Kasih saudara semasa berada;
Kasih ayah sepanjang jalan;
Kasih ibu membawa ke syurga
MEMANG tidak dinafikan kasihnya ibu kepada anak-anaknya adalah melampaui sempadan (macam Internet?).[dibaca sebagai: Jika berjauhan dalam negeri, hantar SMS. Jika di luar negeri hantar e-mel, jika tak sempat nak balik rumah, tinggalkan duit untuk cari makan sendiri, jika lambat balik pesan saja kat nursery supaya overtime]. Begitu besar sekali pengorbanan seorang ibu terhadap anak-anaknya. Sudahlah terpaksa mengandung selama sembilan bulan, melahirkan, menyusu (walaupun susu lembu) seterusnya membersarkan anak-anak. Nabi juga berpesan kepada kita supaya mengasihi ibu beberapa kali melebihi kasih kita semua kepada bapa.
Namun dalam kehidupan saya, saya menemui ramai sekali ayah yang pada perhitungan saya mempunyai beberapa kelebihan istimewa yang diberikan dan dikorbankan kepada anak-anaknya. Di antara sebab-sebab yang menjadikan ayah memberikan 'kasih sepanjang jalan' kepada anak-anak mereka ialah kerana ibu telah tidak lagi memberikannya kerana sebab-sebab tertentu.
Saya mengenali seorang ayah kepada dua orang anak yang kematian isteri semasa anak-anak masih kecil lagi. Dengan segala susah payah dia membesarkan anak-anaknya bersendirian. Mengangkutnya pagi-pagi ke rumah pengasuh dan mengambilnya semula di sebelah petang. Pantang ada masa terluang, anak-anaklah dunianya. Kini anak-anak sudah remaja dan puluhan tahun beliau hidup tanpa hari minggu seperti orang lain. Bukan tidak ramai gadis, andalusia, janda, balu dan yang seumpamanya yang berkenan, yang diperkenalkan dan yang disuakan. Namun kerana anak-anak dia sanggup berkorban diri sendiri dan kini sudah hampir kepada usia persaraan. Namun ada juga suami yang kematian isteri, terus sahaja berkahwin lain. (Sebenarnya jenis ini juga terpaksa mengorbankan bujangnya kerana anak-anak yang memerlukan kasih ibu).
Saya juga mengenali ayah dan suami yang cukup unik dan istimewa. Beliau menjahit semua pakaian anak-anak perempuan dan juga pakaian isterinya. Ini merupakan keistimewaan, mungkin bukan pengorbanan.
Berapa ramai ibu yang bekerja bangun di awal pagi untuk menyediakan sarapan dan memasak untuk anak-anak yang akan ke sekolah dan yang berada di rumah?. Saya cukup kagum dengan ibu sedemikian yang mengorbankan masa tidur dan keindahan diulik mimpi untuk berada di dapur pada setiap hari. Dengan kekaguman tersebut, sebenarnya saya lebih kagum dengan ayah yang saya kenali yang mengambil tugas tersebut. Beliau melakukannya setiap hari setelah sekian lama memerhatikan anak-anaknya tidak dapat menikmati makan pagi dan juga makan tengahari yang sempurna di rumah(baca: masak mee segera atau goreng telur). Kasihnya ayah .....
No comments:
Post a Comment