MALAM tadi saya melaksanakan tugas berbuka puasa dengan warga Jepun (yang tidak berpuasa). Demi tugas (yang ala-ala wajib), maka ibadah sunat tarawikh terpaksalah dikorbankan. Moga-moga sekali ini sahajalah di bulan Ramadan ini. Pada 1 Syawal saya bertugas lagi secara sukarela mengadakan rumah terbuka hari raya untuk mereka semua bersama keluarga.
Majlis berjalan cukup santai dan dalam penuh muhibah serta perasaan ingin tahu daripada kedua-dua belah pihak. Salah seorang daripada mereka sangat fasih berbahasa Melayu dan menggunakan bahasa Melayu sepanjang sesi berjalan.
Dia: Mengapa orang Melayu sesama Melayu tidak bercakap Melayu?
Kami: Kami bercakap Melayu
Dia: Baru sebentar tadi saya dengar anda cakap Inggeris. Jika tidak penuhpun, Melayu campur Ingeris
Kami: Mana yang lebih senang, bahasa Melayu atau bahasa Inggeris
Dia: Saya mula kenal bahasa Inggeris semenjak sekolah rendah. Saya belajar bahasa Melayu hanya tiga bulan. Bahasa Melayu lebih senang. Sangat Mudah.
(Kami sedang mereka-reka apakah jawapan yang mahu diberikan kepada soalan Dia)
Kami: Negara kami dijajah oleh Inggeris lebih 100 tahun. Sebab itu kami cakap Inggeris atau campur Melayu dengan Inggeris
Dia: Negara Indonesia dijajah oleh Belanda lebih 400 tahun. Mereka masih bercakap Bahasa Indonesia.
Kami: (Cuba mengalih perhatian). Anda belajar bahasa Indonesia atau Bahasa Malaysia semasa di Jepun?
Dia: Saya belajar Bahasa Melayu
Kami: Bahasa Melayu Indonesia atau Bahasa Melayu Malaysia?
Dia: Bahasa Melayu sahaja. Cikgu saya orang Malaysia.
Kami: Bahasa Indonesia lebih mudah daripada Bahasa Malaysia. Bahasa Indonesia straight forward sahaja, Bahasa Malaysia ada banyak penambahan Ke ... an
Dia: Bahasa Melayu mudah dan senang
Kami: (cubaaan kedua mengalih pandangan). Isetan ada sales sebanyak 70%
Dia: Jualan itu untuk ahli sahaja. Saya sudah pergi. Harganya agak murah berbanding dengan di Jepun walaupun sebelum diskaun.
Kami: OKlah, sebabnya Matematik dan Sains diajar dalam Bahasa Inggeris
Dia: Sudah berapa tahun?. Anda semua belajar dalam bahasa Inggeris?. Angkasawan Malaysiapun belajar dalam Bahasa Melayu dan sudah naik sampai di angkasa. Masakan anda belajar Sains dan Matematik dalam Bahasa Ingeris kerana mahu naik ke bintang.
Kami: Alamak... kamipun tidak pastilah mengapa. Rasa-rasnya sebab MALAYSIA BOLEH!!!







