Pages
▼
Monday, September 07, 2015
TOMODACHI
Tomodachi adalah perkataan Jepun ( 友達 ) yang bermaksud Kawan (Kawan-Kawan) atau friend (s). Saya memilih Tomodachi Sdn. Bhd. sebagai nama syarikat saya. Syarikat ini saya tubuhkan setelah saya hampir bersara. Saya berazam untuk menjadikannya sebagai landasan untuk anak-beranak saya bergerak dalam bisnes. Ia juga memberi peluang kepada sahabat-handai ( tomodachi ) untuk mendapat perkhidmatan dan tompang berteduh.
Saya telah bekerja makan gaji dengan Kerajaan selama 30 tahun. Saya tidak ada darah bisnes. Tidak ada seorangpun ahli keluarga di sebelah ibu-bapa saya orang bisnes. Saya memang tidak ada bakat menjual. Tidak ada kebolehan mempengaruhi orang. Sangat malu untuk meminta hutang. Lembut hati terhadap orang lain. Kesemuanya adalah bukan sifat orang bisnes.
Lantaran itu mengapa saya buka syarikat Sdn. Bhd?. Mengapa tidak buka enterprise sahaja?. Jawapannya mudah, saya dinasihatkan oleh kawan-kawan supaya buka syarikat sdn bhd. Saya yang tidak tahu apa-apa pasal bisnes ini pun bukalah Tomodachi Sdn Bhd. Wah...... penyelenggaraan tahunannya mahal!!!!. Jika tidak ada hasil yang masuk, tidak perlulah syarikat Sdn Bhd. Memandangkan syarikat sudah ditubuhkan, saya teruskan jugalah.
Semasa bertugas dahulu, saya sangat tertarik dengan kata-kata Tan Sri Syed Mokhtar yang memberi pesanan kepada CEO nya. "Dalam bisnes jangan aniaya orang. Jangan ambil untung terlalu banyak, tetapi dalam bisnes jangan sampai rugi".
Seterusnya Tan Sri sangat berminat dengan beberapa bisnes yang berkait rapat dengan pekerjaan saya, ia itu dalam bidang kesihatan. Katanya "saya mahu berbakti kepada orang sakit, saya mahu tolong pesakit. Saya tahu doa orang sakit itu sangat makhbul. Dalam bisnes ini saya mahu pahala sebagai balasannya".
OK lah. Kembali kepada Tomodachi Sdn Bhd.
1. Seorang kawan dari Jepun sangat teruja dengan nama Tomodachi. Saya khabarkan kepada beliau, jika dia atau rakan-rakannya mahu beli Tomodachi, saya sedia menjualnya.
2. Tan Sri Syed Mokhtar kata "buat bisnes jangan sampai rugi". Dalam Tomodachi, "rugi tidak mengapa asalkan senang hati". Dalam beberapa transaksi bisnes, saya memang rugi. Ia itu harga jual lebih rendah dari harga beli. Perkara ini terjadi apabila harga jual telah ditetapkan dan dijanjikan setelah mengambil kira sedikit untung. Tiba-tiba bekalan datang dengan harga yang lebih tinggi. Saya tetap jual juga dengan harga yg telah dijanjikan. Rugi sedikit-sedikit tidak mengapalah. Asalkan hati pelanggan saya senang dan saya senang hati.
No comments:
Post a Comment