Labels

Sunday, January 18, 2004

Testing Dari KLCC

di KLCC bersama wkdin, abedib,& fahroe

Saturday, January 17, 2004

CINTAI KERJAYA ANDA JANGAN JATUH CINTA DENGAN PEJABAT

TERBACA entri weblog Sri Diah terus memutuskan untuk menulis pasal tajuk ini. Rancangan asalnya ingin berehat sahaja pada Sabtu & Ahad dari menulis (sebab kat pejabat hari cuti ditentukan oleh majikan, jadi menulis weblog sendiri eloklah ditentukan sendiri hari cutinya ...)

Sebenarnya pesanan seperti tajuk di atas kononnya dibuat oleh seorang Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) yang sangat berpengaruh dalam IT (Mr. Narayana Murthy's ) dan menjadi penasihat IT kepada Perdana Menteri Thailand. Setiap pekerja mesti mencintai kerjayanya kerana itulah punca rezekinya. Segalam kemahiran dan selok belok pekerjaannya mestilah diketahui dengan mendalam. Selagi kita bekerja dengan syarikat, bolehlah kita curahkan kepakaran kita. Namun... harus diingat juga yang syarikat tidak akan memerlukan kita selama-lamanya. Mungkin setelah dapat gading bertuah, tanduk tidak berguna lagi. Mungkin juga syarikat tidak dapat keuntungan yang banyak dan kitalah yang pertama diminta secara terhormat untuk meninggalkan syarikat. Malahan macam-macam sebab lagi boleh terjadi. Jadi, jika sudah jatuh cinta dengan syarikat dan syarikat pula sudah tidak memerlukan kita, takut-takut nanti kita jadi gila bayang atau gila talak dengan syarikat, susah jadinya nanti .....

Mr. Narayana seterusnya menasihatkan supaya pekerja jangan menghabiskan masa hingga 12 jam di syarikat atau kerja sampai larut malam ataupun mengorbankan hari minggu dan cuti semata-mata untuk syarikat. Seterusnya beliau mencadangkan rutin begini:-

1) Bangun awal, makan pagi yang baik dan pergi/mulakan kerja
2) Kerja keras dan baik secara smart dalam masa pejabat
3) Pulang ke rumah
4) Baca buku/komik, menonton, main dengan anak-anak dll
5) Makan makanan yang baik dan tidur dengan nyenyak
(mba: jangan buang masa dengan YM - ia membuang masa)

selamat bekerja.

Friday, January 16, 2004

SABTU KERJA

RAMAI kakitangan awam berasa was-was samada esok (Sabtu ketiga) adalah hari kerja atau tidak bekerja. Sepatutnya ia memang Sabtu cuti, namun ada khabar-khabar angin mengatakan yang ia adalah Sabtu kerja untuk digantikan dengan Sabtu minggu Tahun Baru Cina nanti. Biasanya pengumuman begitu dibuat pada petang hari Rabu (iaitu selepas mesyuarat kabinet). Oleh kerana tidak ada berita maka ia adalah status quo sahajalah. Lagipun jika esok adalah hari kerja tetapi ingin dijadikan hari cuti, maka pengumuman boleh saja dibuat malam ini ataupun esok pagi. Tetapi... jika hari cuti hendak dijadikan hari kerja, ia kenalah dimaklumkan lebih awal lagi ....

Kembali kepada Sabtu kerja ini, ada rakan sepejabat saya yang semua hari Sabtu kerja sepanjang tahun ia akan bercuti, malahan cutinya telahpun dipohon untuk sepanjang Sabtu bagi setahun..... Alasan? rasanya hendak bersama keluarga & suami yang tidak bekerja Sabtu. Rakan saya dari Filipina & Thailand memberi tahu yang kakitangan kerajaan di sana memang tidak bekerja pada Sabtu dan Ahad. Alasannya ialah kakitangan kerajaan bergaji murah, jadi biarlah sektor swasta yang bergaji mahal bekerja Sabtu atau Ahad jika mereka mahu. Malahan siang-malam juga ;-) . Rasanya di negara maju lain juga Sabtu adalah hari cuti bagi kakitangan kerajaan mahupun swasta mereka. Mengapa kita masih bekerja pada hari Sabtu?. Bos saya dulu-dulu pernah berkata yang kerajaan memang berhajat nak jadikan Sabtu & Ahad sebagai cuti hujung minggu. Namun... jika begitu maka Malaysia akan hanya bekerja 3 harti sahaja seminggu, bukannya 5 hari.

Hari-hari bekerja tersebut ialah Isnin, Selasa & Rabu sahaja.... Khamis (setengah hari di beberapa negeri), Jumaat (cuti di beberapa negeri), Sabtu & Ahad (cuti di beberapa negeri). Hmmm... logik juga pendapat bos ni.

Thursday, January 15, 2004

KETAYAP

DALAM sehari dua ini (dan akan berterusan untuk sekian lama lagi) kita dapati kes mahkamah pembunuhan Canny Ong saban hari tersiar dalam media cetak & elektronik. Apa yang menarik perhatian saya untuk menulis ialah tertuduh yang memakai kopiah, ketayap atau songkok putih itu. Tidak ada apa yang istimewanya dengan pakaian tersebut, sekadar untuk tutup kepala sahaja. Saya percaya ia bukanlah pakaian harian yang tertuduh sebelum ini, namun apabila sudah tertangkap ia sudah menjadi sinonim dengannya. Mengapa memakai ketayap?.

Jika di Indonesia, sesiapapun boleh / biasa pakai songkok (hitam). Di Malaysia, pemakaian songkok biasanya untuk orang Islam atau untuk upacara rasmi sahaja. Namun memekai kopiah ini biasanya untuk tujuan baik-baik sahaja seperti nak pergi sembahyang, kenduri arwah, menziarahi orang yang meninggal dan yang sewaktu dengannya. Adalah sudah menjadi semacam suatu kebiasaan, mengkaitkan pemakai kopiah dengan yang baik-baik. Jadi apabila tertuduh memakai kopiah di mahkamah.... apakah sebenarnya yang ingin digambarkan oleh beliau?. Sebenarnya beliau adalah orang yang baik (tidak bersalah) atau beliau sudah insaf (ingin bertaubat & jadi orang baik) atau ingin menggambarkan orang pakai kopiah ini memang orang jahat? .... Sinonim pakai kopiah & orang alim ini sudah lama sebati, macam orang perempuan pakai tudung juga. Jika satu kesalahan yang sama dilakukan oleh seorang yang bergelar ustaz dengan orang biasa, atau orang bertudung dengan tidak, atau orang berkopiah dengan bertopi, sudah tentu masyarakat memandang orang bertudung, berkopiah atau ustaz itu adalah lebih jahat walaupun kesalahannya sama sahaja....

Demi untuk menjaga maruah kopiah (hah.. mana makhluk ini ada maruah), elok sangat rasanya pihak-pihak tertentu seperti Persatuan Ulamak misalnya mencadangkan ia tidak sesuai dipakai di tempat-tempat seperti itu....

Ini ialah SAJEN (sajak jenaka) saya mengenai KETAYAP yang pernah disiarkan dalam komuniti SAJEN dulu ....


Ketayap

Ketayap itu berbagai gaya adanya:
Yang putih kopiah namanya
Hitam pula songkok, berbagai jenama
Merah dah jadi tarbus, Turki asalnya
Bercorak pula untuk fesyen gayanya


Ketayap itu banyak kegunaan:
Di surau untuk ikut imam
Atas motor untuk elak saman
Ahli parti dalam perhimpunan
Dalam mahkamah mintak kasihan


Kawanku kata:
Bila kaulihat ketayap pemandu kereta
Jangan banyak berkata-kata, caci nesta
Awasi brek, kiri kanan perlu dijaga
Sebab apa?...
(Mengapa tak per-ca-ya?)

Ketayap... apa juga nama
Gunanya untuk tutup kepala sahaja.
Tapi, ada lagi kegunaan ketayap
Untuk dihidang dengan kopi-o
Bila ia berinti kelapa.


Wednesday, January 14, 2004

BAHASA TERBALIK?

BANYAK ungkapan pervakapan harian kita adalah terbalik, terutamanya apabila menyuruh atau mengajar kanak-kanak. Sebagai contoh jika dikatakan jangan maknanya buatlah, pergi maknanya duduk diam dan banyak lagi. Contohnya, bahasa paling efektif nak suruh anak-anak duduk di rumah ialah suruh dia keluar berjalan. Eh mengapa duduk rumah saja ni, mengapa tak pergi berjalan?. Ni awal lagi ni, baru pukul 10 malam dah balik?. Jika bagi anak yang reti bahasa, dia akan fahamlah itu ialah arahan supaya jangan keluar rumah. Kemudian jika anak-anak yang suka sangat panjat pokok misalnya, jika dikata jangan panjat pokok tu, nanti jatuh, atau banyak semut kat pokok tu .... alahai sekelip mata saja budak tu dah sampai ke dahan pokok atau dah jatuh ke tanah sebab begitu cepat menerima arahan supaya panjat pokok tersebut. Tetapi jika dikatakan eh, mengapa tak panjat pokok ni, panjatlah... alamak selamatlah pokok tu dari dipanjat. Ini adalah sebahagian kecil daripada arahan terbalik dalam bahasa kita. Yang membezakannya ialah nada suara....

Ada dua kemungkinan di sini: Samada yang bercakap memang terbalik atau yang mendengar faham percakapan sebagai terbalik. Namun bagi arahan bertulis yang tidak mempunyai nada suara pula, contohnya e-mel: Jika tajuknya ialah "jangan buka" atau "jangan baca" fuhhh... memang ramai yang akan buka & baca walaupun hasrat pengirim hanyalah untuk testing sahaja dan kandungan dalam mel tersebut berbunyi "eh aku kata jangan buka, mengapa degil sangat?".

Menyedari akan keistimewaan dalam bahasa dan orang kita ini, kadang-kadang orang politik menggunakan bahasa politik yang memang sukar utuk difahami. Jika PM kata "harga kereta tidak akan turun selepas AFTA", alamak maknanya harga kereta akan murahlah tu... dan macam-macam tafsiran lagilah.

p/s: ntah apa-apalah mba ni.... ;-)

Monday, January 12, 2004

YU LUK DE SEM

PADA tahun 1989 mba menghadiri kursus kejuruteraan sistem selama enam bulan di Okinawa, Jepun. Terdapat 13 peserta kursus dari pelbagai negara dalam kelas tersebut dan kami dikendalikan oleh seorang koordinator. Sepuluh tahun kemudian, iaitu pada tahun 1999 sekali lagi mba menghadiri kursus di tempat yang sama, kali ini kursus pengurusan DP.

Selepas 10 tahun berpisah, mba berjumpa lagi dengan koordinator tersebut, Oshiro-san. Beliau amat terperanjat bila bertemu saya dan perkataan pertama yang keluar dari mulutnya ialah You look the same (yu luk de sem). Pada Disember lepas, saya ke Bangkok kerana menghadiri seminar dan membuat temujanji dengan rakan sekursus pada tahun 1999 tersebut. Dan... perkataan pertama yang keluar juga adalah Yu luk de sem !. Padahal pada masa ini mba dah terima pingat PJK rasanya. (PJK = Perut Jalan Dulu atau Perut Jauh Ke depan ... jangan marah..). Kemudian kami poskan gambar kami berdua dalam laman web groups kursus dan sekali lagi menerima kata-kata yu luk de sem. Eh...eh, PJK dah dapat, rambut dah bertukar warna, masih yu luk de sem?. Agaknya tak ada ungkapan lain yang lebih sesuai kot?. Pagi ini mba ke JP* sesudah tidak pernah menjenguk pejabat ini sejak sekian tahun setelah ia berpindah ke Putrajaya. Biasalah ke JP* ini atas urusan pertukaran (hint: anak buah, bukan diri sendiri) dan sekali lagi ....(ungkapan dalam bahasa kita). seronoknya!.

Baguslah jika yu luk de sem jika kita tidak bertambah buruk. Apapun yang hendak mba perkatakan di sini ialah bukan mengenai bentuk fizikal, tetapi mengenai perangai. 20 tahun yang lalu mba kenal seseorang berjawatan eksekutif yang boleh dikategorikan sebagai sombong (semua orang kata begitu). Kini dah jadi CEO tetapi masih membawa perangai yu luk de sem juga ....

Semoga kita semua bertambah baik dari hari ke hari.


Sunday, January 11, 2004

BATIK: Bikin Serupa Cakap



saya galakkan staf kerajaan (semua rakyat juga) pakai batik pada hari Sabtu (hari lain juga). Saya bikin apa yang saya cakap. Yang pakai bush jaket dalam rombongan saya ni semuanya bodyguard saya belaka.


...
* ketika bosan menanti STREAMYX yand selalu tak berfungsi.

Saturday, January 10, 2004

KITA INI MANUSIA APA



Kita ini manusia jenis apa
Setiap hari depan komputer
Tulis cerita sendiri
Baca sendiri
Syok sendiri

Kita ini manusia jenis apa
Tulis entah apa-apa
Harap semua orang baca
Dedah apa saja pada dunia

Kita ini manusia jenis apa
Tulis sembarangan
Macam cakap sorang-sorang
Girang bila ramai datang
Sedih bila hits tak melambung
Moncong bila tamu tak bergebang

Kita ni manusia jenis apa
Kejap-kejap telek komputer
Kejap-kejap tengok kaunter
Pandai tulis apa saja

Kita ini manusia jenis apa
Hari-hari tulis blogger
Tapi bila bos suruh tulis kertas kerja
Eh..eh saya banyak kerja, takder masa.

Kita ini manusia alpa
Kita ini manusia blogger

Friday, January 09, 2004

HUJUNG-AWAL TAHUN

RASA-rasanya pada masa ini kebanyakan staf kerajaan sedang di peringkat akhir mengisi dan menyiapkan borang Laporan Prestasi 2003 yang perlu dihantar sekarang. Selain daripada itu ada juga yang barangkali sedang bergelut untuk menyiapkan Sasaran Kerja Tahunan (SKT) 2004. Bagi sesetengah JAbatan/ Kementerian, SKT ini telah disiapkan pada hujung tahun lepas. Malahan ada yang siap pergi bermalam di hotel-hotel atau tempat rekreasi untuk menyedia dan menyiapkan SKT ini. Heh..heh... bagi yang kureng sikit tu, SKT 2003 belum siap atau entah ke mana adanya. Beginilah kita semua...

Selain dari perkara di atas, perkara asas dan paling penting bagi staf gomen ialah Senarai Tugas, Fail Meja dan Manual Prosedur Kerja (MPK). Setiap staf wajib ada dan mengemaskini perkara-perkara tersebut. Namun ada yang kemaskini ada yang masih lagi di zaman Tok Kadok dulu. Apa yang nak saya perkatakan ialah, betapa susahnya nak mencari rujukan untuk membuat SF, FM, MPK dan SKT ini. Walhal majoriti dari fungsi adalah lebih kurang sama sahaja antara satu jabatan dengan jabatan yang lain. Jika mudah untuk mendapat rujukan masakan ada staf yang langsung tidak kemaskini dan tidak perlulah kementerian habiskan duit ribu-ribu untuk melakukan perkara ini saban tahun (Jabatan/ Kementerian ada lagi yang perlu dibuat selalau.... seperti Objektif, Visi, Misi, Piagam Pelanggan dan seterusnya).

Kalaulah banyak sampel perkara-perkara tersebut di atas dapat dirujuk dalam Internet sahaja, saya rasa tentu banyak pahala kepada yang bersedekah ST, FM, MPK, SKT mereka tu. Juga tentu banyak pihak yang boleh senang.

wassalam.

Thursday, January 08, 2004

KAD SALAM IDULADHA & MAAL HIJRAH UTK SEMUA PEMBACA

SEPANJANG usia anda, berapa kerapkah anda menerima Kad Hari Raya Haji atau Kad Hari Raya AidilAdha berbanding dengan Kad Hari Raya Puasa atau Kad Hari Raya Aidilfitri?. Berapa kerap pula anda menerima Kad Salam Maal Hijrah berbanding dengan Kad Tahun Baru? Mungkin ada di antara anda yang menjawab TIDAK PERNAH!. Adakah anda ingin menerika kad tersebut dari MBA?. Kad seperti di bawah (kad betul, bukan e-card) akan diposkan kepada semua pembaca yang mengemukakan nama & alamat mereka di buku pelawat Blog MBA2U (sehingga stok habis...)



Coretlah apa sahaja dalam buku pelawat tersebut, tinggalkan nama & alamat dan insyaallah kad akan diposkan. Selamat Hari Raya AidilAdha & Salam Maal Hijrah.

Wednesday, January 07, 2004

RABUN E-MEL

DALAM membicarakan tentang EG, kita tidak dapat lari daripada membicarakan tentang Internet dan e-mel. Sekiranya pegawai tak tahu baca e-mel, bagaimana EG boleh berjaya?. Tak tahu membaca? Rasanya mustahil sebab mana ada lagi rakyat yang buta huruf di negara kita. Yang dimaksudkan di sini ialah tidak tahu menggunakan atau tidak cekap atau tidak beretika menggunakan e-mel. Saya yakin ramai lagi pegawai kerajaan yang tidak tahu menggunakan e-mel. Keyakinan ini berdasarkan kepada pemerhatian dan pengalaman saya mengendali beberapa mailing-list.

Ada pegawai yang membaca dan menjawab mel melalui hardcopy @ kertas. Bagaimana?. Setiausaha mereka akan mencetak mel tersebut, meletakkan dalam tray masuk, mereka membaca dan menderaf jawapannya (jika perlu) dan setiausaha tersebut menaip jawapan/membalas mel tersebut. Kategori ini rasanya adalah cekap sebab mel-mel penting tidak terlepas walaupun mereka mungkin sibuk atau tiada di pejabat. Setiausaha mereka boleh membantu .

Ada pegawai yang boleh menggunakan emel terus dari PC. Dia cuma tahu baca dan reply sahaja. Lain-lain fungsi, khususnya cc tidak lagi dihairaukan. Yang lebih malang ialah apabilabeliau mendapat mel dari mailing-list. Oleh kerana reply sahaja yang diketahui, maka jawapan yang diberikan hanya untuk seorang sahaja akan dihantar ke seluruh dunia!. Ini akan menambahkan mel yang tidak berkaitan atau spam. Pengguna jenis ini tidak tahu mahu membaca hingga ke penghujung mel. Tidak mahu unsubscribe sendiri, tidak menghubungi administrator atau post master, tetapi sebaliknya menghebahkannya ke saentero dunia yang dia setuju, tak setuju atau mahu unsubscribe.


Etika-etika lain penggunaan e-mel ialah yang selalunya tidak dihairaukan langsung misalnya ialah penggunakan smiley, menjawab dalam masa tertentu dan menggunakan huruf BESAR semuanya. Pihak MAMPU ada mengeluarkan satu garis panduan untuk pegawai kerajaan berurusan melalui Internet yang boleh dilihat di sini. Panduan ini dalam format PDF.

Berdasarkan kepada point di atas, saya yakin era EG masih jauh lagi ...






Tuesday, January 06, 2004

KERAJAAN ELEKTRONIK BERGERAK PERLAHAN

Tajuk di atas adalah merupakan tajuk artikel daripada pullout sebuah akhbar tempatan. Apakah yanh difahami dengan unggkapan Kerajaan Elektronik (EG)?. Lain orang mungkin berlainan takrifan dan tanggapannya. Takrifan umum mungkin suatu kaedah atau kemudahan di mana rakyat boleh berurusan dengan kerajaan melalui perantaraan PC dan Internet ataupun ICT. Bagi kakitangan kerajaan rasanya, EG lebih tertumpu kepada 6 aplikasi perdana. Ia itu GOE, PMS, HRMIS, ELX, EP dan eServices.

Kajian menunjukkan bahawa penggunaan EG oleh rakyat Malaysia adalah sekitar 15% pada tahun 2003, meningkat 2% dari tahun sebelumnya. Walau bagaimanapun penggunaan ini majoritinya hanya tertumpu kepada pencapaian maklumat sahaja. Sementara rata-rata usia 'rakyat' yang menggunakan EG ini adalah golongan muda belaka. Boleh dikatakan sebagai generasi SMS. Mengikut kata survey, halangan paling besar untuk berurusan dengan EG ialah faktor keselamatan Internet.

Di suatu pihak lagi pula, kemungkinan infrastruktur seperti PC, talian Internet dan aplikasi yang masih belum bersedia sepenuhnya. Walau bagaimanapun adalah dipercayai perubahan minda dan peralihan paradigma di kedua-dua belah pihak, iaitu rakyat dan pegawai kerajaan adalah merupakan faktor penting dan penentu kejayaan atau kegagalan EG.

...
* dlm LRT dan Komuter dari Jelatik ke Shah Alam

Monday, January 05, 2004

HARI PERTAMA 2004

Hari ini bolehlah dikatakan hari pertama 2004. Ini ialah kerana ia adalah merupakan hari pertama persekolahan dan kebanyakan pejabat mula dipenuhi oleh pekerja semula setelah para pekerja menghabiskan cuti tahunan mereka. Sungguhpun begitu, ibu bapa yang mempunyai anak dalam darjah 1 atau tingkatan 1 masih lagi bercuti kerana menghantar anak ke sekolah.

Seperti yang telah diduga, Kuala Lumpur telah kembali kepada keadaan yang asal, iaitu kesesakan jalan raya. Hampir semua jalan telah kembali sesak seperti biasa. Kesasakan ini sekurang-kurangnya akan bertahan untuk 6 bulan lagi setelah lebuhraya PLUS ditutup kerana runtuhan batu di Bukit Lanjang.

Pada tahun ini MBA tidak perlu lagi menghantar dan mengambil anak di sekolah. Semenjak 1998 anak-anak MBA belajar di SKSH Alam Shah. Ada masanya hingga 4 orang bersekolah di sini serentak pagi dan petang. Yang bersekolah pagi terpaksa pulang senja menunggu yang sekolah petang. Yang sekolah petang terpaksa keluar lepas subuh bersama yang sesi pagi. Nasib baik pada masa senggang ada sesi sekolah ugama dan kemudiannya tuisyen dari DBKL di situ juga. Oleh kerana sekolah ini berhampiran dengan pejabat, maka MBA jadi setia dengan ofis, tetap ke ofis walaupun sebentar di waktu pagi dan petang walaupun ada urusan di luar pejabat. Kerja out-station selalu saja dielak jika bukan terpaksa.

Kini kerana ada ura-ura yang pejabat MBA akan ditutup dengan berakhirnya projek Mac ini, maka MBA sudah tukarkan seorang yang masih di sekolah rendah ke sekolah lain yang berhampiran dengan rumah. Bolehlah dia menaiki bas sahaja nanti. Yang sekolah menengah dah berdikari dengan bas dan LRT. Jadi kini bolehlah agak bebas sedikit ke ofis ataupun menggunakan LRT sahaja sementara mencari ofis baru ...
* sementara menunggu anak balik sekolah.

Sunday, January 04, 2004

TELAH KU TEMUI

TAHUN 2004 ini dimulai dengan cuti yang agak panjang - 6 hari. Biasanya mba2u dikemaskini menggunakan notebook di rumah. Namun terfikir juga untuk melakukannya secara lebih mudah - samada menggunakan telefon bimbit atau PDA.

Beberapa perisian dicuba dan akhirnya menemui VAGABLOG iaitu perisian yang berupaya membuat posting terus kepada blog seperti movable type, wordpress, blogger dan journalspace. Perisian ini boleh didownload dari www.palmgear.com




* posting ini dilakukan sepenuhnya menggunakan PDA , iaitu Treo 600

Saturday, January 03, 2004

UJIAN POS DARI TREO

nota ini dipos dari Treo 600 secara offline.

ISLAM ADA WARNA TERTENTU?

HIJAU dikaitkan dengan warna Islam dan merupakan warna tradisional Islam yang bersimbulkan keamanan dan keharmonian. Ini diperkuatkan dengan hadis "Warna yang disukai nabi s.a.w. ialah hijau manakala pakaian yang digemari ialah habarah seperti kemeja panjang berwarna putih. (Riwayat Bukhari Muslim)". Untuk itu, semenjak sekian lama banyaklah warna HIJAU digunakan dalam pelbagai perkara seperti pakaian dan sebagainya. Salah satu daripadanya ialah sampin untuk sekolah ugama.

Namun mulai 2004, warna sampin untuk sekolah ugama di Melaka akan ditukar dari hijau ke hitam. Alasan utama ialah, warna hijau telah lama digunakan dan telah patut ditukar. Warna hitam dipilih kerana jika kotor, ia tidak susah kelihatan berbanding warna hijau. Cetek sungguh alasan yang diberikan. Budak-budak kecik sudah diajar untuk menipu dan menyembunyikan kesalahan dan kekotoran. Jika kekotoran itu tak nampak kerana hitamnya warna, maka agaknya ia tidak najis dan bolehlah dibawa sembahyang. Allah dan malaikatNya juga hendak ditipu begini?. Bukankah Islam mengutamakan kebersihan?.

Sila baca di sini untuk buat penilaian sendiri.

SAJEN

Budak-budak sampin hijau
Banyak sangat buat kacau
Kita mesti cari suatu akal
Warna itu sampin kena tukar

Apa warna yang sesuai?
Merah nanti orang marah
Sebab itu warna darah
Biru nanti ramai yang keliru
Itu kan warna alternatif
Kuning lagilah pening
Ini warna pengantin

Merah, kuning biru …
Apa lagi warna yang ada?

Putih?… oh terlalu bersih
Hmmmm… warna hitam! - tentu menawan
Lagipun jika kotor tak kelihatan
Bolehlah bawa sembahyang

Malaikat mungkin tak perasan?

ISLAM - Wajibkah Bertudung?

RASANYA semua orang Islam tahu hukum menutup aurat. Walau bagaimanapun pendapat dari Sheikh Al-Azhar nampak seolah-olah hukum menutup aurat bagi wanita Islam hanya terpakai di negara Islam sahaja. Di negara bukan Islam seperti Perancis misalnya, hukum ini tidak terpakai dan bergantunglah kepada pemerintah negara berkenaan.

Baca berita ini untuk tatapan sendiri. Menurut berita tersebut, Sheikh Tantawi ini dilantik setelah mendapat persetujuan Amerika terlebih dahulu, jadi tidak ada apalah yang perlu dihairankan.

Friday, January 02, 2004

AIR ASIA



MBA belum pernah menaiki kapalterbang AirAsia yang dikatakan murah itu. Mengikut apa yang diiklankan dan apa yang diceritakan oleh kawan-kawan yang pernah menaikinya, harganya memang murah. Namun dalam sehari dua ini media ada mengeluarkan berita mengatakan yang AirAsia seperti menipu dengan mengiklankan tambang murah tersebut kerana cuma 20-30 peratus sahaja yang murah sedangkan yang lainnya adalah harga biasa. Mereka ini agak marah kerana harga biasa tersebut walaupun lebih murah sedikit berbanding MAS, tetapi tidak menyediakan makanan dan perkhidmatan lain, maka harganya dikatakan tinggi.

Mereka meminta supaya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri & Hal Ehwal Pengguna menyiasat perkara ini. Penyiasatan ini bermaksud adakah iklan tambang murah tersebut betul atau tidak. Jika tidak betul tindakan perlu diambil. Jika betul tambangnya memang murah, dia juga patut disiasat mengapa dijual murah. Ia boleh merugikan penerbangan lain yang tidak menjual tiket murah. Dulu kapalterbang bersaing dengan bas dan keretapi sahaja, sekarang kapalterbang bersaing dengan kapalterbang. Maka syarikat kapalterbang besar juga rasa tergugat lalu membuat kempen tambang murah juga, namun pihak tertentu telah mengarahkan supaya menghentikannya. Mungkin takut bas dan keretapi tak laku kot?.

Agak pelik juga mengapa tidak disiasat harga jualan makanan dan minuman dalam pesawat adalah terlalu mahal hinggakan apabila makanan/minuman tidak disediakan, tiket boleh dijual murah. Mengapa ingin siasat yang murah saja?. Lebih-lebih lagi pelik bila AirAsia dinasihatkan supaya angkut penumpang dalam negara sahaja sebab jika ke luar negara, ia tidak meningkatkan sektor pelancongan negara sebab rakyat biasa sudah boleh keluar negara (sebab tambangnya murah).

HAIKU:
Tiket yang murah
Tambang dipersoalkan
Oh AirAsia

BERUBAH LAGI

SEKALI air bah, sekali pantai berubah. Blog ini berubah lagi dan ia adalah merupakan suatu perubahan sementara (barangkali) untuk berubah lagi. Sebab utama perubahan dilakukan ialah kerana template terdahulu kerap memberi masalah seperti hang atau browser crashed. Template sebelum ini pula banyak sangat pop-up yang ikut menyusul. Template pada kali ini terpaksa meminjam (tanpa izin) dari Inai untuk menguji samada masalah-masalah sebelumnya masih muncul lagi atau sudah bertkurangan.

Salam kemaafan untuk semua.

Thursday, January 01, 2004

SELAMAT TAHUN BARU 2004

Selamat Tinggal 2003:
2003 tidak mungkin menjelma lagi.
Pencapaian 2003 mungkin tidak terkejar lagi
- 3X ke Luar Negeri
- 2 anak dpt homestay di Jepun
- Kawan-kawan baru & lama
- eSastera
- eNovel
- AKC
- [banyak lagi]

Harapan 2004:
- MBA 11
:-)