Labels

Saturday, December 03, 2011

RM2 JUTA UNTUK PENULIS

KUALA LUMPUR - Kerajaan memperuntukkan RM2 juta dalam bentuk dana untuk penulis buku tempatan sebagai sebahagian daripada inisiatif membudayakan penulisan dan penerbitan buku bagi memudahkan rakyat membuat rujukan ilmiah.

Timbalan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Joseph Salang Gandum memberitahu, dana itu bertujuan khusus untuk membantu penulis menerbitkan buku yang masih berada di peringkat manuskrip dan membeli buku secara terus daripada penulis.

“Mereka yang layak membuat permohonan bagi dana itu termasuk golongan penulis, guru dan para sarjana,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Mohsin Fadzli Samsuri (Bebas-Bagan Serai) pada persidangan Dewan Rakyat di sini.

Mohsin Fadzli ingin tahu apakah langkah-langkah untuk membudayakan penulisan dan penerbitan buku-buku ilmiah, separa ilmiah mahu pun penulisan komersil yang masih kurang dalam kalangan guru dan ilmuan.

“Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) turut mengadakan program untuk meningkatkan kesedaran dan kefahaman mengenai tanggungjawab penulis dan penerbit bagi mendapatkan International Standard Book Number (ISBN) dan International Standard Serial Number (ISSN),” kata Joseph.

Menurutnya beliau lagi, penulisan buku ilmiah oleh para sarjana tempatan lazimnya diterbitkan oleh koperasi penerbitan insitusi pengajian tinggi masing-masing.

No comments: