Pages

Saturday, July 31, 2004

MATLAMAT TIDAK MENGHALALKAN CARA


KEBANYAKAN orang kita faham benar mengenai kenyataan di atas, namun dari segi praktiknya adalah berlawanan sekali. Kebanyakannya hanya tertumpu kepada perkara-perkara besar sahaja. Misalnya:-
+ matlamat nak buat masjid tidak boleh caranya dengan menjual loteri
+ matlamat nak derma kepada pesakit caranya tak boleh buat konsert haram
+ dan sebagainya lagi

Namun perkara yang dianggap kecil selalu sangat dilanggar. Setiap hari Jumaat kita akan dapati perkara ini berlaku di masjid. Pada hari Jumaat kita digalakkan datang ke masjid awal dan duduk di saf hadapan kerana banyak pahalanya berada di saf hadapan. Jadi, demi untuk merebut pahala berada di saf depan, ramai sangat orang-orang alim ni, yang main tolak-tolak dan tonyoh-tonyoh kepala makmum yang sedang asyik khusuk berwirid (baca tidur). Ini ialah kerana mereka datang lambat, namun nak juga duduk kat depan.Jadi terpaksalah langkah sini, tolak sana dan sungguh mengganggu ketenteraman masjid. Rasa-rasanya pahala duduk di saf depan yang dikejar adalah lebih kecil berbanding dengan dosa mengganggu orang lain yang dah duduk elok-elok dalam saf. Hmmmmmm lain kali kalau nak duduk depan, datang awal ya...

Friday, July 30, 2004

KERJA: DATANG AWAL ATAU PULANG LEWAT?




tidur di kantor
bekerja dalam mimpi
bos pasti sayang

BIASANYA staf yang pulang lewat dilabelkan sebagai yang rajin dan kuat bekerja. Walaupun dengan jumlah jam kerja yang sama, staf yang datang awal tidak diambil kira sebagai yang rajin atau kuat bekerja. Misalnya yang datang 7am dan pulang 5pm adalah tidak rajin berbanding dengan yang datang 10pm pulang 8pm. Kenapakan perkara ini kerap berlaku?

Ah biasalah... bos-bos mana ada yang bangun awal (mereka kerja, meeting dan dating sampai larut malam). Jadi bila staf yang tak ada depan bos, atau bila bos panggil dia dah balik, tentulah dia tidak rajin walaupun sudah melewati masa pejabat. Bagi staf yang datang lewat ini pulak, bagi mereka buat apa datang masa bos tak ada dan mengapa pulang sedangkan bos masih ada. Pekerja yang paling kuat bekerja rasanya adalah masyarakat Jepun, dan perkara ini memang berlaku di kebanyakan firma Jepun. Mereka tidak akan pulang sebelum bos mereka pulang (kekadang tu dok ngumpat bos @ meeting, main biliard ataupun paling kurang smooking ceremoney sementara tunggu bos balik).

Sambil jalan-jalan buang masa pada suatu hari, terjumpa tulisan/ hadis ini "berpagi-pagi murahkan rezeki" tertampal di salah satu punch card sebuah jabatan. Hmmmm kan bagus datang kerja di awal pagi tu...
* Datang awal - rajin
* Datang lewat - malas
* Pulang awal - culas
* Pulang lewat - tekun
* Datang awal + pulang awal - adil
* Datang lewat + pulang lewat - patut
* Datang awal + pulang lewat - zalim

Thursday, July 29, 2004

SEJARAH BERULANG




rantai di leher
emas intan berlian
nak pelempang ke?

LEBIH 30 tahun yang lalu saya dimarahi oleh emak kerana memakai rantai. Remaja pada zaman tu (1970an) maklum sajalah, dengan seluar bell bottom yang menyapu tahi ayam, tak sahlah kalau tak ada rantai ala-ala Hail Amir gitu...
MAK: Orang lelaki tak boleh pakai rantai, tanggalkan rantai tu.
MBA: Ini bukan rantai emas, ini tali saja
MAK: Emas memang haram untuk lelaki, rantai bukan emaspun tak boleh. Itu loket tanda Kris**** tu haram, jangan ikut ugama lain.
MBA: Loket ni hanya kunci, tanda kebebasan, merdeka.....
MAK: Mula-mula kunci, lepas tu salib. BUangkan cepat.
MBA: OKlah.... tapi kalau pakai loket tulis "Alif Lam Lam Ha" boleh kan?
MAK: Kamu ni sekolah tinggi, dah banyak kitab kamu khatam. Mak tak sekolah, tak tahu baca, sebab tu mak tak jumpa benda tu dalam kitab. Tapi ustaz dan orang alim kata tak boleh, mak kata tak bolehlah. Kalau guru kamu kata boleh, maka dia lagi alimlah dari orang alim. Mak takut sebab iblispun lagi alim dari nabi Adam lagi....

Lepas tu saya tak pakailah rantai sambai hari ini. Namun kini..... anak saya pulak buat hal yang serupa dan dialognya lebih kurang begini

MBA: Hoi, apa pakai rantai ni? Ambil budaya mana ni?. Buang rantai tu, nanti aku lempangkan.
ANAK: @!$#@#@#$&*&*^&*^&^%&^%$%#$@#!(*)(*(&&^^%&%^$#@$#

Wednesday, July 28, 2004

ORANG HILANG



UFO datang
manusia memandang
orangpun hilang

FAKTA KES:
85,000 remaja yang lahir pada 1986 dipilih untuk program khidmat negara
66,239 telah mendaftar diri
8,665 remaja mendapat kebenaran penangguhan
1,537 lagi diberi pengecualian.
8,559 lagi tidak dapat dikesan.

85,000 remaja yang dipilih secara rawak berdasarkan yang lahir pada tahun 1986. Mungkin data ini terdiri daripada murid sekolah lepasan SPM, masih ditingkatan 5 (yang ambil remove class), sudah masuk kolej kat oversea (yang ekspress), sudah kahwin (tercicir masa PMR), dalam pantang (bersalin), ditahan di pusat serenti (alahai dadah punya pasal), dalam wad hospital, dalam penjara (kes juvana), dalam kubur (dah lama meninggal), kat planet lain (diambil oleh UFO) dan macam-macam lagilah.

Pendek kata 8,559 atau 10% remaja tidak dapat dikesan. Mungkin mereka ini tidak wujud lagi. Ini terbukti apabila surat tidak sampai, notis dikembalikan, nama tersiar dalam akhbar tiada yang kenal, dalam Internet pun tidak berusik.

Kemana atau siapa mereka agaknya ya?.




Tuesday, July 27, 2004

NAMA/GELARAN ORANG MELAYU



berbaju kurung
berkain batik sarung
tokoh budaya

KENALAN saya (boleh teka siapa) akan menemuramah Pn. Azah Aziz. Dari sini saya mendapat idea untuk menulis mengenai tajuk ini. Saya tidak pasti nama Aziz pada nama "Azah Aziz" atau "Syarifah Azah Aziz" tersebut adalah ayah beliau ataupun suaminya Prof. Diraja Ungku Aziz. Ini adalah kerana ramai juga orang Melayu yang mencantumkan nama suami sebagai nama panggilannya. Contoh yang paling ketara ialah Wan Chik Daud, seorang pelakon dan bekas penyiar. Nama sebenar beliau ialah Wan Chik bte. Othman.

Pada tahun 1960an - 1970an rasanya begitu ramai sekali kaum perempuan yang mencantumkan nama sendiri dan nama suami sebagai nama panggilan mereka. Fenomena ini khususnya melanda orang Melayu golongan pertengahan di bandar-bandar. Sehinggalah timbul semacam fatwa yang melarang penggunaan nama panggilan begini. Kini rasanya panggilan nama begini sudah jarang sekali berlaku.

Saya tidak berpendapat nama begini adalah pengaruh Barat atau Kristian. Ini ialah kerana semenjak dari kecil lagi saya dapati orang-orang kampung saya memang mempunyai nama sebegini.Bukan sahaja kaum Hawa, malahan kaum Adam juga. Sebagai contoh, suami bernama Ali dan isterinya bernama Milah. Mungkin di kampung itu ada beberapa orang Ali dan juga lebih dari seorang Milah. Maka Ali dinamakan sebagai "Ali Milah" dan Milah pula digelar sebagai "Milah Ali". Begitulah seterusnya hingga kepada yang lain-lain dan saya dapat kenali pelbagai nama seperti "Maksu Him Wan Deraman", (Suaminya bernama Ibrahim Wan Deraman), Pakngah Meksom (isterinya nama Kalsom) dan sebagainya lagi. Nama gelaran suami-isteri ini biasanya tidak diberi kepada individu yang mempunyai gelaran khas yang lebih popular. Misalnya "PakMat Jepun", "TokCik Kedai Binjai", "Him Mat Belira".

Teringat kepada arwah Tokki "Tokki Tokya Ketua Kampung" (namanya Yahya) yang memberi gelaran "Mat Kangkung" kepada seorang pemuda kerana katanya dia bercakap meleret-leret dari satu topik ke topik lain, macam kangkung yang begitu mudah melata katanya. Kekal nama itu sampai sekarang adanya....

Monday, July 26, 2004

DIALOG DENGAN BANK


GAMBAR HIASAN

tersergam indah
bank yang mesra pelanggan
petugas kusam


Jumaat lepas mba bersama bendahari ke bank kerana terdapat urusan yang belum selesai. Urusannya agak simple, iaitu penukaran tandatangan sahaja namun ia sudah berlarutan semenjak berbulan yang lalu. Apabila tiba ke bank, ia ditutup pula pada tengahari Jumaat dan kami datang semula selepas menunaikan fardhu Jumaat. Berikut adalah dialog mba dengan pegawai bank tersebut.

MBA: Susahnya nak berurusan dengan bank ini (dulu bank lain, tetapi kini telah bercantum )
Bank: Nasib baik awak datang, jika tak datang saya tak akan buat ini dan awak tak dapat keluarkan duit, bukan saya yang susah
MBA: (dalam hati) Kalau inilah jawapan awak, ini kali terakhir saya datang dan lepas dapat tukar tandatangan ni, saya akan tutup akaun ini dan buka di bank lain.
MBA: Oklah ada apa-apa kemudahan yang boleh kami dapatkan dari bank ini?
Bank: you just name it …. Semua kita ada
MBA: Electronic banking misalnya. Kita banyak masalah bila cukup bulan penyata tak sampai (atau tak hantar?) dan tiap kali mesyuarat bendahari tak boleh beri penyata kewangan.
Bank: Ooooo itu kita belum ada. Penyata dikeluarkan oleh HQ. Kita akan tumpukan kepada kad ATM dulu. Itu kalau adapun lambat lagi, jauh lagi tu.
MBA: Tadi cakap suruh name it, benda ni senang je.
MBA: Bank ini ada kad kredit tak?. Maksudnya untuk digunakan oleh ahli-ahli persatuan saya, secara korporat.
Bank: Kita tak ada kad kredit. Bukan senang nak buat kad kredit mengikut syariah. Kalau bank conventional tu lainlah.
MBA: Itu bank Islam boleh buat, tak ikut syariah ke? Bukan Islam Hadhari ke?
Bank: Tengoklah, bank Islam buat kajian berapa lama baru boleh buat, kita baru lagi. Kini ada 10 bank. Satu bank saja tak ada kad kredit, (awak dah ada 9 kad) tak apalah, nak buat apa tambahkan satu kad lagi dalam wallet saja.

Siapa yang perlukan siapa dalam hal ini?. Bank perlukan penyimpan ke penyimpan perlukan bank?. [sayonara].


Sunday, July 25, 2004

ISU BAHASA YANG BELUM SELESAI DAN BERCELARU

Tidak ada perubahan dasar bahasa penghantar di universiti
PEKAN: Datuk Seri Najib Razak menegaskan, kerajaan tidak pernah mengubah dasar yang menetapkan Bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar di semua universiti tempatan di negara ini. berita penuh




isu bahasa
jiwa sebuah bangsa
tagih simpati

AKHBAR-akhbar mingguan hari ini memberi liputan mengenai berita di atas. Nampaknya isu bahasa ini masih bercelaru dan tidak selesai semenjak merdeka lagi. Kawan MBA membahasakan dirinya sebagai 'kita adalah generasi yang ditipu oleh dasar pelajaran kebangsaan". Ini adalah kerana sebaik merdeka, bahasa kebangsaan diperjuangkan. Sekolah-sekolah kebangsaan ditubuhkan, pelbagi kempen bahasa kebangsaan diadakan dan tokoh-tokoh begitu bersemangat memperjuangkan bahasa, namun anak-anak mereka dihantar ke sekolah Inggeris juga.

Kembali kepada soal bahasa di UPM, mengapakah ia menjadi isu? (baca perhimpunan agung sudah hampir). Dulu ada sekolah melayu dari tadika hingga universiti. Kemudian tak boleh jadi, semenjak darjah satu kena ajar matematik dan sains dalam bahasa Inggeris. Pada masa itu semua universiti sudahpun mengajar dalam bahasa Inggeris. Isunya cuma timbul apabila UPM mengumumkannya sahaja, bukan kerana melaksanakannya.

Apakah yang ada pada sebuah akta?. Tahukah anda bahawa bahasa kebangsaan Singapura ialah bahasa Melayu?. Dan.... apa sudah jadi dengan bahasa Melayu di Singapura walaupun akta ini tidak ditukar?.

Saturday, July 24, 2004

RAMAI SUDAH MENJADI HAJI TANPA KE MEKAH




jering dan tangkai
angin sepoi bahasa
tetap kedekut

RAMAI di antara kita mungkin telah bergelar haji, iaitu selepas berjaya menunaikan rukun Islam yang kelima. Namun ada juga yang bergelar haji juga, tanpa ke Mekah, iaitu haji dam. Namun ia adalah lebih baik rasanya berbanding dengan haji bakhil, yang beerti kedekut ataupun tangkai jering.

Akhir-akhir ini kita dapati pelbagai kisah masyarakat yang meminta simpati berupa derma dan sebagainya. Umpamanya bagi pesakit-pesakit kronik yang memerlukan beratus ribu ringgit untuk menanggung kos perubatan. Memang tidak dinafikan bukan semua antara kita mempunyai duit untuk menderma. Namun sumbangan dan derma tidak semata-mata hanya dalam bentuk kewangan. Ada kalanya derma diminta dalam bentuk lain seperti doa, sembahyang hajat, sembahyang jenazah dan sebagainya. Di masjid siang tadi, ada seorang insan yang memohon kepada jemaah untuk tolong doakan kesihatan suaminya yang sedang berada di ICU sebuah hospital. Pihak masjid menganjurkan solat hajat dilakukan selepas fardhu Jumaat. Namun..... seperti biasa, yang bakhil adalah terlalu ramai. Mereka cepat-cepat meninggalkan masjid selepas selesai solat. Bagi yang berduit, mungkin lebih selesa menderma wang berbanding membacakan doa. Namun bagi yang tidak berduit dan tidak juga mahu memberi derma dalam bentuk lain, maka samalah seperti tangkai jering agaknya.

Sesungguhnya memberi derma atau hadiah dalam bentuk doa dan yang seumpama dengannya ini adalah banyak fadhilatnya kepada pemberi dan juga penerima.

Friday, July 23, 2004

TERIMA KASIH KAWAN-KAWAN




saga yang merah
seekor gagak hitam
aku keliru

TERIMA KASIH kawan-kawan atas ucapan, kata-kata semangat, doa dan semuanya. Ni baru kepala masih sakit lagi, namun tidaklah seteruk semalam. Mungkin dia akan ambil masa 2-3 hari untuk pulih kot. Itulah.... bab kata MA badan dia model 60-an, sedangkan MBA ni model 50-an, memang lambat sikit nak recover.

Lan: kalau Lan kena marah, Lan bole cover lagi.senyum,ketawa tapi dlm ati ....
MBA- hanya sempat terlopong sebab tak disangka-sangka...

ep: bila baca sekali lagi baru terperasan yang berdepan dengan MBA tu.. pompuan. Alahai..
MBA -hmmmm
ep: Assalamu 'alaikum.. la awat hang jadi camni.. kena marah berdepan atau melalui emel. Kalau emelkena selidik dulu samada betoi datang daripadanya...
MBA -Waalaikumsalam. Memang berdepan-depan hinggakan bau dari mulut diapun masuk ke tengkorak MBA :(

zareda: bertandang lagi di pagi khamis.. jangan sakit kepala lagi
MBA - selamat bertandang. kepala tu mmg x mau disakiti, tapi x boleh nak elak bila penyakit ni bertandang. Esok (pagi kang) kena pergi hospital, kebetulan mmg dah ada temujanji 2 bulan lalu.

abu zar: amboi panjangnya ulas tentang sakit kepala. Tapi tetap menarik.. lucu tapi bernas
MBA -terima kasih abu zar kerana dapat menangkap kelucuannya. Memang MBA ni kelakor kot?. Kena marah jadi lucu, kita nasihat orang kata marah. Terima kasih abu zar.

JUGA terima kasih yg tidak terhingga kepada yg memberi komen: rose, WaWa, arzie, makenon, mysanc, MakAndek, kekbatik, tokeipajak, zareda,kakngah, shah, sridiah: Wah korang semua cakna kepada mba.

Thursday, July 22, 2004

MARAH




hujan di luar
kering kontang di dalam
aku dimarah

SEMASA nota ini dibuat, kepala saya sedang bengkak, ia sakit berdenyut-denyut. Urat-urat di belakang tengkok semuanya terasa tegang. Perut juga mual. Perkara ini berlaku buat pertama kali semenjak bekerja di tempat baru ini, yang belumpun genap dua bulan. Semasa dua bulan di tempat lama sebelum ini, alhamdulillah tidak pernah diserang begini. Walau apapun, selama enam tahun di pejabat terdahulu, ia begitu kerap datang dan pergi.

Sambil berfikir dan muhasabah diri, saya mendapat sebab mengapa kepala saya bengkak dan sakit. Rupa-rupanya saya kena marah hari ini. Saya tidak boleh menipu diri sendiri dengan tersenyum atau cuba-cuba buat relaks. Saya tidak berupaya untuk berlakon yang saya OK. Jiwa saya sakit, dia tersentuh, dia kecewa kerana saya kena marah. Saya telah gagal dan tidak boleh memujuk jiwa supaya jangan bersedih, supaya gembira atau berpura-pura apabila kena marah begini.

Semalam juga saya kena marah, namun saya OK, saya gembira dan saya tidak berpura-pura ceria. Sebabnya marah semalam itu bersebab. Apabila kita buat salah dan kena marah, itu memang patut. Semalam saya dimarah sebab kesalahan orang lain. Saya berhak dimarah kerana saya mewakili orang lain. Saya juga berhak memarahi orang itu kerana menyebabkan saya kena marah. Namun saya tidak berbuat begitu, saya telah bersedia dimarah dan saya boleh gembira dan bergelak ketawa setelah selesai dimarahi. Itulah saya.

Namun hari ini saya dimarah tanpa usul periksa. Saya dimarah tanpa hujung pangkal. Saya dimarah kerana saya tidak buat apa-apa kesalahan. Saya dimarah kerana saja-saja dia nak marah dan saya dijadikan punching bag. Lagi pula saya kena marah oleh makhluk yang tidak ada kaitan langsung dengan saya. Makhluk ini tidak beri saya makan, tidak bayar gaji saya, tidak tulis laporan saya dan bukan bos saya, bukan bos kepada bos saya. Malahan makhluk ini memerlukan saya dan kuncu-kuncu saya untuk bergantung. Jika begitu mengapa saya kena marah?. Adakah dengan marah dan ugutan itu akan membolehkan saya akur dan berkompromi begitu saja?. Saya tidak mempunyai jawapannya dan saya akan pastikan tadi adalah kali pertama dan terakhir dia boleh memarahi saya. Saya tidak sanggup menggadai nyawa dengan sakit begini semata-mata memuaskan nafsu makhluk begini. [kalau makhluk tu jantan dah aku ajak bertumbuk tadi, kalau pondan aku akan ajak tarik-tarik rambut, tapi kalau bedul macamana eh?....]

Wednesday, July 21, 2004

ERTI KEMENANGAN




tangan melambai
menang tanpa bertanding
negara aman

MENANG kerana tiada pertandingan, menang tanpa bertanding dan menang bertanding mempunyai erti yang berbeza kepada pemenang. MBA menang tanpa bertanding bertahun-tahun dalam sebuah NGO yang menjadikan seolah-olah jawatan tersebut sebagai 'hak' MBA seumur hidup. Ini ialah kerana setiap kali diadakan AGM, cepat-cepat ada ahli yang mencadangkan satu perkataan keramat, iaitu cadangan ditutup setelah nama MBA dicadang dan disokong. Sekali diadakan pertandingan, walaupun MBA masih menang, namun ia bukanlah kemenangan mutlak kerana majoritinya agak kecil. Sesi berikutnya MBA tidak lagi bertanding jawatan tersebut kerana dicalonkan jawatan yang lebih tinggi.

IJAZAH KEHORMAT DARI UNIVERSITI BLOG

The University of Blogging

Presents to
MBA

An Honorary
Bachelor of
Cutting

Majoring in
Community Promotion
Signed
Dr. GoQuiz.com
®

Username:


Blogging Degree
From Go-Quiz.com

Tuesday, July 20, 2004

KAMPAI DAN SAYONARA




menjulang gelas
kampai dan sayonara
bertemu lagi

JUMAAT lepas hujan lebat melanda Kuala Lumpur dan seperti biasa banjir serta kesesakan lalulintas berada di mana-mana. Jam 6pm dari pejabat ingatkan terlalu awal untuk ke hotel Mandarin Oriental. Biasalah apabila temujanji dengan Jepun, jika 5 minit lagi sebelum masa yang ditetapkan itu sudah dikira lewat. Saya tiba dan menaiki lif yang sama dengan Mr. Hida serta isterinya yang merupakan tuan rumah kepada sayonara parti ini.

Jamuan makan malam ini ialah untuk meraikan kepulangan JICA Resident Representative Mr. Hida ke Jepun dan menyambut kedatangan penggantinya Mr.Murata. Tidak ramai yang dijemput hadir, cuma sekitar 10 orang dari Malaysia (myJICA) dan 7-8 orang lagi dari Jepun (pejabat JICA dan kedutaan). Ini adalah kali pertama saya hadir ke majlis kampai dan sayonara parti begini di Malaysia, kerana biasanya ia boleh dielak dan diserahkan kepada orang lain. Walau bagaimanapun pada kali ini terpaksa hadir kerana selain dari presiden myJICA berada diluar negara juga adalah kerana hubungan akrab dengan Mr. Hida. Jika di Jepun, ia memang tidak dapat untuk dielak lagi.

Parti ala Jepun ini agak unik dan rasanya patut dicontohi kerana setnya yang simple. Dewan makan ditempah tanpa kerusi. Memadai dengan meja yang dilengkapi dengan pelbagai jenis makanan. Para tetamu lebih bebas bersembang, berkenalan berbanding dengan makan. Kita berkenalan dengan semua orang boleh makan apa sahaja yang terhidang (semua makanan halal yang dihidangkan).

Sayonara Mr. Hida dan Irashaimase Mr. Murata.

Monday, July 19, 2004

RAJA BUAH DI TEPI JALAN





MUSIM DURIAN


pagi dan petang
berlonggok tepi jalan
mengira duri

 
MUSIM durian sudah ke penghujungnya. Namun Raja Buah ini masih berlonggok di tepi jalan menanti pembeli. Status raja yang diberikan mungkin hanya layak di zaman purba sahaja. Maklum sajalah dengan status rajanya, ia tidak dibenarkan masuk ke hotel, naik kapalterbang dan banyak lagi kawasan larangan. Kini sudahlah di tepi jalan, harga juga tidak seberapa.

DULU khabarnya ada saintis luar negara ingin membuat penyelidikan agar durian kita lebih "lembut" baunya agar lebih "selesa" diekspot ke negara luar. Namun kononnya jawapan yang diterima ialah "durian tidak dinamakan durian tanpa baunya". Lantas mereka ke negara jiran dan lahirlah "durian siam". Durian siam kini boleh didapati di pelbagai negara di dunia.


* Komuniti Haiku sedang mengadakan Haiku Jemputan - Musim Durian. Silalah sertai dan kemukakan haiku anda.


Sunday, July 18, 2004

WAWANCARA DENGAN DAMAHUM Vol II

[sambungan semalam]
WAWANCARA BERTULIS ABDULLATIP DENGAN SAUDARA DAMAHUM ADMINISTRATOR HAIKU.

* Sdra Abddullatip ialah Administrator Cerpenis

11. Haimarea dan Dipinggiran antara penulis Haiku yang paling aktif berkarya. Secara jujur, adakah mereka wujud di alam nyata?. Saudara kenal dan pernah bertemu dengan mereka?.

Sdr Haimarea kata dia kenal saya dan mengikuti perkembangan saya setiap hari. Wah …. Ini merisaukan saya!. Walau bagaimanapun saya boleh buat perumpamaan begini: Saya ada seorang kenalan di Jepun yang hendak sangat berjumpa dengan Yang Dipertuan Agong. Dia Tanya saya samada saya kenal Agong?. Saya jawab memang saya kenal, saya tahu di mana dia tinggal dan tahu serba sedikit mengenai aktiviti dia. Namun saya pasti Agong tidak mengenali saya ….
Saya pasti sdr Dipinggiran adalah wujud dan saya tahu di mana dia bekerja dan kami pernah utus mengutus mel mengenai beberapa perkara, khususnya mengenai haiku. Walau bagaimanapun kami belum pernah berjumpa (setakat berkirim salam tu adalah…).

12. Selain menulis haiku apakah saudara minat menulis yang lain?.

Minat menulis tu banyak, cuma bakat tidak ada. Pada masa ini saya menulis blog, boleh dikatakan pada setiap hari kecuali Sabtu dan Ahad. Sekadar untuk suka-suka pada mulanya.

13. Apakah pandangan saudara mengenai penulis-penulis di komuniti esastera?. Dan apa nasihat saudara kepada mereka?.

Penulis di esastera ini mempunyai pelbagai latarbelakang, kecenderungan dan kebolehan. Ramai penulis berkaliber, ternama dan juga yang sekadar ingin mencuba (macam saya). Namun semua penulis di sini adalah celik IT, ia sesuatu yang memang patut dibanggakan. Namun ada penulis yang berterus terang mengenai identity mereka dan ada juga yang tidak memberikan apa-apa biodata.
Nasihat saya?. Saling hormat menghormati antara satu sama lain. Berkarya secara harmoni. Kadang-kadang kecoh juga ruangan sembang-sembang tu, yang paling aman setakat ini ialah komuniti haiku ;-)

14. Boleh saudara beritahu siapakah penulis Haiku yang terkenal di negera Jepun?. Di negara kita siapakah penulis Haiku yang terkenal?.

Boleh dikatakan semua peminat haiku mengenali haijin agung seperti Basho, Buson dan Issa. Saya tidak mengenali haijin terkini yang terkenal di Jepun. Haiku telah ditulis dalam pelbagai bahasa di seluruh dunia dan Kelab Haiku telah ditubuhkan di merata dunia. Di antara haijin di liuar Jepun yang terkenal termasuklah Higginson, Reichhold dan Bruce Ross.
Haiku ini lebih kurang seperti pantun di Malaysia. Pantun yang baik yang seringkali disebut dan dibaca, namun kebanyakannya tidak diketahui penulis asalnya. Boleh saudara namakan pemantun yang terkenal di Malaysia?
Pada pendapat saya, haijin terkenal di Malaysia ialah Puan Azah Aziz iaitu isteri kepada Profesor DiRaja Ungku Aziz. Namun dia sudah jarang (tidak) menulis haiku lagi sekarang rasanya.

15. Kabarnya Haiku mendapat tempat yang baik di kalangan rakyat Jepun. Setakat yang saudara tahu apakah langkah-langkah yang mereka ambil untuk memelihara dan mempopularkan puisi tradisional mereka?.

Tidak semua rakyat Jepun menyukai haiku. Rakyat Malaysia juga tidak semuanya menyukai pantun. Namun haiku mendapat tempat di media cetak dan media elektronik di Jepun. Umpamanya terdapat banyak majalah yang mengkhusus dalam haiku di sana. Dalam TV juga kadang-kadang dibacakan haiku pada ketika-ketikanya.
Nampaknya haiku juga sangat diminati di luar Jepun. Haiku telah ditulis dalam pelbagai bahasa dan banyak kelab haiku ditubuhkan. Pertandingan dan pameran haiku juga kerab diadakan. Misalnya JAL ada menganjurkan pertandingan menulis haiku bagi kanak-kanak sekolah di seluruh dunia (termasuk Malaysia) sejak beberapa tahun yang lalu.
Jika dibandingkan dengan pantun, saya nampak haiku sudah berada jauh ke hadapan.

16. Boleh saudara ceritakan sejarah haiku di negara kita?. Dan apakah perkembangan terbaru Haiku setakat yang saudara tahu?.

Dulu-dulu memang ada ruangan haiku dalam akhbar mingguan, tetapi kini sudah tidak kelihatan lagi. Mungkin popularitinya sudah merosot. Setakat yang saya tahu hanya sebuah antologi haiku sahaja yang telah dicetak, iaitu oleh INTAN. Itupun lebih mirip kepada sajak-sajak pendik tiga baris (bukan haiku yang sebenar).

17.Sebagai Administrator Haiku , apakah usaha saudara untuk terus mengaktifkan komuniti tersebut?.

"Kalau ada padi, semua kerja menjadi". Angan-angan saya banyak. Misalnya saya ingin minta Siti Norhaliza bacakan beberapa buah haiku, divideokan dan dihantar ke stesen TV. Lepas tu saya berangan, ramailah peminat Siti mula main petik-=petik jari bilang 5-7-5. Wah pada masa tu satu Malaya dah gempak pasal haiku dan tasbih 5-7-5. Lepas tu kan…, ada pula pameran foto & haiku kat hotel ternama. Masa tu ramai betul pengunjung yang datang untuk menikmati keindahan haiku dan fotonya. Banyak kali jugalah saya dan Founder keluar masuk radio dan TV mengiringi Siti membicarakan tentang haiku. Sekali sekala Cikgu jeling-jeling jugaklah kat Founder. Kemudian kami buatkan pula pertandingan haiku seluruh Malaysia. Majlis pelancaran gilang gemilang ini dilancarkan oleh wanita pertama (eh..eh kan dia orang Jepun?). Majlis ini ditayangkan secara terus menerus dan penaja berlambak-lambak pada masa itu. Pemenang pertandingan ini kami bawa ke kem haiku kat Jepun selama seminggu. Kemudian hasil haiku Melayu ini kami bukukan dan sediakan dalam bentuk multimedia CD sekali, siap dengan suara deklamasinya. Masa tu dah ramai artis yang ingin mendeklamasi haiku.
Selepas saya berangan sedemikian, saya cuba buat beberapa perkara untuk merialisasikannya:-



Pertama saya buat kertas kerja untuk promosi haiku Melayu supaya ditaja oleh Agensi Kerjasama Antarabangsa Jepun (JICA). Saya bentangkan kertas tersebut dan mendapat sokongan serta janji manis. Katanya permohonan tersebut telah dibawa ke Tokyo, namun tidak diluluskan (sebab saya minta banyak sangat). Saya kemudiannya diminta supaya mengubahsuai kertas tersebut supaya amaunnya boleh diluluskan di Kuala Lumpur sahaja. Akhirnya permohonan tersebut diluluskan secara lisan, namun sampai sekarang kelulusan bertulis belum diperolehi hinggalah wakil residennya telah pulang ke Tokyo. Khabarnya hingga sekarang beliau masih mengingati saya dan projek haiku saya ini.
Kedua saya menulis kepada Japan Airline (JAL) untuk memohon beberapa perkara dan kemudahan untuk membolehkan saya mempromosi haiku dalam bahasa Melayu di Malaysia. JAL memberikan sokongan dan galakan dan berjanji untuk memberikan segala kerjasama, kecuali wang. Kini saya telah hampir menyiapkan sebuah buku panduan mengajar haiku kepada kanak-kanak yang saya terjemah daripada penerbitan JAL. Oleh kerana ketiadaan wang, saya simpan dulu buku ini dan mungkin saya akan terbitkan sendiri di laman web sahaja.
Ketiga, saya juga ada menelefon sahabat saya yang bekerja di syarikat korporat untuk membodek beliau supaya mempengaruhi Siti Norhaliza membaca satu dua rangkap haiku bagi tujuan promosi secara percuma. Ini ialah kerana syarikat besar ini menaja Siti untuk menjadi jurucakap produk mereka sejak bertahun-tahun. Tapi saya dapat jawapan "eleh aku ni sapa, aku orang no.3 je dalam company ni, kalau no.1 tu bolehlah, susahlah nak buat cam gitu".
Keempat saya berhenti berangan-angan dan menghadapi kenyataan, itulah kenyataannya.

18. Di Komuniti Haiku ada penulis baru dan ada penulis veteran yang sama-sama berminat menulis Haiku. Apa nasihat saudara kepada mereka?.

Menulis haiku (yang baik) dalam bahasa Melayu ini susah. Namun belum cuba belum tahu, jadi cuba-cubalah menulis haiku, jangan segan jangan silu. Haiku adalah menulis perkara-perkara biasa dalam sudut yang berlainan. Usah terpengaruh dengan sajak yang puitis untuk menghasilkan haiku yang baik. Tulislah apa sahaja objek yang boleh dicapai oleh pancaindera, itulah haiku.

19. Kabarnya saudara pernah ke Jepun dan ke beberapa buah negara lain kerana urusan yang ada kaitan dengan Haiku. Boleh ceritakan?.

Sekali sekala adalah saya pergi melihat pameran haiku di luar negara. Kadangkala saya juga hadir ke kem haiku musim panas. Saya juga pernah berada dalam beberapa buah kelab haiku. Semuanya secara maya melalui Internet sahaja (jangan marah!).

20. Di Komuniti Haiku ramai penulis yang aktif menyiarkan karya antaranya Dipinggiran, Haimarea, Tomohiko dan beberapa orang lagi. Apa pandangan saudara mengenai karya yang mereka hasilkan?.

Dipinggiran hebat!. Saya cukup kagum dengan kebolehannya menghasilkan haiku dengan begitu banyak dan cepat sekali. Saya agak itu bukan karya asli Dipinggiran, tetapi haiku-haiku tersebut ditulis oleh Doremon yang menjadi teman Dipinggiran J Tema haiku Dipinggiran banyak menyentuh mengenai cinta dan perasaan.
Haimarea adalah seorang haijin yang peka kepada persekitaran dan isu-isu semasa. Haiku beliau dari pelbagai tema, khususnya mengenai isu-isu semasa yang masih hangat dibicarakan.
Tomohiko mempunyai pelbagai kelebihan ungtuk menulis haiku. Beliau tinggal dan berkeluarga di Jepun. Bahasa dan budaya Jepun sudah sebati dalam jiwanya. Beliau bukan sahaja boleh memahami haiku dalam bahasa asalnya, bahkan mengerti akan ‘roh’ sesebuah haiku. Lantaran itu, karya-karya beliau nampak terlalu berhati-hati supaya tidak tergelincir dari garis panduan haiku tradisional. Struktur bahasa Melayu mungkin jadi penghalang kepada Tomohiko untuk berhaiku seadanya.

21. Soalan terakhir. pada pendapat saya Haiku masih kurang diminati oleh rakyat Malaysia. Pada pendapat saudara apakah langkah-langkah yang perlu diambil untuk mempopularkannya?.

Andaikata angan-angan saya di atas tadi tu boleh direalisasikan, saya percaya haiku akan popular di sini. "Kalau ada beras, semua kerja jadi deras".

Terima kasih kerana sudi menjawab secara jujur dan berterus terang. Maaf jika ada terkasar bahasa. Sekian.
Pertama saya mengucapkan terima kasih kerana memilih untuk diwawancara. Kedua minta maaf berbanyak-banyak kerana agak leka dan makna dalam menjawab wawancara ini. Juga berbanyak maaf sekiranya ada jawapan yang saya diberikan menyentuh sesiapa secara sedar mahupun tidak.
Sekali lagi saya memohon maaf kerana mengemukakan soalan- soalan sensasi dan boleh menimbulkan kontroversi.



abdullatip
14.7.2004.

Saturday, July 17, 2004

WAWANCARA DENGAN DAMAHUM Vol I

WAWANCARA BERTULIS ABDULLATIP DENGAN SAUDARA DAMAHUM ADMINISTRATOR HAIKU.

1.Assalamualaikum dan terima kasih kerana sudi diwawancara. Boleh beritahu nama sebenar saudara, lahir di mana dan ceritakan sedikit latar belakang keluarga saudara?.

Waalaikumsalam dan terima kasih kerana sudi mewawancara saya. Apa ada pada nama?. Kawan-kawan panggil saya MBA. [selebihnya telah disensor]

2. Saudara lebih sinonim dengan HAIKU. Boleh ceritakan sejak bila saudara berminat dengan puisi dari negeri Matahari terbit itu?.

Jika tidak silap, mula-mula sekali saya membaca haiku Melayu pada tahun 1976 yang diterbitkan dalam sebuah majalah. Pada 1989 saya berkursus di Jepun, pada masa itu bahan bacaan yang boleh saya fahami amat terhad. Apabila terjumpa dengan haiku dalam bahasa Inggeris, saya baca dan memberitahu rakan-rakan dari negara lain dan juga pensyarah serta koordinator dari Jepun. Apabila mereka nampak saya berminat, apabila terjumpa lagi haiku, mereka maklumkan atau berikan pada saya. Dari situ saya mula meminati haiku.

3.Bagaimana bermulanya penyertaan saudara dengan esastera dan apakah pandangan saudara mengenai laman web ini?.

Sebenarnya saya tidak ingat bagaimana saya bermula dengan esastera. Walau bagaimanapun jika tidak silap, ia bermula semenjak awal 2003 (berdasarkan mesej pertama yang mengalu-alukan saya ialah pada 2 Jan 2003). Sejak dari tarikh itu saya agak "ketagih" dengan laman ini di mana setiap hari saya pasti melawatnya.Pada pandangan saya, laman web ini adalah bagus, unik dan berkualiti. Semoga ia akan terus menempa kejayaan demi kejayaan.

4. Pertama kali kita bertemu pada malam HESCOM.2003 dan saudara ditemani oleh isteri. Boleh beritahu nama isteri dan anak-anak saudara?. Adakah mereka juga minat dengan haiku?.

Isteri saya seorang perempuan ….. namanya Puteri dan kami mempunyai enam (6) anak lelaki. Tidak seorangpun yang berminat dengan haiku walaupun tiga orang anak saya pernah tinggal di Jepun dalam program homestay dan mempunyai keluarga angkat di sana.

5. Baru-baru ini saudara masuk atau dimasukkan ke hospital kemudian keluar atau dikeluarkan. Apakah kerana tugas atau penyakit. Boleh ceritakan?.

Saya dimasukkan ke hospital untuk menjaga doktor dan jururawat. Ya… lah, doktor kena jaga pesakit, saya kena pastikan yang doktor mempunyai kemudahan yang diperlukan untuk merawat pesakit. Saya ditugaskan untuk mengetuai jabatan IT di hospital tersebut.

6. Boleh beritahu kami saudara pernah belajar di mana dan apa pekerjaan saudara?.

Saya belajar dari sekolah rendah hingga ke universiti bagi ijazah pertama dalam bahasa Melayu. Setelah lulus dari UKM (Jalan Pantai Baru) dalam bidang sains, saya bekerja di Jabatan Telekom (kini Telekom Malaysia) sebagai Penolong Pengawal Telekom. Lepas tu saya lepaskan jawatan dan belajar di INTAN untuk diploma lepasan ijazah. Bermula dari situ saya dilantik sebagai Juruanalisa Sistem (kini PSM – Pegawai Sistem Maklumat) dalam Perkhidmatan Gunasama Kerajaan Malaysia. Ketua Perkhidmatan saya ialah Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam. Saya telah berkhidmat di beberapa jabatan seperti Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Akauntan Negara (JAN) dan Hospital Selayang (HS). Kini saya baru sahaja ditukarkan ke sebuah kementerian. Sepanjang perkhidmatan, saya sempatlah belajar lagi. Di antaranya di Okinawa, Jepun dalam bidang kejuruteraan sistem dan Pengurusan Prosesan Data. Di Tokyo dalam teknologi persidangan video. Di USA dalam bidang Quality Assurance dan saya buat Sarjana IT di Leeds, UK.

7. Saudara dilantik menjadi Administrator Haiku. Apakah saudara telah berjaya menarik minat ahli-ahli esastera kepada puisi Jepun ini?.

Haiku adalah seni sastera yang ketat terikat dengan hukum dan peraturan. Ahli-ahli sastera dan esastera pula saya rasa adalah insan seni yang memerlukan kebebasan dalam berkarya mengikut daya cipta dan imaginasi mereka. Jadi, pada agakan saya mungkin tidak ramai ahli esastera yang berminat untuk ke komuniti haiku untuk berkarya, kecuali bagi yang ingin mencuba genre baru. Walau bagaimanapun saya fikir saya mungkin telah berjaya menarik minat rakan-rakan siber lain dari blog dan melayu.com misalnya kepada haiku. Saya cuba mempromosi haiku kepada mereka dan saya kira ramai haijin (penulis haiku) baru dari golongan ini. Saya juga telah dilantik sebagai administrator haiku di melayu.com

8. Kabarnya saudara berkawan rapat dengan Sri Diah yang juga salah seorang ahli esastera dan peminat Haiku. Boleh saudara ceritakan sedikit mengenai dirinya?.

Saya mengenali Sri Diah melalui esastera dan pertama kali berjumpa dengannya semasa jamuan makan malam alumni JICA [tambah kemudian: suaminya dan isteri saya juga hadir dalam majlis ini, kami duduk semeja tapi lain-lain kerusi]yang turut dihadiri oleh sdr drirwan dan cikgu Hasimah. Oleh kerana dia adalah penulis novel popular yang terkenal, maka saya acah-acah dia ajak berduet menulis novel dengan saya. Saya sedar yang tulisan dan gaya bahasa saya saya macam budak tak lepas SPM sahaja, tetapi konsep berduet yang saya majukan tersebut dipersetujui. Dari situ kami buat novel bersiri dalam blog berjudul "Jangan Ada Dendam" Ramai jugalah pembaca e-novel tersebut (peminat Sri Diah sebenarnya).Sebelum itu saya buatkan blog untuk dia. Malahan ramai lagi kawan-kawan yang saya kenal dan tidak dikenali di alam nyata, yang saya tolong buatkan blog. Saja suka-suka.

9. Kenapa saudara lama menyepi dari esastera?. Selain dari masuk hospital mungkinkah ada sebab-sebab yang lain?.

Susah saya nak jawab soalan ini dengan tepat. Namun ia bagaikan "hangat-hangat air suam, lama-lama ia akan dingin …". Itulah saya. Saya mengendalikan pelbagai laman dan mailing-list di dalam dan luar negara. Ada kalanya bila sesebuah laman sudah maju, saya ‘berehat’ seketika dan ada kalanya juga bila ia kurang mendapat sambutan, juga saya berehat.Mengenai esastera, mungkin ketiadaan idea untuk menulis kot, tetapi saya tetap juga membaca sekali sekala terutamanya karya-karya dari penyair yang saya minati. Mungkin juga "kesibukan" dengan blog ( http://mba2u.blogspot.com ) yang menambahkan lagi sepinya saya kat esastera. Tapi sat lagi saya boring pulak dengan blog dan cari perkara baru pulak. Itulah saya ….

10. Maaf kerana soalan ini agak sensitif namun saya terpaksa juga menanyakannya demi untuk kebaikan kita bersama khasnya esastera. Ada ahli esastera berkata antara sebab mereka tidak aktif di komuniti Haiku kerana sikap dan layanan saudara terhadap mereka. Maksudnya begini, saudara lebih memberi tumpuan dan perhatian kepada kenalan saudara dari Jepun atau mereka yang menyertai blogger saudara sahaja. Kehadiran orang lain seolah tidak dipedulikan. Sebagai Administrator saudara sepatutnya memberi layanan yang sama. Saya sendiri pernah terfikir, saya telah menyiarkan lebih 70 buah Haiku namun tak ada sebuah pun yang pernah saudara komen apatahlagi untuk mengulasnya?. Apa komen saudara?.

Wah panjangnya soalan!. Jika begitu anggapan ahli esastera, mungkin juga ia betul atau secara kebetulan. Sebenarnya yang dikatakan kenalan saya itupun tidak ramai yang pernah saya jumpa. Saya hanya kenal dalam internet sahaja. Bila mereka tegur saya, saya tegur balik. Bila mereka usik saya, saya balas semula. Bagi yang baru berjinak-jinak dengan haiku, saya beranilah buat teguran atau ulasan depan umum. Bagi yang lain atau nampak sangat kesilapannya, biasanya saya utuskan mel peribadi. (Sepatutnya bagi tujuan rekod dan bukti, saya patut cc kepada Founder)Seperkara lagi, komuniti haiku atau esastera ini adalah milik bersama, sesiapa sahaja boleh beri teguran, ulasan atau layanan. Saya lihat ramai ahli lain yang berbuat begitu.Mengenai haiku saudara, entah mengapa tidak pula diulas. Namun ada yang terpilih dalam "Haiku Hari Ini" kan!. Lagipun haiku sdra. Sudah mantap dan tepat, jadi saya tak tahu apa yang hendak dikomen atau diulas. Bukankah komen dan ulasan itu untuk motivasi?
 
[bersambung]

Friday, July 16, 2004

ANTARA DUA DARJAT BUDAYA





kereta merah
sekeping kertas merah
merah di hati?

SEMASA saya ingin berkahwin dulu, majlis pertunangan diuruskan oleh rakan-rakan (staf saya sebenarnya) di pejabat. Ayah dan emak saya turut hadir, tetapi mereka awal-awal lagi berpesan supaya mencari orang lain untuk majlis meminang dan urusan-urusan berkaitan kerana mereka tidak tahu bercakap. Walaupun tidak menjadi jurucakap, keluarga kami, khususnya ayah saya banyak jugalah mengalami kejutan budaya. Setelah majlis selesai, sambil sembang-sembang dan borak-borak ayah saya adalah tersebut 'buat ayor je'. Ini menjadikan tuan rumah agak malu kerana ia difahamkan sebagai 'hidang air sahaja' sedangkan maksud yang dituturkan ialah 'ini gurau sahaja'. Lantas mereka bawalah air dan kuih muih (majlis makan-makan dah selesai sebenarnya). Apabila dijemput minum dengan ungkapan 'minumlah ayor tu', ini giliran ayah saya pula terkejut beruk. Nasib baik ada perkataan minum katanya, jadi dia boleh agak ia adalah air, jika tidak fuh nak dibuat gurau apa ni?.

Dalam minggu pertama perkahwinan, bapa mertua saya suruh tengokkan keretanya yang tak boleh start enjinnya. Kami anak-beranak tengoklah, saya ni bagaikan tikus tengok besi sajalah. Akhirnya dia sendiri yang menemui puncanya dan berkata kepada saya. "Oh plug ni yang longgar, awak yang bodoh rupanya". Dalam hati terkejut yang amat, apalah pak mertua ni, baru dua hari kahwin dah dikatanya kita bodoh?. Saya report pada isteri peristiwa itu dan mereka sekeluarga gelakkan saya bagaikan nak pecah perut. Rupa-rupanya "awak" adalah dirujuk kepada "diri sendiri". Apalah depa ni.... biskut cakap roti, selipar cakap kasut, suami cakap tunang, tunang cakap kawan, aku cakap awak. Itu belum masuk bab "kome", "keme" dan "deme" lagi.

Bila pulang ke rumah keluarga kami pulak, mak saya suruhlah menantu dia ni masukkan air ke dalam bocong. Setelah puas mencari, dia dapatkan saya dan bertanya bocong tu benda apa dan yang mana satu?. Ala.... bocong tu thermoslah, orang Perak cakap Flah (omputih tu...). Silalah rujuk dalam kamus dewan samada perkataan bocong tu ada ke tidak?. Semasa kat pasar, isteri saya nak belilah satu barang yang harganya ialah RM1.50, tetapi ditawarnya dengan RM2!. Sebabnya RM1.50 disebut sebagai tiga amah yang disangkanya sebagai RM3. ;-)

Thursday, July 15, 2004

BELACAN NAIK HARGA




pedas di mulut
cili udang geragau
manis di hati

INI ada satu SMS yang baru diterima:

I dah x blh nak rahsiakan hal ni drp U. I sbenarnya x nak kcwkan U & I rasa baik I bg tau kat U sblm U dgr drp org lain...



BELACAN NAIK SPOSEN


Hai untunglah orang yang berniaga SMS ni ya!.

LATA



air mengalir
batu batang menanti
lata nan satu

SUDAH terlanjur cerita pasal ikan aya di kampung, ingatan saya singgah pula ke lata. Mengikut Dewan Bahasa, lata ialah air melata riam atau jeram yang tegak, air terjun (yg rendah). Ya itulah lata yang saya maksudkan. Masa masih bersekolah dulu, adalah sekali dua saya pergi mandi-mandi di lata ini. Bila dah berkahwin dan mempunyai anak, saya ceritalah tentang lata kepada mereka. Apa lagi, setiap kali balik ke kampung anak-anak saya mesti ingin ke lata. Sampai sahaja ke rumah tok mereka, terus ingin ke lata. Pagi ingin ke lata, tengahari lata petangpun lata. Lata ini dah menjadi macam 'senjata' bagi saya jika ingin mengajak mereka pulang ke kampung.

Oleh kerana budak-budak kampung tidak hairan dengan lata, maka ia telah seolah-olah menjadi hak milik keluarga kami sahaja. Ia begitu ekslusif untuk kami sekeluarga sahaja. Ini menjadikan anak-anak saya semakin sayang dengan lata ini yang hanya beberapa ratus meter sahaja jaraknya dengan rumah bapa saudara mereka, iaitu adik saya.

Wednesday, July 14, 2004

IKAN AYA




aya dan tongkol
hidangan nasi dagang
penambat hati

RUMAH orang tua saya di kampung jarang-jarang sangat dikunjungi oleh orang-orang dari luar. Kehidupan kami sekeluarga atau lebih tepat lagi sekampung juga adalah amat sederhana, secara orang kampung. Jika ada orang sembelih lembu atau kerbau dapatlah kami memakan daging. Jika tidak, lauk utama ialah "ikan darat", seperti keli, haruan, sepat dan puyu. Jika ikan laut pulak biasanya hanyalah ikan selayang, kembung ataupun ikan aya. Ikan bawal dan tenggiri hanyalah bagi yang berada ataupun tidak ramai anak-anak.

Suatu hari (ini zaman saya kat universiti dulu), kawan-kawan saya dari KL nak sangat datang ke kampung saya dan mereka tiba juga akhirnya. Jadi mak saya hidangkan nasi dengan lauk-lauk biasa dari ulam-ulam dan yang agak "istimewa" sikit saya ialah gulai ikan aya. Kiranya sapu licinlah semua orang makan (sebab lapar, bukan sebab sedap). Lepas makan, mereka dan ayah saya duduk sembang-sembang sambil hisap-hisap rokok. Seorang dari mereka bertanya, apakah jenis ikan yang menjadi lauk kami makan tadi. Ayah saya jawab ia adalah ikan aya. Sembang-sembang lagi mereka kata ia adalah sedap dan tak pernah mereka makan. Sembang lagi, ayah saya kata orang luar (orang KL) tidak makan ikan tongkol, ia hanyalah makanan untuk orang miskin sahaja. Semua mereka setuju dan kutuk-kutuk ikan tongkol. Kemudian ayah saya beritahu, ikan aya dan ikan tongkol adalah ikan yang sama, nama saja berbeza. Lepas tu seorang dari mereka kata yang kau makan nasi dagang tu memanglah ikan tongkol, ikan tongkol adalah lauk utama dan asli bagi nasi dagang. Oops..... ada yang dah ingin memulau nasi dagang jika ia adalah ikan tongkol, tapi masih boleh bertahan jika ia adalah ikan aya. Oh jenama!.

Tuesday, July 13, 2004

MASA KIAN SINGKAT




pejabat sibuk
mindapun haru biru
hari nan pendik?

ORANG-orang tua kat kampung saya dulu kerap bersungut pasal hari sudah semakin singkat. Walaupun dalam sehari semalam kita masih ada 24 jam, namun setiap jam sudah jadi singkat, kata mereka. Maknanya kualiti masa tersebut sudah semakin kecil nilainya. Contoh perbandingan yang orang kampung gunakan ialah, dulu jika mereka basuh kain dan dijemur, belum petang kain dah kering dan boleh diangkat. Kini kata mereka nak jemur kainpun dah tak sempat dan dah kian lambat nak kering. Ini maknanya hari sudah semaking pendik atau singkat.

Mungkin benar mungkin tidak anggapan mereka itu. Namun memang tidak dapat dinafikan yang semua orang, tidak kira di bandar atau di kampung, sudah semakin sibuk sekarang ini. Itulah yang menyebabkan mereka nak basuk kainpun tak sempat kerana terpaksa buat kerja-kerja lain terlebih dahulu. Apabila dah lewat membasuh, maka lewat pulalah menjemur dan sudah tentu lambatlah keringnya.

Bagi kita yang bekerja makan gaji, rasanya masa sudah hampir tiada langsung (terutamanya bagi yang berpangkat tinggi). Malahan masa di luar pejabat, umpamanya di sebelah malampun sudah perlu ditempah melalui pembantu peribadi. Setiap malam ada sahaja majlis rasmi yang wajib dihadiri. Usia kita juga sudah kian meningkat sejajar dengan pangkat yang dipikul. Hari siang telah diambil sepenuhnya oleh tugas di pejabat. Hari malam sepatutnya kita berikan sedikit kepada surau dan masjid untuk bekalan kita di hari kemudian. Namun tuntutan tugas rasmi sudah tidak membenarkan lagi kita ke masjid(kecuali pada hari Jumaat sahaja). Oh tugas......

Monday, July 12, 2004

SLANGA DAN SEMANGAT KEDAERAHAN




mulut nan manis
bikin hati gelisah
bahasa slanga

SEJAK akhir-akhir ini kita dapati terlalu ramai jurucakap di negara kita ini. Pelbagai isu dan bukan isu dibawa dan dikupas. Jika misalnya PM membicarakan satu isu, maka isu tersebut akan menjadi tajuk utama dan diberikan liputan utama. Namun ulasan dan sokongan terhadap isu tersebut oleh tokoh lain nampaknya akan dibuat secara panjang lebar, siap dengan temuramah lagi. Akhirnya bukan isu yang diberitakan, tetapi tokohnya yang ditonjolkan. Kita juga boleh perhatikan sejak akhir-akhir ini ada tokoh-tokoh yang mesti keluar dalam berita (radio dan TV) pada setiap hari. Setiap kali berita, mesti ada dia berkata sesuatu, samada isu atau bukan isu, samada baru ataupun telah basi. Fenomena ini adalah kerana pertandingan dan pemilihan UMYES akan dan sedang berlangsung sekarang, maka penampilan dalam media masa adalah diperlukan.

Dalam membicarakan isu bahasa SMS yang digunakan oleh muda-mudi misalnya, ramailah tokoh dan bukan tokoh yang risau ia akan merosakkan bahasa. Umum juga telah mengetahui bahawa akhbar juga menggunakan bahasa yang salah dan tidak boleh dibuat pedoman. Kini sudah tentu blog juga sedemikian. Apa yang menarik perhatian saya ialah, tokoh yang menegur kesalahan bahasa SMS ini juga menggunakan bahasa yang salah. “Bahasa SMS ini tak betoi, nanti habih ghosak bahasa kita”. Kalau cakap betulpun dah tak betoi, dan keretapun disebut kheta macamana orang nak ikut?. Dahlah begitu, berita siap diulang tayang siap dengan gambar dan suara yang tak betoi tu ke seluruh negara, macamana ia nak betul?. Bapak ketam dah mengajar anak-anaknya berjalan tak betoi.

Mengapakah perkara ini boleh dibiarkan begitu sahaja malahan mendapat liputan berita secara besar-besaran? Seseorang tokoh yang tidak tahu bercakap dengan betul, tidak perlu diangkat sebagai tokoh. Jikapun dijadikan tokoh, dia tidak layak untuk bercakap, memadai dengan beri arahan bertulis sahaja ataupun gunakan jurucakap sahaja. Kita risau kesalahan bahasa akan bertambah-tambah parah bila ada tokoh-tokoh yang dengan sengaja menggunakan slanga begini diberikan tempat dalam media elektronik. Sememangnya ada tokoh kita yang bercakap “Oleh kerana pemuda-pemuda kita suka menghisap dada(h), maka saya menyerulah supaya pemudi-pemudi kita menderma dara(h)”.Ini saya rasa bukan disengajakan, sudah memang slanga dia begitu dan memang sukar untuk diatasi, lagipun BM bukanlah bahasa ibundanya.

Saya tidak pernah mendengar adanya menteri dari pantai timur yang dengan sengajanya bersyarah menggunakan slanga mereka. Sebaliknya kalau yang dari utara (tidak semua) memang sengaja mencari perkataan-perkataan slanga daerah mereka untuk dicakapkan. Mengapa?. Mungkinkah kerana nak tarik perhatian PM yang dari utara?.



Friday, July 09, 2004

BEBAN KERJA




siang dan malam
kertas kerja bertimbun
oh! beban kerja

TERLALU jarang kita jumpa staf yang bekerja makan gaji yang berkata mereka kekurangan kerja. Kebanyakan pekerja akan bersungut pasal beban kerja yang bertambah (dan gaji yang tidak mencukupi). Biasanya jika ada kerja baru yang perlu disiapkan dan perlu diagih-agihkan, semua akan menolak dengan pelbagai sebab. Alasan paling lumrah ialah beban kerja yang sudah banyak, tidak cukup staf dan seribu satu lagi.Pernahkah seseorang ketua didatangi oleh pekerjanya yang meminta kerja lebih? Rasa-rasanya terlalu jarang.

Sambil merayau-rayau mencari idea untuk menulis, mba terjumpa dengan satu nama yang pernah dikenali, iaitu anak buah semasa di sebuah jabatan pada tahun 80-an dulu. Semasa mba keluar dari jabatan tersebut, dia juga keluar kerana mendapat jawatan lain. Namun khabarnya dia resign lagi sebab tidak suka jadi penyelia. Terakhir mba jumpa dia ialah di sebuah surau di luar negara semasa diadakan satu sesi usrah keluarga di sana. Tiba-tiba saja dia terjongol di depan dan bertanya "masih kenal saya tak?". Oh... "one and the only!". Itulah nama jolokan dan moto yang beliau gunakan pada masa tersebut yang mba masih ingat (nama lupa pada masa tu). Beliau agak lain dari yang lain. Kerjanya terlalu cepat dan setiap hari akan datang menemui saya meminta kerja baru. Kerja-kerja (programming) yang rasanya agak sukar diberikan kepada beliau akan dibereskan dalam masa yang singkat sahaja dan dia akan minta lagi kerja. "kerja.. kerja...kerja, saya mahu kerja lagi". Kadang-kadang sebagai penyelia beliau, kita termenung mencarikan kerja untuk diserahkan kepadanya.

Rupa-rupanya dia telah menjadi ketua jabatan di sebuah universiti terkemuka di sini dan telah bergelar Dr. Itulah dia "Ruk, One and the Only".

Thursday, July 08, 2004

SENYUM ITU SEDEKAH




senyum di pipi
alis menjeling manja
hati terpaut

TENGAHARI nanti ofis lama akan mengadakan majlis makan-makan kerana meraikan perpindahan mba. Namun rasa-rasanya mba tidak akan dapat menyertai majlis tersebut kerana terpaksa ada urusan lain di luar pejabat. Dalam masa kurang dari lima tahun, kerusi yang baru mba tinggalkan itu telah diduduki oleh enam orang. Jika itu sahaja fakta yang ada, sudah tentu orang luar akan mengatakan yang ia adalah 'kerusi panas'. Malahan itulah cerita hangat yang mba dengar sebelum ke sana. Tanyalah kepada siapa sahaja, jika anda datang melawat ke situ dan mengetahui yang anda akan menguruskan sebanyak 85 buah server, satu kampus rangkaian dengan 32 comm. room, 1200 PC dan penggunanya yang memerlukan perhatian 24 jam sehari, siapa yang tidak kecut perut?. Namun tempat tersebut tidaklah sepanas yang diceritakan, malahan ia adalah instalasi terbaik yang pernah mba kerja setakat ini. Jadi mengapa keluar?. Mengapa dah 6 orang dalam masa 5 tahun?. Panjang cerita dan berlainan sebab musababnya [boleh cerita kemudian jika ada kesempatan].


PERLUKAN diadakan kempen senyum?. Mengapa perlu senyum sedangkan jika tidak senyumpun tidak cukup tangan nak melayan patient?. Ini adalah di antara soalan-soalan yang dikemukakan sebelum kempen senyum ini dilaksanakan. Rupa-rupanya tidak senyum adalah merupakan satu penyakit dalam kategori kemurungan dan boleh diubati dengan mengambil ubat tertentu. Jawapan kepada soalan-soalan ini ialah senyum itu suatu sedekah.

Wednesday, July 07, 2004

CERITA TENGAH-TENGAH JALAN




dalam barisan
tetap sabar menunggu
tuju bulatan

SEMALAM keluar dari rumah agak lewat dari biasa kerana perlu hadir mesyuarat di luar. Maka seperti yang diduga, dapatlah menikmati kesesakan lalulintas yang luar biasa berbanding jika berpagi-pagi keluar rumah. Kebanyakan kisah yang ditemui di tengah-tengah jalan ini ialah yang menyakitkan hati belaka adanya. Memang semua maklum bahawa tuan punya kenderaan di atas jalan pada masa tersebut ingin sampai ke destinasi tepat pada masanya. Jadi, andaian bahawa hanya sebuah-dua sahaja yang betul-betul terdesak untuk tiba boleh kita anggap tidak ada.

Cerita pertama: Sebuah kereta ni dengan gopoh dan gapahnya potong sana potong sini tanpa mempedulikan sangat makhluk lain yang dengan sopannya terpaksa beratur menunggu laluan. Apabila terpandang akan pemandunya, masyaallah berkopiah!. Nak dikatakan ada penumpang yang nak terberanak dalam kereta dia, memang sah dia sorang saja dalam kereta tu. Bagi standard negara kita, potong-Q ini bolehlah dikatakan 'biasa' sahaja. Namun ia akan menjadi suatu kesalahan besar bila yang buat kerja tersebut ialah pemandu yang dianggap 'sopan', pakai kopiah putih misalnya ataupun pakai serban. Jika dia gondol atau pakai cap atau punk saja, itu kita tak hairan sangatlah. (sebab kitapun kadang-kadangpun buat juga sekali sekala).Ini macam orang pakai kopiah tapi buat maksiat, atau tak puasa di bulan puasa... Jika budak dadah yang buat begitu, walaupun kesalahannya sama saja, tak ada orang nak heran.

Cerita dua: Sebuah kereta dengan sopannya berhenti di persimpangan lampu isyarat sebaik sahaja lampu bertukar warna menjadi kuning. Wah sopan sungguh pemandu ini sedangkan kat belakang keretanya terpampang stiker "........ racing". Ini terlalu kontra dengan di sebuah persimpangan lain, sebuah kereta lagi berada di petak kuning dan mengganggu semua kenderaan lain dari pelbagai arah. Kat belakang kereta tu ada stiker "XXXXX adalah cara hidup". Inikah cara hidup yang diajar oleh "XXXXX" itu?. Kadang-kadang ada juga terjumpa kereta dengan stiker "Ahli XXX" atau "Saya sokong XXX" walhal di jalan raya, masyaallah dasyatnya..... buat malu organisasi saja.

Tuesday, July 06, 2004

PENYELENGGARAAN ATAU PENYENGGARAAN


Berita akhbar: Makmal sekolah meletup, 20 pelajar cedera, 5 parah
Kenyataan pihak berkuasa: Makmal ini tidak selamat digunakan dan tidak pernah diperiksa semenjak 22 tahun yang lalu.

Berita akhbar: Kebakaran flat. Tiga sekeluarga terkorban. Orang ramai tidak dapat berbuat apa-apa kerana hos bomba tidak berfungsi
Kenyataan pihak berkuasa: Pihak berkuasa tempatan diarahkan menyediakan hos bomba di setiap tingkat flat mereka.

Berita akhbar: Bas masuk gaung dipercayai brek tidak berfungsi. Tiga maut.
Kenyataan pihak tertentu: Bas tersebut telah lulus pemeriksaan berkala.




mengelap lantai
berbakti pada kayu
mencuci hati

HUJUNG minggu lepas secara kebetulan saya melihat api menyambar talian elektrik serta asap yang tidak begitu besar di rumah jiran kira-kira empat buah rumah daripada rumah saya. Secara kebetulan juga, beberapa minit selepas itu pembaca meter Tenaga Nasional (TEN) datang dan saya terus melaporkan perkara tersebut kepada beliau dan dia berjanji untuk memaklumkannya kepada pejabatnya. Kemudian bersama seorang jiran lain, kami memaklumkannya kepada tuan rumah. Keesokannya saya perhatikan talian elektrik (input dari tiang ke rumah) telah diperbaharui oleh TEN. Dimaklumkan pendawaian tersebut tidak pernah diperiksa semenjak ia dipasang berpuluh tahun dahulu. Berapa kerap pula kita memanggil juru elektrik memeriksa pendawaian di rumah kita?.

PADA kebiasaannya kita hanya menyelenggara barang baru ataupun apabila telah 'mendengar' kerosakannya. Contohnya kereta baru, keraplah kita hantar untuk diselenggara mengikut jadual tertentu. Apabila kereta tersebut sudah berusia dan telah tamat tempoh jaminan maka proses penyelenggaraan akan menjadi jarang-jarang dan kemudiannya menjadi kadang-kadang. Samada kereta baru atau kereta lama, pernahkah kita hantar untuk pemeriksaan di Puspakom misalnya?.

TERINGAT masa dulu-dulu, ya puluhan tahun dulu semasa berkursus di negara matahari terbit. Setiap musim kami 'dipaksa' meninggalkan asrama dengan diberikan tiket percuma ataupun tambang percuma untuk melancong ke destinasi terpilih di sekitar pulau Okinawa. Pada masa tersebut tidak seorangpun dibenarkan tinggal di asrama. Rupa-rupanya belbagai pasukan penyelenggaraan bangunan akan datang membuat pelbagai pemeriksaan. Ada yang memeriksa pendawaian, ada yang memeriksa paip air & gas, ada yang memeriksa tandas, ada yang memeriksa lif dan ada yang memeriksa bilik-bilik kami. Undang-undang menyatakan tidak boleh memasak di asrama dan pada masa inilah periuk dan peralatan memasak akan dirampas. Pemeriksaan dan penyelenggaraan bersepadu ini dilakukan secara berkala pada setiap musim. Bangunan manakah di negara kita yang melalui proses sedemikian?




Mari belajar bahasa: Dulu saya menggunakan penyelenggaraan, kemudian terikut-ikut menggunakan penyenggaraan. Mana satu yang betul? Penyelenggaraan berasal dari kata selenggara yang bermaksud menguruskan dan mengerjakan, mengelolakan, mengusahakan. Penyenggaraan berasal dari kata senggara yang bererti mengurus, mengendali. Sama erti?.

Monday, July 05, 2004

JALAN JALAN MAKAN ANGIN




air mengalir
sungai berwarna kuning
kami yang pening

SEMALAM kami menyertai hari keluarga myJICA di Agrotec Eco Resort, batu 14 Hulu Langat. Bagaikan VIP, keluarga kita oranglah yang sampai paling akhir. Ia adalah atas sebab-sebab biasa, antaranya 'peta hanyalah dilukis bagi orang yang sudah tahu'. Hari keluarga ini diuruskan sepenuhnya oleh pihak Resort. Di antara kemudahan yang disediakan di sini termasuklah jungle traking, sukan rakyat, flying fox, karaoke, tapak perkemahan, rakit dan banyak lagi. Di sini juga terdapat chalet untuk penginapan. Bagi peminat memancing, beberapa buah kolam juga disediakan bagi tujuan memancing. Memandangkan yang sekarang adalah musim nuah-buahan, maka kami juga dijamu mata dan tekak dengan buah-buahan yang terdapat di taman ini.

Ahli-ahli myJICA yang hadir adalah dari pelbagai lapisan. Ada yang belum berkeluarga hinggalah kepada yang telah bersara. Namun pihak Agrotec mungkin tidak menyangka akan kehadiran begini lantas tidak begitu bersedia dengan acara yang akan dijalankan. Masing-masing kelihatan tunggu menunggu dan nanti menanti akan aktiviti untuk mereka. Kawasan untuk sukan rakyat juga tidaklah sebesar mana, namun bolehlah mengembirakan yang ingin bersukan. Banyak sukan air yang boleh dijalankan, terutamanya bagi kanak-kanak. Namun bagi kanak-kanak kecil, airnya agak dalam dan bagi yang dewasa ia tidak begitu menyeronokkan. Wakil JICA dari Jepun komplen pasal air sungai kelihatan tidak bersih dan tidak jernih. Boleh dikatakan ia adalah standard bendang sahajalah keadaannya. Mungkin juga pemilik taman perlu dihantar ke Jepun untuk pengurusan taman cara Jepun ...

Kesimpulannya, lain kali myJICA perlu anjurkan sendiri sukaneka yang ingin diadakan seperti sebelumnya agar ia lebih mengancam dan meninggalkan kenangan kepada semua. Terutamanya dengan 'door gift' yang menarik. Rating yang boleh diberikan kepada resort ini ialah **

Friday, July 02, 2004

MANDI BUNGA



DALAM masyarakat Melayu dulu-dulu, mandi bunga seolah-olah begitu sinonim dengan tuah-sial seseorang. Pantang berlaku perkara-perkara tertentu yang dianggap "sial", maka ubatnya adalah merupakan mandi bunga. Ia itu satu cara untuk membuang sial.

Kini amalan mandi bunga telah menjadi suatu perniagaan yang lumrah bagi pakej penjagaan serta terapi kesihatan dan kecantikan. Tujuan mandi bunga ini ialah untuk rawatan, iaitu untuk membuang semua unsur-unsur negatif dalam tubuh yang menjadi penyebab utama diserang pelbagai jenis penyakit medic dan non medic.

Ah nampaknya sama sahaja tujuan mandi bunga tersebut, cuma dulu nak buang sial dan kini unsir negatif.

SOALAN
Bagaimana dengan amalan yang sering di lakukan masyarakat melayu seperti mandi bunga dan sebagainya dapat di bendung. Sila berikan saya langkah-langkahnya.

JAWAPAN
Sekiranya mandi bunga bertujuan untuk mengharumkan badan dan tujuan kebersihan adalah diharuskan tetapi sekiranya mandi bunga itu dikaitkan dengan amalan perbomohan dan jampi serapah yang tidak difahami, maka ia adalah dilarang sama sekali kerana boleh membawa kepada unsur syirik yang merosakkan akidah.Sekiranya mandi bunga dengan menggunakan doa daripada ayat-ayat al-Qur'an, maka ia adalah diharuskan.


Thursday, July 01, 2004

TELEFON SELULAR DENGAN WAKTU SOLAT & ARAH KIBLAT


MALAYSIA bakal menjadi lokasi bagi pelancaran rasmi telefon selular pertama di dunia model llkone i-800 dengan aplikasi yang membolehkan penganut agama Islam mengetahui waktu solat dan arah kiblat di mana saja mereka berada.

Ilkone i-800 menyediakan waktu solat secara automatik di mana-mana saja di seluruh dunia. Penggera boleh diprogram untuk berbunyi sebelum dan selepas Azan dan disesuaikan dengan keutamaan peribadi pengguna.

Ia mempunyai penunjuk arah kiblat bagi lebih 5,000 lokasi di dunia. Untuk mendapatkan arah kiblat yang betul, pengguna perlu memilih negara dan bandar di mana mereka berada dan telefon dengan automatik akan menunjuk ke arah Makkah.

Selain itu, teks penuh kitab suci Al-Quran dengan terjemahan dalam bahasa Inggeris yang disahkan oleh Universiti Al-Azhar, Mesir, dan mempunyai ciri berguna lain, iaitu pengubah kalendar Hijrah.

Telefon berkenaan dijangka memasuki pasaran Malaysia Julai ini selepas mendapat kelulusan daripada Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (Sirim), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Universiti Al-Azhar di Kaherah, Mesir.

[Sumber: Berita Harian 30 Jun 2004]

BETUL KE NI?



rerama oren
singgah menghisap madu
hati terpahat

PUTRAJAYA 29 Jun - Syarikat perisian terbesar di dunia, Microsoft Corporation memberikan komitmen untuk menghulurkan bantuan terbaik kepada kerajaan Malaysia bagi menghapuskan jurang digital di negara ini.

Sebagai permulaan, syarikat itu akan melabur dana RM10 juta dalam tempoh lima tahun untuk memberikan latihan serta perisian yang akan memberi faedah kepada 10,000 pelajar sekolah rendah dan menengah di seluruh negara.
SUMBER: Utusan Malaysia 30 Jun 2004.

Cuba anda perhatikan:-
Pelaburan RM10 juta dalam tempoh 5 tahun yang boleh memberi faedah kepada 10,000 pelajar. Ini bermakna pelaburan hanyalah RM2juta setahun. Ini juga bermakna bahawa RM10,000,000 dibahagi dengan 10,000 bersamaan dengan RM1,000. Ia itu hanya pelaburan RM1,000 sahaja bagi seorang pelajar akan memberi menafaat yang begitu baik sekali kepada mereka dalam pembelajaran ICT.

Anda bolehlah fikirkan sendiri mengenai perkara ini.