Pages

Monday, February 01, 2010

KAYUHAN KL 2010 UNTUK DEBARAN LTDL 2010


SEAWAL pagi, Won sudah tiba di rumah untuk membawa saya ke Dataran Merdeka bagi menyertai Kayuhan KL 2010. Pihak penganjur menjangka seramai 500 pengayuh menyertai kayuhan ini. Pada pandangan saya, ia lebih ramai daripada itu.

Kayuhan di tengah-tegah kota KL secara beramai-ramai adalah sangat istimewa. Ia jarang-jarang boleh dilakukan kerana kesesakan trafik. Namun pada hari ini kenderaan bermotor disekat daripada menggunakan jalanraya untuk membenarkan kami berkayuh. Sangat istimewa.

Rata-rata basikalis bersungut, kayuhan dua pusingan ini terlalu pendek dan tidak mencukui. Mereka inginkan lebih cabaran. Mungkin 10 pusingan yang boleh menyamai LTDL di KL Mac nanti. Walaupun sekadar dua pusingan sahaja, satu kemalangan melibatkan beberapa orang pelumba turut mencalar acara ini. Ramai yang menyokong agar kayuhan begini dilakukan di Putrajaya seperti tahun lepas kerana kota itu lebih mesra basikal.

DARI UTUSAN
Kayuhan KL semarak perlumbaan LTdL 2010

KUALA LUMPUR - Bagi menyemarakkan minat orang ramai menceburi sukan berbasikal, Kayuhan KL akan dianjurkan pada 1 Februari ini bersempena Le Tour de Langkawi 2010 (LTdL) yang bermula dan berakhir di Dataran Merdeka di sini.

Acara itu yang turut dianjurkan bersempena sambutan hari Wilayah Persekutuan akan melibatkan kayuhan sejauh 10 kilometer meliputi jalan-jalan utama di sekitar ibu negara.

Kayuhan KL dianjurkan buat pertama kali tahun ini sebagai antara aktiviti mempromosi LTDL 2010 di samping Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mahu menjadikan ia sebagai pentas untuk mewujudkan minat di kalangan generasi muda menceburi sukan berbasikal.

Acara yang dijangka menarik 500 penyertaan itu turut menawarkan hadiah cabutan bertuah kepada para peserta.

Ketua Pegawai Eksekutif LTDL 2010, Mohamed Salleh berkata, penyertaan dibuka kepada semua golongan tanpa mengira had usia.

''Daripada pelumba profesional hinggalah kepada pelumba santai, semua layak berkayuh dalam acara ini yang merupakan anjuran KBS dan penaja acara LTDL 2010.

''Kami berharap melalui Kayuhan KL akan dapat menyemai minat masyarakat terhadap sukan ini selain memupuk kesedaran faedah berbasikal terhadap kesihatan diri,'' katanya dalam kenyataan akhbar di sini, semalam.

Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Teknikal LTDL 2010, Jamaludin Mahmood memberitahu, Kayuhan KL diadakan bukan untuk tujuan pertandingan tetapi ia lebih kepada aktiviti berkayuh secara santai dan tidak ada pemenang atau hadiah akan diberi melainkan cabutan bertuah.

Jelas beliau, pelumba akan berkayuh mengikut tahap kemampuan masing-masing dan diawasi oleh polis trafik.

Acara tersebut akan bermula pukul 8.30 pagi dan bagi orang ramai yang berminat menyertai Kayuhan KL perlu mendaftar diri pada pukul 7.30 pagi di Dataran Merdeka atau hubungi Sekretariat LTDL 2010 di talian 03-8996 4598 atau mendaftar menerusi laman web TLDL di www.ltdl.com.my.

Dalam pada itu, acara LTDL edisi ke-15 yang berstatus 2.0 Hors membabitkan tujuh peringkat perlumbaan iaitu di Kota-Bharu-Kuala Berang, Kuala Terengganu-Chukai, Pekan-Mersing, Mersing-Parit Sulong, Muar-Port Dickson, Putrajaya-Genting Highlands dan Kuala Kubu Baru-Dataran Merdeka yang membabitkan jarak keseluruhan 1019.3 kilometer.

Kejohanan itu yang bermula 1 hingga 7 Mac membabitkan seramai 120 pelumba daripada 20 pasukan termasuk dua pasukan tempatan dijangka mengambil bahagian dalam acara LTDL 2010.


DARI BERNAMA
Rasai Debaran LTDL 2010 Dalam Kayuhan KL 2010

KUALA LUMPUR, 25 Jan (Bernama)-- Orang ramai berpeluang merasai debaran pelumba Le Tour de Langkawi (LTdL) 2010 dengan menyertai Kayuhan KL 2010 yang akan bermula dan berakhir di Dataran Merdeka di sini pada 1 Feb ini.

Ketua Pegawai Eksekutif LTdL Mohamed Salleh berkata acara jarak 10km itu meliputi jalan utama sekitar Kuala Lumpur bagi mempromosikan edisi ke-15 LTdL yang bermula 1 hingga 7 Mac ini.

"Kayuhan KL 2010 diadakan sebagai saluran untuk menggalakkan orang ramai dan golongan muda menceburi sukan berbasikal serta sambutan Hari Wilayah Persekutuan," katanya dalam kenyataan hari Isnin.

Mereka yang berminat perlu mendaftarkan diri pada pukul 7.30 pagi di Dataran Merdeka pada 1 Feb atau menghubungi Sekretariat LTDL 2010 di talian 03-8996-4598 atau mendaftar terus menerusi laman web LTDL di www.ltdl.com.my.

Perlumbaan LTdL sejauh 1,001.8 kilometer itu akan melibatkan penyertaan 120 pelumba dari 20 pasukan dengan cabaran bermula di Kota Baharu, Kelantan menyusuri Terengganu, Pahang, Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Putrajaya, Selangor dan berakhir di Dataran Merdeka di sini.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment