Labels

Wednesday, March 16, 2005

KIMONO MUSIM BUNGA


foto dari Japan Window

WAH..... musim bunga di Jepun sekarang telah dihiasi dengan pelbagai kimono. HInggakan anjingpun dipakaikan dengan komono...

myJICA akan mengadakan satu high-tea dengan pertunjukan pemakaian kimono tidak lama lagi. Berminat?. Sila catatkan nama & contact anda.

Tuesday, March 15, 2005

ATURCARA HOMESTAY DI MALAYSIA

BERIKUT adalah aturcara yang telah diatur untuk program homestay bagi pelajar-pelajar Jepun yang akan tiba di Malaysia:-


Jumaat: Tiba di KLIA/Check-in di Hotel/Makan Tengahari/Taklimat JICA/Makan Malam

Sabtu: Penyerahan kepada keluarga angkat

Ahad: Penyerahan balik kepada JICA

Isnin: Ke Cyberjaya/Sek. Alam Shah/Lunch/KL-Putrajaya Sightseeing/Ke Kuala Selangor (kelip-kelip) & Dinner

Selasa:Ke Rawang/Tadika KEMAS/Kg. Melayu/ FRIM/Sayonara Parti

Rabu: City-tour/Kembali ke Jepun.



Apakah aktiviti yang diharapkan semasa berada di rumah keluarga angkat?
- Bebas, tapi jika boleh ingin ke sekolah adik-beradik angkat
- Membeli belah di pasar malam atau pasar tani.

Mudah kan?

HOMESTAY PELAJAR JEPUN: SAYA HAMPIR PUTUS ASA

SAYA telah menguruskan program homestay pelajar dari Jepun di Malaysia sejak beberapa tahun ke belakangan ini. Program ini diadakan setahun sekali di bawah tajaan JICA. Tugas saya, secara sukarela cuma mencari keluarga di Malaysia (di Lembah Kelang) yang berminat untuk mengambil anak angkat ini. Keluarga yang berminat juga tidak diberikan apa-apa imbuhan kewangan, semuanya secara sukarela sahaja.

Namun pada tahun ini saya lakukan 2 homestay serentak. Ia itu kedatangan 8 orang pelajar dari Jepun dan pemergian 15 orang dewasa ke Nagoya bagi tujaun homestay. Tarikh homestay di Nagoya sememangnya telah dirancang dalam beberapa bulan, namun tarikh kedatangan pelajar Jepun adalah tanpa dirancang. Oleh itu pada tarikh yang sama terdapat dua program homestay yang memerlukan input yang padu dari saya. Mengapa saya dan bukan orang lain?. Ah saya tak kuasa nak mengarahkan orang lain buat kerja ini. Lagipun saya sudah lakukannya sejak beberapa tahun dann setakat ini tidak ada masalah sangat.

Namun pada tahun ini, semenjak 17 Februari hingga hari ini (15 Mac), ya selama sebulan saya ke hulu ke hilir menjaja 'anak-anak Jepun' ini untuk dijadikan anak angkat. Oleh kerana tarikh akhir pengesahan keluarga angkat ialah pada minggu ini, saya hampir-hampir putus asa kerana 3 orang anak angkat masih belum 'laku' juga. Lagi pula, pada tarikh tersebut (26 Mac) saya akan ke Nagoya untuk mengiringi peserta homestay di sana. Jika tidak saya saja yang akan ambil semua yang berbaki ini.

Syukurlah usaha terakhir saya melalui SMS pada hari ini telah membolehkan kesemua tiga orang pelajar ini telah mendapat keluarga angkat masing-masing.

Dari pengamatan saya:
1. Keluraga Melayu/Malaysia tidak begitu gemar mengambil anak angkat begini dengan alasan: rumah berselerak, tidak cukup bilik, tidak tahu bahasa Jepun, tidak tahu nak buat apa, tidak biasa.

2. Anak angkat perempuan adalah lebih disukai berbanding dengan lelaki.

3. Orang Malaysia lebih suka/percaya menghantar anak lelaki untuk dijadikan anak angkat di Jepun, berbanding dengan anak perempuan.

Di Masa Hadapan, Saya Sepatutnya
1. Mengadakan database kawan-kawan/keluarga yang berpotensi menjadi keluarga angkat
2. Mengagih-agihkan kerja-kerja ini kepada pasukan 'pemasaran' yang lebih tersusun.
3. Sentiasa mengadakan network dengan keluarga-keluarga angkat terdahulu
4. Jangan pandai-pandai sanggup jadi sukarelawan begini lagi ...
5. Mengenakan bayaran perkhidmatan sebagai insentif kepada keluarga angkat/pasukan pemasaran.

Monday, March 14, 2005

KURANGKAN BUDAYA MINUM TEH WAKTU KERJA

[Petikan Dari Utusan Malaysia]
Oleh: AMRAN AHMAD
Murata Akira
Murata Akira Semasa Hadir DI Jamuan myJICA

KUALA LUMPUR 13 Mac - Sebuah pertubuhan bukan kerajaan Jepun menyifatkan pekerja swasta di negara ini mempunyai ketekunan tinggi semasa bertugas tetapi memperuntukkan masa yang terlalu banyak kepada waktu rehat untuk minum teh.

Wakil Tetap Pertubuhan Kerjasama Antarabangsa Jepun (JICA) di Malaysia, Murata Akira berkata, warga kerja dalam sektor korporat dan bidang teknikal serta vokasional di Malaysia secara amnya mempunyai tahap ketekunan yang tinggi semasa bekerja.

``Cuma budaya minum teh yang dilakukan berkali-kali dalam sehari, kalau boleh dikurangkan kerana tabiat ini mengurangkan produktiviti di samping menyebabkan kerja tidak siap mengikut masa bekerja,'' ujar beliau dalam pertemuan dengan Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Bagaimanapun, Akira menambah, budaya kerja itu dijangka akan menjadi seimbang apabila Malaysia mencapai status negara maju seperti yang disasarkan pada tahun 2020.

JICA yang ditubuhkan pada 1 Ogos 1974 merupakan institusi awam khas di bawah Kementerian Luar Jepun yang memainkan peranan sebagai `penghubung' dan penggalak kerjasama serta hubungan dua hala antara Malaysia dan Jepun.

Antara tugas utama JICA di negara ini ialah meningkatkan daya saing ekonomi Malaysia menerusi pembangunan sumber manusia yang berterusan, pemuliharaan alam serta serta menggalakkan usaha sama serta perkongsian bijak antara kedua-dua negara.

Mengulas lanjut mengenai pengalamannya di Malaysia, Akira menambah, beliau yang telah menetap di beberapa negara membangun di rantau Asia sebelum ini mengakui bahawa Malaysia adalah antara negara yang terbaik.

Rakyat negara ini, katanya, bekerja dan menjalani kehidupan dengan penuh berdisiplin dan sangat menghormati orang lain menjadikan orang asing yang bermastautin di Malaysia merasa selesa.

Oleh itu, jelas beliau, Malaysia memiliki segala perkara asas yang diperlukan untuk menjadi sebuah negara maju seperti yang terkandung dalam Wawasan 2020.

Bagi JICA, menurut beliau, pihaknya akan terus menggalak serta mempromosi hubungan kerjasama ekonomi antara kedua-dua negara di samping terus membantu firma-firma perniagaan tempatan untuk mendapatkan bantuan kewangan dari bank di Jepun.

``Kami juga sedang mengatur untuk memberi bantuan dari segi khidmat nasihat kepada sektor perbankan Malaysia, seperti yang dilakukan untuk Bank Pembangunan dan Infrastruktur Malaysia Bhd. (BPIMB),'' tambahnya lagi.

Thursday, March 10, 2005

MASJID JAMEK TOKYO


DALAM lawatan pertama ke Tokyo Grand Mosque ini pada tahun 2003 yang lalu, MBA ada tulis sebuah haiku lebih kurang begini:-

sayup menara
besar teguh pendiam
makmum seorang

Ini ialah untuk menggambarkan tentang masjid jamek ini yang besar, teguh namun pendiam (azan tidak lantang diperdengatrkan) dan walaupun masjidnya besar dan luar, 'makmum seorang".

MBA berpeluang membuat lawatan kali kedua baru-baru ini dan sempat solat Subuh di sini. Merakam beberapa keping gambar dan gambar ini telah dipilih oleh pentadbir textamerica untuk dimasukkan dalam: http://today.textamerica.com dengan tajuk "standing tall with MBA"

Wednesday, March 09, 2005

KEBAIKAN ORANG JEPUN OKINAWA

DALAM entri yang lepas-lepas MBA ada ceritakan pasal Jepun tidak benarkan pelawat ke Jepun yang tidak mempunyai alien card atau lesen memandu Jepun membeli atau menyewa telefon dan/atau kad pra-bayar. Mesej tersebut dimelkan setelah dialih bahasa ke English kepada sensei (cikgu) MBA yang berada di Okinawa, Jepun yang pernah mengajar MBA dalam tahun 1999 dulu.

Dia terus jawab, chottomate (tunggu sat), I'll help you, dan semalam dia hantar mel ini:-

MBA san,

I can rent a prepaid card cellphone.
How can I pass it to you??
And how will you back it to me?

Do you have any idea?

I am thinking better idea.


Orang Berbudi
Kita Berbahasa
Orang Memberi
Kita Merasa

PESANAN KEPADA PENGEMBARA

PESANAN Luqman Al-Hakim kepada pengembara:

Solahlah Di Mana Sahaja
"Apabila engkau pergi bermusafir, maka janganlah engkau berada di atas binatang tungganganmu. Berilah binatang tungganganmu itu, sebahagian daripada rumput itu. Dahulukan dengan memberinya makan dan minum sebelum dirimu"

Apabila engkau berjalan jauh, janganlah duduk saja dalam kereta. Bila sampai ke R&R, tengoklah paras air, minyak, minayk hitam, air bateri dll sebelum kamu pergi makan


"Maka apabila engkau berada jauh dari rumah orang, hendaklah engkau berjalan-jalan pada waktu malam kerana bumi berlindung dengan malam"

terang dan jelas maksudnya yang tersendiri

"Sekiranya engkau ingin turun dari sesuatu tempat, maka janganlah engkau turun di pinggir jalan. Hal ini kerana ia adalah tempat tinggal ular dan binatang buas"

Bila engkau nak berhenti, janganlah di lorong kecemasan. Ia adalah tempat motor lalu, nanti engkau kena saman

"Hendaklah engkau berada di setiap ceruk bumi yang indah warnanya, lembut tanahnya dan banyak pula rumputnya, maka turunlah di situ. Apabila engkau telah turun, solatlah dua rokaat sebelum engkau duduk dan bacalah (selepas itu)".

Jika engkau nak berhenti, pilihlah R&R yang ramai orang (tentu makanan kat situ sedap & harganya berpatutan) dan solat sunat....

"Dan sekiranya engkau ingin membuang air, maka pergilah jauh dari tempat laluan orang dan hendaklah engkau memakai penutup"

jangan dok pancut jer merata-rata tempat

"Apabila engkau ingin pergi dari tempat turun itu, maka solatlah dua rokaat sekali lagi dan ucapkanlah selamat tinggal kepada bumi yang akan engkau tinggalkan itu. Sambil itu ucapkanlah ke atasnya dan ahli penghuninya, kerana setiap ceruk bumi ini ada penghuni dari kalangan malaikat".

Wallahualam.

Tuesday, March 08, 2005

SAMAN JANGAN TAK SAMAN


POLIS trafik dijangka mengutip antara RM350 juta hingga RM400 juta kompaun tahun ini, meningkat dua kali ganda berbanding 2003...

Kes 1: Kutipan kurang daripada RM350juta.
Alasan1: Tujuan kita bukan untuk menyaman, tetapi menyedarkan pemandu untuk mengurangkan kemalangan. Nah... kesalahan yang dilakukan oleh pemandu telah berkurangan, ini adalah kejayaan sebenar kita, bukan saman!.

Kes 2: Kutipan melebihi RM400juta.
Alasan 2: Kita memang telah menjangkakan kutipan itu. Ini maknanya pasukan kita memang bekerja keras untuk membantu mengutip hasil negara. Negara memang memerlukan banyak hasil untuk pembangunan. Tahun depan kita akan kutip saman sehingga RM1 bilion.

nota kaki: Seorang pemandu wanita pengsan setelah disaman. Pemandu 20-an ini disaman kerana menggunakan lorong bas/teksi pengsan bila polis menghulurkan surat saman. Setelah polis berjaya menyedarkannya, dia sekali lagi pengsan setelah melihat surat saman. ha ha ha dia sepatutnya disaman lagi sebab pengsan semasa disaman.

Monday, March 07, 2005

KITA MASIH BERBULAN MADU RUPANYA




bulan dan madu
seri cahaya lebah
lemas di kolam

DALAM bulan November tahun lepas MBA telah menulis mengenai bulan madu sudah berlalu. Rupa-rupanya MBA silap, sebabnya semalam dan hari ini akhbar masih memetik bahawasanya tempoh bulan madu baru berakhir (semalam)!. Wah Tipah Tertipu jadinya. Ingatkan memang dah betul-betul tamat tempoh bulan madu, rupa-rupanya masih ada 'last warning part 1', kemudian tentu ada 'last warning part 2' pulak, lepas tu barulah 'last warning final' kot.

He he he orang gaji MBA dulu bila diberi 'last warning' dan kena hantar balik, dia pandai mintak extension dan kata berilah 'first warning' dulu, jangan terus 'last warning'. Dalam main bolapun ada 'quarter final', 'semi final' kemudian barulah final. Pandai budak tu.... sebab tu dia dikenakan hukuman 'final last warning' :)

Berikut adalah antara janji-janji yang dibuat pada pilihan raya umum lalu:

- Memerangi rasuah
- Meningkatkan sistem penyampaian awam
- Penambahbaikan perkhidmatan awam
- Meningkatkan pentadbiran mesra rakyat
- Meningkatkan produktiviti dan persaingan
- Membasmi kemiskinan dengan memberi penekanan kepada sektor pertanian
- Memperbaiki sistem pendidikan

Berbalik kepada berbulan madu ni, rasa-rasanya masih ada harapan lagi kot untuk itu...

Sunday, March 06, 2005

BERITA MENARIK HUJUNG MINGGU

1. LELAKI PIKUL BOM HIDUP SERAH KEPADA POLIS
Kuala Berang:
Keberanian (kejahilan) seorang lelaki membawa bom hidup sejauh 1km dengan motornya dan seterusnya memikul bom tersebut untuk diserahkan kepada polis telah menggemparkan polis hulu Terengganu. Lelaki ini rasanya layak untuk dianugerahkan sijil World Guiness of Record.

2. MURID TINGKATAN 3 UGUT BUNUH GURU
Sri Kembangan
Seorang murid direman polis setelah menerima aduan dari gurunya akan ugutan untuk membunuhnya dari murid berkenaan. Ugutan bunuh ini semata-mata kerana guru berkenaan menyuruh dia menyiapkan kerja rumah.

Budak ni memang bercita-cita nak jadi pembunuh upahan sebagai progesyen tetap dan berpencennya rasanya.

3. MAT REMPIT KUDUNG TINGGALKAN KAKI PALSU UNTUK LARI DARI KEPUNGAN POLIS
Subang Jaya:
Seketul Mat Rempik yang menggunakan kaki palsu telah mencampakkan kaki palsunya untuk memanjat pagar untuk lari dari kepungan polis yang membuat operasi besar-besaran membenteras lumba haram. Mat Rempit ni memang terlalu hebat. Dengan sebelah kaki sahaja berjaya melompat pagar dan berjaya lari dari kepungan polis. Bagaimana aksi rempitnya dalam sesi lumba haram entahlah.

Jika dia dicalonkan untuk sukan paralimpik, rasa-rasanya pingat emas peringkat dunia memang confirm milik dia dan rekodnya tentu tidak boleh dipecahkan dengan sewenangnya.

Jika berita ini dibaca terbalik dia akan berbunyi " hmmmm... itulah xxxxx Malaysia, orang kudungpun tak boleh kejar?, Apa ke jadahnya ni?" ala-ala NTV7 gitu...

Saturday, March 05, 2005

SABTU YANG PADAT

SABTU ini terlalu padat dengan pelbgaia aktiviti yang amat memenatkan.

9am
Corus Hotel, Jalan Ampang,KL
18th. Annual Gerenal Meeting of myJICA
>
Selesai sahaja AGM, terus ke menara Citibank:-

2pm
JICA Malaysia Office, Menara Citibank, KL
Pre-Departure Briefing for Technical Visit & Homestay in Nagoya


Selesai taklimat 5:30pm dan terus bergegas ke rumah menjemput isteri untuk jamuan makan malam

8pm
myJICA Annual Dinner
Sogo Japanese Restaurant, Jln Tunku Abdul Rahman

ohhhh.... penat sungguh.

Friday, March 04, 2005

MANUSIA MASUK KANDANG

PEPATAH Melayu berbunyi "masuk kandang kambing mengembik, masuk kandang kerbau menguak" mungkin tidak boleh digunakan lagi. Maksud asal pepatah ialah supaya orang Melayu lebih fleksibel dan bertukar mengikut suasana. Namun biasanya orang kita lebih melihat kepada kulitnya sahaja dan pelbagai versi pepatah ini telah wujud. Antara yang popular misalnya ialah "jadilah macam ikan, walaupun dikelilingi air masin, dagingnya tetap tawar".

Dulu-dulu orang Melayu akan pakai baju Melayu bila ke mesjid dan surau dan berketayap bila ada kenduri arwah atau menziarahi orang sakit atau meninggal. Jika tidak ada pakaian sedemikian, lebih baik tidak pergi rasanya, kerana seolah-olah pakaian tersebut adalah sebahagian daripada syarat "sah" rukun tersebut. Jika duduk di rumahpun, bila hendak solat, kain pulikat yang akan dicari dan digunakan. Kini zaman sudah berubah dan budaya kemeja-t telah di bawa ke mana-mana dan telah sah dipakai walaupun ke mesjid, disko, kenduri dan sebagainya. Lantaran itu semakin kurang kita lihat jemaah di masjid yang berpakaian secara tradisional.

Namun ia mungkin berlaku di kampung. Di kampung jemaah tidak akan bersembahyang dengan memakai seluar, kecuali musafir.

Bagi pekerja pejabat yang bertali leher dan berkot juga, majoritinya akan menyangkut sementara "pangkat" tersebut di pejabat dan akan ke mesjid dengan berselipar dan berkopiah. Inilah yang dikatakan fleksibel. Namun masih ada juga orang Melayu yang solat di masjid dengan tie, kot dan stokin. Ia adalah biasa bagi orang luar negara, namun jika yang berkulit sawo matang di Malaysia, ada perasaan lain sikitlah bagi mata-mata yang memandang... ;-)

[baru balik dari sembahyang Jumaat ni...]

Thursday, March 03, 2005

SEBUAH KERETA 10 PENUMPANG: MENGAPA?



Laporan berita memaklumkan kemalangan berlaku di negeri Johor. Ia mengorbankan 2 orang guru dan 8 murid tercedera, termasuk tenat. Adalah dipercayai kereta yang dipandu oleh guru terbabit yang membawa 8 orang murid telah melanggar sebuah kren pengangkut.

Perkara pertama yang terfikir ialah bagaimana sebuah kereta biasa boleh memuatkan 10 orang?. Bukankah muatannya hanya setakat 5 orang sahaja?. Saban tahun pihak sekolah mengadakan kempen keselamatan jalan raya untuk murid-murid, namun cikgu sendiri yang mencerobohnya.

Setelah berfikir banyak kali, cikgu-cikgu juga tidak boleh boleh disalahkan begitu sahaja tanpa usul periksa. Sebabnya?. Mungkin ketiadaan kenderaan awam atau kenderaan sekolah yang menjadi puncanya. Mungkin juga cikgu tidak layak untuk menuntut elaun perbatuan (atau kilometeran?) yang menyebabkan cikgu tidak menggunakan kenderaan sendiri, sebaliknya berkongsi. Andai kata elaun boleh dituntut, tentu satu cikgu cuma bawa 4 murid dan pergi dengan dua buah kereta.

Mungkin juga penguatkuasaan undang-undang tidak begitu ketat.

Selain dari suratan ajal mereka, pelbagai kemungkinan lain juga adalah mungkin.

Wednesday, March 02, 2005

HARI RABU


Nasi keRABU

HARI ini ialah hari Rabu. Apakah keistimewaan hari Rabu?. Tidak ada apa-apa istimewanya hari Rabu. Namun..... mungkin ramai rakan dari sektor swasta yang tidak tahu bahawa orang gomen (dalam taraf tertentulah) tidak boleh keluar ofis pada hari Rabu. Maknanya jika ada majlis kat luar seperti mesyuarat, seminar, kursus dan sebagainya, jangan dibuat pada hari Rabu. Jika nak buat temu janji juga, hari Rabu tidak boleh. Harap rakan-rakan kat sektor swasta faham...

Sebab apa hari Rabu ada pantang?. Sebabnya pada hari Rabu pegawai gomen kena hadir poskeb. Apakah poskeb(sebenarnya postcab)?. Ia adalah mesyuarat pasca kabinet, iaitu suatu mesyuarat dengan menteri setelah menteri pulang dari mesyuarat kabinet yang diadakan pada setiap hari Rabu.

*Kamus Dewan kata pasca ialah setelah mati ;-).

Tuesday, March 01, 2005

NOKIA 6650: Telefon 3G



JEPUN masih lagi menutup teknologinya kepada dunia luar. Contohnya telefon selular yang digunakan di negara tersebut tidak berfungsi di negara lain dan sebaliknya. Dulu roaming juga tidak boleh dilakukan. Namun kini pengguna Maxis dan Celcom telah boleh menikmati perkhidmatan perantauan bila ke Jepun. Walau bagaimanapun hanya pengguna Celcom sahaja yang boleh menggunakan nombor Celcom (019 atai 013) sedangkan pengguna Maxis akan diberikan nombor telefon Jepun walaupun masih menggunakan kad SIM sendiri.

Walau bagaimanapun kedua-dua perkhidmatan roaming tersebut hanya berfungsi hanya dengan menggunakan telefon 3G, iaitu Nokia 6650 sahaja. Telefon ini rasanya telah dikeluarkan dalam tahun 2000 dan kini tidak lagi berada di pasaran. Apatah lagi bila perkhidmatan 3G di Malaysiapun sudah dingin.

===> Ada sesiapa yang nak let-go dia punya Nokia 6650? atau nak sewakan atau nak bagi pinjam guna barang seminggu?. Nak bawa ke Jepun...

Monday, February 28, 2005

BERFIKIR DI LUAR KOTAK


AKHIR-akhir ini, pemimpin kita kerap menyeru rakyat jelata amnya dan pegawai kerajaan khususnya supaya "berfikir di luar kotak". Adapun bagaimana rupanya "kotak" tersebut tidaklah dapat hamba fahami. Barangkali juga ia adalah "kotak fikiran". Jika benar begitu, apa akan terjadi bila kita berfikir di luar dari fikiran?. Ha ha ha entahlah labu...

Orang dulu-dulu yang terkenal kerana "berfikir di luar kotak" ialah Hang Nadim. Kononnya Hang Nadim ini ialah anak kepada Hang Tuah. Dia telah mengeluarkan fikirannya (keluar dari mana entahlah jika dia dikatakan berfikir di luar kotak), untuk menghalang dari Singapura di langgar todak.

Bila semua rakyat jelata seronok bercuti, ada orang mencadangkan supaya cuti tidak diperlukan dan perlu dihapuskan. Bila orang ramai semuanya mencemuh Charles kerana ingin berkahwin dengan Camelia, ada orang yang memujinya kerana sanggup berkahwin dengan janda tua yang lebih tua dari dirinya sendiri dan tidak juga rupawan. Itu adalah cinta sejati, katanya. Inikah yang dikatakan "berfikir di luar kotak"?.

Sunday, February 27, 2005

DIALOG ANTARA RUMI DAN JAWI



JAWI telah didapati bersalah kerana menangkap orang salah. Berikut adalah dialog yang tidak ingin kita dengar:-

RUMI: Mengapa kamu tangkap mereka?. Apa kesalahan mereka?. Kamu nak caj bawah akta mana?

JAWI: Mereka memang bersalah. Mereka tidak bersopan. Pakaian mereka tidak senonoh. Mereka ditangkap di tempat yang menghidangkan arak.

RUMI: Mana ada akta mengatakan itu adalah suatu kesalahan?

JAWI: Barang siapa yang bertentangan dengan undang-undang Islam, bertindak atau berkelakuan menjolok mata di tempat awam adalah bersalah dan boleh dihukum”

RUMI: Ah itu terlalu umum, terlalu subjektif. Apa itu berkelakuan tidak senonoh atau menjolok mata?. Ia terpulang kepada penerimaan masyarakat. Ia terlalu kanur, subjektif.

JAWI: Orang Islam dilarang meminum, menghidang, melayan, membawa arak. Malahan memerah anggur untuk dijadikan arak juga dilarang dan adalah suatu kesalahan.

RUMI: Apa akta yang menyatakannya?

JAWI: Ini ada dalam Quran

RUMI: Dalam Quran tu lain, jika tak ada akta mana boleh hokum mereka.

JAWI: OK Seksyen 19(2) Kesalahan Jenayah Syariah.

RUMI: Itupun tak detail, macamana nak hukum?. Lagipun engkau pilih kasih. Mengapa kelab malam ini saja engkau serbu?. Banyak lagi kelab malam lain yang buat kesalahan yang sama, yang hidangkan arak, mengapa tak serbu?. Pilih kasih tu salah. Lagi satu, mengapa engkau tak naik kapalterbang dan tangkap pramugari yang hidangkan arak kepada penumpang?

JAWI: Aku baru tangkap satu, engkau dah heboh seluruh dunia, macamana nak tangkap semua?. Kalau aku naik kapalterbang kang, engkau tentu akan jadi peguambela kata ia tidak tertakluk kepada akta kerana berada di ruang angkasa. Engkau ni dah sunat ke belum?. Jika belum eloklah engkau masuk jawi.

Thursday, February 24, 2005

MAA

"itu senang saja, bukan susah maa...". "kita bikin ini macam lagi cantik maa".

ungkapan "maa" rasanya sudah banyak menyerap dalam struktur bahasa Melayu. Rasa-rasanya dalam sepuluh tahun lagi "maa" akan dimasukkan dalam Kamus Dewan maa... Sama seperti "lah" yang telahpun didaftarkan dalam Kamus Dewan.

Bagi orang Melayu Singapura, perkataan "lu" dan "gua" memang telah menjadi sebutan rasmi mereka, bagi menggantikan engkau dan aku atau I dan You.

Bukan itu macan maa...

Wednesday, February 23, 2005

CAYANG BOS

INI sekadar untuk menjawab pertanyaan Adik-WK di TagBoard dan mereka-mereka yang dah terlepas masa untuk check-in :-






BOS NAMPAK BERGAYALAH!

IDEA BOS NOMBOR 1!

BOS SUMBER INSPIRASI SAYA!

LAWAK BOS MEMANG BEST!

BOS ADA KELAS!

BOS MEMANG BIJAK!

BOS MEMANG SELALU BETUL!

PUTIH KATA BOS,
PUTIH KATA SAYA, BOS!

SAYA SAYANG BOS!

Monday, February 21, 2005

HOMESTAY DI MALAYSIA


peserta homestay 2004

SERAMAI 8 orang pelajar dari Jepun ingin membuat homestay selama satu malam, dari 26/3-27/3 (Sabtu-Ahad) di sekitar Kuala Lumpur/Putrajaya/Lembah Kelang. Mereka ialah merupakan kanak-kanak sekolah yang telah memenangi peraduan mengarang bahasa Inggeris anjuran JICA. Berikut ialah nama-nama mereka:-

1) Kobayashi Tomoyo (F) 15 y
2) Yanagihara Mamika (F) 14 y
3) Anpeiji Makot (M) 15 y
4) Sasaki Rika (F) 15 y
5) Shimizu Ayaka (F) 18 y
6) Miyanaga Yakinori (M) 18 y
7) Li Hisato (M) 17 y
8) Yoshida Robson (M) 19 y

Bagi sesiapa yang berminat untuk mengambil mereka sebagai anak angkat, bolehlah hubungi saya untuk maklumat lanjut.

Sunday, February 20, 2005

SELESA DI SELESA HILLHOMES



awan memutih
selesa di Selesa
aman bersantai

Sesi perancangan strategik dan pelan tindakan myJICA 2005-2008 di Selesa Hillhomes, 19-20 Februari 2005.

Friday, February 18, 2005

PEREMPUAN MELAYU TERKINI




Duduk bersimpuh
Perempuan melayu
Tersenyum sipu

DULU-dulu penampilan perempuan Melayu terbahagi dua. Pertama yang bertudung atau menutup aurat. Kedua yang tidak bertudung atau mendedah aurat.

Bagi lelaki, ada dua pilihan sahaja, iaitu mahu yang bertudung atau tidak bertudung. Pilihan lain ialah yang tidak bertudung dan kemudian minta bertudung selepas kahwin. Walau bagaimanapun kadang-kadang berlaku juga sebaliknya.

Kini kaum lelaki ada satu lagi pilihan, iaitu mahukan yang berambut warna asli (hitam) atau berambut warna. Keghairahan mewarna rambut kini begitu menjadi-jadi.

Berikut adalah petikan dari laman web JAKIM:-

Mewarnakan rambut dari segi hukum syarak terbagi kepada :
1.Harus mewarnakan rambut dengan warna selain hitam.Warna hitam hannya harus bagi yang berpenyakit sahaja
2.Makruh mewarnakan rambut bagi orang muda
3.Haram mewarnakan rambut bagi orang yang terlalu tua
4.Haram mewarnakan rambut tanpa tujuan
5.Harus mewarnakan rambut dengan izin Suami.

Dari segi ingredient pewarna rambut yg ada dipasaran terbahagi kepada 2 jenis yang mana kedua-duanya adalah halal dari segi bahan kandungan. Yang menjadi persolan adakah pewarna tersebut menyerap air atau tidak ?? Pewarna rambut yang dipasaran biasanya akan tertulis pada kotak PERMANENT DYE atau SEMI PERMANENT DYE. Mengikut kajian jenis yang Semi-Pamenent Dye adalah jenis yang tidak menyerap air dan ianya tidak boleh dipakai oleh orang islam.Begitu juga sebaliknya.. JAKIM sendiri tidak pernah mengeluarkan sijil halal untuk produk pewarna rambut kerana ianya di kilangkan di luar negara. Utk pengetahuan, JAKIM hanya akan keluarkan sijil halal utk produk yang diproses di malaysia sahaja . Wassalam

Pada masa akan datang agaknya kita boleh pilih warna mata pula …

Thursday, February 17, 2005

MURAH BERMAKNA RUGI?




surat dihantar
dijamin sampai esok
kad warna kuning


SEORANG makcik penjual nasi lemak mengeluh. Dia kerugian berpuluh-puluh ribu ringgit setahun kerana nasi lemaknya dijual dengan harga 80 sen sahaja, sedangkan nasi lemak orang lain harganya RM1.00 sebungkus. Harga murah tersebut menyebabkan ramai sangat orang datang membeli nasi lemaknya, terutamanya orang dari luar negara yang mempunyai kuasa beli yang lebih tinggi dan pertukaran nilai wang yang lebih baik. Makcik ini berpendapat dia kerugian 20 sen bagi setiap bungkus nasi lemak yang dijualnya. Oleh itu setelah mendapat pandangan seorang konsultan yang menjual kotak plastik, dia bercadang untuk menjual nasi lemaknya dengan harga RM1.20 setelah dibungkus dalam kotak khas berjenama yang dibeli dari konsultan terbabit. Makcik ni fikir dia boleh untuk 40 sen bagi setiap kotak nasi lemak yang dijualnya. Pandai betul makcik ni berniaga, panjang wawasannya. Tapi dia tak fikir bahawa dengan menaikkan harga nasi lemaknya, orang ramai tidak lagi akan membeli nasi lemaknya, akan tetapi akan membeli nasi lemak dari makcik lain yang dijual dengan harga RM1.00. Walau bagaimanapun harap-harap makcik ni seronoklah dengan mengira untuk 40 sen bagi setiap yang datang membeli berbanding rugi 20 sen dulu tu...

POS Malaysia dilaporkan sebagai berkata yang mereka kerugian RM4 juta setahun kerana haga stem pos cuma 30 sen sahaja berbanding dengan negara jiran yang lebih mahal. Oleh itu banyak sangat surat-surat dilambakkan ke Malaysia untuk diposkan. Untuk mengelakkan kerugian berterusan, mereka akan naikkan harga stem bagi surat perdagangan dan surat persendirian akan diwajibkan menggunakan sampul khas dengan harga yang sama, jika tidak akan dikenakan stem 45 sen berbanding 30 sen sekarang.

Engkau punya servis tak baguspun ramai juga penggunanya rupanya ekk?. Naikkanlah harga lagi supaya orang tak payah gunakan stem lagi dan supaya pejabat pos boleh jadi lengang dan lebih banyak untung diperolehi... he he.

Dua hari lepas ada terima sekeping kad kuning dari "dijamin sampai esok" aka PosLaju. Ini memenag perangai PosLaju, depa ni dok kira nak hantar kad kuning suruh penerima pergi ambil sendiri surat kat pejabat mereka, bukan berusaha nak pastikan penerima dapat surat yang dihantar.

Kat obersi dulu, posmen akan berusaha hubungi penerima samada melalui telefon atau bertanya jiran dan segala usaha supaya surat berdaftar atau laju dapat diterima. Posmen akan tanya bila masa ada kat rumah, mereka boleh hantar atau nak letak surat tu kat mana (dalam tong sampah ke, dalam reban ke) macam-macamlah. Kalau siang tak boleh, malampun dia sanggup hantar. Inilah posmen di negara orang. Posmen di negara sendiri khabarnya ada simpan ribu-ribu surat dalam rumah sendiri....

Wednesday, February 16, 2005

MAHATHIR ATAU MALAY CHAN

Ni nak tanya pembaca yang tahu mengenai Restoran Mahathir atau Restoran Malay Chan (atau apa-apa lagi restoran Malaysia/Halal kat Tokyo). Ada tak sesiapa yang ada peta macamana nak ke restoran berkenaan?


Malay-chan. Nishi-Ikebukuro 3-22-6. Open 11am-2, 5-10:30pm (LO) daily. Tel: 5391-7638.



Mahathir Restaurant.
Hyakunincho 1-17-10, Tokyo.
Tel: 03 3367 3121

Mahatiru.
ST Building 1-17-10 Hyakunin-cho, Shinjuku-ku, Tokyo.
Tel: 03 3367 3121

Malay-chan.
Nishi-Ikebukuro 3-22-6, Tokyo.
Tel: 03 5391 7638.

Only Malaysia.
26-5 Udagawacho, Shibuya-ku, Tokyo.
Tel: 03 3496 1177

Rasa Malaysia.
4F, Hashimoto Bldg, 1-6-6, Kabukicho, Shinjuku-ku, Tokyo.
Tel: 03 3209 9315

DITAHAN POLIS

KELUAR dari ofis semalam, dapat panggilan telefon. Sambil berjalan sambil bercakap dan terus ke kereta. Bercakap lagi setelah memandu hinggalah terserempak dengan polis kat roundabout. Polis terus kejar dan suruh berhenti.

Encik m.b.a , maafkan saya kerana terpaksa memberhentikan awak. Tadi masa kat round about saya nampak encik sedang bercakap di telefon bimbit tanpa menggunakan handsfree. (dalam hati 1. baiknya polis ni, siap bagi salam dan minta maaf 2. Bila masa dia kenal nama aku?)

Ya betul kata ku

Menggunakan telefon bimbit semasa memandu adalah suatu kesalahan. Jika encik tidak tahu, sekarang saya beritahu. Ia adalah satu kesalahan dan saya boleh saman encik. Bla bla bla bla dia beri syarahan @ berleter kat aku. Aku diam saja, buat muka bodo saja. (dulu masa aku muda-muda, kalau kena tahan camgini, aku akan cakap, Jangan buang masa sayalah, kalau nak saman, samanlah cepat, saya banyak kerja ni. Awak nak apa dok berteler ni?. Tapi kali ini aku cool jer, biarlah apa dia nak cakap. Diapun gian nak bersyarah jugak agaknya tu).

Encik kerja kat kementerian mana (sambil tengok stiker kereta yang terpampang). Eh tahu-tahu pulak dia aku ni orang gomen. Tu kat kementerian 'a.b.c'. Apa jawatan encik kat situ?. pengarah ke? . ksu ke? atau apa?. Aku terperangkap dengan soalan ini sebab tak tahu apa sebenarnya yang dia nak tahu. Ah bantai sajalah... saya kerja 'xxxx'. xxxx tu apa?. Ala yang jaga itu-itu tu?

Ada lesen?. Bak tengok lesen. Masa ni aku blur lagi. Kalau aku nak confiuskan dia aku bagi myKAD saja sebab kat situ memang ada lesen dan aku tahu dia tak ada reader. Oleh kerana aku sendiri yang dah confuse, aku hulurlah lesen aku. Bila tengok lesen, bila tengok alamat dia beri balik semula dan memulakan lecture baru (teringat kawan aku letakkan alamat kat lesen dia sebagai Ibu Pejabat JPJ Malaysia...).

Encik telah buat salah, saya boleh saman encik, encik begitu encik begini. Mengapa tak pakai handsfree?. Telefon cangih sekarang semua ada. (Dalam hati: Nak minta maaf ke nak biart jer dia membebel ni?). Nak mencelahpun tak sempat, dia membebel macam tembakan M16 jer. Akhirnya dia kata anggaplah ini satu amaran dan ia adalah amaran terakhir, Buat lagi saya saman. OK terima kasih dan aku belah dan telefon berdering lagi.... Alamak!.

[di sebalik tabir peristiwa]
1. Mengapa dia tahu nama penuh aku?
- Aku masih pakai pass kerja, dia baca dari pass tu. Hampeh betul, ingatkan aku ni glamer.

2. Kalau dihulur myKAD rasanya kes ni tak boleh setel, sebab dia tak ada reader

3. Kalau aku lawan dia ni, mesti kena saman punya.

4. Mengapa dia perlu tahu jawatan aku sebelum decide nak saman atau nak lepaskan?.

5. Lain kali MESTI pakai handsfree masa memandu OK?.

Tuesday, February 15, 2005

PATI ATAU PETI?

DALAM kesibukan kes Pekerja Tanpa Izin (PATI), khususnya dari Indonesia yang datang ke negara kita ini, ada orang berkata bahawa menggaji PATI samalah dengan berjudi secara haram (mana ada judi halal?). Dalam berjudi, ada yang kalah dan ada yang menang. Sekiranya yang kalah tidak mahu membayar kepada yang menang, maka tidak ada sebarang undang-undang yang boleh digunapakai kerana perbuatan tersebut memang haram.

Persoalan pertama yang timbul ialah mengapa diumpamakan menggaji PATI seperti berjudi?. Di antara seorang pekerja dan majikan samakah dengan berjudi? Bila masakah pekerja akan menang dan majikan akan rugi atau sebaliknya? Awak suruh dia buat kerja dan kemudian tak bayar gaji dan kata tak ada undang-undang yang boleh diguna pakai sebab dia datang secara haram. Itu dah macam hamba abdi... Jika begitu halnya, lebih baik PATI tersebut mencuri, merompak dan me***** majikannya kerana kedatangannya ke negara ini memang haram. Eh? mencuri kena hukum! samada datang halal atau haram. Kenapa pulak suruh PATI bekerja dan tak bayar gaji tak boleh kena hukum (jika bersalah)?.

Itu macam punya orangpun boleh dikutip pendapatnya untuk disiarkan secara besar-besaran dalam TV. Buat malu sajalah...

Monday, February 14, 2005

BUBUR ASYURA ATAU BUNGA?



HARI ni berkoyan-koyan bunga bertukar tangan sebab menyambut hari kekasih ....
Tapi bukankah elok jika kita saling beri-memberi bubur asyura sempena dengan hari asyura sehari dua lagi?.

Elok jika kedai dan pasaraya menyedia "kuih sura" bi dalam paket yang menarik kan?.

HARI VALENTINE

Artikel ni setahun yang lalu dari akhbar:-


Murtad sambut hari kekasih mirip agama Kristian

KUALA LUMPUR 11 Feb. - Umat Islam yang meraikan Hari Memperingati Kekasih pada 14 Februari boleh dianggap murtad atau terkeluar daripada Islam jika cara melakukannya mirip dengan agama asal perayaan itu, Kristian.

Mufti Perak, Datuk Seri Harussani Zakaria berkata, hukum itu boleh jatuh kepada mereka berdasarkan sebuah hadis sahih yang menyebut bahawa:
``Sesiapa yang melakukan perbuatan yang menyerupai sesuatu kaum itu, maka ia turut termasuk bersama golongan tersebut.''

Beliau berkata, perbuatan meraikan hari berkenaan juga akan menjadi lebih bercanggah dengan ajaran Islam terutamanya apabila ia dikaitkan sebagai usaha untuk memperingati kematian seorang paderi yang dibunuh seperti mengikut sejarah purba Rom.

``Kita umat Islam tidak perlukan budaya atau amalan seperti ini yang jelas bertentangan dengan agama kita. Lagipun ajaran Islam sudah lengkap, sempurna dan diyakini,'' katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau mengulas sikap umat Islam di negara ini khususnya muda-mudi yang masih cenderung untuk meraikan Hari Memperingati Kekasih setiap kali muncul 14 Februari biarpun telah banyak penerangan disampaikan oleh para ulama.

Mengikut sejarah mitos, sambutan berkenaan diasaskan oleh masyarakat Rom yang beragama Kristian sebagai memperingati peristiwa seorang paderi yang dihukum bunuh oleh pemerintah Rom, Claudius II.
Saint Valentine dihukum bunuh kerana mengahwinkan salah seorang askar secara rahsia sedangkan undang-undang Rom ketika itu menghalang golongan muda berkahwin atau berkeluarga sebaliknya dikerah untuk menjadi tentera.

Hari ini budaya Valentine menganjurkan orang ramai menghantar kad ucapan Valentine kepada buah hati mereka, teman karib dan orang-orang yang mereka sayangi sebagai simbolik dalam menyatakan cinta terhadap mereka.

Pada zaman pertengahan, masyarakat England dan Perancis menganggap 14 Februari sebagai `hari burung-burung mencari pasangan mereka. Pada kurun ke-14 dan ke-15 mereka mula meniru perbuatan burung tersebut dengan mengadakan hari mencari pasangan atau jodoh pada tarikh tersebut. Masing-masing akan mengucapkan `Selamat Hari Valentine' sesama pasangan mereka.

Ada juga mitos menyebut, kad Hari Valentine dijadikan amalan memperingati peristiwa seorang paderi yang dipenjarakan dan sering menghantar kad bertulis From Your Valentine kepada kekasihnya, seorang gadis iaitu anak seorang pengawal penjara.

Harussani turut menyeru umat Islam agar tidak sesekali meniru budaya asing dan ternyata bercanggah itu apatah lagi ia turut menjerumuskan mereka ke lembah kemaksiatan.

``Mengapa kita perlu mengamalkannya sedangkan Islam menggalakkan umatnya kasih-mengasihi sesama sendiri sepanjang waktu dan bukannya menetapkan pada hari-hari tertentu atau berkala.

``Bahkan jika kita tidak bertegur sapa dengan saudara se-Islam selama tiga hari berturut-turut, hukumnya sudahpun jatuh haram. Jadi amalan atau budaya Islam sendiri sudah terbukti jauh lebih baik,'' kata beliau.
Menurut Harussani, Islam turut menggalakkan umatnya mengasihi sesama mereka secara ziarah-menziarahi selain berkongsi suka-duka dengan tumpang bersyukur jika senang dan bertakziah atau bersimpati apabila ditimpa malapetaka.

``Berkasih sayang bagi Islam juga tidak terhad kepada golongan tertentu sebaliknya meliputi semua pihak dengan keutamaannya diberikan kepada ibu bapa, suami isteri, keluarga, saudara Muslim dan akhirnya seluruh manusia,'' kata beliau.

Sunday, February 13, 2005

MENCARI MAKNA

dia:Datanglah, kita boleh berbincang pasal itu.
aku:Ya saya mesti datang. Boleh hantar mel/surat/fax jemput saya, untuk bolehkan saya dapat visa?
dia: diam
dia: diam
dia: Saya ingat U tak perlu datang, kita boleh selesaikan urusan ini dengan e-mel saja
aku: Saya perlu datang juga. Jangan risau soal visa, saya boleh uruskan sendiri. Harap kita dapat bertemu.

ini bukan dia, yang ini dia


dia: Terima kasih kerana datang ke pejabat kami dan perbincangan kita begitu bermakna. Terima kasih banyak.
aku (dalam hati):Aku datang mencari makna. Aku ingat dia ialah seorang nenek atau kurang-kurangnya makcik, oh rupa-rupanya muda belia...

Tuesday, February 08, 2005

SELAMAT: TAHUN BARU CINA, MAAL HIJRAH, CUTI



SELAMAT bercuti kepada semua sempena cuti panjang Tahun Baru Cina & Tahun Baru Islam.

Blog ini juga akan turut bercuti.
Jumpa lagi tahun hadapan.


Monday, February 07, 2005

MENTERI SWASTA?


barisan menteri kabinet - gambar hiasan

MENTERI ialah ahli pemerintahan yang tertinggi dalam jurusan atau kementerian yang dipimpinnya dalam sesebuah negara. Misalnya menteri pengangkutan bertanggungjawab dalam soal pengangkutan samada di darat, laut ataupun udara. Jika kerajaan ada syarikat seperti KTM, maka menteri pengangkutan bukan sahaja jaga KTM, malahan STAR, PUTRA dan MONOREL juga. Jika kerajaan ada MAS, maka AirAsia juga dijaga oleh menteri yang sama. Seseorang menteri tidak boleh hadkan skopnya menjadi terlalu kecil untuk menjaga kepentingan kerajaan sahaja, tetapi Malaysia (termasuklah swasta juga).

Contoh lain ialah, menteri kesihatan, bukan hanya jaga hospital kerajaan, tetapi hospital sawsta juga. Begitu juga dengan menteri pelajaran, bukan hanya jaga IPTA, tetapi IPTS juga.

Dapatkah anda kaitkan contoh-contoh di atas dengan yang menjaga RTM, TV3, NTV7 dan sebagainya yang menimbulkan pelbagai isu sehari dua ini?.

Sunday, February 06, 2005

DARI MANA HENDAK KE MANA



DULU:
dari mana hendak ke mana
tinggi rumput dari padi
tahun mana bulan mana
dapat kita berjumpa lagi

KINI:
dari mana hendak ke mana
banyak papan dari tanda
tahun mana bulan mana
nak selesai hutang berganda

Friday, February 04, 2005

SUSAH SENANG MENCARI REZEKI


AHAD lepas MBA ke Pasar Seni @ Central Market kerana membeli beberapa cenderamata yang diinginkan oleh peserta kursus yang akan berangkat ke Jepun. Mereka nak berikan cenderamata ini kepada sensei dan rakan-rakan baru @ sekelas mereka. Sebaik sahaja selesai urusan jual beli, hujan turun dengan lebatnya. Maka tersadailah di situ sementara menunggu hujan reda untuk menaiki LRT pulang ke rumah.

MBA pergi dari satu gerai ke satu gerai melihat 'seniman' mencari rezeki. Sebuah lukisan dijual sekitar RM5000. Dalam hati bertanya sendiri, dalam setahun berapa buah yang laku?. Pelan dan lakaran sebuah rumah mewah dijual RM50,000 (dengan 2X ansuran). Ada ke pembelinya?.

Akhirnya bertemu dengan seorang penyair jalanan yang menjaja puisinya. (Mengapa poet diterjemah sebagai penyair?. Bukankah penyair adalah penulis/pembaca syair?. Penyajak patutnya penulis/pembaca sajak dan pemuisi ialah yg menulis puisi?). Entahlah labu.... Penyair ini agak pelik sikit (mana ada penyair yang tidak pelik?). Katanya dia belajar kat UK, lepas tu merantau di pelbagai negara, tulis puisi merata-rata. Pernah dapat anugerah kat US. Balik Malaysia dan kerja kat bank, tapi tak seronok lalu ambil keputusan menjaja puisi di CM (entah betul entah tidak cerita dia, atau entah-entah dia memang tak betul). Tapi oleh kerana hujan lebat, kita layan jugaklah puisi dia ni. Satu puisi dia dijual dengan harga RM10 (lebih mahal dari sebuah antologi penyair yang kurang ternama). Dengan membayar RM10, pembeli dapat sebuah puisi, dapat dengar deklamasi dia (kalau ada pita/kamera/video boleh rakam ). Nak buat apa dengan puisi tersebut?. Nak bacapun bukannya faham, nak dengarpun bukannya ... Dalam sehari dapatlah RM20-RM30 katanya hasil usaha dia mendekati berpuluh-puluh orang yang terlarat olehnya.

Perbuatan penyair ini menjaja puisinya samalah dengan seorang pengemis yang menjaja kalendar atau ayat Quran yang tidak meminta 'derma ikhlas'. Namun rasanya seorang pengemis mendapat pulangan yang lebih lumayan berbanding dengan penyair tersebut.

Thursday, February 03, 2005

KENAPA TAK MAHU CUTI?


KERAJAAN memberi cuma satu hari sahaja cuti dalam setahun kepada warga kerja di Wilayah Persekutuan, iaitu pada 1 Februari. Namun ada orang yang tidak mahu bercuti dengan alasan tidak dapat memenafaatkan cuti tersebut. Tidak tahu nak buat apa semasa cuti. Tidak dapat bercuti. Rasa resah gelisah bila cuti. Dalam bahasa lain ia boleh ditulis sebagai mati kutu bila bercuti.

Tidak boleh atau tidak tahu memenafaatkan cuti tersebut adalah kelemahan peribadi. Soal kedhaifan peribadi begini tidak perlulah melibatkan orang lain hinggakan ingin mencadangkan kepada kerajaan untuk menghapuskan cuti Hari Wilayah Persekutuan.

Apakah sebabnya seseorang itu tidak perlu bercuti atau memenafaatkan cuti walaupun diberikan cuti?. Saya rasa di antaranya ialah:-

1. Tiap-tiap hari dia memang cuti, kerjapun cuti
2. Dia boleh main golf masa kerja, tak perlu tunggu cuti
3. Dia boleh keluar pejabat sesuka hatinya, buat apa cuti?
4. Nak servis kereta? Drebar dia uruskan
5. Nak bayar bil?. Office(r) boy dia buatkan
6. Atap rumah bocor? Ada kontraktor tolong buatkan
7. Nak baca buku cerita?. Tiap-tiap hari baca kat ofis
8. Nak menulis?. Tiap-tiap hari jugak tulis, mana perlu cuti?
9. Nak balik kampung?. Masa kerja lagi baik, boleh buat program rasmi, boleh claim lagi untuk balik kampung
10. Nak raikan sedara-mara atau orang kampung datang bertandang, apa pulak cuti?. Boleh buat urusan rasmi apa?.
11. Nak tidur? Kat ofispun boleh tidur (selalu tidurpun)
12. Nak bersembang-sembang?. Tiap-tiap hari bersembang @ meeting, siap boleh marah-marah & kutuk orang lagi.
13. Nak pekena teh tarik kat kedai mamak?. Apalah perlu cuti, takat 3-4 jam sehari tu biasa ler...
14. Nak main-main dengan kucing?. Kucing kat ofis lagi ramai. Kucing Parsi ada, kucing Siam ada ayam seramapun ada...
15. Lain-lain-lain lagilah.

Namun berapa ramai sangatkan yang kerjanya adalah cuti?


Wednesday, February 02, 2005

WEBLOG: PENULISAN KELAS DUA?


[JAWAPAN MBA kepada pertanyaan yang dilontarkan kepada Tok Rimau (Presiden GEJU) rentetan dari Wacana Weblog di Rumah Pena Sabtu lepas:

1) Sejak bila menubuhkan blob/weblog di internet dan berapa ramai yang sudah membacanya?

Tarikh sebenar ialah 12 Ogos 2002, tetapi cuma sehari sahaja sebelum disambung semula pada 26 April 2003hinggalah sekarang. Berdasarkan statistik yang diukur dari 26 Julai 2003 menunjukkan 101,693 pelawat telah berkunjung.. Biasanya lebih dari 200 kunjungan dicatat dalam sehari, pada hari biasa dan menurun pada hujung minggu. Catatan kunjungan tertinggi dalam sehari ialah 508. Mungkin pengunjung yang sama datang beberapa kali dalam sehari, atau seorang pengunjung hanya datang sekali seminggu, sekali sebulan atau sekali-sekala. Maka jumlah pengunjung sebenar tidak dapat dipastikan.

2) Khabarnya hanya penulis tidak bernama yang membaca karya sastera di weblog?

Saya mendapat khabar yang penulis besar tidak membaca karya sastera rakan mereka, walaupun di kertas cetakan, apatah lagi jika di weblog. Ada sebilangan dari mereka juga masih menggunakan mesin taip dan tidak mempunyai alamat e-mel. Jadi tidak hairanlah jika mereka tidak membaca.

Jika orang yang buta huruf tidak boleh membaca (mereka menikmati karya melalui deria dengar atau lihat) dan orang yang rabun komputer juga tidak boleh membaca (karya di weblog).



3) Ada pendapat mengatakan karya weblog adalah karya kelas kedua? Apa komen saudara mengenai perkara ini?

Karya sastera zaman dahulu kala, di zaman Tok Selampit dikisahkan secara lisan. Hanya masyarakat setempat dapat menikmati karya tersebut. Dengan kemajuan teknologi, karya telah ditulis dan dicetak, diperdengar melalui radio dan di tayang di layar TV. Pembaca, pendengar dan penonton merangkumi seluruh negara. Dengan teknologi Internet, weblog membolahkan karya disebar ke seluruh dunia.

Ini bermakna karya weblog bukan kelas kedua, tetapi berkelas dunia.


4) Berkarya di weblog, tiada siapa yang mengedit atau menilai bahasanya. Dimanakah kualiti penulisan itu sendiri?


Karya atau penulisan tanpa edit adalah yang paling jujur, ia adalah suara hati. Kualiti penulisan di weblog adalah kejujurannya. Ia tidak perlu diedit supaya menepati mana-mana teori penulisan atau mengikut rentak editor atau penerbit.

5) Difahamkan Tok Rimau menerbitkan makalah Gangguan Teksual, bagaimana dengan hakcipta dan royalti?


hakcipta adalah hak penulis dan terpulang kepada Tok untuk memberi royalty (jika ada) ..... selebihnya Tok kena jawab sendiri....

6) Mampukah karya sastera di weblog memartabatkan sastera negara sedangkan ia tiada proses penyuntingan?

Tidak semua karya yang diterbitkan (yang melibatkan proses suntingan) adalah bermutu dan boleh memartabatkan sastera negara. Karya-karya dalam weblog atau karya siber tidak semestinya tidak bermutu hanya kerana tidak mengalami proses suntingan oleh editor. Sebagai contoh dalam beribu-ribu karya sastera yang disiarkan (tanpa suntingan) di www.esastera.com sudah tentu terdapat beratus-ratus yang baik dan bermutu (malahan lebih baik dari karya yang telah disunting) Perlu diingat, tidak semua karya di weblog, atau karya siber tidak disunting. Contohnya haiku yang disiarkan di www.melayu.com disunting terlebih dahulu (secara ala kadar) oleh pentadbirnya.

Sekiranya soal suntingan yang menentukan mutu sesebuah karya, maka saya berpendapat karya yang disiarkan di weblog lebih bermutu kerana ia disunting terus oleh pembaca dan pengulasnya dan tidak terbatas kepada hanya seorang penyunting.

Saya pernah hadir ke anugerah puisi alam siber (APAS) dan hakim (penulis tersohor) memberitahu yang beliau tidak dapat membezakan (dari segi kualiti) di antara karya dari media cetak dengan karya alam siber (selepas dicetak). Nah.... berkualiti apa! karya alam siber...


7)Saudara dari disiplin yang berbeza dengan sastera tetapi kenapa begitu minat berkarya? Pernah menerbitkan buku?

Sastera adalah milik semua. Jika ia tidak menyusahkan orang lain apa salahnya? Buku? Nantilah.

8) Tidak teringinkah berkarya luar dari dunia maya dan menghantar kepada penerbit?

Nanti ada yang tidak boleh cari makan pulak. Ha ha ha ha

9) Setiap hari berapa ramaikah yang mengunjungi weblog saudara?

Sekitar 200


10) Tidakkah berkarya melalui weblog menghilangkan atau memutuskan silaturahim kerana hanya berinteraksi melalui media elektronik dan teks menjadi penghubung tanpa dapat melihat reaksi atau ekspresi wajah orang yang memberi tindakbalas atau komen kepada weblog anda?

Karya melalui media tradisional milik orang lain adalah lebih banyak memutuskan silaturahim kerana ingin cantas mencantas, pilihan kroni dan rasa tidak puas hati dengan pihak-pihak lain.


Kalau kalian tidak larat jawab semua, pilih satu pun cukuplah.

Jawapan secara ala kadar sahaja.

Tuesday, February 01, 2005

SELAMAT MENYAMBUT HARI WILAYAH





daun melambai
angin sepoi bahasa
hari wilayah


Friday, January 28, 2005

ENTAH IYA ENTAH IDAK


PENGGUNA disel mengeluh sekarang.
"haiya, manyak susah woo, rata-rata pigi, minyak abis. macamana mau kerja?. mau cari makan pun susah woo. Ada duitpun tatak guna, minya semua abis. Murahpun apa guna jika stok abis?. Saya ingat kalau juai sikit mahaipun tak apa, asal jam kita mau pakai, stok ada. Haiya.... manyak lugi ooo berniaga, minyak punya pasai".

Nah sekarang pengguna sendiri sudah meminta supaya harga minyak (disel) dinaikkan. Kerajaan tidak mintak. Penjual tidak mintak. Pengguna juga yang mintak. Ia suatu strategi yang bagus??. Entahlah labu...

Thursday, January 27, 2005

YANG MANA SATU?




YANG mana satu pembekal telefon mudah alih yang bagus?. Celcom atau Maxis atau Digi?. Antara pre-paid dan post-paid rasa-rasanya memang dah nekad nak gunakan post-paid (bil) sebab malas nak top-up.

Pada masa ni dah bertahun-tahun gunakan Maxis yang cuma RM10 saja sebulan. GPRS juga percuma (tanpa caj bulanan), cuma bayar bil penggunaan saja. Mengapa nak tukar?. Ooh kat pejabat ni Maxis tak berapa stabil, ada satu bar saja. Kat kampung lagilah teruk, kosong bar. Selain dari itu rasanya semuanya OK.

Cuba-cuba nak pakai Celcom. Kat ofis OK. Kat kampung OK, Tapi kena bayar RM10 yuran laluan tetap untuk GPRS. Kena bayar RM15 untuk yuran laluan tetap bulanan untuk talian. Dah kira RM25 yuran tetap bulanan. Dah rugi RM15 berbanding dengan Maxis. Kalau Celcom pre-paid, GPRS cuma bayar caj penggunaan saja, tapi sampai bila?.

DiGi?. Ala.... tak payahlah talian ni lagi tak stabil kat sini.

Ada sapa-sapa aa cadangan baik?. Tukar ke tidak?. Celcom ke Maxis?.

Wednesday, January 26, 2005

Weblog: Ruang Ekspressi Idea dan Sastera




Tajuk: Weblog: Ruang Ekspressi Idea dan Sastera
Moderator: Nazmi Yaakub, cerpenis, novelis, wartawan
Ahli Panel:
-Sri Diah, Editor Kanan di Penerbitan Karangkraf, Novelis Alaf 21
-Nisah Haron, Peguam, Cerpenis, Novelis
-Tok Rimau, Presiden Geng Jurnal 2004
Masa: 3 petang
Tarikh: 29 Januari 2005, Sabtu
Lokasi: Rumah PENA, Kuala Lumpur
(Depan Wisma MAA, dekat Restoran Tupai-tupai dan mercu tanda yang mudah dikenali Bangunan DBP yang ada rehal kat bumbungnya)

Minum petang disediakan

Tuesday, January 25, 2005

HAJI DAN HAJAH


haji dan hajah
ihram melilit tubuh
dam haji jahil


TERINGAT perbualan semalam "selamat hari raya haji" eh eh... "selamat hari raya hajah" juga.

Jika begitu, LUTH (Lembaga Urusan Tabung Haji) kena tukar kepada LUTHH (Lembaga Urusan Tabung Haji & Hajah) atau LUTHHP... Ini ialah kerana mengikut Kamus Dewan, hajah bererti "haji perempuan".

Di tempat saya gelaran "haji" diberikan kepada seseorang yang telah menunaikan fardhu haji di Mekah, tanpa mengira jantinanya. Contoh yang paling nyata misalnya ialah Haji Gayah (Hajah Rugayah Sulung) yang merupakan qari (sepatutnya qariah?) terkenal pada masa itu.

Oleh kerana Pak Haji biasanya dipanggil Pak Aji dan biasanya Mak Aji lebih kerap dipanggil berbanding Mak Hajah atau Mak Ajah. Maka "dam haji" atau "dam aji" sesekali boleh juga dipanggil "dam hajah".

Sunday, January 23, 2005

TAYAR KL MONOREL MELETUP (LAGI)



KIRA-KIRA tiga tahun lalu, KL menjerit gempar dengan peristiwa tayar (roda sebenarnya) KL monorel jatuh dan menimpa seorang wartawan yang berjalan di bawah landasan. Perkara tersebut dianggap mustahil oleh pengurusan KL Monorel. Mereka berjanji yang peristiwa tersebut tidak akan berulang lagi.

Semalam, tayar KL monorel meletup pula. Ia mencederakan dua orang penumpang. Pada kali ini pihak pengurusan KL monorel berkata perkara seumpama ini tidak mungkin boleh berlaku dan berjanji peristiwa tersebut tidak akan berulang lagi.

Entahlah di mana silapnya, entah apalah malangnya perkara yang dianggap mustahil telahpun dua kali berlaku terhadap KL monorel. Peristiwa ini mungkin suatu kemalangan yang tidak dijangka (macam tsunami, siapa yang jangka boleh melanda negara kita?). Namun menyedari hakikat bahawa budaya selenggara adalah terlalu lemah di negara kita, tidak mustahil perkara yang mustahil boleh menjadi perkara harus dan janji akan tetap tinggal janji sahaja.

Saturday, January 22, 2005

RAYA HAJI LEBIH MERIAH

HARI INI adalah hari raya haji yang kedua. Pada kebiasaannya, di Malaysia hari raya puasa adalah lebih meriah berbanding dengan hari raya haji. Kekecualiannya hanya di beberapa tempat di Kelantan dan Terengganu di mana hari raya haji adalah lebih meriah berbanding dengan hari raya puasa. Malahan di sini, hari raya enam, iaitu selepas habis berpuasa enam hari di bulan Syawal adalah jauh lebih meriah berbanding dengan hari raya puasa pertama. Pada hari raya puasa, kita hanya disunatkan bertakbir sehari sahaja berbanding dengan tiga hari di hari raya haji. Maknanya raya haji adalah lebih besar adalah raya puasa.

Sepuluh sebab mengapa raya haji tidak meriah di Malaysia?
1. Raya Haji cutinya cuma satu hari sahaja berbanding curi raya puasa
2. Sekolah tidak mengambil kira raya haji untuk cuti penggal/ cuti peristiwa
3. Ops warta oleh polis/JPJ juga tidak ada sempena raya haji
4. Shopping Complex tidak ada pesta jualan sempena raya haji
5. Lagu raya haji tidak pernah ada dan tidak didendangkan
6. Kad raya haji tidak dijual dan tidak dihantar/terima
7. Raya haji tidak perlu bayar zakat (fitrah)
8. Kuih raya tidak dijual sempena raya haji
9. Sampul duit raya tidak dicetak untuk raya haji
10. apa lagi ekkk....

Friday, January 21, 2005

RAYA JUMAAT - KRISMAS AHAD

HARI ini, Jumaat adalah merupakan penghulu segala hari. Kebetulan hari raya Aidiladha pula. Selepas sembahyang raya, mennguruskan korban, kita akan bersembahyang Jumaat pula.

Teringat akan dialog raya-krismas yang lepas.

+Kalau Krismas pada hari Ahad, lu pergi gereja satu kali ka dua kali?

-Satu kali sajalah. Buat apa dua kali, itu sama saja ma.

+ooo itu macam ka?

-Lu pulak kalau Laya hali Jumaat, semayang mau 2 kali ka 1 kali?

+2 kali boleh 1 kali pun boleh. Tapi ramai orang bikin 2 kali semayanglah. Tapi tuhan Allah kasi relaks sikitla. Sapa-sapa sudah semayang raya, kalau dia tak pigi semayang Jumaatpun boleh. Tapi masjid bikin semayang jugak, mana tahu ada olang tak sempat mau semayang raya, dia mesti semayang Jumaat.

-oooo itu macam ka? Tapi itu saja lu mau tanyalah kan? Kita punya Krismas hali Sabtu, bukan Ahad. Lu sudah tau bukan?

+ ya ya ya sudah tahu, saja mau tanya saja.

Thursday, January 20, 2005

Wednesday, January 19, 2005

MENCARI KALIMAH 'ALLAH'

KITA biasa mendengar bahawa masyarakat kita (mungkin juga orang lain) kerap kali gempar setiap kali ada orang menemui kalimah 'Allah'. Ada kalanya kalimah ini ditemui dalam buah tomato, pada kulit kambing, di badan lembu, pada pintalan awan dan sebagainya. Maka hebohlah orang-orang akan bercerita mengenai kebesaran Allah. Semasa Asia dilanda oleh tsunami, sekali lagi kalimah 'Allah' menjadi bualan hangat apabila ombak yang melanda pantai Sri Lanka dikatakan mempunyai bentuk yang serupa dengan Alif Lam Lam Ha. Pelbagai tafsiran dikeluarkan mengenai perkara itu.



Pokoknya..... umat kita hanya akan merasai kekuasaan Allah hanya apabila bertemu dengan perkara-perkara begini yang belum tentu kesahihannya?.


Tuesday, January 18, 2005

JOM MAIN HANTU-HANTU





Jom main hantu-hantu
Aku jadi hantu engkau jadi kutu
Engkau sebut sepak
Aku sebut takraw

Jom main hantu-hantu
sepak takraw itu lembaga
Jangan takut itu puak kita

Jom main hantu-hantu
Sepak terajang itu orang
Bila rasa seram
Lari lintang pukang

Jom main hantu-hantu
Sepak tak berjawab itu batu
Jangan cuba lari
Selagi roma belum berdiri

Jom main hantu-hantu
Jumpa Lembaga putih
Taburlah bertih
Baca ayat kursi
Sembunyi bawah kerusi

Jom main hantu-hantu
Terjun longkang patah geraham
Bengkak gusi lebam pipi
Mata dua berjahit Satu

Jom main hantu-hantu
Engkau tingkatan Satu
Kami ni bakal tok guru

Monday, January 17, 2005

HAIKU MINGGU INI

Pada kali ini saya berhasrat untuk membuat sedikit ulasan terhadap haiku mengenai unsur musim. Lima haijin yang menghantar haiku mereka ke komuniti haiku dipilih mengikut kesesuaian dengan tema (musim) yang dimaksudkan.

Dalam memperkatakan “haiku yang baik”, kita tidak boleh tidak terpaksa merujuk dan berpandukan kepada haiku dari haijin agung, iaitu Basho, Furu ike ya kawazu tobikomu muzu no oto terjemahan bebas ke dalam BM lebih kurang begini, Kolam nan tua/ kodok terjun ke dalam/ percikan air.

Selain daripada itu, haiku Melayu terbaik yang telah diberi pengiktirafan oleh pihak Jepun dalam kategori kanak-kanak ialah Bunga berkembang/ Unggas terbang nan bebas/ Damainya hati


BEBAS – Rudy Bluehikari
Langit nan biru/ burung bermain riang/angin berlagu

Unsur musim begitu jelas dalam haiku ini yang diwakili oleh baris pertama dan kedua. Pembayang haiku juga amat jelas dan dapat dinikmati oleh pancaindera yang biasa. Haiku ini istimewa apabila disertakan dengan versi Jepun (romanji dan juga kanji) serta haiga (lukisan haiku) seekor burung melayang atau terbang. Kainatn antara ‘langit nan biru’ dan ‘burung bermain riang’ mungkin bermaksud burung sedang bermain di atas pokok atau dalam sangkar. Itu adalah fahaman biasa perkataan ‘bermain’. Namun daripada haiga yang disertakan menunjukkan burung terbang. Jika haijin bermaksud demikian, maka mungkin baris kedua boleh ditukar kepada ‘burung melayang riang’ dan seumpama dengannya.

Baris ketiga ataupun maksud haiku ini ‘angin berlagu’ mungkin tidak begitu jelas mengenai hasrat sebenar haijin. Namun ia tidak menjejaskan apa-apa dalam kategori haiku yang baik seperti mana haiku Basho. Secara keseluruhannya saya kagumi haiku ini, apatah lagi apabila diiringi dengan haiga yang begitu bermakna.

BAHAGIA – Saleha Ahmad
Kudup berkembang/ malam semakin dini/ hati semerbak

BAHAGIA ialah sebuah haiku yang bagus dan unik. Haiku ini mempunyai makna berganda yang menarik.‘kudup berkembang’ dengan jelas menggambarkan musim. Bunga berkembang bukan pada setiap masa atau musim. Baris pertama ini juga membawa makna berganda, misalnya ‘cinta berkembang’, itu ialah suatu perlambangan yang dibawa oleh haijin secara tidak langsung.

Kaitan di antara baris pertama dan kedua agak kabur. Adakah haijin bermaksud kudup berkembang di waktu dinihari? (memang ada bunga yang hanya berkembang waktu malam sahaja – jika demikian lebih elok diberikan nama bunga tersebut, bukannya kudup). Baris kedua juga menceritakan secara langsung mengenai suasana ketika itu, iaitu larut malam. Sebuah haiku yang baik biasanya mempunyai pembayang diwakilkan dengan objek-objek untuk menggambarkan suasana. Misalnya ‘ayam pulang ke reban’ boleh mewakili waktu senja. Oleh itu ‘malam semakin dini’ boleh diwakili dengan objek seperti ‘embun jantan menitis’ dan yang seumpama dengannya.

Baris ketiga haiku ini dengan jelas merujuk semula kepada pembayang di baris pertama mengenai kudup dan menguatkan lagi makna berlapis haiku ini. Inilah merupakan satu contoh haiku yang baik.

BULAN YANG PENUH – dipinggiran
Bulan yang penuh/ pungguk di dahan tinggi/ bisikan syahdu

Bulan Yang Penuh adalah menceritakan suatu perkara biasa dalam cara yang biasa. Syarat penting sesebuah haiku yang baik ialah haijin perlu mencatatkan peristiwa semasa (present tense) bukan peristiwa semalam atau esok. Ini bermakna seolah-olah haijin mesti berada di lokasi di mana kejadian yang dilaporkan berlaku. Haiku Bulan Yang Penuh sememangnya menepati kriteria ini.
Baris pertama sememangnya mewakili musim. Bukan yang penuh berlaku Cuma beberapa hari sahaja dalam sebulan dan hanya boleh jelas kelihatan sekiranya cuaca terang. Ungkapan lain yang boleh digunakan bagi baris pertama ialah ‘bulan pertama’. Salah satu senarai semak untuk menilai sesebuah haiku ialah samada ungkapan yang digunakan boeh digantikan dengan ungkapan lain atau sebaliknya. Dari ungkapan alternatif ini, pilihlah yang terbaik.

Bulan dan pungguk adalah merupakan dua objek biasa dalam masyarakat kita. Baris pertama dan kedua haiku ini adalah yang dikatakan sebagai dikatakan sebagai perkara biasa yang diceritakan dalam keadaan biasa. Haiku yang istimewa perlu ‘menceritakan perkara biasa dalam cara yang berbeza. Mungkinkah ‘bulan purnama/ pungguk mencari tikus’ adalah sesuatu yang berbeza?.

Kemuncak dari haiku ini ialah bisikan syahdu yang boleh dikategorikan sebagai makna berganda. Siapakah yang berbisik?. Adakah pungguk berbisik kepada bulan atau haikin mendengar bisikan lain atau haijin sendiri yang berbisik?.
Bulan Yang Penuh atau mungkin lebih paat lagi bulan purnama banyak mempunyai cirri-ciri haiku yang baik.


Kepulangan TabirAlam
Koc musim sejuk / henti stesyen bersalju /Tok senyum gembira

Maksud tersirat dari haiku ini ialah kegembiraan seorang Atok yang barangkali dengan sabar menunggu sekian lama orang tersayang di stesen keretapi. Orang yang ditunggu boleh jadi cucu, anak atau buah hatinya.

Dalam menggambarkan tentang musim, haijin perlu memilih objek dan bukannya bercerita secara langsung tentang musim. Misalnya bagaimanakah rupanya koc musim sejuk? Adakah ia berbeza dengan koc musim panas? “koc musim sejuk” secara langsung bercerita tentang musim sejuk, kerana masakan koc musim sejuk berjalan di musim panas. Sekiranya koc musim sejuk dan musim panas ini berbeza, haijin hendaklah bercerita mengenai keadaan fizikal koc tersebut sebagai objek dan biarkan pembaca berfikir dan mengaitkannya dengan muzim dan gambaran lain yang ingin dibawa. Katakanlah koc musim sejuk bewarna biru dan koc musim panas bewarna putih, maka ‘koc musim sejuk’ boleh digantikan dengan ‘koc warna putih’.

Baris kedua ‘henti di stesen bersalju’ adalah merupakan pelengkap kepada baris pertama untuk menceritakan tentang musim sejuk juga.
Barangkali kata haiku ini ingin menyamai haiku kodok karya Basho, ia boleh ditulis begini:

Perigi nan tua (stesen bersalji)/ kodok terjun ke dalam (keretapi berhenti)/ air berkocak (atok gembira).


MENITI KEHIDUPAN – EP
Kabus Nan Tebal/ Duri Merobek Baju / Melangkah Maju

Meniti Kehidupan mungkin bukan sebuah haiku biasa. Haiku ini banyak meninggalkan banyak persoalan atau teka teki kepada pembaca.
Kabus nan tebal adalah mewakili musim. Pembaca boleh meneka sendiri musim apa. Duri merobek baju pula mungkin merupakan sambungan daripada suasana berkabus. Namun persoalan yang ditimbulkan ialah siapa yang dimaksudkan dalam objek ini. Soalan siapa ini berlarutan kepada baris ketiga ‘melangkah maju’. Ia itu langkah siapa, untuk ke mana dan mengapa.

Sunday, January 16, 2005

BTM



BTM asalnya ialah mesyuarat benda hitam (black things meeting), Sekarang dah jadi Beam, Talk & Makan.

Thursday, January 13, 2005

Tuesday, January 11, 2005

jika takut dilambung tsunami

SMS di terima:-"XXX minta saya hantar puisi2 xxxxxxxxx ttg tsunami pagi2 esok utk diantologikan.Kalau boleh masukkan satu ke xxxxxxxxx mlm ini"

SMS dijawab:- dah dimasukkan puisi segera 2 minit. Harap maaf jika tidak menepati citarasa.

JIKA TAKUT DILAMBUG TSUNAMI …
di hujung tangis anak kecil berbisik
ibu,
mana rumah kita?

nak,
rumah kita hanyut ditelan tsunami

ibu,
mengapa tsunami telan rumah kita?

nak,
itu hak laut
kita tinggal dalam rezab laut
tsunami itu along laut

ibu,
tsunami kuat sembahyang kah?
masjid tidak runtuh
surau masih tegap

nak,
itu rumah Allah,
Dialah yang menjaganya

ibu,
kuil juga tidak runtuh
tokong juga masih kuat
siapa jaga tokong?
siapa jaga kuil?

nak,
struktur masjid kuat
struktur kuil kukuh
struktur tokong padu
tsunami tidak mampu

ibu,
hati ibu kuat
iman ibu kukuh
tsunami telan juga

nak,
pesanlah pada anak-anak mu
jika takut dilambung tsunami
jangan berumah di tepi pantai.
usah menangis lagi.

Monday, January 10, 2005

KELUARGA DAN KERJAYA

KATA orang, jika kita nak berjaya dalam kerjaya, hal-hal keluarga perlu diketepikan. Orang lain pula kata, jika berjaya dalam keluarga, maknanya dia tidak berjaya dalam kerjaya. Tepat pukul 4 dah nak balik, dengan alasan ingin bersama keluarga. Kerja lebih masa tidak boleh, kerja luar pejabat juga tidak boleh, gara-gara tidak boleh tinggalkan keluarga.

Ada juga orang kata orang kaya memang kedekut, sebab itu dia boleh jadi kaya. Jika dia tidak kedekut, sampai bilapun dia tidak boleh jadi kaya. Orang lain pula berkata orang kaya biasanya mahukan mahukan barang percuma. Lagi kaya mereka, lagi tinggi pangkatnya, lagi banyak barang dan perkhidmatan percuma yang dimahukan. Mereka mahu kereta dengan minyak percuma, telefon percuma dan semuanya percuma. Jadi sememangnya orang kaya boleh jadi kaya sebab semuanya dapat percuma.

Orang lain pulak kata kedua-dua kata-kata di atas adalah tidak betul. Apa salahnya jika keluarga bahagian dan kerjaya berjaya. Orang miskin juga kedekut dan dia tak jadi kaya sebab dia kedekut.

Aku yang mendengar ni 'entahlah labu...'

Sunday, January 09, 2005

CRM Dalam PDA

SAYA dah pakai Personal Digital Assistant (PDA) dah bertahun-tahun. Ada perisian salinan dan ada juga beli perisian tulen. Namun baru semalam tahu bahawa perisian Agendus Pro (AP) yang dibeli ni boleh buat macam-macam, termasuk Customer Relation Management (CRM). Sebelum ni AP ni hanya untuk buat diari/kalendar saja. Penat-penat bayar mahal, tak tahu fungsi 'tersembunyi' yang ada rupa-rupanya.



Keadaan ini rasanya samalah dengan 80% daripada pengguna yang menggunakan 20% sahaja dari fungsi yang ada pada perisian mereka.

Saturday, January 08, 2005

TSUNAMI: SIKAP SEBENAR KITA TERBONGKAR


gambar hiasan

KHABARNYA macam-macam cerita mengenai tsunami yang dilaporkan. Cerita mengenai mangsa memang menyayat hati. Cerita mengenai penonton dan penderma juga ada yang menyedihkan hati. Diceritakan bahawa apabila para pekerja mengisih barang-barang derma yang diterima, kononnya ada yang menjumpai pakaian dalam terpakai, ada tuala wanita terpakai. Ada baju koyak rabak yang hanya layak untuk lap lantai. Mengikut ceritanya ada juga pakaian glamor yang tak sempat sampai ke tangan mangsa, tapi simpan dulu oleh para petugas.

Kalau benar cerita begini, maknanya malang sungguhlah kita semua. Dalam kemurahan hati rakyat kita ingin menderma, ada juga yang ingin membuang sampah yang tidak kena pada tempatnya.

Friday, January 07, 2005

TSUNAMI



diutusnya Nabi diingkari
diutusnya Ulama digari
diberikan Quran tidak dipeduli
ditunjukkan damai dicabuli

Nah dihantar ombak besar - Tsunami
Masih lagi berleka.

Thursday, January 06, 2005

BUDAYA KERJA

BEBERAPA hari yang lepas, saya mengadakan pertemuan dengan sektor swasta. Kami bertukar-tukar pendapat mengenai HR dalam sektor masing-masing. Rupa-rupanya pihak swasta tidak mengetahui bagaimana HR dalam kerajaan beroperasi. Tentang perjawatan, pengisian, skim dan sebagainya. Adalah sesuatu yang baru bagi mereka bila mendengar orang gomen tidak boleh tukar skim perkhidmatan (ada pengecualiannya). Maknanya jika seseorang dah dalam Skim F, maka dia akan pencenlah dalam skim tersebut dan tidak boleh ke skim M dan sebagainya. Itu biasa kan bagi orang gomen!/

Saya diberitahu masalah HR di agensi tersebut ialah staf mereka yang terlalu rajin bekerja. Kerja bagaikan orang kena dadah, dah ketagih dengan kerja. Walaupun cuti tak boleh carry-forward ke tahun berikutnya, depa tak juga ambil cuti. Hinggakan terpaksa tawarkan duit supaya ambil cuti. Wah ingatkan perkara ini hanya berlaku di Jepun sahaja, macam tak caya jer, ia juga berlaku kat Malaysia.

Jadinya mereka terpaksa hadir "kursus keseimbangan dalam hidup". Supaya lebih relaks, lebih enjoy, lebih sosial dan "jangan rajin sangat" kerja. Alahai.... dalam sektor saya, kena hadir kursus motivasi supaya kerja rajin, ini terbalik pulak. Rupa-rupanya staf rajinpun susah jugak ya...

Wednesday, January 05, 2005

BUKU TEKS

MUSIM persekolahan baru sahaja bermula. Di antara beberapa perkara yang mungkin memeningkan kepala ibu bapa ialah soal penjadual bas sekolah, yuran sekolah, sekolah ugama dan juga buku sekolah. Mengenai buku sekolah, biasanya bagi yang tidak layak menerima bantuan buku teks masalah yang timbul ialah kehabisan stok di kedai buku. Itulah di antara masalah saya sekurang-kurangnya.

Semua akan-anak saya yang bersekolah, tidak pernah menggunakan buku bantuan. Ini ialah kerana saya tidak pernah memohon bantuan. Sebab utama saya tidak memohon ialah, sudah tercatat di borang permohonan tentang kelayakan pemohon. Saya tidak layak untuk mendapat bantuan buku teks bagi anak-anak saya kerana pendapat adalah lebih tinggi daripada paras kelayakan. Jadi buat apa saya memohon jika sudah tahu memang tidak layak.Kexualilah semasa anak-anak saya bersekolah di luar negara dulu (saja nak habaq mai). Sebabnya pada masa tu kami sekeluarga dah termasuk dalam golongan papa (cuma belum kedana saja lagi). Tapi kat sekolah di luar negara tu, semua benda percuma, termasuklah buku teks, buku tulis, pensil, pemadam, pensil warna malahan makan juga percuma. Tidak kira kaya atau miskin. Mengapa kita tak buat macam tu ya?

Walau bagaimanapun, saya dapati ada guru besar yang memohon dan berjaya mendapat pinjaman ini. Bila saya tanya mengapa dia memohon dan berjaya sedangkan dia tidak layak. Jawabnya senang saja, saya guru, jadi saya "hello" saja kepada guru sekolah tempat anak saya belajar, maka dapatlah. Kita kena ada networking. Kalau cikgu tak dapat tolong cikgu siapa lagi nak tolong?. Lagipun buku tu banyak, memang kita mintak lebih bagi tujuan-tujuan yang macam ni.

Saya berpendirian perkara begini adalah SALAH. Lebih salah lagi apabila anak cikgu berkenaan memohon ke sekolah berasrama. Anak orang dapat 5A, anak dia dapat 5A juga. Cuma bezanya anak dia perempuan dan anak orang lelaki (anak lelaki lebih senang dapat sebab budak lelaki tak ramai yang cemerlang). Dia juga menggunakan saluran "hello" untuk dapatkan tempat. Terus terang saya tanya dia. "U tak rasa berdosa ke, anak U ambil tempat anak orang lain yang layak, sedangkan anak U tak layak?". Merasa bersalah, dia berdalih "Oh.... sekolah sediakan meja ekstra, bukan ambil meja anak orang lain, so tak berdosa". Saya tahu dia cuma bergurau, sebab dia memang rasa bersalah. Sebenarnya salah atau tidak terletak kepada hati kecil kita. Hati tidak akan menipu kita (melainkan hati yang dah berkarat dek kerana terlampau banyak dosa - agaknya).

Tuesday, January 04, 2005

MENUNGGU GUGUR





dedaun rimbun
hijau bertemu merah
menunggu gugur


* Foto dari Lynn, Kobe
Haiku untuk Lynn yang sedang bermain yuki (salji)

Bagaimana membacamentafsir haiku
Haiku ditulis berdasarkan kepada alam sekitar, namun ia dikiaskan kepada kehidupan manusia.

Dedaun rimbun adalah ibarat kerjaya yang memuncak. Yang hijau biasanya staf junior, yang merah adalah senior (yang dah jusa-jusa gitu...). Tapi merah ke, hijau ke, masing-masing menuju hari pencen. Macam daun akan gugur bila tiba gilirannya.

heh heh...

Monday, January 03, 2005

ADA KALANYA IT MENYUSAHKAN ...

Kepercayaan karut umum ialah menggunakan IT adalah memudahkan. Menggunakan IT dapat mengurangkan staf. Menggunakan IT akan lebih menguntungkan. Namun dari segi hakikatnya penggunaan IT tidak semestinya begitu selalu.

Pada masa ini Dewan Bahasa & Pustaka (DBP) dan Dawama masih mengadakan jualan gudang yang mana diskaun buku-buku terbitan DBP boleh mencapai hingga 80%. Setiap tahun (mungkin beberapa kali setahun) DBP & Dawama mengadakan jualan gudang ini di kilang percetakannya di Hulu Kelang. Seperti tahun-tahun lepas juga, masasalah yang sama sahaja berlaku. Akhir tahun baru-baru ini MBA ke jualan gudang tersebut untuk membeli bebrapa buah buku. Tak sampai 15 minit, satu bakul buku telah penuh. Namun terpaksa berbaris lebih setengah jam untuk membayar buku sebanyak 20 buah tersebut. Dalam barisan cuma ada 2-3 orang sahaja yang berbaris. Apakah sebabnya terpaksa berbaris terlampau lama?. JAwapannya ialah kerana kaunter bayaran menggunakan kemudahan IT!.

Penggunaan IT (atau ICT) di kaunter bayaran DBP tersebut telah menyulitkan staf yang bertugas dan menyusahkan pelanggan yang ingin membayar. Sebabnya ialah staf di kaunter terpaksa menaip (key-in) satu per satu butiran yang diperlukan sebelum dapat diproses oleh komputer. Ini yang dinamakan sistem komputer yang tidak mesra pengguna. Walaupun setiap buku telah disediakan dengan kod-bar (barcode), namun ia cuma untyuk hiasan sahaja. Masalah kedua ialah makcik-makcik yang bertugas di kaunter tersebut ialah rabun komputer. Menyedari pembeli sudah bersungut lama menunggu, makcik ni cakap "semalam baru kursus pakai komputer ni". Sepatutnya DBP (atau Dawama) perlu menggunakan sistem komputer yang lebih canggih dan mesra pengguna. Dua-patutnya DBP (atau Dawama) perlu mencari staf lain untuk bertugas di kauntar. Jika diupah budak-budak yang tengah tunggu SPM dengan beberapa ringgitpun, ia jauh lebih cekap dari makcik-makcik yang hanya tunggu masa bersara yang takut-takut pada komputer.

Itulah cerita penggunaan IT, yang sepatutnya jika gunakan manualpun jauh lebih menyenangkan pelbagai pihak.

Sunday, January 02, 2005

KEKESALAN SEPANJANG 2004

semalam aku bangkit seperti orang lain juga
tidur dalam 2004 dan bangkit setelah 2005 menjelma
namun terasa kekesalan yang amat sangat
aku terlupa untuk membayar zakat
sepanjang rezekiku pada tahun 2004
aku takut hartaku tidak berkat

aku kesal yang amat sangat
mengapa boleh terlupa membayar zakat
31 Disember adalah tarikh dan had
walaupun harta tidaklah banyak
namun bila cukup haul dan nisab
berzakatlah untuk membawa berkat

mungkin tsunami yang telah melekakan aku
barangkali tanpa pesta tahun baru yang melenakan aku
mungkin kurangnya publisiti yang menghayalkan aku
yang pasti ozon kian menipis
dan hatiku bagaikan ozon itu

rupa-rupanya aku terperangkap
mengapa perlu bayar zakat?
-Ia adalah rukun
mengapa perlu bayar sebelum tahun baru?
-Untuk dapatkan rebet!
bagaimana haul dikira?
-muharram ke Zulhijah
-bukan januari ke disember

aku tertipu rupa-rupanya
bukan 2004 tetapi 1425



Saturday, January 01, 2005

KESAN PERTAMA TAHUN BARU 2005



PAGI-PAGI lagi sudah menerima beberapa SMS tahun baru. Di antara yang menarik termasuklah:-

Sunday went to Monday to look for Tuesday and ask Wednesday whether Thursday has told Friday that Saturday is New Year. An early wish of HAPPY NEW YEAR 2005!

Seperti tahun lepas, hujung minggu tahun baru juga dimulakan dengan rutin ke pasar untuk membeli lauk-pauk. Hasrat untuk ke pasar borong masih tinggal hasrat yang tidak tertunai oleh beberapa sebab yang logik untuk diterima.

Selesai membeli ayam dan daging (ikan tidak banyak di pasar, mungkin kerana Tsunami), beli pula dua akhbar harian dengan menghulur RM2.40 seperti biasa. Sampai dipertengahan jalan, dipanggil oleh peniaga kerana duit tak cukup dan rupa-rupanya akhbar harian dah naik harga sempena tahun baru ke RM1.50. Semasa MBA masih kanak-kanak, masih jelah diingati yang akhbar Berita Harian cuma RM0.15 dan Utusan Malaysia RM0.20. Ini bermakna kenaikan sudah menjangkau 10 kali ganda. Esok hari minggu, pasti harga akhbar mingguan naik lagi.

Apakah yang turun?. Cuma hujan sahajalah...

SELAMAT TAHUN BARU 2005



TAHUN baru 2005 telah selamat ditempuhi. Dalam diam tak diam tahun 2004 telah ditinggalkan. Tahun 2005 ini rasanya lebih istimewa daripada beberapa tahun kebelakangan. Tahun 2005 datang tanpa disambut dengan pesta gila-gila yang diadakan secara rasmi. Tidak ada pesta yang ditaja secara terangan. Mungkin ada pesta secara private yang dianjurkan, namun hanya orang tertentu sahaja yang mengetahuinya. Walaupun tahun 2005 tidak disambut dengan pesta gila, namun 2005 datang juga dengan selamatnya. Tahun 2005 ini tidak disambut dengan kes kemalangan mat rempit yang menjadi-jadi. Ia tidak disambut dengan tangkapan pemandu yang mabuk dan banyak lagi yang bagusnya mengenai 2005. Semoga permulaan yang bagus ini akan berkekalan sehingga ke akhir tahun.

Sebenarnya pesta menyambut tahun baru bukanlah perkara baru. Namun kerajaanlah yang bertanggungjawab untuk membudayakannya. Kononnya untuk menarik pelancong luar datang untuk berhimpun menunggu detik dua belas malam. Maka dengan menggalakkan pelbagai penajaan pesta menyambut tahun baru, maka secara langsung kerajaan juga menggalakkan pelbagai jenis maksiat dan kemungkaran berlaku.

Apabila YAB Perdana Menteri sendiri meminta supaya sambutan tahun 2005 tidak dibuat dengan pesta, tetapi dengan doa selamat, dengan sembahyang hajat, dengan khutbah khas, maka selain dari keberkatan yang diperolehi, mudah-mudahan segala kemungkaran dan maksiat juga akan turut berkurangan. Sekarang terbukti bahawa tanpa pesta gila sambutan tahun barupun, tahun 2005 tetap selamat mengunjungi semua.

Selamat tahun baru 2005.