pasal tajuk ini. Rancangan asalnya ingin berehat sahaja pada Sabtu & Ahad dari menulis (sebab kat pejabat hari cuti ditentukan oleh majikan, jadi menulis weblog sendiri eloklah ditentukan sendiri hari cutinya ...)

Sebenarnya pesanan seperti tajuk di atas kononnya dibuat oleh seorang Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) yang sangat berpengaruh dalam IT (Mr. Narayana Murthy's ) dan menjadi penasihat IT kepada Perdana Menteri Thailand. Setiap pekerja mesti mencintai kerjayanya kerana itulah punca rezekinya. Segalam kemahiran dan selok belok pekerjaannya mestilah diketahui dengan mendalam. Selagi kita bekerja dengan syarikat, bolehlah kita curahkan kepakaran kita. Namun... harus diingat juga yang syarikat tidak akan memerlukan kita selama-lamanya. Mungkin setelah dapat gading bertuah, tanduk tidak berguna lagi. Mungkin juga syarikat tidak dapat keuntungan yang banyak dan kitalah yang pertama diminta secara terhormat untuk meninggalkan syarikat. Malahan macam-macam sebab lagi boleh terjadi. Jadi, jika sudah jatuh cinta dengan syarikat dan syarikat pula sudah tidak memerlukan kita, takut-takut nanti kita jadi gila bayang atau gila talak dengan syarikat, susah jadinya nanti .....

Mr. Narayana seterusnya menasihatkan supaya pekerja jangan menghabiskan masa hingga 12 jam di syarikat atau kerja sampai larut malam ataupun mengorbankan hari minggu dan cuti semata-mata untuk syarikat. Seterusnya beliau mencadangkan rutin begini:-

1) Bangun awal, makan pagi yang baik dan pergi/mulakan kerja
2) Kerja keras dan baik secara smart dalam masa pejabat
3) Pulang ke rumah
4) Baca buku/komik, menonton, main dengan anak-anak dll
5) Makan makanan yang baik dan tidur dengan nyenyak
(mba: jangan buang masa dengan YM - ia membuang masa)

selamat bekerja.

Friday, January 16, 2004

SABTU KERJA

RAMAI kakitangan awam berasa was-was samada esok (Sabtu ketiga) adalah hari kerja atau tidak bekerja. Sepatutnya ia memang Sabtu cuti, namun ada khabar-khabar angin mengatakan yang ia adalah Sabtu kerja untuk digantikan dengan Sabtu minggu Tahun Baru Cina nanti. Biasanya pengumuman begitu dibuat pada petang hari Rabu (iaitu selepas mesyuarat kabinet). Oleh kerana tidak ada berita maka ia adalah status quo sahajalah. Lagipun jika esok adalah hari kerja tetapi ingin dijadikan hari cuti, maka pengumuman boleh saja dibuat malam ini ataupun esok pagi. Tetapi... jika hari cuti hendak dijadikan hari kerja, ia kenalah dimaklumkan lebih awal lagi ....

Kembali kepada Sabtu kerja ini, ada rakan sepejabat saya yang semua hari Sabtu kerja sepanjang tahun ia akan bercuti, malahan cutinya telahpun dipohon untuk sepanjang Sabtu bagi setahun..... Alasan? rasanya hendak bersama keluarga & suami yang tidak bekerja Sabtu. Rakan saya dari Filipina & Thailand memberi tahu yang kakitangan kerajaan di sana memang tidak bekerja pada Sabtu dan Ahad. Alasannya ialah kakitangan kerajaan bergaji murah, jadi biarlah sektor swasta yang bergaji mahal bekerja Sabtu atau Ahad jika mereka mahu. Malahan siang-malam juga ;-) . Rasanya di negara maju lain juga Sabtu adalah hari cuti bagi kakitangan kerajaan mahupun swasta mereka. Mengapa kita masih bekerja pada hari Sabtu?. Bos saya dulu-dulu pernah berkata yang kerajaan memang berhajat nak jadikan Sabtu & Ahad sebagai cuti hujung minggu. Namun... jika begitu maka Malaysia akan hanya bekerja 3 harti sahaja seminggu, bukannya 5 hari.

Hari-hari bekerja tersebut ialah Isnin, Selasa & Rabu sahaja.... Khamis (setengah hari di beberapa negeri), Jumaat (cuti di beberapa negeri), Sabtu & Ahad (cuti di beberapa negeri). Hmmm... logik juga pendapat bos ni.

Thursday, January 15, 2004

KETAYAP

DALAM sehari dua ini (dan akan berterusan untuk sekian lama lagi) kita dapati kes mahkamah pembunuhan Canny Ong saban hari tersiar dalam media cetak & elektronik. Apa yang menarik perhatian saya untuk menulis ialah tertuduh yang memakai kopiah, ketayap atau songkok putih itu. Tidak ada apa yang istimewanya dengan pakaian tersebut, sekadar untuk tutup kepala sahaja. Saya percaya ia bukanlah pakaian harian yang tertuduh sebelum ini, namun apabila sudah tertangkap ia sudah menjadi sinonim dengannya. Mengapa memakai ketayap?.

Jika di Indonesia, sesiapapun boleh / biasa pakai songkok (hitam). Di Malaysia, pemakaian songkok biasanya untuk orang Islam atau untuk upacara rasmi sahaja. Namun memekai kopiah ini biasanya untuk tujuan baik-baik sahaja seperti nak pergi sembahyang, kenduri arwah, menziarahi orang yang meninggal dan yang sewaktu dengannya. Adalah sudah menjadi semacam suatu kebiasaan, mengkaitkan pemakai kopiah dengan yang baik-baik. Jadi apabila tertuduh memakai kopiah di mahkamah.... apakah sebenarnya yang ingin digambarkan oleh beliau?. Sebenarnya beliau adalah orang yang baik (tidak bersalah) atau beliau sudah insaf (ingin bertaubat & jadi orang baik) atau ingin menggambarkan orang pakai kopiah ini memang orang jahat? .... Sinonim pakai kopiah & orang alim ini sudah lama sebati, macam orang perempuan pakai tudung juga. Jika satu kesalahan yang sama dilakukan oleh seorang yang bergelar ustaz dengan orang biasa, atau orang bertudung dengan tidak, atau orang berkopiah dengan bertopi, sudah tentu masyarakat memandang orang bertudung, berkopiah atau ustaz itu adalah lebih jahat walaupun kesalahannya sama sahaja....

Demi untuk menjaga maruah kopiah (hah.. mana makhluk ini ada maruah), elok sangat rasanya pihak-pihak tertentu seperti Persatuan Ulamak misalnya mencadangkan ia tidak sesuai dipakai di tempat-tempat seperti itu....

Ini ialah SAJEN (sajak jenaka) saya mengenai KETAYAP yang pernah disiarkan dalam komuniti SAJEN dulu ....


Ketayap

Ketayap itu berbagai gaya adanya:
Yang putih kopiah namanya
Hitam pula songkok, berbagai jenama
Merah dah jadi tarbus, Turki asalnya
Bercorak pula untuk fesyen gayanya


Ketayap itu banyak kegunaan:
Di surau untuk ikut imam
Atas motor untuk elak saman
Ahli parti dalam perhimpunan
Dalam mahkamah mintak kasihan


Kawanku kata:
Bila kaulihat ketayap pemandu kereta
Jangan banyak berkata-kata, caci nesta
Awasi brek, kiri kanan perlu dijaga
Sebab apa?...
(Mengapa tak per-ca-ya?)

Ketayap... apa juga nama
Gunanya untuk tutup kepala sahaja.
Tapi, ada lagi kegunaan ketayap
Untuk dihidang dengan kopi-o
Bila ia berinti kelapa.


Wednesday, January 14, 2004

BAHASA TERBALIK?

BANYAK ungkapan pervakapan harian kita adalah terbalik, terutamanya apabila menyuruh atau mengajar kanak-kanak. Sebagai contoh jika dikatakan jangan maknanya buatlah, pergi maknanya duduk diam dan banyak lagi. Contohnya, bahasa paling efektif nak suruh anak-anak duduk di rumah ialah suruh dia keluar berjalan. Eh mengapa duduk rumah saja ni, mengapa tak pergi berjalan?. Ni awal lagi ni, baru pukul 10 malam dah balik?. Jika bagi anak yang reti bahasa, dia akan fahamlah itu ialah arahan supaya jangan keluar rumah. Kemudian jika anak-anak yang suka sangat panjat pokok misalnya, jika dikata jangan panjat pokok tu, nanti jatuh, atau banyak semut kat pokok tu .... alahai sekelip mata saja budak tu dah sampai ke dahan pokok atau dah jatuh ke tanah sebab begitu cepat menerima arahan supaya panjat pokok tersebut. Tetapi jika dikatakan eh, mengapa tak panjat pokok ni, panjatlah... alamak selamatlah pokok tu dari dipanjat. Ini adalah sebahagian kecil daripada arahan terbalik dalam bahasa kita. Yang membezakannya ialah nada suara....

Ada dua kemungkinan di sini: Samada yang bercakap memang terbalik atau yang mendengar faham percakapan sebagai terbalik. Namun bagi arahan bertulis yang tidak mempunyai nada suara pula, contohnya e-mel: Jika tajuknya ialah "jangan buka" atau "jangan baca" fuhhh... memang ramai yang akan buka & baca walaupun hasrat pengirim hanyalah untuk testing sahaja dan kandungan dalam mel tersebut berbunyi "eh aku kata jangan buka, mengapa degil sangat?".

Menyedari akan keistimewaan dalam bahasa dan orang kita ini, kadang-kadang orang politik menggunakan bahasa politik yang memang sukar utuk difahami. Jika PM kata "harga kereta tidak akan turun selepas AFTA", alamak maknanya harga kereta akan murahlah tu... dan macam-macam tafsiran lagilah.

p/s: ntah apa-apalah mba ni.... ;-)

Monday, January 12, 2004

YU LUK DE SEM

PADA tahun 1989 mba menghadiri kursus kejuruteraan sistem selama enam bulan di Okinawa, Jepun. Terdapat 13 peserta kursus dari pelbagai negara dalam kelas tersebut dan kami dikendalikan oleh seorang koordinator. Sepuluh tahun kemudian, iaitu pada tahun 1999 sekali lagi mba menghadiri kursus di tempat yang sama, kali ini kursus pengurusan DP.

Selepas 10 tahun berpisah, mba berjumpa lagi dengan koordinator tersebut, Oshiro-san. Beliau amat terperanjat bila bertemu saya dan perkataan pertama yang keluar dari mulutnya ialah You look the same (yu luk de sem). Pada Disember lepas, saya ke Bangkok kerana menghadiri seminar dan membuat temujanji dengan rakan sekursus pada tahun 1999 tersebut. Dan... perkataan pertama yang keluar juga adalah Yu luk de sem !. Padahal pada masa ini mba dah terima pingat PJK rasanya. (PJK = Perut Jalan Dulu atau Perut Jauh Ke depan ... jangan marah..). Kemudian kami poskan gambar kami berdua dalam laman web groups kursus dan sekali lagi menerima kata-kata yu luk de sem. Eh...eh, PJK dah dapat, rambut dah bertukar warna, masih yu luk de sem?. Agaknya tak ada ungkapan lain yang lebih sesuai kot?. Pagi ini mba ke JP* sesudah tidak pernah menjenguk pejabat ini sejak sekian tahun setelah ia berpindah ke Putrajaya. Biasalah ke JP* ini atas urusan pertukaran (hint: anak buah, bukan diri sendiri) dan sekali lagi ....(ungkapan dalam bahasa kita). seronoknya!.

Baguslah jika yu luk de sem jika kita tidak bertambah buruk. Apapun yang hendak mba perkatakan di sini ialah bukan mengenai bentuk fizikal, tetapi mengenai perangai. 20 tahun yang lalu mba kenal seseorang berjawatan eksekutif yang boleh dikategorikan sebagai sombong (semua orang kata begitu). Kini dah jadi CEO tetapi masih membawa perangai yu luk de sem juga ....

Semoga kita semua bertambah baik dari hari ke hari.


Sunday, January 11, 2004

BATIK: Bikin Serupa Cakap



saya galakkan staf kerajaan (semua rakyat juga) pakai batik pada hari Sabtu (hari lain juga). Saya bikin apa yang saya cakap. Yang pakai bush jaket dalam rombongan saya ni semuanya bodyguard saya belaka.


...
* ketika bosan menanti STREAMYX yand selalu tak berfungsi.

Saturday, January 10, 2004

KITA INI MANUSIA APA



Kita ini manusia jenis apa
Setiap hari depan komputer
Tulis cerita sendiri
Baca sendiri
Syok sendiri

Kita ini manusia jenis apa
Tulis entah apa-apa
Harap semua orang baca
Dedah apa saja pada dunia

Kita ini manusia jenis apa
Tulis sembarangan
Macam cakap sorang-sorang
Girang bila ramai datang
Sedih bila hits tak melambung
Moncong bila tamu tak bergebang

Kita ni manusia jenis apa
Kejap-kejap telek komputer
Kejap-kejap tengok kaunter
Pandai tulis apa saja

Kita ini manusia jenis apa
Hari-hari tulis blogger
Tapi bila bos suruh tulis kertas kerja
Eh..eh saya banyak kerja, takder masa.

Kita ini manusia alpa
Kita ini manusia blogger

Friday, January 09, 2004

HUJUNG-AWAL TAHUN

RASA-rasanya pada masa ini kebanyakan staf kerajaan sedang di peringkat akhir mengisi dan menyiapkan borang Laporan Prestasi 2003 yang perlu dihantar sekarang. Selain daripada itu ada juga yang barangkali sedang bergelut untuk menyiapkan Sasaran Kerja Tahunan (SKT) 2004. Bagi sesetengah JAbatan/ Kementerian, SKT ini telah disiapkan pada hujung tahun lepas. Malahan ada yang siap pergi bermalam di hotel-hotel atau tempat rekreasi untuk menyedia dan menyiapkan SKT ini. Heh..heh... bagi yang kureng sikit tu, SKT 2003 belum siap atau entah ke mana adanya. Beginilah kita semua...

Selain dari perkara di atas, perkara asas dan paling penting bagi staf gomen ialah Senarai Tugas, Fail Meja dan Manual Prosedur Kerja (MPK). Setiap staf wajib ada dan mengemaskini perkara-perkara tersebut. Namun ada yang kemaskini ada yang masih lagi di zaman Tok Kadok dulu. Apa yang nak saya perkatakan ialah, betapa susahnya nak mencari rujukan untuk membuat SF, FM, MPK dan SKT ini. Walhal majoriti dari fungsi adalah lebih kurang sama sahaja antara satu jabatan dengan jabatan yang lain. Jika mudah untuk mendapat rujukan masakan ada staf yang langsung tidak kemaskini dan tidak perlulah kementerian habiskan duit ribu-ribu untuk melakukan perkara ini saban tahun (Jabatan/ Kementerian ada lagi yang perlu dibuat selalau.... seperti Objektif, Visi, Misi, Piagam Pelanggan dan seterusnya).

Kalaulah banyak sampel perkara-perkara tersebut di atas dapat dirujuk dalam Internet sahaja, saya rasa tentu banyak pahala kepada yang bersedekah ST, FM, MPK, SKT mereka tu. Juga tentu banyak pihak yang boleh senang.

wassalam.

Thursday, January 08, 2004

KAD SALAM IDULADHA & MAAL HIJRAH UTK SEMUA PEMBACA

SEPANJANG usia anda, berapa kerapkah anda menerima Kad Hari Raya Haji atau Kad Hari Raya AidilAdha berbanding dengan Kad Hari Raya Puasa atau Kad Hari Raya Aidilfitri?. Berapa kerap pula anda menerima Kad Salam Maal Hijrah berbanding dengan Kad Tahun Baru? Mungkin ada di antara anda yang menjawab TIDAK PERNAH!. Adakah anda ingin menerika kad tersebut dari MBA?. Kad seperti di bawah (kad betul, bukan e-card) akan diposkan kepada semua pembaca yang mengemukakan nama & alamat mereka di buku pelawat Blog MBA2U (sehingga stok habis...)



Coretlah apa sahaja dalam buku pelawat tersebut, tinggalkan nama & alamat dan insyaallah kad akan diposkan. Selamat Hari Raya AidilAdha & Salam Maal Hijrah.

Wednesday, January 07, 2004

RABUN E-MEL

DALAM membicarakan tentang EG, kita tidak dapat lari daripada membicarakan tentang Internet dan e-mel. Sekiranya pegawai tak tahu baca e-mel, bagaimana EG boleh berjaya?. Tak tahu membaca? Rasanya mustahil sebab mana ada lagi rakyat yang buta huruf di negara kita. Yang dimaksudkan di sini ialah tidak tahu menggunakan atau tidak cekap atau tidak beretika menggunakan e-mel. Saya yakin ramai lagi pegawai kerajaan yang tidak tahu menggunakan e-mel. Keyakinan ini berdasarkan kepada pemerhatian dan pengalaman saya mengendali beberapa mailing-list.

Ada pegawai yang membaca dan menjawab mel melalui hardcopy @ kertas. Bagaimana?. Setiausaha mereka akan mencetak mel tersebut, meletakkan dalam tray masuk, mereka membaca dan menderaf jawapannya (jika perlu) dan setiausaha tersebut menaip jawapan/membalas mel tersebut. Kategori ini rasanya adalah cekap sebab mel-mel penting tidak terlepas walaupun mereka mungkin sibuk atau tiada di pejabat. Setiausaha mereka boleh membantu .

Ada pegawai yang boleh menggunakan emel terus dari PC. Dia cuma tahu baca dan reply sahaja. Lain-lain fungsi, khususnya cc tidak lagi dihairaukan. Yang lebih malang ialah apabilabeliau mendapat mel dari mailing-list. Oleh kerana reply sahaja yang diketahui, maka jawapan yang diberikan hanya untuk seorang sahaja akan dihantar ke seluruh dunia!. Ini akan menambahkan mel yang tidak berkaitan atau spam. Pengguna jenis ini tidak tahu mahu membaca hingga ke penghujung mel. Tidak mahu unsubscribe sendiri, tidak menghubungi administrator atau post master, tetapi sebaliknya menghebahkannya ke saentero dunia yang dia setuju, tak setuju atau mahu unsubscribe.


Etika-etika lain penggunaan e-mel ialah yang selalunya tidak dihairaukan langsung misalnya ialah penggunakan smiley, menjawab dalam masa tertentu dan menggunakan huruf BESAR semuanya. Pihak MAMPU ada mengeluarkan satu garis panduan untuk pegawai kerajaan berurusan melalui Internet yang boleh dilihat di sini. Panduan ini dalam format PDF.

Berdasarkan kepada point di atas, saya yakin era EG masih jauh lagi ...






Tuesday, January 06, 2004

KERAJAAN ELEKTRONIK BERGERAK PERLAHAN

Tajuk di atas adalah merupakan tajuk artikel daripada pullout sebuah akhbar tempatan. Apakah yanh difahami dengan unggkapan Kerajaan Elektronik (EG)?. Lain orang mungkin berlainan takrifan dan tanggapannya. Takrifan umum mungkin suatu kaedah atau kemudahan di mana rakyat boleh berurusan dengan kerajaan melalui perantaraan PC dan Internet ataupun ICT. Bagi kakitangan kerajaan rasanya, EG lebih tertumpu kepada 6 aplikasi perdana. Ia itu GOE, PMS, HRMIS, ELX, EP dan eServices.

Kajian menunjukkan bahawa penggunaan EG oleh rakyat Malaysia adalah sekitar 15% pada tahun 2003, meningkat 2% dari tahun sebelumnya. Walau bagaimanapun penggunaan ini majoritinya hanya tertumpu kepada pencapaian maklumat sahaja. Sementara rata-rata usia 'rakyat' yang menggunakan EG ini adalah golongan muda belaka. Boleh dikatakan sebagai generasi SMS. Mengikut kata survey, halangan paling besar untuk berurusan dengan EG ialah faktor keselamatan Internet.

Di suatu pihak lagi pula, kemungkinan infrastruktur seperti PC, talian Internet dan aplikasi yang masih belum bersedia sepenuhnya. Walau bagaimanapun adalah dipercayai perubahan minda dan peralihan paradigma di kedua-dua belah pihak, iaitu rakyat dan pegawai kerajaan adalah merupakan faktor penting dan penentu kejayaan atau kegagalan EG.

...
* dlm LRT dan Komuter dari Jelatik ke Shah Alam

Monday, January 05, 2004

HARI PERTAMA 2004

Hari ini bolehlah dikatakan hari pertama 2004. Ini ialah kerana ia adalah merupakan hari pertama persekolahan dan kebanyakan pejabat mula dipenuhi oleh pekerja semula setelah para pekerja menghabiskan cuti tahunan mereka. Sungguhpun begitu, ibu bapa yang mempunyai anak dalam darjah 1 atau tingkatan 1 masih lagi bercuti kerana menghantar anak ke sekolah.

Seperti yang telah diduga, Kuala Lumpur telah kembali kepada keadaan yang asal, iaitu kesesakan jalan raya. Hampir semua jalan telah kembali sesak seperti biasa. Kesasakan ini sekurang-kurangnya akan bertahan untuk 6 bulan lagi setelah lebuhraya PLUS ditutup kerana runtuhan batu di Bukit Lanjang.

Pada tahun ini MBA tidak perlu lagi menghantar dan mengambil anak di sekolah. Semenjak 1998 anak-anak MBA belajar di SKSH Alam Shah. Ada masanya hingga 4 orang bersekolah di sini serentak pagi dan petang. Yang bersekolah pagi terpaksa pulang senja menunggu yang sekolah petang. Yang sekolah petang terpaksa keluar lepas subuh bersama yang sesi pagi. Nasib baik pada masa senggang ada sesi sekolah ugama dan kemudiannya tuisyen dari DBKL di situ juga. Oleh kerana sekolah ini berhampiran dengan pejabat, maka MBA jadi setia dengan ofis, tetap ke ofis walaupun sebentar di waktu pagi dan petang walaupun ada urusan di luar pejabat. Kerja out-station selalu saja dielak jika bukan terpaksa.

Kini kerana ada ura-ura yang pejabat MBA akan ditutup dengan berakhirnya projek Mac ini, maka MBA sudah tukarkan seorang yang masih di sekolah rendah ke sekolah lain yang berhampiran dengan rumah. Bolehlah dia menaiki bas sahaja nanti. Yang sekolah menengah dah berdikari dengan bas dan LRT. Jadi kini bolehlah agak bebas sedikit ke ofis ataupun menggunakan LRT sahaja sementara mencari ofis baru ...
* sementara menunggu anak balik sekolah.

Sunday, January 04, 2004

TELAH KU TEMUI

TAHUN 2004 ini dimulai dengan cuti yang agak panjang - 6 hari. Biasanya mba2u dikemaskini menggunakan notebook di rumah. Namun terfikir juga untuk melakukannya secara lebih mudah - samada menggunakan telefon bimbit atau PDA.

Beberapa perisian dicuba dan akhirnya menemui VAGABLOG iaitu perisian yang berupaya membuat posting terus kepada blog seperti movable type, wordpress, blogger dan journalspace. Perisian ini boleh didownload dari www.palmgear.com




* posting ini dilakukan sepenuhnya menggunakan PDA , iaitu Treo 600

Saturday, January 03, 2004

UJIAN POS DARI TREO

nota ini dipos dari Treo 600 secara offline.

ISLAM ADA WARNA TERTENTU?

HIJAU dikaitkan dengan warna Islam dan merupakan warna tradisional Islam yang bersimbulkan keamanan dan keharmonian. Ini diperkuatkan dengan hadis "Warna yang disukai nabi s.a.w. ialah hijau manakala pakaian yang digemari ialah habarah seperti kemeja panjang berwarna putih. (Riwayat Bukhari Muslim)". Untuk itu, semenjak sekian lama banyaklah warna HIJAU digunakan dalam pelbagai perkara seperti pakaian dan sebagainya. Salah satu daripadanya ialah sampin untuk sekolah ugama.

Namun mulai 2004, warna sampin untuk sekolah ugama di Melaka akan ditukar dari hijau ke hitam. Alasan utama ialah, warna hijau telah lama digunakan dan telah patut ditukar. Warna hitam dipilih kerana jika kotor, ia tidak susah kelihatan berbanding warna hijau. Cetek sungguh alasan yang diberikan. Budak-budak kecik sudah diajar untuk menipu dan menyembunyikan kesalahan dan kekotoran. Jika kekotoran itu tak nampak kerana hitamnya warna, maka agaknya ia tidak najis dan bolehlah dibawa sembahyang. Allah dan malaikatNya juga hendak ditipu begini?. Bukankah Islam mengutamakan kebersihan?.

Sila baca di sini untuk buat penilaian sendiri.

SAJEN

Budak-budak sampin hijau
Banyak sangat buat kacau
Kita mesti cari suatu akal
Warna itu sampin kena tukar

Apa warna yang sesuai?
Merah nanti orang marah
Sebab itu warna darah
Biru nanti ramai yang keliru
Itu kan warna alternatif
Kuning lagilah pening
Ini warna pengantin

Merah, kuning biru …
Apa lagi warna yang ada?

Putih?… oh terlalu bersih
Hmmmm… warna hitam! - tentu menawan
Lagipun jika kotor tak kelihatan
Bolehlah bawa sembahyang

Malaikat mungkin tak perasan?

ISLAM - Wajibkah Bertudung?

RASANYA semua orang Islam tahu hukum menutup aurat. Walau bagaimanapun pendapat dari Sheikh Al-Azhar nampak seolah-olah hukum menutup aurat bagi wanita Islam hanya terpakai di negara Islam sahaja. Di negara bukan Islam seperti Perancis misalnya, hukum ini tidak terpakai dan bergantunglah kepada pemerintah negara berkenaan.

Baca berita ini untuk tatapan sendiri. Menurut berita tersebut, Sheikh Tantawi ini dilantik setelah mendapat persetujuan Amerika terlebih dahulu, jadi tidak ada apalah yang perlu dihairankan.

Friday, January 02, 2004

AIR ASIA



MBA belum pernah menaiki kapalterbang AirAsia yang dikatakan murah itu. Mengikut apa yang diiklankan dan apa yang diceritakan oleh kawan-kawan yang pernah menaikinya, harganya memang murah. Namun dalam sehari dua ini media ada mengeluarkan berita mengatakan yang AirAsia seperti menipu dengan mengiklankan tambang murah tersebut kerana cuma 20-30 peratus sahaja yang murah sedangkan yang lainnya adalah harga biasa. Mereka ini agak marah kerana harga biasa tersebut walaupun lebih murah sedikit berbanding MAS, tetapi tidak menyediakan makanan dan perkhidmatan lain, maka harganya dikatakan tinggi.

Mereka meminta supaya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri & Hal Ehwal Pengguna menyiasat perkara ini. Penyiasatan ini bermaksud adakah iklan tambang murah tersebut betul atau tidak. Jika tidak betul tindakan perlu diambil. Jika betul tambangnya memang murah, dia juga patut disiasat mengapa dijual murah. Ia boleh merugikan penerbangan lain yang tidak menjual tiket murah. Dulu kapalterbang bersaing dengan bas dan keretapi sahaja, sekarang kapalterbang bersaing dengan kapalterbang. Maka syarikat kapalterbang besar juga rasa tergugat lalu membuat kempen tambang murah juga, namun pihak tertentu telah mengarahkan supaya menghentikannya. Mungkin takut bas dan keretapi tak laku kot?.

Agak pelik juga mengapa tidak disiasat harga jualan makanan dan minuman dalam pesawat adalah terlalu mahal hinggakan apabila makanan/minuman tidak disediakan, tiket boleh dijual murah. Mengapa ingin siasat yang murah saja?. Lebih-lebih lagi pelik bila AirAsia dinasihatkan supaya angkut penumpang dalam negara sahaja sebab jika ke luar negara, ia tidak meningkatkan sektor pelancongan negara sebab rakyat biasa sudah boleh keluar negara (sebab tambangnya murah).

HAIKU:
Tiket yang murah
Tambang dipersoalkan
Oh AirAsia

BERUBAH LAGI

SEKALI air bah, sekali pantai berubah. Blog ini berubah lagi dan ia adalah merupakan suatu perubahan sementara (barangkali) untuk berubah lagi. Sebab utama perubahan dilakukan ialah kerana template terdahulu kerap memberi masalah seperti hang atau browser crashed. Template sebelum ini pula banyak sangat pop-up yang ikut menyusul. Template pada kali ini terpaksa meminjam (tanpa izin) dari Inai untuk menguji samada masalah-masalah sebelumnya masih muncul lagi atau sudah bertkurangan.

Salam kemaafan untuk semua.

Thursday, January 01, 2004

SELAMAT TAHUN BARU 2004

Selamat Tinggal 2003:
2003 tidak mungkin menjelma lagi.
Pencapaian 2003 mungkin tidak terkejar lagi
- 3X ke Luar Negeri
- 2 anak dpt homestay di Jepun
- Kawan-kawan baru & lama
- eSastera
- eNovel
- AKC
- [banyak lagi]

Harapan 2004:
- MBA 11
:-)