Pages

Saturday, February 14, 2004

HAIKU YANG BAIK

MENULIS haiku tidaklah sesusah mana. Namun mungkin sukar untuk menghasilkan sebuah haiku yang baik. Walau bagaimanapun haiku senang dinilai berbanding sajak, pantun, syair gurindam dan sebagainaya. Ini ialah kerana haiku mempunyai peraturan yang banyak. Di antara ciri-ciri sebuah haiku yang baik termasuklah:-


1. 17 sukukata dalam 3 baris dibahagi kepada 5-7-5
2. Tulis apa yang boleh dinyatakan dalam satu nafas.
3. Gunakan perkataan musim (kigo) atau merujuk kepada musim.
4. Gunakan untaian sajak diakhir baris pertama atau kedua, tapi bukan kedua-duanya.
5. Jangan sekali-kali menjadikan semua 3 baris untuk menyempurnakan atau menjadikannya ayat.
6. Adakan dua imej yang berbandingan apabila menerangkan imej ketiga. Contoh: Dalam berehat/ Mencuci tungku hitam/ Ku basuh tangan.
7. Adakan dua imej yang berkaitan apabila menerangkan imej ketiga. Contoh: Suram cahaya/Tika bulan gerhana /Cantik wajahmu.
8. Adakan dua imej yang bertentangan apabila menerangkan imej ketiga. Contoh: dua biji tungku/tiada ruang bersentuhan/api kian marak
9. Hadkan penggunaan kata nama atau jenama khas.
10. Gunakan gantinama dalam huruf kecil. Contoh: saya ialah?
11. Gunakan ayat yang berkaitan dalam kedua-dua rangkaikata.
12. Gunakan pecahan-pecahan ayat.
13. Jadikan baris terakhir sebagai kemuncak haiku anda.
14. Cari ayat paling menarik/menawan di baris pertama.
15. Tulis perkara biasa dalam cara biasa menggunakan bahasa biasa.
16. Gunakan hanya imej yang nyata, bukan abstrak. Ch. Lampu adalah nyata, terang cahayanya adalah abstrak.
17. Cipta ungkapan berlirik untuk imej.
18. Cuba adakan makna berganda. Sekali baca ia hanya imej mudah, yang tersirat adalah falsafah/pelajaran dalam kehidupan.
19. Gunakan imej yang membangkitkan kesederhanaan atau kepapaan yang sederhana. (sabi)
20. Gunakan imej yang membangkitkan elegen klasik yang tersendiri (shubumi)
21. Gunakan imej yang membangkitkan nostalgia romantik/tempat cantik (wabi)
22. Gunakan imej yang membangkitkan misteri bersendirian (Yugen)
23. Gunakan paradoks.
24. Tulis sesuatu yang mustahil dalam keadaan biasa.
25. Gunakan imej yang mulia (bukan perang, seks atau jenayah).
26. Ceritakan seadanya perkara sebenar di sekeliling kita.
27. Gunakan hanya imej daripada alam sekitar (bukan perasaan manusia sahaja)
28. Campurkan alam sekitar dan perasaan manusia dengan cara menghubungkan perasaan manusia tyerhadap alam sekitar.
29. Elakkan merujuk kepada diri sendiri dalam haiku. (aku dsb)
30. Diri sendiri boleh dirujuk secara tidak langsung seperti ?orang tua ini? atau ?mamat itu?.

Untuk lebih memahami ciri sesebuah haiku yang baik, saya perturunkan di sini sebuah haiku yang tersohor yang telah dialih ke BM. Iaitu Katak & Kolam. Pengertiannya ditulis dalam SAJEN (Sajak Jenaka):-






KATAK AJAIB


Ini satu hikayat zaman purba
Basho berjalan tepi huma
Bila penat berhenti dia di tepi telaga
Terasa lapar bento turut dibuka.

Tetiba dia terdengar sesuatu….
Burrr…. Burr…. Burrrr….
Kecut segala anggota
Kerana disangka habu meronta.

Eh..eh… rupanya hanya seekor katak
Melompat masuk dalam telaga
Dan airpun berkocak.
Hmmmm…. lima tujuh lima
Basho dah dapat satu idea
Lalu diapun tulislah di tepi batu perigi
Begini adanya:-

perigi tua
lompat seekor katak
air berkocak.


Jeng..jeng..jeng….
Enam ratus tahun sudah berlalu
Empat Haijin Malaya datang melancong
Di tepi telaga Basho mereka bertinggung
Riuh-tinggi gegak-gumpita mereka berbicara:-

I
Pergi tuo itu ibarat isteri kito
Katak itu kito punyo awek
Berkocak jiwo bini keno kacau kat awek kito
Dalam maksud haiku Basho ni…..

II
Eleh… den tau, haiku ini pasal musim
Katak banyak jenis katak
Ado katak pisang ado katak puru
Katak Basho ni ada ekor…
Maknonya ini musim paneh
Mano ado katak musim salji?

III
Sebenarnya begini….
Perigi tua itu maknanya profesor
Katak itu adalah ilmunya
Apabila ilmu melompat keluar dari mulut profesor:
Berkocaklah alam sebab hebatnya ilmu itu

IV
Oh tak mungkin…. Maksud Basho begini
Telaga tua maknanya kekal abadi
Katak kurus pulak sementara saja
Ini haiku pasal kekal dan sementara ….

Andai kata Basho masih hidup
Tentu dia senyum kaldai
Tidak disangkanya katak itu katak ajaib
Jadi perbincangan sepanjang masa
Telah melompat ke seluruh dunia
tidak seperti pergi itu
masih tetap ukurannya
5 kaki lebar 7 kaki dalam 5 kaki panjang

 

Nota:

Basho – pelopor haiku

Bento – nasi bekal

Habu – sejenis ular berbisa

Haijin – Penulis Haiku

No comments:

Post a Comment