Pages

Thursday, January 29, 2009

PEMBETULAN MANUSKRIP

29 Jan 2009

Assalamualaikum wrt wbt

Semoga tuan dirahmati Allah SWT dan sehat sejahtera.

Seperti yang dimaklumkan dalam emel tempoh hari, manuskrip tuan akan diterbitkan pada bulan Mac ini. Insyallah. Oleh itu, saya baru sahaja selesai review manuskrip tuan dan mohon tuan dapat mengemaskini mansukrip tuan. Tidak banyak yang perlu diubah, hanya bab-bab yang terakhir sahaja. Sebelum itu, judul manuskrip ini ditukar kepada Buat Duit dengan Foto. Ini kerana ia lebih dekat dengan isi utama buku ini iaitu, jual foto melalui agensi stok.

Berbalik kepada tujuan utama e-mel ini, berikut adalah pembetulan yang perlu dilakukan.

1. Bab 10 - Organisasi/badan yang berkaitan.
a. saya sudah pindahkan 'tip untuk berjaya sebagai seorang jurufoto bebas' dan 'tema foto yang biasa' ke satu bab lain. Iaitu bab baru (tip-tip) yang menjadi bab terkahir untuk buku ini,

b. Isi dalam bab ini adalah isi pengulangan. Jadi tidak perlu di letakkan.
c. Saya pindahkan subtopik forum kerana ia lebih ada hubung kait dengan bab ini.
d. Mohon dapat ditambah maklumat berkenaan persatuan persatun stok foto - Apa tujuan ia ditubuhkan, peranan persatuan ini dan apa yang boleh diberi bantuan khususnya kepada rakyat malaysia.
e. Wujud ke persatuan/kelab di Malaysia yang ada peranan yang sama? Jika ada, mohon masukkan.

2. Bab 11 - Pengalaman dan Kisah Benar
Kisah benar melalui temuramah itu tidak sesuai untuk diletakkan dalam buku.. Mohon tuan olah semula dalam bentuk cerita. Tuan yang menceritakan semula dan jadikan mereka orang ketiga iaitu dengan kata ganti diri 'beliau'. Saya sediakan satu contoh yang melibatkan En Mohd Nazrey sebagai panduan tuan. Seperkara lagi, saya lihat kebanyakkan pengalaman yang diberi hampir semua belum atau baru melibatkan dalam bidang agensi stok foto. Jika boleh ada satu dua kisah yang terlibat dalam agensi foto ini sebab buku ini tuan fokus kepada cara jual foto melalui stok foto. Kalau tiada, tidak mengapa, kekalkan apa yang ada.

Dua bab ini sahaja yang perlu dibetulkan. Saya mengharapkan agar ia tidak mengambil masa yang lama dalam memperbetulkan dua bab ini. Boleh tak jika ia dapat disiapkan dalam tempoh seminggu? Mohon dapat dihantar semula dua bab ini selewat-lewatnya 5 Februari 2009 (Khamis).

Seperkara lagi, dalam manuskrip tuan terdapat url seperti http://digikame.muhamadbinali.com, adakah ia sudah diaktifkan? atau ada perubahan URL. Mohon tuan semak semula url yang diletakkan dalam manuskrip tuan ini sama ada aktif atau tidak. Mohon dapat dimaklumkan jika ada perubahan dalam alamat URL.

Semoga tuan terus bersemangat untuk menyiapkan manuskrip ini.

Sekian Wassalam

6 Feb 2009

Disertakan semula dua bab yang telah diperbetulkan dan jawapan kepada pertanyaan tuan .

Berkaitan dengan URL, digikame.muhamadbinali.com telah saya ubah kepada digikame.co.cc
Ia telah diaktifkan, walau bagaimanapun tidak semua maklumat telah dimasukkan. Insyaallah maklumat sepertimana yang dijanjikan dalam manuskrip akan dimasukkan sebaik sahaja buku diterbitkan.

Sekian terima kaish.

AMERIKA BUKAN MUSUH NEGARA ISLAM ?

Amerika bukan musuh negara islam.

(habis itu siapa musuh Amerika dan siapa pula musuh negara ISlam?).

Jika Amerika tidak mahu bermusuh, sila minta maaf (kami akan maafkan) akan kesalahan kamu yang lalu terhadap kami dan keluarkan askar kamu dari seluruh negara orang lain. Mudah bukan?.


Hmmmmm.... akan berlaku ke?.

Wednesday, January 28, 2009

MANA HERO - MANA CROOK?

HERO (baik) dan crook (jahat) sudah sinonim dengan jiwa kita. Semenjak kecil kita diasuh dan dididik bahawa dalam dunia ini ada dua jenis manusia sahaja, pertama orang baik dan kedua orang jahat. Biasanya orang baik akan kalah dahulu dan menang kemudian. Orang baik dan orang jahat kerjanya tidak lain daripada bertempur dan berperang.

Tanyalah anak-anak anda, atau anak penakan, atau adik anda. Semua makhluk dalam dunia ini mereka kategorikan sebagai baik dan jahat. Ada kartun baik, ada kartun jahat. Ada binatang baik, ada binatang jahat. Ada orang baik, ada orang jahat. Ada mainan baik, ada mainan jahat. Malahan yang kurang best ialah ada cikgu baik, ada cikgu jahat. Ada ayah jahat, ada ayah baik.

Baik dan jahat sudah sinonim dengan kita semua. Namun setelah kita semua dewasa dan menjadi bangka, barangkali kita sudah lupa. Mana baik mana jahatnya. Dalam mencari-cari hero, pembunuhpun kita kata baik, perompakpun kita kata baik. Mungkin perogol juga kita kata baik. Siapa yang jahat?. Tidak lain tidak bukan melainkan kerajaan. Kerajaan semua jahat, penentang kerajaan semua baik. Polis orang jahat. Sebab apa?. Sebab polis tembak perompak. Perompak orang baik. Sebab apa?. Perompak samun orang kaya. Perompak tolong orang miskin. Apa nak jadi dengan kita, jika memang begini minda kita?.

Cikgu saya dulu ada berpesan. Jadilah orang terkenal. Bagaimana hendak jadi orang terkenal?. Ada dua cara sahaja:-

Jadilah murid yang pandai, dapat nombor 1, wakili sukan peringakt tertinggi. Jika anda tidak berupaya jadi yang paling pandai dan paling handal, buatlah yang paling jahat. Nescaya kamu akan jadi terkenal. Botak Chin terkenal. Mona Fendi terkenal. M.Kalimuthu terkenal. Kamu juga ingin jadi terkenal?. Jadilah pencuri barang mewah, kelak kamu akan jadi terkenal bila kena tembak mati.

Rosak...

Tuesday, January 27, 2009

KITA KAN ADA KSN ...


KSN adalah singkatan kepada Ketua Setiausaha Negara. Ia adalah jawatan yang paling tinggi dalam perkhidmatan awam. Jika di US, KSN ialah Setiausaha Negara yang selalunya mewakili Mr.Presiden di luar US. Pada satu-satu masa kita hanya ada satu sahaja KSN. Semenjak merdeka, kita telah mempunyai 12 orang KSN.

Apa yang KSN boleh tolong kita sebagai rakyat Malaysia?.
Sekiranya sesiapa sahaja mempunyai masalah samada dengan sektor awam mahupun sektor awam, laporkan sahaja kepada KSN dan beliau akan bertindak segera dan mempastikan aduan tersebut ditangani. Ya, apa-apa sahaja masalah anda sebagai rakyat. Contohnya layanan di kaunter kerajaan yang lambat, tidak mesra, berdolak dalih dsb. Apa sahaja permohonan seperti lesen, perniagaan dan apa-apa yang tidak diselesaikan mengikut waktu yang munasabah. Lapor sahaja kepada PEMUDAH dan KSN.

e-mel KSN ialah sidek@pmo.gov.my

Monday, January 26, 2009

CUTI PANJANG YANG LAPANG


CUTI Tahun Baru Cina pada tahun ini adalah panjang kerana bersambung dengan cuti hujung minggu. Khabarnya kesesakan jalan raya melebihi daripada musim cuti Hari Raya Aidilfitri. KAmi sekeluarga tidak pulang ke kampung kerana isteri bekerja di luar kawasan hingga ke hujung minggu.

Pada tahun-tahun kebelakangan ini, cuti adalah bagaikan tidak cuti bagi saya. Kerja kuat untuk mencapai garis mati (deadline). Namun cuti panjang pada kali ini adalah lapang. Saya habiskan cuti ini dengan mengayuh basikal. Tidak lagi terperap di kamar menulis entah hapa-hapa yang tidak mengeluarkan hasil. Sekurang-kurangnya dengan berbasikal, keluar juga peluh.

Sekiranya kita ingin menulis, ingin jadi penulis, tetapi mengharapkan belas orang lain untuk menerbitkannya, maka hasilnya adalah tidak seberapa. Anda hanya mendapat RM1.40 bagi setiap buku berharga RM20 yang terjual. Sekiranya 5,000 naskah berjaya dijual, anda akan memperolehi RM7,000. Adakah mudah untuk melariskan buku anda ke angka 5,000 naskah?. Cuba anda cetak dan terbit sendiri. Kos penerbitan dan percetakan bagi 1,000 naskah buku ialah RM10,000. Ini bermakna anda dapat untung RM10,000 bagi 1,000 buku. Anda tidak mampu menjual sebanyak 1,000 naskah?. Jangan tulis buku.

Jika anda tidak mempunyai modal sebanyak RM10,000 untuk menerbitkan buku sendiri, anda boleh kurangkan kos tersebut dengan kos cetak sahaja. Katakan RM7,000. Jika anda masih tidak mampu juga, anda boleh terbitkan buku anda secara e-book. Kosnya hampir tidak ada. Setiap jualan adalah keuntungan bagi anda.

Anda tidak tahu menghasilkan e-book?. Nanti saya ajarkan...

Friday, January 23, 2009

KUIH TEMPAH YANG DIKEMBALIKAN ...



BARANGKALI saya adalah penulis "kuih tempah" yang pertama dikembalikan manuskrip oleh penerbit yang tidak mahu menerbitkannya. Pemgembalian manuskrip atau yang tidak diterbitkan langsung adalah perkara biasa kepada penulis. Beratus-ratus (mungkin beribu) penulis yang menghantar manuskrip kepada penerbit menghadapi kemungkinan yang sangat tinggi ianya tidak diterbitkan atau dipulangkan. Namun bagaimana halnya dengan "kuih tempah"?.

Penulisan "kuih tempah" ialah apabila penerbit mengenalpasti sesuatu tajuk dan meminta atau menawarkan kepada penulis untuk menulisnya. Pada anggapan penulis, apabila manuskrip yang diperlukan disiapkan dan diserahkan tepat pada masa yang dijanjikan, ia akan diterbitkan sebagaimana "janji mulut" yang diberikan. Namun dalam kes saya, ia diperam selama sembilan (9) bulan tanpa sebarang berita. Akhirnya dengan berat hati saya bertanya dan hasilnya ialah manuskrip tersebut sudah berada di depan mata saya.

Persoalannya ialah mengapa begitu lama?.

Saya memohon supaya manuskrip tersebut dikembalikan supaya saya boleh membawanya kepada penerbit lain. Perlu diingat bahawa, golongan penulis adalah miskin. Manuskrip yang perlu dicetak beratus muka surat mungkin menelan belanja ratusan ringgit juga. Apa yang menghairankan saya ialah, mengapa manuskrip cetakan diperlukan sedangkan ia lebih senang dan mudah menggunakan softcopy sahaja.

Para penulis sepatutnya tidak boleh bekerja berseorangan. Sepatutnya persatuan penulis boleh memainkan peranan yang sangat besar dalam perkara ini. Cuba anda bayangkan fakta ini:-

1. Penerbit menempah dua buah buku dalam masa dua (2) bulan.
2. Selama dua (2) bulan penulis terpaksa berkorban, bersekang mata, membuat kajian, mencari fakta, menulis dan menyiapkan manuskrip.
3. Penulis mencetak dan menghantar manuskrip yang diperlukan kpd penerbit.
3. Penerbit menyimpan manuskrip selama sembilan (9) bukan tanpa berita.

Penulis telah berbelanja banyak dalam kes ini sedangkan penerbit tidak berbelanja satu senpun (kecuali gaji editor yang membaca manuskrip, yang juga membaca ratusan manuskrip lain).

Apakah model bisnes yang lebih adil?.
1. Apabila penerbit membuat tempahan, surat tawaran rasmi dikeluarkan.
2. Penjanjian perlu ditandatangani dengan syarat-syarat tertentu.
3. Bayaran pendahuluan atau cagaran dibuat kepada penulis.

Walau bagaimanapun nampaknya perkara ini sukar untuk dilaksanakan kerana penulis tidak ada syarikat atau badan ataupun pengurus yang menguruskan perkara ini. Penulis dilihat seperti terhegeh-hegeh inginkan karya mereka diterbitkan. Sekiranya ada persatuan ataupun syarikat yang menguruskan perkara ini, barangkali penulis dan penerbit ada orang tengah untuk berurusan.

Oh ya .... manuskrip yang ditolak tersebut telah saya bawa kepada penerbit lain dan telah dipersetujui untuk diterbitkan. Saya sedang berfikir dengan tawaran "kurang menarik" yang diberikan. Walau bagaimanapun, biarlah sedikit daripada langsung tidak ada, kan?.

"Pihak saya memohon maaf kerana menyukarkan manuskrip tuan menembusi ruang penerbitan XXXXXXX. Walau bagaimanapun, saya sudah membaca sepenuhnya manuskrip berkenaan dan ternyata mempunyai daya pasaran yang tinggi"

Thursday, January 22, 2009

HARGA GULA MUNGKIN NAIK?

MEDIA masa mengumumkan hari ini bahawa harga gula mungkin dinaikkan selepas Tahun baru Cina.

Apakah kepentingan berita tersebut kepada semua manusia?

1. Pengguna akan berebut-rebut membeli gula
2. Penjual akan menyorok gula supaya harganya akan naik
3. Teh tarik naik harga
5. Kuih naik harga
6. Susu naik harga
7. Semua benda berasaskan manis akan naik harga (walaupun tanpa gula)
8. Kencing manis kian meningkat
9.
10.

Jika nak naik harga, naik sahajalah... mengapa dibuat pengumuman terlalu awal?.
barangkali ada muslihat di sebaliknya.

Wednesday, January 21, 2009

POLIGAMI: MALAM PERTAMA BERSAMA ISTERI MUDA


SELEPAS buat kayuhan pagi Sabtu yang lepas, seorang kawan mengajak saya menemaninya ke suatu tempat untuk melihat sesuatu, katanya. Tanpa banyak soal saya bersetuju, dengan syarat saya singgah di rumah sebentar menghantar isteri pertama.

Kami bertiga ke Kemensah Height. Bertemu keluarganya. Diberikan serba sedikit penerangan mengenainya dan selesai urusan. Si bapa mengajak kami pula ke suatu tempat yang saya tidak ketahui di mana. Saya hanya memandu dan mengikut arahan kiri-kanan sahaja. Bagaikan dipukau, akhirnya ketiga-tiga kami selamat diijabkabul.

Kami pulang ke rumah sebelah malam dan berhadapan dengan isteri masing-masing seolah-olah tidak ada apa-apa yang berlaku. Ahad pagi-pagi lagi kami ke TWP untuk mengayuh basikal. Kami bawa MTB dan RB sekali dalam kereta. Lihat cuaca, yang mana lebih sesuai. Selepas sesi kayuhan bersama MTB selesai, kami uji-kayuh RB baru. Semua terpegun dengan kegenitan dan kejelitaan ketiga-tiganya.

Isnin malam adalah giliran bagi isteri muda. Ketiga-tiga kami bersama isteri muda dan yang lainnya masih setia dengan isteri pertama. Oh ya, isteri saya anak dara dan kawan-kawan saya dapat janda. Penangan isteri muda ini ialah, hingga kini baan masih letih dan lengoh-lengoh. Tengkok masih sakit kerana kepala asyik tegak, seangkan sepatutnya ia tunduk ke lantai. Hmmmmmmm dah biasa sangat dengan isteri pertama (MTB), maka terasa janggal pula untuk bermalam dengan isteri muda (RB).

Inilah gara-gara berpoligami. Mountain bike (MTB) dengan RoadBike (RB).

Tuesday, January 20, 2009

MUKA TAK HENSEM TERINGIN NAK JADI HERO

PEPATAH Melayu ada mengatakan "hidung tak mancung, pipi tersorang-sorang". Hidung dan pipi adalah anggota pada muka. Sudah menjadi tanda aras orang Melayu bahawa muka yang cantik dan kacak mestilah berhidung mancung. Fungsi hidung pula adalah untuk menikmati deria bau. Adakah hidung mancung mempunyai kelebihan berbanding dengan hidung kemik?. Barangkali dalam proses untuk menghidu bau, iaitu mencium (bercium?), hidung yang mancung ada kelebihannya. Lantaran itu, jika hidung tidak mancung, maka pipilah yang disorong-sorongkan untuk dicium.

Saya perasan, hidung mancung adalah lebih laku seperti berikut:
Salam;

Dalam pemerhatian saya, banyak benarnya perkara ini. Namun memandangkan saya ini tidak mempunyai raut wajah yang hansem, maka pemerhatian saya tinggal menjadi pemerhatian untuk kegunaan sendiri sahaja.

Apakah yang saya perhatikan?

Penulis yang comel dan/atau mempunyai raut wajah yang menyenangkan mata memandang adalah lebih disayangi dan disenangi oleh para editor seluruh krew penerbitan.

Allah itu indah dan sukakan yang cantik-cantik.

Wallahualam.


Dan ini pula adalah entri bagi menjawan komen saya:-

Tuan MBA-san perasan bagaimana penulis yang memiliki wajah yang sedap dipandang cenderung menjadi penulis kesayangan krew penerbitan (baca 'penerbit').

Isu wajah memang menarik dibincangkan. Bukan hanya dalam industri hiburan wajah menjadi modal penting.

Dalam bidang sukan pun isu wajah ahli sukan sudah menjadi modal bisnes yang penting.

Penyakit 'wajah' sudah menjangkit ke dalam industri penerbitan buku-buku kategori bacaan-hiburan sahaja. Bagi buku-buku ilmu dan agama, wajah penulis tidak memainkan peranan langsung.

Penerbit buku-buku komersial memilih-milih dan melaburkan banyak wang bagi 'mencantikkan' wajah penulis buku-buku kategori bacaan-hiburan. Banyak faktor yang mendorong pelaburan begini - sudah tentu faktor yang paling di atas sekali adalah ROI (return of investment - pulangan daripada pelaburan).

Monday, January 19, 2009

DARI T-BOLT KE BIANCHI


KATA orang "cinta pertama budak lelaki ialah kepada basikal, selepas itu barulah kepada wanita". Mengayuh basikal adalah merupakan suatu kemestian kepada semua budak lelaki (perempuan juga), khususnya dari kampung.

Semasa zaman kanak-kanak, saya mengayuh setiap hari ke sekolah sejauh 12 batu pergi-balik. Basikal pada zaman tersebut tidak ada gear, bukan BMX, bukan mountain bike, bukan racing bike, cuma basikal. Sudahlah gear tidak ada, pelana juga keras tanpa spring. Gel jangan cakaplah. Namun semuanya OK. Seronok. Selamat. Jenama basikal yang saya ingat di zaman tersebut ialah Raleigh dan Robin Hood. Selainnya mungkin ada lagi, cuma sudah lupa. Namun kini, gear 3X9=27 untuk MTB masih belum cukup. Pelana dengan gel masih memerlukan seluar berlapik pad. Itupun masih lagi sakit.

Pada 1 Jan 2009 yang lalu, seorang kawan berbasikal dan bercerita kepada saya. Fuyoo laju betul makcik-makcik kayuh basikal. Jauh ditinggalkannya kita. Basikal pulak semua mahal-mahal. Ada Bianchi lagi tu.

Saya tanya "Bianchi itu apa?". Oooo Bianchi ialah jenama basikal yang aku tak pernah tengok. Itulah pertama kali agaknya saya dengar nama Bianchi. Dipendekkan cerita, minggu lepas saya memiliki sebuah Bianchi.


Sunday, January 18, 2009

SAMUDERA BIRU SUDAH KEMERAH-MERAHAN

DALAM banyak keadaan, peluang tidak datang berulang kali. Saya memang suka menulis, namun bukannya senang untuk membolehkan hasil tulisan kita diterbitkan. Semua penulis mempunyai masalah yang serupa. Kekecualian hanya berlaku kepada sebilangan kecil sahaja manusia.

Saya berkenalan dengan orang DBP. Namun membaca karenah penerbitan di DBP menyebabkan saya tidak langsung ingin menerbitkan karya saya. Seterusnya saya berkenalan dengan orang Alaf 21. Tiga tahun menulis secara suka-suka. Akhirnya sebuah novel hasil tulisan bersama berjaya diterbitkan. Khabarnya jualannya meletup. Namun setakat itu sahajalah. Tidak ada nama-tidak ada harta, walaupun satu sen.

Seterusnya saya berkenalan pula dengan orang PTS. NAmpak bagaikan banyak peluang di sini. Samudera masih biru. Paus dan jerung tidak berkeliaran di sini. Hampir setahun berkenalan, saya diberi peluang menulis buku dalam sebulan. Ya, saya hanya mengambil masa selama 30 hari sahaja untuk menyiapkan buku pertama. Ia diterbitkan dan dijual sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2008. Beberapa bulan kemudian, khabarnya buku tersebut sudah diulang cetak.

Kemudian saya deberikan masa selama dua bulan untuk menyiapkan dua buah buku. Ya ... 60 hari bagi dua buah buku. Alhamdulillah, bukunya siap ditulis. Namun...... sembilan kemudian saya diberitahu secara berkias bahawa buku ini, jika diterbitkanpun, tunggulan 2010....

Kini saya nampak samudera yang dulunya biru, kini sudah kemerah-merahan. Jerung dan paus sudah mulai datang ke sini. Makanya ikan bilis perlu meminta izin untuk pergi. Carilah kubang lain untuk berenang.

Terbitkan buku sendiri adalah kubang baru yang ada pada hari ini. Namun..... esok, sudah tentu ia bakal menjadi kubang berdarah lagi. Begitulah Strategi Samudera Biru.

Wednesday, January 14, 2009

SURAT TERBUKA KEPADA EDITOR

[Surat ini adalah khusus ditujukan kepada editor bagi syarikat penerbitan yang sepatutnya menerbitkan buku saya. Pengerusi Syarikat berhasrat untuk menerbitkan surat ini dalam blog mereka. Oleh itu saya juga berbuat demikian dan jadilah ia sebagai surat terbuka.]

Assalamualaikum;

Saya doakan semoga Puan Nurul sentiasa berada dalam keadaan yang amat selesa, memuaskan, gembira dan dalam kesihatan yang amat baik.
Sebenarnya saya amat keberatan untuk menulis e-mel ini. Pn. Ainon sendiripun telah meminta saya menulis kepada editor lebih daripada tiga bulan yang lalu. Namun hanya sekarang saya diberikan peluang dan kesempatan olehNya untuk menulis.

Sebelum meneruskannya, saya memohon beribu ampun maaf terlebih dahulu sekiranya apa yang dituliskan ini membuatkan Puan berada dalam situasi yang kurang menyenangkan:-

Selepas buku saya "Kerjaya Dalam Bidang ICT" diterbitkan, PTS melalui editor perolehan pada masa tersebut, Tuan Fadzli telah meminta supaya saya menulis beberapa buah buku lagi. Akhirnya proposal buku "50 Jawatan Terpilih Dalam Kerajaan" dan "50 Jawatan Terlaris Dalam ICT" telah diterima oleh PTS. Saya telahpun menulis dan menghantar manuskripnya kepada PTS pada 15 Mei 2008 sebagaimana yang dipersetujui dan diperlukan oleh pihak PTS. Manuskrip bercetak diposkan kepada Tuan Fadzli dan softcopy disalinkan kepada Pn.Ainon, Tuan Roslan dan Puan sendiri.

Selepas ianya dikemukakan, saya menghubungi Tuan Fadzli untuk bertanyakan mengenai perkara ini. Beliau memaklumkan bahawa manuskrip telah diterima dan telahpun disemak dan dikemukakan kepada Puan untuk tindakan selanjutnya.

Sehingga kini saya tidak menerima sebarang berita mengenai manuskrip tersebut. Walau bagaimanapun saya ada menerima beberapa berita tidak rasmi seperti berikut:-

1. PTS akan memperlahankan penerbitan buku kerjaya dan menumpukan kepada buku "buat duit"
2. Buku kerjaya tidak akan diterbitkan lagi.

Samada berita ini benar ataupun tidak, saya tidak dapat pastikannya kerana tidak ada sebarang berita mengenainya diterima. Sekiranya memang manuskrip tersebut tidak akan diterbitkan, saya memohon supaya ianya dapat dipulangkan kepada saya supaya saya dapat mencari penerbit lain yang sudi untuk menerbitkannya. Saya akan bayar semula belanja penghantarannya.


Sekian, semoga mendapat perhatian yang sewajarnya daripada pihak Puan.

Wassalam.

Monday, January 12, 2009

KERANA KAWAN

KADANG-kadang seseorang manusia bukan ingin sangat berbuat jahat, namun kerana kawan ia melakukan kejahatan. Kadang-kadang yang baik juga begitu. Kebanyakan daripada tindakan kita adalah kerana pengaruh kawan-kawan.

1. Kita bukan suka sangat kayuh basikal, namun kerana kawan-kawan kita kuatkan juga untuk berkayuh.

2. Ada kawan yang tidak pernah main bowling, namun kerana ingin menjaga hati kawan, dia datang juga menjengok kawan main bowling. Itulah kawan.

3. Ada kawan yang apabila diajak main bowling (kena bayar), siang-siang dia beritahu tidak boleh datang. Walhal dia jugalah yang buat falsafah, main bowling bukan pasal bola, tetapi sembang dan minum-minum sesama kawan (free)


4. Ada kawan yang apabil apabila diajak makan malam (kena bayar), siang-siang dia kata dia sibuk (bukan tidak makan). Walhal dialah yang berfalsafah, diner adalah pakej makan, sembang dan sosial. Hmmm... patut tambah satu lagi got it free. ;-)

Terima kasih kawan-kawan.

Sunday, January 11, 2009

7 KALIMAH SUCI

Sabda Rasulullah SAW:

Barangsiapa yang hafal dan mengamalkan tujuh kalimah ini akan dimuliakan oleh Allah dan malaikat dan akan diampuni dosa-dosanya walau sebanyak buih di lautan..


1.Bismillahhirrahmannirrahim:

pada tiap-tiap hendak melakukan sesuatu.

2.Alhamdullillah:

Pada tiap-tiap habis melakukan sesuatu.

3.Astagfirrullah:

Jika tersilap mengatakan sesuatu yang buruk.


4.Insyaallah:

jika ingin melakukan sesuatu pada masa akan datang.


5.Lahaula wala quwata illah billah:

Bila tidak dapat melakukan sesuatu yang
agak berat atau melihat sesuatu yang buruk.

6. Innalillah wain na illahirajiun:

jika menghadapi musibah atau melihat kematian.

7.La ila ha il lallah:

Bacalah sepanjang siang dan malam sebanyak-banyaknya.amalkanlah selalu moga-moga
kita tergolong dikalangan orang yang terpilih oleh Allah.

Wallahuala

Thursday, January 08, 2009

KUALA TERENGGANU

Sajak Terengganu

Sayup mengelor anok dok balik

Menyembah sujud pada Mung

Seakang zaman doktong sudah sapok

Seakan zaman gelekek habih doh

Mung duk jauh Mok panggil dekat

Mung duk dekat Mok panggil rapat

Mung duk rapatt Mok sendal

Takmboh bui gogeh

Renungan si Ibu terandeng jauh

Seakang mengelor anok manih

Yang hatinya gelebek sumbing

Ingat air mata yang luroh berjelabok berlembang di lambor

Seakang noknya anok tembor berdecung dari Kuala Lumpor

Biar cokkoh depang mata

Biarlah mung dulu suka mengakas

Sedor sedor le ni senyap tuppas

Sampai gitu mbas menengung

Mok tunggu mu balik raya kappong

Mok tunggu mu jadi bejuruh jangan jadi cakduh

Mok doa' biar jadi manih dok kelat sebbat

Mok doa' lagi hari raya,

biar tenang jangan kelecat barat

Rok jelibung mok tebah buat jalang

Takut mung kena pakoh pinggat lari meletang kalang

Nok tengoknya ke mung Memang dok dang dang

Nok ramah jari mung anok ku anok kesayangan

Hari Raya andainya buleh aku kelor mung

Takut nak jeruwoh takut mung belohok

Bukang mok nak kereta tolok,

bukang mok mitok mah setokol

Mok tahu mung makang burger, hotdog

Dulu mu berahi jering, gemo kuih badok

Mok cuba kelor lagi neh

Baliklah Wok

baliklah Hari raya dok baik bekok

Mok terima mung sayang

Salahnya cuma silap belaga buah getoh

Silap sikitnya rebus ubi kayu dok rebus ubi torok

Adik Adik mu tu nye je mung jadi bekok

Hari raya ning baliklah Wok

Mok sorang berlagu pilu

sedih Ayoh mu gi dok royat nok mati

Rasa nok gelekek tadok tepat geli

Raya sama mung dok tau tepat nok gi

Baliklah Wok

Anak anak ku

Kalau mu kenang duana mung tubek

Kalau mu kenang sapa beso ke mung

Kalau mu kenang sapa dia jaga mung jok kecik

Kalau mu kenang macang mana mung boleh baca nulih

Pagi raya ning mung ada cokoh dirumah

Pagi raya ning mung buat air dappor

Pagi raya ning ciung tangang orang tua

Pagi raya ning mitok maaf dengan mok

Pagi raya ning mok dok pernoh berniat nok kehel mung

Hari raya hari berkeluarga,

cenderhati termahal

Hadiah paling comel,

hamper paling beso Hari raya,

mung semualah paling beso

Anok beranok,

warih waroh


Penafian: Sajak terengganu ini bukan karya saya. Saya ambil dari Internet

Wednesday, January 07, 2009

SETENGAH BERISI SETENGAH KOSONG


SAYA membeli dan membaca buku ini sebab ... bos saya baca buku ini. Mengapa ikut dia?. Oh saya hendak tahu apa yang dia baca, apa pemikirannya. Dia jadi pengikut The Toyota Way, saya juga ada buku tersebut. Walau bagaimanapun ia belum habis dibaca.

Dulu, dalam tahun 1980an bos saya baca buku "The Crook and Sch rude Thinking". Wah memang hebat sungguh dia. Jika kita mahu sanggah pendapat dia, atau ingin mendapat simpati, kita perlu mengatasinya melalui cara yang crook juga. Di mana agaknya boleh diperolehi buku tersebut?.

Oh ya .... buku ini adalah karangan penulis Indonesia yang telah "dialih bahasa" ke Bahasa Malaysia. Setengah Berisi, Setengah Kosong? menyajikan kisah-kisah inspirasi yang mampu membetulkan perspektif kita terhadap apa jua situasi yang dihadapi. Lebih daripada itu, kisah-kisah inspirasi yang dimuatkan di dalam buku ini dapat membangunkan dan memacu rasa optimistik dalam hidup. Rasa optimistik yang membangkitkan kesedaran bagi mengenali masalah dan respons terbaik kepada masalah itu. Rasa optimistik yang membangkitkan rasa percaya, setiap masalah dan cabaran dapat diatasi. Rasa optimistik yang membina kekuatan untuk berhadapan dengan perkara negatif secara positif. Rasa optimistik yang apabila berhadapan dengan situasi buruk, namun masih mengharapkan yang terbaik. Mempunyai alasan untuk rasa geram, tetapi memilih untuk tersenyum.

Buku ini dipenuhi dengan kisah dan cerita-cerita yang membuatkan kita rasa seronok membacanya. Walau bagaimanapun cerita-cerita ini tidak diMalaysiakan ataupun tidak lokal.

Tuesday, January 06, 2009

MACAM-MACAM KAWAN


SEJAK buku-buku tulisan saya telah diterbitkan, saya dapat perhatikan bermacam-macam karektor sahabat yang membuatkan kadang-kadang saya senyum sendiri:-

A: "Wah anda telah berjaya menulis buku. Tahniah. Saya masih tetap begini juga. Cakap sahaja, tetapi tidak menulis. Tahniah. Tahniah dari saya". Buku dibelek-belek dan diletak semula tanpa apa-apa reaksi.
Dalam hati saya: Jika anda kawan saya, belilah sebiji, tidak bacapun tidak mengapa. Buat kenang-kenangan.
Dalam hati dia (agaknya). Aku dah puji engkau, jika kita berkawan, berilah sebuah buku untuk kenang-kenangan.


B: "Dengar cerita anda telah menulis buku. Mintalah sebiji hadiah untuk I. I nak yang dah siap bertandatangan tau!"
Nota: Alamak .... penerbit beri buku percuma 10 biji sahaja ...

C: "Wah bagus buku ini. Saya mahu beli 5 buah untuk dihadiahkan kepada rakan-rakan. Berapa harga sebuah buku?. Ya .. Ya... jangan lupa tandatangan. Itu yang mahal tu...".

D: "Berapa diskaun buku U untuk kawan-kawan?. I nak beli sebiji"

E: "Dengar cerita U dah tulis buku. Betul ke?"

F: "I ambil buku U ni 12 buah. I nak hadiahkan kepada rakan-rakan I. Nanti I bayarlah"
(Nota: dah hampir setahun berlalu .... tak bayar pun)

G: "I nak beli buku you 100 naskah. Nanti budak I datang ambil dan bawakan bayarannya sekali. Sediakan resit ya".
Nota: Alhamdulillah. Setakat ini ada 3 orang yang sedemikian.

H: "I nak tolong jual buku-buku U kat pesta. Berapa diskaun you boleh bagi kat pembeli? I tolong jual sahaja, tidak mau ambil komisyenpun. Tolong promosi kawan-kawan".

I: "Wah buku ini bagus!. Saya boleh lancarkan buku anda. Tentu meletup ni.... Jemput saya buat pelancaran ya?"
Nota: Sifu sudah pesan: Jangan jual buku kepada orang politik. Liat bayar ...



TERIMA KASIH kepada rakan-rakan semua yang telah membeli buku saya. Saya tahu anda adalah sahabat...

Monday, January 05, 2009

TEKNIK SURAH YUSOF DALAM PENULISAN NOVEL


SABTU lepas saya hadir lagi kursus di atas buat kesekian kalinya. Tujaun utamanya adalah untuk memperbaharui ingatan dan azam untuk menyiapkan penulisan yang terbengkalai di dalam minda. Ya... 2009 ini saya akan mula menulis genre novel atau fiksyen pula.

Berikut adalah sinopsis daripada Teknik Surah Yusof asas:-

1. Cerita benar (sedikit sebanyak)
2. Hero lelaki
3. Ruang tempoh cerita yang panjang
4. Watak jahat banyak
5. Watak jahat tidak dihukum
6. Cerita dalam keluarga
7. Banyak konflik
8. Mimpi (3 mimpi dlm Surah Yusof)
9. Banyak dialog
10. Pengarang tidak berkuasa, sebaliknya watak yang dihidupkan.

Sunday, January 04, 2009

DASHBOARD


SEMENJAK saya mula berkayuh semula setelah sekian lama meninggalkannya, baru semalam saya menggunakan dashboard.

Selama ini saya hanya kayuh dan kayuh. Semua soalan di bawah di jawab dengan TIDAK TAHU
Berapa jauh kayuhan?
Berapa purata kelajuan?
Berapa kelajuan maksima?
Berkayuh dari mana ke mana dan ikut jalan mana?
Kadar denyutan jantung berapa?.

Setelah memasang cyclometer "cateye 2", kini soalan mengenai jarak dan kelajuan basikal sudah boleh dijawab. Pagi tadi kami berkayuh sejauh 23.5km. Kelajuan maksima (turun bukit) ialah 40km/jam. Wah laju tu....

Dengan menggunakan HRM Polar A1, ia menunjukkan denyutan jantung saya ke paras maksima 135 semasa menaiki bukit. Ini bermakna masih bolehlah lagi meneruskan kayuhan.

Cuba bayangkan anda memandu sebuah kereta tanpa dashboard. Apabila minyak habis, kereta akan berhenti sendiri. Bila kelajuan melebihi had limit, kita kena saman bodo saja. Begitulah seterusnya. Pendek kata dashboard banyak membantu dalam kehidupan moden pada hari ini.

Dalam kerja harian juga kita memerlukan dashboard. Apa yang kita sasarkan dihujung tahun akan menghasilkan kejutan kepada kita jika tidak ada dashboard untuk mengukur prestasi kerja secara berkala (bulanan misalnya).

Begitu juga dalam kehidupan. Dashboard adalah diperlukan dan KPI nya hendaklah berlandaskan kepada Quran dan Sunnah.

Saturday, January 03, 2009

SKALI LAGI


SAYA sudah lama mengenali YM Tengku Farith Rithauddeen. Cuma beliau sahaja yang tidak mengenali saya. Ia samalah seperti saya mengenali Yang DiPertuan Agong ataupun Presiden Obama. Saya mengenalinya tetapi dia tidak mengenali saya. Sekali saya terjumpa nama beliau di facebook dan terus mempelawa untuk menjadi kawan. Saya tuliskan nota untuk beliau. "Salam Ku. Tidak ada diskaunkah buku Skali Lagi kepada sahabat FB?".

Dia menjawab lebih kurang begini. "Berikan alamat, nanati saya poskan. Sdra ingin BI atau BM?" Beberapa hari kemudian, buku Skali Lagi versi BM bertandatangan Tg. Farith 28.11.08 tiba di rumah saya.

Buku ini mengisahkan pahit-maung-manis Ku Yit membangunkan syarikat Skali bersama rakan-rakannya. Ia ditulis dengan bahasa yang mudah (saya baca versi BM) dan santai sekali. Dengan membaca buku ini, kita dapat ketahui serba sedikit bagaimana Skali ditubuh, dibangun dan dimajukan. Memang diketahui umum, bukan senang hendak senang, dan bukan susah hendak susah. Kata-kata ini memang sinonim dengan kita, namun menyebut dan menghafalnya amat mudah sekali berbanding dengan tercebur dalam kancahnya.

Daripada buku ini dapat kita perhatikan bagaimana idea-idea besar dalam pembangunan negara, khususnya dalam bidang ICT dijana, dimaju dan dikembangkan. Banyak perkara-perkara di belakang tabir dalam perniagaan ,khususnya ICT yang dapat diketahui dengan membaca buku ini.

Walaupun membangunkan syarikat ICT, Tengku Farith secara berterus terang bercerita bahawa beliau memang buta ICT. Ia juga dikira amat menarik untuk dijadikan panduan dan ikhtibar.



Salam
En Muhamad

Terima kasih di atas kesudian
kerana membaca buku skali lagi

Insyaallah kita dapat bertemu
dan berkongsi pendapat pada
masa terdekat ini.

28.11.08

Friday, January 02, 2009

BAGAIMANA CARA BERTERIMA KASIH?



SAYA membeli cyclometer berjenama Cateye 2 melalui ebay.com. Barangan tersebut sampai dengan selamatnya dan dilepaskan oleh pihak kastam. Walau bagaimanapun saya mempunyai dua masalah dengan Cateye tersebut:-

1. Bacaan meternya dalam miles dan bukannya km. Maklumlah dari USA
2. Meter dan pengesan tidak dapat berkomunikasi antara satu sama lain

Lebih daripada seminggu saya mengusahakan perkara ini sendirian dan bertanya kawan-kawan. Namun hampa.

Petang semalam saya nekad ke kedai basikal di Bangi untuk membeli cyclometer yang baru. Ingin beli yang paling murah, tanpa jenama. Kedai tersebut hanya mempunyai 1 cyclometer yang murah namun ia tidak berfungsi. Barangkali baterinya sudah rosak. Apabila saya minta gantikan bateri, tuan kedai dengan selamba saja kata, kami tidak jual bateri. Jika mahu pergi sahajalah ke kedai jam. Murah sahaja baterinya.

Bengkaknya dalam hati dengan jawapan sedemikian. Saya bertekad untuk tidak lagi datang ke kedai tersebut. Bukan hanya sikap pemiliknya yang memang acuh tidak acuh, barangan yang dijual juga sangat mahal. Lebih baik beli dari kedai Apek sahajalah.

Sebelum beredar, saya cerita masalah Cateye saya kepadanya. Penjual tersebut menyuruh saya tukar bateri baru bagi pengesan. Dipendekkan cerita, saya ke Warta tukar bateri baru dan pulang ke rumah dan cateye tersebut telahpun berfungsi walaupun masih dalam kiraan batu.

Pengajaran daripada cerita:
1. Ada hikmahnya penjual tersebut tidak mahu menjual cyclometer dia
2. Saya patut berterima kasih kepadanya atas layanan buruk yang diberikan kepada saya


Ah ..... terima kasih, terima kasih juga, saya tetap tidak akan pergi ke kedai tersebut lagi.

Thursday, January 01, 2009

PERMULAAN YANG BAIK BAGI 2009


GENG basikalis daripada Putrajaya Easy Riders (PERs) bersama Geng Gedebe menjemput untuk meraikan 2009 di Lebuhraya DUKE (Duta Ulu-Klang Expressway) yang masih belum dibuka sambil menonton pertunjukan bunga api di KLCC. Khabarnya 6 pengayuh daripada Gedebe dan 3 daripada PERs mengambil bahagian. Apa yang istimewanya ialah semua (kecuali seorang) berumur lebih 50 tahun dan mengayuh basikal dijadikan hobi baru mereka. Pagi ini pula PERs mengadakan PMR (Putrajaya Morning Ride), iaiatu acara menyambut tahun 2009 peringkat Putrajaya.

Kedua-dua acara tersebut tidak disertai oleh saya kerana sebab-sebeb tertentu.

Pagi ini sya menghantar anak ke-3 untuk mengikuti kursus di sebuah IPTS setelah dia ditawarkan biasiswa oleh Kerajaan. Pendaftaran di IPTS ini berjalan amat lancar sekali. Ibu bapa dipersilakan duduk dan anak-anak mendaftar tidak sampaipun 30 minit. Lengkap dengan tag nama, kunci asrama, bayaran yuran dan arahan-arahan dalam buku panduan yang disertakan. Dua jam kemudian taklimat dan perasmian minggu orientasi diadakan. Ia juga berjalan dengan lancar dan sempurna walaupun amat ringkas sekali. Selesai taklimat para pelajar dibawa dengan bas ke asrama untuk menyimpan barang dan sebagainya dan acara berakhir sebelum tengahari.

Program pendaftaran kelihatan amat mudah sekali. Ia jauh berbeza dengan anak pertama kira-kira 4 tahun dahulu yang memasuki IPTA yang pendaftarannya sahaja memakan tiga suku hari.