Labels

Monday, January 19, 2004

GATH 2005 LEBIH GAH


HAMPIR seratus orang pengamal syok sendiri blog telah berkumpul untuk makan malam di restoran Nelayan, Tasik Titiwangsa pada 17 Januari 2004. Majlis makan malam ini dikenali sebagai GATHering Gengjurnal 2004. Adalah difahamkan Gengjurnal adalah satu ikatan tidak bertali antara pengamal-pengamal jurnal khasnya yang berbahasa Melayu. Lebih 800 ahli telah mendaftar mengganggotai gengjurnal. Kesemua yang hadir terdiri daripada geng blog yang muda belia semuanya, kecuali seorang dua yang tersilap hadir untuk meninjau dunia blog orang muda. Saya rasa saya adalah hadirin yang paling tua lama pada malam tersebut sebelum kedatangan sdr EP yang hadir di penghujung majlis. [Yang senior macam Sri Diah pun ada, tapi dia muda lagi ;-) ]

Jadi pengamatan saya adalah dari kacamata orang lama (yang masih baru dalam blog) dengan harapan semoga Gath 2005 akan lebih meriah, bermenafaat dan bermakna.

Ramai orang berpendapat pemilihan Nelayan Titiwangsa adalah tidak tepat dengan gath sebegini. Apatah lagi tidak sebarang kemudahan AV yang boleh digunakan. Majlis tersebut sekadar sesuai untuk makan malam dan itu sahaja. Namun dengan kos yang terbatas, saya rasa tidak ada cacat celanya Nelayan Titiwangsa dipilih, kecuali masanya sahaja yang tidak sesuai. Saya pernah menganjurkan high-tea sempena Tahun Baru Cina pada tahun lepas yang dihadiri oleh kira-kira 150 hadirin. Restoran belum dibuka untuk orang awam pada masa ini dan keseluruhan restoran adalah milik kita dan kemudahan AV ada disediakan. Gath 2005 juga boleh diadakan dengan lebih meriah dan gah sekiranya yuran penyertaan dapat disubsidi. Bagaimana?. Saya rasa cara terbaik ialah dengan menjual meja. Jika sebuah meja dijual dalam sekitar RM1000 pada tempat yang sesuai, rasanya tidak menjadi apa-apa masalah.

Oleh kerana ketiadaan kemudahan, sudah tentulah pengumuman mengenai anugerah-anugerah yang dipertandingkan menjadi hambar dan jurusuara terpaksa memekik. Saya yakin para AJK boleh buat dengan lebih baik seperti menayangkan multimedia blog yang dicalonkan, video klip para juri, temuramah dengan calon, sesi membaca sedutan dari blog dan banyak lagi….. orang muda tentu amat kreatif mengenai perkara ini. Tengok pada 2005 nanti ya!.

Selain dari makan-makan dan permainan bowling di sebelah siangnya, saya ingin mencadangkan supaya GATH 2005 diadakan secara yang lebih profesional, lebih berbentuk akademik. Misalnya kita boleh adakan seperti simposium, bengkel atau seminar mengenai dunia blog. Panggil seorang dua yang berkenan di hati untuk bercakap sesuatu mengenai teknologi blog atau kandungan blog dan yang sewaktu dengannya. Kemudian adakan bengkel samada secara verbal atau dalam blog masing-masing mengenai cara-cara untuk meningkatkan penggunaan blog ke, memantapkan gengjurnal ke. Tidak lupa juga dengan ukhwah… berkenal-kenalan dan memperkenalkan hadirin yang datang. Mungkin boleh diadakan buku cenderamata atau secara maya sahaja.

Kembali kepada anugerah, saya agak kecewa apabila keputusan mengenai pemenang ini masih tidak lagi disiarkan di laman gengjurnal ataupun mana-mana ahli yang hadir (setakat yang saya tahu). Kita akan ketinggalan jauh nun sayup ke belakang sekiranya perkara begini tidak cepat-cepat dihebahkan. Sepatutnya ia boleh dilakukan secara live dan ahli di seluruh dunia boleh mengetahuinya dengan segera. Hmmm…. Mungkin saya boleh syorkan kita adakan video conference dengan rakan blog di luar negara (jika masa adalah bersesuaian) sebagai salah satu daripada aktiviti semasa GATH 2005. [Penggunaan kemudahan VC secara percuma boleh diuruskan]. Geng blog juga patut sekali menjadi suatu komuniti yang aktif, bukan setakat berkenal-kenal sesama sendiri sahaja, tetapi juga membuat promosi kepada masyarakat yang masih belum mengenali blog, faedah-faedah blog dan banyak lagi aktiviti yang sihat.

Adik-adik mungkin tidak tahu atau tidak ingin ambil tahu yang ada di kalangan rakan blog kita mungkin akan dikenakan tindakan mahkamah kerana menulis blog. Itu hari dia, mungkin esok lusa giliran kita pula, siapa tahu?. Soal-soal kebajikan sesama rakan blog sebegini saya rasa perlu ditangani oleh kita semua, ya siapa lagi kalau bukan kita?.

Akhirnya …. (banyak lagi yang ingin dicatat, namun saya tidak suka entri blog saya terlalu panjang, nanti orang tak baca – sebab saya tak suka baca entri yang panjang) saya rasa gengjurnal perlu didaftarkan secara sah, samada dengan ROS atau ROC atau ROB supaya perjalanannya lebih terurus.

MAAF jika pandangan orang lama ini menyakitkan anak-anak & adik-adik semua:

No comments: